Aug 25, 2017

Mungkin untuk sekali lagi_part 13


“Tambah lagi ketupat tu Rif. Banyak lagi mak rebus pagi tadi.” Pelawa Zaliah sambil menambah serunding ayam ke dalam mangkuk. Dia tahu itu kegeraman bekas menantunya setiap kali tiba hari raya.

“Bukan kelmarin Wiya ada hantar serunding tu dekat rumah abang ke?” celah Zawiya bersama jelingan sekilas.

“Dah habis. Abang tak sempat rasa pun.” Jawab Arif selamba bersama sengih.

Zawiya cebik. Dia tahu adik-beradik Arif juga turut suka akan serunding ayam yang dibuat. Dan kebetulan tahun ini giliran semuanya balik beraya ke sini.

“Apa tak datang aje sini ambik lagi? Wiya memang masak banyak tahun ni.” Sahut Zaliah.

“Ada orang tu tak bagi mak. Malulah nak datang mintak.” Jawab Arif dengan sengih lebar. Tapi sekali lagi Zawiya lempar jeling tajam.

“Tu bunyi kereta dekat luar tu. Dah sampai agaknya. Cuba kamu pergi tengok dekat depan tu Wiya. Ayah kamu dah keluar pergi ambil lemang tadi.” Ujar Zaliah lagi bila terdengar derum enjin kereta masuk ke halaman rumah.

Zawiyah berlalu ke depan.

“Siapa yang nak datang hari ni mak?” tanya Arif dengan rasa ingin tahu.

“Bos Si Wiya tu haa…”

Berkerut wajah Arif. Bingkas dia daripada kerusi meja makan dan menjengah dari pintu dapur. Ada tiga buah kereta mewah yang terjalar di halaman dan dia kenal semuanya kepunyaan keluarga Datuk Haziq. Setahunya, keluarga Datuk Haziq belum pernah datang beraya seawal 2 syawal itu. Kebiasaannya hanya datang lepas seminggu raya.

“Mak, ada apa-apa ke hari ni?” soalnya sebaik kembali duduk. Hatinya rasa kurang senang seperti ada sesuatu yang bakal berlaku hari itu. Lebih-lebih lagi bila dia nampak kelibat seseorang.

“Takde apalah Rif. Budak nama Danny yang dah lama tak balik beraya tu teringin nak beraya dekat kampung. Dah bertahun-tahun tak merasa ketupat lemang katanya. Tu yang pagi-pagi lagi mak masak lagi ketupat tu ha..” jelas Zaliah.

Bertambah kerut di wajah Arif. Sukar dia nak percaya meskipun ada kebenarannya. Dia tahu Danial terlalu lama tak pulang ke tanah air dan tidak hairan jika lelaki itu teringin makan juadah wajib di hari lebaran. Yang meragukannya, zaman sekarang dekat bandar pun dah boleh dapat semua tu. Tak semestinya  cuma di kampung. Mungkin suasananya saja yang berbeza.

“Kamu kenal Danny tu kan?” tambah Zaliah.

“Kenal mak.” Ada senyum hambar terhias di bibirnya.

“Haa Wiya. Dah jemput masuk?”

Zawiya kembali muncul di ruang dapur.

“Dah mak. Mak pergilah depan. Biar Wiya siapkan ni semua.” Balas Zawiya lantas lincah tangannya menyusun gelas ke dalam dulang.

“Dah siap nanti terus bawak ke depan. Lauk-lauk semua tadi mak dah siapkan atas meja depan tu.” Pesan Zaliah sebelum terus berlalu ke ruang depan.

Arif pandang tak lepas. Ringan mulutnya mahu bertanya namun ditahan. Tetamu yang hadir perlu didahulukan.

“Abang tak nak pergi ke depan ke jumpa Datuk Haziq? Tadi dia ada tanya pasal abang.” Ujar Zawiya sambil menuang jus laici yang siap dibancuh ke dalam jag kaca tersedia.

“Datuk tahu abang ada dekat sini?” Berkerut lagi wajah Arif.

“Dah kereta abang terconggok dekat depan tu, mestilah dia tahu abang ada dekat sini.”

Arif garu kepalanya yang tak gatal. Ikut hati dia tak mahu bertembung muka dengan Danial.  

“Abang pergilah jumpa dia sekejap.”

Arif lepas hela pendek.

“Yelah yelah.” Balasnya berat sebelum melangkah ke depan.

Mata bertembung dengan Danial sebaik kaki memijak lantai ruang tamu. Bibir dipaksa mengoyak senyum buat semua mata yang memandang. Salam dihulur penuh hormat buat Datuk Haziq. Dan saat salam bersatu dengan Danial, tangannya terasa digenggam kemas. Sekali lagi renungan bersatu sebagai ganti bicara yang hanya mereka fahami.
…………..

“Aku tak sangka boleh jumpa kau dekat sini. Yelah… Kau dengan Wiya kan dah…” Ada senyum nipis terbentuk di bibir Danial. Dipkerling sisi wajah Arif yang tenang mengadap bendang yang baru bertuai.

“Aku dengan Wiya memang dah takde apa-apa. Tapi rasanya tak salah kalau aku nak datang. Macam kau datang hari ni.” Balas Arif setenang mungkin.

Danial senyum lagi. Dipusingkan tubuh mengadap Arif.

“Macam ni la Arif. Biar aku terus terang dengan kau. Kau pun tahu aku memang jenis tak suka nak cakap ayat berbunga-bunga dengan segala maksud tersirat tersurat sampai orang susah nak faham. Straight to the point. Aku datang sini, dengan family aku sebab nak melamar Wiya.” Jelasnya tanpa berselindung.

Arif menoleh laju. Hatinya disapa debar dengan apa yang baru saja menyapa gegendang telinga. Tak menyangka telahannya sejak awal tadi benar belaka.

“Aku tahu kau ada lamar Wiya minggu lepas. Tapi dia belum bagi jawapan kan?” sambung Danial membuatkan hela berat terlepas di bibir Arif. Kembali dia buang panjang ke tanah bendang yang kering.

“Aku tahu, harapan untuk Wiya pilih aku memang sangat tipis. Tapi selagi dia tak buat keputusan, aku tetap ada peluang.” Lanjut Danial yakin.

Arif menoleh sekilas bersama senyum paksa.

“Aku sedia terima apa pun keputusan Wiya, Danny. Dan aku nak kau pun macam tu juga. Biar dia yang tentukan kebahagiaan dia tanpa ada paksaan dari mana-mana pihak pun.”

Danial angguk beberapa kali. Setuju. Namun dalam hati dia tetap berdoa agar Zawiya memberinya peluang yang sama banyak seperti mana Arif.

“Ehem…”

Dehaman panjang di belakang menyebabkan kedua-duanya menoleh.

“Abang, kalau dah takde apa-apa lagi, boleh tak abang balik dulu? Kirim salam mak dengan bapak. Insya-Allah kalau takde apa hal, malam ni Wiya datang rumah.”

Arif pandang Danial bersama senyum nipis. Tangan dihulurkan sebelum dia terus berlalu. Bukan terasa hati dengan permintaan wanita itu. Tetapi lebih kepada menghormati. Dia tahu keadaan terasa agak kekok untuk mereka bertiga. Salah seorang perlu berundur untuk waktu itu.

“Berborak apa tadi?” tanya Zawiya sebaik bayang kereta Arif hilang daripada pandangan.

“Takde apa. Borak kosong.” Balas Danial dalam senyum.

“You tahu I takkan percaya kan?” Kening Zawiya terangkat sebelah.

“Terpulang.”

“Okey. I decide tak nak percaya. I tahu you all cakap pasal I.”

“Kalau you dah tahu, kenapa tanya hm? Of course kita orang cakap pasal you. You tahu I dengan dia…”

Zawiya tegakkan tapak tangan. Sungguh dia tak mampu dengar ayat yang seterusnya. Dia bukanlah siapa-siapa untuk direbutkan tambahan lagi hanyalah wanita yang serba kurang. Dia bukan bidadari yang layak untuk direbut-rebutkan.

“You tak rasa ke you dengan dia sekarang ni tengah buat kerja yang sia-sia?” luahnya bersama rasa yang kurang senang. Tambahan pula Datuk Haziq sudah pun memaklumkan hajat hati lelaki di depannya ini sebentar tadi.

“Siapa kata I buat kerja yang sia-sia? Tapi Arif I tak tahulah.” Danial sengih.

Zawiya ketap bibir.

“Danny, I seriuslah!”

“I selalu serius, Wiya. You tu yang selalu ingat I tak pernah serius dengan apa yang I buat. You ingat, I nak kahwin dengan you pun benda main-main. Dari dulu I setia tunggu you Wiya…” Danial lepas keluh panjang. Diam seketika. “I tahu you belum buat apa-apa keputusan pun. Tapi I nak you tahu, I takkan pernah paksa dan tak nak you rasa terpaksa untuk terima I walaupun I sedar peluang I takkan sama macam mana peluang yang you bagi pada Arif.” Nafas panjang dilepaskan lagi. “Tolong fikir baik-baik Wiya. Ambillah berapa banyak masa yang you nak. I tunggu dan I sedia terima apa-apa pun keputusan you. Cuma satu aje yang I harap… Siapa pun pilihan you nanti, I tak nak you rasa menyesal.” Sambungnya penuh mengharap.

Zawiya kemam bibir. Tersentuh hatinya. Sepertu dulu, keluhuran hati Danial memang tak mampu disangkal lagi. Tinggal kini, soal hatinya. Saban malam tak henti dia berdoa agar diberi ketenangan dan petunjuk supaya pilihan yang bakal dibuat akan memberi kebahagiaan dan terbaik untuk semua yang berada di sampingnya.


No comments: