Oct 10, 2018

Berikan Cukup Waktu_15


“Kak, bila nak bawak kita orang balik jumpa ayah?” tanya Aina saat mengiringi Jeslina dan Maylin ke pintu pagar.

“Sekarang ni ayah sibuk sikit. Nanti kalau dah tak sibuk, akak bagi tahu.” Jeslina terpaksa mencipta alasan.

“Tak sibuk tu bila?” celah Aira pula.

Jeslina senyum kelat. Dipandang wajah Maylin yang turut tersenyum payau.

“Nantilah… apa-apa akak inform okey?”

“Akak… Janganlah lama-lama sangat. Kita orang dah lama sangat tak jumpa ayah.” Aina memujuk.

“Ya. Akak faham tu. Insya-Allah nanti jumpa. Korang pun tahu kan akak dengan ayah macam mana?”

Pasangan kembar itu sama-sama lepas keluh perlahan.

“Akak tu, ada masa tidurlah sini.” Pinta Aira pula.

“Nanti-nantilah… Lagi pun, akak tengok ibu macam tak suka jumpa akak.” Luah Jeslina bersama senyum hambar. Dia perasan sejak di lapangan terbang tadi. Sebaik mata mereka bertemu, ibunya cepat-cepat melarikan pandangan. Bertanya khabar pun tidak membuatkan dia sendiri rasa kekok untuk menegur. Saat dia bersalaman tadi pun, dia dapat rasa tangan ibunya cukup dingin.

“Jess!” Maylin mencelah. “Tak baik kau cakap macam tu. Tu kan ibu kau.” Tegurnya dengan suara tertahan. Dia sendiri perasan akan rasa kekok yang ada antara dua beranak itu sejak tadi.

“Tapi memang betulkan? Kau sendiri nampak.”

“Akak…” Aina tarik jemari Jeslina lalu diramas lembut. “Aina mintak maaf bagi pihak ibu. Tapi Aina tahu ibu tetap sayang akak sama macam dia sayang kita orang.” Dia cuba memujuk.

Jeslina cuma senyum nipis. Hambar.

“Kak Jess, esok kita orang datang gim boleh?” Aira terus tukar topik.

“Boleh. Tapi nak datang naik apa? Minggu depan kereta yang korang nak tu baru boleh ambil. Kan May?”

“Yup! Ben cakap paling cepat pun minggu depan. Tapi nanti aku follow up balik. Kalau boleh dapat cepat nanti, aku inform.” Sahut Maylin. Tunangnya yang uruskan perihal kereta yang dah ditempah bulan lalu memandangkan keluarga Ben punya syarikat menjual kereta terpakai dan baru.

“Kalau macam tu, naik Uber ajelah. Kan senang?” Aina sengih. Rasa tak sabar dia nak jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur yang jauh lebih membangun sebelum mereka berpindah lebih 10 tahun lalu.

“Dah lewat ni. Apa yang berembun dekat luar lama-lama tu?” Ada suara dari arah muka pintu menyebabkan masing-masing menoleh.

“Kejaplah bu!” sahut Aina.

“Jess, jomlah kita balik. Ni pun dah lewat. Esok pagi-pagi aku dah nak bertolak ke Melaka, wedding cousin aku.” Ujar Maylin seraya kerling jam di pergelangan. Diam tak diam hampir 10 malam.

“Okeylah. Akak gerak dulu. Esok kalau nak datang, inform akak. Takut akak takde dekat gim.”

Alright!” sahut si kembar hampir serentak sebelum masing-masing bertukar pelukan dan salam.

“Akak, jangan terasa hati dengan ibu ya?” sempat lagi Aina berbisik.

Jeslina cuma lepas senyum kecil. Mata sempat dihalakan ke arah susuk tubuh yang berdiri di ambang pintu. Dia lemparkan senyum sekilas sebelum terus masuk ke ruang pemandu. Biar pun tiada balasan daripada ibunya, dia masih berpuas hati meskipun rasa kecewa dan sedih melebihi segala-galanya. Sekurang-kurangnya ibu masih sudi memandang dan tak menolak tangannya saat bersalaman tadi.

No comments: