Oct 3, 2018

Yang Sebenarnya Aku Tetap Sayang_4


Bab 4
Hajah Suhara menghalakan langkah ke ruang dapur bila pendengarannya dapat menangkap bunyi sudu yang berlaga-laga dengan benda kaca saat dia leka menonton TV di ruang depan. Bibir menguntum senyum sebaik melihat Aqif dan Sofia masing-masing bertenggek atas kerusi di tepi kabinet. Si adik sedang mengacau segelas susu manakala si abang sedang menyapu tuna pada sekeping roti.

“Apa yang anak-anak ummi buat ni? Kenapa tak panggil ummi dekat depan hm?” soalnya lembut.

Aqif dan Sofia cuma tayang senyum.

“Pandai ke Fia buat susu ni?” tanya Hajah Suhara lagi. Cuma memerhati kedua-duanya tanpa mahu membantu.

“Pandai.” Selamba si kecil itu jawab.

“Siapa yang ajar?”

“Abang.” Sofia tayang barisan giginya yang cantik.

Hajah Suhara pandang bekas susu yang terbuka tutupnya. Keningnya berkerut.

“Ni bukan susu Fia. Ni kan susu untuk orang besar. Abang tak bagi tahu ke?” laju tangannya menutup kembali bekas susu tadi lalu di letakkan kembali ke dalam kabinet.

“Ni susu Alonglah, ummi. Fia buat susu untuk Along. Kesian Along belum breakfast. Abang yang suruh buat susu ni. Along suka minum susu.” balas Sofia.

Hajah Suhara senyum.

“Habis, sandwich tu pun untuk Along?” soalnya lagi.

Aqif angguk.

“Dah siap!” soraknya sebaik dua keping roti siap bersapu tuna dan diletakkan bersama sehelai daun salad serta sekeping keju.

“Susu Fia pun dah siap. Fia nak bagi Along,” sahut Sofia sebelum turun daripada kerusi. Begitu juga dengan si abang.

“Eh, kejap!” Hajah Suhara menahan. Sedikit kurang senang hatinya membiarkan dua beradik itu naik ke bilik anak sulungnya. “Abang dengan Fia tak takut ke kalau Along marah? Along tengah tak sihat tu.” Dah tiga hari anaknya itu bercuti kerana demam dan cirit-birit.

“Tapi ummi… Along belum makan. Dari semalam Abang tak nampak pun Along makan.” jawab Aqif.
Sekali lagi Hajah Suhara menguntum senyum. Terharu dengan sikap dua beradik yang terlalu ambil berat akan keadaan Azhan. Tapi Azhan… Keluh halusnya terlepas.

“Ummi rasa, tak payahlah hantar susu dengan sandwich tu. Along tak sihat lagi tu. Kalau dia lapar, mesti dia turun nanti. Abang dengan Fia tak payahlah hantar. Biar ummi ajelah makan susu dengan sandwich tu.” Dia cuba memujuk demi mengelakkan kedua-duanya kena marah. Baru kelmarin kedua-duanya ditengking Azhan kerana terlalu bising.

“Tak boleh! Ni susu Along! Fia nak bagi Along!” sahut Sofia laju.

“Fia…”

“Fia nak bagi Along. Kesian Along belum makan. Nanti Along sakit lagi. Fia tak nak Along sakit.” Sofia dah pegang segelas susu yang dibuatnya tadi sebelum lambat-lambat melangkah kerana risau susu akan tertumpah.

“Abang…” Hajah Suhara cuba menghalang Aqif pula. Tapi sekecil itu laju menggeleng. Ditatang pinggan berisi sandwich tadi. Dia juga ikut langkah Sofia yang mula memanjat tangga lambat-lambat.

Hajah Suhara lepas keluh lagi. Dengan membiarkan kedua-duanya, dia kemaskan ruang kabinet yang agak bersepah. Dan tak sampai pun seminit dia berkemas, telinga menangkap bunyi kaca berderai. Tersentak dia seketika sebelum dengar suara Azhan yang melengking tinggi.

“Apa hal korang berdua ni! Kalau sehari tak buat aku marah, tak boleh ke!” tengking Azhan kuat.

Sofia dah terkebil-kebil dengan muka yang hampir menangis. Aqif di sisi menikus. Ditarik tangan adiknya agar menjauhi Azhan.

“Er… Abang dengan Fia nak hantar susu dengan sandwich ni.” Takut-takut Aqif balas dengan menunduk. Tak berani nak tentang muka menyinga Azhan.

“Ada aku mintak korang hantar? Ada?” Azhan jegil mata. “Ada ke tak!” Sekali lagi dia menengking menyebabkan dua beradik itu terundur ke belakang dek rasa terkejut.

“Aku tahu kau bersihkan semua ni!” Azhan tunjuk arah susu yang melimpah bersama gelas kaca yang dah pecah di depan pintu biliknya. “Kalau aku keluar nanti tak bersih lagi, siap korang! Tak habis-habis nak menyusahkan orang!” Pintu bilik dihempas kuat. Berdentum bunyinya.

“Astaghfirullahalaazim…” Mengucap panjang Hajah Suhara sebaik tiba di anak tangga terakhir. Hampir menitis air matanya melihat dua beradik yang tak berkutik depan pintu bilik. Jelas di telinganya setiap bait kata yang terluah di bibir anak sulungnya itu tadi.

“Ummi!” Berlari Sofia dapatkan Hajah Suhara lalu menghamburkan tangis. “Fia jatuhkan susu Along. Along marah Fia…” Adu Sofia dalam esak.

“Ummi dah cakap tadi kan? Fia dengan Abang tak nak dengar…” balas Hajah Suhara lembut.

Aqif yang berdiri dengan sandwich di tangan langsung tak berbunyi. Cuma air mukanya cukup keruh.

“Ummi… Kenapa Along tak suka Abang dengan Fia. Abang dah ikut semua cakap Along. Abang dengan Fia tak naughty. Abang dengan Fia behave. Tapi kenapa Along marah-marah Abang dengan Fia.” luahnya kemudian. Cukup perlahan.

Hajah Suhara seka air mata tuanya yang mula merembes.

“Along tak sihat sayang. Tadi ummi dah cakapkan? Along tak sihat. Dia tak suka Abang dengan Fia kacau dia nak tidur.” ujarnya cuba memujuk.

“Along tak sayang Fia ke ummi? Kenapa Along tak sayang Fia dengan Abang? Fia sayang Along…” celah Sofia dalam sisa tangis.

“Siapa kata Along tak sayang Fia dengan Abang? Along sayang. Cuma sekarang ni, Along tak sihat. Fia dengan Abang kena dengar cakap Along. Lepas ni jangan kacau dia ye? Anak-anak ummi ni kan pandai, baik… Dengar cakap ummi ye?”

Dua beradik itu cuma diam.

“Abang tolong bawak Fia turun. Sandwich tu letak atas meja. Nanti ummi makan. Nampak macam sedap tu. Ummi nak lap susu ni. Nanti Along marah lagi. Abang dengan Fia tak nak Along marahkan?”

Kedua-duanya mengangguk sebelum berlalu. Tapi baru beberapa langkah, Aqif kembali semula. Dipegang tangan Hajah Suhara.

“Ummi… Abang mintak maaf.” ujar Aqif perlahan.

“Kenapa mintak maaf dengan ummi?”

“Sebab ummi kena lap susu yang Fia tumpahkan.” jawab si kecil itu perlahan.

Hajah Suhara lirik senyum. Diusap lembut pipi mongel Aqif.

“Abang turun dulu tengokkan adik. Nanti ummi datang.” ucapnya lembut.

“Abang sayang ummi.” Aqif terus peluk tubuh Hajah Suhara. Terkedu dia seketika dengan hujung mata kembali memberat. Sayu tak terungkap dirasakan.

………….
“Ummi, Along tak turun makan?” Idris labuhkan duduk sebaik turun dari tangga.

“Ummi malaslah nak tanya, Id. Biarlah dia. Tahulah nanti dia cari makan kalau lapar.” balas Hajah Suhara acuh tak acuh.

Idris kerut kening. Tak pernah dia dengar umminya jawab sedemikian rupa kalau dia tanya tentang abang sulungnya.

“Ummi okey ke?” soalnya sedikit pelik sebelum mata terhala ke arah dua beradik yang tak begitu ceria di depannya. Kebiasaannya meja makan itu riuh dengan suara mereka berdua. “Ada apa-apa yang jadi ke tadi?” soalnya lagi.

“Takde apalah, Id. Makanlah.” sahut Hajah Suhara sebelum labuhkan duduk di kepala meja.

Bertambah kerutan di dahi Idris bila perasan pinggan umminya tak berisi nasi.

“Ummi tak makan?”

“Ummi kenyang lagi, Id. Id makanlah.” Hajah Suhara paksa bibirnya tarik senyum. “Fia nak apa? Ayam?” Tumpuan beralih pada Sofia. Si kecil itu cuma mengangguk. Ayam goreng bahagian paha dihulurkan tapi Sofia cepat-cepat tarik pinggannya menjauh.

“Kenapa? Tadi Fia kata nak ayam.”

Sofia geleng.

Drumstick tu Along punya. Along belum makan.” jelasnya polos.

Hajah Suhara lepas keluh kecil. Diletakkan kembali ayam goreng bahagian paha itu kembali dan diganti dengan bahagian kepak.

Idris yang cuma memerhati mula menangkap sesuatu. Dan pastinya ada kena mengena dengan abangnya. Mata dihalakan ke arah Aqif. Si kecil itu lebih banyak diam sejak dia tiba lewat petang tadi.

“Abang…” serunya lembut. Aqif angkat muka.

“Abang dengan Fia kena marah dengan Along lagi ye?” soalnya sedikit tegas.

Aqif buang pandang ke arah Hajah Suhara sekilas sebelum kembali ke wajah tenang Idris. Kepala mengangguk perlahan.

Idris hela nafas panjang.

“Apa lagi dosa yang budak-budak ni dah buat pada Along sampai kena marah mi?” Dipandang muka umminya inginkan penjelasan. Teringat peristiwa kelmarin bila abangnya menengking dua beradik itu kerana berbuat bising di luar bilik.

“Fia jatuhkan susu Along. Along marah.” sahut Fia perlahan.

Sekali lagi Idris lepas nafas panjang. Kesal dengan perangai abangnya yang kerap benar memarahi dua beradik itu.

“Takde apalah, Id. Id tak payah risau. Along marah-marah, biasalah. Id pun tahu dia macam mana kan?” Perlahan Hajah Suhara sambut.

“Id tak fahamlah Along ni. Sampai bila nak marah budak-budak ni? Dia orang ni tak tahu apa-apa pun. Apa lagi yang Along tak puas hati dengan arwah ayah? Dia ingat dengan marah budak berdua ni, boleh putarkan balik masa? Boleh buat kita jadi macam dulu lagi?” Hambur Idris agak geram.

“Sudahlah Id. Jangan ungkit lagi hal yang dah jadi. Kalau Along dengar, marah dia nanti… Biarlah dia.” Hajah Suhara pegang tangan anak keduanya.

“Tapi sampai bila nak jadi macam ni, mi?” tingkah Idris.

“Id…” keluh Hajah Suhara perlahan. Isyarat mata diberi pada dua anak kecil yang jadi pemerhati sejak tadi.

Idris lepas keluh panjang. Kesal tak terungkap dalam hatinya dengan perangai Azhan yang masih tak boleh terima takdir yang telah ditentukan buat mereka sekeluarga.

………….
Mata tak lepas pandang lantai depan pintu bilik yang dah pun kembali bersih dari susu dan gelas yang pecah. Dibuang pandang ke arah pintu bilik yang bertentangan dengannya sekilas sebelum dihalakan ke arah pintu bilik di sebelah. Melihat keadaan yang dah pun suram, dia tahu semua ahli keluarganya sedang enak melayari mimpi. Mata kembali terhala ke pintu bilik bertentangan.

Abang & Fia

Itu yang tercatat di pintu bilik. Lambat-lambat langkah dibawa ke situ sebelum tombol pintu dipulas perlahan. Dalam suram cahaya lampu tidur, dia nampak dua susuk tubuh kecil yang lena diulit mimpi di atas katil masing-masing. Tubuh mendekati katil warna merah jambu. Dipandang kosong wajah comel Sofia.

Keluh dilepaskan. Ada rasa bersalah begitu mencengkam dengan apa yang jadi siang tadi. Si kecil tak berdosa itu ditengking hanya sebab kesalahan kecil. Pandangan jatuh pula pada seraut wajah polos Aqif. Meskipun baru berumur 6 tahun, tapi sikapnya jauh lebih matang daripada umur kanak-kanak yang sebaya dengannya. Dan mungkin juga lebih matang dari dia. Keluh dilepaskan lagi sebelum dia meninggalkan ruang bilik itu.

“Han buat apa dalam bilik budak-budak tu?” tegur satu suara sebaik pintu kembali dirapatkan. Wajah umminya dipandang sekilas dalam suram cahaya. Dibiarkan soalan itu tak berjawab. Langkah terus dibawa ke tangga. Dia mahu ke dapur mengisi perut yang terasa lapar sejak tadi.

“Han…” Hajah Suhara turut menuruni tangga.

“Dah lewat ni, kenapa ummi tak tidur lagi?” Soalan lain diajukan sebaik masuk ke ruang dapur.

“Han tak jawab pun soalan ummi.” tegas Hajah Suhara.

Azhan hala pandang bersama keluh pendek yang terlepas.

“Apa lagi mi? Han tak buat apa-apa la…” jawabnya sebelum mencapai muk dari tepi kabinet. Air suam dituangkan sebelum diteguk perlahan.

“Sampai hati Han tengking budak-budak tu tadi. Apa dosa budak-budak tu pada Han?” luah Hajah Suhara cukup perlahan berbaur rasa kecewa.

Sekali lagi Azhan lepas nafas panjang. Tak dipandang wajah umminya kerana dia tak sanggup tengok ada air mata yang bergenang nanti.

“Boleh tak kita jangan cakap pasal tadi mi? Han cuma marah ajekan? Han tak sentuh pun budak-budak tu.” balasnya tertahan.

“Memanglah Han tak sentuh. Tapi hati ummi ni, Han ada ingat? Han marah budak-budak tu macam ummi dah takde dalam rumah ni. Han jangan lupa. Budak-budak tu amanah ummi, janji ummi pada arwah ayah, pada arwah mummy budak-budak tu. Han tahu tak budak-budak tu sayang sangat pada Han? Kenapa tak boleh sikit pun Han tunjuk sayang pada dia orang? Budak-budak tu tak salah Han…” Dalam getar suara Hajah Suhara luahkan. “Masa ummi ada ni Han sanggup tengking budak-budak tu. Agaknya, bila ummi dah takde nanti, entah apa yang Han buat.” sambungnya lirih.

“Ummi!” Azhan lepas rengus. Tak senang hati dia dengar apa yang terluah.

“Kalau iye pun Han tak suka, Han benci budak-budak tu… Tolong hormatkan ummi yang masih bernyawa dalam rumah ni.” sambung Hajah Suhara sebelum terus meninggalkan ruang dapur itu dengan linangan air mata. Kesal tak terkata dengan perangan si anak yang satu itu.

No comments: