Oct 11, 2018

Berikan Cukup Waktu_16


“Jess pergi mana hari ni? Ayah datang tadi, Fakri kata Jess dah keluar dengan May.”

Jeslina berselisih dengan ayahnya saat singgah ke ruang dapur.

Airport.” Jawabnya jujur. Dia rasa tak perlu nak berselindung akan kepulangan ibu dan adik-adiknya. Dan dia yakin ayahnya sedia tahu akan hal tersebut cuma tak mahu memaklumkan kepadanya.

“Buat apa?”

Jeslina yang sedang meneguk air kosong laju hala pandang.

“Ayah sebenarnya tahu Jess jemput siapa kan?”

Saif lepas nafas perlahan.

“Ayah tahu ibu dengan adik-adik nak balik sini?” sambung Jeslina bersama rasa geram yang tak terluah selama ini.

“Tahu.” Balas Saif tenang.

“Kalau ayah dah tahu, kenapa ayah tanya Jess lagi? Ayah nak tahu macam mana rupa anak-anak bongsu ayah tu? Atau ayah nak tahu pasal ibu? Macam mana ibu terima Jess?” hambur Jeslina tak tertahan.

Saif diam.

“Kalau ayah nak tahu… Adik-adik Jess tu cantik sangat. Lagi cantik dari Jess. Ibu pun makin cantik. Cuma ibu bukan macam ibu Jess yang dulu. Jess ni macam bukan anak dia. Pandang Jess pun macam tak sudi, nak bercakap jauh sekali. Marah ibu pada Jess tak pernah hilang kan ayah?” Tambah Jeslina mengendur. Sedih kembali mengusik bila terkenang akan pertemuan pertama dengan ibunya tadi selepas lebih 10 tahun.

Sekali lagi Saif lepas nafas perlahan.

“Jess naik dulu.” Jeslina kembali bersuara bila tiada tanda-tanda ayahnya mahu membalas. Tapi baru sebelah kaki memijak anak tangga pertama, dia kembali berpusing. “Jess rasa, Jess tak payah bagi tahu dekat mana ibu dengan adik-adik duduk. Ayah mesti tahu kan?” ujarnya sebelum terus memanjat tangga. Dan seperti tadi, Saif langsung tak membalas. Hanya keluh berterusan meniti bibir tuanya.

Oct 10, 2018

Berikan Cukup Waktu_15


“Kak, bila nak bawak kita orang balik jumpa ayah?” tanya Aina saat mengiringi Jeslina dan Maylin ke pintu pagar.

“Sekarang ni ayah sibuk sikit. Nanti kalau dah tak sibuk, akak bagi tahu.” Jeslina terpaksa mencipta alasan.

“Tak sibuk tu bila?” celah Aira pula.

Jeslina senyum kelat. Dipandang wajah Maylin yang turut tersenyum payau.

“Nantilah… apa-apa akak inform okey?”

“Akak… Janganlah lama-lama sangat. Kita orang dah lama sangat tak jumpa ayah.” Aina memujuk.

“Ya. Akak faham tu. Insya-Allah nanti jumpa. Korang pun tahu kan akak dengan ayah macam mana?”

Pasangan kembar itu sama-sama lepas keluh perlahan.

“Akak tu, ada masa tidurlah sini.” Pinta Aira pula.

“Nanti-nantilah… Lagi pun, akak tengok ibu macam tak suka jumpa akak.” Luah Jeslina bersama senyum hambar. Dia perasan sejak di lapangan terbang tadi. Sebaik mata mereka bertemu, ibunya cepat-cepat melarikan pandangan. Bertanya khabar pun tidak membuatkan dia sendiri rasa kekok untuk menegur. Saat dia bersalaman tadi pun, dia dapat rasa tangan ibunya cukup dingin.

“Jess!” Maylin mencelah. “Tak baik kau cakap macam tu. Tu kan ibu kau.” Tegurnya dengan suara tertahan. Dia sendiri perasan akan rasa kekok yang ada antara dua beranak itu sejak tadi.

“Tapi memang betulkan? Kau sendiri nampak.”

“Akak…” Aina tarik jemari Jeslina lalu diramas lembut. “Aina mintak maaf bagi pihak ibu. Tapi Aina tahu ibu tetap sayang akak sama macam dia sayang kita orang.” Dia cuba memujuk.

Jeslina cuma senyum nipis. Hambar.

“Kak Jess, esok kita orang datang gim boleh?” Aira terus tukar topik.

“Boleh. Tapi nak datang naik apa? Minggu depan kereta yang korang nak tu baru boleh ambil. Kan May?”

“Yup! Ben cakap paling cepat pun minggu depan. Tapi nanti aku follow up balik. Kalau boleh dapat cepat nanti, aku inform.” Sahut Maylin. Tunangnya yang uruskan perihal kereta yang dah ditempah bulan lalu memandangkan keluarga Ben punya syarikat menjual kereta terpakai dan baru.

“Kalau macam tu, naik Uber ajelah. Kan senang?” Aina sengih. Rasa tak sabar dia nak jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur yang jauh lebih membangun sebelum mereka berpindah lebih 10 tahun lalu.

“Dah lewat ni. Apa yang berembun dekat luar lama-lama tu?” Ada suara dari arah muka pintu menyebabkan masing-masing menoleh.

“Kejaplah bu!” sahut Aina.

“Jess, jomlah kita balik. Ni pun dah lewat. Esok pagi-pagi aku dah nak bertolak ke Melaka, wedding cousin aku.” Ujar Maylin seraya kerling jam di pergelangan. Diam tak diam hampir 10 malam.

“Okeylah. Akak gerak dulu. Esok kalau nak datang, inform akak. Takut akak takde dekat gim.”

Alright!” sahut si kembar hampir serentak sebelum masing-masing bertukar pelukan dan salam.

“Akak, jangan terasa hati dengan ibu ya?” sempat lagi Aina berbisik.

Jeslina cuma lepas senyum kecil. Mata sempat dihalakan ke arah susuk tubuh yang berdiri di ambang pintu. Dia lemparkan senyum sekilas sebelum terus masuk ke ruang pemandu. Biar pun tiada balasan daripada ibunya, dia masih berpuas hati meskipun rasa kecewa dan sedih melebihi segala-galanya. Sekurang-kurangnya ibu masih sudi memandang dan tak menolak tangannya saat bersalaman tadi.

Berikan Cukup Waktu_14


Zara kerling jam di pergelangan bersama keluh berat. Dipandang abang kesayangan yang sibuk memanjangkan leher sejak tadi.

“Abang, dah dekat dua jam kita duduk sini macam orang gila tahu tak? Tak puas lagi ke nak tengok? Tadi dah jumpa kan? Siap terlanggar lagi. Nombor telefon pun dah ada. Nanti call ajak jumpalah.” Rungut si adik yang dah naik bosan menanti sejak tadi. Sepatutnya dia cuma datang jemput abangnya yang baru balik dari Jepun atas lawatan kerja hampir dua minggu.

“Kalau dia nak jumpa abang dari awal, tak payah abang terintai-intai macam ni tahu tak?” jawab Hadi yang tak lepas pandang ke arah Jeslina dan gadis berbangsa cina yang memarahinya tadi.

Dia betul-betul tak sangka yang Jeslina langsung tak perasan kewujudannya hinggakan tubuhnya yang tegap dilanggar. Padahal dari jauh dia dah perasan gadis itu tadi. Cuma pertemuan hari itu memang kebetulan yang tak pernah dipinta. Selepas Jeslina menghantar pesanan amaran beberapa minggu lalu, memang dia berhenti dari ganggu gadis itu kerana perlu bersedia dengan lawatan kerjanya.

“Jomlah balik... Zara penatlah baru balik dari kursus. Kalau tahu abang nak balik lambat tadi, Zara terus balik rumah tahu tak? Abang baliklah naik Grab ke Uber.” Rungut Zara lagi mula bengang.

“Kejaplah! Abang nak tengok dia datang jemput siapa.” Balas Hadi masih tak lepas pandang pada Jeslina yang nampak resah memandang ke arah pintu balai ketibaan. Sekejap-sekejap gadis itu ramas tangan. Sekejap-sekejap ikatan rambut diperbetulkan. Serba tak kena.

“Zara bagi abang sepuluh minit aje lagi. Lepas sepuluh minit, kalau abang tak nak gerak, Zara terus balik. Abang pandai-pandailah balik sendiri.” Putus Zara tegas.

“Okey okey. Sepuluh minit.” Hadi kilas jam tangannya sekali sebelum kembali terhala ke arah Jeslina di hujung sana. Seketika, matanya membulat bila ada dua gadis berwajah serupa meluru ke arah Jeslina dan memeluk erat. Keningnya terus berkerut. Fakri langsung tak cerita tenang kelurga Jeslina sebelum ini. Dia cuma diberitahu Jeslina tinggal dengan Saif sejak berumur 15 tahun lagi. Lebih 10 tahun ibu dan ayahnya dah berpisah.

“Dua orang muka sama tu adik-adik dia ke?” Soal Zara di sebelah turut memerhati ke arah yang sama.

Hadi cuma angkat dua bahunya tanda tak tahu. Mata terus meneliti ke satu wajah yang berdiri tak jauh dan hanya menjadi pemerhati. Nampak anggun bergaya walaupun dah berusia.

“Yang cantik tu siapa pulak? Kakak dia?” Zara bersuara lagi.

“Hesy! Manalah abang tahu. Banyak benda yang abang tak tahu lagi pasal dia.”

“Eh, abang dah kawan dengan dia takkan tahu?”

Hadi toleh ke wajah adiknya.

“Tadi bukan Zara yang sibuk ajak balik ke? Sekarang ni dia yang sibuk lebih-lebih apa hal?”

Zara sengih.

“Dah. Jom balik. Sesi jaga tepi kain orang dah habis.” Hadi bingkas. Beg sandang yang diletakkan atas lantai terus disangkutkan ke bahu. Sebelah tangan lagi capai bagasi.

“Belum lagi sepuluh minit, takkan dah nak balik?”

“Tak payah tunggu sepuluh minit. Dah jomlah balik!” Hadi terus buka langkah. Mahu segera tiba di rumah agar dia boleh keluar semula nanti. Dia perlu bertemu dengan Fakri. Mahu mengetahui akan status hubungan pasangan kembar bersama seorang wanita anggun yang dia nampak dengan Jeslina sebentar tadi.

Oct 9, 2018

Berikan Cukup Waktu_13


Maylin toleh sebelah sekilas bersama nafas berat yang dihembus perlahan. Melihat sahabat yang banyak diam sejak bertolak tadi buat dia resah sendiri. Jeslina bukanlah seorang yang pendiam. Selalunya, banyak yang akan dikongsikan kepadanya setiap kali berjumpa.

“Beb, are you okey?”

Jeslina balas pandang bersama senyum tawar.

I’m not, May. Apa aku nak jawab dengan adik-adik aku nanti?” luahnya akan resah hati yang ditanggung sejak akhir-akhir itu. Lagi sejam adik-adik dan ibunya akan tiba ke tanah air. Sengaja dia dan Maylin tiba awal daripada waktu yang dijanjikan. Tak mahu adik dan ibunya ternanti-nanti.

“Jess… Aku rasa adik-adik kau faham. Bukan dia orang tak tahu keadaan kau sebelum ni.”

“Aku kesiankan adik-adik aku, May. Dia orang mengharap sangat nak duduk dengan aku.” Luah Jeslina lagi bersama nafas berat. Dia tak tahu alasan apa yang perlu diberi kalau pasangan kembar itu tanya tentang ayah. Ayahnya langsung tak cakap apa-apa dan dia sendiri tak berani nak tanya.

“Kau tak tanya Fakri? Fakri pun rapat dengan adik-adik kau kan?”

“Aku dah tanya. Ayah aku tak pernah sebut pun pasal ibu dengan adik-adik aku nak balik.”

Maylin tak balas. Hanya tangan dipautkan ke bahu sahabatnya itu dan digosok perlahan. Cuba meminjamkan kekuatan agar Jeslina terus sabar dengan apa yang berlaku.

“Jess, banyak masa lagi ni. Apa kata kita pergi makan dulu. Kau cakap tak sempat nak lunch tadi kan?” ujarnya kemudian seraya menggenggam jemari runcing Jeslina untuk meninggalkan ruang menunggu itu.

Jeslina tak jawab. Sebaliknya kaki hanya menuruti langkah Maylin yang memimpinnya dengan fikiran yang melayang entah ke mana.

“Ouch!” Tubuhnya hampir terpusing bila bahunya terlanggar sesuatu. Laju matanya cari sasaran.

Hey you! You tak nampak ke kawan I ni? Jalan luas, kawan I yang you langgar! You takde mata ke?” Maylin terus sembur lelaki tegap berkaca mata yang kembali mendekati mereka.

Excuse me. Kawan you yang tak nampak I. I ikut jalan I. Dia yang langgar I.”

“Kalau dia tak nampak, you boleh elak kan?”

Why I yang kena elak? Sepatutnya kawan you yang kena elak. You pun nampak I bawak luggage ni.”

Jeslina dah ketap bibir. Mata dipicingkan mengadap lelaki yang cuba menahan senyum itu.

“May, jomlah! You jangan layan orang gila macam ni.” Ujarnya tertahan seraya menarik lengan Maylin agar terus beredar namun sahabatnya itu keraskan badan. Langsung tak berganjak.

“Dia yang langgar you tahu tak? Takkan nak biar macam tu aje? Say sorry pun tak.” Balas Maylin agak tak puas hati.

“I tak buat salah, kenapa I nak mintak maaf. Dari jauh lagi I nampak kawan you ni yang buat-buat macam tak nampak I. I yang besar ni pun dia tak nampak. Ke… kawan you ni yang takde mata. Atau… tengah berangan?”

Ada senyum sinis terlakar di bibir lelaki itu menyebabkan Maylin makin sakit hati.

“You ni… Memang biadab kan?”

“May… Dahlah tu… Orang tengoklah May. Hal kecik aje kan?” sampuk Jeslina mahu menamatkan perbalahan itu segera.

Maylin lepas rengus geram.

“Kalau takde orang dekat sini, mesti kawan you ni dah belasah I cukup-cukup macam lelaki hari tu kan?”

What the… You cakap apa ni? Mana you tahu pasal…” Maylin menoleh ke arah Jeslina. Dia perasan wajah sahabatnya itu mula berubah tegang. “Jess… You kenal ke dia ni?”

Jeslina ketap bibir kuat. Direnung tajam lelaki di depannya itu.

“Apa masalah awak sebenarnya? Apa yang awak nak dari saya?” ujarnya tertahan.

“Saya nak awak.”

Maylin dah tercengang. Jeslina lepas rengus seraya menarik tangan sahabatnya itu sebelum terus berlalu.

“Punyalah besar tempat ni, kenapa aku boleh jumpa dia!” rungut Jeslina geram. Ikut rasa sakit hati, memang dah dilayangkan penumbuknya ke muka lelaki tadi. Sedar memang dia yang salah sebab langsung tak perasan kewujudan Hadi tadi hinggakan bahunya melanggar tubuh tegap itu.

“Jess, please explain.” Maylin matikan langkah. Ditarik tangan Jeslina ke tepi agar tak mengganggu laluan. Dia yakin ada sesuatu yang disorokkan sahabatnya itu.

Jeslina lepas keluh panjang. Pandangan ditebarkan ke sekitar ruangan menunggu yang tak pernah lengang.

Oct 8, 2018

Berikan Cukup Waktu_12


Hadi lepas senyum sebaik baca pesanan berbaur amaran yang baru saja diterima. Telefon selebar tapak tangan itu ditolak ke tengah meja.

“Garang betul dia kan?” ulasnya sebelum hirup air kopi yang sudah pun suam.

“Jangan cakap aku tak ingatkan. Dia memang lain sikit. Kalau kau nak dekat dengan dia, memang kena usaha lebih. Sebab tu takde mana-mana lelaki yang berani nak dekat dengan dia. Silap hari bulan, kau lunyai macam penagih yang kau nampak kena belasah hari tu.” Balas Fakri dalam senyum. Sengaja dia jumpa Hadi lewat malam itu mahu bertanya tentang pertemuan bersama ayah Jeslina tengah hari tadi.

“Kau cakap, dia lagi banyak kawan lelaki daripada perempuan. Tapi kenapa dia susah sangat nak kawan dengan aku?”

“Kau lain, bro. Kau kena tahu siapa kawan-kawan dia. Semua kawan lelaki dia, ayah dia kenal. Kau tahu dengan siapa dia berkawan?”

Hadi angkat dua bahunya.

“Semua budak-budak gim dengan kelab aje. Tak lebih dari tu. Semua tu ayah dia kenal. Cuma belum ada yang berani nak jumpa ayah dia semata-mata nak mintak izin berkenalan dengan anak dara dia macam kau.” Jelas Fakri.

Hadi senyum nipis. Sikit sebanyak dia bangga kerana dah cuba buktikan yang dia tak berniat jahat biarpun gadis itu langsung tak hargai usahanya.

“Lagi sekali aku nak ingatkan, dia bukan macam perempuan lain.” Tambah Fakri meskipun hal itu sudah diberitahu pada pertemuan awal mereka. Sekadar mahu mengingatkan. “Tapi kalau kau ada niat nak main-mainkan dia, ni…” Tangan menepuk dadanya beberapa kali. “Sebelum dia yang pecahkan muka kau, biar abang dia ni yang pecahkan dulu muka handsome kau tu.”

Hadi lepas gelak.

“Kau rasa aku main-main ke nak kenal dengan dia?” balasnya dalam sisa tawa.

Fakri pula angkat dua bahunya sekali.

“Niat dalam hati orang ni, kita tak boleh nak baca, bro. Kau manusia, aku manusia. Hati kita ni sifatnya berubah-ubah betul tak?”

Hadi angguk kecil. Tak mampu menafikan fitrah yang satu itu. Hati manusia sifatnya berbolak-balik. Bila-bila masa boleh berubah.

“Aku bukan tak nak percaya kau. Kalau aku tak percaya, awal-awal lagi aku dah warning kau. Tapi aku tak sangka kau betul-betul jumpa ayah dia semata-mata nak mintak nombor telefon dengan mintak izin sekali.” Tambah Fakri lagi.

“Fakri… For your informatioan, aku bukan senang-senang nak kawan dengan mana-mana perempuan. Kalau tak, aku rasa sekarang ni aku dah ada family sendiri. Tak payah aku susah-susah nak kenal dengan dia.” Akui Hadi jujur.

So, kenapa sampai sekarang tak kahwin lagi? Sebab kau memilih? Aku rasa, ramai aje perempuan yang lagi cantik dari Jess tu. Kau kerja pun boleh tahan bagus.”

Hadi senyum lagi. Tenang.

“Aku kerja makan gaji aje. Apa yang bagusnya? Jess tu anak bos. Lagi bagus dari aku. Agaknya sebab tu dia tak nak kawan dengan aku kut…” Dia merendah diri. Sedar dia cuma bekerja di kilang.

“Hesy! Takdelah! Jess bukan macam tu.”

“Yeke? Aku rasa yang datang gim bukannya orang susah. Betul tak?”

Fakri cuma senyum. Tak mahu menyangkal hakikat yang satu itu.

“Fakri, kau rasa aku tak layak ke kawan dengan dia?” sambung Hadi tenang.

“Siapa kata tak layak? Selama ni, dia kawan dengan budak-budak kelab, tak pernah pun dia peduli background dia orang. Pada dia, semua sama. Tak pernah pun dia beza-bezakan.”

“Atau sebab aku ni nampak sangat macam terdesak? Sebab tiba-tiba aje aku nak kawan dengan dia. Mesti dia susah nak percaya aku kan?”

“Tu memang satu hal. Aku sendiri pelik kenapa kau beria-ia sangat nak kawan dengan dia. Tapi untuk aku yang baru berapa hari kenal kau, mula-mula hari tu aku sendiri tak percaya. Tapi bila dah berborak dengan kau, aku rasa selesa. Aku tak rasa kau nak main-main.”

“Terima kasih sebab percayakan aku. Aku pun selesa berborak dengan kau, bro. Memang nampak macam abang-abang walaupun kita beza setahun aje.” Ucap Hadi ikhlas.

Fakri lepas senyum senang.

“Cuba kau cakap dengan aku, apa sebenarnya yang kau nampak pada Jess sampai kau nak kenal dengan dia?” Dia mula serius kembali ke topik asal dia bertemu lelaki itu.

“Dia kuat.” Hadi senyum meleret. Dia masih ingat lagi macam mana tangkasnya Jeslina menepis serangan tak tentu hala si peragut yang separuh nyawa kena belasah.

“Ni ada yang mandi air kopi kejap lagi.” Fakri terus bagi amaran bila perasan senyum lain macam yang bergayut di bibir lelaki di depannya itu.

Sorry, bro. Aku betul tak boleh lupa macam mana dia boleh belasah peragut tu. Tak sempat aku nak tolong pun, dah lembik dia kerjakan. Sebab tu aku cakap dia kuat.”

“Tu satu lagi salah besar yang kau dah buat masa dekat taman hari tu. Yang kau ugut dia nak report polis apa hal? Kau ingat dia takut ke? Sikit pun tak, bro. Dia lagi takut ayah dia tahu yang dia dah belasah orang hari tu. Tu bukan kali pertama tahu tak? Sebelum-sebelum ni pun dia pernah belasah orang sampai separuh nak mati. Tapi yang kena belasah tu semuanya lelaki yang cuba ambil kesempatan pada perempuan. Memang malanglah kalau terjumpa dengan dia. Dan sampai sekarang pun, ayah dia tak pernah tahu. Sebab tu aku ingatkan kau jangan cakap apa-apa pasal tu depan ayah dia.” Balas Fakri.

“Kalau uncle tahu, apa jadi? Dia marah Jeslina?”

“Bukan setakat marah. Silap hari bulan, dia orang takkan bercakap lagi lepas ni. Sekarang ni pun, jarang-jarang dia orang bercakap lepas Jess injured dulu.”

Hadi lepas hela perlahan. Dia mula dapat rasa ketegangan hubungan Jeslina dan Saif. Dan halangan yang bakal ditempuh untuk mendekati kedua-duanya kelak.

“Bro, lain kali kau jangan pakai terjah aje. Apa yang kau buat dekat taman hari tu, cuma buat dia lagi marah dengan kau. Jess tu lain. Bukan semua perempuan ni sama. Kau kena faham tu.” Sambung Fakri lagi.

“Okey. Tu memang aku mengaku aku silap. So, sekarang ni macam mana? Kau rasa, aku kena buat apa?”

Fakri geleng bersama sengih.

“Aku dah tolong apa yang patut. Selebihnya kau kena usaha sendiri, bro. Aku tak boleh nak cakap lebih-lebih. Apa yang patut kau tahu, aku dah bagi tahu. Ayah dia pun dah cakap apa yang kau nak tahu kan? Sekarang ni, terpulang pada kau.”

Hadi lurut rambutnya ke belakang bersama keluh panjang yang terlepas. Mata kembali tatap pesanan yang diterima daripada Jeslina sebentar tadi.

Oct 7, 2018

Berikan Cukup Waktu_11


Jeslina tolak pintu kereta sebaik enjin kereta dimatikan. Beg galas di tempat duduk penumpang dicapai sebelum pergerakannya terhenti bila telinga menangkap bunyi telefonnya dari dalam beg. Tangan cepat-cepat tarik zip poket beg sandang bersama kerutan. Sebaris nombor tak bernama tertera di skrin.

“Siapa yang telefon malam-malam ni?” omelnya sendiri. Tiada hati menyambungkan talian memandangkan hari makin lewat. Sudah pun jam 1 pagi. Sudahnya dibiarkan bunyi tadi mati sendiri. Terus dia melangkah keluar sebelum masuk ke dalam rumah. Seperti biasa, langkah terus dibawa ke ruang dapur untuk meneguk air segelas sebelum naik ke bilik.

“Tunggu kejap.”

Langkah Jeslina terhenti di ambang pintu dapur bila susuk tubuh ayahnya muncul di atas tangga. Keningnya berkerut namun langkah dibawa juga ke ruang tamu menuruti langkah susuk berkain pelekat bersama baju-t warna putih. Pakaian rasmi ayah jika di rumah.

Saif berdeham beberapa kali sebelum membetulkan duduk agar lebih selesa. Jarang-jarang mereka dapat duduk berdua begitu memandangkan masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.

“Ada apa ayah?” Jeslina buka mulut dulu bersama debar yang tak semena-mena datang menyapa. Satu persatu persoalan mula berlegar-legar dalam kepalanya dan mengharap salah satu yang bakal terluah adalah tentang ibu serta adik-adiknya yang bakal kembali ke tanah air dalam masa dua minggu lagi.

“Ayah ada jumpa kawan Jess nama Hadi tu tengah hari tadi.”

“Hadi?” Jeslina berkerut. Telahannya meleset. Tak sangka sebaris nama itu yang manyapa pendengaran.

“Ayah ada bagi kad Jess siang tadi.” Tambah Saif lagi cuba membaca riak wajah si anak. “Jess tahukan yang ayah tak pernah halang Jess nak berkawan dengan sesiapa pun selama ni? Termasuklah Hadi.” Ada nafas berat yang terlepas di bibirnya bila teringat kembali hasrat hati lelaki yang lebih muda setahun daripada Fakri siang tadi.

“Saya tahu apa yang saya akan cakap ni, mungkin uncle tak setuju dan tak suka. Tapi, demi Allah saya nak kenal dengan anak uncle lebih dekat lagi. Saya tahu semua ni tiba-tiba. Jeslina sendiri tak suka saya cuba kenal dengan dia. Sebab tu saya buat keputusan nak jumpa uncle sendiri sebab uncle yang lebih berhak atas Jeslina. Apa pun keputusan uncle, saya terima. Kalau uncle izinkan, insya-Allah saya nak lebih serius dengan dia. Saya sedia terima dia seadanya. Tapi itu pun, kalau Jeslina boleh terima saya dalam hidup dia.”

“Fakri kata, budak Hadi tu baik.” Sambungnya kemudian.

Jeslina lepas senyum tepi. Sah Fakri puji Hadi melambung pada ayahnya.

“Ayah, Fakri baru sekali cakap dengan dia. Macam mana dia boleh cakap Hadi tu baik?”

“Tapi ayah tak rasa Hadi ada niat tak baik.”

“Kalau pun dia takde niat tak baik, Jess tak rasa nak berkawan dengan dia.” tolak Jeslina selamba.

Saif sekali lepas nafas berat.

“Ayah tak pernah paksa Jess kawan dengan siapa pun selama ni. Terpulang pada Jess. Ayah dah bagi izin pada Hadi nak kawan dengan Jess sebab selama ni tak pernah ada sorang pun lelaki yang sanggup datang jumpa ayah semata-mata nak kenal Jess. Pada ayah, cara Hadi tu betul sebab dia berani mintak izin. Lagi pun, ayah rasa tak salah kalau Jess berkawan dengan dia.”

Jeslina berkerut. Terasa janggal di pendengaran apa yang terluah di bibir ayahnya. Setahunya, ayah bukan senang-senang nak percaya pada orang yang tak kenal.

“Ayah percaya pada lelaki tu?” Duganya.

Saif menggeleng tenang.

“Ayah percayakan Fakri.”

Sekali lagi Jeslina lepas senyum tepi.

“Maknanya, takde sebab Jess kena kawan dengan lelaki tu. Kalau ayah sendiri tak percaya pada dia, macam mana ayah boleh izinkan dia berkawan dengan Jess?” balasnya berani.

Saif terdiam. Dipandang raut wajah yang persis mantan isterinya itu bersama senyum tak berperisa yang terpamer.

“Ayah, Jess penat. Nak naik tidur. Ada hal lain yang ayah nak cakap lagi?” sambung Jeslina kemudian. Terus menutup perihal Hadi yang baginya langsung tak penting.

Saif kekal diam. Jeslina terus bingkas bila yakin ayahnya takkan menjawab pertanyaannya. Langkah terus dibuka meninggalkan ruang tamu yang terasa dingin itu.

Rengus dilepaskan sebaik tubuh dihempaskan ke tengah katil. Telefon dikeluarkan. Laju jemarinya cari panggilan yang tak berjawab tadi. Tak tunggu lama, jarinya laju menekan aksara yang terpapar.

Saya tahu awak Hadi Zafri. Walaupun awak dapat nombor ni dari ayah saya, tak bermakna awak boleh sesuka hati nak call saya tak kira masa. Awak tak nampak jam sekarang pukul berapa? Tak tahu ke orang sibuk nak tidur? Tolong jangan call saya lagi! Saya tak nak kenal dengan awak. Faham?

Jeslina lepas rengus sebaik menekan perkataan send pada skrin. Puas hatinya dapat bagi amaran pada lelaki yang mengaku nampak insiden bulan lalu.

Oct 6, 2018

Berikan Cukup Waktu_10


Hadi tarik nafas dalam-dalam dan dihembuskan perlahan. Dah beberapa kali dia buat perkara yang sama sejak tiba tadi. Menahan debar mahu bertemu dengan seseorang yang mungkin sebagai jalan terakhir untuk dia mendekati Jeslina. Jalan paling berisiko yang pernah dia buat untuk mendekati seorang gadis. Dia tahu dengan kedinginan Jeslina, sampai ke sudah dia takkan mungkin dapat mendekati gadis itu. Biarpun dengan membuat keputusan untuk bertemu sendiri dengan ayah Jeslina bukanlah yang terbaik, dia tetap meletakkan harapan. Suara garau yang menyambut panggilannya semalam cukup mendebarkan hati. Hanya dengan dengar suara dia dapat rasa, lelaki itu lebih tegas dan dingin daripada Jeslina.

Mata kerling jam di pergelangan. Dia tiba seawal 15 minit daripada waktu yang dijanjikan. Debar yang ditanggung sejak tadi sedikit pun tak berkurangan dalam dadanya malah makin hebat bila waktu yang dijanjikan makin hampir. Tak putus doa yang dipanjatkan dalam hati agar apa yang dirancang dapat berjalan seperti mana yang diharapkan.

Baju kemeja yang dipakai diperbetul beberapa kali. Memastikan tiada sebarang kecacatan yang akan menyebabkan dia rasa tak selesa. Mata terhala ke arah muka pintu kafe yang terbuka dan tertutup setiap kali pelanggan masuk dan keluar. Ternanti-nanti seraut wajah tegas seperti mana gambar yang dihantar Fakri semalam.

Dicapai cawan kopi di depan dan dihirup perlahan seraya mata kembali terhala ke muka pintu. Saat terpandang akan seraut wajah yang dinanti, air kopi yang diminum hampir tersembur. Cepat-cepat tangan capai sehelai tisu sebelum dia bingkas bila lelaki berbaju-t warna biru tua itu tercegat di tengah kafe.

“Assalamulaikum Uncle Saif.” Dia dulu perkenalkan diri memandangkan lelaki itu tidak mengenalinya.

“Hadi?”

“Ya uncle. Saya Hadi.” Tangan dihulur. “Maaf kalau saya ganggu waktu uncle hari ni.” Sambungnya sebaik salam terlerai. Dari genggaman tangan sahaja dia mula dapat rasa aura ketegasan yang ada. “Jom ke sana, uncle.” Dia tunjukkan arah meja sebelum terus berlalu ke kaunter untuk membuat pesanan. Fakri awal-awal dah ingatkan akan kegemaran lelaki yang nampak tegap dan segak itu. Jus oren tanpa pemanis dipesan sebelum dia kembali ke meja.

“Kamu dah lama sampai?” Soal Saif sebaik Hadi melabuhkan duduk.

“Erm… Dalam 15 minit, uncle.” Hadi lepas senyum dalam serba tak kena. “Uncle dari mana? Gim? Saya mintak maaf kalau dah ganggu waktu uncle datang jumpa saya hari ni.” Dia masih tercari-cari tempo agar mereka boleh berbual dengan tenang.

“Takdelah sibuk mana. Kerja sendiri, Hadi. Takde siapa yang nak marah. Kamu? Tak kerja hari ni?” Saif tak lepas pandang wajah anak muda di depannya itu. Melihat baju kemeja yang dah siap berlipat hingga ke siku dalam waktu makan tengah hari itu, dia tak rasa Hadi akan kembali ke tempat kerja.

Half day hari ni, uncle.” Hadi senyum lagi. Dalam masa yang sama, jus oren yang dipesan tadi tiba. Diletakkan gelas jus oren dengan cermat. “Jemput minum, uncle.”

“Terima kasih.” Ada senyum nipis meniti bibir Saif sebelum disisip perlahan jus tersedia.

“Uncle…”

Saif hala pandang wajah yang mula merenik peluh walaupun di tempat berhawa dingin begitu. Senyum terus kekal bergayut di bibirnya. Dia dapat rasa lelaki muda di depannya itu agak gugup. Sebelah tangan menyeluk saku seluar. Dikeluarkan sekeping kad lalu ditolak ke tengah meja.

“Datang jumpa uncle sebab ni kan?”

Hadi terkedu. Mata tak lepas pandang ke arah kad warna putih di tangah meja. Ketika menghubungi lelaki itu beberapa hari lepas, dia belum pun menjelaskan tujuannya yang sebenar. Dia cuma memberitahu mahu meminta izin berkawan dengan Jeslina.

“Macam ni la Hadi. Biar uncle terus terang. Uncle setuju nak jumpa kamu ni pun sebab percayakan Fakri. Dia dah cerita semua pada uncle. Mula-mula tu uncle terkejut juga sebab belum pernah ada mana-mana lelaki yang nak jumpa uncle untuk mintak izin nak kenal dengan anak uncle tu.” Sambung Saif tak bertangguh lagi. “Uncle bagi peluang pada kamu kenal dengan anak uncle tu. Tapi bersyarat.” Kad warna putih itu ditolak lagi.

Hadi kekal diam. Sabar menanti apa yang bakal diluahkan lelaki di depannya itu.

“Uncle tak nak kamu paksa-paksa dia. Pada uncle, kalau niat cuma nak berkawan, tolong jaga batas kamu sebagai kawan. Jangan lebih dari yang sepatutnya. Kamu faham kan?”

Hadi masih diam. Cuba menghadam apa yang menyapa gegendang.

“Uncle sebenarnya takde masalah pun kalau ada mana-mana lelaki nak kawan dengan Jeslina. Sebab selama ni, kawan-kawan dia memang lagi ramai lelaki daripada perempuan. Tapi, cukup sebagai kawan. Tak lebih dari tu. Siapa yang dah kenal Jeslina, dia orang tahu dan faham. Uncle harap kamu pun macam tu jugak. Tahu batas yang kamu patut jaga sebagai seorang kawan.” Sambung Saif tenang namun cukup tegas.

“Erm… Uncle, kalau saya nak lebih dari kawan macam mana?” balas Hadi memberanikan diri kerana memang itulah tujuannya. Dia serius mahu mengenali Jeslina dengan lebih rapat lagi. Bukan hanya sebagai seorang kawan biasa. Tapi lebih daripada itu jika diizinkan Allah.

“Maksud kamu?”

Hadi tarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan perlahan-lahan demi menenangkan segala rasa yang ada. Mengumpul keberanian yang ada untuk meluahkan hasrat yang terpendam dalam hatinya sejak akhir-akhir itu.