Aug 25, 2017

Mungkin untuk sekali lagi_part 15_final


“You memang tekad kan Wiya? Sampai hati you buat I macam orang gila cari you. Sikit pun you tak cakap dengan I yang you nak cuti panjang. Dahlah call tak dapat. Papa pulak saja tak nak bagi number phone you yang lagi satu. Sampai I cari Arif sebab ingat dia tahu you dekat mana.” Luah Danial apa yang terbuku di hatinya selama sebulan itu.

Zawiya sengih tanpa rasa bersalah. Dia tahu Danial cuba mencarinya seperti mana yang diberitahu Datuk Haziq sepanjang dia bercuti.

“You ni awal-awal pagi dah masuk ofis kenapa? You memang nak menang anugerah pekerja terbaik tahun ni ya?” balasnya terus tukar topik sebaik kerling jam di pergelangan belum pun pukul 8 pagi. Waktu pejabat hanya bermula jam 8.30 pagi. Dia pula sudah terbiasa untuk tiba awal demi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Dan dia tak menyangka akan bertemu dengan Danial sebaik memijak lantai lobi pagi itu.

“You tak payahlah nak tukar topik, Wiya. You saja tak nak jawab soalan I kan?” balas Danial sedikit geram.

“I nak cakap apa lagi? I dah ada depan mata you ni kan? Lagi pun, I bukannya pergi bercuti tanpa pengetahuan bos I. Bos I yang dah izinkan, so? I cuti ajelah.” Jawab Zawiya selamba seraya menukar hala langkah ke pintu utama bangunan semula. Sudah menjadi kebiasaan dia akan bersarapan dahulu di kafe berdekatan sebelum masuk ke pejabat.

Danial ketap bibir rapat. Cuba menenangkan hati sendiri. Diayunkan kaki menuruti langkah Zawiya.

“You memang suka tengok I susah hati macam ni ke? You tak kesiankan I ke Wiya? Sebulan I langsung tak dengar khabar berita you. Bukan sehari dua tahu tak? Kalau jadi apa-apa pada you macam mana? I tak sempat nak mintak maaf pada you.” hamburnya lagi sebaik melabuhkan duduk di depan wanita itu.

Zawiya yang sedang membelek buku menu, berkerut.

“Kenapa you nak mintak maaf pada I? You ada buat salah ke?”

Danial lepas hela berat.

“I tahu you bercuti lama sebab I dengan Arif kan? Kalau bukan sebab kita orang, you takkan sampai sanggup mintak cuti tanpa gaji pada papa I. Betul tak?”

Zawiya pula melepaskan hela. Diletakkan kembali buku menu dari tangannya.

“Encik Ahmad Danial. I baru masuk kerja hari ni lepas bercuti panjang. I tengah tercari-cari lagi mood kerja. Boleh tak kalau kita cakap pasal hal lain? Dari tadi you bercakap tak berhenti. You tak penat ke?” Dia cuba mengelak dari menjawab walaupun itulah hakikatnya.

“Fine.” Danial lepas keluh panjang. Mengalah. Dicapai buku menu yang ada.

Zawiya kembali meneliti buku menu sebelum menandakan pada kertas pesanan tersedia. Habis memilih, tanpa sebarang kata kertas tersebut diserahkan kepada pelayan yang ada.

Danial tak lepas pandang. Membulat matanya apabila Zawiya langsung tak bertanya apa yang dia mahu.

“You, I bernafas lagi depan you ni. You order untuk you aje?” soalnya sedikit berjauh hati.

“Manalah I tahu you nak breakfast sekali. You mesti dah breakfast dekat rumah tadi kan?” jawab Zawiya selamba.

“You, I datang awal hari ni semata-mata nak jumpa you tahu tak? Breakfast pun tak sempat tadi.” Balas Danial dengan rengus tak puas hati. Sebaik tahu Zawiya akan kembali bertugas hari itu, bergegas dia bersiap lebih awal dari papa. Hinggakan mamanya bising kerana tak sempat bersarapan seperti selalu.

“Siapa suruh you tak breakfast.” Sama seperti. Selamba Zawiya balas.

Danial ketap rahang. Terus ditutup buku menu di depannya. Zawiya di depan mata terasa mahu ditelan sebagai ganti mengisi perutnya yang kosong.
Seketika menanti, pelayan menghampiri meja mereka dengan dua cawan berisi air teh yang masih mengeluarkan asap nipis.

“Jemput minum. KESIANNN you tak sempat breakfast tadi kan?” Zawiya tayang sengih lebar yang dibuat-buat sebaik kelibat pelayan tadi menghilang.

Danial paling muka ke sisi dengan senyum yang tertahan. Sedar yang sejak tadi Zawiya seperti sengaja mahu mempermainkannya.

“Nasib baiklah you ni pilihan hati I.” gumamnya.

“Kalau bukan you nak buat apa?” laju Zawiya menyoal kembali bersama sebelah kening yang terangkat.

“Kalau bukan, I tak terconggok depan muka you ni my dear.”

Zawiya cebik.

“I ni sebenarnya kesian dekat you aje. Nanti you mengadu dengan Datuk Haziq I buli you pulak. Tak bagi anak dia makan. Tak pasal-pasal I kena buang kerja.”

Danial terdiam. Hatinya berdebar. Sedikit kurang senang dengan kata-kata wanita itu. Seperti dia dapat meneka jawapan yang bakal diterimanya kelak.

“Selama ni, you kawan dengan I sebab kesian ke Wiya? Kesian sebab I ni anak bos you. You rasa terpaksa kawan dengan I sebab you nak jaga kerja you.” soalnya lebih serius berbanding tadi.

“You ni… Ke situ pulak.” Zawiya dah berkerut.

Danial lepas hela panjang.

“I tahu, I ni tak cukup layak untuk you kan?” Luahnya perlahan.

“Habis tu, siapa yang layak untuk I? Arif?” duga Zawiya.

“Selain Arif, you ada calon lain?”

Zawiya tarik senyum tepi sebelum pandangan dihalakan ke arah lain. Tak mampu dia nak balas renungan Danial yang mula mengundang rasa debar di dalam dada.

“Dari dulu pun, you tak pernah pandang I. Apa yang ada pada I, sikit pun tak berjaya nak gugat kedudukan Arif dalam hati you.” Sambung Danial bersama nafas berat yang dilepaskan. “Tu… calon yang memang sesuai untuk you.” Tambahnya bila terpandang akan susuk tubuh yang baru melangkah masuk ke ruang kafe.

Zawiya hala pandang ke arah yang dimaksudkan. Dia ada mengajak Arif untuk bersarapan pagi itu tanpa pengetahuan Danial.

“I rasa, I dah dapat jawapan yang I tunggu, Wiya.” Lanjut Danny seraya bingkas.

“You nak pergi mana?” Laju Zawiya sambar lengan lelaki yang berkemeja biru muda itu.

“I tak nak ganggu you.” Danial paksa bibir mencorakkan senyum. Pegangan Zawiya dileraikan. “I masuk office dulu.” Sekeping not 50 dikeluarkan dari saku dan diletakkan ke atas meja.

“Sorry lambat sikit. Memang dah tak boleh elak jammed pagi-pagi macam ni.” Ujar Arif sebaik tiba. Salam bertukar. “Kau dah habis breakfast ke?” soalnya bila Danial memberi ruang untuk duduk.

“Aku dah. Wiya belum. Aku ada hal penting nak buat pagi ni. Aku nak naik dulu. Assalamualaikum.” 

Danial tepuk bahu Arif beberapa kali sebelum terus membuka langkah. Tidak lagi dia menoleh ke belakang.

“Danny marah ke sebab abang datang lambat?” tanya Arif seraya melabuhkan duduk sebaik bayang Danial hilang daripada pandangan.

“Belum cakap apa-apa dah merajuk.” Jawab Zawiya bersama keluh halus.

“Merajuk?” Arif berkerut. Tak faham. “Wiya cakap apa dengan dia?”

Zawiya diam. Sedar yang dia dah terlepas kata. Tapi dia tak maksudkan pun. Sekadar gurauan. Persahabatan yang pernah terjalin antara dia dan Danial sebelum ini bukanlah atas dasar kesian ataupun terpaksa. Malah dia hormat lelaki itu seperti mana dia hormat Datuk Haziq. Cuma soal perasaan… Dia tak mampu nak memaksa. Semuanya hadir sendiri dengan ketulusan hati. Dia betul-betul mengharap Danial faham.

“Wiya…”

Zawiya angkat muka daripada dua set roti bakar yang baru dihantar pelayan sebentar tadi. Set roti bakar kegemaran Danial bila mereka berkesempatan untuk bersarapan bersama suatu ketika dulu. Dia masih ingat lagi setiap hidangan kegemaran lelaki itu. Hidangan yang cuma biasa-biasa menjadi pilihan dan seseorang yang tidak memilih dengan apa saja rezeki yang terhidang.

“Nak abang yang cakap dengan Danny?” sambung Arif.

Zawiya geleng.

“Tak payahlah. Biarkan dulu. Nanti Wiya cari masa cakap dengan dia.” Balasnya sebelum mula menjamah roti yang sudah pun sejuk.

“Jangan lama-lama, Wiya. Jangan mainkan perasaan dia.”

Zawiya lepas keluh perlahan.

******
Kelmarin…

“Wiya sihat?”

Zawiya tarik senyum.

“Alhamdulillah. Abang?”

“Alhamdulillah…”

Sepi. Masing-masing mendiamkan diri. Sungai yang cukup tenang di hadapan menjadi tatapan dua pasang mata itu.

Arif berdeham beberapa kali. Cuba menyusun ayat dengan membuak rasa kekok selepas sebulan mereka langsung tak berhubung. Dan dia sendiri agak terkejut bila bekas isterinya itu tiba-tiba menghubunginya awal pagi tadi.

“Bila masuk kerja?”

“Lusa.”

Diam lagi.

“Wiya tak sangka abang ada balik kampung.” Zawiya pula cuba mencari keselesaan.

Arif senyum nipis. Sejak ketiadaan Zawiya, memang setiap minggu dia balik kampung. Dan dia tak pernah terlupa untuk menjengah ke rumah keluarga bekas mentuanya. Dia selalu mengharap Zawiya ada. Cuma hari itu, dia belum sempat menjengah kerana tiba agak lewat malam tadi.

“Wiya bila ada dekat kampung?”

“Seminggu.”

Arif laju menoleh.

“Dah seminggu?”

Zawiya angguk bersama senyum.

“Kenapa? Mesti mak abang tak bagi tahulah tu.” Gelak kecilnya terlepas.

Arif ketap bibir tahan geram. Terasa dipermainkan maknya. Memang dia ada bertanya kepada maknya tempoh hari. Tapi maknya mati-mati menafikan.

“Abang jangan salahkan mak. Memang Wiya yang tak bagi dia cakap dengan abang.”

“Kenapa? Sebab Wiya takut abang paksa-paksa Wiya?”

Zawiya geleng perlahan.

“Bukan macam tu. I just want to be fair, abang.”

Arif lepas keluh perlahan.

“Abang faham. Wiya nak jaga hati semua orang kan?”

Zawiya tarik senyum nipis.

“Abang tahu Wiya macam mana kan? Kalau boleh, Wiya tak nak sorang pun terluka sebab Wiya. Wiya ni bukan siapa-siapa. Tapi Wiya takde pilihan.”

“Maksud Wiya?”

Zawiya lepas keluh halus. Ditarik nafasnya dalam-dalam seraya membuang pandang ke arah lelaki tegap di sebelah.

“Dari dulu, hati Wiya tak pernah berubah untuk abang. Cuma buat masa ni…”

Arif berdebar dengar apa yang bakal terluah di bibir wanita itu.

“Buat masa ni Wiya selesa sendiri.” Luah Zawiya tenang. Itu yang terbaik buat sementara waktu. Dia masih memerlukan masa mempersiapkan diri untuk kembali ke alam rumahtangga. Suatu keputusan yang bukan mudah dan dia tak mahu sejarah lalu kembali berulang.

Arif lepas nafas berat. Terdiam dia seketika.

“Habis tu, macam mana dengan Danny? Wiya dah cakap dengan dia?”

Zawiya geleng perlahan.

“Tapi Wiya harap sangat dia faham…”

Sepi.

“Wiya…” seru Arif lembut.

Zawiya menoleh.

“Wiya suka Danny?”

Zawiya paling muka ke depan kembali.

“Kenapa abang tanya macam tu?” Soalan berbalas soalan.

“Abang rasa hati Wiya tak macam dulu lagi. Mungkin dah ada orang lain yang boleh ganti tempat abang.” Serkap Arif. Dia sedar sejak kepulangan Danial, Zawiya nampak lebih mesra dengan lelaki itu. Malah, Danial sendiri nampak bersungguh-sungguh mahu mengahwini Zawiya selepas bertahun-tahun menanti. Dan disebabkan itu dia lebih bersedia terima apa pun keputusan wanita itu.

Zawiya diam. Memilih untuk mengunci mulut. Tidak mengiakan mahupun menolak. Soal hatinya yang belum cukup yakin, biaralah hanya Dia yang tahu. Padanya, pilihan untuk berumahtangga kembali bukanlah satu keputusan semudah petik jari. Tambahan pula ikatan yang terbina di antara mereka dahulu terlerai hanya kerana ego masing-masing. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dan bukannya menurut keinginan hati semata-mata.

“Wiya… Sebenarnya abang dah sedia untuk terima apa pun keputusan Wiya. Dan abang sedia untuk tarik diri kalau Danny jadi pilihan Wiya.” Lanjut Arif lebih tenang berbanding tadi.

Zawiya kekal diam.

“Abang takkan salahkan Wiya kalau Wiya tak pilih abang. Abang mintak maaf kerana selama ni abang dah banyak buang masa. Langsung tak pedulikan perasaan Wiya. Abang rasa, ada orang yang jauh lebih berhak dan mampu untuk bahagiakan Wiya. Wiya jangan jadi macam abang. Tak nampak kebahagian yang dah terbentang depan mata. Danny dah terlalu lama tunggu Wiya. Abang percaya Danny mampu untuk jaga Wiya lebih baik dari apa yang abang pernah buat dulu.” Tambah Arif lagi cuba membuka jalan agar Zawiya dapat membuat pilihan yang terbaik. Dalam masa dia rela mengundurkan diri demi melihat orang yang disayangi bahagia.

“Abang…” Mata Zawiya membesar. Kelu lidahnya. Tak terjangka luahan lelaki itu.

“Menyayangi tak semestinya memiliki kan?” Arif ikhlas menghadiahkan senyum.

Zawiya kemam bibir yang mula bergetar. Hati dicuit rasa sebak.

*********

Danial angkat muka sebaik sebaik satu susuk tubuh melabuhkan duduk di depannya tanpa dipinta. Keluh dilepaskan. Gelas teh lemon di sisinya disedut perlahan sebelum mata kembali terhala ke arah wajah selamba Zawiya yang mula menyuap nasi yang turut sama dibawa.

“Kenapa berhenti makan? Makanlah.” Ucap Zawiya selamba.

Danial diam. Tapi tangan kembali mencapai sudu dan garfunya tadi. Kembali menyuap nasi ayam yang jadi pilihan tengah hari itu. Dia terus makan tanpa mempedulikan Zawiya. Kehadiran Zawiya yang tiba-tiba di depannya tengah hari itu cukup mengganggu ketenteraman. Jika di pejabat, dia tak perlu nak mengelak kerana dia lebih banyak menghabiskan masa di biliknya. Dan tuntutan kerja memang betul-betul membantu. Hampir 2 minggu tak bersua lepas apa yang berlaku, dia rasa cukup kekok.

“You sibuk tak hari ni?” ujar Zawiya sebelum mengelap tepi bibirnya dengan tisu.

“Hari-hari I sibuk.” Jawab Danial tak bernada tanpa mengangkat muka. Dia mahu segera mengahabiskan nasi yang masih berbaki.

“Yeke sibuk? Atau sebenarnya you saja nak elak dari I?” duga Zawiya.

Danial lepas nafas berat. Muka diangkat.

“You sebenarnya nak apa sampai ke sini you ikut I?” balasnya tahan geram. Setiap hari dia memang sengaja memilih restoran yang agak jauh dari pejabat demi mengelak mereka bertembung.

“I nak you dengar apa yang sepatutnya you tahu.” Zawiya mula bertegas.

“Apa lagi yang I patut tahu? You nak bagi tahu yang you nak kahwin dengan Arif semula dalam waktu terdekat ni? Kalau sebab tu, semua I dah tahu, Wiya. You tak cakap pun I dah tahu.” tempelak Danial selamba.

“No!” tingkah Zawiya.

“Then what?” Danial lepas rengus. Cuba menenangkan diri sendiri kerana marah bukanlah kebiasaannya.

Zawiya sedut perlahan jus orennya sebelum menarik nafas dalam-dalam. Mengumpul kekuatan untuk berterus terang dengan lelaki di depannya ini. Lelaki yang tak pernah mempamerkan wajah tegang selama ini. Dan dia tak sangka hingga begitu sekali Danial menahan rasa selepas apa yang berlaku tempoh hari.

“Mula-mula I nak mintak maaf pada you pasal hari tu. Demi Allah tak pernah terniat pun dalam hati I nak cakap macam tu. Selama I kawan dengan you, I hormat you, I senang kawan dengan you. Bukan sebab kesian atau sebab papa you bos I. Bukan…”

Danial diam. Mata tak lepas pandang ke wajah yang sedikit keruh di depannya itu.

“Pasal I dengan Arif…” Sekali lagi Zawiya tarik nafas dalam-dalam. Mengharap apa yang bakal diluahkan dapat diterima Danial dengan baik.

Danial menahan debar yang tiba-tiba menyapa walaupun hati dah dapat meneka apa yang bakal terluah.

“I takkan berbalik pada Arif.” Lafaz Zawiya tenang.

Danial lepas senyum tepi.

“Kalau bukan Arif, you nak cakap you pilih I?” ucapnya bila terasa Zawiya seperti mahu bergurau.

Zawiya geleng perlahan.

“Bukan untuk masa ni.” Tegasnya.

Danial berkerut. Mati senyumnya tadi. Akal gagal memproses apa sebenarnya yang cuba dijelaskan wanita itu.

“I dah buat keputusan takkan terima sesiapa pun buat masa ni. I serahkan semuanya pada takdir Danny. I masih perlukan masa. You sendiri tahu yang I pernah gagal dulu. I tak nak gagal buat kali kedua, Danny. I harap sangat ypu faham.” Sambung Zawiya.

Danial lepas keluh perlahan. Hilang terus rasa geram yang berputik tadi bila ada rasa lega menjelma. Dia tak tahu kenapa. Tapi penjelasan wanita itu benar-benar melapangkan dadanya.

“Lepas ni, I tak nak you mengelak dari I lagi. Kita buat macam biasa.” Pinta Zawiya penuh mengharap.

“Boleh. Tapi dengan syarat.”

“Syarat?”

“Untuk sekali lagi… I masih ada peluang kan?”

Zawiya senyum nipis.

“Insya-Allah. Dia sebaik-baik perancang kan?”

Danial senyum senang.


Mungkin untuk sekali lagi_part 14


Datuk Haziq lepas nafas berat sebaik membaca surat permohonan cuti tanpa gaji yang baru saja diterima. Dihala pandang ke arah Zawiya yang duduk menunduk di depannya. Cermin mata ditanggalkan. Masih tak percaya dengan permintaan pembantu peribadi merangkap setiausaha kesayangannya itu. Bertahun Zawiya berkhidmat dengannya, belum pernah sekali pun wanita itu memohon cuti sehingga sebulan lamanya.

“Awak nak sambung beraya ke mana? Luar negara? Kalau macam tu, saya bagi awak sambung cuti sampai hujung bulan ni. Tak payahlah sampai sebulan tanpa gaji.” ujarnya memberi cadangan.

Zawiya geleng bersama senyum hambar. Muka diangkat memandang Tuan Haziq yang sudah dianggap seperti ayahnya sendiri itu.

“Saya mintak maaf Datuk, kalau permintaan saya ni agak melampau dan bakal menyusahkan semua urusan Datuk. Tapi saya tetap harap yang Datuk dapat pertimbangkan. Saya akan siapkan semua kerja saya sampai hujung bulan ni. Saya pun dah mintak tolong Aina untuk ganti tempat saya sepanjang saya bercuti.” Balasnya sangat mengharap agar permohonannya diluluskan.

“Tapi kenapa lama sangat Wiya? Awak ada masalah? Atau… Ni semua sebab lamaran anak saya tu?” teka Datuk Haziq bersama keluh perlahan.

Zawiya lepas senyum hambar lagi. Tepat mengenai batang hidungnya. Memang ia disebabkan Danial dan juga Arif. Kehadiran kedua-duanya membuatkan dia benar-benar rasa terganggu sejak habis bercuti raya minggu lepas. Waktu masih diperlukan selain dia mahu mengelak dari menjadi buah mulut semua staf yang mula bercakap mengenainya. ‘Janda tak sedar diri nak kahwin dengan anak Datuk, janda gila harta, janda gila talak…’ Terlalu pahit untuk ditelan. Malah dia mula rasa malu setiap kali masuk ke pejabat apabila menerima pandangan cukup jelik.

“Wiya… Awak tahukan anak saya tak pernah paksa awak. Dia cuma mengharap dan sedia terima apa pun keputusan awak. Awak berhak tentukan bahagia awak. Awak jangan rasa terbeban dengan hati dan perasaan orang lain, Wiya. Fikir dulu pasal diri awak, baru fikir pasal orang lain. Saya tahu dekat pejabat ni, semua orang mula bercakap pasal awak dengan Danny. Banyak yang tak betul dari yang betul. Saya kenal awak bukan sehari dua, Wiya. Saya percayakan awak. Awak boleh abaikan apa yang orang cakap pasal awak asalkan awak tahu yang saya sekeluarga cukup percaya, cukup kenal siapa awak yang sebenar.” Panjang lebar Datuk Haziq cuba memujuk.

“Terima kasih Datuk. Terima kasih sebab terus percayakan saya. Tapi untuk kali ni… Tolong tunaikan permintaan saya ni. Please Datuk.” Zawiya tekad dengan sebak yang mula mengetuk ruang dada.

Datuk Haziq lepas hela berat. Dipandang tak lepas wajah penuh mengharap wanita di depannya itu.

“Saya luluskan cuti awak ni. Tapi bersyarat.” Balasnya lambat.

Ada senyum terhias di bibir Zawiya dengan hati mula mengucap rasa syukur.

“Apa saja Datuk.” Balasnya sedikit ceria.

“Tolong jangan off official handphone. Twenty four seven. Dan gaji awak akan berjalan seperti biasa. Bolehkan?”

Senyum Zawiya melebar.

“Boleh Datuk. Insya-Allah. Terima kasih banyak-banyak. Terima kasih Datuk.” Tak lekang senyum di bibirnya.

********

Danial melambai sebaik kelibat Arif muncul di muka pintu kafe bawah pejabat lelaki itu. Kalau bukan kerana Zawiya, dia takkan menjejakkan kaki ke situ semata-mata mahu bertemu dengan Arif. Bukan dia tak tahu sejak dulu lagi Arif memang tak pernah menyenangi kehadirannya. Padahal dia bukanlah lelaki bodoh yang sanggup memusnahkan kebahagiaan orang yang dia sayang hanya kerana kecewa dan dendam. Dia masih waras dan tahu membezakan mana baik dan buruk.

“Coffee.” Danial tolak secawan kopi yang telah dipesan sejak tiba 5 minit tadi ke hadapan Arif.

“Thank you.” Tenang Arif tarik senyum ikhlas. Dihirup perlahan air kopi yang dah pun suam.

Sepi.

Danial tak lepas pandang wajah tenang di depannya. Cuba membaca riak yang terlakar. Tapi Arif terus melebarkan senyum.

“Aku tahu kau datang jumpa aku sebab Wiya kan?”

Danial tak menjawab. Dibiarkan Arif terus menyambung bicara. Dia tahu Arif bukan bodoh menebak akan tujuannya datang petang itu.

“Demi Allah aku tak tahu dia pergi mana. Aku dah balik kampung, pergi rumah dia. Mak ayah dia pun takde. Mak aku cakap, dia bawak mak ayah dia sekali pergi bercuti. Tapi tak tahu dia pergi mana.” Jelas Arif lanjut.

Danial lepas keluh.

“Mustahil.”

“Terpulang kau nak percaya atau tak. Aku dah cuba call ayah dia. Tapi langsung tak berangkat.” Sambung Arif. Dah dua minggu langsung tiada khabar berita dari bekas isterinya itu. Puas dia cuba telefon, tapi langsung tak bersambung. Dia tahu Zawiya bercuti pun daripada Suraya.

“Dah dua minggu, takkan langsung tak dapat?” balas Danial kurang percaya.

Arif geleng.

“Hari-hari aku cuba. Tapi tak pernah dapat pun.”

Danial lepas keluh lagi.

“Dia kan PA papa kau. Papa kau mesti tahu dia pergi mana.” Ujar Arif.

“Papa aku?” Danial tarik senyum tepi. Disedut jus oren di depannya. “Kalau papa aku dah bagi tahu Wiya dekat mana, aku tak susahkan kau jumpa aku ni, Rif.”

“Takkan Datuk langsung tak cakap?”

Danial geleng bersama keluh yang terlepas. Awal-awal lagi Datuk Haziq bagi amaran yang dia takkan masuk campur hal peribadinya. Ketegasan papanya memang langsung tak membantunya walaupun dia yakin papa tahu di mana Zawiya berada. Sehari yang lepas, dia terdengar papa berbual dengan seseorang di telefon dan beberapa kali nama Zawiya disebut. Ada dia cuba bertanya, tapi papa tetap dengan pendiriannya. Mamanya pun dah sekapal dengan papa. Sama-sama mengunci mulut.  

“Sorry aku dah sangka kau yang bukan-bukan tadi.” Ucapnya selepas beberapa ketika hanya mendiamkan diri.

Arif tarik senyum nipis. Menggeleng perlahan.

“Takpe. Aku faham. Aku sendiri ada terfikir macam tu. Sebab sekarang dia kan lagi rapat dengan kau daripada aku.”

Danial diam.

“Kalau lepas dia balik nanti, dia pilih kau… Aku takkan rasa terkilan, Danny. Kau layak untuk dia. Aku tahu kau boleh jaga dia lebih baik dari apa yang aku pernah buat dulu. Aku takkan dendam apa-apa dengan kau. Cuma aku nak kau janji… Tolong jaga dia sebaik mungkin.”

“Macam mana kalau dia pilih kau?” duga Danial.

Arif terus senyum.

“Aku orang yang pernah lukakan hati dia. Itu satu alasan yang cukup kuat untuk dia tolak aku. Rasa percaya dia pada aku takkan mungkin sama macam dulu.” Jawabnya tenang.

Danial sedut lagi jus di depannya. Bukan untuk meraikan kekurangan Arif. Tapi demi meredakan debar yang bersarang sejak Zawiya menghilangkan diri. Dia memang benar-benar mengharap Zawiya memberinya peluang. Tapi dalam masa yang sama, dia sedia terima apa pun keputusan wanita itu. Dia tahu cinta pertama sukar dihakis. Begitu juga cinta di dalam hatinya. Zawiya merupakan wanita pertama yang berjaya mengetuk ruang hatinya selama ini dan belum ada mana-mana wanita yang mampu menggantikannya sehingga kini. Malah, rasa cinta itu kian kukuh sebaik dia mendapat tahu Zawiya kembali bersendiri.

*******

Zaliah lepas keluh panjang sambil menoleh ke arah suaminya yang duduk di kerusi malas di sebelah. Dengan selesa suaminya memejamkan mata selepas naik daripada berendam dalam air laut di depannya. Zawiya yang sejak tadi berjalan di sepanjang gigi air masih belum kembali.

“Bang…”

Haji Kamil membuka mata. Dipandang wajah si isteri.

“Kenapa?”

“Kita nak jadi apa duduk dekat sini? Ayam itik dekat rumah tu terbiar. Pokok-pokok bunga saya tak bersiram.” Luah Zaliah akan kerunsingan hatinya kerana dipaksa Zawiya untuk turut sama bercuti. 

Baru minggu lepas mereka pulang dari Pulang Redang. Kini mereka di Langkawi pula.

“Yang awak susah hati kenapa? Kan saya dah upah budak Zahar tu tengok-tengokkan. Kita bukannya selalu dapat berjalan macam ni. Awak tak suka ke?” balas Haji Kamil yang kembali menutup mata selepas meneguk air mineral yang ada.

“Bukanlah tak suka. Tapi saya rasa dah lama sangat. Minggu lepas baru kita ikut dia ke Redang. Ni Langkawi. Minggu depan nak ke PD pulak. Kalau sehari dua, takpelah jugak. Ni sampai sebulan dia nak berjalan saja. Penat pun tak hilang lagi.”

“Apalah yang awak nak risaukan. Dia bawak kita berjalan, dia suruh berehat. Apa yang penatnya pulak. Satu sen belanja pun kita tak keluar. Dia mintak kita teman dia aje kan? Bukannya kerja susah pun.”

Zaliah lepas keluh berat. Itu memang diakui. Semua belanja dikeluarkan Zawiya sendiri. Makan minum sepanjang bercuti pun ditanggung Zawiya sepenuhnya. Dia dan suami tak perlu keluar sesen pun.

Dari kejauhan dia dah nampak susuk tubuh anaknya yang berjalan keseorangan. Belum pun sempat anaknya itu tiba, dia yang bingkas mendapatkan Zawiya. Mahu bercakap dari hati ke hati. Dia tahu anaknya itu cuba melarikan diri daripada apa yang sedang berlaku kini. Dia sendiri tak mahu memaksa dan memberi sebarang tekanan. Keputusan diserahkan bulat-bulat ke tangan anaknya itu. Bahagia Zawiya, bahagialah dia. Cuma dia tak mahu perkara yang sama berulang kembali.

“Mak, ayah mana?” tanya Zawiya sebaik susuk tubuh maknya tiba.

“Tu. Tidur lepas berendam dalam laut tu. Mengalahkan budak-budak.” Jawab Zaliah selamba.

Zawiya lepas gelak. Antara mak dengan ayahnya, dia boleh jadi geng ayah. Ayah akan layan semua kemahuannya termasuklah menaiki banana boat, jet ski dan juga snorkelling. Kata ayah, lepas duduk di kampung dengan mak, dia dah tak berpeluang cuba semua aktiviti air macam tu.

“Minggu depan mak tak naklah ikut Wiya pergi PD. Mak rasa macam dah lama sangat tinggal rumah tu. Ayam itik terbiar.” Luah Zaliah akan kerunsingan hati.

“Alaa… Bukan selalu Wiya dapat cuti panjang macam ni mak… Ayah tu okey aje Wiya tengok.”

Zaliah lempar jeling ke arah suaminya di kerusi malas sana.

“Ayah… Apa yang dia tak suka? Semua dia suka. Lagi-lagi bercuti satu sen tak payah keluar macam ni kan?”

Zawiya lepas gelak lagi. Masa dia bagi tahu ayah yang dia mahu bercuti panjang dan bawak mak ayah bersama, ayah yang paling teruja. Tak lekang ayah sengih. Katanya dah lama tak pergi bercuti macam tu.

“Wiya…”

Zawiya menoleh.

“Wiya dah buat keputusan?” Zaliah terus menukar topik.

Senyum di bibir Zawiya terus mengendur.

“Mak tahu Wiya tak nak lukakan hati siapa-siapa. Tapi Wiya takde pilihan kan? Salah seorang kena terima hakikat.” Sambung Zaliah menasihati.

“Wiya dah buat keputusan pun mak. Dan Wiya harap sangat, semua orang dapat terima keputusan Wiya ni.” Jawab Zawiya perlahan.

Zaliah paut rapat bahu anaknya itu.

“Mak dengan ayah sokong apa pun keputusan Wiya. Dua-dua mak suka walaupun yang seorang tu pernah lukakan hati anak mak ni. Yang sorang tu pulak dah lama sangat tunggu. Mak yakin dua-dua boleh bahagiakan anak mak ni. Cuma sekarang ni, terpulang pada hati Wiya. Mana yang hati Wiya pilih, itulah yang terbaik untuk Wiya nanti. Terbaik untuk mak dengan ayah. Insya-Allah…”

Zawiya tarik senyum. Pautan maknya dibalas. Didaratkan bibirnya ke pipi Zaliah sekilas. Kata-kata maknya itu membuatkan dia lebih yakin dengan keputusan yang dah dibuat. Biarlah apa pun orang kata. Itu yang terbaik. Kebahagiaannya bukan terletak pada kata-kata orang. Semua pada dirinya sendiri. Dan paling penting, atas izin-Nya. Sekali lagi akan dipertaruhkan hati dan perasaannya buat insan bergelar lelaki.  


Mungkin untuk sekali lagi_part 13


“Tambah lagi ketupat tu Rif. Banyak lagi mak rebus pagi tadi.” Pelawa Zaliah sambil menambah serunding ayam ke dalam mangkuk. Dia tahu itu kegeraman bekas menantunya setiap kali tiba hari raya.

“Bukan kelmarin Wiya ada hantar serunding tu dekat rumah abang ke?” celah Zawiya bersama jelingan sekilas.

“Dah habis. Abang tak sempat rasa pun.” Jawab Arif selamba bersama sengih.

Zawiya cebik. Dia tahu adik-beradik Arif juga turut suka akan serunding ayam yang dibuat. Dan kebetulan tahun ini giliran semuanya balik beraya ke sini.

“Apa tak datang aje sini ambik lagi? Wiya memang masak banyak tahun ni.” Sahut Zaliah.

“Ada orang tu tak bagi mak. Malulah nak datang mintak.” Jawab Arif dengan sengih lebar. Tapi sekali lagi Zawiya lempar jeling tajam.

“Tu bunyi kereta dekat luar tu. Dah sampai agaknya. Cuba kamu pergi tengok dekat depan tu Wiya. Ayah kamu dah keluar pergi ambil lemang tadi.” Ujar Zaliah lagi bila terdengar derum enjin kereta masuk ke halaman rumah.

Zawiyah berlalu ke depan.

“Siapa yang nak datang hari ni mak?” tanya Arif dengan rasa ingin tahu.

“Bos Si Wiya tu haa…”

Berkerut wajah Arif. Bingkas dia daripada kerusi meja makan dan menjengah dari pintu dapur. Ada tiga buah kereta mewah yang terjalar di halaman dan dia kenal semuanya kepunyaan keluarga Datuk Haziq. Setahunya, keluarga Datuk Haziq belum pernah datang beraya seawal 2 syawal itu. Kebiasaannya hanya datang lepas seminggu raya.

“Mak, ada apa-apa ke hari ni?” soalnya sebaik kembali duduk. Hatinya rasa kurang senang seperti ada sesuatu yang bakal berlaku hari itu. Lebih-lebih lagi bila dia nampak kelibat seseorang.

“Takde apalah Rif. Budak nama Danny yang dah lama tak balik beraya tu teringin nak beraya dekat kampung. Dah bertahun-tahun tak merasa ketupat lemang katanya. Tu yang pagi-pagi lagi mak masak lagi ketupat tu ha..” jelas Zaliah.

Bertambah kerut di wajah Arif. Sukar dia nak percaya meskipun ada kebenarannya. Dia tahu Danial terlalu lama tak pulang ke tanah air dan tidak hairan jika lelaki itu teringin makan juadah wajib di hari lebaran. Yang meragukannya, zaman sekarang dekat bandar pun dah boleh dapat semua tu. Tak semestinya  cuma di kampung. Mungkin suasananya saja yang berbeza.

“Kamu kenal Danny tu kan?” tambah Zaliah.

“Kenal mak.” Ada senyum hambar terhias di bibirnya.

“Haa Wiya. Dah jemput masuk?”

Zawiya kembali muncul di ruang dapur.

“Dah mak. Mak pergilah depan. Biar Wiya siapkan ni semua.” Balas Zawiya lantas lincah tangannya menyusun gelas ke dalam dulang.

“Dah siap nanti terus bawak ke depan. Lauk-lauk semua tadi mak dah siapkan atas meja depan tu.” Pesan Zaliah sebelum terus berlalu ke ruang depan.

Arif pandang tak lepas. Ringan mulutnya mahu bertanya namun ditahan. Tetamu yang hadir perlu didahulukan.

“Abang tak nak pergi ke depan ke jumpa Datuk Haziq? Tadi dia ada tanya pasal abang.” Ujar Zawiya sambil menuang jus laici yang siap dibancuh ke dalam jag kaca tersedia.

“Datuk tahu abang ada dekat sini?” Berkerut lagi wajah Arif.

“Dah kereta abang terconggok dekat depan tu, mestilah dia tahu abang ada dekat sini.”

Arif garu kepalanya yang tak gatal. Ikut hati dia tak mahu bertembung muka dengan Danial.  

“Abang pergilah jumpa dia sekejap.”

Arif lepas hela pendek.

“Yelah yelah.” Balasnya berat sebelum melangkah ke depan.

Mata bertembung dengan Danial sebaik kaki memijak lantai ruang tamu. Bibir dipaksa mengoyak senyum buat semua mata yang memandang. Salam dihulur penuh hormat buat Datuk Haziq. Dan saat salam bersatu dengan Danial, tangannya terasa digenggam kemas. Sekali lagi renungan bersatu sebagai ganti bicara yang hanya mereka fahami.
…………..

“Aku tak sangka boleh jumpa kau dekat sini. Yelah… Kau dengan Wiya kan dah…” Ada senyum nipis terbentuk di bibir Danial. Dipkerling sisi wajah Arif yang tenang mengadap bendang yang baru bertuai.

“Aku dengan Wiya memang dah takde apa-apa. Tapi rasanya tak salah kalau aku nak datang. Macam kau datang hari ni.” Balas Arif setenang mungkin.

Danial senyum lagi. Dipusingkan tubuh mengadap Arif.

“Macam ni la Arif. Biar aku terus terang dengan kau. Kau pun tahu aku memang jenis tak suka nak cakap ayat berbunga-bunga dengan segala maksud tersirat tersurat sampai orang susah nak faham. Straight to the point. Aku datang sini, dengan family aku sebab nak melamar Wiya.” Jelasnya tanpa berselindung.

Arif menoleh laju. Hatinya disapa debar dengan apa yang baru saja menyapa gegendang telinga. Tak menyangka telahannya sejak awal tadi benar belaka.

“Aku tahu kau ada lamar Wiya minggu lepas. Tapi dia belum bagi jawapan kan?” sambung Danial membuatkan hela berat terlepas di bibir Arif. Kembali dia buang panjang ke tanah bendang yang kering.

“Aku tahu, harapan untuk Wiya pilih aku memang sangat tipis. Tapi selagi dia tak buat keputusan, aku tetap ada peluang.” Lanjut Danial yakin.

Arif menoleh sekilas bersama senyum paksa.

“Aku sedia terima apa pun keputusan Wiya, Danny. Dan aku nak kau pun macam tu juga. Biar dia yang tentukan kebahagiaan dia tanpa ada paksaan dari mana-mana pihak pun.”

Danial angguk beberapa kali. Setuju. Namun dalam hati dia tetap berdoa agar Zawiya memberinya peluang yang sama banyak seperti mana Arif.

“Ehem…”

Dehaman panjang di belakang menyebabkan kedua-duanya menoleh.

“Abang, kalau dah takde apa-apa lagi, boleh tak abang balik dulu? Kirim salam mak dengan bapak. Insya-Allah kalau takde apa hal, malam ni Wiya datang rumah.”

Arif pandang Danial bersama senyum nipis. Tangan dihulurkan sebelum dia terus berlalu. Bukan terasa hati dengan permintaan wanita itu. Tetapi lebih kepada menghormati. Dia tahu keadaan terasa agak kekok untuk mereka bertiga. Salah seorang perlu berundur untuk waktu itu.

“Berborak apa tadi?” tanya Zawiya sebaik bayang kereta Arif hilang daripada pandangan.

“Takde apa. Borak kosong.” Balas Danial dalam senyum.

“You tahu I takkan percaya kan?” Kening Zawiya terangkat sebelah.

“Terpulang.”

“Okey. I decide tak nak percaya. I tahu you all cakap pasal I.”

“Kalau you dah tahu, kenapa tanya hm? Of course kita orang cakap pasal you. You tahu I dengan dia…”

Zawiya tegakkan tapak tangan. Sungguh dia tak mampu dengar ayat yang seterusnya. Dia bukanlah siapa-siapa untuk direbutkan tambahan lagi hanyalah wanita yang serba kurang. Dia bukan bidadari yang layak untuk direbut-rebutkan.

“You tak rasa ke you dengan dia sekarang ni tengah buat kerja yang sia-sia?” luahnya bersama rasa yang kurang senang. Tambahan pula Datuk Haziq sudah pun memaklumkan hajat hati lelaki di depannya ini sebentar tadi.

“Siapa kata I buat kerja yang sia-sia? Tapi Arif I tak tahulah.” Danial sengih.

Zawiya ketap bibir.

“Danny, I seriuslah!”

“I selalu serius, Wiya. You tu yang selalu ingat I tak pernah serius dengan apa yang I buat. You ingat, I nak kahwin dengan you pun benda main-main. Dari dulu I setia tunggu you Wiya…” Danial lepas keluh panjang. Diam seketika. “I tahu you belum buat apa-apa keputusan pun. Tapi I nak you tahu, I takkan pernah paksa dan tak nak you rasa terpaksa untuk terima I walaupun I sedar peluang I takkan sama macam mana peluang yang you bagi pada Arif.” Nafas panjang dilepaskan lagi. “Tolong fikir baik-baik Wiya. Ambillah berapa banyak masa yang you nak. I tunggu dan I sedia terima apa-apa pun keputusan you. Cuma satu aje yang I harap… Siapa pun pilihan you nanti, I tak nak you rasa menyesal.” Sambungnya penuh mengharap.

Zawiya kemam bibir. Tersentuh hatinya. Sepertu dulu, keluhuran hati Danial memang tak mampu disangkal lagi. Tinggal kini, soal hatinya. Saban malam tak henti dia berdoa agar diberi ketenangan dan petunjuk supaya pilihan yang bakal dibuat akan memberi kebahagiaan dan terbaik untuk semua yang berada di sampingnya.


Mungkin untuk sekali lagi_part 12


“Su!” Zawiya lajukan langkah cuba menyaingi langkah Suraya di depan. Dia perasan sejak akhir-akhir itu bayang Suraya sukar dilihat di pejabat. Beberapa kali dia turun ke jabatan wanita tersebut dalam sehari. Namun Suraya seperti sengaja mengelakkan diri.

“Su!” Disambar lengan Suraya sebaik langkah wanita itu berjaya dipintas. “Su, aku panggil dari tadi. Kau tak dengar ke?” soalnya dengan sedikit mengah.

“Er.. Sorry Wiya. Aku tak perasan. Nak cepat ni.” Jawab Suraya dengan senyum kelat seraya buat-buat kerling jam di pergelangan. Fail di tangan didakap erat. “Ada apa kau cari aku?” Setenang mungkin.

“Takde apa yang penting. Saja cari kau. Dah lama sangat kita tak berborak sama-sama. Selalu tu, aku tengok kau busy sangat.”

“Nak cuti panjang kan? Memang sibuklah Wiya. Kau pun mesti sibuk kan?”

“Sibuk tu memanglah sibuk. Tapi takdelah macam kau. Sampai nak jumpa aku pun dah tak sempat. Selalu tu, ada aje kau cari aku. Tapi dalam bulan puasa ni, sekalipun kita tak pernah berbuka sama-sama lagi kan?”

“Aku kan selalu berbuka dengan Abang Arif. Kau pun berbuka dengan Danny. Kadang-kadang ikut Datuk.” Sekali lagi Suraya lepas senyum kelat.

“Tu aku tahu. Tapi kenapa aku rasa kau macam nak elak dari jumpa aku?”

Suraya senyum lagi seraya kembali buka langkah. Tapi tidak selaju tadi.

“Su, kalau kau ada masalah kau boleh cakap dengan aku. Bukan elakkan diri macam ni. Atau… aku ada buat salah pada kau? Kalau aku ada buat salah, aku mintak maaf Su.” Sambung Zawiya sedikit risau dengan kebisuan gadis itu.

Suraya lepas hela berat. Langkah diberhentikan di hadapan pintu lif yang masih tertutup. Dipandang wajah gebu Zawiya di sebelah. Nafas disedut dalam-dalam dan dilepaskan perlahan-lahan. Cuba mengumpul kekuatan untuk meluahkan apa yang terbuku di hatinya beberapa hari itu.

“Wiya…  Tolong terima Abang Arif balik.” Ucapnya tenang. Tak berselindung lagi.

Wajah Zawiya berlapis.

“Kau cakap apa ni?”

Suraya paksa bibirnya memaniskan senyum.

“Sepatutnya dari awal lagi aku tak patut terima cadangan kau untuk kenal dengan Abang Arif.”

“Su, aku tak faham. Apa sebenarnya yang kau cuba cakap ni?” Bertambah garis di wajah Zawiya bersama debar yang mengiringi.

“Hati Abang Arif bukan untuk aku Wiya.” Jelas Suraya tak berdalih lagi.

“Habis untuk siapa? Dia ada perempuan lain?”

Suraya geleng.

“Dalam hati dia cuma ada kau, Wiya. Dan aku yakin tak pernah sekalipun berubah dari dulu lagi.”

Zawiya pula menggeleng. Seperti tak percaya dengan apa yang didengari.

“Abang Arif dah cakap apa dengan kau sebenarnya Su? Selama ni aku dengan Abang Arif…”

“Suka sama suka tapi tak pernah sekalipun nak luahkan? Betul tak?” pintas Suraya.

Zawiya terkedu. Suraya paut bahunya.

“Belum terlambat lagi Wiya. Dari awal aku kenal Abang Arif, aku dah dapat rasa hati dia bukan untuk aku. Dan dia tak bersungguh-sungguh pun nak kenal dengan aku sebenarnya. Sebelum jadi apa-apa, aku rasa ini yang terbaik untuk aku, untuk kau dengan Abang Arif. Aku tak nak, kita sama-sama menyesal di kemudian hari.” Lanjut Suraya penuh makna.

“Su…”

Pintu lif terbuka. Suraya terus melangkah masuk tanpa mengucap sebarang kata lagi.

Zawiya pandang tak lepas. Dia nampak garis kesedihan di wajah temannya itu walaupun ada senyum yang terhias.

*******
Dari jauh lagi Zawiya nampak Arif dah tersengih-sengih bersandar di tepi kereta. Rengus halus dilepaskan seraya langkah panjang dibuka. Ada perkara penting yang mahu diluahkan dan diselesaikan hari itu juga.

“Assalamualaikum sayang.” Sapa Arif dengan senyum meleret.

Zawiya lempar jeling. Tanpa sebarang kata dia terus masuk ke ruang penumpang. Arif masuk ke ruang pemandu.

“Kenapa nak marah-marah ni? Wiya yang nak jumpa abang sangat kan? Memang jumpa abang semata-mata nak marah ke macam mana?” ujarnya lembut. Melihat ketegangan yang terpamer dia seperti dapat meneka apa yang berlaku. Suraya sudah pun memaklumkan kepadanya tadi.

“Abang ingat, Wiya suka-suka nak jumpa abang kalau tanpa sebab?” balas Zawiya geram. Geram kerana dia rasa bersalah apa yang berlaku ke atas Suraya. Terasa dia seperti dah mempermainkan hati dan perasaan sahabatnya itu.

Arif kekal senyum. Tenang. Stereng kereta dipulas. Ke destinasi tempat berbuka puasa yang dah dipilih sejak awal tadi sebaik Zawiya menghubunginya.

“Abang memang macam orang tak bersalah kan?” tempelak Zawiya bila perasan akan senyum yang tak lekang.

“Abang dah buat salah apa?” balas Arif seraya kerling sekilas.

Pap!

Zawiya layangkan tapak tangannya ke lengan lelaki itu sekali.

“Abang jangan buat-buat tak tahu boleh tak?” Marahnya.

Arif langsung matikan senyum.

“Okey-okey. Abang tahu abang salah. Tapi Wiya pun sama-sama salah.” Balasnya kekal tenang.

“Kenapa Wiya pulak salah?”

“Wiya yang kenalkan Suraya pada abang. Abang dah tanya awal-awal hari tu pada Wiya kan? Kenapa Wiya kenalkan Suraya? Wiya cakap Suraya yang paling sesuai.”

“Memang dia yang paling sesuai untuk abang. Masalahnya sekarang ni, kenapa abang buat Su macam tu?”

Arif lepas hela perlahan.

“Cuba Wiya cakap dengan abang, Wiya rasa boleh tak Su bahagia kalau kahwin dengan abang sedangkan hati abang ni pada orang lain?” soalnya penuh makna.

Zawiya terdiam. Dipalingkan wajah ke tepi tingkap. Rengus terlepas lagi.

“Wiya nak kawan baik Wiya tu terseksa hidup dengan abang?” tanya Arif lagi.

“Abang jangan bagi alasan boleh tak?” tingkah Zawiya.

“Tu bukan alasan Wiya. Ni melibatkan hati dan perasaan abang dengan Suraya. Abang tak nak tanggung dosa di kemudian hari. Abang tak layak untuk Suraya. Ada lelaki yang jauh lebih layak untuk perempuan baik macam dia.” Tegas Arif.

Zawiya lepas rengus halus.

Arif kerling sekilas. Hela panjang dilepaskan.

“Wiya…” serunya lembut namun wanita itu langsung tak berpaling. “Kalau Wiya nak terus marah abang, Wiya marahlah. Cuma abang rasa, ni yang terbaik untuk abang dengan Suraya. Dia berhak dapatkan bahagia dia. Macam tu jugak abang. Abang berhak pilih bahagia abang. Dan bahagia abang bukan dengan Suraya.” Luahnya.

“Kalau bukan Suraya, abang nak cakap bahagia abang dengan Wiya?” tingkah Zawiya tak berlapik.

“Yes. Cuma dengan Wiya.” Jawab Arif cukup yakin.

“Dah lima tahun bang. Kenapa baru sekarang?”

“Sebab selama ni abang bodoh.”

Zawiya toleh. Cuba membaca riak yang terpamer di wajah lelaki itu.

“Abang tahu, abang dah banyak buang masa. Dan mungkin abang dah terlambat nak cakap semua ni.” Luah Arif sesekali menoleh ke sisi tanpa mengabaikan sedikit pun fokus dalam pemanduannya. “Abang mengaku yang selama ni hati abang tak pernah berubah pun untuk Wiya. Abang dah cuba lupakan Wiya, cuba terima orang lain… Tapi…” Nafas berat dilepaskan. Dipandang lagi wajah Zawiya di sebelah sekilas. “Abang tahu, apa-apa pun yang abang cakap, Wiya susah nak percaya. Tapi abang dah buat keputusan, Wiya.” Mata kerling sekilas lagi sebelum kereta berhenti di lampu isyarat. Nafas ditarik dalam-dalam.

Zawiya mula menahan debar walaupun dia dapat meneka apa yang bakal terluah di bibir lelaki itu.

“Mungkin untuk sekali lagi, sudi tak Wiya jadi isteri abang?” ujar Arif sepenuh hati.

Zawiya alih muka ke tepi. Buat kali kedua Arif melamarnya dan ia bukanlah mengundang perasaan yang sama ketika kali pertama dilamar hampir 10 tahun lalu. Rasanya cukup berbeza. Mempertaruhkan seluruh hidup buat lelaki yang pernah mengecewakannya dulu bukanlah satu keputusan yang mudah meskipun hati pernah meletakkan harapan setinggi gunung agar mereka kembali bersatu sebelum ini. Mampukah dia benar-benar menerima kembali Arif? Adakah dia cukup bersedia untuk melaluinya sekali lagi? Macam mana pula dengan hati seseorang yang sudah lama menantinya?



Mungkin untuk sekali lagi_part 11


Zawiya berkerut sebaik berdiri di depan keretanya. Kepala menoleh ke kiri dan ke kanan beberapa kali. Kawasan parkir yang agak sunyi itu mengundang sedikit rasa risau memandangkan dah banyak kes kecurian dan ragut yang berlaku. Mujur pengawal keselamatan yang bertugas hari itu Pak Man Sado. Kurang sedikit kerisauan yang ada. Dipandang lagi objek yang tertampal di cermin keretanya. Sekuntum ros merah bersama sekeping kad.

Miss you!

Mulutnya mencebik baca aksara yang tertulis sebelum terus masuk ke dalam kereta. Laju dia keluarkan telefon dari beg tangan dan serentak itu ada panggilan masuk. Rengus halus terlepas sebelum panggilan disambungkan.

“Hm. Apa mimpi malam tadi?” tebaknya terus sebaik salam dijawab.

“Abang mimpi Wiya.”

Zawiya cebik.

