Aug 25, 2017

Mungkin untuk sekali lagi_part 12


“Su!” Zawiya lajukan langkah cuba menyaingi langkah Suraya di depan. Dia perasan sejak akhir-akhir itu bayang Suraya sukar dilihat di pejabat. Beberapa kali dia turun ke jabatan wanita tersebut dalam sehari. Namun Suraya seperti sengaja mengelakkan diri.

“Su!” Disambar lengan Suraya sebaik langkah wanita itu berjaya dipintas. “Su, aku panggil dari tadi. Kau tak dengar ke?” soalnya dengan sedikit mengah.

“Er.. Sorry Wiya. Aku tak perasan. Nak cepat ni.” Jawab Suraya dengan senyum kelat seraya buat-buat kerling jam di pergelangan. Fail di tangan didakap erat. “Ada apa kau cari aku?” Setenang mungkin.

“Takde apa yang penting. Saja cari kau. Dah lama sangat kita tak berborak sama-sama. Selalu tu, aku tengok kau busy sangat.”

“Nak cuti panjang kan? Memang sibuklah Wiya. Kau pun mesti sibuk kan?”

“Sibuk tu memanglah sibuk. Tapi takdelah macam kau. Sampai nak jumpa aku pun dah tak sempat. Selalu tu, ada aje kau cari aku. Tapi dalam bulan puasa ni, sekalipun kita tak pernah berbuka sama-sama lagi kan?”

“Aku kan selalu berbuka dengan Abang Arif. Kau pun berbuka dengan Danny. Kadang-kadang ikut Datuk.” Sekali lagi Suraya lepas senyum kelat.

“Tu aku tahu. Tapi kenapa aku rasa kau macam nak elak dari jumpa aku?”

Suraya senyum lagi seraya kembali buka langkah. Tapi tidak selaju tadi.

“Su, kalau kau ada masalah kau boleh cakap dengan aku. Bukan elakkan diri macam ni. Atau… aku ada buat salah pada kau? Kalau aku ada buat salah, aku mintak maaf Su.” Sambung Zawiya sedikit risau dengan kebisuan gadis itu.

Suraya lepas hela berat. Langkah diberhentikan di hadapan pintu lif yang masih tertutup. Dipandang wajah gebu Zawiya di sebelah. Nafas disedut dalam-dalam dan dilepaskan perlahan-lahan. Cuba mengumpul kekuatan untuk meluahkan apa yang terbuku di hatinya beberapa hari itu.

“Wiya…  Tolong terima Abang Arif balik.” Ucapnya tenang. Tak berselindung lagi.

Wajah Zawiya berlapis.

“Kau cakap apa ni?”

Suraya paksa bibirnya memaniskan senyum.

“Sepatutnya dari awal lagi aku tak patut terima cadangan kau untuk kenal dengan Abang Arif.”

“Su, aku tak faham. Apa sebenarnya yang kau cuba cakap ni?” Bertambah garis di wajah Zawiya bersama debar yang mengiringi.

“Hati Abang Arif bukan untuk aku Wiya.” Jelas Suraya tak berdalih lagi.

“Habis untuk siapa? Dia ada perempuan lain?”

Suraya geleng.

“Dalam hati dia cuma ada kau, Wiya. Dan aku yakin tak pernah sekalipun berubah dari dulu lagi.”

Zawiya pula menggeleng. Seperti tak percaya dengan apa yang didengari.

“Abang Arif dah cakap apa dengan kau sebenarnya Su? Selama ni aku dengan Abang Arif…”

“Suka sama suka tapi tak pernah sekalipun nak luahkan? Betul tak?” pintas Suraya.

Zawiya terkedu. Suraya paut bahunya.

“Belum terlambat lagi Wiya. Dari awal aku kenal Abang Arif, aku dah dapat rasa hati dia bukan untuk aku. Dan dia tak bersungguh-sungguh pun nak kenal dengan aku sebenarnya. Sebelum jadi apa-apa, aku rasa ini yang terbaik untuk aku, untuk kau dengan Abang Arif. Aku tak nak, kita sama-sama menyesal di kemudian hari.” Lanjut Suraya penuh makna.

“Su…”

Pintu lif terbuka. Suraya terus melangkah masuk tanpa mengucap sebarang kata lagi.

Zawiya pandang tak lepas. Dia nampak garis kesedihan di wajah temannya itu walaupun ada senyum yang terhias.

*******
Dari jauh lagi Zawiya nampak Arif dah tersengih-sengih bersandar di tepi kereta. Rengus halus dilepaskan seraya langkah panjang dibuka. Ada perkara penting yang mahu diluahkan dan diselesaikan hari itu juga.

“Assalamualaikum sayang.” Sapa Arif dengan senyum meleret.

Zawiya lempar jeling. Tanpa sebarang kata dia terus masuk ke ruang penumpang. Arif masuk ke ruang pemandu.

“Kenapa nak marah-marah ni? Wiya yang nak jumpa abang sangat kan? Memang jumpa abang semata-mata nak marah ke macam mana?” ujarnya lembut. Melihat ketegangan yang terpamer dia seperti dapat meneka apa yang berlaku. Suraya sudah pun memaklumkan kepadanya tadi.

“Abang ingat, Wiya suka-suka nak jumpa abang kalau tanpa sebab?” balas Zawiya geram. Geram kerana dia rasa bersalah apa yang berlaku ke atas Suraya. Terasa dia seperti dah mempermainkan hati dan perasaan sahabatnya itu.

Arif kekal senyum. Tenang. Stereng kereta dipulas. Ke destinasi tempat berbuka puasa yang dah dipilih sejak awal tadi sebaik Zawiya menghubunginya.

“Abang memang macam orang tak bersalah kan?” tempelak Zawiya bila perasan akan senyum yang tak lekang.

“Abang dah buat salah apa?” balas Arif seraya kerling sekilas.

Pap!

Zawiya layangkan tapak tangannya ke lengan lelaki itu sekali.

“Abang jangan buat-buat tak tahu boleh tak?” Marahnya.

Arif langsung matikan senyum.

“Okey-okey. Abang tahu abang salah. Tapi Wiya pun sama-sama salah.” Balasnya kekal tenang.

“Kenapa Wiya pulak salah?”

“Wiya yang kenalkan Suraya pada abang. Abang dah tanya awal-awal hari tu pada Wiya kan? Kenapa Wiya kenalkan Suraya? Wiya cakap Suraya yang paling sesuai.”

“Memang dia yang paling sesuai untuk abang. Masalahnya sekarang ni, kenapa abang buat Su macam tu?”

Arif lepas hela perlahan.

“Cuba Wiya cakap dengan abang, Wiya rasa boleh tak Su bahagia kalau kahwin dengan abang sedangkan hati abang ni pada orang lain?” soalnya penuh makna.

Zawiya terdiam. Dipalingkan wajah ke tepi tingkap. Rengus terlepas lagi.

“Wiya nak kawan baik Wiya tu terseksa hidup dengan abang?” tanya Arif lagi.

“Abang jangan bagi alasan boleh tak?” tingkah Zawiya.

“Tu bukan alasan Wiya. Ni melibatkan hati dan perasaan abang dengan Suraya. Abang tak nak tanggung dosa di kemudian hari. Abang tak layak untuk Suraya. Ada lelaki yang jauh lebih layak untuk perempuan baik macam dia.” Tegas Arif.

Zawiya lepas rengus halus.

Arif kerling sekilas. Hela panjang dilepaskan.

“Wiya…” serunya lembut namun wanita itu langsung tak berpaling. “Kalau Wiya nak terus marah abang, Wiya marahlah. Cuma abang rasa, ni yang terbaik untuk abang dengan Suraya. Dia berhak dapatkan bahagia dia. Macam tu jugak abang. Abang berhak pilih bahagia abang. Dan bahagia abang bukan dengan Suraya.” Luahnya.

“Kalau bukan Suraya, abang nak cakap bahagia abang dengan Wiya?” tingkah Zawiya tak berlapik.

“Yes. Cuma dengan Wiya.” Jawab Arif cukup yakin.

“Dah lima tahun bang. Kenapa baru sekarang?”

“Sebab selama ni abang bodoh.”

Zawiya toleh. Cuba membaca riak yang terpamer di wajah lelaki itu.

“Abang tahu, abang dah banyak buang masa. Dan mungkin abang dah terlambat nak cakap semua ni.” Luah Arif sesekali menoleh ke sisi tanpa mengabaikan sedikit pun fokus dalam pemanduannya. “Abang mengaku yang selama ni hati abang tak pernah berubah pun untuk Wiya. Abang dah cuba lupakan Wiya, cuba terima orang lain… Tapi…” Nafas berat dilepaskan. Dipandang lagi wajah Zawiya di sebelah sekilas. “Abang tahu, apa-apa pun yang abang cakap, Wiya susah nak percaya. Tapi abang dah buat keputusan, Wiya.” Mata kerling sekilas lagi sebelum kereta berhenti di lampu isyarat. Nafas ditarik dalam-dalam.

Zawiya mula menahan debar walaupun dia dapat meneka apa yang bakal terluah di bibir lelaki itu.

“Mungkin untuk sekali lagi, sudi tak Wiya jadi isteri abang?” ujar Arif sepenuh hati.

Zawiya alih muka ke tepi. Buat kali kedua Arif melamarnya dan ia bukanlah mengundang perasaan yang sama ketika kali pertama dilamar hampir 10 tahun lalu. Rasanya cukup berbeza. Mempertaruhkan seluruh hidup buat lelaki yang pernah mengecewakannya dulu bukanlah satu keputusan yang mudah meskipun hati pernah meletakkan harapan setinggi gunung agar mereka kembali bersatu sebelum ini. Mampukah dia benar-benar menerima kembali Arif? Adakah dia cukup bersedia untuk melaluinya sekali lagi? Macam mana pula dengan hati seseorang yang sudah lama menantinya?



No comments: