Jun 20, 2014

Dambaan Bahagia_bab 13

DB 13

“Shah.”

Kepala diangkat memandang wajah umi yang melabuhkan duduk di sisinya.

“Lambat Shah balik hari ni? Kelas lambat habis ke?” tanya Hajah Aznah lembut.

Melihat wajah murung anak keduanya itu, hati tuanya dipagut sayu. Dia sedia maklum apa yang berlaku sejak Fathiyah bermalam di rumahnya. Tiada lagi kemesraan di antara kedua-duanya. Wajah anak tunggal lelakinya itu tidak lagi seceria mana.

“Ada discussion tadi..” jelas Shah jujur.

Jeda seketika. Hajah Aznah merenung sisi wajah anak keduanya tanpa lepas. Jelas emosi Shah tidak dalam keadaan baik apabila dilihat lelaki itu termenung jauh. Seperti jasadnya sahaja yang ada di sisinya kini.

“Shah..” Dicapai jemari kasar Shah dan dibawa ke riba menyebabkan lelaki itu sedikit tersentak.

“Ada apa umi..” Shah berusaha memaniskan roman wajah.

“Ada apa-apa Shah nak cerita dengan umi?” Dielus lembut jemari kasar dalam genggaman.

Shah melepaskan nafas berat. Rambutnya dilurut ke belakang.

“Tak ada apalah umi..” dalihnya cuba menyembunyikan perasaannya yang sebenar.

Gelak tawa Fathiyah bersama Azlan tempoh hari, bermain di ruang matanya tanpa dipaksa. Terlalu sukar untuk dilupakan.

Sepi lagi.

“Shah..”

“Hm..”

“Esok hari jadi Tiya kan?”

Shah terus menoleh.

“Umi ingat birthday Tiya?” soalnya sedikit kagum.

“Mana boleh umi lupa. Shah lupa, tarikh Shah tak jadi bertunang dulu sama dengan birthday dia?” Hajah Aznah membalas pandangan.

Shah menghela nafas panjang. Dia hampir terlupa tentang itu.

“Umi ingat nak ajak family dia makan-makan dekat rumah kita. Umi pun dah lama tak jumpa ibu dia. Macam mana?” usul Hajah Aznah.

Shah menarik senyum payau. “Dia jumpa Shah pun tak nak umi. Inikan pula nak bercakap.” keluhnya perlahan.

“Umi tak suruh Shah cakap dengan dia. Tak apa, nanti umi call dia sendiri.” Hajah Aznah sudah menguntum senyum. Cuba merancang sesuatu yang boleh bantu memulihkan hubungan kedua-duanya. Dia reda andai Fathiyah tidak ditakdirkan jadi menantunya. Namun sekurang-kurangnya, dia mahu hubungan kedua-duanya baik.

“Nak ke dia ummi?” Dia tidak mahu meletakkan harapan.

“Insya-Allah. Tak cuba tak tahu kan?” Uminya memberi harapan dan dia hanya mampu tersenyum hambar. Namun jauh di sudut, ada secebis doa yang dipanjatkan agar apa yang dirancangkan oleh uminya berhasil.

*******

“Kau memang kedekut kan Alan?” Fathiyah menghadiahkan jelingan kepada Azlan yang tersengih-sengih di hadapannya.

“Cukup bagus aku belanja makan ni. Sedap apa burger tiga rasa ni.” Azlan tergelak sendiri.

Fathiyah mencebik. Terasa mahu diketuk kepala Azlan kerana mengajaknya keluar semata-mata mahu meraikan ulang tahun kelahirannya lewat malam itu. Di kafeteria kolej kediamannya, paling dia tidak boleh terima!

“Setakat burger ni, hari-hari aku boleh beli sendiri! Tak payah kau susah-susah datang jauh-jauh macam ni nak jumpa aku!” Bebelnya geram menyebabkan meledak lagi tawa Azlan hingga menarik perhatian mata-mata yang memandang.

“Ee… kau ni kan..” Tapak tangannya terus hinggap ke lengan Azlan. Geram!

“Cuba kau bersyukur sikit Tiya. Penat-penat aku datang jauh-jauh ni tau. Bukan nak appreciate. Lagi nak marah-marah aku.” balas Azlan pura-pura berjauh hati. Burger yang masih tinggal setengah, ditolak ke hadapan. Air sirap limau di sisi disedut perlahan.

“Kau tu! Bagilah hadiah ke apa. Ni burger yang hari-hari aku dah makan.” Fathiyah memuncung.

“Alah! Selama ni, aku belanja makan jugak. Kau tak bising-bising pun. Cuma malam ni, special sikit. Birthday kau pun belum kan? Ada lagi…” Azlan mengerling jam di pergelangan tangan. “Lagi tiga puluh minit sebelum pukul dua belas.” Dia sumbang senyum bergula.

“Masalahnya sekarang ni.. ni B-U-R-G-E-R. Burger Cik Abang oi..” Fathiyah tetap tarik muka bengang dan Azlan tergelak lagi.

“Tapi, burger ni special tahu tak? Tiga rasa. Mana ada dekat kedai aku. Dekat sini aje ada.” balasnya membela diri menyebabkan sekali lagi lengannya menjadi mangsa.

“Kalau kau nak, aku pun boleh masaklah!” gerutu Fathiyah masih tidak berpuas hati. Sudahlah dia agak letih hari itu. Esok pula dia ada temu janji dengan penyelia tesisnya.

Azlan mematikan tawa. Senyum nakalnya terbentuk. “Serius?”

Fathiyah menjeling. “Jangan nak perasan! Tak hingin aku masakkan untuk kau!” Dia berpeluk tubuh.

Azlan mencebik. “Ialah.. tak nak sudah. Siapalah aku kan..” Dicapai semula burgernya yang masih berbaki tadi. Selamba menghabiskan baki yang ada memandangkan hari semakin lewat. Kerja sebagai guru, sudah pasti rutinnya akan bermula lebih awal esok.

Fathiyah hanya memandang. Burger yang berlapis daging ayam, lembu dan telur bersama kepingan keju di hadapannya itu hanya dipandang. Dipandang pula wajah Azlan yang leka menikmati makanan segera itu hingga habis.

“Kau nak makan ke tak tu? Aku dah nak balik  ni.” Nadanya seperti berjauh hati. Sengaja menduga gadis itu.

“Tak naklah!” Fathiya menolak burger tersebut ke hadapan lelaki itu.

Azlan menggeleng. “Penat-penat aku datang sini nak belanja burger ni, kau langsung tak sudi nak makan kan?” ujarnya benar-benar terusik hati.

“Perut aku dah kenyanglah. Takkan nak paksa pulak..” jawab Fathiyah malas. Langsung tidak perasan akan perubahan pada wajah lelaki itu.

“Kalau tak nak, simpan, boleh makan breakfast esok.” Dicapai makanan segera tersebut dan dibungkus kemas dengan kertas kalis air tersedia. “Kalau kau betul tak sudi, bagi aje roommate kau. Tak baik membazir.” sambung Azlan sebelum bingkas untuk ke stall burger di belakangnya. Plastik warna kuning diminta sebelum memasukkan burger yang sudah dibungkus tadi.

Bungkusan plastik terus diserahkan kepada gadis itu.

“Jom. Aku hantar kau sampai pintu pagar.” ujarnya kemudian.

Fathiyah lambat-lambat bingkas. Langkah diatur menuruti langkah Azlan yang sudah mendahului. Belakang tubuh lelaki itu dipandang kosong. Kalaulah Shah yang.. Cepat-cepat dia menggeleng kepala apabila seraut wajah itu yang mula dibayangkan. Beberapa kali pipinya ditampar sendiri bagi melupakan bayangan lelaki itu hingga tiba-tiba..

Ouch!

Dahi terhantuk pada suatu objek di hadapan. Hampir sahaja tubuhnya menyembah jalan tetapi sempat dia berpaut pada objek tersebut. Kepala diangkat. Renungan redup Azlan bertamu di ruang mata sebelum dia segera menjarakkan diri. Pautan pada lengan lelaki itu terlepas.

“Berangan lagi!” Selar Azlan dengan wajah serius.

Sudah lama dia berdiri tegak menghalangi jalan semata-mata mahu menanti Fathiyah yang tertinggal di belakang. Namun dia tidak menyangka gadis itu khayal hingga melanggar tubuhnya yang dua kali ganda lebih besar itu.

Fathiyah terkebil-kebil. Sedaya upaya menahan debar yang mengetuk ruang dada tidak semena-mena.

“Macam manalah kau tak selalu jatuh. Badan aku yang besar ni pun kau nak langgar. Kau teringat pada siapa? Shah lagi?” sambung Azlan bersama helaan berat.

“Er.. sorry..” Fathiya tersenyum pahit.

Azlan menggeleng. “Dah la! Kau pun dah sampai. Sekarang aku nak balik.” ucapnya sebelum beredar ke ruang tempat letak motosikal. Dia tidak memandu malam itu. Kawasaki Z1000 kesayangannya menjadi pilihan demi mengelakkan kesesakan dan pergerakannya lebih pantas.

“Er.. Shah!”

Gulp!

Fathiyah tekup mulut. Terasa mahu ditampar mulutnya saat itu apabila nama orang lain yang meluncur dari bibirnya.

Azlan yang sedang menyarung jaket kulit hitamnya terhenti. Wajah Fathiyah dipandang tajam. Sumpah! Kali ini hatinya betul-betul tergores.

“Kalau kau rindu sangat dia, pergi cari dia.” ucapnya bergetar seraya membuang pandang ke arah lain. Merajuk!

Fathiyah datang mendekat.

“Alah… Alan.. tersasul la..” Fathiyah serba salah.

“Pergilah cari Shah tu. Aku tahu kau rindu dia.” balas Azlan tidak bernada tanpa memandang. Glove hitam dicapai dan disarung.

“Mana ada!” Tingkah Fathiyah cepat.

Azlan menoleh. “Jangan tipu diri sendirilah Tiya.” Sepasang mata bulat itu dipandang dalam-dalam. Mencari sesuatu yang lebih pasti.

“Sudahlah! Aku nak balik. Selamat ulang tahun kelahiran yang ke dua puluh enam. Moga Allah panjangkan lagi umur, murahkan lagi rezeki kau. Berjaya di dunia dan akhirat hendaknya. Cepat-cepat dapat jodoh. Ameen.. insya-Allah.” Ikhlas mendoakan kesejahteraan gadis itu.

Fathiyah terkedu. Tidak lepas memandang Azlan yang sudah bersiap sedia ingin pulang.

“Kau tak ada apa-apa nak cakap kan? Aku balik dulu.” Azlan ingin menyarung helmet hitamnya namun terhenti apabila tangan gadis itu melekap ke lengannya.

“Apa?”

Thanks.” Dicorakkan senyum manis khas buat lelaki yang sering ada saat dia sedang berduka.

No hal!” Terus sahaja Azlan menyarung helmet hitamnya.

“Alan..”

Baru sahaja dia menghidupkan enjin motonya, gerakannya terhenti. Wajah gadis itu dipandang lagi.

“Hati-hati. Nanti sampai call aku.” ucap Fathiyah perlahan. Entah kenapa itu yang terluncur di bibirnya.

Azlan hanya mengangguk kecil sebelum terus berlalu.

Fathiyah melepaskan helaan panjang sebaik kelibat lelaki itu hilang dari jangkauan penglihatan. Bungkusan burger di tangan dipandang. Alan.. Ada perasaan bersalah terbit di celah hati. Bibir disentuh. Tidak tahu kenapa nama Shah yang terbit di situ tadi saat memanggil lelaki itu.

Spoiled la kau ni Tiya!” omelnya sendirian sebelum perlahan-lahan berjalan masuk ke kawasan hostel.

*******
Best gila bunga kau ni! Untunglah orang ada kekasih ni kan.. Dua puluh enam kuntum okey! Lain daripada yang lain. Orang selalu bagi roses. Kali ni, red daisy. Merah menyala. Siap dengan dua ekor ikan biru merah yang kau nak cari hari tu. Dengan shawl ni lagi..”

Kata-kata usikan Emma bergema lagi di gegendang telinganya hingga ke saat itu. iPhone 4s yang dipegang, dibelek lagi. Sejak malam tadi, hinggalah kini, Azlan langsung tidak menghubunginya. Berpuluh kali dia cuba menghubungi dan berpuluh pesanan juga telah dihantar. Namun tiada satu pun yang berbalas.

Dia benar-benar terkejut dengan penghantaran jambangan bunga itu pagi tadi. Pada awalnya, dia menyangka bunga tersebut daripada Shah. Tetapi telahannya meleset apabila melihat nama si pengirim pada sekeping kad yang disertakan.

Anytime, anywhere..
I’m always by your side. Insya-Allah.
selamat ulang tahun babe!
Kenang ku dalam doa mu!
~yang kacak, MNLee

“Ehem..”

Fathiyah menoleh. Kembali dari khayalannya. Wajah Shah terbias di ruang mata menyebabkan dia segera memaniskan roman wajah dalam serba tidak kena.

Jika tidak kerana mengenangkan kebaikan yang ditabur oleh Hajah Aznah saat kakinya terseliuh bulan lepas, pasti dia tidak berada di hadapan Shah saat itu. Sungguh dia tidak mampu menolak pelawaan wanita yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri itu.

“Kau okey ke?” Lembut Shah bertanya.

“Okey.” Hanya sepatah. Senyum nipis dilayarkan. Menutup getar yang terasa.

“Tiya.. aku mintak maaf pasal hari tu..” ucap Shah perlahan. Berharap gadis itu faham yang dia tidak mampu hidup dengan tenteram dalam keadaan mereka yang tidak bertegur sapa itu.

“Aku yang patut mintak maaf pada kau..” balas Fathiyah dalam nada yang sama.

“Kenapa?”

“Aku mengata kau macam-macam sebelum aku jatuh hari tu.” Fathiyah membuang pandang ke arah kolam ikan di hadapannya.

“Aku dah lama lupakan Tiya..” Ikhlas. Tunak Shah memandang gadis yang manis berbaju kurung biru firus itu.

Thanks.” ucap Fathiyah bersama senyuman yang dimaniskan.

Sepi seketika. Masing-masing cuba menyesuaikan diri setelah lebih sebulan tidak bercakap.

“Tiya..”

Fathiyah mengangkat wajah. Menanti lelaki melanjutkan bicara.

“Tiya, boleh tak lepas ni, kita buat macam biasa? Aku tak nak, kau lari-lari bila jumpa aku. Sampai tak nak cakap dengan aku.. please..” ucap Shah penuh mengharap.

Fathiyah menghela nafas panjang. Sudah dijangka akan permintaan lelaki itu sejak dari awal lagi. Disebabkan hal itu juga dia mengelakkan diri. Risau dia berpaling dengan perasaannya sendiri selepas tekad baru yang ditanamkan.

“Boleh.. tapi dengan satu syarat.” balasnya selepas diam beberapa ketika. Memikirkan baik buruk keputusan yang dibuat.

“Apa saja Tiya. Aku janji.” Laju Shah bersetuju.

“Jangan masuk campur urusan peribadi aku lagi lepas ni? Dulu, kau pernah janji nak bagi aku peluang cari orang yang betul-betul boleh jaga aku kan? Kita boleh kawan macam biasa seperti mana yang kau pernah mintak sebelum ni..” Fathiyah cuba membaca riak wajah lelaki itu. Jelas terkejut dengan syarat yang diletak.

Shah terdiam. Cahaya kebahagiaan yang baru sahaja kembali bersinar dirasakan terus malap serta-merta. Pandangan terus dibuang ke arah kolam ikan buatan abahnya di hadapan.

“Shah..”

Dia menoleh.

“Boleh tak?” Fathiyah inginkan kepastian.

Shah mengangguk berat. “Itu dah cukup baik dari kau langsung tak nak cakap dengan aku..” balasnya lambat dengan berat hati. Selebihnya, terpaksa kerana dia tidak punya pilihan walaupun syarat tersebut terlalu berat untuk diterima.

“Tiya! Shah!” Aqilah muncul di muka pintu.

Kedua-duanya menoleh.

“Masuk makan! Semua dah siap!” Laung wanita itu.

“Jom!” Pelawa Shah pula bersama secebis senyuman.

Fathiyah hanya mengangguk sebelum mereka sama-sama beredar dari tepi kolam ikan hiasan tersebut.
……………….

“Haaiii.. takkan baru balik dari rumah kekasih hati, muka monyok..” usik Emma yang kembali dari bilik air.

        “Banyaklah kekasih hati!” Balas Fathiyah malas. Seutas jam tangan berjenama pemberian Shah, disimpan semula dalam kotak hitam beriben putih yang baru sahaja dibuka sebentar tadi.

“Kan cinta mati kau tu?” giat Emma lagi menyebabkan Fathiyah menghadiahkan jelingan tajam.

“Tu dulu eyh..” balasnya sedikit geram.

Emma tergelak. Dari duduk di atas katilnya, dia berpindah duduk di sebelah sahabatnya itu.

“Kau ni kenapa? Dari lepas kau jumpa si Chinese look tu malam tadi, kau jadi macam ni. Nak kata merajuk, pagi-pagi lagi dah hantar bunga. Nak kata bergaduh dengan kekasih cinta mati kau tu, tadi dah pergi dinner dekat rumah dia. Apa hal sebenarnya kau ni?” Tawanya reda. Sedikit risau melihat teman sebiliknya resah sejak semalam lagi.

“Tak ada apalah.” Fathiyah mencapai telefonnya dari dalam beg tangan. Tidak bersedia untuk berkongsi kegusaran hati yang ditanggung sejak semalam.

Sepi seketika.

Beb, hadiah dari Zahril kau dah buka?” tanya Emma yang tidak lepas memandang kelakuan Fathiyah yang begitu leka membelek telefon. Sejak semalam lagi sahabatnya begitu.

“Dah..” jawab Fathiyah sepatah. Fokusnya tidak pun pada Emma. Hati dan akalnya kini hanya buat Azlan. Resah kerana Azlan belum pernah pun tidak membalas setiap panggilan dan pesanannya selama ini.

Beb..”

“Hm..”

“Kau okey ke ni? Kau ada tunggu call dari sesiapa ke?”

Fathiyah melepaskan keluhan sebelum dia bingkas.

“Kau nak ke mana?” Soal Emma pelik.

“Aku nak call member aku kejap. Kalau ada siapa-siapa cari, cakap aku dekat anjung sana tu eyh?” Fathiyah capai shawl pemberian Azlan dan disangkutkan ke kepala sebelum dia menapak keluar.

Emma berkerut. Cukup pelik melihat tingkah Fathiyah yang serba tidak kena.

Sementara Fathiyah, sudah berkali-kali mendail nombor telefon Azlan namun masih tetap tidak bersambung. Punggung dilabuhkan pada anak tangga yang menghubungkan tingkat empat dan lima. Angin malam yang menyapa tubuh terasa dingin menyebabkan shawl yang tersangkut di leher terus dibelit ke tubuh.

“Alan angkatlah..” omelnya sendiri apabila sekali lagi nombor yang didail tidak bersambung.

“Takkan dah tidur..” Mata mengerling jam pada skrin telefon. Hampir dua belas malam. Dia tahu, Azlan bukanlah yang jenis tidur awal.

Sebelum menyambung pengajiannya, hampir setiap malam dia menghabiskan masa di restoran ibu lelaki itu. Dan Azlan tidak pernah jemu melayannya hingga dua atau tiga pagi walaupun lelaki akan bangun awal untuk memulakan rutinnya sebagai seorang guru.

Teringat akan restoran ibu lelaki itu, datang idea dalam kepalanya. Nombor telefon restoran pantas dicari. Yakin Azlan ada restoran kerana di situ sahajalah lelaki itu akan menghabiskan masa pada setiap malam untuk menggantikan tempat ibunya.

“Hello!” Pantas sahaja dia bersuara sebaik talian bersambung. Mendengar suara garau yang cukup dikenali di hujung talian, bibir mengukir senyum lebar.

“Alan! Kenapa tak angkat phone? Semalam janji nak call aku, tapi kau tak call pun.” luahnya terus tanpa sempat ditahan.

“Aku sibuklah.”

“Alan..” Suaranya mengendur apabila mendengar dua patah perkataan itu. Dingin.

“Ramai oranglah sekarang Tiya. Aku sibuk ni. Nanti aku telefon kau balik. Bye!”

Bibir dikemam kuat. Rasa terkilan menular sebaik talian terputus tanpa sempat dia mengucap kata.

Tanpa mahu berlamaan di situ lagi, dia bingkas masuk ke bilik. Terasa mahu menangis tetapi ditahan.

“Sekejap aje?” tegur Emma yang sedang menghadap komputer riba.

Fathiyah melepaskan keluhan panjang. Shawl yang terlilit di tubuh diletakkan ke tepi sebelum dia terus merebahkan tubuh. Ada sebak yang bertandang tidak semena-mena.

“Tiya..”

“Alan kenapa macam marah aku eyh Emma?” Soalan itu yang terlepas di bibirnya. Sungguh dia risau apabila lelaki itu seperti sengaja mahu mengelakkan diri.

Korang gaduh ke?” Soalan juga Emma ajukan.

Fathiyah mengeluh lagi. Dia keliru. Keliru dengan perasaannya sendiri yang terlalu risau akan keadaan Azlan.

“Semalam dia elok aje. Cuma..” Bibir digigit lembut. Ada perasaan bersalah menjengah.

“Apa yang kau dah buat semalam?” celah Emma ingin tahu.

Fathiyah terus menceritakan semua yang berlaku hinggalah hal burger yang dibawa pulang ke bilik semalam. Sudahnya ke tong sampah apabila Emma juga menolak kerana kekenyangan. Kalaulah Azlan tahu makanan segera itu sudah ke tong sampah…

“Kecil hati dia Tiya..” ulas Emma yang sudah melabuhkan duduk di sisi sahabatnya itu. Sama-sama duduk bersandar.

“Tapi sebelum ni, kita orang gurau-gurau elok aje..” keluh Fathiyah perlahan.

“Kan kau tahu dia suka kau. Kau tak nampak apa yang dia hantar pada kau pagi tadi? Terconggok bunga atas meja kau tu, ikan kau tu ha.. ni, shawl ni lagi.. banyak makna ni Tiya. Kau kata dia tak pernah bagi semua ni sebelum ni kan?” tambah Emma tumpang simpati.

Fathiyah mencapai shawl dari tangan Emma. Diramas lembut. Teringat akan kata-kata lelaki itu mengenai auratnya. Menjalar lagi perasaan halus yang tidak tergambar menyebabkan dia menahan sebak tiba-tiba. Mungkin sudah tiba masanya dia melangkah setapak ke hadapan meninggalkan apa yang tidak sepatutnya. Dia mahu berubah…

10 comments:

Anonymous said...

hd : Simpati kat shah... sebakk bila perasaan shah dilukiskan..derita hati shah mencintai dan berharap tapi ada sekatan kisah silam yg menghalang......ingin melepaskan tapi terlalu melukakan hati.Bestttt

Dewi Mus said...

Best....nak lagi....:)

onnie areyou said...

buat apa nak harap kpd Shah lagi lepas apa yg Shah buat kat Tiya... yg lepas tu biarlah lepas.. shah yg penting kan diri dulu... hargai lah Alan tu..

MaY_LiN said...

acha...
nak lagi
:)

MaY_LiN said...

acha...
nak lagi
:)

Anonymous said...

ok..skrg turn Alan plak..
#voteforAlan

>>k<<

arsha said...

Haha.. pun boleh K. Hikhik

kak edah said...

Arsh thanks mmg hati sebak moga yg terbaik buat tiya

Anonymous said...

Saya lbh suka shah tu jdi hero

Kak Sue said...

Tiya kasihan pada Alan ... dari jauh kirim barang..
Shah kalau betul masih sayang dgn Tiya berusaha dengan lebih lagi dan ikhlas berterus terang...
kalau x lepaskan Tiya pada ynag sayangkan Tiya ... terutama Alan yg setia..