Oct 3, 2018

Berikan Cukup Waktu_1


Buk!

Lelaki kurus berseluar denim koyak rabak di kedua-dua belah lutut tersungkur di hujung kaki sambil menekan perut yang terasa cukup senak.

“Badan sihat, cukup sifat lain kali pergi kerja!” Herdik Jeslina geram.

“Ni pun kerja la, bodoh!” Dalam sakit si lelaki itu menjawab.

“Meragut ni kau cakap kerja? Jadi lelaki boleh tak jangan bodoh sangat! Kerja kepala kepala hotak kau!”

Buk!

Sepakan kuat mengenai ke tubuh lelaki itu.

“Jess, dah la tu. Kalau orang nampak, nanti orang ingat kau kaki pukul pulak.” Tangannya ditarik agar menjauhi lelaki yang hampir separuh mati dikerjakan.

“Eiii! Ikut aku kan… Memang mampus aku kerjakan kau ni. Manusia macam kau ni, memang tak layak hidup tahu tak? Mati lagi bagus! Menyusahkan orang tak habis-habis! Kalau susah sangat nak mati, meh sini aku tolong hantar kau ke batu dua sana!”

Buk!

Sekali lagi kaki diayunkan ke tubuh lelaki malang itu.

“Jangan sampai aku jumpa muka kau lagi lepas ni. Kalau aku jumpa, nahas kau aku kerjakan!” Telunjuk runcingnya ditunjal ke dahi lelaki yang tak berdaya nak melawan.

“Jess! Dahlah tu!”

Jeslina lepas rengus kasar sebelum terus masuk ke dalam kereta meninggalkan lorong tepi kedai yang agak sunyi itu.

“Sial punya betina! Puihh! Tangan keras nak mampus! Macam jantan!” Maki si lelaki yang pecah bibir dengan cecair merah pekat meleleh dek penumbuk padu yang diterima. “Sial! Puihh!” Diludah air liur bercampur darah pekat.

“Jess, kesian dia tadi. Pukul sikit-sikit dahlah…”

Jeslina lempar jeling sekilas ke arah Maylin yang ketakutan dengan apa yang baru saja berlaku tadi.

“Elok biar mati je jantan tak guna tu tahu tak? Sakit betul hati akulah! Pantang betul orang yang suka meragut ni. Tahu nak buat kerja mudah aje! Banyak lagi kerja dalam dunia ni, meragut jugak yang dia nak! Rasakanlah! Nasib baik tak mati aku kerjakan!” Jeslina lepas rengus puas.

“Kau ni… Tahulah kau marah. Tapi kalau dia mati tadi macam mana? Dia jadi peragut, kau nak jadi pembunuh?”

“Siapa suruh dia meragut? Kalau kau mati tadi macam mana? Kau sendiri nampak dia siap ugut kau dengan kerambit tadi. Nasib aku sampai cepat. Kalau tak?” Jeslina jegil mata pada sahabatnya itu.

“Okey okey! Thanks sebab selamatkan aku.” Maylin mengalah. Memang dia bernasib baik punya sahabat yang memiliki ilmu mempertahankan diri. Hampir saja dirinya tadi menjadi mangsa ragut.

“Tu baru kau yang lembik ni dia nak ragut. Cuba kau bayangkan kalau yang kena ragut tu makcik-makcik tua tadi? Kau rasa, peragut tu akan puas?” sambung Jeslina dengan rengus tak puas hati. Dah terlalu banyak kes yang melibatkan peragut hingga melibatkan kematian. Mana mungkin dia nak berlembut dengan peragut macam tu.

“Ya. Aku tahu dia orang takkan puas. Tapi tadi, dia tak sempat dapat apa-apa pun dari aku kan?”

“Habis tu, kau nak tunggu jadi apa-apa baru aku boleh belasah dia?”

Maylin lepas keluh panjang.

“Bukanlah maksud aku macam tu… Haihh… Dahlah… Malaslah aku nak cakap apa-apa lagi.” Terpaksa mengalah. Sedia maklum akan perangai tegas Jeslina.

“Dah tak nak cakap, diam-diam. Panas hati aku ni belum habis tahu tak?” Rengus Jeslina lagi. Matanya fokus ke tengah jalan yang agak sesak dalam waktu tengah hari itu.

“Tangan kau okey ke? Aku nampak luka tadi.” Ujar Maylin lebih tenang berbanding tadi.

Jeslina tengok arah siku kanannya. Baju lengan panjang yang dipakai berlubang bersama kesan darah. Pastinya luka dek terjatuh saat bergelut dengan peragut tadi.

“Sikit aje. Takde apa-apa pun.” Balasnya senang meskipun dia mula terasa pedih. Tak mahu sahabatnya itu bertambah risau.

“Kau tak payah drive aku baliklah Jess. Nanti aku call Ben pick up dekat rumah kau.”

“Ben tak busy ke?”

No la. Biasa dia duduk dekat bengkel weekend macam ni.” Maylin terus keluarkan telefon daripada beg tangannya. Mahu menghubungi bakal suami yang bakal dikahwini hujung tahun nanti.

“May, kau suruh Ben pick up dekat gim la. Aku nak rest dekat sana sebelum balik.”

“Yelah. Tapi kau betul ke tak nak pergi klinik ni? Nanti kalau ayah kau tanya, kau nak jawab apa?” Seraut wajah Maylin berubah risau. Dia tahu ayah sahabatnya itu cukup garang dan tegas.

“Sebab tu aku nak singgah gim dulu, tukar baju. Kalau ayah aku nampak macam ni, memang bisinglah jawabnya.” Jeslina lepas keluh perlahan.

“Tapi nasib baik kau takde apa-apa tau. Aku risau betul tengok kau tadi.”

“Tulah… Nasib jantan tu baik sebab ada kau aje, May. Kalau tak tadi… Memang dah goal aku kerjakan…” Jeslina hentak tangan ke stereng keretanya. Rasa geram dan sakit hati masih bersisa.

“Sudahlah tu Jess… Tadi pun, dah teruk kau kerjakan dia.”

“Tu baru sikit, May. Ikut panas terbakar hati aku ni, memang malaikat maut dah datang jemput dia tadi.” Jeslina genggam penumbuknya pula.

“Haihh kau ni Jess… Sudahlah… Sekarang ni, baik kau risaukan diri kau tu.”

Jeslina tengok lagi bahagian siku yang mula terasa berdenyut-denyut. Kelajuan kereta ditambah agar mereka segera tiba ke destinasi yang dituju.

No comments: