Disebabkan kisahni dah lama terpendam, maka saya akan sambung terdayanya.
Ada nama dan watak saya tukar demi mengelakkan kekeliruan yang mengelirukan.
Harap boleh hadam. Sekian. :)
..............
DB 1
“Tiya!” Kuat Zainab menjerit
memanggil anak bongsunya dari ruang dapur.
“Bu, pagi-pagi
lagi dah test vokal.” Muncul Amir.
“Kamu tengok
tu? Siapa punya kerja tu? Nasib ibu kamu ni takda sakit jantung. Kalau tak, dah
lama agaknya..” Jawab Zainab sambil mengurut dadanya yang sedikit berombak.
Amir
melepaskan tawa kecil selepas memandang ke arah yang dimaksudkan.
“Kamu pergi
kejutkan dia. Suruh dia turunkan Gina tu. Siapa punya kerja kalau tak dia..”
Arah Zainab sebelum menuang air suam ke dalam gelas.
“Alah ibu ni.
Macamlah tak kenal Gina. Gina bukan usik ibu pun. Mesti Gina tidur tu.” Balas
Amir senang seraya melabuhkan duduk di kerusi meja makan. Aroma nasi lemak
menerobos ke rongga hidung sebaik penutup makanan dibuka.
“Kalau Si Gina
tu jatuh dalam kuali ibu ni tadi macam mana? Kamu nak makan dia?” Tingkah Zainab
yang masih tidak hilang lagi rasa geram di hatinya.
“Tiya!” Laungnya
lagi tanpa mempedulikan anak nombor duanya yang mula menjamah nasi lemak.
“Budak ni memang suka buat darah ibu naik tau!” Omel Zainab sebelum keluar dari
ruang dapur. Langkah terus diatur ke kamar anak bongsunya. Daun pintu yang bertutup
rapat diketuk sekuat hati.
“Tiya! Bangun Tiya!”
Pekiknya berselang-seli dengan ketukan di pintu. “Pukul berapa dia balik malam
tadi Angah?” Lanjutnya dari depan pintu bilik Fathiyah.
“Entah. Angah
tidur awal malam tadi bu.” Jawab Amir yang hanya menggelengkan kepala melihat
ibunya tidak henti mengetuk pintu bilik adik bongsunya. Bukan dia tidak tahu
adiknya itu memang sukar dikejutkan jika sudah tidur lewat.
“Budak ni kan.. Tiya!
Bangun! Kalau Tiya tak bangun, ibu masak Gina tu buat sup hari ni!” Panggil Zainab
lagi tidak henti.
Amir yang sedang
makan, mengekek gelak mendengar ugutan ibunya.
“Ish! Siap. Tiya
ni memang nak mandi atas katil ni.” Gerutu Zainab sebelum kembali semula ke
ruang dapur. Tangannya terus mencapai mangkuk plastik selebar tapak tangan dan
diisikan dengan air paip.
“Tiya! Baik kau
bangun! Kejap lagi mandilah kau atas katil tu..” Amir pula melaung dari meja
makan memandangkan bilik adiknya yang paling hampir dengan ruang dapur itu. Dia
cukup faham dengan apa yang akan dilakukan oleh ibunya sebentar nanti.
“Tiya.. Ibu kira
sampai tiga. Kalau Tiya tak bangun, ibu bukak
kunci ni nanti, Tiya mandi atas katil.” Ugut Zainab yang sudah bersedia dengan
segugus kunci di tangan.
“Satu.. Dua..
Ti..” Pintu bilik terbuka. Wajah kusut Fathiyah muncul di muka pintu.
“Ibu ni..
Sikit-sikit nak ugut. Kenapa kejutkan Tiya pagi-pagi ni..” Rungut gadis genit
itu sambil menekup mulut. Cuba menahan kuap. Kelopak matanya terasa berat benar
untuk diangkat menyebabkan bayang ibunya hanya samar-samar.
“Sini.. Pergi
turunkan Gina tu. Kalau tak, ibu masakkan Tiya sup Gina tengah hari ni.” Zainab
terus menarik tangan anak bongsunya hingga ke ruang dapur. “Turunkan sekarang!”
Arahnya tegas sambil menunjuk ke penjuru petak siling yang terbuka.
“Alah ibu ni..
Gina bukan usik ibu pun. Tu mesti dia tengah tidur. Tak payahlah kacau dia..
Nanti dia bangun, tahulah dia tarik balik ekor dia tu..” Selamba Fathiyah
menjawab sambil menggonyoh matanya yang terasa pedih apabila cahaya matahari
yang menerobos masuk dari pintu dapur yang terbuka.
“Takda-takda. Ibu
tak kira. Turunkan dia sekarang!” Zainab tetap bertegas.
“Alah.. Tengah
hari nantilah.. Bagi Tiya tidur kejap dulu..” Jawab Fathiyah malas sebelum
kembali mengorak langkah. Berkira-kira mahu meninggalkan ruang dapur itu untuk
menyambung semula tidurnya yang terganggu.
“Jangan nak
mengada-ngada. Turunkan Si Gina tu dulu!” Halang Zainab sambil menarik lengan
anak gadisnya yang seorang itu dari kembali semula ke bilik.
“Ibu, biarlah Tiya
tidur. Lepas makan ni nanti, Angah turunkan Gina tu.” Sahut Amir yang tidak
sampai hati melihat adik bongsunya yang benar-benar mengantuk.
“Cayaalah Angah! Ni sayang Angah lebih
ni. Nanti Tiya mandikan Toby Angah tu sebulan. Okey bye!” Sahut Fathiyah laju seraya menghadiahkan kucupan sekilas ke
pipi abang keduanya itu. Kemudian cepat-cepat dia mengatur langkah ke bilik
tidurnya semula. Pintu terus dikunci.
“Ee… Ada air
liur basi, kiss orang.” Gerutu Amir
sambil mengelap pipinya cepat.
Toby yang
dimaksudkan adalah kura-kura kecil warna jingga dari spesies Indian Star yang
sudah dipelihara sejak dua tahun lalu.
Zainab saat itu
pula sudah bercekak pinggang. Kelibat anak bongsunya yang menghilang ke dalam
bilik dipandang geram. “Sorang Toby, sorang Gina. Belum lagi dengan Si Mary dengan
Si Alex tu.” Gerutu Zainab sebelum kembali menyambung kerjanya yang tergendala.
Hampir gugur
jantungnya tadi apabila sedang leka dia mengupas kulit bawang, terjuntai ekor
ular sawa milik anak bongsunya itu dengan tiba-tiba.
Amir yang masih
berada di ruang makan itu kembali mengekek gelak mendengar bebelan ibunya.
“Boleh jadi zoo rumah kita kan bu.” Ujarnya kemudian sengaja mahu mengusik.
“Banyaklah kamu
punya zoo.” Balas Zainab sambil menjeling sekilas ke wajah anak keduanya itu.
“Erm.. Kamu jadi cuti Isnin ni?” Lanjutnya sebelum mencuci tangan. Anak
keduanya itu hanya pulang ke rumah pada hujung minggu sahaja.
“Jadi bu. Kan
Angah dah janji nak uruskan pasal Tiya
tu.” Jawab Amir yang kembali menyambung makan.
“Selagi dia tak
sambung belajar, tak senang hati ibu ni tau. Ke sana ke mari sesuka hati dia
aje. Balik lewat-lewat malam. Risau hati ibu ni.” Luah Zainab akan perasaan
risau yang dirasai sejak anak bongsunya tamat pengajian di peringkat ijazah dua
tahun lalu.
“Jangan risau
sangat bu. Nanti dia dah sambung belajar, Angah boleh tengokkan dia.” Amir
menenangkan. Sejak ayahnya meninggal dunia, tanggungjawab menjaga dan
memastikan keselamatan adiknya tergalas di bahunya dan abang sulungnya.
“Macam mana ibu
tak risau Angah. Kamu tengoklah dia. Marah sikit nanti, merajuk panjanglah dia.
Tapi bukan nak dengar kata. Tambah-tambah susah hati ibu ni.” Tambah Zainab lagi.
“Dia tengah
ligat bu.. Nanti dah lepas sambung belajar, tahulah dia macam mana. Nanti Angah
tengok-tengokkan dia. Ibu janganlah risau. Lagipun nanti, ada orang yang dah
sedia nak tengokkan dia masa dalam kampus nanti.” Jawab Amir berserta senyuman
penuh makna terukir di bibirnya.
“Siapa?” Zainab
mula berkerut dahi.
Amir angkat dua
kali kedua-dua keningnya bersama senyuman yang semakin dilebarkan.
“Ada cerita best ke?” Muncul Amrizan di ruang makan
itu sebelum terus melabuhkan duduk di kepala meja.
“Ni ibu tengah
bincang pasal adik bertuah kamu tu
la..” Sahut Zainab sambil menyendukkan nasi lemak ke dalam pinggan kosong
sebelum dihulurkan kepada anak sulungnya itu.
“Oh.. Erm.. Tak
silap Along, dia balik malam tadi dah dekat pukul tiga bu.. Sebab time tu Along baru habis tengok bola.”
Balas Amri sebelum meneguk perlahan air teh yang dituangkan oleh adiknya.
“Hish! Sebab tu
la ibu tak bagi dia bawak kereta
arwah ayah tu. Panjang langkahnya. Entah ke mana dia malam tadi.” Sahut Zainab
yang turut melabuhkan duduk di situ.
“Alah.. Biasalah
dia bu.. Sibuk aje dengan kawan-kawan dia. Tak pun sibuk berkampung dekat kedai
si Alan tu ha..” Balas Amrizan sambil menjongketkan sebelah keningnya kepada
Amir. Mereka cukup faham akan perangai Fathiyah. Lebih suka menghabiskan masa
di luar berbanding di rumah.
“Tu lagi satu
yang ibu tak suka. Suka sangat dia duduk dekat kedai budak Alan tu. Ibu
kahwinkan terus baru tahu.” Bebel Zainab lagi sedikit geram.
“Sudahlah tu bu..
Bukan dia ke mana pun. Alan tu pun kawan kita orang. Ibu pun kenal Alan tu
kan.. Takda apalah..” Amrizan menenangkan.
“Selagi dia tak
sambung belajar, selagi tu la hati ibu ni tak senang.. Entah siapa-siapa
kawannya, bukan ibu tahu. Kalau jadi apa-apa macam mana?” Jawab Zainab yang masih
tetap dengan perasaan risaunya.
“Bu, biarlah dia
sebulan ni.. Bulan depan, senanglah hati ibu.” Sambung Amir pula.
Zainab menghela
nafas panjang. Tidak tahu apa yang dirasakan saat itu. Kelegaan pun tidak,
ketenangan apatah lagi. “Nanti dah sambung belajar kamu tengokkan dia
betul-betul Angah.” pesannya berserta keluhan.
“Ia bu.. Ibu
janganlah risau. Kan Angah kata tadi nanti dalam kampus ada orang tolong
tengok-tengokkan dia.” lembut Amir membalas.
“Siapa?” Hampir
serentak Amrizan dan Zainab menyoal.
“Suhana kan
ada..” Balas Amir sebelum bingkas. Pinggan yang sudah kosong dibawa ke singki.
“Tunang kau tu
tak busy ke wei..” Amrizan mengusik. Tahu yang tunangan adiknya itu seorang
pensyarah di kampus yang dimaksudkan.
“Kalau Suhana busy, Amirudin Zulkarnain Shah ada.”
Jawab Amir diiringi sengihan lebar.
Amrizan terus
menghamburkan tawa sebaik sebaris nama yang cukup dikenali itu disebut adiknya.
Namun tidak pada Zainab. Bertambah kerutan di wajah tuanya.
“Kamu jangan
main-main Angah. Bukan ke budak tu dah habis belajar tahun lepas?” Ujar Zainab
dengan riak kerisauan bertambah.
“Dia kena repeat lagi satu paper bu.” Amir
tersengih-sengih.
“Subjek apa?
TITAS lagi? Lama lagilah budak tu berkampung dekat situ.” Sahut Amrizan seraya
menyambung tawa. Setahunya sudah dua kali Amirudin mengulangi subjek yang sama
dua semester lepas menyebabkan lelaki itu masih juga tidak berjaya menamatkan
pengajiannya.
“Ha’ah. Mana tak
repeat. Orang masuk kelas, dia sibuk
dengan kayu hoki. Training la, game la. Entah apa lagi entah..” Jelas
Amir yang berhubung rapat dengan Shah sejak mereka kecil lagi kerana keluarga
mereka bersahabat.
Zainab sudah
melepaskan keluhan berat. Sungguh hati tuanya tidak senang saat itu apabila
memikirkan tentang lelaki yang dimaksudkan.
“Bu.. Janganlah
risau sangat. Insya-Allah dia orang tu okey nanti..” Tambah Amir apabila
melihat wajah Zainab yang sedikit keruh. Dia faham apa yang dirasai oleh ibunya
itu. Menjaga Nur Fathiyah merupakan satu tanggungjawab besar bagi keluarga
mereka selepas ketiadaan ayah. Tambahan pula selepas apa yang berlaku dalam
hidup gadis itu hampir dua tahun lalu.
******
“Hoi!
Pagi-pagi dah termenung. Bersemangatlah sikit bro..” Tegur Anuar yang menepuk bahunya membuatkan lamunannya
hilang bertaburan. Keluhan terlepas apabila memandang wajah ceria sahabatnya
itu. “Kau ni kenapa pagi-pagi lagi muka macam bini lari dari rumah?” Sambung
sahabatnya itu lagi menyebabkan senyuman nipis terbentuk di bibir.
“Kalau aku terus aje berhenti
belajar okey tak ?” Shah menjawab dengan soalan juga.
“Kau ni biar
betul? Tinggal satu sem aje kan?
Kalau kau berhenti, kau nak jadi apa?” Anuar sedikit terkejut dengan apa yang
baru sahaja menyapa gegendang telinganya.
Shah melepaskan
keluhan. Entah kenapa dirasakan dia tidak mampu untuk berjaya seperti orang
lain. Kerap benar dia gagal dalam pelajaran sejak terlibat dalam sukan hoki.
Padahal kawan-kawan yang lain semua berjaya walaupun sama-sama sibuk dengan
latihan dan perlawanan yang perlu dihadiri. Disebabkan itu juga dia terpaksa
mengulang satu semester lagi sebelum dapat menggenggam segulung ijazah dalam
bidang sains sukan. Rakan-rakan yang sebaya dengannya sudah pun berjaya
menggenggam ijazah tersebut setahun yang lalu.
“Kau masuk
belajar balik lagi seminggu kan?” Soal Anuar lagi yang siap sedia masuk ke
tengah padang untuk memanaskan badan selepas siap memakai kasut.
“Ha’ah.” Balas
Shah berat.
“Bro, apa kata kau stop main sekejap. Kau fokus dengan study kau dulu. Tu lagi bagus dari kau kena repeat tiap-tiap sem.” usul Anuar yang tidak mahu sahabatnya itu membuat
keputusan terburu-buru.
“Aku dah
malaslah Nuar. Buat habis duit aje kalau aku sambung. Aku dah banyak susahkan
mak ayah aku. Aku rasa, baik aku fokus aje dengan apa yang aku buat sekarang
ni.” Shah tidak bersemangat. Sememangnya sudah lama hal itu difikirkan selepas
mendapat keputusan peperiksaan yang agak mengecewakan beberapa bulan lepas.
“Kau jangan
macam tu Shah.. Kesian mak ayah kau. Dia orang nak sangat tengok kau berjaya.
Kalau tak, family kau takda
susah-susah nak bayar yuran study kau
selama ni. Dulu, kau dah dapat offer
pergi US. Buat doktor lagi. Kau tolak. Sekarang ni, family kau ikutkan aje kata kau nak buat sports science. Takkan kau sanggup nak kecewakan dia orang buat
kali kedua kut.. Opss.. Mungkin kali ketiga.” Kata Anuar diiringi sengihan
mengusik.
Shah tetap
dengan wajah tidak berperasaan. Langsung tidak terkesan apa yang diucapkan oleh
sahabatnya.
“Tinggal satu sem aje lagi SHah. Habiskan ajelah..”
Anuar tidak henti menasihati. Shah yang dikenali bukanlah seorang yang cepat
berputus asa. Malah sahabatnya itu seorang yang kuat berusaha dan
bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu. Jika tidak, mana mungkin lelaki itu
beberapa kali terpilih untuk mewakili negara dalam sukan-sukan besar.
“Kau tak faham
Nuar apa yang aku rasa..” keluh Shah mengendur. Pandangan matanya ditalakan ke
tengah padang. Rakan-rakan yang lebih awal tiba sudah pun ligat memanaskan
badan.
Anuar yang sedang
meregangkan tubuh terus terhenti. Wajah Shah yang sedikit keruh dipandang. “Come on Shah.. Kau jangan macam ni..
Amirudin Zulkarnain Shah yang aku kenal bukan macam ni.. Wake up bro! Semua yang jadi atas perancangan Dia. Takda yang
sempurna dalam dunia ni. Takdir hidup kita dalam dunia ni tak sama. Kau kena
tahu tu.” Nasihat Anuar memberi semangat dan peringatan. Dia sedia maklum akan
keadaan diri lelaki itu.
“Nuar.. Aku..”
Keluhan berat kedengaran lagi dari bibir Shah membuatkan Anuar menggelengkan
kepala beberapa kali.
“Sudahlah tu
sahabat. I love u so much tau. Dah
tu. Kau jangan nak macam-macam lagi. Pagi ni, aku belum bersedia nak dengar
luahan hati kau yang tak pernah habis tu. Malam-malam sikit kalau kau nak luah
pun. Nanti aku siap boleh bagi ceramah free
dekat kau sampai ada sinetron air
mata. Bangun-bangun!” Anuar terus sahaja menarik tangan lelaki itu agar bingkas.
Mereka perlu segera berlatih sebelum jurulatih tiba. Sudah menjadi kebiasaan
apabila disiplin menjadi keutamaan mereka.
Shah tersenyum
kecil mendengar kata-kata Anuar yang selalu sahaja kedengaran tulus. Itulah
sahabat dia berkongsi suka dan dukanya selama ini. Sahabat paling bermakna yang
pernah dia ada. Dia terlalu bersyukur akan nikmat yang dikurniakan Allah di
sepanjang hidupnya. Cuma kadangkala, tergelincir juga hatinya hingga terlupa
akan janji Allah kepada setiap hamba-Nya.
******
“Apa ni
Ngah.. Ala…” Fathiyah sudah mempamerkan wajah menolak. Dia tidak setuju akan
pilihan yang telah dibuat oleh Amir.
“Eh, hari tu
siapa yang kata tak kisah?” Balas Amir selamba sambil menyusun atur akan segala
keperluan untuk pendaftaran esok.
“Memanglah tak
kisah. Tapi, kenapa dekat situ yang Angah pilih? Punyalah banyak U dekat dalam
Malaysia ni, kenapa dekat situ jugak
Angah pilih?” Bentak Fathiyah menghamburkan rasa tidak puas hatinya.
“Kan senang
kalau Tiya dekat situ. Sama jugak
dekat mana-mana pun..”
“Tak sama!”
“Belajar jugak..”
“Tapi tetap tak
sama Angah!” Nada suaranya naik setingkat. Geram!
“Apa masalah
Tiya sebenarnya ni? Cuba cakap dengan Angah apa yang tak eloknya U yang Angah
pilih tu?” Amir sengaja mahu menduga walaupun dia sudah dapat mengenal pasti
akan sebab musababnya.
“Tiya tak
sukalah dekat situ! Macam dah takda U lain..” Rungut Fathiyah dengan bibir yang
memuncung. Mary si kucing kembang dalam pelukannya sejak tadi dilepaskan. Kini
tangannya sibuk membelai lembut pula bulu Alex si kucing kembang warna oren
yang datang menghampiri.
“Hari tu, Tiya
yang kata kalau dapat yang lagi dekat lagi baguskan? Yang paling dekatlah ni
Angah pilih. Kak Ana pun ada boleh tengokkan Tiya nanti.” Amir cuba meyakinkan.
Lagi pun dia tahu Fathiyah rapat dengan tunangnya itu.
“Angah tipu!
Angah saja nak Tiya jumpa budak gila tu kan?!” Tingkah Fathiyah lagi. Geram.
Teringat akan seraut wajah itu hatinya panas.
Amir tergelak.
“Tiya kata dah tak nak tahu langsung pasal
dia. Ni, mana Tiya tahu yang dia ada lagi dekat situ hmm?” giat Amir.
Fathiyah mencebik.
Wajah abangnya itu dijeling geram. “Budak sengal macam dia, memang takkan lulus
punya. Repeatlah sampai ke tua! ”
Hamburnya sakit hati.
Amir tergelak
lagi. “Tak baik Tiya doakan orang macam tu. Kan dia bakal suami Tiya tu.” balas
Amir dalam sisa tawanya.
Bukk!
Bantal kecil di
sisinya dilemparkan tepat mengenai muka Amir.
"Padan muka!
Angah cakap lagi macam tu, jangan harap Tiya pergi esok!” Bentak Fathiya geram
sebelum terus mencapai kunci kereta atas meja kopi dan dia terus berlalu.
“Tiya! Nak ke
mana tu?” Muncul Zainab dari ruang dapur apabila ternampak kelibat anak
bongsunya berlalu keluar dengan wajah ketat.
“Biarkanlah dia
bu.. Tak ke mananya dia tu..” sahut Amir masih dalam sisa tawanya.
Zainab sudah
memandang geram ke wajah anak keduanya. Sedia maklum Fathiyah pasti merajuk
kerana diusik.
No comments:
Post a Comment