Oct 3, 2018

Berikan Cukup Waktu_2


Tajam mata Jeslina merenung Fakri yang sejak tadi tak lekang dengan senyum. Senyum yang cukup membakar hatinya bila setiap serangan yang dibuat, lelaki itu tepis dengan cukup tenang dan tangkas.

“Kenapa tenung aku macam tu? Dah tak sabar nak keluar dating dengan aku?” Usik Fakri yang bertindak sebagai pengurus dan orang kepercayaan ayah Jeslina di JS Fighters Gym and Fitness. Lelaki yang dah dipertanggungjawabkan untuk menjaga Jeslina walau dalam apa jua keadaan sekali pun. “Lain kali, jangan nak jadi hero sangat. Tak pasal-pasal kau kena teman aku keluar esok.” Sambungnya yang sentiasa berjaga-jaga andai Jeslina buat serangan curi dalam dia terleka.

“Soalnya bukan nak jadi hero. Takkan aku nak biarkan leher Maylin kena libas kerambit mamat tak guna tu? Kau ingat aku ni patung cendana dekat situ? Takkan aku nak tengok Si Maylin jadi mendiang depan mata aku ni?”

“Bukanlah sampai macam tu sekali. Maksud aku, kau tu janganlah berani sangat. Dibuatnya jantan tu berdendam dengan kau macam mana?”

“Aku rasa dia dah meninggal kena hurung dek langau hari tu. Badan pun dah tinggal tulang. Tu pun kalau langau selera nak hurung dia.” Balas Jeslina bersama senyum tepi. Dalam masa yang sama, dia cuba cari peluang untuk buat serangan.

“Kau jangan cakap besar, Jess. Dibuatnya dia betul-betul mati, lepas tu ada orang lain yang nampak kau pukul dia macam mana?”

“Aku peduli apa dia nak mati ke apa?”

“Cuba jangan nak berani sangat boleh tak? Kau tu perempuan. Perempuan tetap perempuan!” tegas Fakri.

“Kau ingat, perempuan tak boleh jadi kuat macam lelaki ke? Salah ke, aku nak pertahankan diri? Apa guna training yang aku buat dari dulu?” tingkah Jeslina tak puas hati. Dia cukup tak suka orang pandang rendah pada seorang perempuan. Selalu sangat dimomokkan dengan kenyataan ‘perempuan adalah kaum yang lemah.’ Tapi dia tak nak jadi perempuan yang lemah!

“Aku dah tak tahu nak cakap apa lagi dengan kau Jess. Aku cuma nak ingatkan, jangan sampai nanti ayah tahu semua ni. Kalau dia tahu, aku dah tak boleh nak tolong lagi. Kau tahu ayah memang dah tak nak langsung kau lawan dengan siapa-siapa pun. Apatah lagi kalau dapat tahu kau belasah orang sampai separuh mati. Ni bukan pertama kali, Jess.”

Jeslina cuma cebik sebelum laju melayangkan penumbuk tepat ke muka Fakri namun lelaki itu pantas mengelak. Dua tangan tegapnya menghalang daripada tumbukan mengenai muka. Tak tunggu lama, dia menyerang lagi dengan rasa tak puas hati. Tendangan pula dibuat tapi sikit pun tak menggugat batang kaki tegap Fakri dari tempatnya. Malah kini kakinya pula terasa sakit seperti menghentam batang kayu yang cukup ampuh.   

Try harder my dear.” Sengaja Fakri provok.

Serentak itu Jeslina buat lagi serangan. Kali ini bukan saja tumbukan bertubi-tubi dibuat, tetapi bersilih ganti dengan tendangan sebelum akhirnya dia berundur demi mengelak gerakannya dikunci Fakri. Tercungap-cungan dia membuang nafas lelah. Wajahnya yang lencun dek peluh langsung tak dihiraukan.

“Kenapa berhenti? Dah give up? Kau rindu nak pukul orang sangat kan? Come. Aku rasa belum cukup lagi apa yang kau buat dari tadi. Setakat mamat lalok yang kau belasah tu, bolehlah kau ‘makan’. But not me, Jess.” Tak habis-habis Fakri mahu mencabar. Dia tahu gadis itu merindui aksi di gelanggang setelah meninggalkannya hampir 5 tahun gara-gara kecederaan teruk yang pernah dialami ketika perlawanan.

Sekali lagi Jeslina ketap bibir kuat sebelum langkah dibawa ke depan dan terus membuat serangan. Seperti tadi, Fakri tenang menepis dan mengelak pukulan dari mengenai tubuhnya walaupun dia dapat rasa setiap serangan Jeslina cukup padu. Fakri sempat lakar senyum tepi bila mula dapat merasakan tumbukan dan tendangan Jeslina kian lemah. Dan kesempatan itu dia ambil peluang untuk mengunci pergerakan Jeslina sekemas mungkin. Kedua-dua tangan Jeslina tak bergerak lagi sebelum akhirnya gadis itu mengalah dan meleraikan pautan tangan Fakri.

“Aku nak balik!” hambur Jeslina seraya cabut glove merah yang dipakai langsung dicampakkan ke arah Fakri dengan rasa tak puas hati dan kecewa dengan diri sendiri. Ketangkasannya berlawan sudah tidak seperti dulu. Kemahirannya kian terhakis. “Ni bukan tempat aku lagi.” Tambahnya seraya turun dari gelanggang. Botol air mineral dicapai dan diteguk laju.

Fakri mendekatinya bersama senyum yang terlakar.

“Janji tetap janji kan?” Kening sebelahnya terangkat.

Jeslina lempar jeling sekali. Terpaksa mengalah dengan janji yang dah dibuat bulan lepas hanya kerana Fakri sama-sama menyimpan rahsia atas apa yang berlaku. Dia cukup yakin ayahnya akan mengamuk kalau dapat tahu apa yang dia dah buat.

“Kau jangan buat-buat lupa pulak.” Sambung Fakri seraya mengelap wajahnya yang turut disimbah peluh.

“Aku belum nyanyuklah!” Jeling Jeslina lagi.

Good! Sabtu ni, lapan pagi aku terpacak depan pintu pagar rumah kau. Jangan lambat pulak.”

Jeslina lepas rengus.

“Kau bernasib baik aje hari ni.” Ujarnya bersama sisa tak puas hati yang terpendam.

“Sebab?”

“Sebab kita tak guna siku dengan lutut.”

Fakri senyum senget. Dalam diam mengakui. Sejak awal lagi dia mengingatkan agar mereka mengelak daripada menggunakan siku dan lutut walaupun dua anggota itu antara seni lapan anggota sukan Muay Thai. Dia tak mahu ada sebarang kecederaan berlaku memandangkan dia tahu Jeslina pernah mengalami kecederaan yang teruk ketika terlibat dalam satu perlawanan dulu. Rusuknya pernah patah kerana menerima hentaman kuat daripada lutut pihak lawan selain tulang kaki dan tangan yang pernah retak.

“Kalau aku ada peluang tadi, paling tidak aku nak buat sampai kau sakit kaki.” Balas Jeslina turut lempar senyum senget.

Fakri geleng. Senyumnya melebar.

“Kalau apa-apa jadi pada kau nanti, aku yang susah Jess.” Balasnya lambat. “Cukup sekali aku tengok ayah susah hati bila kau terlantar atas katil berminggu-minggu. Aku tak nak benda yang sama berulang lagi. Cukup sekali.” Sambungnya meluahkan apa yang dia rasa.

Semenjak itu, kelab Muay Thai bimbingan Saif tidak lagi melahirkan jaguh sukan Muay Thai semata-mata untuk beraksi di dalam gelanggang dan mengalahkan pihak lawan hingga ke peringkat antarabangsa. Sebaliknya mereka lebih kepada membantu remaja yang bermasalah dan tidak berpeluang untuk berjaya dalam pembelajaran. Dengan disiplin dan bimbingan yang terbaik dapat membentuk serta mengubah anak-anak remaja tersebut menjadi insan yang lebih berguna di masa hadapan.

“Sebenarnya ayah tak risaukan aku, Fakri. Dia lagi risaukan ibu aku bila dapat tahu aku cedera teruk masa tu.” Balas Jeslina perlahan bersama keluh halus. Dia ingat lagi macam mana marahnya ibu pada ayah sebaik melihat dia terlantar di atas katil menerusi aplikasi Skype. Dan disebabkan itu dia terpaksa melupakan cita-citanya untuk terus beraksi di gelanggang yang lebih berprestij. Semua kerana amaran yang diberikan ibu.

“Jess… Tak baik kau cakap macam tu. Masa dekat hospital dulu, siapa lagi yang tunggu kau kalau bukan ayah? Tu pun tak cukup ke kau faham yang ayah betul-betul risaukan kau?”

Sekali lagi Jeslina hempas keluh.

“Tak payahlah cakap lagi hal yang dah lepas.” Putusnya kemudian. Dah tak mahu mengenang lagi apa yang pernah berlaku dulu. Air mineral yang masih berbaki terus diteguk habis.

“Kau…”

Jeslina toleh.

“Sabtu ni jadi kan? Kau dah janji.”

“Yelah!” Dia terus beredar dari ruang latihan buat ahli Kelab Muaythai JS Fighters yang terletak di tingkat bawah JS Fighters Gym and Fitness.

“Jess! Nak keluar dengan aku jangan lupa pakai cantik-cantik sikit!” Sempat Fakri berpesan membuatkan langkah Jeslina yang menghampiri pintu, kembali berpaling.

“Suka hati aku la nak pakai apa pun!” tingkah Jeslina sebelum menyambung langkah. Namun sekali lagi langkahnya terhenti bila ada satu susuk tubuh berdiri di muka pintu.

“Ayah…” Liur yang ditelan terasa tersangkut di kerongkong.

“Buat apa dekat sini?” Tegas dan tak bernada seperti selalu.

Jeslina hala pandang ke arah Fakri.

“Ayah.” Fakri menghampiri. “Ayah cari Fakri?”

Saif tak menjawab. Sebaliknya dipandang kedua-duanya bersilih ganti dengan renung tajam. Fakri dah bagi isyarat agar Jeslina kembali ke gim terlebih dahulu.

“Ayah harap ni kali terakhir ayah nampak Jess masuk ke sini.” Tegas Saif membuatkan Jeslina terhenti di saat kaki memijak anak tangga pertama. “Ingat Jess. Dah banyak kali ayah ingatkan. Ni bukan lagi tempat Jess.” Tambahnya dalam nada yang sama.

Jeslina terus sambung langkah tanpa berpaling. Terpaksa menelan hakikat yang satu itu walaupun sudah bertahun meninggalkan gelanggang seni bela diri yang pernah sebati dengan dirinya dulu.

No comments: