Jun 18, 2012

Mengharap kasih_short_part 3


“Kenapa kemas cepat-cepat ni? Dah nak balik ke? Kan Ila kata nak pergi mandi sungai dulu dengan anak-anak?” tanya Afrizal lembut sebaik dia masuk ke dalam bilik selepas bersarapan pagi dengan ahli keluarga yang lain. Hanya Azila sahaja yang tidak makan bersama walaupun dia tahu isterinya itu yang memasak tadi ketika dia masuk ke dapur.

“Tak payahlah. Lain kali aja.” Jawab Azila mendatar tanpa menoleh ke wajah suaminya yang berdiri di sisi.

“Sayang kenapa ni? Dari tadi abang tanya sayang tak nak jawab pun.. Makan pun tak.. sedap tau nasi lemak yang sayang masak tadi.” Kata Afrizal cuba memancing perhatian isterinya itu untuk bercakap.

“Iya ke sedap? Tadi bukan ke Ila dengar mak komplen nasi lemak Ila takda rasa… Kak Long kata sambal udang Ila tu pedas sangat.. Kak Lang pulak kata macam rasa makanan dekat hospital.” Jawab Azila yang terasa hati dengan kata-kata ahli keluarga suaminya tadi.

Afrizal mengeluh panjang. Dia sendiri dengar apa yang diperkatakan oleh ahli keluarganya tadi membuatkan isterinya itu terus tidak jadi menyertai mereka. Dia melabuhkan duduk di hadapan Azila yang sedang melipat baju mereka untuk dimasukkan ke dalam beg.

“Kan Ila tahu macam mana perangai adik-beradik abang tu…” kata Afrizal lembut memujuk.

“Ila bukan takda telinga bang. Telinga Ila elok lagi ni.. Hati Ila pun berfungsi lagi..” jawab Azila dalam nada yang sama. Dia benar-benar berkecil hati dengan semua ahli keluarga suaminya. Bersusah-payah dia memasak keseorangan di dapur tadi. Namun, hanya kritikan pedas yang diterima. Sudah tawar hatinya untuk berlamaan di situ lagi ditambah dengan hal yang baru diketahui.

“Habis tu, takkan kita nak balik sekarang. Apa abang nak cakap dengan mak?” keluh Afrizal. Baru sahaja dia berjanji dengan ibunya untuk pergi ke rumah bapa saudaranya selepas makan tengah hari nanti.

Azila terhenti melipat pakaian. Wajah ditegakkan memandang ke wajah suaminya.

“Ila nak balik. Abang izinkan aja Ila balik rumah kita. Kalau abang tak boleh hantar, Ila boleh balik sendiri.” Putus Azila akhirnya. Dia tahu suaminya itu akan sedaya upaya memujuknya agar membatalkan rancangan untuk pulang ke rumah mereka hari itu juga.

“Sayang..janganlah buat abang macam ni.. Bukan sehari dua sayang kenal adik-beradik abang…” pujuk Afrizal sambil meramas perlahan jemari isterinya.

“Sebab Ila dah lama kenallah Ila nak balik sekarang.” Jawab Azila tegas seraya menarik tangannya semula untuk menyambung melipat baju anak-anaknya pula.

Afrizal mengeluh lagi. Dia tidak berpuas hati dengan isterinya itu yang beriaksi pelik.

“Ila cuba cakap dengan abang apa sebenarnya yang dah jadi. Takkan sebab nasi lemak tu sayang nak merajuk sampai macam ni sekali?” ujar Afrizal cuba memahami situasi isterinya saat itu.

Azila mendiamkan diri. Sedaya upaya dia cuba menahan diri dari menghamburkan segala-galanya kepada suaminya ketika itu. Dia tidak mahu masalah itu dibincangkan di rumah ibu mertuanya. Risau pergaduhan besar pula boleh berlaku. Dia hanya akan membincangkan perkara itu hingga mereka tiba di rumah sahaja.

“Tengok tu… Abang tanya Ila tak nak jawab. Tapi Ila nak mengamuk tak tentu pasal macam ni.” Lanjut Afrizal yang mula hilang sabar pula melihat Azila yang mendiamkan diri. Keluhan berat meniti bibirnya.

Azila masih tetap dalam keadaan yang sama. Langsung tidak menjawab. Sebaliknya dia terus bangun untuk mengeluarkan pakaiannnya dari dalam almari untuk dimasukkan ke dalam beg.

“Abang nak balik ke tak?” tanya mendatar apabila semua pakaiannya sudah pun dikeluarkan dari dalam almari.

“Abang tak izinkan Ila balik. Tunggu sampai abang balik dari hantar mak dekat rumah Pak Ngah, lepas tu baru kita balik.” Putus Afrizal tegas sebelum dia berlalu keluar dari bilik. Dengan cara itu sahaja isterinya akan mendengar kata.

Azila sedikit terpempan mendengar jawapan yang berbaur ketegasan itu keluar dari bibir suaminya. Tidak sempat dia membalas, kelibat suaminya itu sudah pun hilang. Saat itulah airmatanya terasa murah untuk keluar. Kecewa dengan apa yang telah berlaku.

***********

“Assalamualaikum..” terdengar suara suaminya memberi salam dari luar. Azila terus sahaja mengatur langkah ke pintu untuk membuka kunci dan menyambut suaminya yang baru pulang dari kerja seperti biasa.

Tangan suaminya itu dibawa ke bibir sekilas sebelum dia cepat melepaskannya semula.

“Ila…” panggil Afrizal yang sedikit hampa apabila isterinya itu cepat melarikan diri darinya. Tidak seperti kebiasaan yang akan dilakukan. Pasti tubuh itu akan tenggelam dalam dakapannya walau seketika.

Walaupun makan pakainya tidak terabai, namun sudah hampir sebulan isterinya begitu. Sentiasa dingin dengannya. Kini sukar benar untuk mendengar suara lembut isterinya itu lagi semenjak peristiwa di kampung.
“Makanan Ila dah siapkan atas meja.” Kata Azila mendatar. Saat itu dia sudah pun duduk kembali di sofa bersama anak-anaknya yang sedang menonton tv.

“Teman abang makan sayang..” ujar Afrizal lembut yang sentiasa cuba bersabar dengan apa yang dilakukan oleh Azila terhadapnya. Dia tahu apa yang berlaku berpunca dari dirinya sendiri hingga menyebabkan Azila bertindak sedemikian. Sepanjang mereka berkahwin, tidak pernah isterinya itu akan merajuk sebegitu lama.

Azila tanpa banyak soal hanya menurut. Bingkas mengekori langkah suaminya yang sudah masuk ke ruang makan. Dia tetap juga menjalankan rutin hariannya seperti biasa. Segala kemahuan suaminya itu tetap akan dilayan.

“Sampai bila Ila nak merajuk dengan abang macam ni..” tutur Afrizal saat Azila menghulurkan pinggan yang sudah berisi nasi kepadanya.

Azila tidak menjawab. Sedaya upaya beriak selamba walaupun hatinya akan merintih sedih setiap kali suaminya bertanya begitu. Bukan dia tiada hati dan perasaan. Dia sendiri sebenarnya tidak sampai hati melayan dingin suaminya begitu. Namun apabila teringat kembali apa yang telah terjadi dia menjadi tawar hati. Tangannya menuangkan pula air kosong yang sudah disediakan tadi ke dalam gelas buat suaminya.

Afrizal mengeluh perlahan. Begitulah yang terjadi apabila setiap kali dia mengajukan soalan kepada isterinya. Langsung tiada jawapan yang kedengaran dari bibir Azila. Hilang semangatnya sejak akhir-akhir ini apabila melihat kedinginan Azila. Mereka seperti orang asing. Tiada lagi kemesraan dan senda gurau di antara mereka. Perut yang kosong minta diisi sejak di tempat kerja tadi dirasakan sudah pun masuk angin membuatkan baru sesuap dua nasi masuk, tekaknya mula menolak. Ditambah pula denyutan di kepalanya yang semakin menjadi-jadi.

Azila yang memerhati dari tadi mula tidak sedap hati apabila melihat kerutan di wajah Afrizal Seperti sukar benar untuk menelan nasi yang disuap. Dia tahu sejak akhir-akhir ini suaminya itu semakin kurang makan. Tubuh lelaki itu pun dilihat sedikit susut.

“Abang tak lalulah nak makan sayang..” tuturnya perlahan seraya bangun untuk mencuci tangan.

“Abang…” Azila sempat menyambar lengan Afrizal sebaik lelaki itu melewati meja makan untuk masuk ke dalam bilik. Dia perasan wajah suaminya itu sedikit pucat dan cengkung.

“Abang tak sihat ke?” tanyanya mendatar. Perasaan risau tetap wujud di hati walaupun rajuknya belum lagi terpujuk. Dia tahu ada yang tidak kena. Jika tidak, suaminya itu akan tetap menghabiskan sepinggan nasi yang disendukkan. Hari ini hanya dua suap yang masuk ke dalam mulut, kemudian pinggan itu sudah ditolak ke tepi.

Afrizal tersenyum nipis. Baru hari itu dia mendengar suara isterinya bertanya akan keadaan dirinya. Jika tidak, bibir itu hanya menjawab sepatah dua soalan yang dia tanya.

“Abang okay.. pening kepala sikit.” Jawab Afrizal seraya meneruskan langkah. Dia ingin segera merebahkan tubuhnya.

Azila gigit bibirnya sendiri apabila terasa bersalah dengan apa yang dilakukan hampir sebulan itu. Bukan dia tidak tahu suaminya itu kerap diserang sakit kepala sejak kebelakangan ini. Memang segala makan pakai lelaki itu terjaga. Namun, tahap kesihatan Afrizal langsung tidak diambil kira hanya kerana mengangkat perasaan rajuknya sahaja.

Selepas mengemaskan meja makan, dia segera mengambil ubat dan segelas buat Afrizal. Dia sedar yang suaminya itu sudah lama tidak mengambil sebarang ubat apabila sakit kepala dalam tempoh dia melancarkan rajuknya.

“Abang, bangun dulu mandi. Lepas tu makan ubat.” Ujar Azila sebaik melabuhkan duduk di birai katil. Dilihat Afrizal sudah pun memejam mata.

Afrizal mengangkat kelopak matanya perlahan. Bibir mengukir senyum nipis dengan air jernih yang bertakung di hujung mata. Tersentuh hatinya apabila isterinya itu sudah mahu bercakap banyak dengannya. Dia yakini apa yang berlaku ada hikmah yang menanti. Kesakitan yang dialami juga telah membawa kebaikan dalam hubungan mereka. Isterinya itu masih mahu mengambil berat akan dirinya.

“Abang ingat Ila dah tak kisah pasal abang..” tutur Afrizal perlahan seraya menegakkan tubuhnya. Dia membetulkan duduk agar berhadapan dengan Azila. Tangan isterinya itu diambil dan dibawa ke bibir sekilas.

Azila pula hanya membiarkan setiap perlakuan Afrizal. Perasaan berdosa terhadap suaminya itu mula berbuku di dalam dada.

“Sayang… abang mintak maaf kalau selama ni abang selalu menangkan family abang dari sayang… Abang selalu buat sayang terasa hati dengan adik-beradik abang, dengan mak abang…” tutur Afrizal lirih. Dia tahu hal itu yang menyebabkan Azila berjauh hati dengannya.

Azila mula menahan sebak di dada mendengar kata-kata Afrizal.

“Sayang cakaplah dengan abang apa sebenarnya yang dah jadi sampai sayang layan abang macam ni…” pujuk Afrizal sambil mengusap lembut wajah mulus di hadapannya itu. Terasa lama benar dia tidak melihat isterinya tersenyum manis seperti selalu. Ibu jarinya cepat menyeka air jernih yang mula mengalir dari tubir mata isterinya.

“Kenapa abang tak pernah cakap dengan Ila selama ni yang Ila bukan pilihan mak abang..” tuturnya lirih. Wajahnya sudah ditundukkan menahan tangis yang semakin sarat.

Afrizal tidak mampu berkata apa. Seperti yang dijangka, pasti semuanya berpunca dari keluarganya sendiri. Cuma dia tidak tahu siapa pula yang menyampaikan hal itu kepada isterinya.

“Hal tu dah lama sayang… Sekarang sayang kan jadi isteri abang..” balas Afrizal lambat. Dia cuba mengatur ayat-ayat yang sesuai untuk disampaikan kepada Azila agar isterinya itu tidak terasa hati dengannya lagi.

“Memang Ila dah jadi isteri abang. Tapi mak abang tak pernah pun suka dengan Ila. Patutlah selama ni semua adik-beradik abang pun tak suka bila Ila ada sama. Jiran-jiran mak pun pandang lain aja pada Ila. Semua tak suka Ila. Apa salah Ila bang.. Apa kurang Ila..” jawab Azila dengan airmata yang semakin lebat menuruni pipi.

Afrizal mengeratkan lagi pelukannya. Dia sendiri turut terasa sebak dengan apa yang diluahkan oleh isterinya. Dia sendiri sebenarnya tidak mampu berbuat apa. Kedua-dua belah pihak merupakan orang yang amat disayangi dalam hidupnya. Mahu atau tidak, salah satu pihak pasti akan menanggung kesidahan. Dan dalam situasinya, perasaan isteri yang terpaksa dikorbankan.

“Abang mintak maaf sayang… Sebab abang sayang jadi macam ni.. Maafkan mak abang… Adik-beradik abang… Abang tak tahu nak buat apa sayang… Abang serba-salah.. dua-dua abang sayang. Dua-dua penting dalam hidup abang. Abang mintak maaf sebab selama ni abang selalu terpaksa korbankan perasaan sayang.” Ucap Afrizal tulus. Dia ingin sekali melihat ahli keluarganya dapat menerima kehadiran Azila dalam keluarga. Sudah banyak kali dicuba untuk memastikan hubungan ahli keluarganya dengan Azila kekal baik. Namun, seringkali juga kedinginan layanan ahli keluarganya diperlihatkan kepada Azila hingga menyebabkan isterinya itu berkecil hati. Bukan sekali dua isterinya itu berkecil hati. Tetapi selama lima tahun isterinya banyak mengalah hanya kerana mahu menjaga hati ahli keluarganya yang lain. Padahal tiada satu pun kesalahan yang dibuat. Sepanjang Azila menjadi isterinya, belum pernah dia melihat wanita itu berkasar dengan semua ahli keluarganya. Malah, isterinya itu sentiasa memberi yang terbaik buat semua.

“Ila pun mintak maaf sebab dah abaikan abang… sampai abang sakit kepala macam ni… muka abang dah kurus sangat..” jawab Azila pula sambil menyentuh wajah Afrizal.

“Tak sayang.., abang sakit bukan sebab sayang. Allah nak hukum abang sebab gagal jadi yang terbaik untuk sayang..” balas Afrizal dengan denyutan di kepalanya yang semakin memberat.

“Abang jangan cakap macam tu. Selama ni abang dah cukup baik untuk Ila..” tutur Azila yang semakin tenang dalam pelukan suaminya. Dia terlalu rindu pelukan hangat itu.

“Lain kali kalau apa-apa jadi, sayang cakaplah dengan abang. Kita bincang. Jangan buat abang macam ni lagi sayang. Abang tak tenang nak buat kerja kalau sayang merajuk lama-lama macam ni. Abang selalu sakit kepala, tapi takda siapa yang nak tolong picitkan..” kata Afrizal seraya melonggarkan pelukan. Dia mengucup lembut dahi isterinya itu seikhlas hati.

Azila hanya menganggukkan kepala. Dia sedar sememangnya perlu tolak–ansur dalam rumahtangga. Dalam situasinya, dia yang perlu lebih banyak mengalah kerana suaminya akan menjadi mangsa keadaan. Dan kini, suaminya menanggung sakit kepala yang mungkin kerana sedikit tertekan atas apa yang berlaku. Terasa menyesal dengan apa yang dilakukan hanya kerana mahu melayan rajuk di hati.

Saat itu juga mereka dikejutkan dengan bunyi telefon bimbit Afrizal dari atas meja solek. Azila yang kembali tenang bingkas bangun dan mendapatkan telefon bimbit itu. Sebaris nama terpapar di situ membuatkan Azila tawar hati untuk menjawab. Terus dihulurkan telefon itu kepada suaminya. Dan kemudian Azila terus keluar dari bilik untuk melihat anak-anak yang ditinggalkan duduk di hadapan tv tadi. Dia tidak berminat untuk mengetahui apa yang dibualkan oleh Afrizal bersama kakak yang sulung.

Tidak sampai lima minit Azila duduk bersama anak-anaknya di ruang tamu, dilihat suaminya menyusul dengan kerutan di wajah.

“Abang kenapa?” tanya Azila yang melihat wajah pucat suaminya.

Afrizal melabuhkan duduk di sisi Azila dan menjatuhkan kepalanya bersandar di bahu wanita itu.

“Sayang… Mak jatuh bilik air… kena strok.” Tutur Afrizal lambat.

“Hah? Habis tu mak macam mana?” tanya Azila sedikit panik dengan berita yang disampaikan. Tubuh Afrizal yang bersandar di bahunya tadi hampir rebah ke sofa apabila Azila tiba-tiba menegakkan tubuh.

“Sekarang ada dekat wad kecemasan lagi..” jawab Afrizal lambat sambil sebelah tangan memicit belakang lehernya yang terasa tegang.

“Habis tu macam mana ni bang? Jomlah kita pergi tengok mak..” kata Azila lagi yang mula kalut sebaik mendengar keadaan ibu mertuanya. Memang dia ada terasa hati dengan wanita tua itu. Namun, apabila memikirkan dia juga mempunyai ibu serta merupakan seorang ibu,dia perlu belajar menerima dan redha dengan apa yang telah berlaku.

“Kita tunggu Kaklong call ajalah sayang… Abang tak larat nak drive ni..” jawab Afrizal seraya merebahkan tubuhnya ke sofa.

“Abang ni kenapa? Tak risaukan mak abang ke?” soal Azila yang pelik melihat riaksi suaminya seperti tidak risau akan keadaan ibu yang sedang sakit.

“Abang tak larat ni sayang… rasa nak pitam ni..” jawab Afrizal yang sudah memejam mata pula. Bukan dia tidak risau akan keadaan ibunya. Namun disebabkan keadaan diri yang membuatkannya benar-benar tidak mampu untuk memandu. Kelopak matanya begitu berat untuk diangkat.

Azila mengerutkan dahi. Perasaan risau di hati semakin menggunung tinggi pula melihat keadaan suaminya begitu.

“Erm.. abang makan ubat dulu.. Lepas tu kita pergi hospital tengok mak. Biar Ila yang drive.” Usul Azila lantas masuk semula ke bilik mengambil ubat dan gelas yang dibawa tadi.

“Abang, makan ubat ni dulu..” ujar Azila yang sudah kembali semula dengan ubat dan air segelas.

“Sayang… janganlah drive. Ila dah lama tak drive kan.. Sayang call Kak Mira. Mintak tolong dengan Shafiq. Tadi abang nampak dia ada dekat rumah.” Balas Afrizal selepas menelan beberapa biji pil. Dia teringat akan sahabat baiknya merangkap suami kepada kakak sulung Azila yang tinggal di taman perumahan yang sama.

“Erm.. iyalah..” jawab Azila akur dan terus mengambil telefon bimbitnya untuk menghubungi kakak sulungnya.

**********

“Zal, akak dah tak tahan nak tunggu mak dekat hospital… Akak dah suruh Angah dengan Alang, tapi dia orang sibuk sangat kerja. Tinggal kau aja Zal sekarang ni. Abang Said dah bising dengan akak sebab rumah dah tak terjaga. Dengan budak-budak lagi..” Adu Azrina yang sudah seminggu menanti Puan Sahara yang terlantar sakit. Setengah tubuh Puan Sahara hampir lumpuh disebabkan serangan jantung yang tiba-tiba. Mujur dia cepat dihantar ke hospital oleh anak Nek Miah yang kebetulan datang ke rumah untuk menghantar kuih.

 “Zal bukan tak nak jaga kak. Zal pun kerja jugak. Macam mana Zal nak jaga.” Jawab Afrizal yang sudah dapat meneka tindakan adik-beradiknya yang ingin melepas tangan daripada tanggungjawab.

“Kau suruh ajalah Zila jaga mak. Zila pun tak kerja kan.. Akak dah seminggu cuti jaga mak. Akak dah tak boleh nak cuti lagi minggu depan.” Usul Azrina pula yang mula berasakan segala tanggungjawab menjaga ibu yang sedang terlantar sakit di atas bahunya sahaja.

“Senang-senang aja akak ni nak suruh Zila jaga. Mak tu mak kita kak. Bukan mak Zila.” Balas Afrizal mula tidak berpuas hati dengan cadangan kakaknya itu.

“Habis tu kau nak akak buat apa? Kau ingat akak takda kerja lain ke? Bini kau tu aja yang tak kerja kan.. takkan nak jaga mak pun tak boleh. Kita bergilirlah.” Jawab Azrina yang mula menaikkan suara. Geram apabila cadangannya dipersoalkan oleh adiknya itu.

“Senang aja akak cakap kan… Bila dah susah-susah macam ni, pandai pulak akak cari Zila. Kalau time semua bersuka-ria, bukan main akak mengata dia.” Sindir Afrizal pedas. Geram benar hatinya apabila kakaknya itu dengan suka hati menyuruh Azila pula menjaga ibunya.

Azrina terdiam. Akui apa yang diperkatakan oleh adiknya.

“Kalau dah susah sangat, biar aja mak dekat sini. Siang pun nurse ada tengokkan mak. Malam biar aja Zal yang jaga.” Sambungnya lagi membuat keputusan. Dia sendiri sebenarnya terpaksa berbuat begitu kerana dia juga punya tanggungjawab lain. Pada masa yang sama, dia tidak mahu membebankan isterinya dengan masalah keluarga yang sememangnya mereka adik-beradik masih boleh menyelesaikannya sendiri.

“Hah…kalau macam tu kau kata, akak ikut aja… Nanti apa-apa jadi pada mak, kau jangan nak salahkan akak pulak..” balas Azrina yang berasa senang hati dengan keputusan yang dibuat oleh adik bongsunya itu.

“Akak jangan nak cepat puas hati sangat. Bukan saya sorang yang kena jaga tiap-tiap malam. Akak cakap sikit pada Angah dengan Alang tu. Jangan nak lepas tangan pulak. Jangan sibuk nak layan bini dekat rumah aja. Nak kata ada anak, masing-masing takda anak pun.” Jawab Afrizal yang sedikit tidak berpuas hati dengan kedua abangnya. Sepanjang ibunya dimasukkan ke hospital, hanya dua kali sahaja mereka menunjuk muka. Dia dan isterinya sahaja yang berulang-alik setiap hari melihat ibunya di hospital.

“Mulut kau sekarang boleh tahan ya Zal. Tak pernah-pernah kau cakap macam ni dengan akak.” Balas Azrina yang sedikit terkejut dengan ketegasan adik bongsunya itu. Selama ini Afrizal merupakan seorang yang mendengar kata dan mudah bertolak-ansur dalam segala hal.

“Memang tak pernah. Tapi sebabkan perangai akak dengan yang lain-lain tu la Zal jadi macam ni.” Jawab Afrizal berani diiringi nafas berat terlepas di bibirnya.

Tidak sempat Azrina membalas, Azila muncul di hadapan mereka yang ketika itu duduk di ruang menanti hospital.

“Abang…” panggil Azila yang baru keluar dari bilik wad di mana ibu mertuanya di tempatkan. Dia terdengar semua perbualan Afrizal bersama kakak iparnya.

Azila mengambil tepat di sebelah suaminya.

“Kenapa? Mak nak apa-apa ke?” soal Afrizal ambil berat memandangkan ibunya masih lagi mampu bercakap cuma kurang jelas.

Azila menggelengkan kepala dengan senyuman tawar menghiasi bibirnya.

“Habis tu?” taya Afrizal lagi.

Azrina hanya diam dan langsung tidak mencelah.

“Erm..biarlah Ila jaga mak..” ujar Azila mengundang kerutan di dahi Afrizal.

Azrina pula mengukir senyum sinis.

“Apa Ila cakap ni?” soal Afrizal seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

“Hah.. baguslah tu. Kau bukan ada kerja lain kan..” sahut Azrina pula.

“Kaklong!” marah Afrizal dengan suara yang tertahan agar kakaknya itu diam.

Azrina terus bangun meninggalkan pasangan itu dengan wajah yang masam mencuka.

Afrizal meraup wajahnya beberapa kali tanda kurang bersetuju dengan apa yang ingin dilakukan oleh isterinya itu.

“Abang…” Azila menyentuh lembut bahu suaminya yang jelas kelihatan kusut dengan masalah yang dihadapi.
Afrizal menyentuh tangan Azila di bahunya di ramas perlahan. Dirasakan isterinya langsung tidak berhak untuk menjaga ibunya setelah apa yang berlaku. Dia sendiri mahu dia dan adik-beradik lain yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas ibu mereka. Dia yakin mereka semua mampu untuk menjaga ibunya yang seorang jika ada kerjasama. Namun, kini isterinya pula menawarkan diri untuk menjaga seseorang yang telah melukakan hati kecil itu. Entah apa yang Allah cuba tunjukkan kepadanya dia atas segala yang berlaku saat itu.

********

“Sayang… mak dah tidur?” tanya Afrizal saat Azila melangkah ke dalam bilik peraduan mereka.

“Baru aja tidur.” Jawab Azila yang terus duduk di hadapan cermin meja solek.

“Anak-anak?” tanya Afrizal lagi yang hanya terbaring lesu di atas katil selepas pulang dari kerja lewat maghrib tadi.

“Dah lama tidur lepas makan tadi..” jawab Azila yang sedang menyapu losyen di kedua belah tangannya.

“Abang mintak maaf sebab abang dah banyak susahkan sayang…” tutur Afrizal lambat.

Azila menoleh ke wajah suaminya yang sudah duduk bersandar di kepala katil. Kemudian dia terus mendapatkan suaminya.

“Kenapa abang cakap macam tu?” soal Azila lembut yang sudah mengambil tempat di sisi Afrizal.

“Sayang jaga mak untuk abang…” jawab Afrizal dengan air jernih mula bertakung di tubir mata. Dia sebenarnya malu dengan keperihatinan isterinya yang sanggup menjaga ibunya yang sedang sakit berbanding adik-beradiknya yang lain.

Ibunya sudah tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri lagi. Sejak diserang sakit jantung, segala keupayaan anggota tubuh menjadi lemah dan tidak berupaya. Segalanya terpaksa diuruskan dengan bantuan Azila. Dari memberi makanan hinggalah memandikan. Semuanya dilakukan oleh Azila. Sejak keluar dari hospital bulan lalu, di rumah itulah ibunya tinggal apabila adik-beradik yang lain seperti langsung tidak menghiraukan dan mengambil berat akan keadaan ibu yang sudah hilang keupayaan tubuh. Hanya sekali dua adik-beradik yang lain datang menziarah sejak ibunya itu sejak keluar dari hospital. Semuanya memberi alasan sibuk dan ketiadaan masa untuk datang menziarah apabila setiap kali ibunya menyuarakan hasrat hati untuk bertemu dengan adik-beradik yang lain.

“Mak abang kan mak Ila jugak… Apa masalahnya..” balas Azila lembut sambil mengusap lembut wajah suaminya yang semakin cengkung dari hari ke sehari. Dia langsung tidak rasa keberatan untuk melaksanakan tanggungjawabnya yang baru itu. Hampir sebulan ibu mertuanya tinggal bersama mereka, segala makan pakai wanita itu lebih terjaga.

“Tapi adik-beradik abang semua dah buat macam-macam pada Ila sebelum ni… mak abang tak pernah suka pada Ila.. Tapi sekarang.. Ila yang kena jaga mak..” luah Afrizal yang tidak menyangka adik-beradiknya akan meletakkan semua tanggungjawab menjaga ibu yang sedang sakit ke atas dirinya seorang. Sedikit pun tidak membantu mahupun dari segi perbelanjaan yang dikeluarkan sejak ibunya itu berada di hospital lagi. Kini perbelanjaan bulanan keluarganya semakin bertambah dengan perlu membeli lampin pakai buang serta susu khas buat ibunya pula. Semuanya memerlukan belanja yang banyak. Tidak cukup dengan itu, isterinya sendiri berusaha menghantar ibunya menjalani terapi untuk memulihkan semua anggota tubuh yang lemah untuk kembali berfungsi dengan baik. Pelbagai cara dilakukan demi memulihkan ibunya. Tetapi ianya langsung tidak dihargai dan dibantu oleh adik-beradik yang lain. Semua ditanggung sepenuhnya oleh mereka berdua.

“Takpalah abang… Kita kan ada anak-anak. Macam mana kita ikhlas jaga mak, esok lusa anak-anak pulak yang akan jaga kita masa tua nanti.. Kita ada mak satu aja dalam dunia ni bang.. Mak tak boleh diganti kalau dia dah takda...” balas Azila menenangkan suaminya. Dia tahu akan kesulitan yang dihadapi oleh keluarganya kini. Dengan keadaan dirinya yang tidak kerja, dia tidak mampu menambah pendapatan keluarga bagi menampung segala perbelanjaan mereka sekeluarga.

“Abang risau kita tak mampu nak tanggung semua ni sayang… Abang selalu sakit... Abang tak dapat nak tolong sayang uruskan semua kerja rumah…Sayang nak uruskan hal anak-anak lagi… uruskan mak abang…” kata Afrizal lagi yang sedar tubuhnya seakan-akan semakin kehilangan tenaga walaupun dia tetap cuba makan setiap hari. Namun apabila tiap kali sakit kepalanya menyerang, sebiji nasi pun tidak mampu ditelan membuatkan dia semakin tidak bermaya. Kini dia sendiri sering memohon cuti sakit setiap kali diserang sakit kepala yang membuatkan dia tidak mampu untuk bekerja.

“Abang janganlah risau. Dia kan ada selalu dengan kita. Ila mampu lagi nak uruskan semua. InshaAllah… kita mampu tanggung semua ni bang...” jawab Azila seraya menyandarkan kepalanya di bahu Afrizal.

Dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu. Dia bersyukur dikurniakan sebuah keluarga yang begitu memahami keadaan diri. Sungguhpun semua ahli keluarganya bukanlah dalam kalangan yang berharta, namun sokongan sentiasa dihulurkan demi dia menjalani hari-hari yang mendatang dengan lebih sabar dan kuat. Ibubapanya sendiri tidak pernah mempersoalkan kenapa dia sanggup bersusah-payah untuk menjaga ibu mertuanya. Malah, kerana ada sokongan daripada ibubapa dan adik-beradiknya yang lainlah dia semakin bersemangat dan tidak pernah mengeluh dengan apa yang dilakukan kini.

Afrizal terus memeluk tubuh isterinya dengan linangan airmata. Tiada apa lagi yang mampu diucapkan kerana dia dikurniakan seorang isteri yang terlalu baik dan sempurna buat dirinya. Hanya dia sahaja sebelum ini terlalu bodoh kerana sanggup membiarkan isterinya itu bersedih hati kerana mahu menjaga hati dan perasaan ahli keluarganya.

“Abang… Ila nak mintak izin abang…” tutur perlahan sambil mencari wajah suaminya yang berairmata. Tangan naik menyapu lembut wajah suaminya itu.

“Apa dia?” soal Afrizal kembali.

“Boleh tak kalau Ila nak ambik upah jahit baju?” tanya Azila penuh mengharap untuk membantu meringankan beban suaminya.

“Sayang tak penat ke nanti? Kan semua kerja sayang kena buat?” tanya Afrizal pula yang tidak mahu isterinya itu rasa terbeban dengan pertambahan rutin baru yang akan dilakukan nanti.

“Takpa… Ila boleh buat..” jawab Azila yakin dengan kemampuannya. Kebetulan salah seorang adiknya bekerja di butik pengantin, dia boleh mengambil upah untuk menjahit labuci pada baju. Dia sendiri sebelum ini memang pernah mengambil kursus jahitan. Tambahan pula mereka bakal menyambut hari raya dalam masa empat bulan lagi. Pada masa yang sama dia masih boleh mengambil upah untuk menjahit baju juga.

“Abang risau sayang penat…” tutur Afrizal perlahan sambil mengusap lembut wajah Azila.

“InshaAllah… Abang dengan anak-anak ada dengan Ila selalu, dah cukup buat Ila kuat..” balas Azila seraya memeluk erat tubuh suaminya yang semakin melidi itu erat. Dalam diam airmatanya mengalir kerana berasakan dia sememangnya perlu menjadi lebih kuat buat suami dan keluarganya. Dengan keadaan Afrizal begitu, kerisauan di hati tidak pernah hilang.

“Terima kasih sebab sanggup buat semua ni untuk abang sayang..” balas Afrizal perlahan seraya membalas pelukan isterinya. Dia sendiri akan cuba yang termampu untuk memastikan keluarganya sentiasa dalam keadaan baik dan lebih tabah menghadapi hari-hari yang mendatang.


Jun 13, 2012

Mengharap kasih_short_part 2


“Mak, biarlah Ila buat. Mak duduk aja..” Kata Azila apabila dia tidak senang hati melihat ibu mertuanya yang sibuk untuk memasak buat suaminya.

“Takpa..takpa.. Mak boleh buat Ila.” Jawab Puan Sahara melarang. Tangannya lincah mencuci ikan yang siap disiang tadi.

Azila tidak berkata apa. Dia tahu ibu mertuanya itu tetap juga akan melarang dari dia membantu. Begitulah selalunya yang akan berlaku jika ibu mertuanya bermalam di rumahnya. Hampir semua kerja rumah akan dilakukan hingga dia tidak tahu untuk berbuat apa. Hanya hal anak-anak sahaja yang masih menjadi tanggungjawabnya. Semua yang berkaitan dengan suaminya akan diuruskan sendiri oleh ibu mertuanya itu.

“Ila, serbuk kari ni dah habislah...” Kata Puan Sahara ketika melihat balang kaca kosong.

“Biar Ila pergi beli kejap dekat depan tu ya mak..” balas Azila yang berasa sedikit lega kerana ada juga kerja yang akan dilakukan.

“Eh..takpa..takpa.. biar mak ajalah yang pergi. Kamu tengok aja anak-anak kamu tu.” Jawab Puan Sahara yang sudah menurunkan lengan baju kurungnya yang dilipat ke siku tadi.

“Takpalah mak. Biar Ila pergi sekejap. Nanti penat mak jalan kaki.” Balas Azila serba salah.

“Takpalah. Mak kuat lagi Ila nak berjalan. Bukan jauh pun kedai depan tu..” Jawab Puan Sahara seraya mengambil tudung kepalanya yang tersangkut kepala kerusi meja makan.

“Erm..mak baik-baik jalan nanti..” pesan Azila apabila melihat ibu mertuanya sudah bersiap-siap untuk keluar rumah. Dia terpaksa mengalah lagi.

Azila hanya memerhati hingga kelibat ibu mertuanya hilang di hujung simpang tidak jauh dari rumahnya. Kedudukan rumahnya yang berhadapan dengan padang dan berhampiran dengan deretan rumah kedai menyebabkan segala urusan hariannya lebih mudah.

*********

“Banyaknya masak hari ni? Siapa nak datang sayang?” soal Afrizal yang baru masuk ke dalam bilik selepas ke ruang dapur sebaik pulang dari kerja tadi.

Memang begitulah Afrizal jika ibunya datang bermalam di rumah. Masanya memang banyak dihabiskan buat ibu tercinta. Dalam segala akan didahulukan ibunya berbanding isteri dan anak-anak.

“Mak kata dia ajak Abang Ngah, Abang Lang dengan Kak Long makan dekat sini malam ni..” jawab Azila mendatar yang ketika itu sedang  berbaring di sisi anak bongsunya yang sedang ralit dengan botol susunya.

“Erm, siapa yang masak semua tu?” Soal Afrizal lagi sambil membuka uniform kerjanya dan diletakkan dalam bakul baju yang telah disediakan di tepi pintu bilik air.

“Mak.” Jawab Azila sepatah. Memang itu kebenarannya.

“Ila tak tolong mak?” tanya Afrizal seraya duduk di birai katil memerhatikan Azila yang langsung tidak memandang ke wajahnya.

“Abang kan tahu mak abang macam mana?” tanya Azila yang cuba mengawal suaranya agar tidak kedengaran keras.

Afrizal tersenyum nipis. Dia tahu isterinya itu pasti berjauh hati jika ibunya datang bermalam di rumah. Semua kerja akan dilakukan oleh ibunya sendiri.

“Sayang…janganlah buat muka macam tu…” pujuk Afrizal lembut lalu mengucup bahu Azila.

Azila menegakkan tubuh mengadap suaminya.

“Abang… mak tak suka Ila ke?” soalan itu yang meluncur laju dari bibir. Selama ini soalan itu hanya dipendam di dalam hatinya sahaja.

“Eh, kenapa Ila cakap macam tu? Mak sayang Ila la..” jawab Afrizal cuba memujuk. Sepanjang mereka berkahwin, tidak pula dia terdengar ibunya merungut tentang isterinya itu.

“Habis tu, kenapa tiap kali mak datang sini, semua kerja dia tak bagi Ila buat. Semua kerja dia yang buat.” jawab Azila lirih.

“Biarlah mak buat. Dia yang nak buat kan..? Bukan Ila yang suruh.” Jawab Afrizal lagi yang langsung tidak hairan jika ibunya ingin melakukan semua kerja rumah.

“Tapi..”

“Takda tapi-tapi. Bukan selalu Ila dapat rehat macam ni kan.. kalau tak, Ila yang susah-susah siapkan semua untuk abang dengan anak-anak.” Pujuk Afrizal tidak mahu isterinya salah faham dengan apa yang dilakukan oleh ibunya selama ini jika setiap kali bermalam di rumahnya.

Azila mengukir senyum nipis. Apa lagi yang harus diperkatakan. Walaupun dia tidak perlu berbuat apa-apa sepanjang ibu mertuanya ada sama, namun hatinya tidak pernah tenteram apabila dirasakan semua tanggungjawabnya diambil alih oleh ibu mertuanya.

“Lagi satu abang nak ingatkan sayang.” Ujar Afrizal sambil memangku anak bongsunya yang sudah pun duduk di ribanya.

Azilah tidak membalas. Sebaliknya hanya menanti butiran selanjutnya daripada Afrizal.

“Abang tak nak sayang ambik hati dengan apa yang adik-beradik abang cakap. Sayang tahukan dia orang macam mana..” lanjut Afrizal mengingatkan. Dia sedar selama ini ada di antara adik-beradiknya tidak menyenangi isterinya itu. Malah isterinya itu sendiri sebelum ini pernah mengadu akan hal yang sama. Bukan dia tidak pernah lihat isterinya itu terasa hati dengan kata-kata adik-beradiknya jika mereka berkumpul bersama. Isterinya itu sendiri akan mengasingkan diri.

Azila tersenyum kelat. Faham akan maksud dengan kata-kata suaminya. Selama lima tahun mendirikan rumahtangga, dia cukup faham dengan kerenah ipar-duainya yang pelbagai ragam.

*********

Azila yang sibuk mengemaskan dapur selepas tamatnya majlis tahlil tadi leka dengan dunianya sendiri. Dia dengan senang hati melakukan kerja-kerja mengemas itu walaupun tiada seorang pun adik-beradik suaminya turut sama membantu. Hanya dia seorang diri di situ bersama seorang jiran ibu mertuanya.

Sejak tiba semalam, dia memang lebih banyak duduk di dapur untuk membantu persediaan majlis yang baru sahaja selesai. Perbincangan untuk mengadakan majlis itupun dilakukan di rumahnya minggu lalu ketika ibu mertuanya bermalam di sana. Ketika semua adik-beradik suaminya berkumpul, dia sedikit pun tidak masuk campur kerana faham dengan perangai semua ipar-duainya yang seperti tidak menyenangi kehadirannya apabila setiap kali perbincangan keluarga dilakukan. Apa yang diketahui, segala perbelanjaan untuk majlis itu ditanggung penuh oleh suaminya sendiri apabila dia terjumpa resit pengeluaran wang di dalam poket seluar lelaki itu ketika mahu mencuci pakaian. Dan memang begitulah kebiasaannya jika ada sebarang majlis akan dilakukan di kampung. Pasti suaminya dahulu menjadi sasaran semua ahli keluarga.

“Ai Zila.. Boleh ke cuci semua ni? Kenapa kau tak naik atas tu? Kan mak mertua kau panggil semua berkumpul dekat atas tadi.” Tanya Nek Miah ketika meletakkan pinggan dan gelas yang masih belum bercuci di sebelah Azila.

“Zila boleh buat semua ni Nek Miah. Lagipun, Abang Rizal ada dekat atas tu. Dapur ni tak berkemas lagi…” Jawab Azila dengan senyuman manis kepada wanita yang lebih berusia daripada ibu mertuanya.

“Hm.. Aku ingat kau ni dah tak tahu buat kerja mengemas ni… Kau tu pergilah bercampur orang sikit Zila..” kata Nek Miah lagi menyebabkan senyuman di bibir Azila mati. Tidak faham akan maksud di sebalik kata-kata Nek Miah kepadanya. Tetapi dia yakin, ada sesuatu yang tidak kena. Bukan sahaja Nek Miah, malah jiran tetangga yang turut hadir ke majlis tahlil itu tadi seperti memandang pelik ke arahnya.

Azila yang sedang mencuci pinggan mangkuk di singki terus terhenti dan mencari wajah Nek Miah yang sedang menyusun atur pinggan dan cawan yang sudah bercuci ke dalam dulang. Dia ingin benar bertanya lanjut apa sebenarnya yang disembunyikan dari pengetahuannya menyebabkan sesiapa sahaja yang ditemui di kampung itu seperti memandang sinis ke arahnya. Bukan sehari dua dia balik ke kampung itu.

“Campur-campur oranglah Zila. Nanti orang kata kau tak tau nak ambik hati mertua.” Kata Nek Miah lagi.

Azila masih diam. Terkunci rapat mulutnya untuk bertanya lanjut memandangkan dia masih di rumah ibu mertuanya.

“Erm.. Nek Miah, biarlah semua pinggan tu dekat situ. Nanti biar Zila yang kemas. Nek Miah dah banyak tolong dari siang tadi..” ujar Azila akhirnya. Itu sahaja yang mampu diluahkan walaupun keinginan hati begitu membuak untuk bertanya.

“Hah.. iyalah.. Nek Miah memang dah nak balik ni.. Nanti kirim salamlah dengan mak kau tu..” jawab Nek Miah sambil mengelap tangannya dengan kain bersih lalu bersalaman dengan Azila.

“Terima kasih Nek Miah.” Ucap Azila ikhlas kepada wanita itu sebagai tanda penghargaan kerana sama-sama membantu sejak siang tadi.

“Sama-sama.. kau tu Zila. Pergi naik sana. Dengar-dengar apa yang mak kau tu nak cakap.” Sempat Nek Miah sebelum melangkah keluar rumah.

Azila hanya mampu membalas dengan senyuman mendengar kata-kata Nek Miah.

Sebaik hilang sahaja kelibat Nek Miah bersama lampu suluh yang dibawa dalam kepekatan malam, Azila terut menutup pintu dapur itu. Kata-kata Nek Miah berulang tayang di gegendang telinganya membuatkan dia terus sahaja mengatur langkah untuk naik ke atas rumah papan itu. Memang sejak tadi dia terdengar perbincangan sedang dilakukan. Tetapi tiada satu pun butir bicara yang jelas dan masuk ke pendengarannya. Dari tadi dia hanya bersikap tidak ambil peduli.

Sebaik dia tiba di atas rumah, semua pasang mata terhala kepadanya yang terus mengambil tempat di sisi Afrizal. Dan yang membuatkannya sedikit tersentak apabila perasan pandangan mata ibu mertuanya yang sedikit berlainan kepadanya sekaligus perbincangan terhenti. Tiada seorang pun yang membuka mulut sebaik dia melabuhkan punggung di sisi suaminya. Azila memandang ke wajah Afrizal tanda tidak mengerti apa sebenarnya yang berlaku.

“Sayang… dah habis kemas ke dekat bawah tu?” tanya Afrizal dengan berbisik di tepi telinganya.

Azila hanya menggelengkan kepala sebagai jawapan. Saat itu, semua mata masih tertumpu kepadanya membuatkan dia tidak selesa.

“Sayang.. pergilah siapkan kerja tu dulu..” kata Afrizal lagi membuatkan Azila sedikit terkaku. Matanya mencari mata suaminya mohon penjelasan apa sebenarnya yang sedang berlaku. Kenapa tiada siapa yang membuka mulut sebaik dia tiba sedangkan tadi bukan main rancak semuanya berbual.

Entah kenapa sebak di dada mula terasa apabila dia melihat dari satu wajah ke satu wajah ahli keluarga sebelah suaminya itu memandang sinis kepadanya. Seperti tidak suka dengan kehadirannya di situ. Tanpa menunggu lama, Azila bingkas semula dan turun ke dapur. Hatinya benar-benar terasa asing walaupun perasaan itu sudah lama dirasakan selama ini. Namun, kerana malam itu semua adik-beradik suaminya ada sama, jelas seperti dia orang asing dan bukan sebahagian dari keluarga itu.

Dia yang sudah berdiri di tepi singki untuk menyambung semula kerjanya yang tertangguh tadi dapat mendengar semula ahli keluarga sedang bercakap itu ini. Tidak seperti ketika dia ada sama tadi. Masing-masing hanya mendiamkan seperti apa yang dibincangkan mereka adalah perkara sulit hingga dia tidak berhak untuk ikut campur mahupun menyertainya. Mengalir juga airmata yang sudah lama ditahan dari keluar selama ini. Apa yang berlaku benar-benar mengguris hatinya. Tangannya lambat-lambat menyambung semula kerja-kerja mencuci tadi. Paling menyedihkan hati apabila suami sendiri seperti mengasingkan dirinya agar tidak turut sama dalam perbincangan keluarga itu. Dia benar-benar kecewa dengan Afrizal.

Tekun dia melakukan kerja-kerja mengemas hingga selesai semuanya tanpa sesiapa pun yang membantu walaupun ada beberapa kali ipar-duainya turun untuk mengambil air dan juga ke bilik air.  Langsung tiada yang menegur mahupun yang ingin membantu. Hingga selesai berkemas, dia masih terdengar lagi perbincangan keluarga walaupun saat itu jam sudah pun pukul 12 malam.

Azila menyudahkan beberapa kerja lagi sebelum dia masuk ke bilik air untuk berwuduk memandangkan dia masih belum bersolat isya’. Lambat-lambat dia berjalan menghampiri tangga rumah untuk masuk ke bilik. Ikutkan hati, jika di bahagian rumah bawah itu mempunyai bilik, sudah lama dia tidur di situ sahaja. Tidak perlu melalui ruang atas rumah yang masih berlangsung perbincangan keluarga suaminya itu.

Dengan langkah perlahan, dia gagahkan diri juga menaiki tangga. Dan saat tiba di ruang perbincangan itu, sekali lagi semua mata terhala kepadanya dan tiada langsung yang bersuara. Tersentap lagi hatinya melalui keadaan itu buat kali kedua pada malam yang sama. Ingin sahaja airmatanya menuruni pipi saat itu juga. Namun cuba ditahan dari tumpah di hadapan ahli keluarga Afrizal. Dia terus masuk ke dalam bilik tanpa menyapa suaminya yang turut sama memandang ke wajahnya. Sebaik dia merapatkan pintu bilik, baru dia terdengar kembali suara-suara mereka semua.

Ditabahkan hatinya saat itu meneruskan solat isya’ agar hatinya tenang untuk melelapkan mata nanti. Sempat dia memandang ke wajah mulus dua anaknya yang sudah pun tidur di atas katil sebelum dia memulakan solat. Dia tidak ambil peduli lagi apa yang sedang dibincangkan oleh ahli keluarga suaminya di luar bilik. Apa pun yang berlaku dia tekad tidak akan mengambil tahu lagi selepas ini.

……………………….

“Nek Miah, saya nak telur 10 biji.” Kata Azila kepada Nek Miah sambil tangan membelek beberapa jenama makanan dalam tin di rak berhampiran.

Nek Miah ada membuka sebuah kedai runcit di hadapan rumah membuatkan lebih mudah untuk membeli segala barang keperluan dapur di situ. Terlalu hampir dengan rumah ibu mertuanya. Walaupun Nek Miah sudah berumur, namun wanita itu masih lagi kuat dan cergas melakukan sebarang kerja. Matanya juga masih lagi terang tidak seperti wanita yang sebaya dengannya. Ada yang mengalami sakit-sakit badan dan juga mempunyai tahap penglihatan yang buruk.

Sengaja dia keluar awal pada pagi itu untuk mengelak dari bertemu dengan ipar-duainya yang masih belum bangun tidur. Hanya ibu mertuanya sahaja yang dilihat bangun awal ketika dia ingin bersolat subuh tadi. Suaminya sendiri menyambung tidur semula selepas bersolat subuh. Entah pukul berapa suaminya itu masuk ke bilik pun dia tidak sedar kerana dia sendiri terus melelapkan mata selepas bersolat isya’.

“Pagi lagi kau dah bangun Zila? Tak pernah-pernah kau datang kedai Nek Miah ni beli barang. Nek Miah ingat kau dah tahu nak beli barang dapur.” Kata Nek Miah sinis seperti semalam membuatkan Azila mengerutkan dahi. Entah mana silapnya dia kepada orang tua itu hingga begitu sekali dia disindir. Memang selama dia berkahwin dengan Afrizal, baru pagi itu dia pergi ke kedai Nek Miah kerana selama ini hanya ibu mertuanya sahaja yang melakukan semua kerja jika dia pulang ke kampung.

“Er..nak buat nasi lemak pagi ni Nek Miah.” Balas Azila dengan pesoalan yang macam-macam berlegar di dalam kepalanya. Mujur kedai Nek Miah saat itu tiada pelanggan lain. Dia pelanggan pertama kedai Nek Miah awal pagi itu.

“Kau tahu ke masak nasi lemak Zila? Tak pernah pulak mak mertua kau cakap kau pandai masak.” Kata Nek Miah lagi sambil mengisi sepuluh biji telur ke dalam plastik warna merah seperti yang diminta oleh Azila.

“Takdalah pandai masak sangat Nek Miah. Setakat makan sendiri bolehlah..” jawab Azila merendah diri. Memang selama ini dia yang memasak makanan untuk anak dan suaminya. Pada masa yang sama, dia masih berkira-kira untuk bertanya lanjut kepada Nek Miah apa sebenarnya yang berlaku hingga dia disindir begitu. Pada perkiraannya, dia tidak pernah berbuat salah kepada wanita tua itu memandangkan dia sendiri jarang pulang ke kampung.

“Hai.. dah lima tahun kau kahwin dengan Rizal, tak pandai masak lagi ke? Patutlah mak mertua kau kata kau ni jarang masuk dapur. Dapur pun selalu tak berasap.” Balas Nek Miah lagi membuatkan Azila kertap bibir. Entah apa yang mula dirasakan saat itu di hatinya apabila Nek Miah berkata demikian. Apa yang pasti, dia mula rasa tidak enak dengan apa yang disampaikan oleh Nek Miah kepadanya.

“Nek Miah, kenapa Nek Miah cakap macam tu? Mak selalu cerita pasal Zila ke pada Nek Miah?” tanya Azila ingin tahu apa sebenarnya yang telah berlaku. Dia yakin ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik kata-kata Nek Miah sejak semalam.

“Hm.. Selalu Zila. Nak ke mana lagi dia kalau tak selalu datang kedai Nek Miah ni. Kan dia sorang-sorang dekat rumah tu. Nak harap kamu dengan Rizal selalu balik, jangan haraplah.” Jawab Nek Miah lagi yang sudah kembali ke tempat duduk di kaunter pembayaran.

Azila sekali lagi tersentak dengan tuduhan yang dibuat oleh Nek Miah. Setahunya, ibu mertuanya sendiri yang selalu melarang mereka untuk pulang ke kampung. Hanya ada majlis tertentu sahaja baru mereka akan pulang. Ataupun ibu mertuanya sendiri yang selalu akan datang bermalam di rumahnya hingga berminggu-minggu. Tidak pula wanita itu berungut apabila mereka tidak pulang ke kampung. Kerana selama ini pun, suaminya sendiri yang lebih kerap pulang untuk menjenguk ibu mertuanya itu. Jika tidak bermalam di rumahnya, ibu mertuanya itu kerap juga bermalam di rumah anak-anak yang lain. Tetapi lebih kerap di rumahnya. Jika ada perbincangan keluarga pun, ianya selalu diadakan di rumahnya.

“Nek Miah… Abang Rizal selalu balik jumpa mak..” kata Azila dengan suara yang mula lirih.

“Mana ada. Mak kau kata Rizal selalu sibuk kerja. Sampai tak sempat balik tengok dia.” Balas Nek Miah dengan pandangan sinis ke wajah Azila.

“Nek Miah..” Azila tidak jadi meneruskan kata apabila ada pelanggan lain yang datang.

“Eh, ni menantu Sahara yang kahwin dengan Rizal tu ke Nek Miah?” tanya seorang wanita yang hampir sebaya dengan ibu mertuanya kepada Nek Miah.

“Ha’ah. Ni la dia..” jawab Nek Miah sambil tersenyum penuh makna kepada wanita yang datang itu.

Azila hanya diam dan mengukir senyum tawar saat wanita itu memandang ke arahnya. Pandangan sinis lagi yang diterimanya.

“Saya balik dulu Nek Miah.” Kata wanita itu sebaik membayar harga untuk satu tin sardine yang dibeli. Sempat matanya menjeling ke wajah Azila.

“Ada apa lagi yang kau nak beli ke Zila?” tanya Nek Miah apabila dilihat Azila sudah pun melonggokkan barang-barang yang ingin dibeli di atas meja kaunter pembayaran.

“Nek Miah.. kenapa semua orang macam tak suka dengan Zila. Nek Miah pun macam tak suka aja dengan Zila. Zila ada buat salah dengan Nek Miah ke? Kalau ada, Zila mintak maaf.” Kata Azila lemah tidak pun menjawab pertanyaan Nek Miah tadi. Ingin sahaja airmata menitis apabila layanan yang agak dingin diterima sejak semalam lagi.

Nek Miah memandang ke wajah Azila yang bertukar keruh. Sebenarnya dia bukanlah memarahi wanita muda itu. Namun, disebabkan pelbagai cerita yang dimomokkan kepadanya oleh ibu mertua Azila sendiri, dia tidak dapat menolak tanggapan buruk yang diletak berdasarka cerita yang disampaikan. Dia pada mulanya memang percaya apa yang disampaikan oleh Sahara kepadanya. Namun, setelah melihat sendiri Azila yang berkemas dan membantu ketika ingin menyediakan makanan untuk majlis kenduri semalam, dia cuba membuang jauh tanggapan negatif yang dibuat selama ini. Dilihat Azila jauh beza dari apa yang diceritakan oleh Sahara kepadanya. Cuma saki-baki tanggapan itu masih ada lagi membuatkan dia dengan selamba menyindir apa sahaja yang dilakukan oleh Azila sejak semalam. Pada masa yang sama, dia cuba menduga sama ada apa yang diperkatakan oleh Sahara selama ini benar belaka.

Nek Miah mengeluh perlahan saat melihat mata Azila yang mula bergenang airmata. Tidak sampai hatinya untuk menyampaikan cerita yang begitu kurang enak didengarinya dari mulut ibu mertua wanita itu sendiri.

“Nek Miah.. Nek Miah rapat dengan mak kan? Mak ada cerita apa-apa ke pasal Zila pada Nek Miah sampai semua orang macam tak suka Zila.” Kata Azila lagi mohon simpati kepada Nek Miah agar berterus-terang sahaja dengan dia.

Nek Miah melepaskan nafas berat sebelum memulakan kata.

“Kau takda buat salah apa pun pada Nek Miah Zila.. Tapi iyalah kan.. Nek Miah ni dengar cerita dari mak kau tu aja.. tak dengar pun dari pihak kau..” kata Nek Miah dengan suara yang mengendur. Tidak mahu pula ada yang terdengar kata-katanya nanti.

Azila hanya diam. Menanti butiran selanjutnya daripada Nek Miah.

“Perempuan yang datang tu tadi sebenarnya besan tak jadi mak kamu tu Zila..” kata Nek Miah berkenaan perempuan yang menjelingnya tadi.

“Apa kena mengena dengan Zila?” tanya Azila kurang faham.

“Sebenarnya mak kamu tu berkenan dengan anak si Hamidah tu. Dia nak jodohkan Rizal dengan si Laila. Tapi Rizal tak mahu. Rizal pilih kau.” Terang Nek Miah jujur.

“Er.. Tapi.. masa mak datang merisik Zila dulu, mak nampak suka aja dengan Zila. Abang Rizal pun takda cakap apa-apa dengan Zila pasal hal ni...” balas Azila yang agak terkejut dengan cerita yang disampaikan oleh Nek Miah.

“Hm.. Kau tahu kan Rizal tu anak kesayangan mak mertua kau tu? Takkan dia nak bantah apa yang Rizal nak. Selama ni, dia ikutkan aja apa yang Rizal nak..” sambung Nek Miah lagi sekaligus menyatakan yang Azila bukanlah menantu pilihan selama ini. Memang sejak dia berkahwin dengan Afrizal, ibu mertuanya melayannya baik. Tetapi rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Banyak perkara yang masih tidak diketahuinya selama ini.

Azila sudah mengalirkan airmata mendengar hakikat yang baru sahaja diketahui itu.

“Dia tak berkenan dengan kau jadi menantu dia. Macam-macam yang dia cerita pasal kau dengan Nek Miah..” sambung Nek Miah sambil lagi sambil mengira harga barang yang diletakkan oleh Azila tadi.

“Mak cerita apa lagi dengan Nek Miah pasal Zila..?” tanya Azila yang cuba menahan perasaan sedihnya agar tidak keterlaluan.

“Hm.. apa yang Nek Miah cakap ni, kau jangan marah pulak. Ni apa yang mak kau sampaikan pada Nek Miah aja.. tapi Nek Miah tahu kau tak macam yang Sahara cakap tu..” lanjut Nek Miah lagi tidak mahu mengguris perasaan wanita di hadapannya itu.

Azila sudah bersedia menerima apa yang jua yang akan disampaikan kepadanya.

“Betul ke kau ni malas berkemas, malas memasak kalau dekat rumah Zila? Semua kerja mak kau tu yang buat kalau dia datang rumah kau tu. Katanya kau tu tahu duduk dalam bilik aja layan si Rizal. Kerja lain kau tak tahu nak buat. Sampai anak-anak pun mak kau tu yang uruskan. Betul ke macam tu?” tanya Nek Miah membuatkan Azila menegakkan wajah. Terpempan dengan pertanyaan yang diutarakan oleh Nek Miah kepadanya. Agak berat tuduhan yang sudah disampaikan oleh ibu mertuanya menyebabkan semua yang mengenalinya memandang sinis kepadanya selama ini.

“Sampai macam tu sekali mak cerita pasal Zila? Patutlah semua orang macam tak suka pada Zila..” balas Azila dengan airmata yang semakin laju menuruni pipi.

“Hm.. macam tu la yang mak kau cakap Zila. Katanya kau langsung tak tahu nak ambik hati dia. Tak macam menantu lain katanya.” Sambung Nek Miah lagi yang sudah menghulurkan beberapa helai tisu kepada Azila. Dia turut bersimpati dengan wanita yang dilihat daripada mata tuanya, bukanlah seperti yang diceritakan. Ianya terbukti apabila dilihat Azila berkemampuan untuk memasak. Salah satu lauk yang dimasak untuk majlis tahlil semalam, wanita itu yang memasak sendiri. Azila juga lincah berkemas. Sedikit pun tidak kekok dengan kerja-kerja dapur. Paling jelas kelihatan kekoknya adalah kepada dua lagi menantu kesayangan Sahara. Buat kerja dapur seperti hendak atau tidak sahaja. Suatu kerja yang dilakukan juga agak lambat.

Azila sudah tidak mampu untuk berkata apa lagi. Dia sedar kini siapa dirinya dalam keluarga Afrizal. Memang dia dapat melihat dengan jelas selama ini ibu mertuanya seperti melebih-lebihkan dua lagi menantu perempuan dalam keluarga. Isteri kepada dua lagi abang Afrizal. Mungkin kerana dia bukanlah seorang yang pandai bermuka-muka, dia mengambil ringan akan perasaan ibu mertuanya selama ini. Diakui yang selama ini dia bukanlah seperti biras-birasnya yang lain. Di mana, akan menghadiahkan segala jenis barang kepada ibu mertuanya. Terutamanya di hari-hari istimewa termasuklah ketika untuk menyambut Hari Raya. Biasanya dia hanya akan membuatkan sebalang dua kuih raya untuk diberi kepada ibu mertuanya. Tidak seperti biras-biras yang lain. Mereka akan membelikan sepersalinan buat ibu mertuanya itu apabila tiba Hari Raya. Bagaimana dia hormatkan dan melayan baik ibu mertuanya, begitu jugalah yang dilakukan terhadap ibunya sendiri selama ini. Sama-rata. Tidak pernah dibeza-bezakan antara ibunya yang sebenar dengan ibu mertuanya kerana dia bukanlah seorang yang hipokrit.

“Nek Miah… berapa semua barang ni Nek Miah.. Zila dah lewat ni nak buat sarapan. Nanti bising pulak mak pada Zila..” kata Azila akhirnya yang tidak sanggup lagi untuk mendengar apa yang disampaikan oleh Nek Miah. Apa yang disampaikan sudah cukup membuatkan hatinya terluka.

“Banyak bersabarlah Zila. Mak kau tu tak nampak lagi apa gunanya kau pada dia Zila.. Yang dia nampak menantu-menantu dia yang baik-baik tu aja..” kata Nek Miah seraya menyambut not lima puluh ringgit yang dihulurkan oleh Azila kepadanya.

Azila yang masih menyapu airmata yang menuruni pipi hanya mampu mengukir senyum tawar. Hilang semangatnya sebaik mendengar apa yang disampaikan oleh Nek Miah tadi. Tiada apa lagi yang perlu dibuat melainkan hanya mampu berdoa agar diberi kekuatan untuk melalui liku hidup yang mungkin masih panjang. Dia sendiri tidak dapat pastikan lagi.

“Terima kasih ya Nek Miah sebab sudi nak bagitahu Zila semuanya.” Ucap Azila sebaik menerima baki wangnya.

Nek Miah pula hanya melemparkan senyuman sebagai balasan. Sungguh dia sendiri tersentuh melihat wanita di hadapannya itu mengalirkan airmata.

“Saya balik dulu Nek Miah. Terima kasih.” Kata Azila lagi lalu terus mengangkat barang yang dibeli tadi sebelum bersalaman dengan Nek Miah dan keluar dari kedai untuk pulang ke rumah.

Sebaik tiba aja di rumah, dilihat ada ahli keluarga suaminya yang sudah bangun. Dia terpandangkan suaminya yang sedang mengelap kereta di halaman rumah. Sedikit pun tidak ditegur sebaliknya terus berlalu ke pintu dapur walaupun perasan suaminya memandang pelik saat dia melewati halaman rumah itu. Dia masih berjauh hati dengan apa yang berlaku malam tadi. Termasuklah apa yang baru disampaikan oleh Nek Miah kepadanya. Semua yang berlaku memang mengecewakannya.

“Ke mana tadi Zila?” tanya Puan Sahara sebaik ternampak kelibat Azila baru melangkah masuk di pintu dapur.

“Pergi kedai Nek Miah kejap mak. Beli barang sikit. Zila ingat nak buat nasi lemak pagi ni.” Jawab Azila dengan wajah yang sengaja diceriakan. Cuba ditahan airmatanya dari mengalir semula saat melihat wajah ibu mertuanya seperti tiada apa-apa yang berlaku.

“Buatlah ikut suka Zila. Mak tak kisah. Daun pandan dah ambik?” tanya Puan Sahara lagi saat Azila mengeluarkan semua barang-barang yang dibeli tadi dari dalam plastik.

“Belum mak.” Jawab Azila pendek.

“Biar mak ambikkan dekat belakang tu. Zila buatlah dulu apa yang patut.” Balas Puan Sahara terus keluar dari pintu dapur untuk ke belakang rumah.

Sebaik kelibat ibu mertuanya hilang, serentak itu airmatanya mengalir semula. Sukar benar ditahan selepas mengetahui kebenaran yang dicari selama ini. Luluh hatinya saat itu.

“Ila..” tegur satu suara membuatkan Azila cepat menyeka airmatanya yang menuruni pipi. Dia cukup kenal dengan suara yang menegurnya itu.

Jun 8, 2012

Andai....

assalamualaikum atas kesudian kamu kamu dan kamu di sana kerana sudi ke mari. :)

saya ingin nyatakan di sini...

ANDAI tajuk entry saya TIDAK berkesudahan dengan perkataan CONTINUE @ CONT... @ WILL CONT... itu bermakna entry tu memang TAKKAN ADA PENAMBAHAN pada hari keesokkannya setelah tajuk entry bertukar kepada .....EDITED!

Begitulah yang berlaku ANDAI tajuk entry saya berkesudahan dengan ROUGHLY @ SANGAT ROUGHLY. Entry itu bermakna mungkin ada typing error, mahupun ayat tunggang-langgang kerana saya tak double check. tu aja.  

Jika anda terjumpa perkataan CONT. dan adikberadik dengannya di akhiran tajuk entry, maknanya, AKAN ADA PENAMBAHAN PADA ENTRY TERSEBUT setelah tajuk bertukar kepada EDITED!.

Maka sahabat semua, kamu janganlah kecewa andai tajuk entry saya berkesudahan dengan EDITED namun tiada penambahan dilakukan. Harap janganlah salah faham.

Sekian terima kasih :)

p/s- thanks to sahabat yang selalu menegur if ada typo dlm entry saya. really appreciate it! tak lupa kepada yang selalu tinggalkan komen. :)