Nov 30, 2013

Dambaan bahagia_bab 8

Assalamualaikum! :) Maaf lambat.

.............
No tajuk 8

“Tiya…” Meleret Amirudin memanggil nama gadis di sisinya itu.

“Kau boleh tak jangan nak panggil aku macam tu. Kau saja nak test aku kan?” Fatiyah menjeling geram.

Amirudin tergelak. “Habis tu, yang kau diam aje dari tadi kenapa? Macam aku drive sorang-sorang. Mengantuk tahu tak?” Balasnya dengan sengihan lebar. Berjaya membuatkan gadis itu bersuara.

Fathiyah menjuihkan bibir. Faham benar dengan perangai Amirudin yang tidak akan senang jika dia hanya berdiam diri. “Habis tu, sebelum ni kau drive sorang-sorang tu okey pulak?” Sindirnya selamba.

Time tu memang dah takda siapa nak teman aku. Sekarang ni, ada teman. Orang ada teman, buat macam orang ada temanlah.” Selamba Amirudin menjawab.

“Mengadalah! Aku mengantuk tahu tak. Sibuk ajak balik pagi-pagi kenapa? Macamlah nak balik rumah dia.” Rungut Fathiyah yang tidak puas hati kerana lelaki itu seawal tujuh pagi sudah terpacak di pintu pagar hostelnya.

Amirudin tersengih lagi. “Aku terjaga awal. Dah tak tahu nak buat apa, aku terus ajelah siap.” Jawabnya sama seperti tadi. Bukan main senang lagi hatinya saat itu.

“Kau sedaplah bangun-bangun aje breakfast dah siap atas meja. Dah la malam tadi aku tak makan. Ni pagi-pagi dah suruh aku siap cepat.” Kelat wajah Fathiyah menghamburkan rasa tidak puas hatinya. Tambahan pula perutnya memang minta diisi sejak tadi.

Alololo… Siannya dia..” Sengaja Amirudin mengusik sebelum perutnya terasa senak apabila Fathiyah sudah melayangkan tangan ke perutnya. “Hish! Kau ni kan.. Tangan kau tu memang tak reti duduk diam eyh..” Amirudin menggosok perutnya perlahan.

“Padan muka!” Ejek Fathiyah puas hati.

“Alah.. Nak gurau sikit pun tak boleh. Tu ha… Ummi siap tapaukan sandwich telur dekat belakang tu untuk kau.” Ujar sambil menunjuk ke arah beg kertas yang dibawa dari rumah tadi.

Mata Fathiyah terus membulat. Senyuman di bibirnya mekar. Tanpa menunggu lama beg kertas di tempat duduk belakang dicapai. “Ni yang aku sayang sangat dengan ummi ni.” Ucapnya dengan wajah teruja. Penutup bekas terus sahaja dibuka sambil menjeling ke arah Amirudin di sisi. “Ummi sayang aku lebihlah. Jangan jealous!” Katanya sengaja mengusik.

Amirudin menjuihkan bibir. “Aku cakap aje nak keluar pagi, ummilah yang paling sibuk pasal kau tahu? Sebab dia tahu kau mesti takkan sempat nak breakfast punya.” Beritahunya perihal umminya.

“Waa.. Ummi ni suka buat aku touching tau. Siap sekali dengan Neslo.” Kata Fathiyah tanpa menghiraukan kata-kata Amirudin.

See? Memang betullah dia sayang kau. Pantang aku sebut nama kau, mesti dia yang paling sibuklah.” Tambah Amirudin lagi. Hatinya senang melihat gadis di sisinya itu begitu ceria melihat sandwich telur yang dibawa.

“Haruslah! Sebab kau kan anak angkat ummi aje. Ha ha ha..” Selamba Fathiyah menjawab sebelum mula menyuap sandwich ke mulutnya.

Amirudin tersengih kelat. Terusik hatinya namun ia tidak akan menggugat sedikit pun rasa bahagia yang sementara itu. Dia tahu Fathiyah sekadar bergurau. “Orang sebelum makan baca bismillah. Kau makan dengan syaitannirhojimm Tiya.” Balasnya tidak mahu mengalah menyebabkan gadis itu terus tersedak-sedak. Dan serentak itu juga dia memberhentikan keretanya ke tepi. “Kau ni lain kali boleh tak makan tu jangan gelojoh sangat.” Dia segera mencapai botol air mineral yang turut sedia dibawa. Tangannya tanpa disuruh terus menggosok lembut belakang tubuh Fathiyah.

“Shah…” Dalam terbatuk-batuk Fathiyah cuba menolak tangan Amirudin. Tidak selesa lelaki itu menyentuhnya begitu.

“Er.. Sorry.” Amirudin serba salah. “Kau tu lain kali makanlah elok-elok.” Dia risau melihat wajah Fathiyah yang merah padam.

“Kaulah.. Syaitannirhojimm bagai.” Fathiyah menyerahkan kembali botol air mineral tadi. Tisu dari tangan lelaki itu pula dicapai.

Amirudin tergelak kecil. “Tu.. Lap dashboard aku sakali tu.” Arahnya sebelum kembali memandu.

Fathiyah sempat menghadiahkan jelingan sambil mengelap mulutnya yang sedikit comot kemudian berpindah ke arah dashboard kereta yang dimaksudkan. “Shah, nanti sampai rumah, kalau ibu tanya pasal kita, kau pandai-pandailah jawab. Aku tak nak jawab.” Ujar Fathiyah sebaik mengelap mulutnya.

“Eh, aku sorang kena jawab?”

Hello dear! Siapa yang nak sangat kita baik? Kau ke aku?” Fathiyah menjungkitkan keningnya sebelah.

Amirudin menarik senyum tepi. Terusik lagi hatinya. Sedar yang hubungan mereka kini hanyalah sementara. Dan dia tahu gadis itu rasa terpaksa untuk berbaik dengannya. “Iyalah.. Nanti aku explain dengan ibu. Jangan risau.” Jawabnya lambat seraya mengerling sekilas. “Beb, tepi bibir kau.” Ringan sahaja tangannya ingin mengelap tepi bibir Fathiyah namun gadis itu segera menolak.

“Shah.. Lepas ni, boleh tak kau jangan suka-suka nak pegang-pegang aku. Rugilah husband aku nanti.” Fathiyah cepat-cepat mengelap tepi bibirnya yang comot.

“Eh, yang kau pukul aku tadi takpa? Kau ingat wife aku tak rugi?” Balas Amirudin yang sengaja mempersoalkan peringatan gadis itu.

Fathiyah menjuihkan bibir. Bukan meluat dengan apa dipersoalkan. Tetapi lebih kepada ayat terakhir yang diucapkan oleh lelaki itu. Tanpa mahu melanjutkan bicara, dia leka menikmati sandwich telur yang masih berbaki.
…………………

“Ibu!!” Agak kuat dia menjerit apabila melihat sangkar besi di belakang rumahnya itu kosong. Penghuninya tiada.

“Kenapa ni Tiya?” Sahut Faridah dari muka pintu dapur.

“Gina mana? Along keluarkan ke?” Soal Fathiyah masih tidak berganjak di hadapan sangkar itu.

“Ha’ah...” Ringkas Zainab menjawab dengan perasaan serba salah.

Fathiyah terus mendapatkan ibunya di muka pintu itu. “Ada atas siling? Bila Along keluarkan?” Dia terus memanjangkan leher ke salah satu sudut siling dapur. Petak siling yang kebiasaannya terbuka jika ular sawa kesayangannya dilepaskan, bertutup. Wajahnya berkerut. “Kenapa Along tak bukak siling tu?” Soalnya sedikit pelik. Wajah ibunya itu dipandang.

“Along dah lepaskan Gina minggu lepas…” Perlahan Zainab menjelaskan keadaan yang sebenar.

Fathiyah tergamam. Wajah ibunya itu dipandang tanpa berkelip. “Along buang Gina ke bu…” Ada getaran dalam nada suaranya.

Zainab melepaskan keluhan. “Tiya…” Dia cuba meraih bahu anak bongsunya itu namun tangannya ditolak.

“Bila Along buang Gina?” Soalan pula meniti bibir Fathiyah.

“Kelmarin…” Zainab terpaksa mengakui.

Dua hari lepas, dia sudah melarang Amri dari melepaskan ular sawa kesayangan anak bongsunya. Namun anak sulungnya itu tetap berdegil atas alasan perikemanusiaan. Ular sawa betina itu berhak hidup bebas.

“Kenapa ibu tak bagi tahu Tiya Along nak buang Gina…” Lemah Fathiyah bersuara dengan mata yang mula berkaca-kaca. Kecewa benar hatinya saat itu kerana haiwan kesayangan yang sudah hampir sepuluh tahun membesar bersamanya dibuang tanpa pengetahuannya.

“Ibu dah cakap dengan Along tunggu Tiya balik… Tapi…”

“Along memang dah tak sayangkan Tiya… Sampai hati Along buang Gina…” Fathiyah sudah mengalirkan air mata. Dua ekor ayam yang dibeli khas buat haiwan eksotiknya itu terus diserahkan kepada ibunya sebelum dia terus berlalu masuk ke dalam bilik.

“Tiya…” Zainab tidak tahu apa yang harus diucapkan. Hubungan dingin yang baru sahaja beransur pulih, kini keruh kembali.

“Bu… Kenapa tu?” Muncul Amirudin di ruang dapur itu. Tubuhnya tanpa sengaja dilanggar oleh Fathiyah saat mereka berselisih tadi.

“Hm… Dua hari lepas Amri lepaskan Gina dekat belakang tu ha…” Jawab Zainab bersama keluhan. Dua ekor ayam tadi terus sahaja dimasukkan ke dalam peti sejuk.

“Oh… Iya ke…” Amirudin berdiri di muka sambil melihat kawasan belakang rumah itu. Ada ladang kelapa sawit di belakang perumahan tanah persendirian itu. “Bu… Boleh ke lepaskan Gina dalam ladang tu? Tak bahaya ke?” Ujarnya lanjut.

“Bukan dalam ladang tu. Amri buang dekat belukar kecil sebelah ladang tu.” Jelas Zainab yang turut sama berdiri di sisi anak muda itu.

Dia yang sebenarnya masih terkejut dengan kepulangan kedua-duanya tadi, memandang ke wajah Amirudin dengan penuh tanda tanya.

“Bu…” Amirudin kerut dahi saat matanya berlaga dengan mata Zainab. Ada sedikit kelainan pada riak wajah sahabat umminya itu. “Er… Ada apa-apa ke dekat muka Shah?” Tangan mula meraba-raba mukanya sendiri.

Zainab senyum segaris. “Taklah… Erm… Boleh ibu tanya sikit?” Tuturnya lembut. Dia sudah sedia maklum akan apa yang sedang berlaku. Namun, ada sesuatu yang dia ingin tahu dari mulut lelaki muda itu sendiri.

“Ibu ni… Nak mintak izin pulak. Tanya ajelah apa yang ibu nak tanya. Apa yang Shah boleh jawab, Shah jawab.” Balas Amirudin senang bersama senyuman.

“Shah memang langsung tak boleh terima Tiya lagi ke?”

Senyum di bibir Amirudin terus mengendur. Tersentak dengan soalan yang diajukan. Nafas berat terhela dari mulutnya. “Ibu.., ibu tahukan siapa Shah? Keluarga ibu ni keluarga baik-baik bu… Ada ramai lagi lelaki baik untuk Tiya. Shah ni cuma boleh jadi abang dia aje bu…” Jawabnya lambat bersama keluhan panjang.

“Shah…”

“Bu, Tiya nak jumpa Alan kejap.” Muncul Fathiyah di situ, belum pun sempat Zainab menyambung kata. Tangannya dicapai sekilas sebelum gadis itu terus berlalu.

“Bu, Shah ikut dialah. Shah pergi dulu bu. Ibu jangan risau pasal Tiya tu okey?” Amirudin pula tergesa-gesa mencapai tangan tua Zainab sebelum dia laju menuruti langkah Fathiyah laju ke muka pintu. Tidak senang hatinya saat nama lelaki lain meniti bibir gadis itu.

Zainab hanya mampu memandang kelibat kedua-duanya hilang daripada pandangan.
………………

Korang ni ada apa-apa ke?” Soal Azlan sebaik meletakkan segelas Neslo kegemaran Fathiyah dan jus oren seperti yang dipesan oleh Amirudin sebentar tadi.

Fathiyah menghadiahkan jelingan ke sisinya apabila melihat Amirudin tersengih-sengih tanpa rasa bersalah kerana menurutinya ke situ. “Kau rasa?” Sengaja dia mengajukan soalan juga kepada lelaki berwajah manis di hadapannya itu.

Azlan tergelak. “Entah. Tapi aku harap, aku ada peluang lagi la.” Balasnya penuh makna. Sempat keningnya dijungkitkan kepada Amirudin. Bukan dia tidak nampak api cemburu yang sedang menyala di mata lelaki itu.
Amirudin pula ketap bibir. Terpaksa tahan hati.

“Tiya, kenapa ni? Kau okey ke?” Azlan memberi tumpuan kembali ke arah gadis yang pernah menjadi pilihan hatinya sebelum ini.

“Aku takda mood la Alan..” Jawab Fathiyah malas. Disedut perlahan Neslo ais di hadapannya.

“Alah… Janganlah macam tu. Kau dah lama tak datang kedai aku ni. Tiba-tiba datang, kau takda mood. Story la dengan aku kalau ada apa-apa. Macam tak biasa.” Balas Azlan prihatin. Sememangnya walaupun mereka sudah jarang bertemu, agak kerap juga gadis itu menghubunginya semata-mata mahu meluahkan perasaan. Dan dia sendiri maklum akan apa yang sedang berlaku di antara Amirudin dengan gadis itu.

“Erm… Makde mana? Tak nampak pun?” Fathiyah terus mengajukan soalan lain tanpa menjawab soalan Azlan tadi. Tiada kepentingan ingin dikongsikan tentang haiwan kesayangannya yang telah dibuang.

“Mak aku pergi cari barang kejap. Tu yang aku ada dekat kedai ni.” Balas Azlan bersama kerutan di wajah. Matanya sempat mengerling ke arah Amiruddin. Mahu lelaki itu bersuara dan memberitahu apa sebenarnya yang sedang berlaku.

“Abang Am dah buang Gina.” Amirudin bersuara malas. Walaupun hubungannya bersama Azlan tidak begitu baik, tetapi mereka sudah kenal sejak di bangku sekolah lagi.

“Oh.. Sebab tu la muka kau kelat semacam ni?” Lanjut Azlan dengan sengihan. Lucu melihat wajah Fathiyah memuncung begitu.

“Tu la.. Along aku la ni. Suka hati aje dia buang Gina. Dah la abah aku yang bagi dulu.” Balas Fathiyah bersama keluhan. “Erm.. Alan, jom temankan aku cari Gina nak?” Sambungnya penuh mengharap.

“Nak buat apa?!” Serentak pula Amirudin dan Azlan menjawab.

Fathiyah memandang kedua-dua lelaki itu bersilih ganti. “Sudahlah korang. Bukan aku tak tahu korang takut ular. Nama aje lelaki! Dah tak payah! Biar aku aje yang cari!” Bentak Fathiyah sebelum bingkas.

Azlan sudah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Manakala Amirudin pula terkocoh-kocoh bangun sambil mengeluarkan not sepuluh sebelum dia terus mengejar Fathiyah yang melangkah laju.

“Tiya!” Amirudin cuba menyaingi langkah Fathiyah yang kian menghampiri kereta. “Tiya! Kau boleh tak relax dulu?!” Dia sudah memintas gadis itu.

“Dah la Shah. Kalau aku lambat cari Gina, lagi jauh dia dah pergi.” Ujar Fathiyah seraya cuba menolak tubuh Amirudin yang menghalang pintu kereta.

“Tiya Tiya Tiya! Kau ni kenapa? Ular aje pun!” Amirudin masih mahu menghalang.

“Memanglah ular aje pun! Tapi sebab dia ularlah aku nak cari dia balik! Sebab Gina tak pernah pun tahu nak sakitkan hati aku! Apatah lagi nak tinggalkan aku melainkan dia mati!” Fathiyah membalas geram. Sakit hati kerana Amirudin langsung tidak peka dengan perasaannya. Bukan tidak tahu begitu lama dia membela dan menyayangi haiwan eksotiknya itu.

Amirudin terkedu.

“Tepilah kau!” Fathiyah terus sahaja menolak tubuh Amirudin yang tegak berdiri di hadapannya. Terus sahaja dia meloloskan diri ke tempat pemandu. Tanpa menghiraukan Amirudin yang masih tidak bergerak di situ, terus sahaja dia memandu.

“Shah.” Azlan datang menghampiri.

“Sampai mati pun Lan dia takkan lupa apa yang pernah aku buat.” Luah Amirudin perlahan.

Azlan menepuk beberapa kali bahu lelaki itu. “Jom kita duduk borak dulu. Kau pun dah lama sangat tak lepak dekat kedai aku. Lepas mak aku sampai nanti, aku hantar kau balik. Jom.” Mesra dia mengajak.

Amirudin pula tidak menolak. Hanya menuruti langkah Azlan masuk ke kedai semula.

“Apa sebenarnya tujuan kau baik dengan dia balik Shah?” Azlan bertanya sebaik mereka melabuhkan duduk di kerusi tadi. Dia ingin tahu sendiri penjelasan dari bibir Amirudin walaupun dia sedia tahu dari pihak Fathiyah.

Amirudin menghela nafas panjang sebelum matanya terhala ke arah lelaki di hadapannya itu. “Kenapa kau nak tahu?” Ada keraguan dengan soalan yang diajukan kepadanya.

Azlan senyum segaris. “Kau tak rasa ke, kau sebenarnya akan sakitkan hati dia lagi?” Dia berkias.

“Dah dua tahun Lan dia langsung tak nak jumpa aku, tak bercakap dengan aku. Kau ingat, aku boleh senang hati ke hidup dalam kemarahan dengan kebencian orang? Lagi-lagi Tiya.” Luah Amirudin jujur.

“Dah tahu macam tu, yang hari tu kau pergi cancelkan majlis tunang kau kenapa? Siapa yang salah sekarang ni? Kau tahu tak Tiya sayang kau gila-gila sampai dia tak pandang pun aku yang kurang kacak sikit aje dari kau. Dah la kau yang beriya-iya ajak dia bertunang bagai. Lepas tu, kau boleh cancel macam tu aje.” Balas Azlan tidak puas hati akan tindakan yang dilakukan oleh lelaki itu dua tahun lalu.

Amirudin melepaskan nafas berat. Sama berat apa yang disimpan kemas di dalam hatinya. “Kau ingat aku suka-suka buat keputusan tu ke? Aku, kalau boleh sekarang jugak nak nikah dengan dia.” Jawabnya perlahan.

“Habis tu, apasal kau tak buat?” Selamba Azlan menyoal.

“Sebab aku tak bolehlah, aku tak buat. Kalau tak, dari dulu lagi aku buat Lan.” Tingkah Amirudin mula sakit hati dengan setiap pertanyaan lelaki di hadapannya itu.

Azlan melemparkan senyum sinis. “Aku tak fahamlah kau ni Shah. Suka, tapi kau tak nak dia. Apa tu? Kau ni ada masalah apa sebenarnya? Ada masalah hati ke, masalah otak? Aku kesian dengan Tiya tu tahu tak? Dah la comel, cute, caring. Cuma dia tak tahu masak dengan childish sikit aje. Tapi lepas korang break, aku dah tak nampak manja dia tu. Jadi degil semacam. Hati kering. Tu yang aku pelik sekarang ni, macam mana dia boleh terima kau balik? Kalau tak, aku sebut nama kau aje, tangan dia cepat aje nak melayang.” Panjang dia membebel.

Amirudin mengeluh lagi. Tidak mungkin dia akan menerangkan keadaannya yang sebenar. Cukup hanya dia bersama ahli keluarga terdekat sahaja yang tahu.

Bro, kalau kau tak nak dia, lepaskan dia. Bagi peluang pada orang lain yang boleh jaga dia.” Kata Azlan lagi sekadar menasihati walaupun dia yakin lelaki itu masih menaruh perasaan terhadap Fathiyah.

Keluhan lagi terlepas di bibir Amirudin. Berat benar kenyataan Azlan untuk diterima walaupun dia sedar akan hakikat yang satu itu. Dia langsung tidak punya hak ke atas diri Fathiyah. “Kau ada hati dengan dia lagi?” Soalan itu yang terpacul di bibirnya.

“Kenapa kau tanya?” Azlan mengajukan soalan juga dengan senyuman penuh makna tergaris di bibirnya.

“Aku cuma nak make sure yang dia tak tersalah pilih. Tu aje.” Amirudin cuba menenangkan dirinya sendiri.

Azlan melebarkan senyuman seraya menepuk beberapa kali bahu Amirudin sebelum bingkas. “Jomlah aku hantar kau balik. Mak aku dah sampai tu.” Sengaja dibiarkan pertanyaan Amirudin tidak berjawab. Dia mahu lelaki itu menilai sendiri dengan pancaindera yang dikurniakan tuhan.

........
thanks for reading sahabat!

maaf ni macam serabut! huu

Nov 25, 2013

TIRAI DOSA KELMARIN

assalamualaikum sahabat!

alhamdulillah. atas izinNya. :') Inshaa Allah akan muncul di Pesta buku 1 malaysia. 11-15hb disember ni. Inshaa Allah. Boleh dapatkannya di booth LOVENOVEL PUBLICATION. :)


sebarang info, nanti saya maklumkan kemudian sebab order di LNP pun belum dibuka.
Inshaa Allah.
...........
Kepada yang selama ini menyokong TDK terima kasih banyak-banyak. Harap boleh terima hasil/versi cetakan ini setelah ditokok tambah tolak dan sebagainya. huu.. MAAF jika ada kekurangan! :'(

Nov 19, 2013

Dambaan bahagia_bab 7

Assalamualaikum :)

selamat ulangtahun kelahiran kepada yang menyambutnya semalam dan hari ni.
maaf atas segala kekurangan. :')

.............

No tajuk 7

“Janganlah kau berhenti..” Gumam Fathiyah perlahan sambil menundukkan wajah. Mengelak dari Amirudin ternampak akan kelibatnya di situ. Namun jangkaannya meleset apabila kereta Vios warna hitam berhenti betul-betul di hadapannya di perhentian bas itu.

“Tiya!”

Bibir diketap rapat apabila Amirudin menurunkan cermin tingkap untuk memanggilnya. Dalam keadaan yang sedikit sesak dengan pelajar-pelajar lain yang turut sama menanti bas, membuatkan kewujudan Amirudin di situ menjadi tumpuan. Terutamanya pelajar perempuan. Bukan dia tidak perasan kemunculan Amirudin memang sentiasa mampu menarik tumpuan kaum Hawa walau di mana pun lelaki itu berada sejak dahulu lagi.

“Tiya!” Laung Amirudin lagi menyebabkan dia tidak punya pilihan. Sedar yang dia juga mula menjadi tumpuan, punggung terus diangkat. Dengan langkah yang berat dia terus sahaja meloloskan diri dalam kereta lelaki itu. Ada perasaan menyesal mula terbit di hati apabila mengenang kembali perjanjian yang sudah dibuat seminggu yang lalu.

“Kau nak pergi mana?” Tanya Amirudin cukup tenang sebaik kembali memandu. Lagak seperti tiada apa-apa yang berlaku sebelum ini.

“Er.. Nak balik hostel.” Jawab Fathiyah yang cuba menenangkan hatinya sendiri. Dia agak pelik melihat wajah Amirudin yang begitu tenang apabila bertemu dengannya. Sedangkan dia, hatinya kini sedang bergolak hebat untuk berpura-pura baik dengan lelaki itu.

“Kau dah makan?” Lembut Amirudin bertanya yang sesekali menoleh. Bibir sembunyi senyum. Dia tahu Fathiyah masih sukar menerima dirinya walaupun gadis itu sudah berjanji untuk berbaik.

“Belum.” Sepatah Fathiyah menjawab dengan wajah dipalingkan ke luar tingkap.

“Kita makan dulu nak? Lepas tu aku hantar balik hostel eyh?” Cadang Amirudin seraya menoleh sekilas. Mahu melihat reaksi gadis itu.

“Kau dah takda kelas ke lepas ni?” Fathiyah cuba mengikut rentak lelaki itu.

“Ada. Tapi aku malas nak pergilah.” Selamba Amirudin menjawab dengan sengihan.

“Kau ni, macam manalah tak repeat. Asyik nak ponteng kelas aje. Sekarang pun kau dah stop hoki sekejap kan? Pergilah kelas.” Balas Fathiyah lancar. Tanpa sedar dia kini sudah kembali kepada karakternya yang sebenar apabila bersama lelaki itu.

Amirudin pula tersenyum lebar. ‘Welcome back my dear…’ Bisik hatinya. Fathiyah yang suka membebel dengannya sudah kembali. “Ala.. Aku baru sekali nak ponteng. Bukan selalu.” Jawabnya lambat. “Erm… Kau nak makan dekat mana?” Mesra dia melayan gadis itu sebagaimana yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Erm.. Mana-mana ajelah. Tapi jangan jauh sangat. Lepas zuhur nanti aku nak pergi fakulti. Ada discussion sikit.” Balas Fathiyah mula selesa walaupun jauh di sudut hatinya, hanya Allah sahaja yang tahu. Dia kini amat keliru dengan perasaannya sendiri.

“Erm.. Lama ke discussion?” Amirudin mengajukan soalan. Ingin tahu akan segala kegiatan gadis itu.

“Tak tahu lagi. Er… Kenapa?” Fathiyah mula tidak senang. Risau andai pertemuan mereka lebih kerap selepas ini.

“Erm.. Nanti balik aku ambik. Tak payah kau susah-susah berebut naik bas.” Amirudin menggariskan senyum. Dengan senang hati dia mahu menjadi pemandu khas gadis itu.

“Eh, takpalah. Susahkan kau aje. Kau pun bukan duduk hostel kan? Tak payahlah kau susah-susah. Nanti member-member aku pun ada. Aku boleh tumpang dengan dia orang nanti.” Fathiyah cuba mencipta alasan. Tidak sanggup dia berlamaan dengan lelaki itu. Risau luka di hatinya bertambah dalam.

“Nur Fathiyah..”

Fathiyah menoleh. Gemersik suara Amirudin mengusik hati membuatkan wajahnya serta-merta terasa hangat. Segera dia palingkan wajahnya ke sisi.

Amirudin senyum. “Nanti habis discussion, call aku. Aku ada aje dekat stadium. Sementara tunggu kau, aku boleh join Nuar training. Aku pun dah lama tak training. Nanti boleh terus dinner sama-sama. Dah lama sangat kita tak dinner sama kan?” Tuturnya cukup menyenangkan.

“Er…” Serba salah Fathiyah ingin memberi persetujuan. Sememangnya ada cebisan rindu jauh di sudut hatinya untuk melalui detik-detik seperti dahulu. Namun cukup tabahkah hatinya untuk mengulangi detik itu semula?

“Diam tandanya setuju..” Amirudin mengusik. Dia tahu Fathiyah masih belum dapat menyesuaikan diri kerana semuanya berlaku terlalu drastik. Masih ada kekok. Dia sendiri cuba menyesuaikan diri akan keadaan baru itu setelah hampir dua tahun mereka bermusuh.

Fathiyah senyum tawar.

“Kira jadilah eyh?” Amirudin memandang sekilas. Senyuman yang cukup manis dilemparkan buat gadis itu.

“Aku takda pilihan kan?” Fathiyah terpaksa mengalah.
………….
“Er… Ni rumah siapa? Tadi kau kata nak dinner?” Fathiyah tidak senang. Ada debar berkunjung dalam hatinya apabila melihat rumah banglo dua tingkat itu.

“Ni la rumah aku. Ummi dah lama teringin nak ajak kau datang sini.” Jawab Amirudin sebaik mematikan enjin kereta.

Selepas pertunangan mereka dibatalkan, keluarganya terus berpindah ke situ memandangkan ayahnya sudah membuka syarikat kontraktor sendiri.

“Alah… Kenapa kau tak cakap awal-awal? Kau tengok aku sekarang pakai apa? Malulah aku nak jumpa ummi dengan abah macam ni…” Rungut Fathiyah apabila perasan akan pakaian yang dipakai kurang sesuai. Dia hanya mengenakan bottom track bersama baju-t.

“Ummi dengan abah tak kisahlah… Kau macam tak biasa. Sebelum ni okey aje kau pakai macam ni.” Balas Amirudin sebelum mereka sama-sama keluar dari kereta.

“Alah… Tu dulu… Sekarang dah lainlah Shah…” Fathiyah tetap resah. Terasa malu untuk bertemu dengan ahli keluarga Amirudin walaupun sebelum ini mereka cukup akrab.

“Dulu, sekarang, sama aje Tiya.. Kau tetap Fathiyah yang aku kenal dulu.” Ucap Amirudin menenangkan. “Jom. Dah lama family aku tunggu. Lepas isyak nanti aku hantar kau balik. Jom…” Sambungnya seraya menghulurkan tangan.

Fathiyah memuncung. Serba salah. Mahu atau tidak, dia sudah pun tiba.

“Kak Tiya!” Muncul Azween di muka pintu. Terus sahaja gadis itu mendapatkan Fathiyah yang masih kaku berdiri di tepi kereta.

“Lamanya Aween tak jumpa akak. Kurusnya akak sekarang ni. Tak makan ke?” Ujar Azween sebaik meleraikan pelukan.

“Takdalah.. Akak macam biasa ajelah Ween. Aween tu yang makin cantik sekarang.” Balas Fathiyah sambil mencuit hujung hidung remaja itu. Terlalu lama dia tidak bertemu dengan gadis itu sejak dia dan Amirudin memutuskan hubungan.

“Jom akak.. Ummi dah lama tunggu akak.” Azween terus menarik tangannya tanpa sempat dia membalas. Dia memandang ke wajah Amirudin namun lelaki itu hanya mampu tersengih.

“Tiya..” Aznah sedia menanti di muka pintu dengan senyuman.

“Ummi..” Tubuhnya terus didakap erat. Tergamam dia seketika.

“Dah lama sangat Ummi nak Tiya datang rumah ummi ni..” Tutur Aznah dengan genangan air mata.  Terharu dengan kedatangan gadis itu sebaik dimaklumkan oleh anak lelakinya tengah hari tadi walaupun pada mulanya ada rasa tidak percaya di hati. Namun selepas Amirudin menerangkan keadaan yang sebenar, dia mengucap syukur tidak terhingga. Peluang yang ada tidak akan dilepaskan demi memulihkan hubungan yang dingin sebelum ini.

Fathiyah mengukir senyum. Ada sebak yang bertandang di hatinya apabila melihat wajah wanita yang cukup disayangi seperti ibunya sendiri itu.

“Tiya!” Muncul pula Aqilah bersama Azrina. Kedua-dua wanita itu pula memeluknya bersilih ganti membuat sebak yang bertandang di hatinya kian membukit. Penerimaan keluarga itu tetap sama seperti dulu.

“Tiya malu dengan semua… Tengok Tiya pakai apa… Shah la ni… Dia tak cakap pun dengan Tiya nak datang sini…” Ucapnya sedikit lirih sebaik meleraikan pelukan Azrina.

“Takpalah. Macam ni pun dah cantik.” Balas Azrina sambil menjeling ke wajah Amirudin yang menjadi pemerhati setia sejak tadi. “Jom.. Ummi masak special untuk dinner malam ni tau.” Katanya lagi saat mereka beriringan.

“Buat susah ummi aje…” Fathiyah memandang ke wajah wanita yang sebaya dengan ibunya itu.

“Takda susahlah. Kalau untuk Tiya, apa-apa pun boleh.” Balas Aznah sambil menyentuh pipinya.

“Terima kasih ummi..” Fathiyah menahan sebak lagi. Terharu dengan keikhlasan wanita itu. “Erm… Abah mana?” Soalnya pula apabila perasan kelibat Ridhuan tidak kelihatan.

“Abah tengah mandi. Dah nak maghrib ni, kalau Tiya nak mandi pun boleh. Lepas tu kita jemaah sama-sama.” Sahut Aqilah pula.

“Ha’ah kak. Akak boleh pakai baju kita orang.” Tambah Azween pula senang.

Fathiyah tersenyum pahit. Kemesraan yang ditunjukkan oleh keluarga itu benar-benar menyentuh hatinya. Sedikit pun tidak kurang seperti mana dahulu.

“Ummi.. Shah naik dululah. Shah pun nak mandi ni.” Celah Amirudin yang mahu segera meloloskan diri. Tidak sanggup dia memandang wajah Fathiyah yang jelas serba tidak kena apabila bertemu dengan ahli keluarganya. Dia tahu gadis itu kian terluka dengan apa yang berlaku kini.

“Pergilah..” Sahut Aznah ringkas.

Amirudin sempat menoleh sekilas ke wajah Fathiyah sebelum dia terus berlalu.

“Jom kak.. Naik dulu.” Mesra Azween menarik tangan Fathiyah agar menurutinya ke bilik.

“Tiya pakai baju akaklah. Nanti akak ambikkan.” Tambah Azrina pula sebelum memanjat tangga.

Fathiyah saat itu pula tidak lagi mampu menolak. Terpaksa menuruti langkah gadis-gadis itu naik ke bilik. Sempat dia melemparkan senyum buat Aznah yang memerhati.

…………….

“Senyap aje..” Amirudin bersuara apabila hampir sepuluh minit mereka bertolak, gadis di sisinya itu hanya mendiamkan diri.

Fathiyah menoleh. Wajah Amirudin dipandang. Ada sesuatu yang terbuku di hatinya ingin diluahkan namun tidak terluah kerana yakin ia akan mengundang air matanya.

“Kenapa pandang aku macam tu?” Ujar Amirudin bersama kerutan di wajahnya.

“Macam mana kau boleh tenang macam ni Shah?” Terpacul soalan itu dari bibir Fathiyah.

Sepanjang bersama keluarga lelaki itu tadi, sedaya upaya dia mengawal hatinya. Tetapi lelaki itu, kelihatan lebih bersahaja dan tenang sentiasa.

Amirudin melemparkan senyum manis sebelum membalas. “Sebab aku senang hati dengan apa yang aku buat sekarang ni.” Dia memandang sekilas ke wajah gadis itu.

“Semudah tu?” Fathiyah kurang berpuas hati dengan jawapan yang diberi.

Amirudin mengangguk yakin. “Kata orang, ikhlas tu tak boleh kita gambarkan dengan kata-kata. Sebab ikhlas dah libatkan soal hati. Allah aje yang tahu hati kita. Cuma apa yang aku boleh cakap, kita boleh tahu orang tu ikhlas ke tak dalam buat sesuatu perkara. Tengok aje cara dia. Orang yang ikhlas ni, akan senang hati dengan apa yang dia buat. Tak macam orang yang tak ikhlas. Mesti dia tak senang hati sebab rasa terpaksa.” Dia meluahkan pendapatnya.

“Erm… Maknanya kau nak kata aku tak cukup ikhlas la kan?” Fathiyah rasa tersindir.

Amirudin senyum lagi. “Aku bukan tuhan Tiya… Aku tak boleh nak tuduh kau ikhlas ke tak.” Jawabnya tenang. Tiada niat mahu menyindir gadis itu.

Fathiyah melepaskan keluhan panjang.

“Tiya… Aku tahu kau rasa terpaksa dengan semua ni. Tapi kau dah janji dengan aku kan?” Lembut dia menuturkannya. Bukan untuk mengungkit. Jauh sekali untuk mencari gaduh. Dia sekadar mahukan kerjasama agar dia mampu mencipta kenangan terindah dalam memori sebelum gadis itu pergi jauh darinya.

Fathiyah mula menahan sebak. Wajahnya dipalingkan ke sisi untuk menyembunyikan air jernih yang mula bertakung di tubir mata. Dia gagal untuk menjadi seikhlas lelaki itu. Bukan dia tidak perasaan akan layanan yang diterimanya. Seluruh ahli keluarga lelaki itu cukup ikhlas menerima kehadirannya.

“Tiya…”

“Susah aku nak terima semua ni Shah… Lepas dekat dua tahun kita tak jumpa, tak bercakap… Tiba-tiba…”

“Fathiyah…”

“Hati aku sakit sangat Shah… Baru sehari aku dengan kau, aku dah rasa macam ni… Aku tak tahu apa yang jadi kalau…” Fathiyah mula mengalirkan air mata. Tidak mampu ditahan lagi.

Keluhan berat meniti bibir Amirudin pula. Tidak tahu apa yang harus diucapkan demi menenangkan hati yang sedang menangis itu. Sudahnya dia berterusan mendiamkan diri. Membiarkan gadis itu memujuk hati sendiri.
Fathiyah menyeka air mata yang membasahi pipi. Terasa malu pula kerana menangis di hadapan lelaki itu. Jelas benar yang dia tidak begitu kuat untuk menghadapi segala-galanya. “Er… Jumaat nanti, boleh kau hantar aku balik rumah ibu? Dah lama aku tak balik rumah…” Ujarnya dengan suara yang sedikit bergetar. Dia memasang tekad baru. Jika Amirudin mampu setabah dan setenang itu, dia juga mahu begitu. Biarlah walaupun hatinya semakin terluka.

Amirudin menoleh. Senyuman tawar dilemparkan. Walaupun sedikit terkejut dengan permintaan gadis itu, dia akan tetap turutkan. Sememangnya ada satu matlamat lain yang mahu dicapai daripada keputusan yang dibuat. Dia ingin merapatkan kembali hubungan ahli keluarga Fathiyah. Dia tahu hubungan gadis itu bersama ahli keluarga yang lain agak renggang gara-gara kes khalwat mereka. “Erm… Kalau aku duduk rumah kau hujung minggu ni boleh? Aku pun dah lama tak lepak dengan kawan-kawan lama kita… Er… Ahad, aku hantar kau balik hostel.” Pintanya sekadar mencuba nasib.

“Kau tahu ibu macam mana kan? Dia takkan pernah tolak kau Shah…” Balas Fathiyah perlahan tanpa menoleh.

Satu lagi hakikat yang tidak mampu ditolak. Kehadiran Amirudin dalam keluarganya begitu diterima baik sejak arwah ayahnya masih ada. Malah, Amirudin begitu akrab dengan arwah ayahnya dahulu.

Amirudin memaniskan senyum. Lega kerana hasratnya tercapai.

“Tiya…”

Fathiyah menoleh.

“Terima kasih.”

Fathiyah mengerutkan wajah. “Buat apa?”

“Sebab kau sudi lagi nak baik dengan aku… Family aku… Er… Aku harap dan sangat berharap aku boleh terus jadi kawan kau walaupun kau dah jumpa dengan…”

Stop it la Shah… Tak payah ingatkan aku pasal hal tu.” Fathiyah memintas. Hatinya sakit apabila memikirkan hal tersebut.

Sorry…”

Fathiyah menggeleng perlahan. “Kalau kau nak kita terus baik, kau tak payah sebut hal tu. Aku tahu apa yang aku buat. Dan aku harap, kau pun pegang janji kau. Kita takkan ada apa-apa lagi urusan lepas aku nikah.” Walaupun terasa payah, namun akan tetap dikotakan. Yakin akan rencana Allah. Mungkin memang sudah ditakdirkan lelaki itu bukan jodohnya.

“Er… Aku nak tanya sikit boleh tak?” Amirudin menoleh sekilas.

“Sejak bila kau pandai nak mintak izin bagai ni.” Sindir Fathiyah bersama jelingan.

Amirudin tersengih payau. “Iyalah… Aku takut kau marah…” Akuinya.

Fathiyah menjuihkan bibir. “Selama ni memang aku marah kau apa.” Selamba dia menjawab.

Amirudin tersengih lebar pula. Terlupa tentang itu. “Erm… Selama kita tak contact, ada tak mana-mana lelaki yang rapat dengan kau?” Sengaja dia ingin tahu. Sekurang-kurangnya dia dapat pastikan lelaki yang akan mendekati gadis itu, lebih layak darinya.

Fathiyah menjeling tajam ke wajah lelaki di sisinya itu. “Kenapa kau nak tahu?”

“Saja.” Amirudin pura-pura tenang.

“Ada. Alan.” Jawab Fathiyah jujur. Salah seorang sahabat mereka sejak kecil lagi.

“Alan? Azlan?” Amirudin sedikit terkejut.

Fathiyah mengangguk bersama senyuman nipis. Sengaja mahu melihat reaksi lelaki itu.

“Er… Kau ada apa-apa ke dengan dia?” Amirudin cuba tahan hati. Tidak menyangka sahabat yang pernah menaruh perasaan terhadap Fathiyah dulu yang menjadi pilihan.

“Kalau ada apa-apa kenapa? Tak boleh ke?” Sengaja Fathiyah menduga.

“Kau boleh tak cari lelaki lain? Alan tu…”

“Dia cukup baik apa… Tak pernah nak sakitkan hati aku.” Balas Fathiyah selamba berbaur sindiran.

Amirudin ketap bibir. Entah kenapa hati lelakinya terusik. Tercabar atau cemburu?

Fathiyah mengulum senyum. Dia perasan riak wajah Amirudin mula bertukar tegang. Padan muka! Sempat lagi hatinya mengejek. Bukan dia tidak tahu akan hubungan Azlan dan Amirudin sejak dahulu sedikit dingin. Semua gara-gara Azlan pernah meluahkan isi hati kepadanya. Dan hingga ke hari ini juga, dia cukup baik dengan lelaki itu.

.......
thanks f0r reading sahabat! 

Nov 17, 2013

AWRA_bab 13

Assalamulaikum.
kepada yang mengrequest AWRA. :)
maaflah kalau lepas ni agak lembap saya mengupdate. hee

Dingatkan. PERADUAN NO TAJUK MASIH BERLANGSUNG. :)
Terima kasih kepada yang sudi menyumbangkan tajuk-tajuk.

.........
AWRA 13

“Okey kerja?” Soal Faidh sebaik melabuhkan duduk di hadapan Awra. Sejak dia tiba tadi, tiada langsung patah kata yang kedengaran. Dia tahu gadis itu masih terasa hati dengan apa yang berlaku.

Awra hanya menganggukkan kepala. Wajah Faidh dipandang sekilas. Walaupun sudah lebih seminggu kembali bekerja, hatinya tidak berada di situ. Terpandang akan wajah itu mengingatkannya pada Faiq. Terasa dia dalam pemerhatian lelaki itu sentiasa.

“Saya mintak maaf bagi pihak abang saya. Saya..” Dia baru berkesempatan bertemu dengan gadis itu kerana terlalu sibuk dengan kerjanya.

“Takpa..” Pintasnya tidak mahu mengungkit kembali kisah lalu.

“Awra, saya tahu awak marah dengan apa yang dah jadi. Abang saya tu memang sengal sikit kalau bab perempuan ni. Dia dah banyak kali kena tipu Awra. Sebab tu dia..”

“Sebab tu dia nak balas dendam la? Saya rasa, saya tak pernah sakitkan hati dia. Kenapa mesti saya yang jadi mangsa? Dah la siap komplot dengan family saya lagi. Dia ingat saya apa? Barang ke? Suka hati dia aje nak tipu. Kalau pun nak balas dendam balik, pergilah balas pada perempuan-perempuan yang dah tipu dia tu. Tak payahlah nak menyusahkan orang lain!” Potong Awra yang terus menghamburkan rasa tidak puas hatinya apabila Faidh tetap juga mahu mengungkit apa yang telah berlaku.

“Bukan macam tu Awra.. Dia sebenarnya dah..”

“Dah la Encik Faidh. Saya malaslah cakap hal tu lagi. Bukan saya dapat apa pun. Sakit hati lagi ada la.” Pintas Awra sekali lagi yang tidak mahu soal Faiq terus menjadi topik. Hatinya masih belum terbujuk dengan apa yang telah berlaku. Disebabkan hal itu juga dia kini bermasam muka dengan abangnya.

“Awra Firdaus..” Faidh menggelengkan kepalanya diiringi tawa kecil. Dia belum pernah melihat wajah Awra setegang itu. “Patutlah abang saya suka awak. Awak comel bila marah-marah macam tu. Mata awak yang bulat tu sangat cantik Awra.” Ikhlas dia memuji akan kecantikan yang belum pernah dilihat pada gadis itu sebelum ini.

Awra mengerutkan wajah. Tangan yang sedang menyusun atur borang kehadiran di dalam fail setiap tutor terhenti.

“Abang saya suka awak.” Ulang Faidh dengan sengihan lebar.

Awra senyum tepi pula. Dia tahu tentang itu. Faiq sendiri ada berterus terang mengenainya saat mereka bertengkar minggu lalu. Namun begitu, tetap ada getaran halus hadir dalam hatinya. Rasa yang sama jika Faiq ada di hadapan mata. “Encik Faidh tak payahlah beli jiwa saya. Saya dah datang kerja dengan Encik Faidh sekarang ni kan..” Cuba menafikan apa yang dirasai.

Faidh tetap tersengih lebar. “Bukan nak beli jiwa.. Hakikat Awra.. Kalau saya yang dah nak kahwin ni pun boleh nampak, hati abang saya tu takkan pandai menipu.” Jawabnya berkias.

Awra senyum tepi lagi. “Tak pandai menipu Encik Faidh kata?” Dia pandang wajah majikannya sekilas sebelum tangannya kembali menjalankan tugas. “Dia dah pun tipu saya Encik Faidh… Tak sangka kalau dia sayang perempuan dia kena menipu.” Selamba dia menyindir.

Faidh tergelak. “Macam yang saya cakap dengan awak tadi.. Dia memang sengal sikit bab hati ni. Sebab tu la dia senang kena tipu dengan awek-awek dia dulu. Tak tahu nak beza mana black pepper mana white pepper.” Selamba dia mengutuk abangnya sendiri kerana itu hakikat!

Awra tercuit. Tersenyum kecil dia mendengar perumpamaan majikannya.

“Erm… Okeylah Awra. Saya dah nak balik ni. Macam biasalah. Make sure semua suis tutup. Pintu kunci.” Sambung Faidh sebelum bingkas. “Fikir-fikirkanlah apa yang saya cakap tadi. Saya tahu awak single lagi kan? Kalau nak tunggu abang saya tu buka mulut, sampai kucing berkokok la dia takkan cakap.” Tambahnya dengan sengihan lebar.

Awra melepaskan tawa kecil. Tercuit lagi hatinya mendengar perumpamaan yang digunakan oleh Faidh. “Masa SPM dulu Encik Faidh dapat E eyh dalam BM. Habis semua bahasa Encik Faidh tukar.”

“Saya BM dapat tiga aje. Tu yang bahasa pun tak berapa nak betul.” Balas Faidh dengan sengihannya. “Tapi kan.. Ada aje orang yang dapat BM satu, tapi bahasa dia lagi teruk dari saya. Kalau dia tukar peribahasa, lagi teruk Awra.”

“Erk? Siapa yang sengal sangat tu?” Awra berminat ingin tahu walaupun dia mula dapat meneka siapa yang dimaksudkan oleh Faidh. Yakin sebaris nama yang dibenci itu akan meniti bibir lelaki di hadapannya itu.

“Faiq. Dia lagi parah. Awak tak dengar lagi dia merepek.” Seperti yang dijangka.

Awra tersengih pahit.

“Okeylah Awra. Take care. Awak hati-hati balik nanti. Ada apa-apa hal awak call aje saya.” Lanjut Faidh sambil mengerling jam bulat yang terlekat di dinding belakang Awra. Hampir jam sembilan malam.

“Inshaa Allah. Encik Faidh pun hati-hati drive tu. Darah manis.” Awra mengusik. Dia baru tahu yang lelaki itu sudah bertunang daripada Khairi.

Faidh tersenyum lebar sebelum dia berlalu ke pintu utama.
........

“Sayang.. Kau kenapa ni.. Janganlah buat aku macam ni.. Jauh lagi aku nak balik ni.” Awra mula berpeluh apabila dia mula dapat merasakan ada sesuatu yang pelik berlaku pada kereta yang dipandu.

Demi tidak mahu berhenti di kawasan gelap, tetap juga dipandu Grand Livina yang mula terasa berat di sebelah kirinya.

“Abah.. Kenapa kereta abah ni..” Dia mula merungut sendiri kerana takut jika ada sesuatu yang buruk berlaku. Jarak rumahnya masih lagi jauh. Untuk meminta bantuan abangnya, dia tahu Firdaus sedang berkursus di Pulau Pinang. Tidak mungkin pula dia mahu menyusahkan kakak iparnya yang masih tidak begitu sihat.

Hampir setengah jam dia memandu, kereta yang dipandu semakin memberat membuatkan dalam tidak mahu, dia terpaksa juga memberhentikan kereta ke tepi. Tanpa mahu melihat keadaan kereta, dia terus menghubungi abahnya.

“Abah.. Kenapa kereta abah ni.. Berat sebelah.” Terus sahaja dia mengadu sebaik talian bersambung.

“Berat? Tayar bocor ke?” Begitu tenang suara abahnya menyoal.

“Manalah Fir tahu.. Ya kut.. Fir tak tengok. Fir dalam kereta ni bah. Fir takutlah nak keluar. Dah la Fir lalu jalan dalam ni. Gelaplah bah.. Takda orang..” Awra hampir menangis apabila melihat jalan yang dilalui memang begitu lengang. Hanya ada satu-satu sahaja kereta yang lalu. Tidak mungkin dia mahu menahan memandangkan pelbagai kes samseng jalan raya yang berlaku sejak akhir-akhir itu.

“Kan abah pesan kalau balik jangan lalu situ. Ada lampu jalan tak dekat situ?”

“Ada. Tapi Fir tak nak keluar.” Balasnya sambil mengerling jam di dashboard. Hampir jam sebelas. Biasanya jam 11.30 malam dia akan tiba di rumah.

“Hm.. Kamu takda kawan-kawan yang duduk dekat-dekat situ? Abah nak datang, tak tahu naik apa ni..” Kata-kata abahnya mengundang keresahan tidak berketepian. Dalam keadaan panik begitu mana mungkin dia mampu memikirkan sahabat-sahabat yang tinggal di kawasan berdekatan.

“Fir tak tahulah bah.. Takda kut.. Alah.. Abah datanglah sini. Pinjam kereta paksu kejap. Fir takutlah bah..” Adunya lagi dengan hujung mata yang mula terasa hangat.

“Hm.. Kamu tunggulah situ. Nanti abah pergi telefon paksu kejap.” Ujar abahnya sebelum terus memutuskan talian.

Matanya liar memandang ke sekeliling. Kawasan kelapa sawit yang gelap di kiri dan kanan jalan mengundang rasa gerun di hati. Terlalu gelap walaupun dia kini berhenti di bawah lampu jalan. Keadaan langit yang tidak berbintang, dia yakin bila-bila masa sahaja hujan akan menimpa bumi.

Beberapa minit menanti, telefon bimbit yang tidak lepas dari tangannya mengeluarkan bunyi. Nama abahnya terpampang di skrin kecil itu. “Abah!” Cepat sahaja dia menyambungkan talian.

“Paksu kamu takda dekat rumah.”

“Habis tu macam mana ni bah..” Air mata yang sedia bertakung tadi sudah meleleh ke pipinya.

“Abah dah suruh kawan abah duduk dekat-dekat situ datang. Kamu tunggu aje dia..” Cukup tenang suara abahnya menuturkan namun tidak mampu menenangkan hatinya yang sedang bergolak hebat.

“Siapa? Cepat ke lambat dia datang?” Soalnya dalam getar suara.

“Kamu tunggu ajelah.. Dia dekat-dekat aje dekat situ. Nanti kalau dia tak sampai dalam sepuluh minit, kamu telefon abah balik. Kamu jangan keluar dari kereta. Tunggu aje sampai dia datang.” Abahnya berpesan sebelum terus memutuskan talian.

Wajahnya diraup beberapa kali. Mata terhala ke arah cermin pandang belakang. Ada sinar cahaya yang menyuluh dan mengharap agar kereta tersebut tidak berhenti. Dia yakin sahabat abahnya tidak mungkin akan tiba seawal itu.

Nafas ditarik lega apabila kereta yang melewatinya tidak pun berhenti. Sabar dia menanti akan bantuan tiba. Untuk keluar dari kereta itu tidak akan sesekali dilakukan. Mulutnya mula terkumat-kamit membaca doa-doa yang diketahui.

Lima minit menanti, bantuan yang dinanti tidak juga kunjung tiba membuatkan dia kian tidak mampu bertenang. Resah di tempat duduknya sendiri. Sesekali dia menoleh ke belakang kalau-kalau ada kereta yang datang.

Sedar akan sinar cahaya yang menyuluh dari bahagian belakang sebaik hampir lima minit lagi berlalu, dia laju menoleh. Amat berharap yang kali ini bantuannya tiba. Dan seperti yang dijangka, kereta yang datang kian perlahan sebelum berhenti betul-betul di belakang kereta. Tanpa menunggu lama dia laju menapak keluar. Yakin sahabat abahnya sudah tiba.

Namun baru beberapa tapak melangkah, kakinya terhenti. Kereta yang betul-betul berhenti tadi dipandang lama. Wajahnya berkerut.

“Berani kau keluarkan?” Tegur seseorang lelaki yang baru sahaja keluar dari kereta. Cukup bersahaja dan tenang lelaki itu melangkah mendapatkannya.

Awra tergamam.

“Lain kali, duduk dalam kereta diam-diam sampai kau pastikan betul-betul orang yang datang nak tolong kau tu.” Bicara lelaki itu cukup tenang di hadapannya sebelum terus berlalu mendapatkan kereta abahnya.
Dia yang masih tidak percaya dengan kehadiran lelaki itu, hanya mampu memerhati.

“Tayar pancit. Spare tyre ada?” Ujar Faiq yang sudah menanggalkan baju panas yang dipakai. Walaupun masih belum begitu sihat, hanya kerana Awra digagahkan juga. Risau akan keselamatan gadis itu sebaik menerima panggilan daripada Shukor.

Awra angkat bahu tanda tidak tahu. Tidak lepas dia memandang wajah Faiq yang tidak beriak.

“Macam mana kau bawak kereta tapi tak tahu ada spare tyre ke tak?” Faiq menggeleng sambil mengeluarkan telefon bimbitnya. Mahu menghubungi ayah gadis itu untuk bertanya tentang tayar ganti. Dalam pada masa yang sama, dia terus membuka but bahagian belakang kereta.

Awra tetap memerhati. Dia tidak dapat mendengar dengan jelas apa yang dibualkan oleh Faiq di telefon walaupun yakin lelaki itu pasti menghubungi abahnya.

Torchlight ada?” Faiq kembali bersuara sebaik menamatkan panggilan.

Awra menggeleng sebelum dia memalingkan wajah. Tidak berani merenung lama wajah lelaki itu.

Faiq menghela nafas. Dia kembali ke keretanya untuk mengambil lampu suluh.

Spare tyre abah kau tak cukup angin. Lepas aku ganti, kau drive kereta aku. Aku drive kereta pakcik. Kita pergi petrol pam.” Ujarnya saat melewati gadis itu.

Awra tidak menjawab. Angguk tidak, geleng pun tidak walaupun dia mendengar kata-kata lelaki itu.

“Sini kau. Tolong aku pegang torchlight ni.” Arah Faiq tidak bernada yang terpaksa tahan hati dengan kebisuan Awra. Seperti terlalu hina dirinya hingga tidak layak bercakap dengan gadis itu.

Awra hanya akur. Lampu suluh bertukar tangan. Dia hanya memerhati gerak-geri Faiq mengeluarkan tayar ganti dari tempatnya. ‘Apalah yang abah suka dengan kau ni sampai sanggup mintak tolong kau...’ Bebel hatinya dengan rasa curiga.

“Pergi sana.” Faiq bersuara lagi sambil menunjuk ke arah tayar yang pancit.

Sekali lagi Awra akur. Menghalakan lampu suluh ke arah yang sepatutnya.

Faiq mula menjalankan kerja-kerja penukaran tayar ganti. Dia cuba melakukan secepat mungkin kerana yakin hujan akan turun bila-bila masa sahaja apabila perasan angin yang mula bertiup. Sejuknya terasa hingga ke tulang dalam keadaan tubuhnya yang tidak begitu sihat itu.

“Tak payah nak tenung aku sampai macam tu sekali.” Dia tiba-tiba bersuara menyebabkan Awra sedikit tersentak. Hampir sahaja lampu suluh terlepas dari tangannya.

“Kau berangan ke apa?” Faiq memandang ke wajah gadis itu sekilas sebelum dia meneruskan kerjanya.
Awra menjuihkan bibir. Sedar yang dia terlalu leka memandang lelaki itu.

“Dalam kereta kau ada air tak?” Suara Faiq memecah kesunyian di antara mereka setelah setengah jam dia menukar tayar kereta yang pancit. Baju-t yang dipakai hampir lencun disimbah peluh. Tangan pun hampir menggigil. Sedar suhu badannya kembali naik dalam keadaan perut yang kosong kerana hampir seminggu itu selera makannya hilang.

Awra pandang Faiq.

“Weh, aku tanya ada air ke tak? Bukan aku suruh kau tenung muka aku. Kau jangan salahkan aku kalau muka aku ni yang kau jumpa hari-hari dalam mimpi kau.” Sergah Faiq membuatkan Awra tersentak dan terus sahaja gadis itu beredar. Mengambil botol mineral yang memang dibeli tadi.

“Tuang.” Faiq menadah tangan. Dia mahu mencuci tangan yang berminyak sebelum mengambil air mineral itu dan diteguk perlahan.

“Kau drive kereta aku. Pergi petrol pam dulu. Lepas tu follow aku balik rumah.” Sambungnya seraya menyerahkan semula botol mineral.

Awra berkerut. Pelik dengan arahan lelaki itu. ‘Gila ke apa…’ Hatinya mula berbisik namun tidak terluah di bibir.

Faiq sembunyi senyum. Cukup faham akan makna kerutan di wajah gadis itu. “Tayar spare tu tak sesuai untuk kau sampai rumah. Kedai kereta pun dah tutup malam-malam ni. Nanti tinggalkan dekat rumah aku dulu. Esok baru abah kau datang. Lepas hantar kereta pakcik, aku hantar kau terus balik rumah.” Terangnya demi mengelakkan prasangka yang bukan-bukan. Shukor yang berpesan begitu memandangkan Athirah di rumah ibu bapanya sementara Firdaus berkursus.

Awra tetap tidak membalas. Tidak punya pilihan. Terpaksa menurut kata-kata lelaki itu.

Faiq merenung ke wajah Awra. Menanti kalau-kalau gadis itu mahu membalas. Namun hampa. Bibir diketap rapat sebelum terus berlalu ke keretanya semula. Baju-t yang dipakai dilucutkan sebelum mengambil sehelai baju-t dari dalam sebuah beg yang sentiasa ada di dalam keretanya.

Awra yang terpandang akan perlakuan Faiq, cepat-cepat berpaling ke arah lain. Malu melihat aurat yang bukan miliknya.

“Awra.” Faiq memanggil namun gadis itu sedikit pun tidak berpaling. Faiq senyum lagi sebelum dia mendapatkan gadis itu sebaik baju-t lain tersarung di tubuhnya. “Pergi sana.” Katanya ringkas sebaik melewati gadis itu. “Kau drive elok-elok kereta aku tu.” Sempat lagi dia berpesan sebelum masuk ke tempat pemandu.

Awra mencebik. Mahu atau tidak, dia terpaksa juga akur.
……………

Sepanjang perjalanan masing-masing hanya mendiamkan diri. Hujan lebat yang menyimbah bumi saat itu membuatkan Faiq hanya memberi tumpuan kepada pemanduannya. Tiada hati untuk berbual apatah lagi memulakan kata kerana yakin gadis itu tidak mahu bercakap dengannya. Tadi pun hanya sepatah dua perkataan sahaja yang kedengaran.

“Kau ni kenapa berpeluh-peluh? Tak cukup sejuk ke? ” Tegur Awra tiba-tiba menyebabkan Faiq menoleh sekilas ke sisi. Seperti tidak percaya dengan apa yang didengari membuatkan bibirnya menarik senyum segaris tanpa niat pun mahu membalas. Dia tetap tekun memandu walaupun tumpuannya lama kelamaan mula goyah gara-gara kepala yang terasa memberat. Namun tetap juga dipaksa untuk bertahan sekurang-kurangnya hingga tiba di rumah gadis itu.

“Kau ni takda mulut ke?” Awra bersuara lagi. Tidak puas hati apabila kata-katanya tidak berbalas.

Faiq tetap juga seperti tadi.

“Faiq!” Awra mula geram. Nadanya juga sedikit tinggi berbanding tadi apabila lelaki itu tetap mendiamkan diri. “Kau tak dengar ke apa aku cakap ni!” Nada tidak puas hati.

“Tahu pulak marah. Yang tadi masa aku tanya kau macam-macam, ada kau jawab apa yang aku tanya? Aku macam cakap dengan tunggul tahu tak.” Luah Faiq akhirnya. Menyindir!

“Mana ada! Aku jawablah!” Sangkal Awra membela diri.

Faiq tarik senyum sinis. “Jawablah sangat! Ucap terima kasih pun tak.” Gerutunya perlahan namun masih sampai di pendengaran gadis itu.

“Siapa suruh kau tolong aku..” Jawab Awra selamba. Tidak mahu mengalah.

Serentak itu Faiq memberhentikan kereta dengan mengejut menyebabkan hampir sahaja wajah Awra tersembam ke dashboard keretanya sebelum tubuh kurus itu tersandar kembali ke tempat duduk.

“Kau cakap apa tadi? Cuba kau ulang sekali lagi..” Wajah Faiq bertukar tegang sambil merenung tajam wajah gadis itu.

“Kau ni memang nak bunuh aku ke?! Kalau aku terkeluar dari kereta ni tadi macam mana?” Marah Awra sambil mengurut belakang lehernya yang terasa sengal. Tidak dipedulikan pertanyaan Faiq.

“Aku tanya, apa kau cakap tadi!!” Suara Faiq kian meninggi. Kesabarannya tercabar dengan kata-kata gadis itu sebentar tadi.

“Cakap apa?!” Tingkah Awra juga sama tinggi.

“Kau keluar dari kereta aku sekarang!” Tegas Faiq bersuara dengan wajah yang garang. Dia tidak bergurau. Hatinya sakit. Gadis itu seperti langsung tidak tahu bersyukur dan sedikit pun tidak menghargai apa yang telah dilakukan tadi.

Awra pula terpempan. Wajah tegang Faiq dipandang takut-takut sebelum dia membuang pandang ke luar tingkap. Sedar jarak rumahnya tidak lagi jauh. Namun dalam keadaan gelap-gelita bersama hujan lebat yang sedang menggila di luar tidak mungkin dia akan keluar. Liur ditelan kesat. Terkebil-kebil dia melihat wajah tegang lelaki itu.

“Tahu pulak takut. Kau, lain kali kalau nak bercakap pakai otak sikit! Kau ingat aku takda perasaan macam tunggul! Sia-sia Allah bagi otak tapi tak tahu nak pakai! Tak tahu bersyukur!” Hambur Faiq kasar sebelum kembali memandu. Denyutan di kepala yang kian bertambah sudah tidak diendahkan lagi. Kelajuan kereta ditambah kerana mahu segera tiba ke rumah gadis itu.

Awra menikus. Tidak mampu lagi menoleh. Sedikit sebanyak terkesan dengan kata-kata lelaki itu di hatinya. Hampir terlupa lelaki itu yang membantunya tadi. Tetapi dia? Ada perasaan bersalah mula mengusik.

“Er… Kau tak nampak ke hujan lebat ni… Tak payahlah nak laju-laju.” Dia memberanikan diri bersuara kerana kurang senang dengan pemanduan lelaki itu. Cukup laju dalam keadaan hujan lebat begitu.

“Cepat sikit kau sampai rumah. Bukan aku tak tahu, kau memang tak boleh nak tengok muka aku ni kan…” Dingin Faiq menjawab.

Awra terdiam lagi. Namun kini ia mengundang sebak di dadanya. Hujung mata mula terasa hangat.

Sudahnya, tiada lagi perkataan yang kedengaran dari bibir masing-masing hingga mereka tiba ke destinasi.

“Kirim salam dengan mak abah kau.” Faiq bersuara mendatar sebaik memberhentikan kereta betul-betul di hadapan rumah kampung dua tingkat itu. Kelihatan kedua-dua orang tua gadis itu sedia menanti di beranda rumah.

Awra menoleh. Wajah Faiq yang sememangnya berpeluh sejak tadi dipandang lama.

“Kenapa?” Tanya Faiq sepatah. Pelik melihat renungan Awra.

“Kau sebenarnya tak sihat kan?” Serkap Awra. Dia perasan akan perlakuan lelaki itu sepanjang perjalanan tadi. Agak resah. Wajah pun agak pucat.

“Kau tak payahlah sibuk hal aku. Pergilah. Mak abah kau dah tunggu tu.” Balas Faiq sambil memalingkan wajah.

Awra ketap bibir. Tanpa menunggu lama dia terus berlalu keluar.

Faiq tetap berlagak tenang walaupun terasa pandangannya mula berbalam-balam. Tangan yang melekap di stereng terasa bergetar. Dia cuba mengepal-ngepalkan tangannya beberapa kali untuk membuang getar yang ada. Kepala menoleh ke sisi apabila terdengar ketukan di tingkap cermin sebelahnya. Segera diturunkan cermin itu apabila melihat Shukor berdiri di situ bersama sekaki payung.

“Kamu tidur sini ajelah. Dah lewat sangat ni nak balik. Kamu pun cuti lagi esok kan?” Ujar Shukor yang tidak senang hati. Dia sedia maklum anak muda itu tidak sihat saat dia menghubungi tadi.

“Er… Takpalah pakcik… Buat susah-susah aje.” Serba salah untuk menerima pelawaan lelaki itu walaupun dia sendiri sebenarnya kurang yakin sama ada dapat memandu dengan baik atau tidak dalam keadaan dunianya yang mula bergoyang.

“Takdanya yang susah. Hujan pun lebat sangat ni. Bahaya kamu bawak kereta dengan tak sihat macam tu. Kamu masuk. Tidur aje dekat sini malam ni. Esok pakcik boleh tumpang kamu balik sekali nak ambik kereta. Kereta ada dekat rumah kamu kan?” Kata Shukor lagi. Dia berasa terhutang budi dengan anak muda itu yang sudi membantunya.

Faiq tarik senyum tawar. Hampir terlupa tentang kereta yang terletak di rumahnya. Mahu atau tidak, dia terpaksa juga bermalam di situ.

“Jom masuk. Hujan makin lebat ni.” Kata Shukor lagi sambil membuka pula pintu kereta lelaki itu.

Faiq terus mematikan enjin kereta. Dalam pada itu sempat dia memandang ke arah Awra dan ibu gadis itu yang masih berdiri di beranda rumah.

“Er.. Saya mintak maaf pakcik.. Susahkan pakcik sekeluarga aje.” Ucap Faiq merendah diri saat mereka beriringan di bawah payung sama.

“Takdalah Faiq. Pakcik yang kena terima kasih dengan kamu. Susah-susah hantar Awra lewat-lewat macam ni.” Shukor menepuk beberapa kali bahu anak muda itu. Ada kelainan yang menyapa kulit tangannya saat menyentuh tubuh lelaki itu.


“Er… Mana yang termampu aje pakcik..” Dengan suara yang sedikit bergetar Faiq menjawab. Sungguh kini dia terasa mula di awang-awangan. Kaki juga terasa tidak jejak ke tanah dan dalam sekelip mata pandangannya gelap sebelum dia rebah tidak sedarkan diri.

Nov 14, 2013

Dambaan bahagia_bab 6

Assalamualaikum. Sesiapa yag berminat untuk membaca TIRAI DOSA KELMARIN. sila klik link TDKni. Dari bab 1-25 dan sedutan seterusnya dalam EDITED VERSION. tq.

...........

“Tiya..”

Langkah Fathiyah terhenti. Dia menoleh dengan wajah tidak berperasaan.

“Minggu ni balik rumah?” Tanya Zainab yang cuba mencorakkan senyum manis buat anak bongsunya itu.

“Tak tahu lagi bu. Minggu depan Tiya dah nak exam.” Jawab Fathiyah sambil memandang ke arah keluarga Amirudin yang beransur pulang sebaik sebutan semula kes mereka selesai tadi.

“Tiya dah lama tak balik rumah..” Kedengaran sedikit kecewa suara Zainab menuturkannya.

Sejak peristiwa sebulan lalu, anak bongsunya itu tidak lagi pulang ke rumah. Lebih banyak menghabiskan masa di kampus. Puas dia memujuk, namun pelbagai alasan yang diberi.

“Tiya sibuk sekarang bu..” Dia masih lagi mencipta alasan. Mengelak untuk pulang ke rumah dan bertemu dengan abang-abangnya. Hatinya benar-benar merajuk dengan apa yang berlaku.

“Hm.. Takpalah.. Nanti senang-senang Tiya bagi tahu Angah. Nanti dia boleh datang ambik Tiya.” Sambung Zinab mengalah. Dia tidak mahu lagi memaksa.

“Iyalah bu..” Hendak tak hendak sahaja dia menjawab.

“Buat apa bu ajak orang tak sudi..”

Muncul Amir bersama lelaki yang amat dibencinya. Wajah terus dipalingkan ke arah lain. Dia tercari-cari sebuah kereta yang menghantarnya ke mahkamah syariah itu awal pagi tadi.

“Tak payahlah nak sindir-sindir orang.” Jelingan tajam dihadiahkan.

“Sudahlah tu.. Jomlah kita balik.” Zainab mencelah kerana tidak mahu ada pertengkaran di situ. “Angah dengan ibu hantar Tiya ya?” Sambungnya apabila perasan ketiadaan kereta yang menghantar anaknya ke situ tadi.

“Takpalah bu.. Tiya tunggu kawan Tiya. Tadi dia dah janji nak ambik Tiya.” Balas Fathiyah sambil mengeluarkan telefon bimbitnya. Amirudin yang turut sama ada di situ langsung tidak dihiraukan.

“Hm.. Ikut Tiyalah.. Ibu dah nak balik ni.. Tiya jaga diri baik-baik.”

Fathiyah terus menghulurkan tangan dan memeluk erat tubuh ibunya. Sungguh sebenarnya dia begitu merindui wanita itu. Namun hanya kerana dia masih berjauh hati akan keputusan yang terpaksa dituruti, rasa rindunya hanya mampu dipendam. “Ibu jaga diri baik-baik. Tiya sayang ibu.” Dikucup wajah yang mula keruh itu penuh kasih.

Zainab cuba memaniskan wajah sebelum dia turut menghadiahkan kucupan yang sama buat anak kesayangannya itu.

“Angah?” Amir sudah menghulurkan pipinya. Cuba bergurau.

“Jangan nak mengadalah!” Dingin Fathiyah menjawab. Tangan lelaki itu juga disambut dingin. Tidak seperti selalu.

“Iyalah.. Sebelum ni elok aje cium Angah.. Tak suruh pun dia cium..” Amir pura-pura berjauh hati walaupun sebenarnya dia tahu adiknya itu masih merajuk dengannya.

Fathiyah menjuihkan bibir.

“Sudahlah tu..” Zainab menarik lengan anak keduanya agar beredar. Tidak mahu lagi berlamaan di situ.

“Shah, kau pun nak balik kampus kan?” Amir memandang ke wajah sahabatnya yang sejak tadi hanya diam memerhati.

“Haah.” Pendek Amirudin menjawab diiringi senyuman tawar.

“Tiya kalau kawan Tiya tu tak ambik, tumpang aje Shah.” Arah Amir saat mereka beriringan ke tempat kereta.

Fathiyah berkerut. “Angah nak Tiya kena tangkap basah lagi ke?” Dia bersuara tidak puas hati akan arahan yang diberi.

“Ish! Takdanya siang-siang hari orang nak tangkap.” Sahut Zainab sedikit kurang senang. Bukan dia tidak perasan akan perubahan pada wajah Amirudin.

“Entah kau ni..” Tambah Amir menyebabkan Fathiyah menjeling tajam.

“Malang tak berbau. Sampaikan orang yang tak bersalah pun dipaksa mengaku salah.” Selamba dia menyindir.

“Hm.. Sudahlah tu.. Jom kita balik Amir.” Zainab menyampuk. Mahu menamatkan sahaja perbualan yang bakal mencetuskan perbalahan.

Amirudin dan Amir saat itu hanya mampu tahan hati.  Sedar akan sindiran yang meniti bibir Fathiyah.

“Tiya jaga diri baik-baik.” Sempat Zainab berpesan sebelum dia masuk ke dalam kereta.

“Inshaa Allah bu selagi Tiya tak jumpa dengan orang yang salah.” Kata-katanya tetap berbaur sindiran.
Zainab menggeleng perlahan.

Amir bersalaman dengan Amirudin sebelum dia juga turut masuk ke dalam kereta. “Sabar ajelah bro. Budak tengah hot.” Ucapnya penuh makna.

Amirudin hanya mampu melemparkan senyuman tawar. “Er.. Lama lagi ke kawan awak sampai?” Soalnya sebaik kelibat kereta Amirudin hilang dari pandangan.

Fathiyah tidak menjawab. Sebaliknya dia terus beredar dari tempat parkir itu. Mahu menanti di tepi pintu pagar.

“Tiya!”

“Lepaslah!” Fathiyah menepis kasar tangan Amirudin yang cuba menarik lengannya. “Kau nak apa lagi?!” Marahnya tidak tertahan. Wajah tenang lelaki itu ditenung tajam.

Amirudin menarik tangannya semula.

Fathiyah merengus. Wajah dipalingkan.

“Sementara tunggu kawan kau, boleh tak kita cakap sekejap?”

“Kau nak cakap apa lagi? Kes kita dah nak settle. Tunggu ajelah.” Balas Fathiyah dingin.

“Tiya.. Aku tak nak kita terus macam ni..” Ucap Amirudin penuh mengharap.

“Kau memang tak nak, tapi aku nak.” Selamba Fathiyah menjawab.

“Tiya.. Please..” Tanpa segan Amirudin mengucapkannya.

“Kau nak cakap apa lagi?” Tidak sedingin tadi. Mahu atau tidak dia terpaksa juga berhadapan dengan lelaki itu memandangkan sahabat yang menghantarnya ke situ tadi masih belum kelihatan.

“Tiya.. Aku tahu aku dah banyak buat salah dengan kau. Dengan family kau.. Aku mintak maaf banyak-banyak Tiya..” Penuh perasaan Amirudin mengucapkannya.

Fathiyah tarik senyum sinis. Tiada hati mahu menambah.

“Kalau boleh.. Aku nak kita terus kawan.. Kawan macam dulu. Sebelum kita..”

“Kawan macam dulu kau kata? Kau ingat tak macam mana kita kawan dulu?” Laju Fathiyah memintas.

Amirudin mengangguk perlahan. Betapa bahagia dan senang hatinya dahulu saat bersahabat dengan gadis itu. Hari-hari yang mendatang begitu indah.

“Kau tak rasa apa yang aku rasa Shah.. Kau tak duduk dekat tempat aku.. Orang yang aku sayang tiba-tiba nak batalkan pertunangan atas alasan tak sedia. Alasan tak sedia tahu tak Shah? Tak sedia?” Sengaja dia menyebut lambat-lambat dua perkataan yang terakhir. “Lagi seminggu kita orang nak bertunang, tiba-tiba datang jumpa aku dia cakap tak sedia? Kau tak rasa pelik ke Shah sebab dia yang beriya-iya sangat nak kita orang bertunang, lepas tu dia jugak yang batalkan. Kau rasa Shah, patut ke aku setia dengan orang yang tak tetap pendirian macam tu? Patut ke aku baik-baik dengan dia lagi?” Sambung Fathiyah penuh makna. Air mata yang mula bertakung cuba ditahan dari tumpah.

“Tiya.. Aku tahu kau boleh dapat lelaki yang lagi baik dari aku Tiya.. Cuma aku..” Amirudin mematikan ayatnya apabila Fathiyah menggawangkan tapak tangan di hadapan wajahnya agar dia berhenti.

“Kau sendiri cakap yang aku boleh dapat lelaki yang lagi baik kan?” Fathiyah merenung tajam wajah keruh di hadapannya itu. “Habis tu, buat apa lagi kau nak kita berkawan? Sebab senang kau nak sakitkan hati aku lagi? Tak cukup ke apa yang kau dah buat sekarang ni Shah.. Maruah aku, maruah family aku macam tak bermakna langsung pada kau kan.. Aku kena paksa mengaku benda yang aku tak buat.. Kau ingat aku perempuan apa? Perempuan murahan? Macam tu ke Shah..” Lirih dia meluahkan dengan dada yang sedikit berombak. Menahan pelbagai rasa yang bergumpal dalam hati.

“Tiya.. I’m really sorry sayang..” Amirudin meraih jemari halus gadis itu.

Fathiyah menggeleng beberapa kali seraya menarik semula jemarinya. Tidak sudi disentuh begitu. “Kalau kau sayang aku, kenapa kau buat aku macam ni.. Sampai hati kau Shah..” Tidak mampu lagi menahan, air matanya sudah laju menuruni pipi.

“Tiya.. Aku tak mintak semua ni jadi pada kita Tiya.. Sumpah aku cintakan kau.. Tapi keadaan tak mengizinkan kita bersama Tiya.. Aku tak layak untuk kau.. Ada lelaki lain yang lagi sesuai, lagi baik, yang boleh cintakan kau lebih dari aku. Cuma aku.. Aku tak sanggup kau pergi jauh dari aku selagi kau belum jadi milik orang lain.. Kalau boleh.. Aku nak pastikan kau jumpa dengan orang yang betul-betul boleh jaga, boleh sayang kau lebih dari aku sayang kau selama ni.. Please Tiya..” Sepenuh hati Amirudin merayu walaupun sebenarnya kata-kata itu memakan dirinya sendiri.

Fathiyah menggeleng lagi. Air mata yang mengalir diseka kasar. “Aku tak faham Shah.. Aku tak faham apa yang kau cakap. Kau sayang aku tapi kau tak boleh sama dengan aku.. Kau suruh aku cari lelaki lain tapi kau still nak baik dengan aku.. Apa semua ni Shah..” Dia cukup keliru apa yang diucapkan oleh lelaki itu.

“Kau tak perlu faham Tiya.. Cukup kau faham yang aku tak nak kau jauh dari aku selagi kau belum lagi jadi hak milik orang lain.” Dia bertegas.

Fathiyah tarik senyum tepi. “Aku tak perlu faham.. Baik.. Selagi aku belum jadi hak milik orang lain, selagi tu kau akan ada dalam hidup aku kan? Takpa.. Aku akan pastikan kau jauh dari hidup aku secepat mungkin Shah..” Air mata yang masih bersisa tidak lagi diendahkan. Hati mula menanam tekad.

“Fathiyah..”

Muncul seorang lelaki muda dari salam sebuah kereta yang berhenti tidak jauh dari mereka.

“Tiya..” Amirudin cuba menghalang apabila Fathiya mula melangkah untuk mendapatkan lelaki yang sedia menanti itu.

“Aku boleh jadi kawan kau macam dulu Shah.. Aku akan layan kau macam mana aku layan kau dulu sampai aku jumpa orang betul-betul boleh sayangkan aku. Tapi sekarang ni kau tolong lepaskan tangan aku. Aku nak balik. Kejap lagi aku ada kelas.” Ujar Fathiyah dengan suara tertahan. Tidak lagi berkasar dan sedingin tadi. Itu buat permulaan ikatan ‘persahabatan’ yang akan terjalin semula.

Thanks sebab sudi nak jadi kawan aku macam dulu lagi..” Balas Amirudin walaupun terasa payah. Keputusan yang sudah dibuat kini terasa mula memakan dirinya sendiri. Adakah dia mampu melihat orang yang disayangi bahagia dengan orang lain sedangkan hatinya hancur berkecai.

Tanpa menanti lama, Fathiyah terus berlalu membawa hati yang cukup pilu. Keputusan yang dibuat demi memuaskan hati yang terluka. Biar lukanya kian parah agar tidak terubat lagi.

*****

“Tadi macam mana? Okey?” Soal Anuar sebaik menyambut tuala yang dihulurkan. Wajah tidak ceria sahabatnya itu dipandang.

“Okey aje.” Ringkas dan tidak bersemangat Amirudin menjawab. Wajah ditalakan ke arah sahabat-sahabatnya yang sedang giat berlatih di tengah padang. Sudah lama dia tidak menyertai mereka walaupun tempoh rehat yang diberi hampir tiba ke penghujung. Buat sementara waktu, dia tekad untuk berhenti dan akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran.

“Kau kalau ada apa-apa nak aku tolong, kau bagi tahu aje. Jangan simpan sendiri bro. Inshaa Allah, apa yang aku boleh tolong, aku cuba tolong.” Ujar Anuar serba salah. Sewajarnya dia menemani sahabatnya itu ke mahkamah pagi tadi. Namun, lelaki itu yang melarangnya.

“Takda apalah. Semua dah nak settle.” Masih dalam nada yang sama namun kali ini ada keluhan berat yang terlepas dari bibir Amirudin.

“Kalau dah nak settle, yang muka kau macam orang kena paksa nikah kenapa? Kau kena paksa nikah dengan Tiya ke?” Anuar cuba berseloroh. Tidak mahu sahabatnya itu berterusan murung begitu.

Amirudin tersengih. Namun hanya seketika apabila wajah sendu gadis yang disayangi terbayang di ruang mata. “Dia dah boleh terima aku.” Ayat itu yang meluncur di bibirnya.

Anuar yang sedang meneguk air terus tersedak. Terbatuk-batuk dia menahan perit apabila air yang diminum keluar dari rongga hidung. “Kau kalau nak buat lawak, tunggulah aku habis minum.” Marahnya sambil terbatuk-batuk.

Amirudin tersengih lagi sambil menggosok perlahan belakang tubuh Anuar yang masih terbatuk-batuk. “Sorrylah bro. Punch line aku kelakar sangat eyh..” Terlepas tawa kecil di bibirnya.

Hotak kau punch line! Tu mintak penampar namanya.” Anuar geram kerana Amirudin masih mahu bergurau.

“Alah kau ni.. Nak gurau sikit pun tak boleh.. Kata rindu nak jumpa aku tadi..” Amirudin memujuk.

Anuar menjuihkan bibir. Tuala yang digunakan untuk mengelap peluhnya tadi dibaling ke wajah sahabatnya itu. “Tak payah nak rindu sangatlah!” Dia menyangkal. “Bro, sekarang serius. Tadi kau saja cakap macam tu sebab kau nak usik aku kan?” Soalnya bersama sengihan paksa.

Amirudin menggeleng. Senyum paksa juga dilemparkan.

Wajah Anuar berkerut. “Kau dah baik dengan Tiya? Biar betul? Bukan kau dengan dia..”

“Dia dah janji nak jadi kawan aku selagi dia belum jadi hak milik orang lain.” Sambung Amirudin bersama helaan nafas panjang.

Mata Anuar membulat. “Kau jangan cakap dengan aku, kau yang mintak dia buat macam tu?” Tebaknya dengan rasa tidak percaya.

“Aku yang mintak.” Tenang Amirudin menjawab.

Bertambah kerutan di wajah Anuar menyebabkan dua keningnya hampir bertaut. “Kau ni ada hati ke tak bro? Kau lagi sanggup sakitkan hati sendiri sebab dia kan?” Dia merengus. Kurang setuju dengan apa yang dilakukan oleh sahabatnya itu.

“Tu aje cara yang terbaik dari dia langsung tak nak cakap, tak nak jumpa dengan aku. At least, kalau Suhana dengan Amir takda, dia selamat dengan aku. Takdalah aku susah-susah macam hari tu.” Jawab Amirudin selamba.

Weh. Kau sedar tak apa yang kau buat sekarang ni?” Anuar tetap mahu mempersoalkan keputusan lelaki itu.

Amirudin diam.

“Kau cuma tambah sakit hati dia bro. Kau ingat, dia setuju nak baik semula dengan kau, hati dia pun sama baik la? At the same time kau suruh pulak dia cari orang lain yang boleh jaga dia. Apa yang kau fikir ni Din? Aku rasa dia makin benci kau ada la..” Anuar cuba mengingatkan.

“Dia nak benci aku, tu hak dia. Aku tak boleh nak buat apa Nuar.” Masih dalam nada yang sama Amirudin menjawab.

“Kau memang nak lepaskan diri kau aje kan? Aku tak tahulah apa yang kau fikir sekarang ni. Dan, aku tak faham apa sebenarnya tujuan kau buat macam tu. Hish! Aku tak boleh bayangkanlah apa yang akan jadi dengan korang nanti. Korang kena buat-buat baik lepas apa yang dah jadi sebelum ni bukan satu keputusan yang bijak bro. Sorry to say la. Aku rasa kau dah macam orang bodoh. Semata-mata sebab kau sayang dia, kau tak nak dia jauh dari kau, kau buat macam ni. Apa yang kau dapat? Lepas dia jumpa dengan lelaki yang lagi bagus, lagi bijak dari kau, kau tetap kena jauh dari dia kan? Apa bezanya dengan sekarang ni? Sama aje aku rasa. Hati sakit jugak. Tapi kalau korang buat macam tu.. Huh! Hancur lebur aku rasa hati korang..” Hambur Anuar panjang lebar. Geram dengan tindakan yang akan dilakukan oleh sahabatnya itu.

“Habis tu kau nak aku buat apa? Kau lagi suka tengok aku dengan dia terus macam ni? Tak bertegur, tak bercakap? Nak tengok muka aku pun dia tak sudi. Macam tu kau rasa lagi bagus ke? Hati aku lagi sakit tahu tak?” Tingkah Amirudin masih mempertahankan keputusan yang dibuat walaupun sedar yang dia sebenarnya menambah luka di hati gadis yang amat disayanginya itu.

Anuar menggelengkan kepala bersama keluhan berat. “Ikut suka kaulah Din.. Aku tak tahu nak cakap macam mana. Cuma yang aku tahu, korang akan tambah sakit hati lagi lepas ni.” Balasnya sebelum bingkas. Ada nada kecewa dalam nada suaranya.

“Nuar..”

“Ikut suka kaulah kau nak buat apa pun. Aku takda hak nak campur masalah korang berdua. Sendiri buat, sendiri tanggung ya tak? As a friend, aku dah ingatkan apa yang patut. Aku sayang kau Din.” Ujar Anuar sebelum kembali ke tengah padang menyertai rakan-rakan yang lain. Putus asa untuk mengubah pendirian sahabatnya itu.

Amirudin terdiam. Terkesan apa yang diucapkan oleh sahabatnya itu hingga mengundang air jernih di hujung mata. Sedar akan tindakan yang diambil kini akan menambah kekeruhan yang ada. Dia tahu itu. Cuma, keinginan hatinya tidak mampu ditolak. Dia mahu berbaik semula dengan gadis itu seperti dahulu walaupun mereka tidak ditakdirkan bersama. Itu lebih baik dari dia terus makan hati dengan layanan dingin Fathiyah seumur hidupnya. Sekurang-kurangnya kini dia masih diberi peluang untuk melalui hari-hari ceria seperti dulu dengan kehadiran Fathiyah yang sering menghiburkan hati.

******

Beb, kau dah habis kelaskan? Jom keluar. Esok pun kau takda kelas kan?” Emma yang baru sahaja mandi, masuk ke dalam bilik yang dikongsi bersama sejak sebulan lalu.

“Malas beb.. Aku takda mood la.” Jawab Fathiyah malas. Rambutnya yang agak kusut dilurut perlahan sebelum diikat satu.

“Alah.. Janganlah macam tu. Jomlah. Selalunya pantang aku ajak keluar, laju aje kau. Jomlah beb..” Emma masih memujuk.

Fathiyah tidak membalas. Hanya nafas berat sahaja yang kedengaran.

“Tiya..”

“Kau rasa, betul ke apa yang aku buat ni?” Pintas Fathiyah meluahkan apa yang terbuku di hatinya sejak siang tadi.

“Buat apa? Kau nak baik semula dengan ex-boyfriend kau tu?” Emma memulangkan soalan juga sambil mengeringkan rambutnya. Wajah sahabatnya itu dipandang dari pantulan cermin di hadapannya.

Fathiyah mengangguk perlahan. Matanya ralit memandang Emma yang berdiri di hadapan cermin besar. Walaupun mereka bukan dalam bidang yang sama, sikap Emma yang lebih terbuka dan cukup memahami memang menyenangkannya. Tidak salah dia membuat keputusan untuk tinggal di hostel sebulan yang lalu.

“Tiya.. Aku tak tahu nak cakap macam mana Tiya. Sekarang ni terpulang dekat hati kau.. Kalau kau rasa kuat nak layan dia macam mana yang pernah kau layan dia dulu, why not. Lagipun, tak elok kita berdendam lama-lama kan? Kita tak dapat apa pun.” Emma meluahkan pendapatnya.

Fathiyah diam. Memang sejak dia dan Amirudin tidak jadi bertunang, perasaan benci dalam hatinya bukan sedikit. Malah seperti sudah sebati dalam dirinya. Kemudian ditambah pula dengan kejadian sebulan lalu. Itu sudah cukup menambah kelukaan yang sedia ada.

“Sudah la tu Tiya. Siaplah. Tadi aku dah janji dengan Amin kau nak join sekali.” Ujar Emma yang mahu menamatkan sahaja perbualan mereka.

“Eh, aku tak kata pun nak ikut. Kau selamba aje janji dengan dia eyh..” Fathiyah sempat melemparkan bantal kecil ke arah Emma yang sudah tersengih-sengih.

Hello Cik. Kau lupa siapa yang hantar, siapa yang ambik kau tadi?” Emma mengingatkan. Sahabatnya, Aminuddin Zahril mula menaruh perasaan terhadap teman sebiliknya itu.

“Alah.. Kau sebenarnya yang suruh dia hantar aku pagi tadi kan? Kau ingat aku tak tahu. Kau bukannya ada kelas pagi tadi. Saja kau nak kenakan aku dengan dia kan?” Balas Fathiyah sedikit geram. Lelaki yang menjemputnya di mahkamah tadi cukup baik budi pekertinya. Senang dia berkawan dengan lelaki itu.

Emma tersengih-sengih. “Kau ikut eyh? Please..” Pujuknya lagi dengan wajah minta simpati. Dia tahu Fathiyah tidak akan menghampakannya.

“Iyalah!” Fathiyah terpaksa mengalah. Jelingan dilemparkan kepada sahabatnya itu sebelum dia bingkas dari katil.



...........
saya masih menerima kepada sesiapa yang berkeinginan untuk menyumbang tajuk :) 
sukacita saya ingin memaklumkan tajuk yang terpilih akan dihadiahi novel TDK (yang bakal keluar inshaa Allah kalau tak keluar, saya standby hadiah lainlah. eheh)

*OH.. MAAF. hampir terlupa. SYARAT-SYARAT PENYERTAAN. tidak boleh menggunakan perkataan CINTA dan KASIH. maaf maaf. :)