Oct 3, 2018

Berikan Cukup Waktu_4


Fakri kesat peluh yang melebat di dahi. Dadanya turun naik membuang nafas berat. Pandangan terhala ke arah Jeslina yang berada di seberang tasik masih kekal berlari walaupun dah berkali-kali dia suruh berhenti. Dia tak sangka apa yang dah dirancang sejak beberapa hari lalu sudahnya berkesudahan di taman rekreasi. Kalau dia tahu Jeslina mahu mengajaknya ke situ, dia lebih sanggup menghabiskan masa di gim. Apa guna treadmill yang ada kalau bukan digunakan untuk membuat larian. Sekurang-kurangnya dia tak perlu memandu jauh untuk ke situ semata-mata mahu berjoging.

“Takkan dah penat kut?” Jeslina tiba di sisinya sambil lari setempat seketika sebelum dia berhenti dan melabuhkan duduk dengan helaan nafas berat.

“Kau memang saja nak kenakan aku kan, Jess?” ujar Fakri bersama rasa tak puas hati sejak dari awal lagi.

Jeslina senyum nipis.

“Ni pun dating jugak kan? You and I.”

Fakri lepas rengus kecil. Jeling dilemparkan sekilas.

“Kalau ni namanya dating, baik kita duduk dekat gim tu. Lagi best. Tak payah susah-susah nak datang jauh sampai sini.”

“Sini lain. Gim lain.  Dekat sini lagi best. Tenang aje.” Jeslina pejam mata seketika seraya hirup udara yang cukup menenangkan.

“Penat aku planning macam-macam hari ni.” Rungut Fakri perlahan.

Jeslina sengih.

“Kau tahu aku macam mana kan? Bila masa aku tengok wayang sambil makan popcorn tu? Sekali pun tak pernah. Tengok TV pun jarang-jarang, inikan pulak kau nak ajak aku pergi tengok wayang? Banyak lagi benda berfaedah yang aku boleh buat daripada tengok wayang. Tak pun, baik aku duduk aje dekat gim tu.”

“Sebab tu la aku cakap awal-awal nak ajak kau pergi dating. Kita buat benda yang selalu orang dating buat. Kita pun susah nak dapat keluar macam ni selalu. Sesekali cuba buat benda lain, tak salah kan? Lagipun, kau sendiri tak pernah rasa macam mana nikmat dating kan?”

Jeslina cebik.

“Macamlah kau pernah dating? Girlfriend pun takde. Sibuk nak ajar orang dating.” Selamba dia menyindir.

“Memanglah. Tapi kalau setakat benda-benda basic macam ni, bukannya susah sangat. Budak tak cukup umur pun tahu.” Fakri menyengih.

Sekali lagi Jeslina cebik.

Sorry Fakri. Aku tak minat dengan semua tu. Dari dulu pun, ayah tak pernah nak izinkan aku buat semua benda tu dan aku tak pernah ada kesempatan nak dating ni semua. Hidup aku cuma penuh dengan training dan belajar. Belajar tu pun sampai tingkat lima aje.”

“Aku tahu, aku faham semua tu. Kau lupa, aku sama-sama membesar dengan kau selama ni? Kalau bukan sebab ayah, kau ingat aku ada dekat depan kau sekarang ni?”

“Tapi at least ayah bagi kau sambung belajar. Aku?”

“Belum terlambat kalau kau nak belajar sekarang, Jess. Menuntut ilmu ni takde had umur.”

Jeslina lepas nafas perlahan.

“Aku ada terfikir nak sambung belajar lepas injured dulu. Tapi kau tahulah lepas ayah dah buka gim lagi satu tu, mana cukup kakitangan. Kesian aku tengok dia nak urus dua-dua.” Luahnya. Itupun tak termasuk lagi urusan kelab.

“Aku rasa, sekarang masa yang sesuai kalau kau nak sambung belajar. Hal gim kau dah tak payah risau. Aku ada. Insya-Allah aku boleh handle.” Usul Fakri yang sentiasa menyokong apa saja gadis itu lakukan.

Jeslina lepas senyum tepi.

“Tengoklah macam mana. Kalau aku nak pun, ayah belum tentu setuju.” Jawabnya seraya kembali bingkas. Mahu menamatkan terus perbualan kerana tahu Fakri faham apa yang dimaksudkan. Ayah adalah segala-galanya dalam hidupnya. Biarpun banyak perkara yang dia tak setuju dengan ayah, dia tak sampai hati nak ingkar. Cukuplah dia dah punahkan harapan ayah selama ini. Dia tak mahu jadi anak derhaka dan menyakiti hati ayahnya.

“Kau nak lari lagi ke?”

Jeslina senyum.

“Kalau kau nak tunggu sini, kau tunggulah. Bagi aku pusing satu round lagi, lepas tu kita pergi breakfast and aku akan ikut planning kau hari ni.” Ujarnya demi tak menghampakan janji yang dah dibuat.

“Betul ni?”

Jeslina angguk.

“Cantik! Aku tunggu dekat sini.” Balas Fakri senang hati.

“Sukalah tu!” Jeslina sempat jeling sebelum dia kembali buka langkah. Membuat larian perlahan.

“Hai!”

Laju Jeslina menoleh sekilas. Keningnya berkerut namun larian tetap diteruskan. Cuma kelajuannya ditambah. Ada rasa tak selesa menerpa dengan kewujudan susuk tubuh tegap di sebelah.

“Tak sangka boleh jumpa awak dekat sini. Selalu saya jogging dekat sini. Tapi tak pernah nampak awak pun.” Ujar Hadi yang turut menyaingi larian gadis di sisi.

Sejak tadi lagi dia dah nampak kewujudan gadis itu bersama seorang lelaki. Namun dia tidak berpeluang mencelah memandangkan dia belum tahu akan status kedua-duanya. Cuma bila dia nampak gadis itu kembali berlari sendirian, cepat-cepat dia ambil peluang. Tapi kebisuan gadis itu, sedikit sebanyak mencabar kesabaran.

“Awak…” Hadi memintas menyebabkan larian Jeslina berhenti mengejut. Hampir tubuh mereka berlaga.

“Saya rasa, awak faham apa yang saya cakap hari tu.” Tegas Jeslina sebelum kembali sambung larian.

Hadi lepas keluh perlahan sebelum turut sama buat larian. Sekali lagi terpaksa menyaingi larian gadis itu.

“Awak, saya takde niat jahat. Saya cuma nak berkawan dengan awak.” Dia cuba memujuk pula.

Jeslina lempar senyum tepi.

“Saya tak berminat.” Balasnya selamba.

“Tapi saya berminat.”

“Tu bukan masalah saya.”

“Takkan nak berkawan pun tak boleh?”

Jeslina memperlahankan larian sebelum ia bertukar kepada berjalan.

“Saya tak berminat nak berkawan dengan awak. Awak boleh cari orang lain.” Jawabnya lambat dalam helaan nafas berat tapi tetap tegas.

“Masalahnya saya nak kawan dengan awak. Bukan dengan orang lain.” Hadi juga bertegas.

Jeslina diam. Malas nak jawab lagi. Langkah dilajukan.

“Awak… Tunggu kejap.” Sekali lagi Hadi halang laluan Jeslina menyebabkan dia terpaksa berhenti mengejut. Sekali lagi tubuh mereka hampir berlanggar.

“Awak jangan cabar kesabaran saya boleh tak? Saya boleh report polis sebab awak cuba mengganggu ketenteraman awam!” tingkah Jeslina mula hilang sabar. Ditolak tubuh tegap yang menghalang laluan sebelum dia kembali buat larian.

“Tapi saya pun boleh report polis sebab awak belasah orang sampai separuh mati!” Balas Hadi kuat menyebabkan beberapa orang awam terhampir menoleh ke arahnya. Jeslina yang dengar turut mematikan larian. Laju menoleh ke arah Hadi yang tegak berdiri beberapa langkah di belakang.

Hadi datang mendekat.

“Macam mana? Boleh saya report polis?” Bibirnya tarik senyum tepi.

“Awak tak tahu apa-apa, awak jangan pandai-pandai nak buat cerita!” tingkahnya dengan telunjuk tepat ke wajah tampan di depan.

“Tapi memang betullah awak dah belasah lelaki tu sampai nak mati kan?” tekan Hadi sengaja.

Jeslina lepas rengus sebelum terus berpusing. Tak mahu bersoal jawab lagi. Hal yang sepatutnya menjadi rahsia, harus kekal menjadi rahsia. Langkah dilajukan. Dia mahu segera mendapatkan Fakri yang sudah bercekak pinggang menantinya. Yakin Fakri nampak apa yang dah berlaku.

“Apa dah jadi, Jess? Lelaki tu kacau kau ke?” Fakri terus menyoal sebaik dia tiba. Tapi mata mencerlung ke arah susuk tubuh yang turut memandang ke arahnya. Malah sempat lagi melambaikan tangan sebelum terus beredar.

Jeslina hempas rengus. Tuala yang tersangkut di leher dilapkan ke wajah yang terasa hangat. Sama hangat apa yang ada dalam hatinya kala itu. Mata sempat kerling ke arah susuk tubuh yang kian menghilang.

“Kau nak tahu tak? Lelaki tu nampak aku belasah peragut yang cuba ragut handbag May hari tu.” Jelasnya sakit hati.

“Habis tu, apa kena mengena dengan dia? Dia family peragut tu?” Hadi terus tanya.

“Entah!”

Fakri berkerut. Tak faham.

“Apa sebenarnya yang dia nak dengan kau?”

“Dia nak berkenalan.”

“Ha?” Membuntang mata Fakri. Hampir dia nak tergelak tapi ditahan.

“Aku rasa dia dah gila! Dia ingat aku takut kalau dia nak report polis?” hambur Jeslina tak tertahan.

“Maknanya tadi dia ugut kau nak report polis sebab kau tak layan dia? Macam tu?” tebak Fakri.

“Yelah!” Jeslina lepas rengus lagi. “Kau pun tahu aku macam mana kan? Ingat senang-senang aku nak kenal dengan lelaki entah mana-mana tu? Selama ni pun, tak pernah ada mana-mana lelaki nak berkenalan dengan aku. Ni tiba-tiba datang, nak berkenalan. Macam mana aku tak cakap dia gila? Tak nampak ke aku macam mana? Ingat aku ni sama dengan perempuan-perempuan dekat luar tu.” Jeslina hambur rasa tak puas hati.

“Okeylah tu Jess. Ada jugak lelaki yang nak berkenalan dengan kau. Selama ni, kau dengan aku, dengan budak-budak gim. Kau tak pernah kenal pun dengan lelaki lain. Kalau ada pun, awal-awal kau dah tolak. Agaknya jodoh kau dah sampai ni.” Usik Fakri.

Jeslina lempar jeling.

“Aku tak pernah terfikir pun nak rapat dengan mana-mana lelaki sebelum ni, tiba-tiba kau nak sebut pasal jodoh? Jauh sekali, Fakri…”

“Jess, soal jodoh ni bukan kerja kita. Bila Dia kata jadi, maka jadilah ia. Siapa kau nak persoalkan?”

“Dan Dia tak kejam nak seksa hamba yang lemah lagi hina macam aku ni. Kalau jodoh aku dah sampai, mestilah dalam keadaan aku yang dah ready. Tapi keadaan aku sekarang ni, kau pun tahu macam mana kan?”

Fakri lepas nafas perlahan bersama gelengan.

“Jodoh ni rahsia Dia, Jess. Kita takkan tahu apa-apa pun. Sama dengan maut. Kita tak boleh nak jangka apa-apa.”

Jeslina terdiam. Nafas terhela perlahan. Terpaksa mengakui akan hakikat yang satu itu. Biarpun dia gagal jadi muslimah yang baik, dia masih percaya akan qada dan qadar Allah. Dia masih sedar akan hukum alam yang telah ditetapkan-Nya sejak azali lagi.

“Jomlah kita balik.” Ujarnya kemudian seraya bingkas.

“Balik? Bukan tadi kau cakap nak pergi breakfast? Kau dah janji nak ikut planning aku hari ni kan?”

“Kita baliklah. Aku dah takde mood hari ni. Next time aku ikut kau.” Jeslina terus berjalan untuk ke petak parkir.

Sekali lagi Fakri lepas hela. Nak melarang, dia tak sampai hati. Mahu atau tak, diikutkan kemahuan gadis yang dah dianggap seperti adik kandungnya sendiri itu. Dia cukup faham dengan perangai Jeslina. Melihat raut wajah yang dah tak seceria tadi, yakin Jeslina takkan mahu meneruskan apa yang dah dirancang.

“Fakri…”

Fakri menoleh saat sama-sama masuk ke dalam kereta.

Don’t worry, Jess. Lain kali kita boleh keluar lagi kan?” ucap Fakri sedia maklum apa yang bakal terluah.

Thanks Fakri.”

Fakri cuma senyum nipis sebelum mula memandu.

No comments: