Oct 3, 2018

Berikan Cukup Waktu_3


Jeslina kerling jam tangannya sekilas seraya membuang pandang ke luar kafe yang kian lengang. Sudah pun hampir 12 malam tapi tiada tanda-tanda dia mahu meninggalkan kafe yang turut menyedia dan menjual bahan bacaan itu. Biarpun seorang diri, dia mampu menghabiskan masa di situ hingga berjam-jam bersama sebuah buku yang dipilih.

Nafas dihembus perlahan. Buku yang dipegang hampir sejam tadi ditutup. Dicapai cawan kopi kedua yang dipesan dicicip perlahan. Senyum kecil berlabuh tanpa sedar. Dia berkongsi kegemaran yang sama dengan ayahnya. Satu-satunya insan yang ada selepas adik-adik dan ibunya memilih untuk meninggalkannya. Senyum di bibir mengendur bersama nafas yang terhela lagi bila teringat akan wajah-wajah yang terlalu dirindui itu.

Hanya kerana ibu tak bersetuju dengan minat dan kecenderungannya mahu mengikut jejak langkah ayah yang begitu aktif dengan sukan tempur dan bela diri dari negara Gajah Putih itu, dia dipaksa memilih sewaktu umurnya masih terlalu mentah. Dan dengan pilihan yang dibuat, keluarganya berpecah-belah.

Lebih 10 tahun dia tak bertemu dengan ibu dan adik-adiknya bila ibu memilih untuk tinggal di luar negara bersama keluarga bapa saudaranya. Mujur dengan perkembangan teknologi yang ada, dia masih mampu berhubung dengan adik-adiknya yang kini sama-sama meningkat dewasa. Hanya melalui pasangan kembar Aina dan Aira dia dapat mengikuti perkembangan ibunya. Namun jauh di lubuk hati, dia cukup kecewa dengan ibu yang terus membuangnya dari kamus hidup hanya kerana menentang minat dan cita-citanya.

“Jess.”

Fakri labuhkan duduk di depan bersama kerutan bila panggilannya langsung tak berjawab.

“Jess!” Ditepuk lengan gadis itu sekali, baru Jeslina alih pandang. “Patutlah budak-budak kafe ni panggil kau ratu menung.” Tambahnya selamba seraya melurut rambut yang basah kerana meredah hujan yang agak lebat.

“Kau datang sini buat apa? Kan aku dah cakap tadi tak payah datang.” Balas Jeslina terus tukar topik. Tangan laju menyelongkar beg sandang yang sentiasa dibawa ke mana-mana. Sehelai tuala baru dikeluarkan.

“Kau ingat, kau aje yang stress hari ni? Aku pun stress tahu tak? Nasib telinga aku tak berdarah dengar ayah bising sebab pagi tadi.” Jawab Fakri sambil mengeringkan rambutnya.

 “Aku tak sangka ayah nak datang gim pagi tadi. Selalunya petang-petang sikit dia masuk.” Jeslina lepas keluh halus.

Unpredictable Encik Saif. You know him very well Jess.”

Jeslina geleng.

“Lepas aku injured dulu, dia dah tak sama. Kau sendiri boleh nampak aku dengan dia macam mana. Aku ni dah macam anak tiri. Yang kau tu pulak dah macam anak dia sendiri.”

Fakri sengih. Dia dah lama perasan perubahan yang berlaku antara dua beranak itu. Semuanya berlaku lepas Jeslina tak dapat lagi aktif dalam sukan pertahanan diri itu.

“Lelaki ni, susah nak tunjuk yang dia sebenarnya sayang, Jess. Nampak ayah tu tegas, garang. Tapi sebenarnya dia sayang kau sangat. Kau nampak dia sayang aku lebih. Hakikatnya, aku ni tetap orang luar. Takkan sama antara kau dengan ayah.” Ujarnya lebih positif.

Jeslina tak balas. Dihirup air kopi yang sudah pun dingin. Sedingin hati ayahnya. Dia tahu ayah kecewa dengan dia. Kecewa sebab dia tak dapat meneruskan impian ayah yang mahu dia beraksi di peringkat yang lebih tinggi. Dan kalau boleh, dia dapat mengikut jejak langkah ayah yang pernah menjadi atlet dan pembimbing skuad kebangsaan. Namun, impian itu lebur bila dia mengalami kecederaan yang agak teruk dan mendapat tentangan hebat dari ibunya sendiri.

“Jess…”

“Hmm…”

“Kau okey kan?”

Jeslina lepas senyum tipis.

“Sepatutnya aku yang tanya kau okey ke tak.”

Fakri turut lepas senyum.

“Aku okeylah. Dah biasa kena dengan ayah. Bukan sehari dua aku kenal ayah. He’s everything for me. Apa yang ayah nak, aku akan cuba tunaikan walaupun aku terpaksa gadai nyawa aku sendiri. Aku ni seumur hidup berhutang budi dengan family kau, Jess. Kalau bukan sebab ayah, entah apa jadi pada aku.”

“Kau jangan cakap pasal budi. Aku yang berhutang nyawa dengan kau dulu. Kalau bukan sebab kau, aku mungkin takde depan kau sekarang ni.” Jeslina senyum lagi bila terkenang kembali saat kali pertama mereka bertemu.

Lebih 10 tahun dulu dia pernah hampir diculik ketika pulang dari sekolah. Dan disebabkan keberanian Fakri yang ketika itu cuma remaja gelandangan, dia berjaya menyelamatkan diri. Namun Fakri pula terpaksa menerima padahnya. Separuh nyawa dikerjakan manusia tak berperikemanusiaan. Mujur ayah tiba tepat pada waktunya.

“Kau nak balik pukul berapa ni?” ujar Fakri terus tukar topik. Tak mahu hal lalu terus diungkitkan kembali.

“Kejap lagi aku baliklah. Kalau kau nak balik, kau baliklah dulu.”

“Jom aku hantar kau balik. Dah lewat ni. Tadi ayah dah pesan suruh hantar kau balik.”

Mata Jeslina membulat.

“Ayah tahu aku dekat sini?”

“Cik Jeslina, gim ayah kau seberang jalan tu aje. Kau ingat dia tak boleh nampak kau dekat sini? Sebenarnya tadi dia yang suruh aku datang tengok kau.”

Jeslina lepas keluh panjang.

“Kau pun ikut aje cakap ayah kan?” balasnya sedikit tak puas hati.

“Mestilah! Kau tu amanah aku.”

Jeslina cebik.

“Jomlah balik.” Dia bingkas untuk hantar buku ke tempatnya semula.

“Aku hantar kau ya?”

“Suka hatilah!” Jeslina malas nak soal panjang. Dia tahu itupun atas arahan ayah.

“Kau tunggu sini. Aku ambil kereta.”

Fakri terus berlalu keluar tanpa sempat Jeslina halang. Mata menghantar langkah Fakri yang sekali lagi meredah hujan untuk ke seberang jalan. Tanpa sedar bibir melorek senyum. Lelaki yang punya ciri-ciri yang diimpikan seorang wanita termasuklah dia. Cuma dia tak tahu apa sebenarnya yang membuatkan lelaki itu masih membujang hingga kini walaupun sudah berusia 35 tahun. Belum pernah lagi dia nampak Fakri rapat dengan mana-mana perempuan kecuali dia. Dan tak pernah sekali pula Fakri meluahkan perasaannya tentang perempuan meskipun mereka sentiasa menghabiskan masa bersama.

“Nak tumpang payung?”

Jeslina yang sedia menanti di depan pintu kafe menoleh. Tak sedar entah bila seorang lelaki bertubuh tegap berdiri di sebelah bersama sekaki payung.

No thanks. Saya tunggu kawan.” Jawabnya lambat, tak bernada. Dia rasa macam pernah nampak lelaki berkaca mata itu tapi tak ingat dekat mana.

“Okey. Erm… Selalu lepak dekat sini sampai lewat malam macam ni?”

Jeslina toleh lagi bersama kerutan. Rasa kekok tak semena-mena bila orang yang dia tak kenal ajak berbual memandangkan dia sendiri bukan jenis yang ramah. Dia lebih sanggup mendiamkan diri dari berbual dengan entah siapa-siapa. Atas bawah dia pandang lelaki berbaju-t biru laut itu.

I’m not talking to stranger. Sorry.” Dia bertegas. Selangkah menjarakkan diri meskipun dia dapat rasa lelaki di sebelahnya itu tidak berniat jahat. Pengalaman lalu banyak mengajar dia untuk jadi lebih berhati-hati pada orang yang tak dikenali. Disebabkan itu, dulu dia tekad mahu mengikut jejak langkah ayah untuk mempelajari ilmu mempertahankan diri.

“Maaf kalau awak tak selesa. Saya takde niat jahat. Saya perasan dari awak masuk kafe ni tadi. Nampak dari gaya awak… layanan staf kafe ni, macam awak dah biasa habiskan masa dekat sini. Sebab tu saya tanya.”

Jeslina diam. Entah kenapa sejak dia masuk ke kafe itu sejam yang lalu, dia langsung tak perasan lelaki di sebelahnya ini.

“Saya Hadi Zafri.”

Jeslina pandang lagi wajah berkulit licin di sebelah. Lebih licin dari kulitnya sendiri. Terkagum dia seketika sebelum pandangan kembali dibuang ke depan bila sebuah kereta warna hitam berhenti di depan mereka.

“Maaf. Saya balik dulu. Kawan saya dah sampai.” Ujarnya sebelum terus berlalu meredah hujan lebat untuk masuk ke dalam kereta Fakri.

Hadi hanya mampu senyum dengan mata tak lepas pandang kereta hitam yang baru saja berlalu. Entah kenapa hati menaruh harapan agar ada lagi pertemuan dengan gadis berbaju sukan tadi meskipun salam perkenalannya langsung tak bersambut. Cukup dingin. Sedingin wajah yang langsung tak mengenakan sebarang solekan itu namun tetap ada keayuan dan kelembutan yang tersembunyi.

“Kalau dah jodoh…” Senyumnya melebar.

“Apa yang kalau dah jodoh? Kalau dah jodoh Ustaz Kazim Elias ke?” Sapaan di belakang mematikan senyumnya.

“Tak payah sibuk boleh tak?” balas Hadi sedikit geram.

Zara lempar jeling.

“Cakap orang sibuk pulak. Dia yang ajak kita keluar malam-malam buta ni.” Rengus dilepaskan. “Jomlah balik! Zara dah mengantuk tahu tak? Dia cuti esok, sedaplah berbungkus dalam selimut. Orang ni kerja pagi tahu tak? Dah la datang sini semata-mata terpengaruh dengan dakyah geng kopi abang tu. Air kopi aje pun. Sama aje rasa. Entah mana yang sedap sangat tu pun tak tahulah!”

“Zara apa tahu. Bukan Zara minum kopi pun. Zara tu membebel aje tahu kalah Mak Esah. Patutlah sampai sekarang takde lelaki datang dekat.” Tingkah Hadi selamba seraya menyerahkan sekaki payung yang dipegang sebelum dia terus meredah hujan masuk ke kereta.

Zara yang tahan geram turut melangkah ke arah yang sama. Cepat-cepat dia masuk ke ruang penumpang di depan.

“Nanti sampai rumah, Zara bagi tahu mama yang abang nak try anak dara orang malam-malam buta ni.” Sengaja dia mengugut.

Hadi senyum senget. Sikit pun dia tak rasa takut. Dia lagi suka mama tahu. Selalu sangat mamanya bising suruh dia kahwin cepat. Kini dia yakin dah jumpa calon yang paling sesuai. Dan malam itu, dia sendiri tak sangka akan betembung secara tak sengaja dengan gadis tinggi lampai yang membelasah peragut hingga separuh nyawa bulan lalu. Biar pun dia belum berkesempatan kenal dengan gadis tadi, akan diusahakan sedaya mungkin. Ada sesuatu yang begitu menarik hatinya menyebabkan dia mahu mengenali gadis itu dengan lebih dekat lagi.

No comments: