Kayu api disua lagi ke arah
tungku. Terpejam celik mata apabila abu yang sudah menebal di atas dapur kayu
itu berterbangan apabila bayu pagi meniup.
“Orang dah tak pakai dapur kayu
tu haa! Orang dah pakai dapur gas Encik Ahmad Fairuz oii!” Hajah Huzaimah
menegur dari dalam kebun kacang panjang di sebelah pondok dapur kayu yang
dibina khas untuk merebus kacang soya yang akan dibuat tempe.
Mat keluar dari dalam pondok
sambil menggosok matanya yang pedih dek asap. “Dapur gas lagi banyak koslah
mak. Nak beli gas, nak beli dapur. Kalau seminit dua merebus, memang orang dah
guna dapur gas. Tak payah susah-susah pedih mata ni haa..”
“Bukan guna dapur gas lagi cepat
ke? Pakcik Mail tu elok aje guna dapur gas. Cepat lagi katanya dari kamu rebus
pakai api kayu tu ha..”
“Alah! Dia buat sikit bolehlah
cakap mak. Memanglah cepat. Orang ni, rebus banyak.”
“Eleh! Alasan! Asyik la kau fikir
kos. Kos masa kau tak nak kira pulak? Kos pencemaran udara ni ha, tak nak kira
sekali?” Perli Hajah Huzaimah selamba sambil memilih buah kacang panjang yang
cukup matang untuk dimasukkan ke dalam nasi goreng kegemaran anak sulungnya
itu.
“Tu kos-kos terpencil yang orang
boleh handle lagi.” Senang Mat
membalas seraya kembali ke dalam pondok semula. Kacang soya yang direbus di
dalam tin minyak dilihat seketika memandangkan ia direbus sejak jam 6.00 pagi
tadi.
“Banyaklah kau punya kes
terpencil. Dah kedekut tu, kedekut jugak!”
“Bukan kedekut mak. Jimat..” Mat
tersengih memandang Hajah Huzaimah yang melewati pondok sebelum masuk ke pintu
dapur.
“Ha, sebelum mak terlupa. Dah
fikir belum apa yang mak cakap hari tu? Nurin dah dapat surat masuk U minggu
lepas. Kau jangan lupa pulak nak cari kereta, Mat. Mak seligi kau nanti.” Hajah
Huzaimah bercekak pinggang di muka pintu dapur.
“Hesy! Nurin Nurin Nurin. Orang
tahulah! Berapa kali nak ingatkan Hajah Huzaimah oi..” Mat sama-sama cekak
pinggang. Meniru gaya ibunya yang mula menjegilkan mata.
“Sampai hari Nurin nak masuk U,
tak ada kereta tu nanti, basikal cabuk kau tu nanti mak sedekah buat tukun
dekat sungai besar sana ya?” Hajah Huzaimah mula mengugut. Itu sahaja caranya
untuk memaksa anak lelakinya itu kerana terlalu sayangkan basikal tua arwah
suaminya.
“Amboi mak.. Main ugut-ugut
pulak.” Mat turunkan tangan. “Basikal limited
edition tu mak jangan sebut-sebut. Ingat senang ke dapat sekarang. Susah
tahu tak? Ada ke nak buat tukun.”
“Mak peduli apa. Dah yang kau
degil benor tak nak dengar cakap mak.
Berjimat tak kena tempat!” Jeling Hajah Huzaimah sebelum kembali masuk.
Mat mencebik. Mata ditala ke arah
basikal tua yang diletakkan di tepi pintu dapur itu. Sebentar lagi dia perlu
menghantar tempe yang dibungkus semalam untuk dihantar ke kedai runcit serata
kampung.
“Bang!”
Wajah dipalingkan ke arah suara
halus yang menegur.
“Hmm. Nak apa pagi-pagi ni?
Selalunya, bukan main payah lagi nak nampak batang hidung dekat belakang ni.”
balasnya mengusik.
Nurin mencebik. “Orang turun
salah, tak turun salah!” rungutnya perlahan tapi masih didengari Mat.
“Kalau setakat nak bersungut
dekat situ, baik kau pergi sambung tidur dik. Malas aku nak dengar.” sindirnya
selamba.
“Ee.. dia ni kan..” Nurin ketap
bibir. Terpaksa mengalah. Selipar getah di muka pintu, disarung. Langkah dibawa
ke pondok dapur kayu.
“Ha, nak apa mencemar duli ke
sini ni?” Mat jongket kening sebelah.
Nurin tersengih.
“Kau jangan nak sengih-sengih
macam tu dik. Ingat aku tergodalah tu?”
Sengih di bibir Nurin kian lebar.
“Bang, hari tu kan kau dah janji
dengan aku..”
Wajah Mat mula dihiasi garisan
halus. “Janji? Janji apa kau ni? Kau jangan nak buat cerita ya dik?”
“Apa pulak buat cerita. Orang ada
buktilah. Ingat orang cakap macam tin kosong berdenting ke? Erm.. Mana diari
hitam abang tu?”
“Kau nak buat apa dengan diari
aku tu?”
“Hesy! Adalah!” Nurin bergerak ke
arah kenderaan rasmi abang tunggalnya itu. Tangan segera menyelongkar satu beg
lusuh yang tersangkut di hendal basikal. Buku berkulit hitam dikeluarkan
sebelum kembali semula mendapatkan abangnya.
“Tengok ni! Aku ada tulis dengan
date sekali masa paper last STPM hari tu ya? Jangan kau nak kata tak ada pulak
bang. Kau yang sign surat tak rasmi tu. Sign mak pun ada. Jangan nak kata aku
buat cerita ya..” Nurin tayang satu muka surat bertulis dakwat hitam di hadapan
muka abangnya.
Mat membesarkan mata. Tangan
mencapai diari hitam yang juga digunakan sebagai buku catatan penting untuk
segala urusan jual beli tempe, kacang panjang dan juga hasil sawit tinggalan
arwah ayahnya. Dibaca perlahan-lahan segala aksara yang tercatat.
Dengan ini, abangku Ahmad Fairuz Affendi bin Haji Fuad berjanji pada
tarikh dan masa yang tercatat di atas, akan membeli laptop berharga RM2000 dan
ke atas andai aku yakni Nurin Aimi binti Haji Fuad berjaya melanjutkan
pelajaran ke universiti.
Disaksikan oleh mak, Hajah Huzaimah binti Haji Hassan berserta Allah
S.W.T yang Maha Melihat dan Maha Adil.
Andai nama seperti yang tercatat di atas ingkar, maka basikal pusaka
a.k.a basikal bapak, akan dijual di kedai besi buruk hujung kampung. Hasil
jualan akan didermakan ke tabung masjid.
Sekian. Terima kasih.
Saksi, Hajah Huzaimah Haji Hassan.
Mat pandang sekilas wajah comel
Nurin yang sedang tersenyum-senyum sebelum mata kembali meneliti muka surat
tadi.
“Boleh percaya ke ni? Apasal aku tak ingat?” Sengaja dia mahu
menduga.
“Kau tulah bang.. Banyak sangat
makan kacang panjang tu. Hari-hari sarapan nasi goreng kacang panjang. Kalau
tak nasi goreng, tempe celup tepung. Hari-hari kacang, tempe, kacang, tempe,
kacang dan tempe lagi. Otak pun dah jadi macam kacang. Tu yang lupa. Nasib baik
aku tulis!” jawab Nurin tegas.
Mat mencebik. Diari hitam itu
dikatup lalu disepit di celah ketiaknya. Dia kembali melihat kacang soya yang
sedang direbus.
“Abang, kau dengar tak ni? Kau
dah janji kan? Takkan nak jadi munafik.” tambah Nurin resah. Resah harapannya
untuk memiliki komputer riba musnah.
“Kau nak buat apa laptop tu? Kan
kau dah ada PC dekat atas rumah tu. Kau bawak ajelah yang tu. Buat apa nak beli
baru? Kos tinggi tahu tak? Kalau rosak, lagilah banyak kos. Siapa nak tanggung?
Aku jugak..” balas Mat sengaja menggiat. Walhal, dia sendiri sudah berniat
untuk membelikan adik bongsunya itu komputer riba andai diterima masuk ke
universiti. Dia tahu adiknya itu bersungguh-sungguh belajar.
“PC besar gedabak tu kau suruh
bawak? Kau biar betul bang?” Mata bulat Nurin mula membesar.
“Iyelah. Boleh guna lagi kan?
Dulu aku belajar, guna tu jugak. Okey aje. Tak kecoh pun mintak bapak beli laptop.”
“Tu dulu! Mana ada orang guna desktop besar gabak tu lagi sekarang
ni?” Wajah Nurin mula bertukar kelat.
“Eh, baru malam tadi aku nampak
kau tengok you tube. Elok aje..” Mat
mula tahan tawa. Suka benar dia melihat wajah cemberut adiknya itu.
Nurin ketap bibir. Masam kelat
wajahnya kini. “Kedekut, cakap ajelah kedekut! Macamlah bawak mati semua duit
tu! Tak apa. Tak nak beli tak apa. Kau jawablah dengan Tuhan nanti sebab tak
tunaikan janji orang. Aku tak nak tolong kau bang! Biar padan muka kau! Huh!”
Rengus kasar dilepaskan diiringi jelingan tajam sebelum tubuh terus berpusing
mahu masuk ke dalam rumah. Hampa dan geram bergabung di dalam dadanya hingga
mulut terkumat-kamit menghamburkan marah tanpa didengari abangnya.
“Mulut terkumat-kamit tu pun, kau
kena jawab dengan Tuhan nanti, dik. Sebab mengumpat aku. Nanti kita main
sorok-sorok dekat ‘sana’ kalau aku tak ampunkan.” giat Mat lagi tanpa mahu
mengalah menyebabkan tubuh Nurin yang sudah pun melepasi pintu dapur, kembali
terpusing. Dadanya sedikit berombak.
“Makkk!!!” Pekiknya sekuat hati
dengan tiba-tiba. Terlalu geram kerana ada sahaja modal abangnya untuk terus
menyakat.
Mat terus meledakkan tawa.
Berdekah-dekah sebelum ia terhenti sebaik bayang Hajah Huzaimah muncul di situ.
“Kalau mak baling dengan sudip ni
nanti Mat, hilang halkum kau tu karang..” Hajah Huzaimah sudah mencekak
pinggang bersama renungan tajam. Sudip yang berselaput nasi goreng di tangan.
“Eleh.. Orang gurau ajelah!” Mat
cepat-cepat mengalah. Dia cukup faham perangai ibunya yang cukup selamba itu.
Apa sahaja yang terluncur di mulut, akan dikotakan. Memang tidak hairan andai
sudip yang dipegang melayang ke arahnya.
“Korang berdua ni kan.. riuh sekampung! Macam budak kecik! Padahal
dua-dua dah tua bangka!” Marah Hajah Huzaimah sambil merenung tajam ke arah
kedua-duanya bersilih ganti.
“Kau pergi masuk Nurin. Jangan
dilayan perangai abang kau tiga suku masak tu!” arahnya tegas dan gadis itu akur.
Sempat dia menjelirkan lidah ke arah abangnya yang mula menikus.
Mat ketap bibir.
“Tu, tunggu apa lagi tu? Si Senah
dah telefon banyak kali telefon kau tu. Tempe kau dah hantar ke belum?” Sekali
lagi Hajah Huzaimah lantang bersuara garang.
“Iyelah iyelah! Orang nak pergi
hantarlah ni! Tunggu kacang ni masak kejap!” Mat jenguk lagi ke dalam tin
minyak yang sudah berselaput arang itu. Kacang soyanya sudah pun hampir masak.
*****
“Bang Mat..”
“Hmm..” Mat tidak pun menoleh.
Dia leka mengira bungkusan tempe yang dibawa. Baki tempe yang tidak terjual,
sudah lebih awal dimasukkan ke dalam plastik untuk dibawa balik.
“Nampak ke, mengira tu?” Senah
sudah tersenyum-senyum sejak lelaki itu tiba tadi. Benda yang tersangkut di
wajah tampan itu cukup mencuit hatinya.
“Apasal pulak tak nampak?” balas Mat mendatar. Masih tidak menoleh.
“Tak adalah. Nah risau, abang
salah kira aje. Hari tu pun, abang ada salah kira.”
“Iye ke?” Mat baru menoleh.
Keningnya berkerut di sebalik cermin mata hitam sepuluh ringgit yang dibeli di
pasar malam tahun lepas.
“Iyelah! Abang tu kenapa nak mengira
pun pakai cermin mata hitam? Tak boleh nak buka ke?”
“Hesy! Mana boleh bukak. Kau tak
nampak tangkai sebelah ni dah kena ikat dengan getah? Kalau bukak, memang tercabut
terus nanti. Payah nak ikat balik. Sampai rumah nanti baru aku terus bukak.”
Dia sambung kembali mengira tanpa mahu memandang wanita yang mengenakan kebaya
nyonya kuning terang, berkorset hitam. Mahu juling matanya kalau memandang
terlalu lama. Akaun dosa, usah lagi dikata.
“Abang ni kan.. kedekut tak
beragak. Kalau iye pun tak nak pandang Nah ni, abang carilah speck lain. Sampai tangkai dah ikat
dengan getah pun, abang guna lagi. Buang ajelah bang!”
“Haih kau ni! Asyiklah suruh aku
buang semua benda yang aku pakai. Benda boleh guna lagi kan? Lagipun, aku pakai
bila datang kedai kau ni aje. Tempat lain aku tak pakai pun.” Selamba Mat
menjawab. Bungkusan tempe yang sudah siap dikira, dimasukkan ke dalam bakul
tersedia.
Senah tergelak kecil. “Suka hati
abanglah! Janji abang bahagia.” balasnya dalam sisa tawa sebelum berlalu masuk
ke dalam kedai seketika untuk mengambil duit hasil jualan tempe untuk sepanjang
minggu itu.
“Abang, lusa hantar banyak sikit
ya? Saya ingat nak buat kenduri arwah dekat surau depan sana tu Sabtu nanti,”
ujarnya sebaik kembali ke situ. Sampul surat warna biru diserahkan.
“Berapa banyak nak?”
“Lima puluh. Dalam sampul tu, Nah
dah masukkan sekali duitnya.”
“Iyelah. Insya-Allah.” Mat buka
sampul surat tadi. Dikeluarkan tiga keping not 10 dan dihulurkan kepada wanita
itu.
“Kenapa pulangkan?” Kening Senah
hampir bercantum.
“Ambiklah. Nanti tempe tu, aku
bagi aje. Kau nak buat kenduri arwah kan?”
“Eh, kenapa pulak bang? Tak
payahlah! Selalu sangat abang dah bagi.”
“Tak apalah Nah. Bukan banyak
pun. Kau ambik duit ni balik.”
“Eh bang, tak payahlah..” Senah
tolak lengan Mat yang berlapik kemeja lusuh.
“Ross, aku kata ambik, ambiklah.
Aku nak sedekah.”
“Er..” Senah mula serba salah. Andai
nama sebenarnya sudah meniti bibir lelaki itu, dia sedia maklum Mat tetap
bertegas. “Nah malulah bang..”
“Jangan nak malu sangatlah!
Kembang tekak aku dengar.” Mat letak tiga keping kertas warna merah itu di atas
meja.
“Terima kasih bang..”
“Hmm..” Mat capai karung guni
yang digunakan untuk membawa bungkusan tempe tadi dan dilipat kemas.
“Bang..”
“Hmm..”
“Sampai bila abang nak pakai
basikal ni?”
Mat yang sudah pun menolak
tongkat basikal dan sedia untuk memanjat kenderaan rasminya itu, terhenti.
Wajah ditala ke arah Senah yang tersenyum-senyum.
“Kau senyum-senyum tu, nak
mengutuk basikal akulah tu!”
Senah terus tersengih lebar.
“Abang tu, penat Nah cakap cari
motor ke, kereta ke.. IPhone harga ribu-ribu abang boleh beli, takkan motor
sebijik tak boleh. Bukan untuk Nah pun. Tapi untuk abang tu ha.. Tak adalah
kena panas, kena hujan. Tak sayang kulit ke bang? Sayanglah sikit muka tu.
Dahlah kacak. Tapi naik basikal. Hilang terus kacak abang tu. Macam kuda
belanglah kalau kita nak naik pelamin nanti bang oii..” Sengaja dia mengusik.
“Semua tu kos, Nah.. Abang beli hand phone mahal sebab senang abang nak
buat kerja. Macam-macam abang boleh buat. Nak beli motor, kereta ni.. kos lagi
tinggi tau? Nak naik pelamin pun kos! Siapa nak kahwin dengan aku, tak ada
pelamin ya. Sorry..” Mat panjat
basikalnya.
“Tak habis-habislah abang ni
dengan kos!”
Mat tersengih. Topi lusuh
dipakai. Cukup dapat melindungi kulit kepalanya dari sinar matahari yang mula
menegak tinggi. “Okeylah, Nah. Aku balik dulu! Assalamualaikum!” Dia mula
mengayuh meninggalkan perkarangan kedai. Namun baru masuk kayuhan kedua, dia
tersentak. Kayuhan menjadi longgar.
“Bang, rantai yang tertinggal tu
pun, kos bang!” Senah menghamburkan tawa apabila melihat rantai basikal Mat
yang putus lalu tercicir di hadapan kedainya.
“Buat hal ya kau basikal! Haih!”
Rungut Mat yang terpaksa memberhentikan basikalnya dan berpatah kembali. Sempat
dia menghadiahkan jelingan ke arah Senah yang mengekek gelak.
“Assalamualaikum. Apa hal ni
Mat?” Alauddin baru tiba dengan Honda Ex5 di perkarangan kedai.
“Tengoklah tu Abang Din. Orang
degil. Rantai basikal dia putus. Kos tuuu..” sahut Senah dalam sisa tawa.
“Mat, Mat..” Alauddin, imam kedua
masjid di kampung itu, menggeleng bersama senyum.
Mat senyum kelat.
“Jom aku tolak sampai rumah.”
ujar Alauddin menghulur bantuan.
“Bang, nah rantai emas abang yang
tercicir tu.” Senah menahan tawa sambil menghulurkan rantai basikal yang sudah
bersalut debu.
“Kau ni, Mat.. Buat malu ajelah!
Dengan pakai cermin mata hitam ikan tepi. Hesy!” kata Alauddin lagi diiringi
istighfar melihat penampilan sahabat sejak di bangku sekolah itu.
Mat garu kepalanya bersama
sengihan tidak bersalah. Senah pula kembali menyambung tawa.