Apr 7, 2015

Baru lagi - KITA PUNYA BAHAGIA- bab 1

Assalamualaikum.

Lama tak update. Harap tak jemu ke mari lagi. huu

Memperkenalkan cerita baruuu..

KITA PUNYA BAHAGIA - bab 1
............

Kriuk kriuk kriuk

Semakin kuat bunyi keriukkan apabila basikal tua berpalang tengah yang berselaput karat di sana sini, namun ia tetap tidak menjadi masalah kepada gegendang telinga Mat Kacang atau nama sebenarnya Ahmad Fairuz Affendi. Dipanggil Mat Kacang hanya kerana Mat penjual sayuran jenis kekacang dan juga pembuat tempe. Itu sahajalah satu-satunya skil yang dia warisi daripada keluarganya. Pengusaha tempe secara kecil-kecilan selain mengusahakan tanaman kekacang.

“Assalamualaikum!” Basikal tua diberhentikan di hadapan kedai runcit Senah Janda. Kedai runcit paling meriah sekali dengan pelanggannya dalam kampung itu.

“Waalaikumussalam Bang Mat! Awal sampai hari ni?” Sahut Senah bercalit gincu merah garang yang baru sahaja menolak gril kedainya.

“Kacang tempe aku tengah berebus dekat rumah tu ha.”

“Eh, dah pukul berapa baru rebus kacang Bang Mat? Bukan selalu rebusnya lagi awal ke?” Senah membantu Mat Kacang mengangkat guni yang berisi bungkusan tempe yang akan dijual di kedainya.

“Si Salam tempah. Anak dia kan nak menikah lusa ni. Untuk dia punya la tu.” jelas Mat sambil mengipas-ngipas mukanya dengan topi lusuh warna kelabu. Kedai Senah Janda menjadi kedai paling akhir dan paling jauh dia menghantar tempe. Setiap dua hari sekali penghantaran dibuat.

“Allah.. Lucut pulak rantai aku ni.” rungutnya sebaik urusan rutinnya selesai. Karung guni kosong juga sudah kembali dipulangkan Senah.

“Alah Bang Mat. Senah banyak kali ingatkan. Beli ajelah kereta ke, motor ke. Senang Bang Mat nak hantar tempe-tempe Bang Mat tu ke mana-mana. Ni tak. Basikal nak roboh ni jugak yang Bang Mat guna. Mana ada orang guna lagi basikal ni bang..” Senah menghulurkan kain buruk. Selalu benar rantai basikal uzur itu terlucut di kedainya.

“Haih.. Aku sayang basikal ni Nah.. Dulu, basikal ni jugaklah yang sekolahkan aku. Lagipun, cantik lagi. Boleh guna.” jawab Mat yang mencangkung di tepi basikal untuk membetulkan rantai yang terlucut.

“Cantik abang kata? Cantik apanya dengan karat sana sini, dah boleh jadi tukun bang oii! Itu pun kalau tukun nak..”

“Tak baik kau cakap basikal aku macam tu. Banyak berjasa dengan aku ni, Senah. Ni ajelah satu-satunya harta peninggalan arwah bapak aku.”

“Sudahlah bang. Ingat Senah tak tahu bapak abang dulu berharta. Tanah sawit berekar-ekar. Abang tu aje yang kedekut. Sampaikan perempuan takut nak dekat.”

“Yang takut tu, sebab takut tak makan kalau kahwin dengan aku. Nampak sangat mata duitan belaka. Takut dengan aku, ingat aku kedekut sangat. Aku ni bukan kedekut, Senah. Cuma berjimat. Tak payah nak membazir apa yang tak patut.” Selamba Mat membalas.

“Hesy! Cakap dengan abang ni, ada aje jawabnyalah!” Senah memuncung. Mat tersengih.

“Nah! Dah siap pun. Terima kasihlah Senah.” Mat pulangkan kain buruk tadi. “Senah, kalau susah sangat, aku pinang kau ajelah. Nak?” Sengaja dia mengusik pula Si Janda Senah yang kematian suami dek jatuh pokok kelapa dua tahun lalu.

“Alah! Abang tu, cakap aje. Berani, masuk meminang ajelah bang. Senah okey aje.” Senah angkat-angkat kening.

“Sungguh kau tak kisah nak kahwin dengan aku yang tak berharta ni ke? Motor pun tak ada, apatah lagi kereta. Basikal cabuk ni aje yang aku ada.” Mat sudah tersengih lebar.   

Rakan sejak di bangku sekolah itu masih lagi bergetah seperti anak dara. Kekal cantik hingga ke hari ini. Cuma penampilan Ross Aminah yang gemar berkebaya sendat dan sering menarik perhatian lelaki-lelaki berkopiah dan tidak kira juga yang bujang. Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang. Hinggakan, dia sendiri sering beristighfar panjang andai terlihat aset-aset ciptaan tuhan paling indah itu.

“Sungguhlah! Baik Senah kahwin dengan abang yang dah tentu-tentu bujang. Bukan laki orang. Lelaki bujang yang nakkan Senah, belum tentunya bujang. Yang laki orang pulak, dah tentunya hak orang. Cukuplah selama ni orang kampung cakap macam-macam fasal Senah. Senah janda gila jantan, Senah janda tak sedar diri, Senah terdesak, Senah gersang. Senah dah penatlah bang..” luah Senah tanpa segan silu. Dan memang sudah menjadi kebiasaan dia bebas bercerita kepada Mat. Satu-satunya lelaki yang dia percaya selepas suaminya meninggal dunia.

“Haihh.. Kau ni, kalau aku cakap karang, kau sentap Senah. Berapa kali aku dah pesan. Cara kau ni yang kena kau ubah. Memang mulut orang kita tak boleh nak tutup. Tapi, sekurang-kurangnya kau jagalah diri kau baik-baik. Jangan sampai timbulkan fitnah. Kau tengok baju yang kau pakai sekarang ni..” Mat pandang atas bawah penampilan Senah. Kebaya pendek, sendat, ketat, melekat! Jarang pula!

“Apa yang tak kena? Abang tahukan, memang ni cara Senah dari dulu lagi?” Kening cantik terbentuk itu berkerut.

“Tak kenalah, Senah. Kau ingat, aku ni nak cari calon isteri macam ni ke? Memang tak hingin aku. Kau tengok kepala kau yang gondol tu. Nasib baik kaler hitam berkilat. Kalau kaler hijau lumut, memang aku suruh kau botakkan kepala tu, baru boleh kahwin dengan aku. Tapi, tu belakang kiralah. Yang utamanya, sepatutnya benda tu aku tak dapat tengok.”

Senah pegang rambutnya yang kemas bersanggul tinggi, terselit sekuntum bunga ros plastik.

“Tu, tengok kebaya pendek yang kau pakai tu. Ketat, pendek. Jarang pulak. Tali coli kau yang bertukar kaler setiap hari. Sekejap biru terang, merah garang, oren, kuning, hitam berenda, tali menjerat leherlah, putih belang hijau macam kuda belang, belang rimau. Sepatutnya, benda tu  semua aku tak nampak. Tersorok diam-diam dalam baju kau. Ini tidak, sampaikan aku dah hafal!”

Senah kemam bibir. Pipinya hangat.

“Tu tang baju. Cuba tengok kain batik belah yang kau pakai tu pulak.” Mulut Mat termuncung ke arah kain batik jawa yang dipakai Senah.

Senah pandang arah yang sama. “Kenapa dengan kain batik ni? Tak cukup cantik ya bang?”
Mat hela nafas panjang. Kepala menggeleng. “Kau ni, antara makhluk tuhan yang cukup sempurna tahu tak?”

Senah sengih.

“Kain batik kau tu bukan tak cantik. Dah cukup cantik. Yang tak cantiknya, sebab ketat! Belah sampai nampak paha balak kau tu dah kenapa?” Selamba Mat menambah.

“Dah berapa banyak dosa kering masuk akaun aku bila tengok kau macam ni, Senah. Sebab tu la, sampai sekarang  aku tak kahwin-kahwin. Bukan nak jadi lelaki tipikal yang nakkan kesempurnaan. Tapi, aku nak cari perempuan yang tahu jaga maruah diri, jaga maruah aku. Tu aje. Tak kiralah cantik ke buruk, badan macam kerengga ke, semut ke.. Janji menyenangkan hati aku. Kalau dah macam ni nak jadi bini aku, alamat rebeh bahu aku nak pikul semua dosa bini.”

“Bang Mat ni.. Abang tahukan Senah ni dari dulu suka pakai cantik-cantik ni. Nasiblah Abang Osman dah tak ada. Kalau tak, lebih dari ni Senah dah pakai bang. Tapi dekat rumah ajelah.” Senah tersenyum malu.

“Nak cantik tak salah Senah hoi.. Yang salah, cara kau cantik ni. Depan Osman, lantaklah. Sebab tu laki kau. Yang sekarang ni, depan umum, terbuka. Kau dah tambah akaun dosa dekat semua orang yang pandang kau. Tak payah orang lainlah. Aku ni ajelah. Yang selang dua hari datang kedai kau ni, hantar tempe. Tengok kau macam ni.. Bergegar dada ni, mana kau tahu. Akaun dosa kering aku, tak payah cakaplah. Memang bertingkat tengok benda-benda yang ada dekat badan kau tu. Tak payah tengok tali coli kau, tengok bibir montok kau yang merah menyala tu ajelah. Tu belum lagi dada kau, punggung kau. Memang buat naya aku..”

“Sebab tu, Senah percaya dekat abang aje dalam kampung ni. Senah tahu abang takkan buat benda tak senonoh tu pada Senah..”

“Senah, kau jangan nak percaya sangat dengan aku. Aku tetap lelaki. Tetap ada nafsu, Senah. Kau ingat, senang ke lelaki macam aku nak tahan nafsu bila tengok benda cantik yang boleh merangsang ni? Susah Cik Ross Aminah oi! Mahu senak segala aset kaum lelaki. Cuba kau bagi tahu aku, kucing mana yang tolak ikan?” Mat lepas nafas panjang. “Pakcik pakai serban pun boleh goyah, inikan pulak aku yang tak sekuat mana. Nasiblah sebab aku ni dah  kenal kau dari kecil. Aku hormatkan kau, Senah..”

“Abang ni.. Senah tak ada niat pun nak goda orang. Senah pakai macam ni, sebab Senah suka. Senah suka berhias macam ni..”

“Apa pun la alasannya, yang haram tetap haram, Senah. Sudahlah. Aku nak baliklah Senah. Cakap dengan kau, bukan kau nak peduli pun. Macam tu jugak.” Mat panjat basikalnya.

“Abang Mat ni, janganlah cepat sangat give up. Senah pun takkan selamanya macam ni bang. Senah lagi suka kalau ada orang macam abang yang selalu ingatkan Senah. Hari-hari pun tak apa. Takkan bernanah punya telinga Senah ni setakat dengar nasihat abang tu.” Senah lirik senyum senang.

“Sudahlah kau! Malas aku nak membebel. Kau ikut, tak apa. Bazir air liur aku ajelah. Lusa aku datang, aku nak pakai cermin mata hitam. Penat aku tengok bonggol-bonggol tak rata dekat badan kau tu haa..” Mat lempar jeling sekilas. Senyum senget terukir di bibir merahnya, tanda dia bukan si penagih rokok.

“Abang Mat ni! Kalau dah rata, apa yang tinggal?” Senah sedikit bengang. Sempat ditilik tubuhnya seketika. Membayangkan tubuhnya rata tanpa sebarang bentuk.

“Kalau dah rata, badan kau. Bukan badan aku. Lantak kaulah!” Mat tergelak. Cepat-cepat dia mengayuh basikalnya meninggalkan Senah.
………………

“Mak, dah tengokkan kacang orang dekat belakang?” tanya Mat Kacang sebaik menongkatkan basikal uzurnya di tengah bangsal kosong. bangsal yang meletakkan kereta arwah ayahnya dahulu.

“Dah. Dah kembang kacang tu mak tengok tadi. Tapi mak dah tambah air sikit. Kayu api pun mak dah tambah. Dah boleh angkatlah tu.” jawab Hajah Huzaimah sambil meletakkan penyodok sampah di tepi batang pokok rambutan.

Mat labuhkan duduk di pangkin kayu di tempat yang sama. Membuang lelah mengayuh basikal dari kedai Senah yang jauh 5 kilometer ke rumahnya.

“Penat ke?” Sindir Hajah Huzaimah dalam sengihan sebelum turut melabuhkan duduk di pangkin yang sama.

“Tak adalah!” Mat mengipas-ngipas wajahnya yang terasa hangat. Merah padam. Ketiak mula terasa melekit.

“Tu la.. Berapa kali dah mak cakap. Naik berbuih dah mulut mak ni. Suruh beli kereta. Yang buruk-buruk pun tak apalah. Kereta bapak dulu ada, kau pergi jual. Lesen yang kau ada tu, elok gantung aje dekat dinding. Guna frame yang ada kerawang bunga-bunga tu.” Sindir Hajah Huzaimah lagi separuh geram. Geram kerana anak sulungnya itu terlalu berjimat tidak kena tempat.

“Semua tu, koslah mak. Duit minyak lagi. Tu belum minyak hitam, minyak break. Semua nak pakai minyak. Dahlah semua harga naik sekarang ni,” balas Mat Kacang yang tetap dengan pendiriannya. Masih mahu hidup lebih bersederhana walaupun masih mampu untuk memiliki segala-galanya yang jauh lebih baik daripada yang ada kini.

“Haih kau ni, Mat.. Penatlah mak cakap. Kalau mak kau ni tiba-tiba sakit, kau nak hantar mak guna basikal cabuk kau yang dah nak roboh ni ke hospital? Sanggup ke kau?” Sengaja Hajah Huzaimah menggiat.

“Mak ni.. Janganlah mintak sakit.”

“Habis tu, dah kau yang degil benor. Tak nak dengar cakap mak. Susah-susah sangat, biar mak aje beli kereta. Nanti mak nak pergi belajar bawak kereta semula. Senang nak ke mana-mana. Harapkan kau? Basikal cabuk ni jugaklah yang kau nak guna. Esok lusa, Si Nurin nak sambung belajar, senang mak pergi hantar. Tak payah nak susahkan kau. Kau jagalah benor basikal tukun kau ni!”

“Alah mak ni! Tu pun nak sentap. Dah macam Si Senah nak sentap-sentap. Ni sebab banyak kawan dengan Makcik Tipah Catering tulah! Cakap sikit nak sentap.” Mat paut bahu ibunya mesra namun wanita yang berusia 62 tahun itu menolak. Rimas kerana tubuh anaknya itu sedang berpeluh.

“Macam manalah kau ni Mat? Mak penat tau bercakap. Cuba sekali ni, kau dengar cakap mak ni. Bukan untuk siapa, untuk kau jugak. Masa depan kau. Mak ni, bukannya muda lagi. Esok lusa kalau mak dah tak ada, Nurin tu macam mana? Mak risau betul dengan dia kalau kau terus macam ni. Kau bukannya tak ada duit. Nak beli kereta sebiji, cash pun mampu. Kalau tak cukup, mak pun boleh tambah.”

“Dulu bapak tak ada pun hantar orang naik kereta cantik. Rilek aje bapak hantar orang masuk asrama dengan Toyota buruk dia dulu. Lagilah body macam dah nak roboh, aircond tak ada. Masuk U dulu pun, pakai kereta tu jugak. Kalau hujan lebat, orang yang tolong bapak lapkan cermin. Rilek jugak. Kalau lalu tempat banjir, air sampai masuk dalam kereta, mak sampai kena angkat kain sebab takut basah. Mak pun rilek. Temperature naik masa nak hantar orang pergi konvo, sampai bapak berhenti kereta tepi jalan sebab kereta berasap. Habis jugak orang belajar. Ini baru masuk belajar, nak kena kereta cantik. Macamlah kereta tu dapat tolong dalam exam nanti.” Panjang lebar Mat mengimbau kembali kenangan yang begitu bermakna pernah dilalui bersama arwah ayahnya dulu.

“Itu dulu.. Masa kita susah. Sekarangkan kita dah mampu. Apalah salahnya Mat..”

“Memanglah tak salah..”

“Habis tu, apa yang susah sangat?”

“Semua tu kos mak..” jawabnya senang.

Tuk!

“Aduh mak! Apasal main kepala pulak ni! Orang bayar zakat tahu tak!” Kepalanya kena luku tiba-tiba.

Hajah Huzaimah ketap bibir rapat. “Kos, kos, kos! Kos kepala lutut! Hidup mana yang tak ada kos!” Lengan pejal anaknya itu pula dicubitnya. Geram sangat! Mat menyeringai. Lengan yang terasa perit digosok laju.

“Tu ubatnya! Nasib dah besar panjang. Kalau tak, mak dah rembat kau dengan dahan rambutan tu ha!”

“Iyelah iyelah! Nanti orang fikirlah!” Mengalah. Wajah Mat kelat.

“Lagi satu, mak nak cakap ni. Kau, kalau tak suka dengan Si Senah tu, kau jangan nak melayan sangat. Lepas hantar tempe, terus balik. Kalau nak, cakap nak. Senang aku pergi pinang. Telinga aku ni tebal lagi nak dengar orang sekeliling bercakap. Si Peah DJ tu bukan main syok lagi kalau bercakap fasal kau tu. Jangan sampai telinga mak nipis. Kalau dah nipis nanti, memang mak tak banyak cakap dah. Terus mak pinangkan Si Senah tu. Baru kau tahu! Disuruh kahwin, susah benor. Macam dah tak ada perempuan dekat planet ni. Takkan sampai dah beruban baru nak cari bini. Kawan-kawan kau tu semua, anak-anak ada yang dah sekolah pun. Yang kau esok, baru nak usung bakul budak.”

Mat garu kepalanya yang tidak gatal. Punggung mula rasa panas. Satu lagi topik yang kerap kali mampu membuatkan telinganya berasap. Soal jodoh yang masih belum menjadi agenda hidupnya walaupun sudah berumur 30 tahun.

“Kau dengar tak, apa yang mak cakap ni? Jangan nak tergaru-garu macam banyak bela kutu. Kau jangan main-main ya Mat. Mak serius ni!” tekan Hajah Huzaimah lagi.

“Iyelah.. Nantilah kalau orang senang, orang fikir. Semua tu guna kos mak..” jawab Mat malas.

Pap!

“Mak ni!” Mat gosok paha pejalnya pula. Perit juga!

“Kau jangan nak main-main ya, Mat? Naik berbuih mulut mak kau ni bercakap! Agaknya kau memang nak mulut mak ni betul-betul berbuih baru kau nak fikir?”

“Haa! Tu mak yang mak cakap ya? Mak jangan tuduh orang pulak cakap mulut mak berbuih. Orang tak pernah pun doakan mulut mak berbuih.”

Hajah Huzaimah ketap bibir. Perasaan geram yang membuak di dalam dada memaksa dia menarik pula telinga anak bujangnya itu.

“Mak mak! Sakit-sakit!” Mat menahan pedih cuping telinganya yang dipulas.

“Setiap kali mak cakap, ada aje yang kau nak jawab ya! Telinga kau ni, selalu benor tak nak dengar apa yang mak cakap. Sebab tu, sampai sekarang apa yang mak cakap satu pun kau tak nak ikut!” Marah Hajah Huzaimah seraya melepaskan telinga Mat yang sudah memerah.

“Mak ni.. Ni yang malas kalau cakap dengan mak. Tangan tak payahlah berjalan sama. Mulut macam peluru aje, sudahlah..” Mat gosok-gosok telinganya yang terasa panas.

“Apa kau cakap? Mulut aku macam peluru?” Hajah Huzaimah bingkas. Pinggang dicekak.


Mat melompat turun dari pangkin sebelum terus berlari meninggalkan Hajah Huzaimah yang mula menyinga. 


1 comment:

nurul Ezzah Shah said...

Gelak tergolek - golek membaca. Hero mulut pedas takde insurans. Hehe