“Abang jangan main-main boleh tak? Sejak bila pandai main bunga-bunga ni? Dulu masa kita kahwin, sekalipun abang tak pernah beli bunga. Sejak bila pandai jadi mat bunga ni?” sindirnya selamba kerana memang itulah hakikatnya. Dia kenal Arif dan dia tahu Arif bukan kaki bunga. Lelaki itu cukup alergi dengan kedai bunga. Dulu dia pernah minta dibelikan bunga.  Tapi sekalipun Arif tak tunaikan. Katanya, dia malu nak masuk kedai bunga. Arif lagi sanggup belikan benda lain asalkan bukan bunga.

“Abang jadi mat bunga untuk Wiya aje.” Balas suara di hujung talian menyebabkan sekali lagi Zawiya lepas cebik.

“Abang, boleh tolong serius sikit tak?”

“Abang seriuslah ni. Abang rindu Wiya. That’s it.”

Zawiya lepas gelak yang jelas dibuat-buat.

“Tak kelakarlah bang.”

“Siapa kata abang buat kelakar?”

Zawiya lepas rengus halus.

“Apa yang abang nak sebenarnya ni? Kan lagi baik abang bagi Su bunga. Bukannya Wiya!” Dia juling mata.

“Suka hati abanglah nak bagi siapa pun bunga tu. Abang pilih nak bagi Wiya.”

Zawiya terus cebik.

Tok! Tok! Tok!

Zawiya tekap tangan ke dada. Terkejut dengan ketukan yang tiba-tiba di cermin tangkap keretanya. Sempat dilemparkan jeling ke arah tetamu yang tak diundang sebelum dia bagi isyarat agar tetamu tersebut masuk ke dalam keretanya.

“Wiya!” Suara Arif masih kedengaran lagi di hujung talian.

“Abang, Wiya ada hal ni. Okeylah bye!” Dia mahu segera putuskan talian tapi telefon kembali terekap di telinga bila suara Arif kembali kedengaran.

“Wiya nak pergi berbuka ni. Abang nak apa lagi?” soalnya dengan mata tak lepas pandang tetamu yang sudah duduk selesa di sebelahnya. Atas bawah dipandang apabila perasan akan sepasang baju yang dipakai.

“Cakap ajelah you nak keluar dating dengan I.” ujar Danial di sisi bersama sengih yang melebar.

“Danial ada dengan Wiya ke?”

Zawiya lepas hela pendek.

“Ya. Wiya dengan dia. Nak pergi berbuka ni. Okeylah. Assalamualaikum.” Talian terus diputuskan bersama jeling dilemparkan ke arah Danial.

“You buat apa dekat sini? You kan masuk ofis lepas raya nanti.” Soalnya tak puas hati dengan kemunculan tiba-tiba lelaki itu.

“Dari tadi I tunggu you tahu tak? Apa yang lambat sangat you keluar? Banyak sangat ke kerja yang papa I bagi?” Danial pulangkan soalan juga.

“Dah nama pun kuli. Dah tentulah I ada kerja. Yang you tu?” Jelingan dihadiahkan lagi.

“Cik Zawiya. I ni pun bakal jadi kuli aje. So, untuk hari ni I terima arahan dari papa I untuk pergi jemputan majlis berbuka puasa dekat hotel depan sana. Dia suruh I ganti dia. Tapi lupa dia nak bagi tahu you tadi.” Jelas Danial sambil membetulkan songkok yang dipakai. Lengkap bersama baju melayu warna merah cili berserta samping songket hitam.

“Habis tu, kenapa tak terus pergi aje? Kenapa singgah ke sini pulak?” soal Zawiya masih tak puas hati.

“Sebab papa suruh ajak you sekali.” Danial sengih lebar lagi. Keningnya terangkat-angkat.

“Eh, kenapa pulak I? I tak prepare apa pun la. I pakai baju ni dari pagi tadi tahu tak?”

Danial pandang atas bawah baju kurung moden yang tersarung di tubuh wanita itu. Mata Zawiya ikut terhala ke arah tubuhnya.

“You bukannya kerja angkat berat-berat sampai berpeluh kan? Baju you tu dah cukup sesuai. Warna pun dah sepadan dengan baju I. Cuma muka you tu, touch up sikit. Nampak pucat.” Komen Danial. Padanya, Zawiya dah cukup sempurna di mata. Tak perlu pun solekan tebal berinci-inci.
Zawiya pegang mukanya sendiri sebelum dipandang ke dalam cermin pandang belakang.

“You dah cukup cantik dekat mata I Wiya.” Puji Danial ikhlas.

Zawiya cepat-cepat hal pandang ke arah lain. Pipi terasa hangat.

“Miss you.”

Zawiya menoleh. Terus dirampas kad kecil pemberian Arif dari tangan Danial.

“Sorry. Tak sengaja baca. Terbukak kan? I baca ajelah.” Danial sengih tanpa rasa bersalah.

Zawiya terus lempar kad bersama sekuntum bunga ros tadi ke tempat duduk belakang.

“Kalau marah pun, janganlah baling bunga yang tak bersalah tu. Penat-penat Arif datang hantar bunga tu tadi.” Giat Danial sengaja. Selama dia menanti di parkir tu tadi, memang dia nampak Arif yang meletakkan bunga tersebut.

Zawiya ketap bibir.

“Apa kata you keluar sekarang? Ada jemputan berbuka puasa kan? Nanti lambat pulak you sampai.” Ujarnya bersama jeling tajam.

Danial geleng.

“I cakap apa tadi? Papa suruh ajak you kan? So, I kena pergi dengan you. No excuse sebab I tak tahu langsung pasal majlis hari ni. Papa cuma cakap majlis berbuka puasa dengan anak-anak yatim. You mesti tahu pasal majlis tu kan?”

Zawiya lepas hela panjang. Memang dia dah takde pilihan.

“Fine! I pergi. Tapi boleh tak you pergi dulu? I ikut belakang.”

Danial geleng lagi.

“Kita pergi sama-sama.” Tegas.

“Takkan you nak pergi naik kereta I ni? You naiklah kereta you. You ada kereta kan?” tingkah Zawiya dengan mata meliar ke sekeliling mencari kereta yang dimaksudkan walaupun sebenarnya dia tak pasti lelaki itu menaiki kereta apa. Dia cuma kenal kereta rasmi Datuk Haziq dan Datin Azra serta anak-anaknya yang lain. Tapi bukan kereta Danial. Dulu Danial lebih senang guna kereta ahli keluarganya yang lain dari punya kereta sendiri.

“You tak payahlah cari kereta I. Tadi I datang dengan Pak Osman. Tapi I dah suruh dia balik berbuka dengan family dia dari dia tunggu I.” jawab Danial selamba.

“Habis tu, you nak pergi naik kereta I ni?”

“Why not?”

“Danny, you VIP tahu tak?”

“So? VIP tak boleh naik kereta Myvi ke?”

“Bukanlah macam tu…”

“Habis tu?”

“You kan wakil Datuk. Nanti kalau orang nampak you keluar dari kereta I ni… Mesti orang ingat you ni…”

“Bukan anak Datuk? Tak layak gantikan tempat Datuk?” celah Danial terus.

 “I tak cakap macam tu…”

“Wiya, you kenal I macam mana kan? I tak pernah berubah Wiya. I lagi suka orang tak tahu siapa I. Semua tu tak penting pun untuk I. Sekadar menumpang nama dan pangkat yang papa I ada, bukan sampai ke mana pun. I tetap manusia biasa macam you.”

Zawiya hempas nafas berat. Malas dia nak bersoal jawab lagi. Stereng terus dipusing keluar dari petak parkir.

Sikap Danial yang memang langsung tak peduli akan status dan kedudukan yang ada, memang mengagumkannya sejak dulu lagi. Satu-satunya sikap Danial yang membuatkan dia cukup menyenangi lelaki itu sejak awal walaupun kadang-kadang tindakannya sukar diramal.