Aug 25, 2017

Mungkin Untuk sekali lagi_part 8


Wiya, sorry. Abang tak boleh temankan Wiya esok. Kalau Wiya nak belikan abang baju, apa-apa warna pun abang tak kisah. Abang okey aje dengan apa yang Wiya pilih macam selalu-selalu tu. Kalau Wiya tak nak beli pun takpe. Sorry again.

Berulang tayang ayat-ayat yang Arif hantar padanya malam tadi. Begitu mudah Arif mungkir janji. Namun apa yang terpampang di hadapannya kini lagi menyakitkan hati. Arif begitu mesra bergelak tawa dengan Suraya di dalam sebuah butik. Hampir saja dia melangkah masuk ke butik yang sama. Namun apabila terperasan akan kereta bekas suaminya yang terparkir, terus dia membatalkan niat.
Entah kenapa dia benar-benar rasa menyesal kerana memperkenalkan Suraya kepada bekas suaminya itu beberapa minggu lepas. Sudahnya kini dia yang makan hati. Kalau sebelum ini dia tidak begitu terasa apabila Arif memberitahu sedang mengenali seseorang. Tetapi bukan untuk kali ini.

“Wiya.”

Terangkat dua bahunya. Terkejut. Laju dia menoleh. Bibir dipaksa mengoyak senyum.

“Tunggu apa depan ni? Jom masuk. You pilihlah baju yang you nak cari tu. Harga jangan risau. Insya-Allah mampu milik. Datin takkan berkira dengan you.” Ujar Datuk Haziq sebelum menolak pintu kaca di depannya.

Zawiya yang serba salah, terpaksa juga menuruti langkah majikannya itu ke dalam butik baru milik Datin Azra. Butik yang baru saja dibuka beberapa hari lepas.

“Wiya, you pilihlah dulu mana yang berkenan. I nak jumpa Datin dekat atas sekejap. Ni Iffa akan tolong you. You pun kenal Iffa kan? You jugak yang tolong wife I uruskan butik ni hari tu.” Ujar Datuk Haziq bersama senyum.

“Ya Datuk. Thank you.” Zawiya tetap berusaha memaniskan senyum. Dalam masa yang sama mata sempat menjeling ke arah pasangan yang masih tidak sedar akan kehadirannya di situ.

“Datuk kata Cik Wiya nak cari baju melayu dengan baju kurung kan?” ujar gadis berbaju merah cili di depannya tiba-tiba.

“Er.. ye.”

“Ke sana. Jom.” Tunjuk gadis itu ke arah Arif dan Suraya berada. Zawiya dah ketap bibir. Dah terlambat untuk dia menyembunyikan diri. Mahu atau tidak, dia perlu berhadapan dengan pasangan tersebut.

“Wiya?” tegur Arif dengan kening berkerut. Dipandang wajah Suraya sekilas.

Zawiya hala senyum nipis. Setenang mungkin.

“Kalau aku tahu kau pun nak shopping dekat sini, boleh kita datang sama-sama tadi Wiya.” Celah Suraya pula.

“Aku datang pun kebetulan aje. Tadi teman Datuk jemput anak dia dekat airport.” Jawab Zawiya jujur.

“Siapa? Danial?”

Zawiya angguk.

“Habis tu, lepas ni balik macam mana? Kau ikut kita orang berbuka sekali nak? Nanti Abang Arif boleh terus hantar kau balik. Kan bang?”

Arif angguk dalam tak mahu. Tapi Zawiya geleng.

“Takpelah. Danial pinjam kereta aku tadi nak hantar member dia kejap. Aku tunggu dialah ni sebab lepas tu ingat nak terus balik kampung.” Ada senyum hambar terhias di bibirnya.

“Wiya nak balik kampung? Dengan siapa? Sorang?” Laju Arif mencelah berbaur kerisauan.

“Eh abang ni… Soranglah. Takkan dengan abang pulak kan?” balas Zawiya berbaur sindiran.

“Wiya!” Satu susuk tubuh tinggi lampai datang mendekat.

Arif pandang tak kelip. Zawiya dan Suraya dah lempar senyum manis.

“Cepatnya? Ingatkan lama lagi tadi.” Tegur Zawiya.

“Member I duduk dekat-dekat sini aje. Anyway, thanks sebab pinjamkan kereta comel you tu.” Hari ni I belanja berbuka puasa dekat rumah papa ya?” Danila kerdip sebelah mata.

Zawiya lepas tawa kecil. Seperti dah tak wujud Suraya dan Arif yang masih terpacak di depannya.

“Sorry Danny. Hari ni tak boleh. I nak terus balik kampung lepas ni.”

“Oh yeke? Kalau macam tu, next time. Thanks again, Wiya.” Kunci kereta dihulurkan. “I nak naik dulu jumpa mama. Nanti kalau you dah nak gerak, you panggil I ya? I ada present dari Abu Dhabi untuk you.”

“Okey.”

“See you later. Happy shopping. Nanti I mintakkan special discount untuk you dari mama.” Sekali lagi Danial kerdip sebelah mata sebelum terus berlalu.

Zawiya cuma senyum senang hati.

“Nanti I mintakkan special discount untuk you dari mama. Huh!” ajuk Arif bersama cebikan. Terasa panas hatinya bila Danial langsung tak menegurnya. Padahal bukan mereka tak kenal. Dan paling menyakitkan hati bila dia perasan penampilan Danial jauh berubah dari kali terakhir mereka bertemu. Danial yang sebaya dengan Zawiya memang sejak dulu lagi mengundang rasa tak senang hatinya. Dia ingat lagi yang Danial bawa hati merantau ke tempat orang bila dapat tahu Zawiya berkahwin dengannya.

“Abang ni kenapa nak sindir Wiya tiba-tiba? Ingat Wiya tak dengar ke?” soal Zawiya tertahan.

“Wiya sukalah kan sekarang Danial dah balik sini?”

“Kalau suka pun apa masalah abang? Takde kena mengena dengan abang pun!” Tingkah Zawiya berani.

Arif lepas rengus. Tak tunggu lama, laju dia menarik tangan Suraya yang tak berani mencelah beredar dari situ.

Zawiya ketap bibir. Sakit hati!

……………….
“Wiya, lepas ni Wiya tak payahlah susah-susah belikan baju mak dengan bapak lagi.” Ujar Mak Tom.

“Kenapa pulak mak? Kan memang tiap-tiap tahun Wiya belikan untuk mak dengan bapak.”

Mak Tom elus jemari bekas menantunya itu penuh kasih.

“Mak ni mengharap sangat Wiya balik semula dengan Arif. Tapi Arif…”

“Mak…” Zawiya lepas hela perlahan. “Jodoh bukan dekat tangan Wiya mak. Selama ni pun, Abang Arif tak pernah bincang apa-apa dengan Wiya. Sekalipun tak pernah mak. Dan memang selama ni pun, Wiya sendiri tak pernah cakap apa-apa dengan dia pasal hati Wiya ni. Demi Allah, Wiya tak pernah tak sayangkan dia. Tetap macam dulu mak… Sebab tu sampai sekarang Wiya tak pernah terima mana-mana lelaki pun.” Ada keluh halus mengiringi.

“Mak ni dah berbuih mulut pujuk Arif tu terima Wiya balik. Tapi katanya, dia dah tak nak kecewakan Wiya macam dulu lagi. Balik-balik itulah alasan yang dia bagi.”

“Tu alasan sama yang dia bagi Wiya sebelum ni mak.. Apa yang Wiya nak kata lagi.” Ada sebak mengusik.

Mak Tom paut tubuh Zawiya. Mesra macam selalu.

“Budak Suraya kawan Wiya tu, baik budaknya. Arif nampaknya macam suka budak tu.” Ujarnya kemudian.

Zawiya lempar senyum kelat.

“Wiya harap, Su boleh jaga Abang Arif lebih baik dari yang Wiya buat sebelum ni mak.” Ada sendu dalam nadanya suaranya.

“Wiya…”

Wiya paksa maniskan senyum.

“Lepas ni, walaupun Abang Arif dah kahwin dengan Suraya, Wiya tetap nak belikan mak dengan bapak baju raya selagi umur Wiya ada. Anggap aje hadiah macam anak-anak mak yang lain tu. Bolehkan mak?” Hangat dua hujung matanya. Mengharap kehadirannya terus diterima sebagai seorang anak sampai bila-bila.

“Wiya…” Mak Tom terus dakap erat tubuh Zawiya dalam pelukan.




No comments: