Oct 3, 2018

Yang Sebenarnya Aku Tetap Sayang_3


Bab 3
Air kopi yang masih mengeluarkan asap nipis dituang perlahan ke dalam cawan kosong tersedia.

“Han…” Hajah Suhara lempar senyum pada si anak yang baru saja menuruni tangga.

“Han balik lambat sikit hari ni. Ummi tak payah tunggu Han.” ujar Azhan senada sebelum labuhkan duduk.

“Iyelah.” Pendek. Hajah Suhara turut duduk. Dipandang dua anak kecil di depannya yang terus diam sebaik Azhan turun. “Fia dengan Abang nak nasi lemak lagi?” soalnya.

Kedua-duanya menggeleng.

“Ummi, Fia nak pergi school dengan Along.” Takut-takut si kecil Sofia hala pandang pada Azhan.

Azhan yang baru saja nak menyuap nasi lemak, terus tak jadi. Renung tajam dilemparkan. Sofia terus tertunduk. Azhan pandang umminya.

“Uncle Halim takde ke hari ni?”

Hajah Suhara lepas nafas. Dipandang sayu si comel di depannya.

“Tak salahkan kalau Han tolong hantar hari ni?” Sengaja mencuba nasib walaupun dapat jangka apa yang bakal meniti bibir si anak.

“Han dah sediakan kemudahan, kenapa Han yang nak kena susah-payah hantar budak-budak ni pergi sekolah?” Soalan berbalas soalan seperti mana yang dijangka.

Sekali lagi Hajah Suhara lepas keluh. Senyum manis dipaksa meniti bibir tuanya.

“Fia dengan Abang pergi sekolah macam biasa hari ni ye? Along sibuk sayang. Tak boleh nak hantar Fia dengan Abang. Lain kali aje okey?” Dia cuba memujuk walaupun dengan alasan yang sama setiap kali si kecil itu meminta Azhan hantar ke sekolah. Terutamanya Sofia yang jelas keruh dengan jawapan Azhan tadi. Si abang pula, langsung tak beriak. Tenang dan tak banyak cakap seperti selalu bila berhadapan dengan Azhan.

“Fia nak pergi dengan Along…” Sayu suara si kecil Sofia. Penuh mengharap.

“Fia, kita kena pergi school dengan Tuk Lim. Kan ummi kata Along sibuk. Nanti Along tak sibuk, mesti dia hantar kita.” celah Aqif tiba-tiba. Hajah Suhara terdiam. Dipandang wajah si sulung. Langsung tak terkesan.

“Han…”

“Han pergi dulu, mi. Assalamualaikum.” Azhan bingkas. Tak habis pun nasi lemak dalam pinggannya. Tangan Hajah Suhara terus dicapai sebelum berlalu ke pintu. Belum pun kaki menyarung kasut, Sofia dengan Aqif berlari mendapatkannya di situ.

“Along…” Aqif takut-takut hulur tangan. Begitu juga Sofia.

Azhan pandang tak berkelip. Jarang-jarang dua si kecil itu dapat bersalam dengannya. Tubuh direndahkan. Teragak-agak dia menyambut. Tiba giliran Sofia, dua tangan kecil itu terus merangkul lehernya. Pipinya dicium. Terkedu dia seketika.

“Fia sayang Along.” Si comel itu menguntum senyum sebaik rangkulan dilepaskan.

Azhan laju menegakkan tubuh. Dikawal reaksi terkejutnya sebaik mungkin kerana belum pernah Sofia seberani itu sejak mereka tinggal bersama.

“Aqif jaga Sofia. Dengar cakap Tuk Lim. Dengar tak?” Dia bersuara tegas buat Aqif.

Aqif senyum.

“Insya-Allah Along.” polos dia jawab.

Azhan pandang lagi dua anak kecil yang tak lepas memandangnya sebelum dia terus berlalu masuk ke dalam kereta dengan pelbagai rasa di dalam dada. Entah rasa apa. Dia sendiri tak pasti.

*******
Kain baju yang berlonggok atas katil dipandang bersama helaan berat. Aneera garu dahi yang tak gatal. Waktu berkemas yang paling dia tak suka nak buat. Bukan malas melipat kain baju yang ada. Berkemas bermakna cutinya selama seminggu itu bakal berakhir. Lusa dia perlu kembali melalui rutin hariannya di Terengganu. Tempat dia mencari rezeki yang jauh dari keluarga hampir tiga tahun.

“Neera.” Pintu bilik terkuak dari luar.

“Abah.”

“Dah siap kemas?”

Aneera geleng.

“Malasnya Neera nak kemas. Rasa macam baru semalam Neera balik rumah.” Keluhnya terlepas.

“Nanti cuti panjang, Neera baliklah lagi. Bukan sehari dua duduk sana.” ujar Abdul Halim dalam senyum.

“Kan best kalau Neera dapat tukar ke sini. Tak payah susah-susah nak cuti.” Aneera hela nafas lagi.

“Belum ada rezekilah namanya tu. Sekarang ni, orang yang dah kahwin pun susah nak tukar tempat kerja kan? Inikan pulak Neera yang bujang. Betul tak?”

Keluh lagi terlepas di bibir Aneera.

“Sudahlah mengeluh dari tadi. Neera kata nak ikut abah ambil budak-budak balik sekolah hari ni. Jom.” ujar Abdu Halim.

Muka Aneera terus berubah ceria. Laju dia mencapai kain tudung yang tersangkut di belakang pintu. Terlupa sekejap dengan cutinya yang dah nak habis. Memang sengaja dia nak ikut hari tu semata-mata nak jumpa dengan si comel Sofia. Si comel yang terlalu ramah dengannya walaupun baru pertama kali jumpa.

“Abah, Neera nak tanya pasal family Uncle Ibrahim.” ujarnya saat beriringan menuruni tangga.

Abdul Halim toleh.

“Kenapa tiba-tiba tanya pasal family Uncle Ibrahim ni?” Soalan juga yang dibalas.

“Saja.” jawab Aneera dalam sengih. Tapi yang sebenarnya, begitu banyak soalan yang bersarang dalam kepala sejak bertemu dengan si comel Sofia dan Aqif tempoh hari.

“Iyelah tu saja. Ke… sebenarnya nak tahu pasal Azhan? Hmm?” tebak Abdul Halim dalam senyum.

Aneera mencebik.

“Tak kuasa Neera nak tahu pasal Encik Along yang dah macam samseng kutip hutang tu. Garang betul! Dengan budak-budak pun nak kasar-kasar.” getusnya sedikit geram bila teringat seraut wajah ketat Azhan.

“Dia garang bersebab. Selama abah kenal dia, tak pernah sekalipun dia cakap kasar dengan abah.” bela Abdul Halim sebelum mengunci pintu rumah.

“Iye ke? Sama aje Neera tengok. Hari tu terserempak dekat hospital pun, macam tu jugak. Tak pernah tak ketat. Macamlah Neera ni dah buat dosa besar dengan dia.” hambur Aneera tak puas hati.

“Neera tak kenal dia lagi. Kalau Neera kenal dia, Neera tahulah dia macam mana. Abah ni dah kenal dia lama Neera. Dari dia kecil lagi. Mama pun kenal dia.”

Aneera kerut kening.

“Abah tak pernah cerita pun pasal family dia sebelum ni? Neera cuma tahu masa Uncle Ibrahim dah takde. Tu aje. Tu pun Neera tak berapa kenal siapa Auntie Sara sebelum ni.”

“Sebelum ni dia orang duduk dekat Teluk Intan sana. Masa kita pindah dekat sini, dia orang duduk sana lagi. Dekat 3 tahun dia orang baru pindah sini.” jelas Abdul Halim sebelum masuk ke dalam kereta.

“Erm… Budak berdua tu, memang anak Uncle Ibrahim ke? Muka Sofia sikit pun tak ada macam Auntie Sara. Cuma muka Aqif ada ikut sikit muka Encik Along tu.” ulas Aneera sebaik masuk di sebelah. Abdul Halim terus memandu kereta keluar dari taman perumahan rumah dua tingkat itu.

“Muka Sofia memang ikut muka arwah mummy dia. Aqif memang ikut muka arwah Uncle Ibrahim.” jelas Abdul Halim yang tenang memandu. Tapi Aneera di sisi dah berkerut. Otak cuba memproses apa yang baru saja meniti bibir abahnya.

“Maknanya Auntie Sara tu bukan mak kandung budak berdua tu la?” tebaknya.

Abdul Halim angguk.

“Arwah Uncle Ibrahim kahwin dua?”

Angguk lagi.

“Hesy! Biar betul abah ni? Neera tengok Auntie Sara tu baik aje. Kenapa Uncle Ibrahim kahwin dua?” Aneera tergeleng-geleng sendiri. Sukar terima hakikat yang satu itu. Tak semua wanita yang sanggup hidup berkongsi kasih.

“Dah jodoh Neera. Siapa kita nak lawan. Dulu, Auntie Sara sendiri yang suruh Uncle Ibrahim tu kahwin. Abah sendiri jadi saksi masa Uncle Ibrahim nikah. Auntie Sara sendiri yang pinangkan mummy Sofia dulu,”

Mata Aneera buntang.

“Biar betul?”

Abdul Halim senyum.

“Betullah. Kalau tak betul, tak ada budak berdua tu sekarang ni,” balasnya.

“Baiknya Auntie Sara sampai sanggup pergi pinangkan sendiri isteri kedua Uncle Ibrahim,” ulas Aneera dalam rasa tak percaya.

“Itulah namanya jodoh.” jawab Abdul Halim senang.

“Tapi kenapa Auntie Sara suruh Uncle Ibrahim kahwin lain? Nak kata Auntie Sara tu tak cantik, cantik aje Neera tengok. Masa dia muda mesti lagi cantik. Kalau tak, mesti Along kutip hutang tu tak handsome,” balas Sufiya dalam sengih. Cuma ayat yang terakhir tu bergema dalam hatinya. Tak dapat dinafikan rupa paras Encik Along cukup menarik di matanya meskipun cuma raut ketat yang terpamer.

“Auntie Sara tu dulu ada breast cancer. Neera kan perempuan. Mesti Neera faham apa yang jadi, apa kesan kanser tu pada perempuan kalau dah merebak. Auntie Sara rasa dia dah tak mampu nak bahagiakan Uncle Ibrahim lagi. Sebab tu dia suruh Uncle Ibrahim kahwin lain.” tenang Abdul Halim menyingkap kembali kisah suka dan duka sahabat lamanya yang dah tiada.

Aneera lepas keluh perlahan. Otak masih gagal terima apa yang disampaikan.

“Tapi kan… Kalau seorang lelaki tu setia, dia mesti terima semua kekurangan isteri dia. Susah nak jumpa perempuan yang nak hidup berpoligami. Susahlah bah…”

“Memanglah susah. Tapi tu semua bukan kerja kita Neera. Sudahlah. Tak payahlah cakap lagi pasal Uncle Ibrahim tu. Dia pun dah takde. Semua tu cerita lama Neera,” putus Abdul Halim sebaik kereta yang dipandu membelok masuk ke laluan sekolah. Tidak pun jauh dari taman perumahannya.

Aneera terus diam. Tak bersuara lagi meskipun banyak soalan yang masih berlegar-legar dalam kepalanya. Salah satunya mengenai Azhan. Dia cukup pelik dengan layanan kasar Azhan pada dua anak kecil yang tak bernasib baik itu.

…………
“Kakak, bila Kakak nak datang jumpa Fia lagi? Esok Kakak datang lagi dengan Tuk Lim ye?” Si comel Sofia main jemari runcing Aneera.

“Nanti, kalau Kakak cuti panjang, Kakak datanglah sini jumpa Fia.”

“Bila Kakak nak datang?”

Aneera pandang wajah Hajah Suhara.

“Tak tahu lagi sayang. Kakak kerja jauh. Susah nak datang sini.”

“Erm… Tuk Lim tak ambik Kakak ke?” Si comel Sofia hala mata ke arah Abdul Halim.

“Tak boleh. Kakak kerja jauh sangat.” sabar Aneera balas walaupun tahu si kecil itu takkan faham.

“Fia… Dengar ummi cakap ni,” Hajah Suhara tarik tangan comel Sofia. “Kakak Neera tak duduk sini. Dia duduk jauh sangat dari sini. Bila ada cuti panjang macam school break, baru Kakak boleh balik sini. Nanti, baru dia boleh datang jumpa Fia,” Hajah Suhara pula menerangkan pada anak kecil 5 tahun itu.

Sofia hala pandang pada Aneera yang manis tersenyum. Terkelip-kelip dua mata bulatnya.

“Fia salam Kakak. Kakak dah nak balik tu,” arah Hajah Suhara.

Si kecil itu menurut. Kembali dia mendapatkan Aneera lalu didakap erat.

“Kakak kawan dengan Fia kan?” omel si kecil sebaik meleraikan pelukan.

“Kawan. Kakak kawan Fia,” balas Aneera senang.

Aqif yang dari tadi duduk di sisi Abdul Halim cuma diam. Langsung tak berbunyi memandang adiknya.

“Aqif nanti jaga Fia baik-baik tau? Dengar cakap…” belum pun habis ayat Aneera, menjalar kereta putih masuk ke perkarangan rumah. Tak perlu diteka, Aneera tahu siapa gerangannya.

“Along!” Serta-merta wajah Sofia bertukar manis sebaik nampak susuk tubuh Azhan berdiri di muka pintu.

“Uncle,” Azhan terus dapatkan Abdul Halim. Salam bertukar. “Ada apa ni?” soal Azhan sebelum labuhkan duduk di salah satu sofa kosong.

“Takde apa. Saja singgah lepas hantar budak-budak ni tadi. Neera dah nak balik Terengganu. Dia nak jumpa Fia dengan Aqif ni tadi,” jelas Abdul Halim.

Azhan terangguk-angguk. Sempat matanya singgah sekilas pada wajah manis Aneera.

“Yang kamu kenapa balik tengah hari ni? Ummi kamu kata tadi, kamu balik lambat hari ni. Muka pun nampak pucat tu.” Abdul Halim pula menyoal sebabkan semua mata terhala ke arah Azhan termasuklah Aneera.

“Ikutkan macam tulah Uncle. Tapi tak tahulah kenapa perut ni. Dari semalam tak sedap, Uncle. Tak tahulah salah makan apa.” Azhan tepuk perutnya.

“Along sakit ke?” Sofia dah mendapatkan Azhan. Tangan kecil itu turut sama terlekap di perut Azhan tapi ditolak Azhan perlahan.

“Uncle, Han naik dulu ye?” Azhan cepat-cepat bingkas. Rasa tak selesa bila Sofia selalu sangat nak bermanja dengannya. Tambahan pula dia tak mampu nak marah Sofia bila di depan Abdul Halim. Dia tahu lelaki itu terlalu sayang pada Sofia seperti darah daging sendiri.

Aneera yang tak lepas pandang sejak tadi sempat lempar senyum sinis. Jelas di matanya Azhan cukup dingin bila Sofia mendekat. Pertanyaan si kecil itu pun langsung tak dilayan. Dasar samseng! Sempat lagi hatinya mengutuk.
     

No comments: