Jun 10, 2014

Dambaan Bahagia_bab 2_repost

DB 2

“Boleh tahan jugak budak-budak baru sem ni kan bro.” ulas Anuar dengan sengihan apabila ada sekumpulan pelajar perempuan turun dari bas dan terus masuk ke kafeteria itu.

“Berdosa pandang lama-lama weh..” Balas Shah tanpa menoleh. Dia leka dengan nasi dalam pinggannya yang masih berbaki.

“Dua kali baru berdosa bro. Aku pandang sekali aje ni.” Anuar tersengih namun mata masih tidak lepas memandang seorang demi seorang pelajar perempuan yang melewati meja mereka.

“Aku salah pandang ke, mata aku yang rabun ni..” omelnya kepada diri sendiri apabila mata dapat menangkap kelibat seseorang yang cukup dikenali.

Amirudin mengangkat wajahnya berserta kerutan. “Kau apasal?” Soalnya sebelum mencapai air sirap bandung di sisinya.

“Aku rasa, aku nampak Tiya bro.”

Serentak itu air sirap bandung yang baru sahaja disedut oleh Shah tersembur ke wajah Anuar. Terbatuk-batuk dia seketika kerana air yang diminum masuk ke saluran pernafasannya.

“Hoi! Kau ni apasal?” Anuar turut sama terkejut apabila wajahnya tiba-tiba lencun dibasahi sirap bandung.

“Yang kau pergi sebut nama yang bukan-bukan dekat sini kenapa?” Tingkah Shah diselangi batuk. Ada debar yang bertandang sebaik sebaris nama itu meniti bibir Anuar tadi.

Ngok! Kau ingat aku main-main ke? Tu! Kau tengok tu siapa. Tiya si kekasih hati kau tu.” balas Anuar sambil menunjuk ke arah salah satu penjuru kafe.

“Kau jangan buat hal Nuar. Aku takda masa nak gurau-gurau ni. Banyak lagi kerja yang aku boleh buat.” Shah tidak menoleh. Gusar jika Anuar benar-benar serius dengan apa yang diperkatakan.

“Kau ingat aku ada masa nak gurau la? Muka aku kau dah sembur. Tak percaya, kau tengok sana tu. Cinta hati dunia akhirat kau tu.” Dua tapak tangannya melekap ke wajah Shah sebelum ditolak ke arah yang dimaksudkan. “Tu! Nampa? Puas hati?” katanya sebaik melepaskan wajah Shah. Tangan terus mencapai tisu untuk mengelap wajah dan baju yang mula terasa melekit dek semburan percuma sahabatnya itu.

Shah terpanar. Matanya tidak berkelip memandang kelibat seseorang yang cukup sebati dalam hatinya. Seraut wajah yang sudah lama tidak bertamu di ruang matanya.

“Weh.. Tak payah nak tenung Si Tiya tu macam kau boleh dapat sekarang. Kau habiskan nasi kau tu cepat sikit. Lepas aku hantar kau ke fakulti, aku nak terus balik. Kejap lagi, corak free dekat baju aku ni terus tak boleh hilang kalau biar lama.” tegur Anuar seraya menepuk bahu sahabatnya itu. Terasa segan untuk berlamaan di situ lagi kerana sejak tadi mereka sudah menjadi tumpuan. Ramai yang mengenali mereka di situ dan pastinya Shah lebih menjadi tumpuan mata yang memandang.

Shah mengeluh perlahan sebelum kembali berpaling. “Kau kata nak teman aku sampai aku settle kan semua register aku?” balasnya lambat. Cuba melupakan seraut wajah yang baru sahaja meniti ruang matanya.

“Ah! Malas aku. Dengan baju aku dah ada corak ni, tak kuasa aku ikut kau. Aku baru nak usha freshie kalau-kalau boleh buat calon. Ni belum lagi aku usha, kau dah potong.” rengus Anuar terus hilang mood.

Shah tersenyum tawar. Terlupa sebentar akan hal Fathiyah tadi apabila bertingkah dengan sahabatnya itu. “Ialah.., aku tahulah, aku ni student repeat. Kawan semua dah menyombong. Maklumlah nak temankan budak repeat macam aku ni, manalah ada standard kan?” Ujarnya kemudian pura-pura berjauh hati. Dia tahu sahabatnya itu tidak akan sampai hati jika dia sudah mengeluarkan ayat minta simpati begitu.

“Kau tak payahlah nak buat ayat kesian macam tu. Macamlah aku nak kesian. Takda, takda. Kali ni, jangan haraplah aku tergoda dengan ayat kesian kau tu. Aku nak terus balik lepas ni.” Anuar bertegas walaupun hatinya tetap terpancing dengan kata-kata Shah. Dia sudah berjanji dengan lelaki itu semalam.

“Kalau macam tu, kau baliklah sekarang. Aku boleh pergi sendiri.” jawab Shah benar-benar berjauh hati apabila melihat ketegasan sahabatnya itu.

“Ahh! kau ni! Nak buat ayat touching pulak dekat sini. Entah macam mana la kalau dah kahwin nanti kalau sikit-sikit nak merajuk. Nak ke si Tiya tu selalu pujuk kau?” Balas Anuar yang cukup faham akan perangai Shah yang bijak menyusun ayat memujuk.

“Hoi! Kau cakap baik sikit! Siapa yang nak kahwin dengan si Tiya tu? Kalau nak kahwin, dari hari tu aku dah kahwin bro. Macam confirm aje jodoh aku dengan dia kan?” Tingkah Shah kurang senang dengan apa yang diucapkan oleh Anuar menyebabkan debarnya tadi kembali bertandang malah semakin hebat. Akalnya kembali memberi tumpuan akan hal Tiya yang turut sama ada di kampusnya itu. Bukan dia tidak perasan dengan siapa gadis itu tadi. Bersama bakal isteri sahabat baiknya sendiri.

Anuar terdiam. Bola mata terhenti pada satu arah.

“Kau kenapa ni?” Shah memandang pelik ke wajah Anuar yang tertegak duduk tidak bergerak dengan pandangan mata lurus ke arahnya. “Hoi!” Dia menampar perlahan pipi Anuar.

“Er.. Tu..” Ujar Anuar dengan bibir yang dimuncungkan.

“Apa tu?”

“Belakang kau tu.” Kata Anuar sambil melekapkan dua tapak tangannya ke wajah Shah dan ditolak ke arah yang dimaksudkan.

Sekali lagi Shah terpanar. Liur yang ditelan terasa kesat. Wajah dingin Fathiyah melatari ruang mata sedekat itu. Begitu tajam sepasang mata bundar itu merenungnya.

“Aku pun tak hinginlah kahwin dengan lelaki yang repeat otak senteng macam kau!” Senafas gadis itu meluahkan sebelum terus berlalu.

Perghh.. Kejamnya ayat..” ulas Anuar sebaik kelibat Fathiyah hilang dari pandangan.

Shah melepas keluhan panjang. Dia yakin Fathiyah terdengar apa yang diucapkannya tadi. Perasaannya mula berperang sesama sendiri.

“Sabarlah sahabat..” Anuar menepuk beberapa kali bahu Shah. Dia tahu sahabatnya itu memendam rasa. Ada sesuatu yang disimpan dan dipendam yang telah menjadi penyebab utama terputusnya hubungan kasih yang terbina sebelum ini.

*****
“Tiya..” Lembut Suhana memanggil apabila bakal adik iparnya itu hanya mendiamkan diri sebaik masuk ke dalam kereta.

“Kenapa mesti Tiya jumpa dia kak..” Itu yang terluah di bibir Fathiyah dengan air mata yang bergenang. Hatinya terasa sakit apabila teringat kembali kata-kata Shah tadi. Dan dia tidak menyangka akan bertemu dengan lelaki itu setelah lebih seminggu dia di situ.

“Dah nama pun sama kampus. Mesti jumpalah..” jawab Suhana sedikit berhati-hati kerana tahu apabila hal Shah diungkitkan, Fathiyah akan menjadi seorang yang cukup sensitif.

“Ni semua Angah punya pasal! Tak jumpa konon. Yang tadi tu siapa kalau bukan Shah. Roh Shah?!” Hambur Fathiyah geram. Peta kampus yang menjadi peneman setia ke mana sahaja dia pergi satu hari itu menjadi tempat melepaskan marah. Habis renyuk dikerjakan. Mulutnya pula terus menerus terkumat-kamit memarahi.

“Sudahlah tu Tiya. Kesian peta tu. Akak dah takda copy nak bagi nanti kalau dah lunyai Tiya kerjakan..” Suhana cuba memujuk. Dia sedia maklum akan perangai bakal adik iparnya yang seorang itu.

“Tiya benci dia kak! Tak nak kahwin konon. Macamlah Tiya ni yang tergila-gilakan sangat nak kahwin dengan dia!” Lepas Fathiyah lagi dengan hati yang membuak panas. Dia belum puas lagi menghamburkan amarah yang terkepung.

Suhana yang tekun memandu, menggeleng beberapa kali. “Apa yang Shah dah cakap pada Tiya ni, sampai Tiya marah macam ni? Sampai masuk bab kahwin sekali?”

Fathiyah merengus. Pandangan mata terus dihalakan keluar tingkap. “Lelaki bajet handsome! Macamlah Tiya hadap sangat dengan dia!” Luah Fathiyah lagi tanpa menjawab pertanyaan wanita di sisinya itu.

Suhana menghela nafas panjang. Tidak tahu apa yang harus diperkatakan lagi. “Sudahlah tu Tiya. Tiya tak payahlah ingatkan dia lagi. Tiya masuk sini sebab nak belajar kan? Tiya fokus aje dengan study Tiya. Tak payah nak sibukkan hal dia. Lagipun, bukannya hari-hari Tiya akan jumpa dia. Korang lain fakulti pun kan? Tiya pun bukannya hari-hari ada kelas.” ujarnya mahu menamatkan sahaja topik yang menghangatkan hati Fathiyah saat itu.

“Memanglah tak sama. Tapi Tiya tetap tak sukalah. Hish! Angah la punya pasal ni.. Tiya geram betul dengan dia. Saja aje nak kenakan Tiya sebenarnya. Macamlah course Tiya ni dekat U lain takda..” Fathiyah tidak henti menyalahkan Amir. Dia yang menyambung pengajian dalam bidang kerja sosial terpaksa menurut akan segala pilihan abangnya.

“Bukan macam tu la Tiya.. Abang Tiya pilih U ni, sebab nanti ada orang boleh tengokkan Tiya..” Suhana cuba menjelaskan keadaan sebenar namun belum pun sempat dia menyambung kata, Fathiyah sudah mencelah.

“Angah nak suruh budak senget tu yang tengokkan Tiya? Huh! Terima kasih ajelah. Tiya dah besar okey! Tak payah nak orang tengok-tengok. Baik dia jaga diri dia sendiri!” Masam mencuka wajah Fathiyah saat itu.

Suhana melepaskan tawa kecil lagi. “Tiya ni.. Akak belum lagi habis cakap..” ujarnya dengan gelengan. “Ibu Tiya dekat rumah tu risau sangat pada Tiya tau. Sebab tu, dia nak Tiya sambung belajar dekat sini. Angah dengan akak boleh tengok-tengokkan Tiya. Dari Tiya keluar dengan kawan-kawan Tiya tu… Selalu balik lewat sampai ke pagi. Dari Tiya buang masa macam tu, kan lagi bagus Tiya sambung belajar. Ibu Tiya pun tak risau sebab dah ada orang jaga Tiya.” Jelasnya panjang lebar.

Fathiyah terdiam. Dia terlupa akan ibunya. Memang ibunya yang begitu beria-ia mahu dia menyambung pengajiannya.

“Tiya.. Dengar tak apa akak cakap ni?” Soal Suhana apabila gadis di sisinya itu hanya mendiamkan diri.

“Dengar..” jawab Fathiyah perlahan. Terasa rindu pula pada ibunya di rumah. Lebih seminggu tidak pulang ke rumah kerana sibuk dengan jadual kelas yang masih belum tersusun dengan betul. Tambahan pula dia dalam proses untuk mengingati selok-belok jalan di dalam kampus kerana dia seorang yang begitu susah untuk mengingati jalan walaupun sudah berkali-kali memalui jalan yang sama.

“Erm.. Tiya janji dengan supervisor Tiya pukul berapa ni?” Suhana terus menukar topik perbualan apabila teringat akan tujuan utama gadis itu bertemu dengannya. Kereta yang dipandu sudah pun masuk ke Fakuliti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

“Erm.. Pukul dua kak..” jawab Fathiyah selepas mengerling jam di pergelangan tangannya.  “Erm.. Kak, Dr. Kamarulzaman ni muda ke tua kak?” Lanjutnya yang sedikit risau dengan siapa dia akan berurusan sepanjang tempoh pengajian selama dua tahun itu.  

“Tiya rasa?” Suhana mengajukan soalan juga berserta sengihan penuh makna. Dalam pada itu, kereta yang dipandu sudah pun berhenti di salah sebuah petak khas buat tenaga akademik.

“Entah.. Tapi kalau muda pun, mesti dah tak single.” Balas Fathiyah senang. Tidak berminat mahu meneka.

“Kita tengoklah macam mana. Jom masuk bilik akak dulu. Solat. Lepas tu nanti Tiya boleh terus pergi jumpa dia.” Ujar Suhana selepas mematikan enjin kereta. Dia berkongsi bangunan pejabat dengan Kamarulzaman yang bertindak sebagai pensyarah kanan di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan. Manakala dia di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan.

******
“Kau tak cakap pun dengan aku Tiya nak sambung study?” ujar Shah sebaik sahabatnya itu melabuhkan duduk. Suasana yang agak bising di restoran 24 jam itu langsung tidak mengganggunya.

Amir tersenyum kecil. “Kenapa? Kau ada jumpa dia ke?” Dia mengajukan soalan juga.

“Kalau tak jumpa takpa bro. Sebab aku terjumpa dialah aku datang jumpa kau ni. Apasal sebelum ni kau tak cakap pun dengan aku dia nak sambung study? Nak sambung study tu takpalah. Ni, dia sambung dekat tempat yang sama dengan aku kenapa? Memang dia mintak ke, atau dia saja-saja mintak?” Bertalu-talu Shah meluahkan yang terpendam sejak bertemu secara tidak sengaja dengan bekas cinta hatinya.

Amir tersengih. “Kau ingat, dia nak sangat pilih sama tempat dengan kau? Jangan haraplah. Aku yang uruskan semua borang dia hari tu. Memang sengaja aku pilih sama tempat dengan kau bro. Kalau aku takda, aku boleh harapkan kau tengokkan dia.” jawabnya mengakui apa yang telah dilakukan. Puas dia memujuk Fathiyah minggu lalu supaya bersetuju dengan pilihan yang telah dibuat.

Shah menarik senyum payau. Hati terasa ngilu. “Kau nak harapkan aku tengokkan dia? Aku rasa kau salah oranglah. Tengok muka aku pun dia tak nak, ni kau nak aku tolong tengokkan dia? Untunglah kalau dia nak bro.” balasnya sinis.

“Aku takda siapa yang nak harapkan lagilah Shah. Kau pun tahu, yang Ana kadang-kadang kena pergi kursus jauh-jauh. Pergi seminarlah, apalah.. Tu yang kalau boleh, ada orang tengokkan dia dalam U tu.. Aku ni memanglah ada. Tapi time dia dekat rumah ajelah.” terang Amir lanjut yang tidak mahu sahabatnya itu tersalah faham.

“Kejap-kejap! Kau nak bagi aku wasiat ke apa ni?” Shah menaikkan tapak tangannya di hadapan wajah Amir. Dia risau jika Amir benar-benar mahu dia sentiasa memerhatikan Fathiyah sepanjang berada di kampus.

“Bagi wasiat la ni. Kau tak kisah kan? Lagipun, bukan aku tak tahu kau syok lagi dekat adik aku tu kan?” Kening Amir terjongket. Dia cukup kenal dengan hati budi Shah walaupun kadang-kadang tindakan lelaki itu sukar diramal.

Shah tersenyum nipis. Memang dia tidak mampu membohongi sahabatnya itu. Hatinya tidak pernah memadamkan sebaris nama yang terpahat sejak dulu lagi. “Dia bukan macam Tiya yang aku kenal dulu Mer..” ucapnya lambat disertai helaan berat.

“Dia jadi macam tu pun, kau tahu sebab apa kan?” balas Amir mengendur. Tumpang simpati dengan apa yang telah berlaku.

“Aku ni takda pilihan Mer..”

“Kau bukan takda pilihan. Tapi kau yang takut nak pilih.”

“Pilihan apa yang aku ada?” Shah mengeluh lagi.

“Shah.. Kau tak percaya ke pada takdir?” Amir mengajukan soalan juga.

Shah tidak mampu menjawab. Sememangnya dia sedar akan takdir yang telah ditentukan buatnya sejak lahir lagi.

“Kau kena ingat Shah, kalau ikutkan hati aku, jangan haraplah aku nak baik-baik dengan kau lagi. Kalau ikut Along lagi la.. Silap-silap, kau dah tak boleh main hoki lagi bro..” lanjut Amir apabila teringat kembali apa yang telah dilakukan oleh Shah kepada satu-satunya adik yang dia ada. “Tapi disebabkan aku dengan Along percaya pada takdir, percaya pada qadak dengan qadar Dia.. Aku tahu mesti ada sebab Dia gerakkan hati kau untuk cancel majlis bertunang kau dulu.” tambahnya apabila teringat peristiwa dua tahu lalu.

Sorry Mer.. Aku..” Keluhan lagi yang terlepas di bibir Shah. Perasaan bersalahnya sehingga ke hari ini tidak pernah surut terhadap keluarga Fathiyah. Sedar banyak hati yang telah terluka di atas perbuatannya.

Amir menepuk beberapa kali bahu sahabatnya itu persis memberi sedikit semangat. “Sudahlah Shah.. Aku tahu, tak senang ada dekat tempat kau. Tetapi kadang-kadang, baik kita hargai orang yang ada depan mata kita, dari kita tercari-cari benda yang tak pasti. Bersyukur dengan apa yang ada Shah.. Hargai orang yang dah bersusah-payah jadikan Amirudin Zulkarnain Shah hari ni.” Nasihatnya ikhlas sebagai seorang sahabat.

“Tapi Tiya..”

Pasal Tiya kau janganlah risau. Dia tu mulut aje kata benci.” Pintas Amir yang faham apa yang dirasai oleh lelaki itu.

Shah tersenyum nipis. “Erm.. Mer, kalau pasal kau nak suruh aku tengok-tengokkan dia, aku tak rasa aku bolehlah bro. Kau tahukan, dia kalau boleh memang dah tak nak langsung tengok muka aku ni.” luahnya serba salah untuk menerima tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

“Aku tak suruh pun kau tengok dia dua puluh empat jam. Kalau ternampak atau terserempak dengan dia, kau tolonglah tengok-tengokkan. Kau tahukan, dia macam mana. Aku rasa kawannya ada dekat mana-mana aje. Pantang orang ajak, cepat aje dia melangkah. Tu, yang aku risau dia tu. Ni, dia dah merengek nak drive kereta arwah ayah aku. Aku aje yang tak bagi. Biar dia susah sikit nak ke mana-mana. Kalau tak, panjang langkahnya.” Amir mula meluahkan kerisauan hatinya pula.

“Aku tak boleh nak janji dengan kau Mer.. Kau tahu, aku pun busy dengan game aku, training aku. Aku tak tahu bila masanya aku dapat jumpa dia. Budak master ni, kelas bukannya hari-hari.. Fakulti pun tak sama. Susah sikitlah..” balas Shah sebelum mencapai cawan teh tarik yang belum berusik sejak tadi.

“Tu, kau tak payah risaulah. Nanti aku bagi jadual kelas dia pada kau. Senang sikit nanti.” Amir menjongketkan dua keningnya bersama senyum penuh makna. Sedaya upaya dia akan cuba menjernihkan kembali hubungan yang telah keruh dan itu juga telah menjadi sebab utama dia memilih universiti yang sama buat adiknya.


Shah menggeleng perlahan. Tidak menyangka sahabatnya itu begitu beria-ia mahu dia berbaik kembali bersama Fathiyah setelah apa yang dilakukan. Namun begitu, yakin dia tidak mampu menjadi yang terbaik buat Fathiyah dan gadis itu tidak akan sewenang-wenangnya dapat menerima dirinya kembali seperti dulu. Sepasang mata bundar yang merenungnya siang tadi penuh dengan api kebencian yang begitu mendalam dan tidak mampu untuk dipadamkan walaupun dia berterus terang akan penyebab di sebalik kejadian. 

2 comments:

MzaMuhd said...

Rasa hati macam nak klik je episod 10 tu terus. Tapi, akal suruh baca dari awal semula... tak sabar tul... hehehe... tq sis. at least ada gak update pengubat rindu.

Ehem said...

Haha

Thanks yep. :)