Aug 25, 2017

Mungkin untuk sekali lagi_part 9


Zawiya berkerut sebaik nampak susuk tubuh yang sedang bersandar di tepi keretanya. Keluh dilepaskan.

“Ehem…”

Arif angkat muka. Tubuh ditegakkan.

“Su dah lama balik.” Ujar Zawiya tak bernada seraya menekan alat kawalan jauh kereta. Beg tangan dan komputer ribanya terus dimasukkan. Enjin kereta dihidupkan.

“Abang datang bukan nak cari Su.” Turut tak bernada.

Kening Zawiya terangkat sebelah. Tanda menyoal.

“Kita berbuka sama hari ni?” ujar Arif penuh mengharap. Selepas apa yang berlaku di butik beberapa hari lepas, hatinya cukup rasa tak tenang. Apa yang dilakukan serba tak kena.

Zawiya lempar senyum tepi.

“Abang lupa ke yang abang tak nak berbuka dengan Wiya lagi? Apa mimpi hari ni nak berbuka sama pulak? Lagipun hari ni Wiya dah janji dengan…”

“Danial?”

Zawiya lepas hela perlahan.

“Abang sebenarnya nak apa dari Wiya ni? Wiya rasa, Wiya tak ganggu pun hidup abang.” Luahnya dalam sisa sakit hati dek apa yang berlaku beberapa hari lalu.

“Kenapa Wiya tak jadi belikan abang baju melayu? Wiya dah janji kan?” balas Arif yang agak terkilan bila maknya beritahu Zawiya ada singgah ke rumah untuk menghantar baju raya buat kedua-dua orang tuanya itu.

Sekali lagi Zawiya senyum tepi. Sinis.

“Buat apa Wiya nak beli? Bukan abang kata Su dah tempahkan untuk abang? Membazir aje Wiya beli kalau abang tak pakai kan?”

“Wiya…”

“Apa lagi abang? Abang dah ada Su kan? Lepas ni, Wiya rasa elok kita buat hal masing-masing. Wiya tak nak Su salah faham dengan kita. Abang boleh mulakan hidup baru dengan Su. Wiya tak nak jadi orang ketiga.”

“Su lain… Wiya lain!”

“Memanglah lain! Sebab lainlah Wiya nak ingatkan abang. Wiya ni bukan siapa-siapa pada abang. Su tu… Bakal jadi isteri abang!” Tekan Zawiya geram.

Arif lepas rengus tak puas hati. Ikut rasa hati, dah dipekikkan ke telinga Zawiya yang dia tak mahu wanita itu pergi jauh darinya. Namun disebabkan ego yang bersisa, ditahan semuanya. Dia masih mahu berpegang pada janji yang dah dibuat pada diri sendiri sebelum ini.

“Lepas ni tolong jangan cari Wiya lagi, abang…” ucap Zawiya lebih lembut berbanding tadi. Penuh mengharap. Dan dia dah mula penat mengharap apa-apa lagi pada lelaki itu. Dia mahu buka hatinya untuk bahagia yang lain.

“Wiya…” Arif cuba menahan pintu kereta apabila Zawiya cuba menutupnya.

“Abang… Please… Wiya dah tak nak ada apa-apa dengan abang. Mungkin betullah kata orang. Yang lelaki dengan perempuan tak sesuai untuk jadi kawan. Even kawan biasa sekali pun.” Potong Zawiya sebelum terus merapatkan pintu kereta. Dia ingin segera beredar demi mengelak Arif terlihat akan bening matanya yang mula berkaca-kaca. Apa yang diluahkan cuma menggores hati sendiri.

“Wiya, abang tak habis cakap lagi! Tolong buka pintu ni, Wiya!” Arif cuba memujuk.

Zawiya geleng perlahan. Dipandang wajah Arif beberapa ketika sebelum terus beredar. Keruh wajah Arif, lagi keruh wajahnya kini bila mengenangkan hasrat hati yang tak kesampaian.

*******

“Ni kalau mak tegur, kau kata mak kau ni kuat membebel. Lagi-lagi dalam bulan puasa ni. Karang kau kata, pahala mak kau ni kurang pulak kalau cakap banyak-banyak.” Ujar Mak Tom yang sedang mengacau gulai rebung di atas dapur. Dia tak menyangka anak sulungnya itu akan balik. Selalunya hanya hujung minggu. “Yang dah kenapa balik tiba-tiba ni? Hari ni kau tak kerja?”

“MC.” Selamba Arif jawab tanpa menoleh. Tangan mengurut belakang leher yang terasa tegang. Sebaik tiba tadi dia terus tidur. Tak sempat pun jumpa maknya yang dah keluar ke kedai. Sedar-sedar azan asar dah berkumandang.

“Kenapa? Demam?”

Arif geleng.

“Habis tu?” Mak Tom kerling.

Diam.

“Wiya.”

Mak Tom berkerut. Dimatikan api dapur. Punggung dilabuhkan di depan anaknya itu.

“Apa kena mengena dengan Wiya? Wiya tak sihat?” Soalnya tak sabar.

Arif lepas keluh perlahan.

“Wiya dah tak nak kawan dengan orang.” Jelasnya bersama keluh.

“Sebab Wiya la kau balik ni?” Mak Tom sengih. “Tapi memang patut pun dia tak nak kawan dengan kau. Dah tiba masanya dia cari pilihan hati dia. Tak payah nak harap apa-apa dari kau tu. Sekarang kau dengan Suraya kan? Kau jaga ajelah budak Suraya tu. Tak payah kau nak sibuk-sibuk lagi hal dia.” sambungnya senang sebelum bingkas. Dia ke peti sejuk untuk mengeluarkan ikan kembung yang sudah bergaul kunyit. Sedia untuk digoreng.

“Mak ni tak fahamlah… Ni yang orang malas kalau cakap dengan mak ni.” Rungut Arif.

“Yelah. Mak kau ni ajelah yang tak faham.” Mak Tom cebik.

“Mak tahu tak, sebelum ni Wiya tak macam ni pun. Sebelum ni dia okey aje kalau orang rapat dengan mana-mana perempuan pun.” Adu Arif lagi.

“Mak dah malas nak cakap banyak kali, Rif. Apa mak cakap kau langsung tak nak dengar. Sekarang, pandai pulak kau terasa bila Si Wiya tu tak nak kawan dengan kau lagi?”

“Tapi dia jugak yang kenalkan orang dengan Suraya.” Arif tak nak kalah.

Mak Tom yang kembali berdiri di tepi dapur kembali berpusing.

“Kau ni kadang-kadang, mak tengok boleh tahan buta. Buta hati. Kau nampak tak si Wiya tu punya setia tunggu kau. Benda terang depan mata macam tu pun, kau tak nampak ke? Kau jangan tipu dengan maklah Rif, kalau kau kata kau dah tak sayang Si Wiya tu. Kalau tak, awal-awal lagi kau dah kahwin dengan calon-calon tak jadi dulu.”

“Memanglah orang sayang dia…” gumam Arif antara dengar dan tak.

“Habis tu? Yang kau sibuk nak kenal dengan perempuan lain kenapa? Sampaikan Si Wiya tu pulak yang tolong nak cari calon untuk kau?”

“Orang dah janji tak nak sakitkan hati dia buat kali kedua mak…”

“Kalau tak nak sakitkan hati dia buat kali kedua, tolong jaga hati dan perasaan dia lepas ni! Bukannya kau ulang lagi salah yang dulu! Kita ni kahwin bukan untuk bercerai, Rif!” tekan Mak Tom.

Arif lepas hela berat.

“Tapi Wiya tak pernah cakap apa-apa pun dengan orang selama ni. Dia biar aje orang rapat dengan perempuan lain…” keluhnya.

“Sebab dia tu perempuan. Malu tu tak hilang. Takkan pulak dia yang nak tersua-sua pada kau? Sepatutnya kau boleh faham dia. Bukan sehari dua kau kenal dia. Dah bertahun-tahun.”


Arif lurut rambutnya. Dihempas nafas pendek. Sebenarnya dia baru perasan semuanya sejak dia rapat dengan Suraya. Dia nampak riak cemburu yang terlakar di wajah itu setiap kali dia bercakap tentang Suraya. Dan sekarang, bila dia dapat tahu Danial kembali cuba mencuri perhatian bekas isterinya itu, dia pula yang tak senang duduk. Takut Wiya makin jauh. Dia tak tahu macam mana mahu meluahkan rasa yang terpendam dalam hatinya selama ini. 

No comments: