Dec 30, 2013

AWRA_bab 15

Assalamualaikum.

Terima kasih kepada mereka yang sudah pun mendapatkan TDK versi cetak. Alhamdulillah. Feedback anda amatlah saya hargai.

............

AWRA 15

“Kau, kalau datang sini aje muka nak ketat dah kenapa? Aku tak suruh pun kau bayar kan?” Seperti biasa Firdaus akan menyakat Awra walaupun hubungan mereka masih lagi dingin hanya kerana perselisihan lalu.

Awra menjuihkan bibir seperti biasa juga. Malas mahu membalas mahu pun menokok kerana ia hanya akan menambah kekeruhan yang ada.

“Awra..” Shukor pula menegur membuatkan dia terus menarik senyum paksa.

“Memang dekat sini yang paling sedap  ikan ke patin masak tempoyak tu? Mak dah tak pandai masak eyh?” Sengaja dia menduga ahli keluarganya yang cukup meminati masakan tersebut.

“Ha’ah Awra.. Mak ni dah tak pandai masak dah..” Faridah yang duduk di sisi menyahut.

Awra tersengih. Sempat dia mengangkat ibu jarinya ke arah pasangan kembar dan abangnya kerana yakin adik-beradiknya itu dengar akan kata-kata ibunya sebentar tadi.

“Bukan tak sedap.. Dah ada orang nak belanja, apa salahnya. Tak payah awak susah-susah masak Idah..” Balas Shukor pula bersama senyuman. Mengambil hati.

“Eleh abah.. Saja nak beli jiwalah tu.” Awra menjadi batu api pula.

“Diamlah Angah. Sibuk aje. Angah makan ajelah nasi goreng kampung Angah tu nanti. Macamlah takda lauk lain Angah nak makan kan? Nasi goreng yang Angah boleh masak sendiri tu pun, Angah order.” Afza mencelah.

Awra menjegilkan mata. Tersindir dengan kata-kata adiknya itu. ‘Nasib baik dekat luar.. Kalau dekat rumah, memang aku dah sekeh kepala dia ni..’ Gerutunya dalam hati. Geram melihat Afza yang kerap benar mencari hal dengannya.

“Tak nampak pulak Faiq dari tadi.. Dia memang takda ke Daus?” Faridah tiba-tiba bertanya sekali gus menamatkan topik tadi.

Selepas Faiq pengsan di rumahnya sebulan lalu, dia tidak lagi bertemu dengan anak muda itu. Hanya khabarnya sahaja yang diterima apabila Faiq ada menghubungi suaminya.

“Ada mak. Dia kata kejap lagi dia datang. Ada function dekat hotel katanya. Balik lambat hari ni.” Jawab Firdaus sambil mengerling ke arah Awra yang duduk di hadapannya. Dia perasan wajah gadis itu mula serba tidak kena. Malah sejak masuk ke restoren itu lagi Awra mula gelisah.

“Eh, yang kau cakap fasal Faiq, kau pandang muka aku kenapa bang? Muka aku ada macam muka Faiq ke?” Ujar Awra geram sambil menahan debar di dada. Melihat sengihan yang terbentuk di bibir nipis abangnya itu sahaja dia sudah dapat meneka. Pasangan kembar di sisinya itu juga sudah meletuskan tawa.

Sudah lama dia tidak bertemu dengan Faiq selepas peristiwa lalu walaupun terasa lelaki itu begitu hampir dengannya. Kerap bertemu dengan Faidh menyebabkan bayang lelaki itu tidak pernah padam dalam kepalanya. Sentiasa mengekori ke mana sahaja langkahnya.

“Abang, sudahlah tu.. Makanan pun dah sampai tu..” celah Athirah yang lebih banyak menjadi pemerhati sejak tadi.

“Tu Abang Faiq!” Alya tiba-tiba bersuara sambil menunjuk ke arah pintu utama restoran. Masing-masing memandang ke arah yang sama kecuali Awra. Matanya langsung tidak diangkat. Dalam debar yang terkepung, dia cuba beriak selamba seperti tiada apa-apa yang berlaku. Cuba menidakkan kehadiran seorang lelaki yang terlalu ‘dekat’ dalam hidupnya kini.

“Assalamualaikum semua.” Ramah Faiq menyapa sebaik tiba di meja yang diduduki keluarga itu dan hampir serentak pula mereka menjawab salamnya. Cuma seorang gadis yang langsung tidak menoleh itu sahaja kelihatan seperti tidak menghiraukan kehadirannya.

“Sibuk sangat ke Faiq? Rasa macam lama sangat makcik tak jumpa kamu. Macam mana? Sihat?” Faridah melemparkan senyum ke arah anak muda yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri itu.

“Alhamdulillah makcik. Sihat macam biasa. Cuma sibuk sikit makcik. Sekarang kan dah cuti sekolah, memang macam-macam function dekat hotel tu. Wedding lagi..” Cerita Faiq senang. Selebihnya dia mahu Awra tahu yang dia agak sibuk sebaik sembuh dari demam. Langsung dia tidak punya masa melancarkan usaha untuk memikat gadis yang bakal dijadikan suri hidupnya itu. Terpaksa dia mendahulukan kerja yang sedang menanti.

“Kamu dah makan Faiq? Kalau belum, jom makan sekali.” Mesra Shukor mempelawa pula.

“Memang belum makan ni.. Tadi tak sempat makan dari tengah hari tadi pakcik. Tapi tak mengganggu ke nanti?” Faiq berbahasa memandangkan gadis pilihan hati masih tidak ambil peduli akan kehadirannya di situ. Menoleh pun tidak membuatkan hatinya sedikit geram.

“Mengganggu apa pulak kau ni Faiq. Macam tak biasalah pulak.” Sahut Firdaus sambil mata mengerling ke arah Awra. Kaki di bawah meja pula sudah menolak kaki gadis itu yang seperti leka dengan dunianya sendiri.

Awra angkat kepala. Berkerut keningnya memandang wajah Firdaus. ‘Main kaki pulak..’ marahnya dalam hati. Tahu Firdaus sengaja mahu menarik perhatiannya. Bukan dia tidak dengar apa yang sedang mereka bualkan.

“Jomlah Faiq makan sekali. Kamu duduk sebelah Awra sana tu..” Sebaik habis Shukor menutur kata, anak keduanya itu terus tersedak-sedak. Tersembur nasi goreng yang dikunyah hampir mengenai wajah Firdaus di hadapannya.

Faiq tahan gelak. “Pakcik makanlah dulu, saya nak masuk kejap. Nanti saya datang balik.” Ujarnya sebelum terus beredar. Tidak mampu bertahan lama di situ melihat wajah Awra yang merah padam. Risau tawanya pecah.

Firdaus bersama pasangan kembar di situ sudah pun melepaskan tawa. Hinggakan Athirah juga tersenyum-senyum cuba mengawal tawanya terhambur. “Awra..” Dia menghulurkan beberapa helai tisu kepada adik iparnya itu.

Thanks kak.” Awra memandang geram satu persatu wajah adik-beradiknya di situ.

“Kamu kenapa Awra?” Shukor menegur pura-pura tidak tahu kenapa anak gadisnya itu boleh tersedak.

“Abah tu la.. Banyak lagi meja kosong dekat sini, kenapa abang ajak dia makan sekali dengan kita?” Selamba Awra menjawab menyuarakan rasa tidak puas hati.

“Biarlah. Kerusi sebelah kamu tu pun kosong. Apa salahnya.” Selamba juga Shukor menjawab sebelum dia mula menyuap nasi.

Faridah yang memerhati sudah menggeleng. “Kamu berdua, jangan nak gelak-gelak. Nanti ada yang kena cubit, mak tak tahu.” Tegurnya pada pasangan kembar yang tidak henti ketawa lagi.

Awra ketap bibir. Terasa sakit benar hatinya saat itu. Dia terus bingkas kerana mahu mencuci mulut yang dirasakan agak comot di tandas.

“Sombongnya kau kan..” Teguran dari suara garau yang tiba-tiba itu menyebabkan langkah kakinya terhenti. Laju wajahnya diangkat mencari empunya suara. Debar di hati kembali bergema. Bibir diketap rapat.

“Kalau aku sombong pun kenapa? Kau sentap ke?” Selamba dia menjawab bersama senyuman tepi. Pura-pura tenang di hadapan lelaki itu.

Faiq juga menguntum senyum. Namun lebih manis bergula dari biasa sebelum menghampiri gadis itu. “Hati aku sentap lebih dari biasa tahu tak..” Bisiknya lembut membuatkan gadis itu berundur setapak ke belakang. Senyumnya dilebarkan. Lucu melihat wajah Awra yang mula serba tidak kena. ‘Berlagak sangat kau dengan aku tadi kan!’ Gerutunya geram.

“Ada aku kisah hati kau nak sentap. Huh!” Awra merengus. Laju dia mengatur langkah ke pintu tandas. Tidak mahu lagi berlamaan di situ. Namun langkahnya sekali lagi terhenti apabila lengannya dipaut. “Kau nak aku jerit ke?” Ugutnya geram apabila disentuh sesuka hati begitu walaupun masih berlapik.

“Kalau berani, jeritlah. Jangan salahkan aku kalau ada yang kena cium depan toilet ni nanti.” Cabar Faiq yang semakin sengaja memegang kejap lengan berlapik baju kurung itu.

Awra menjegilkan mata. “Kau nak apa sebenarnya ni?!” Marahnya tertahan. Terpaksa mengalah. Cuba ditarik lengannya tetapi gagal.

“Aku nak kau.” Selamba Faiq menjawab dengan kening dijungkitkan beberapa kali.

Awra tersenyum sinis. “Lelaki macam kau ni nakkan aku?” Sama sinis ayat yang meniti bibirnya. “Lelaki yang nakkan aku, takkan sentuh aku sesuka hati sebelum jadi haknya lah!” Tambahnya sambil menentang tajam renungan lembut di hadapannya itu.

“Okey!” Faiq terus melepaskan lengan gadis itu.

Awra merengus lagi. Diurut perlahan lengannya yang terasa sedikit sengal. “Kau memang suka nak sakitkan hati aku kan?” Gumam Awra tertahan dengan genangan air mata. Entah kenapa ada sebak tiba-tiba bertandang pula.

“Aku bukan suka-suka nak sakitkan hati kau. Kau tu, berlagak sangat. Kau tahu aku sampai tadi. Tapi kau langsung tak pandang muka aku. Dah la sebulan lebih aku tak jumpa kau. Aku call, langsung kau tak pernah nak jawab. Teruk sangat ke aku sampai kau langsung tak sudi berkawan pun dengan aku?” Luah Faiq akan rasa hati yang ditanggung lebih sebulan tidak bertemu dengan gadis itu.

“Tapi tak payahlah sampai nak pegang-pegang aku! Kau cakap elok-elok tak boleh ke?!” Tingkah Awra dengan air mata yang hampir gugur.

See.. Siapa yang tak cakap elok-elok sekarang ni?” Balas Faiq yang mula dihimpit rasa bersalah akan perbuatannya tadi. Bukan dia tidak perasan sepasang mata di hadapannya itu mula berkaca-kaca.

Awra terdiam. Wajahnya dipalingkan ke arah lain apabila hujung jarinya mula menyeka air jernih yang mula tumpah. “Kau pergilah cari perempuan lain Faiq yang boleh layan semua perangai gila kau ni.” Ucapnya perlahan sebelum terus masuk ke dalam tandas. Dia kini mula keliru dengan perasaannya sendiri. Perasaan benci yang ada dalam hatinya selama ini kian pudar kerana dipadamkan oleh rasa kasih yang mula bercambah tanpa dipaksa.

Sementara Faiq yang masih tercegat di situ sudah berkali-kali menghempas nafas berat. Kesal bertimpa-timpa. Sedar yang dia terlalu memaksa hingga menyebabkan Awra masih tidak mampu menerimanya.

Seketika kemudian, tubuh gadis itu muncul kembali tanpa sedikit pun menoleh ke arahnya.

“Awra..” Dia memanggil selembut mungkin.

Awra mematikan langkah. “Kau nak apa lagi?” Soalnya tidak bernada tanpa berpaling.

“Aku tetap nak jadikan kau hak aku yang sah.” Berani dan cukup yakin Faiq meluahkannya.

“Apa-apa ajelah.” Awra jawab tanpa perasaan. Malas lagi bertingkah dengan lelaki itu. Terus sahaja kakinya melangkah meninggalkan Faiq di situ.
……….
“Kamu pun nak balik Faiq?” Tegur Shukor apabila mereka sama-sama ke tempat letak kereta.

“Ha’ah pakcik. Rasa penat sangat hari ni.” Jawab Faiq senang sebelum dia membuka pintu kereta untuk menghidupkan enjin. Kebetulan pula dia memakir kereta di sebelah kereta lelaki itu.

“Faiq, pakcik baru teringat. Sabtu depan, jemput datang rumah. Pakcik ada buat kenduri arwah dengan doa selamat sikit.” Ujar Shukor sebaik dia turut menghidupkan enjin kereta.

“Insya-Allah pakcik. Hari tu Daus ada cakap jugak.” Balas Faiq sambil matanya mencuri pandang ke wajah Awra yang membelakangkannya sedang bersandar di tepi kereta sementara menanti ibu dan pasangan kembar ke tandas tadi.

“Nanti kamu jemput sekali kembar kamu tu.” Tambah Shukor lagi sebelum membuka pintu kereta untuk menghidupkan enjin kereta.

“Insya-Allah pakcik.” Ringkas Faiq menjawab. Matanya masih tidak lepas mencari wajah si pujaan hati.
Awra saat itu pula terus mengambil peluang untuk meloloskan diri.

“Awra kejap.” Faiq sempat menahan membuatkan gadis itu menoleh. Kerutan di wajah dilemparkan.

Faiq pula terus mendapatkan Shukor. “Pakcik, saya nak cakap dengan Awra kejap.” Dia memberanikan diri meminta izin sementara pasangan kembar dan Faridah masih belum kembali. Firdaus dan Athirah juga masih di dalam kedai menanti di sana.

“Kejap aje.” Balas Shukor bersama senyuman sebelum masuk ke dalam kereta.

Awra ketap bibir. ‘Apa abah ni!’ gumamnya tidak puas hati. Terlalu mudah abahnya memberi kebenaran.

Faiq terus mengeluarkan beg kertas warna biru tua dari dalam keretanya sebelum mendapatkan Awra yang kembali bersandar di badan kereta. “Kau nak cakap apa lagi ni?” Soalnya tertahan tidak mahu apa yang dibualkan bersama lelaki itu didengari abahnya.

“Ni.. Aku nak ganti balik handphone kau yang aku dah jatuhkan dulu tu.” Faiq menghulurkan beg kertas yang dipegang.

Bertambah kerutan di wajah Awra. “Nak buat apa? Aku tak suruh ganti pun. Aku dah ada handphone la.” Balasnya tidak senang. Risau akan tanggapan ahli keluarga jika dia menerima pemberian daripada lelaki yang langsung tiada kena mengena dalam hidupnya. Dan kala itu, dia yakin abahnya sedar yang sedang dilakukan oleh Faiq.

“Kau sekarang pakai handphone lama abah kau kan? Ni memang aku beli untuk kau sebab nak ganti yang hancur hari tu.” Faiq cuba memujuk.

“Tak naklah!” Awra tetap menolak. Tiada sebab dia mahu menerima pemberian itu. Tambahan pula apabila melihat jenama yang terpampang pada beg kertas tersebut, dia yakin ia bukan sesuatu yang setaraf dengan telefon bimbit lamanya.

“Awra please…” Faiq tetap memujuk.

“Faiq..” Firdaus muncul bersama Athirah. Diikuti dengan Faridah serta pasangan kembar.

Fuyoo.. Ada orang dapat handphone baru..” Cepat sahaja Afza mengusik. Alya di sisinya sudah tersengih-sengih.

Awra ketap bibir. Sememangnya sudah dijangka reaksi adiknya yang seorang itu. “Kau simpanlah! Aku tak nak!” Ucapnya dengan wajah yang masam mencuka sebelum terus sahaja masuk ke dalam kereta.

Faridah yang memerhati keadaan itu, menggeleng. Begitu juga dengan Athirah dan Firdaus.

“Faiq, makcik balik dulu.” Ucap Faridah sebelum masuk ke dalam kereta.

Faiq hanya tersengih kelat bersama anggukan kecil.

Shukor pula menurunkan cermin tingkap. “Faiq.” Dia memanggil lelaki yang masih berdiri tercegat di tepi keretanya.

Faiq merapati.

“Pakcik balik dulu..” Ucap Shukor bersama senyuman penuh makna di bibir tuanya. Tangan menyambut salam anak muda itu seadanya. “Assalamualaikum.” Tambahnya sebelum mula memandu.

“Waalaikumussalam.” Faiq mengangkat tangan bersama sengihan yang sama. Terasa malu akan apa yang berlaku sebentar tadi. Begitu mudah Awra menolak.

“Abang!” Afza masih ada di situ bersama Athirah dan Firdaus. Manakala Alya menaiki kereta yang sama dengan Awra tadi.

“Angah Jaja memang tak suka eyh kalau orang bagi hadiah pada dia?” Soal Faiq pada gadis sunti di sisinya itu.

Afza tergelak. “Dia memang pelik sikit bang. Susah nak terima kalau tak ada sebab.” Beritahu Afza akan perangai kakaknya yang seorang itu.

Faiq menoleh ke wajah Firdaus yang tersengih sejak tadi di sisinya.

“Kau, lain kali kalau nak buat satu benda, tanya kita orang dulu. Jangan pakai buat aje. Kan dah malu..” Ujar Firdaus diiringi tawa. Dia menepuk beberapa kali bahu sahabatnya itu.

Faiq garu kepalanya yang tidak gatal. Agak pijar juga wajahnya saat itu.

“Entah abang ni. Kelakar ajelah.” Tambah Afza pula sebelum masuk ke dalam kereta abangnya.

Athirah yang memerhati sejak tadi, hanya tersenyum. Lucu melihat apa yang baru sahaja berlaku.

“Okeylah bro. Dah lewat ni. Aku nak balik. Ada masa jumpa lagi. Apa-apa hal, call aje aku.” Ujar Firdaus mahu beransur.

“Daus, kau tolong aku bagi handphone ni pada Awra boleh? Please.” Tanpa malu dia memohon bantuan lelaki itu pula.

Sorrylah weyh..” Firdaus angkat dua tangannya tanda menolak.

“Alah.. Kau aje yang boleh tolong aku Daus.” Faiq masih memujuk.

“La… Kau dengar apa yang Jaja cakap tadi kan?” Firdaus mengingatkan. Dia sendiri cukup faham dengan adiknya yang seorang itu. Malah abahnya juga sering mengingatkan jangan terlalu mudah menerima pemberian orang apatah lagi yang tidak punya alasan cukup kukuh.

Faiq melepaskan keluhan. Hampa hatinya apabila pemberiannya ditolak begitu sahaja.

“Okeylah weyh. Aku balik dulu.” Firdaus menghulurkan tangan untuk bersalaman.

“Daus..” Faiq masih ingin mencuba.

“Banyak lagi cara lain kau boleh rompak hati adik aku tu.” Balas Firdaus seraya menepuk beberapa kali bahu Faiq sebelum dia masuk ke dalam keretanya.

Faiq menarik senyum payau. Terpaksa dia mengalah lagi buat masa ini. Dia cuba menimbal balik baik buruk perbuatannya sebentar tadi.
……………..
+ Sampai hati kau tolak tadi. Malu aku.. :(

Awra mengerutkan dahi sewaktu membaca sebaris ayat daripada Faiq. “Tak dapat call, kau hantar mesej pulak!” rungutnya sendiri. Tiada hati mahu membalas, telefon bimbit dilempar ke tengah katil sebelum dia ke almari pakaian. Mahu mengeluarkan kain tudung yang akan dipakai esok. Dia sudah berjanji dengan sahabatnya untuk ke Mid Valley. Mahu bertapa di MPH katanya.

Baru sahaja tangan ingin mencapai blaus warna hitam, telefon yang dilemparkan tadi mengeluarkan bunyi. Segera dia mendapatkannya kembali.

+ Kau tak suka eyh S4 tu? Aku tukar yang lain ya? Kau cakap aje nak handphone apa, aku cari.

“Dia ni dah kenapa? Aku mintak yang bukan-bukan nanti, baru kau tahu!” Rungutnya lagi apabila membaca SMS daripada orang yang sama. Serentak itu jemari runcingnya bermain di papan kekunci.

+ Kau tak faham bahasa Melayu eyh? Kau nak aku cakap bahasa apa? Jawa? Baru kau nak faham. Kau tak nampak ke dah malam ni? Dah la mesej orang tak bagi salam dulu. Pakai terjah aje. Fius otak kau yang terbakar hari tu, belum betul lagi ke?

Panjang lebar dia membalas. Geram dengan Faiq yang tidak faham apa yang diperkatakannya tadi.

+ Kau tu.. Aku Cuma nak ganti handphone kau yang dah rosak tu aje. Bukan suruh kau bayar pun.

Awra ketap bibir rapat membaca balasan yang diterima. Dengan darah panas yang mula naik ke kepala, dia menekan kuat papan kekunci telefon nokia 6380 itu.

+ Ada aku suruh kau beli ke? Tak ada kan? OI, lain kali kau jangan nak pandai-pandai! Aku tak suka. Elok kau sedekah aje phone tu pada yang lebih memerlukan!

+ OI? Apa tu? Oi ke? Or O+I????

+ OLEH ITU la! Tu pun kau tak tahu ke?!

Faliq menghamburkan tawa sebaik membaca balasan dari gadis itu. Lucu benar dirasakan singkatan perkataan yang belum pernah digunakan dalam seumur hidupnya.

+ My dear, biasa orang guna FYI, OMG, ASAP.. Belum pernah lagi aku guna OI. OLEH ITU. Aku ingat, kau panggil aku oiii tadi. :P

Tidak henti lagi tawanya sebaik menekan butang send hinggalah tawanya reda sendiri apabila balasan yang dinanti tidak muncul tiba. “Benganglah tu!” Omelnya sendiri dalam sengihan. Jemarinya kembali bermain di atas skrin iPhonenya.

+ Awra sayang.. Sorry okey? Aku betul tak tahu. Janganlah marah. Muka kau kalau marah-marah, lagi buat aku geram. Please… Tak baik tau masam muka dengan future husband. Aku mintak maaf sayang..

“Erghh!” Awra melepaskan rengusan geram. Sakit hati membaca SMS yang diterima. “Aku balas salah, tak balas salah!” Bebelnya tidak puas hati. Dengan sakit hati yang tidak hilang dia balas juga akhirnya.

+ Laa.. Taqrabuzziinaa! Kau ingat Allah tak nampak ke apa yang kita buat sekarang ni! Aku tak nak tambah dosa yang sedia ada. Assalamualaikum!


“Waalaikumussalam…” Lambat-lambat Faiq menjawab salam di bibirnya. Keningnya hampir bertaut. “Laa..Taqrabuzziinaa… Bila masa aku berzina pulak ni?” Dia garu kepalanya sendiri tanda tidak faham. Otaknya ligat memikirkan SMS yang dihantar oleh gadis itu.

Dec 25, 2013

makluman.

Assalamualaikum.

Kepada yang sudah pun membuat pembayaran untuk novel TDK. saya mohon maaf atas kelewatan kerana stok yang diorder masih belum sampai di tangan saya. Maaf sangat-sangat. Sampai aje nanti, saya akan maklumkan dan novel akan dipost secepat mungkin.

Dengan ini juga, saya menutup order. Sebarang urusan pembelian boleh dilakukan di www.lovenovel.com.my atau juga di kedai2 buku. Maaf sangat.

Dec 20, 2013

AWRA_bab 14

assalamualaikum sahabat!. Terima kasih banyak2 kepada yang sudah pun mendapatka TDK versi cetak. Maaf ya atasa segala kekurangan yang ada.

Dengan ini juga saya ingin memberitahu. Hanya ada lima copy sahaja yang tinggal pada saya sebelum saya menutup order buat selama-lamanya atas sebab-sebab tertentu. Untuk lebih cepat lagi, dapatkannya di website www.lovenovel.com.my. Thank you !

...........

AWRA 14

“Encik Faidh, dia memang macam tu ke kalau demam?” Awra menghulurkan cawan yang sudah berisi air teh buat Faidh yang baru sahaja tiba awal pagi itu selepas dimaklumkan akan keadaan Faiq malam tadi.

“Hm… Dia jarang sakit sebenarnya Awra. Tapi kalau sekali dia sakit, memang teruklah. Dia dah dekat seminggu sebenarnya cuti tu. Cuma, saya tak sangka pulak dia keluar tolong awak malam tadi. Dia kalau demam, memang susahlah nak bangun. Dekat seminggu ni, nasi pun tak masuk. Dia makan roti aje. Tu yang sampai pengsan. Makan tak betul. Nama aje tukang masak.” Cerita Faidh perihal kembarnya itu.

Awra tersenyum kecil. Sungguh pun sedikit tercuit akan cerita majikannya itu, ada rasa kurang enak tetap bertandang dalam hati. Lelaki itu sanggup menyusahkan diri sendiri semata-mata kerananya. “Erm... Encik Faidh…”

“Tak payahlah berencik-encik sangat Awra. Panggil Faidh aje.” Pintas Faidh tiba-tiba.

Awra tersengih kelat. “Er… Faidh, sorry sebab dah susahkan awak. Saya tak sangka nak jadi macam ni.” Dia tidak senang melihat Faiq terbaring lesu begitu. Sepanjang malam tadi pun dia sukar untuk melelapkan mata. Sesekali dia terdengar lelaki itu bersin.

“Takda apalah.” Senang Faidh membalas sambil membuang pandang ke arah seorang wanita yang sejak tadi sibuk di dapur. “Makcik, kenapa pandang saya macam tu? Ada apa-apa yang tak kena ke?” Dia perasan ibu gadis itu asyik tertoleh-toleh kepadanya.

Faridah melemparkan senyum seraya membawa sepinggan pisang goreng ke meja makan. Dia mengambil tempat di hadapan Awra. “Sama betul muka kamu dengan Faiq.” Ujarnya dengan rasa kekaguman dengan ciptaan Allah di hadapannya itu. Tidak hairan mengapa anak gadisnya itu tidak dapat membezakan antara kedua-duanya.

“Mak, kan dia orang kembar. Memang samalah.” Sahut Awra dengan sengihan. Lucu dengan kata-kata ibunya.

Faidh sendiri turut tersengih.

“Mak tahulah kembar. Tapi biasanya, mesti ada beza sikit. Ni langsung makcik tak boleh beza. Sebab muka si Faiq tu pucat, bolehlah makcik bezakan.” Balas Faridah sebelum dia kembali bingkas.

Faidh ketawa lucu. Dia tidak terkejut akan kata-kata wanita yang hampir seusia dengan ibunya itu. Ramai menyatakan perkara yang sama.

“Faidh…”

Masing-masing menalakan pandangan mata ke arah tangga sebaik mendengar satu suara serak menegur.

“Kau okey ke? Nak pergi klinik?” Faidh terus bingkas mendapatkan abang kembarnya yang ingin menuruti tangga.

“Tak payahlah. Aku okey lagi..” Jawab Faiq tidak bernada.

Faridah dan Awra hanya memerhati dua beradik yang kian menghampiri itu.

“Badan kau panas lagilah bro. Jomlah aku hantar kau pergi klinik.” Ujar Faidh prihatin.

“Tak payahlah. Kejap lagi pun aku dah nak balik.” Balas Faiq sebelum masuk ke bilik. Tidak terpandang akan wajah gadis yang sedang memerhatikannya saat itu.

“Dah demam teruk pun tak nak pergi klinik?” Celah Awra dengan suara yang terkawal.

“Dia takut nak makan ubat.” Selamba Faidh menjawab.

Faridah sudah menggelengkan kepala mendengarnya. Segelas susu suam yang baru dibancuh diletakkan di atas meja. “Faiq, minum susu tu dulu. Kejap lagi boleh makan bubur. Makcik dah masakkan tu.” Ujarnya sebaik Faiq keluar dari bilik air.

“Terima kasih makcik. Buat susah-susah aje.” Faiq serba salah. Sedar yang dia sudah menyusahkan semua ahli keluarga Awra.

“Takda yang susahnya Faiq. Malam tadi kamu dah susah-susah tolong Awra sampai pengsan-pengsan.” Balas Faridah senang. Dia langsung tidak rasa keberatan.

Faiq tersenyum pahit. Tidak mampu dia memandang ke wajah Awra yang duduk bertentangan dengannya itu.

“Kau boleh ke drive ni? Kalau tak, kau balik dengan aku ajelah. Nanti pakcik boleh drive kereta kau. Kereta pakcik pun dekat rumah kau kan?” Faidh agak ragu-ragu dengan kemampuan Faiq dalam keadaan begitu.

Faiq diam. Cuba menimbang semula cadangan adiknya itu. “Aku balik dengan pakcik ajelah. Nanti dia susah pulak nak cari rumah aku.” Putusnya kemudian.

“Ikut kaulah. Tapi lepas kau habis minum susu tu, aku hantar kau pergi klinik dulu.” Kata Faidh seraya menyisip perlahan cawan air teh di hadapannya.

“Tak payahlah. Dekat rumah pun ubat aku banyak lagi.” Senang Faiq menjawab seraya mengangkat wajahnya. Sedar yang sejak tadi dia menjadi perhatian sepasang mata di hadapannya itu.
Awra laju membuang pandang ke arah lain. Namun perbuatannya tertangkap apabila matanya bertemu pula dengan ibunya. Sengihan pahit dilemparkan.
………………

“Ehem. Er.. Awak okey ke nak drive ni?” Serba salah Awra menegur Faiq yang sedia menanti di tepi pintu kereta.

“Kau nampak macam aku tak okey ke?” Faiq masih mahu berlagak sihat sedangkan kepalanya masih lagi berdenyut-denyut sejak terjaga awal pagi tadi.

“Memang tak okey pun.” Selamba Awra membalas.

“Kau ni, kalau tak sakitkan hati aku memang tak boleh eyh?” Balas Faiq sedikit geram.

“Takdalah... Kau tu, kalau tak sihat, mengaku aje tak sihat tak boleh ke? Boleh tak, kau lain kali jangan nak berlagak sihat? Kalau jadi apa-apa masa kau drive malam tadi macam mana? Kau pengsan malam tadi aje dah buat aku risau tahu tak? Tak pasal-pasal aku nak kena jawab dengan parent kau nanti. Nasib baiklah abah tahu jaga orang sakit.” Spontan Awra terus menukar panggilan mereka sebelum ini. Dia menghamburkan rasa tidak puas hatinya. Sejak tadi dia perasan lelaki itu pura-pura sihat dengan wajah yang masih lagi pucat. Parasetamol yang diletakkan oleh ibunya tadi pun langsung tidak berusik.

Faiq tiba-tiba tersengih. Wajah kelat di sisinya direnung lembut. “Kenapa kau nak risaukan aku? Kau dah suka aku eyh?” Sengaja dia ingin mengusik.

“Hah? Jangan nak perasan! Aku cuma risau aje.” Awra terus membuang pandang ke arah lain. Menyembunyikan wajahnya yang mula diserbu darah panas. Terasa mahu ditampar mulutnya saat itu.

Faiq tergelak pula. “Eleh… Suka cakap ajelah suka. Tak payahlah nak sembunyi muka. Macam aku tak tahu…” Giatnya lagi. Dia yakin apa yang dirasakan saat itu. Pandangan mata gadis itu tidak mungkin dapat berbohong. Cuma hanya, dia perlu bersabar lagi menunggu hingga ke detik yang sesuai agar segala-galanya lebih jelas.

Awra menjuihkan bibir. “Jangan nak perasan! Kau lupa apa yang kau cakap dengan aku hari tu? Kau menyesal suka aku kan? So, buat apa aku nak suka kau?” Jawabnya tidak mahu mengalah.

Faiq tersengih pula. Mengakui apa yang diucapkan oleh gadis itu. Namun ia hanya meniti di bibirnya sahaja di saat perasaan marah sedang menguasai diri. Tetapi, hakikat sebenar hanya Allah yang tahu akan rahsia hatinya. “Kau sebenarnya takut apa yang kau rasa kan?” Balasnya penuh makna.

“Kenapa pulak aku nak takut? Memang betul apa yang aku rasa.” Jawab Awra cukup yakin. Namun di hatinya saat itu sudah bergetar hebat. Menoleh pun dia tidak berani.

Erk? Maknanya kalau aku tak ada rasa menyesal sukakan kau, kau pun boleh suka akulah kan?” Faiq memutarkan belitkan kata-kata. Terus sahaja dia berdiri menghadap Awra yang sama-sama bersandar di keretanya.

Awra mencebik. “Kau kenapa ni?” Dia mula kalut apabila Faiq berdiri rapat di hadapannya hingga hujung sandal yang dipakai bertemu dengan sandal lelaki itu. Renungannya pula agak berlainan ketika itu.
Faiq mengukir senyum nakal. Dua tangannya disanggah ke badan kereta dan menjadi pengepung tubuh gadis itu. Bibirnya mengoyak senyum paling manis.

“Kau nak buat apa ni? Aku jerit nanti..” Awra kecut perut. Tubuhnya tersandar rapat ke badan kereta. Tidak menjangka tindakan lelaki itu.

“Kau jerit, aku…” Selamba Faiq mengugut seraya merapatkan wajahnya pula.

Awra pula terus melekapkan tapak tangannya ke mulut. Membulat matanya menentang wajah Faiq. Sedia maklum apa yang dimaksudkan. Dalam hati dia berdoa agar ibu dan bapanya muncul saat itu. “Kau nak buat apa ni? Kalau abah dengan mak aku nampak macam mana?” Dengar tak dengar suaranya dengan menekup mulut begitu.

“Maknanya, kalau tak nampak, okey la kan?” Faiq angkat kening sebelah. Mengusik lagi.

Mata Awra sekali lagi membulat. “Kau jangan. Aku jerit betul-betul nanti..” Awra pura-pura memberanikan diri mengugut pula.

Faiq masih tetap dengan senyuman bergulanya. “Kau kalau berborak dengan adik aku, bukan main lembut lagi. Kalau dengan Khery lagi la.. Naik diabetes aku dengar. Kalau dengan aku, terlebih ‘mesra alam’ kau kan? Memang tak sah kalau kita tak bergaduh. Apa sebenarnya yang kau tak puas hati dengan aku? Takkan sebab handphone kau yang hancur tu, sampai sekarang kau dendam dengan aku?” Ucapnya dalam nada yang cukup perlahan.

“Memanglah! Kau tu, suka-suki nak kutuk-kutuk handphone aku. Lepas tu, kau buang macam tu aje bateri aku. Kau ingat aku kaya macam kau ke, boleh beli handphone hari-hari?” Luah Awra apa yang terpendam.
Faiq tergelak. “Takkan sebab tu aje?” Soalnya bersama sisa tawa.

“Kau lupa ke kau dah tipu aku?” Awra balas dengan soalan juga.

Faiq senyum. Sedar akan kesalahan yang sudah dilakukannya. “Lagi?”

“Tu dosa kau yang aku takkan lupa sampai bila-bila.” Awra memandang ke sisi. Tidak mampu lagi menentang wajah Faiq. Renungan lelaki itu berjaya mengusik hati kecilnya.

“Kan aku dah mintak maaf.” Tutur Faiq sehabis lembut.

Excuse me? Bila masa kau mintak maaf dengan aku?” Awra kembali merenung wajah di hadapannya itu.

“Aku mintak maaf.” Meluncur laju sebaris ayat itu dari bibir Faiq. Sedar hubungan mereka tidak akan sampai ke mana jika masing-masing cuba mengangkat ego di tempat yang paling atas. Oleh itu, dia akan cuba mengalah seandainya ia memberi perubahan positif dalam perhubungan mereka.

“Macam tu aje?” Awra tersenyum sinis. “Kau ingat, dengan kau ucap macam tu, aku boleh lupa apa yang kau dah buat?” Sengaja dia ingin menguji lelaki itu pula.

“Ehem..” Terdengar beberapa kali suara orang berdeham menyebabkan Faiq menjarakkan diri. Tidak jadi untuk membalas kata-kata Awra apabila kelibat ibu bapa gadis itu baru keluar dari rumah.

“Kau tunggulah.. Aku akan buat sampai kau takkan ingat apa yang aku dah buat pada kau sebelum ni. Kau jangan harap kau dapat benci aku lama-lama.” Ucapnya perlahan hanya buat pendengaran Awra sahaja sebelum dia mendapatkan Faridah yang berdiri di beranda rumah.

Awra ketap bibirnya rapat. Sedar yang dia tidak punya peluang untuk membalas.
……………

“Kau buat apa dekat sini?” Awra mengerutkan dahi apabila Faiq terpacak di hadapannya sebaik dia mengunci jeriji besi.

“Kau nak balik naik apa?” Faiq memulangkan soalan juga.

Awra terdiam. Dia memandang ke sekeliling. Terlupa yang dia datang petang tadi bersama lelaki itu sementara abahnya membetulkan tayar yang pancit. “Kau ni dah sihat ke?” Ajunya soalan juga. Atas bawah dia memandang tubuh lelaki itu.

“Kau ni, yang risau sangat pasal aku sihat ke tak, kenapa? Kau takut aku mati cepat eyh?” Usik Faiq pula.
“Hello Faiq Faisal. Kalau nak mati, tak payah tunggu sakit. Sekarang pun boleh mati kalau Allah tu nak tarik nyawa tau.” Balas Awra sedikit geram. Tidak suka hal hidup mati dipersoalkan.

Faiq senyum. “Sayang jugak kau dengan aku kan?” Ujar Faiq sebelum berlalu ke keretanya. Dia yang menawarkan diri untuk menjemput gadis itu daripada Shukor siang tadi dan akan terus dihantar ke rumah Firdaus.

“Ayat klise. Ingat ni drama ke? Tak kuasa aku nak sayang kau.” Omel Awra sendiri tanpa berganjak sedikit pun. Telefon dikeluarkan untuk menghubungi abahnya. Namun belum sempat pun talian bersambung, Faiq sudah menyambar gadget yang dipegang.

“Assalamualaikum pakcik. Ya. Saya dah sampai ni. Tapi Awra tak percayakan sayalah pakcik. Macam mana ni?”

Awra memandang geram lelaki yang sedang enak berbual dengan abahnya. ‘Dia ni kan…’ Rasa mahu ditelan hidup-hidup lelaki di hadapannya itu.

“Nah. Abah kau suruh aku hantar balik rumah Daus. Bukan balik kampung. Tak kesian ke abah kau datang nak jemput kau jauh-jauh macam ni? Dah lewat pulak tu. Dia kata, esok pagi kau balik dengan Daus sekali. Esok pun Sabtu. Daus balik dari kursus malam ni.” Ujar Faiq sambil menyerahkan semula telefon tadi ke tangan gadis itu. “Jom aku hantar balik. Dah nak hujan ni. Aku pun dah tak larat lama-lama ni.” Lanjutnya seraya kembali ke keretanya semula. Terasa menggigil saat tubuhnya disapa angin malam. Mujur kepalanya tidak lagi berdenyut teruk seperti siang tadi.

Mahu atau tidak, Awra terpaksa menuruti. “Dah tahu tak sihat, sibuk aje nak hantar orang.” Omel Awra perlahan sebaik masuk ke dalam kereta.

Faiq senyum. “Aku, kalau dah sayang seorang perempuan yang boleh buat calon isteri, takkan sanggup biar calon isteri aku tu susah-susah. Kalau jadi apa-apa nanti, aku jugak yang susah. Dah la sekarang ni susah nak cari perempuan yang spesies macam kau.” Selamba dia berterus terang kerana hati sudah terpaut. Tidak mahu menyembunyikan lagi perasaan kasih dan sayang seandainya hatinya yakin untuk memilih gadis itu sebagai suri hidupnya hingga ke akhir hayat.

Awra mencebik. Meremang bulu romanya mendengar istilah calon isteri dari bibir lelaki itu. “Siapa entah nak kahwin dengan dia.” Bebelnya kepada diri sendiri namun masih dapat didengari oleh lelaki yang mula memandu itu.

Faiq melebarkan senyum. “Eleh.. Mulut aje kata tak nak kan? Padahal hati, berparti sakan kau suka aku kan?” Jawabnya diiringi tawa. Cukup yakin apa yang diucapkan.

“PE RA SAN!” Sepatah-sepatah Awra membalas. Tetap menafikan tekaan Faiq.

“Takpa takpa. Tak nak mengaku sekarang pun takpa. Aku faham. Perempuan mesti malu kan? Takpa, aku sanggup tunggu. Aku ni lelaki yang sangat penyabar dan setia tau. Jangan pulak nanti, kau tiba-tiba pilih lelaki lain eyh? Aku dah janji nak fight habis-habis kalau ada lelaki lain cuba tackle kau. Termasuklah si Khery tu.. Kau tengoklah.” Cukup yakin Faiq mengucapkannya sedangkan belum pernah dia berterus terang begitu dengan mana-mana perempuan sebelum ini.

“Kau ni kenapa eyh? Ada fius dalam otak kau dah terbakar ke masa pengsan semalam?” Awra cuba menenteramkan hatinya yang kian bergetar hebat akan setiap luahan demi luahan yang dilakukan oleh Faiq sejak pagi tadi. Terasa mahu berhenti jantungnya berdegup saat itu.

Faiq tergelak. “Future wife aku pandai buat lawak der..” Dia seperti bercakap dengan dirinya sendiri.

Awra kerut dahi lagi. Wajahnya masam. Rasa terusik saat perkataan isteri meniti bibir lelaki itu lagi. Seperti terlalu serius di pendengarannya. Mulutnya terus terkunci. Malas mahu memanjangkan topik.

“Awra..” Cukup lembut Faiq memanggil setelah masing-masing hanya mendiamkan diri.

Awra tidak menjawab, juga tidak menoleh. Sejak tadi wajahnya dipalingkan ke luar tingkap yang gelap-gelita.

“Awra Firdaus Binti Mejar Bersara Abdul Shukor..” Nama penuh gadis itu disebut pula membuatkan Awra menoleh.

“Kau nak apa?” Soalnya dingin seperti biasa.

“Garangnyalah future wife aku ni.” Balas Faiq masih mahu mengusik.

“Kau ni confident sangat aku setuju nak jadi wife kau kan? Entah-entah aku jadi wife Khery.” Balas Awra bersama senyuman sinis. Sengaja menyakitkan hati lelaki itu.

Faiq senyum. “Kau pun confident sangat takkan jadi wife aku kan?” Balasnya tidak mahu kalah.

Awra mencebik lagi. Dia terkena. Jelingan tajam dilemparkan. Hati mula terasa berbahang. Sedar yang dia mungkin akan tewas jika bercakap dengan lelaki itu.

“Apasal diam? Kalah?” Provok Faiq. Sengaja! Dia lebih sanggup mendengar gadis itu membebel dari membatu tanpa sebarang suara.

“Buang masa aje bertekak pasal benda yang tak berfaedah ni.” Jawab Awra cuba menenangkan diri. Dia perlu bijak tangani emosinya jika berhadapan dengan lelaki itu. Tidak mahu sentiasa kelihatan kalah.

Faiq senyum lagi. Namun kali ini terasa pahitnya. “Tak berfaedah kau cakap? Kau ingat, apa yang aku cakap dari siang tadi, aku main-main ke?” Balasnya dengan sedikit rasa kecil hati.

Awra angkat bahu. Malas ambil peduli walaupun dalam diam hatinya terkesan dengan juga yang meniti bibir lelaki itu. Bukan hanya kerana isu yang ditimbulkan satu hari itu, malah sejak kali pertama pertemuan mereka. Dan hatinya kini pula, sudah bijak mengenal pasti antara Faiq dan Faidh. Getaran begitu terasa apabila dia bersama dengan lelaki di sisinya itu.

“Takpa takpa. Aku faham perasaan kau. Belum lagi tercuit dengan aku kan? Takpa.. Masa panjang lagi..” Sambung Faiq apabila gadis di sisinya itu hanya diam.

“Kau boleh tak jangan confident sangat? Belum tentu lagi kita boleh jumpa esok tau? Entah-entah tak sampai seminit lagi Allah cabut nyawa kita.” Tingkah Awra sedikit geram.

Faiq terpukul. Ada keluhan halus terbit dari bibirnya. “Aku tahu.. Tapi tak salahkan kalau aku pasang harapan?” Balasnya mengendur.

“Jangan selalu sangat memasang harapan.. Takut kecewa di kemudian hari. Bukan semua harapan akan jadi kenyataan.” Jawab Awra tenang.

“Tapi tetap tak salahkan?” Balas Faiq tidak mahu mengalah. Dia menghela nafas. “Kita boleh pasang seberapa banyak pun harapan Awra. Kalau nak harapan jadi kenyataan, kena usaha, kena tawakal. Kalau dah memang harapan tu tinggal harapan, reda.” Lanjutnya senang dan cukup tenang. Dia percaya akan harapan yang sudah dipasak teguh dalam hati. Sedar akan ia hanyalah sekadar harapan. Namun dia akan tetap cuba sedaya upaya untuk merealisasikan harapannya itu. Hatinya cukup yakin dan percaya akan qadak dan qadar Allah.

“Whatever!” Awra malas layan. Wajah ditalakan ke tepi. Tidak mahu memandang wajah lelaki itu. Dia masih juga di pihak yang kalah.

“Aku tahu kau tak pernah couple..” Balas Faiq bersama senyuman nipis. Sengaja mahu menduga kesabaran gadis itu.

Awra pula laju menoleh bersama renungan tajam. “Kau korek rahsia aku dari Abang Daus eyh?” Serkapnya. Tidak perlu meneka kerana dia sudah dapat menjangka siapa yang mendedahkan hal peribadinya.

Faiq melebarkan senyum pula.

Awra ketap bibir. Ringan sahaja tangannya mahu dilayangkan ke wajah lelaki itu apabila melihat senyuman yang tersungging. Menyakitkan hati!

“Apa yang aku cakap, aku serius tahu tak? Aku serius nak kau jadi isteri aku. Kita nikah. Lepas tu, nak couple ke, nak apa ke, aku tak kisah.” Lancar Faiq meluahkannya. Entah dari mana keyakinan itu hadir untuk meluahkan segala-galanya.

“Kau sedar tak apa yang kau cakap Faiq?” Awra tahan hatinya yang bergetar hebat.

“Sedar.” Senang Faiq menjawab.

Awra ketap rapat lagi bibirnya. Wajah tenang lelaki itu dipandang geram. “Aku rasa memang ada fius dah terbakar dalam kepala kau tu.” Hamburnya menahan kemarahan.

“Apa pulak. Betul la apa aku cakap.” Masih dalam nada yang sama Faiq membalas.

“Betul apanya? Kau propose aku tahu tak?!” Tingkah Awra tidak puas hati.

So what?” Seperti tidak bersalah Faiq menuturkannya.

Pap!

Lengan Faiq menjadi mangsa tangan Awra. Terlampau geram dengan Faiq yang begitu mudah bercakap akan soal yang melibatkan masa depannya.

Faiq menyeringai seraya menggosok lengannya. “Aku tengah drive ni. Nanti, ada yang tak sampai rumah pulak.” Ujarnya yang sedikit terkejut akan perlakuan gadis itu.

“Siapa suruh kau cakap benda merepek-repek!” Jawab Awra bersama jelingan tajam. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang tersirat di hatinya saat itu.

Faiq tergelak kecil. Dia kerling ke sisi. Perasan wajah Awra mula mencuka. “Nanti aku suruh family aku masuk meminang eyh.” Giatnya lagi.

“Faiq!” Terjerit Awra ketika itu.

Faiq meledakkan tawa. “Aku tak faham betul dengan kau ni. Dah la kau tak nak couple. Tapi bila aku ajak kahwin, kau tak nak. Habis tu macam mana? Kata nak bercinta lepas kahwin. Terima ajelah kalau orang masuk minang.” Ujarnya kemudian selepas tawanya reda.

“Senang aje kau cakap. Aku kena ambik risiko tinggi tahu tak? Takkan senang-senang aje aku nak terima kau.” Jawab Awra geram.

“Habis tu, kau ingat aku tak ambik risiko tinggi? Dibuatnya lepas kita kahwin, kau tinggalkan aku.. Macam mana?” Faiq ingin menduga hati gadis itu lagi.

Excuse me Encik Faiq Faisal. Aku ni jenis setia tahu tak? Kau ingat aku macam perempuan lain ke? Susah-susah kahwin, lepas tu senang-senang nak cerai? Please la.. Macam aku perempuan murah.” Awra mempertahankan dirinya.

“Dah tahu setia, apa masalahnya sekarang ni? Lagi senanglah hati aku. Kita nikah aje terus. Kau pun tak payah risau sebab aku pun jenis setia.” Jawab Faiq yang mula sembunyi senyum.

Awra ketap bibir rapat, kuat. Terasa kata-katanya tadi menjerat lehernya sendiri. Menyesal bertikam lidah dengan lelaki itu. Wajahnya dihalakan ke sisi. Mulut terus dikunci.

Faiq menoleh sekilas. Menanti reaksi gadis itu namun hampa. Keluhan perlahan terlepas dari bibirnya. “Awra..” Panggilnya lembut.

Awra toleh bersama jelingan tajam. Memberi isyarat agar lelaki itu tidak bercakap lagi. Dia tidak mahu dengar soal nikah kahwin dibincangkan.

“Okey.. Takpa. Aku tunggu sampai kau sedia.” Lanjut Faiq terpaksa mengalah. Tambahan pula mereka sudah pun memasuki kawasan perumahan Firdaus.

Awra mencebik. “Susah betul cakap dengan orang tak faham bahasa ni.” Rungutnya perlahan namun tetap sampai di telinga lelaki itu.

Faiq tersenyum. “Cakaplah apa-apa pun Awra. Kalau aku kata suka, aku tetap suka.” Selamba dia menjawab sebelum memberhentikan kereta di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat.

Awra mencebik lagi. “Kau, lelaki paling pelik yang aku pernah jumpa dalam seumur hidup aku ni tahu tak?” Balasnya geram sebelum laju menolak pintu kereta. Panas punggungnya duduk lama-lama di dalam kereta itu.

“Biarlah. Kau pun perempuan paling pelik yang aku pernah jumpa dalam abad ni.” jawab Faiq bersama sengihan sebaik menurunkan cermin keretanya.

“Huh!” Awra merengus sebaik membuka pintu pagar. Kakak iparnya setia menanti di situ.

“Faiq, tak masuk dulu?” Mesra Athirah menyapa. Bukan dia tidak dengar apa yang diucapkan oleh lelaki itu sebentar tadi. Melihat riak kelat wajah adik iparnya sahaja dia sudah dapat meneka apa yang sedang berlaku antara kedua-duanya.

“Buat apa ajak masuk kak? Dia nak terus balik tu. Lagi pun bukan dia sihat sangat.” Laju Awra menyahut demi mengelakkan lelaki itu lebih lama di situ.

“Terima kasih Mrs Faiq sebab tolong jawabkan..” Bersahaja Faiq menjawab bersama senyuman yang dibuat-buat. Entah kenapa kian galak dia berterus terang akan si hatinya terhadap gadis itu. Macam terdesak pun ada.

“Hah?” Athirah tercengang seketika. Dia memandang ke wajah adik iparnya yang masam mencuka.

“Gila!” Kata gadis itu sebelum terus berlalu masuk ke dalam rumah.

Athirah menggeleng sebelum matanya kembali ke arah Faiq. “Kalau nak sangat, pergi masuk minang terus. Jangan usik-usik dia macam tu. Dia tak suka.” Ujarnya bersama senyuman penuh makna.

“Memang nak masuk minang pun Ati. Tapi, kalau dah calonnya menolak, susah jugak.” Jawab Faiq bersama sengihan kelat.

“Yang limited macam tu, memang kena usaha lebih sikit Faiq.” Athirah mengusik.

Faiq sengih kelat lagi. Kepala yang tidak gatal digaru.



 .........
thanks for reading. maaf atas segala kekurangan.



Dec 15, 2013

Tutup order dan pembayaran.

Assalamualaikum.

Dengan ini, saya ingin memalumkan, order untuk novel TIRAI DOSA KELMARIN akan ditutup pada akhir bulan ini.

Kepada yang sudah pun melakukan pembayaran hingga ke hari ini, 15hb DISEMBER 2013, urusan pengeposan akan dilakukan bermula Isnin. Nanti saya akan inform sendiri kepada pembeli yang sudah pun melakukan pembayaran.

Bagi yang berminat untuk memilikinya, boleh maklumkan pada saya segera agar saya boleh berurusan dengan pihak lovenovel untuk dapatkan stok (sebab stok yg ada pada saya dah habis). Atau juga, anda boleh terus sahaja melakukan pembelian melalui www.lovenovel.com.my. Ianya lebih mudah dan cepat. Sekian.

Dec 10, 2013

Senarai dan tajuk terpilih.

Assalamualaikum.
Berikut merupakan tajuk2 yang diterima dan mungkin ada yang tak tersenarai. Maaf.
Kepada yang bertuah, sila pm saya segera dan tinggalkan details ok. :)

bil
nama
tajuk
1


khairol


jika kau rasa getarnya
andai ku tahu
andai kau tahu
2



suhana yasin



hati yang terluka
layakkah aku untukmu sayang
dilema hati ini
suratan hidupku
3
dewi
penantian rindu yang terpendam
4

k

memang khilafku
janji yang pasti
5


kakna


ku masih menanti
ku nanti mentari esok
dambaan bahagia
6
cik ecah
bila harus memilih
7

maylin

kisah kan dan aku
semanis cotton candy, sepait peria katak
8



cik N



dendam itu hari
dendam silam
luka semalam
rahsia terluka
9
baby mio
dendam semalam
10

ivoryginger

tiya & amirudin
sempoi girl vs mamat hoki
11


kak sue


setia ku di sini
setia di hati
kerana hati milikmu
12


nur farine


kisah cerita kita
sungguh aku masih sayangkanmu
pengganti diriku
13
ayu salina
setulus keikhlasanku
14




q




kerana kau untukku
suratan kita
rasa ini yang tertinggal
penghujung dosa
kau segala-galanya
15

eijan

siapa aku di hatimu
masih ada kamu di hatiku
16
Azure
bukalah hatimu untukku
17
Nur eyta
takdir indah untuk kita
18
yan chan
usah nafi hatiku
19
ada
rindu dalam kalbu

TAHNIAH kepada KAKNA dan KHAIROL.

Nanti boleh pm saya ok untuk tuntut novel TDK. :)
Dan tajuk yang terpilih untuk dijadikan tajuk NO TAJUK tu.. Milik KAKNA.

DAMBAAN BAHAGIA. bermula malam ini, no tajuk dah bertajuk.

Terima kasih kepada yang sudi menyumbangkan tajuk yang banyak2 tu. :)