Aug 25, 2017

Mungkin untuk sekali lagi_part 14


Datuk Haziq lepas nafas berat sebaik membaca surat permohonan cuti tanpa gaji yang baru saja diterima. Dihala pandang ke arah Zawiya yang duduk menunduk di depannya. Cermin mata ditanggalkan. Masih tak percaya dengan permintaan pembantu peribadi merangkap setiausaha kesayangannya itu. Bertahun Zawiya berkhidmat dengannya, belum pernah sekali pun wanita itu memohon cuti sehingga sebulan lamanya.

“Awak nak sambung beraya ke mana? Luar negara? Kalau macam tu, saya bagi awak sambung cuti sampai hujung bulan ni. Tak payahlah sampai sebulan tanpa gaji.” ujarnya memberi cadangan.

Zawiya geleng bersama senyum hambar. Muka diangkat memandang Tuan Haziq yang sudah dianggap seperti ayahnya sendiri itu.

“Saya mintak maaf Datuk, kalau permintaan saya ni agak melampau dan bakal menyusahkan semua urusan Datuk. Tapi saya tetap harap yang Datuk dapat pertimbangkan. Saya akan siapkan semua kerja saya sampai hujung bulan ni. Saya pun dah mintak tolong Aina untuk ganti tempat saya sepanjang saya bercuti.” Balasnya sangat mengharap agar permohonannya diluluskan.

“Tapi kenapa lama sangat Wiya? Awak ada masalah? Atau… Ni semua sebab lamaran anak saya tu?” teka Datuk Haziq bersama keluh perlahan.

Zawiya lepas senyum hambar lagi. Tepat mengenai batang hidungnya. Memang ia disebabkan Danial dan juga Arif. Kehadiran kedua-duanya membuatkan dia benar-benar rasa terganggu sejak habis bercuti raya minggu lepas. Waktu masih diperlukan selain dia mahu mengelak dari menjadi buah mulut semua staf yang mula bercakap mengenainya. ‘Janda tak sedar diri nak kahwin dengan anak Datuk, janda gila harta, janda gila talak…’ Terlalu pahit untuk ditelan. Malah dia mula rasa malu setiap kali masuk ke pejabat apabila menerima pandangan cukup jelik.

“Wiya… Awak tahukan anak saya tak pernah paksa awak. Dia cuma mengharap dan sedia terima apa pun keputusan awak. Awak berhak tentukan bahagia awak. Awak jangan rasa terbeban dengan hati dan perasaan orang lain, Wiya. Fikir dulu pasal diri awak, baru fikir pasal orang lain. Saya tahu dekat pejabat ni, semua orang mula bercakap pasal awak dengan Danny. Banyak yang tak betul dari yang betul. Saya kenal awak bukan sehari dua, Wiya. Saya percayakan awak. Awak boleh abaikan apa yang orang cakap pasal awak asalkan awak tahu yang saya sekeluarga cukup percaya, cukup kenal siapa awak yang sebenar.” Panjang lebar Datuk Haziq cuba memujuk.

“Terima kasih Datuk. Terima kasih sebab terus percayakan saya. Tapi untuk kali ni… Tolong tunaikan permintaan saya ni. Please Datuk.” Zawiya tekad dengan sebak yang mula mengetuk ruang dada.

Datuk Haziq lepas hela berat. Dipandang tak lepas wajah penuh mengharap wanita di depannya itu.

“Saya luluskan cuti awak ni. Tapi bersyarat.” Balasnya lambat.

Ada senyum terhias di bibir Zawiya dengan hati mula mengucap rasa syukur.

“Apa saja Datuk.” Balasnya sedikit ceria.

“Tolong jangan off official handphone. Twenty four seven. Dan gaji awak akan berjalan seperti biasa. Bolehkan?”

Senyum Zawiya melebar.

“Boleh Datuk. Insya-Allah. Terima kasih banyak-banyak. Terima kasih Datuk.” Tak lekang senyum di bibirnya.

********

Danial melambai sebaik kelibat Arif muncul di muka pintu kafe bawah pejabat lelaki itu. Kalau bukan kerana Zawiya, dia takkan menjejakkan kaki ke situ semata-mata mahu bertemu dengan Arif. Bukan dia tak tahu sejak dulu lagi Arif memang tak pernah menyenangi kehadirannya. Padahal dia bukanlah lelaki bodoh yang sanggup memusnahkan kebahagiaan orang yang dia sayang hanya kerana kecewa dan dendam. Dia masih waras dan tahu membezakan mana baik dan buruk.

“Coffee.” Danial tolak secawan kopi yang telah dipesan sejak tiba 5 minit tadi ke hadapan Arif.

“Thank you.” Tenang Arif tarik senyum ikhlas. Dihirup perlahan air kopi yang dah pun suam.

Sepi.

Danial tak lepas pandang wajah tenang di depannya. Cuba membaca riak yang terlakar. Tapi Arif terus melebarkan senyum.

“Aku tahu kau datang jumpa aku sebab Wiya kan?”

Danial tak menjawab. Dibiarkan Arif terus menyambung bicara. Dia tahu Arif bukan bodoh menebak akan tujuannya datang petang itu.

“Demi Allah aku tak tahu dia pergi mana. Aku dah balik kampung, pergi rumah dia. Mak ayah dia pun takde. Mak aku cakap, dia bawak mak ayah dia sekali pergi bercuti. Tapi tak tahu dia pergi mana.” Jelas Arif lanjut.

Danial lepas keluh.

“Mustahil.”

“Terpulang kau nak percaya atau tak. Aku dah cuba call ayah dia. Tapi langsung tak berangkat.” Sambung Arif. Dah dua minggu langsung tiada khabar berita dari bekas isterinya itu. Puas dia cuba telefon, tapi langsung tak bersambung. Dia tahu Zawiya bercuti pun daripada Suraya.

“Dah dua minggu, takkan langsung tak dapat?” balas Danial kurang percaya.

Arif geleng.

“Hari-hari aku cuba. Tapi tak pernah dapat pun.”

Danial lepas keluh lagi.

“Dia kan PA papa kau. Papa kau mesti tahu dia pergi mana.” Ujar Arif.

“Papa aku?” Danial tarik senyum tepi. Disedut jus oren di depannya. “Kalau papa aku dah bagi tahu Wiya dekat mana, aku tak susahkan kau jumpa aku ni, Rif.”

“Takkan Datuk langsung tak cakap?”

Danial geleng bersama keluh yang terlepas. Awal-awal lagi Datuk Haziq bagi amaran yang dia takkan masuk campur hal peribadinya. Ketegasan papanya memang langsung tak membantunya walaupun dia yakin papa tahu di mana Zawiya berada. Sehari yang lepas, dia terdengar papa berbual dengan seseorang di telefon dan beberapa kali nama Zawiya disebut. Ada dia cuba bertanya, tapi papa tetap dengan pendiriannya. Mamanya pun dah sekapal dengan papa. Sama-sama mengunci mulut.  

“Sorry aku dah sangka kau yang bukan-bukan tadi.” Ucapnya selepas beberapa ketika hanya mendiamkan diri.

Arif tarik senyum nipis. Menggeleng perlahan.

“Takpe. Aku faham. Aku sendiri ada terfikir macam tu. Sebab sekarang dia kan lagi rapat dengan kau daripada aku.”

Danial diam.

“Kalau lepas dia balik nanti, dia pilih kau… Aku takkan rasa terkilan, Danny. Kau layak untuk dia. Aku tahu kau boleh jaga dia lebih baik dari apa yang aku pernah buat dulu. Aku takkan dendam apa-apa dengan kau. Cuma aku nak kau janji… Tolong jaga dia sebaik mungkin.”

“Macam mana kalau dia pilih kau?” duga Danial.

Arif terus senyum.

“Aku orang yang pernah lukakan hati dia. Itu satu alasan yang cukup kuat untuk dia tolak aku. Rasa percaya dia pada aku takkan mungkin sama macam dulu.” Jawabnya tenang.

Danial sedut lagi jus di depannya. Bukan untuk meraikan kekurangan Arif. Tapi demi meredakan debar yang bersarang sejak Zawiya menghilangkan diri. Dia memang benar-benar mengharap Zawiya memberinya peluang. Tapi dalam masa yang sama, dia sedia terima apa pun keputusan wanita itu. Dia tahu cinta pertama sukar dihakis. Begitu juga cinta di dalam hatinya. Zawiya merupakan wanita pertama yang berjaya mengetuk ruang hatinya selama ini dan belum ada mana-mana wanita yang mampu menggantikannya sehingga kini. Malah, rasa cinta itu kian kukuh sebaik dia mendapat tahu Zawiya kembali bersendiri.

*******

Zaliah lepas keluh panjang sambil menoleh ke arah suaminya yang duduk di kerusi malas di sebelah. Dengan selesa suaminya memejamkan mata selepas naik daripada berendam dalam air laut di depannya. Zawiya yang sejak tadi berjalan di sepanjang gigi air masih belum kembali.

“Bang…”

Haji Kamil membuka mata. Dipandang wajah si isteri.

“Kenapa?”

“Kita nak jadi apa duduk dekat sini? Ayam itik dekat rumah tu terbiar. Pokok-pokok bunga saya tak bersiram.” Luah Zaliah akan kerunsingan hatinya kerana dipaksa Zawiya untuk turut sama bercuti. 

Baru minggu lepas mereka pulang dari Pulang Redang. Kini mereka di Langkawi pula.

“Yang awak susah hati kenapa? Kan saya dah upah budak Zahar tu tengok-tengokkan. Kita bukannya selalu dapat berjalan macam ni. Awak tak suka ke?” balas Haji Kamil yang kembali menutup mata selepas meneguk air mineral yang ada.

“Bukanlah tak suka. Tapi saya rasa dah lama sangat. Minggu lepas baru kita ikut dia ke Redang. Ni Langkawi. Minggu depan nak ke PD pulak. Kalau sehari dua, takpelah jugak. Ni sampai sebulan dia nak berjalan saja. Penat pun tak hilang lagi.”

“Apalah yang awak nak risaukan. Dia bawak kita berjalan, dia suruh berehat. Apa yang penatnya pulak. Satu sen belanja pun kita tak keluar. Dia mintak kita teman dia aje kan? Bukannya kerja susah pun.”

Zaliah lepas keluh berat. Itu memang diakui. Semua belanja dikeluarkan Zawiya sendiri. Makan minum sepanjang bercuti pun ditanggung Zawiya sepenuhnya. Dia dan suami tak perlu keluar sesen pun.

Dari kejauhan dia dah nampak susuk tubuh anaknya yang berjalan keseorangan. Belum pun sempat anaknya itu tiba, dia yang bingkas mendapatkan Zawiya. Mahu bercakap dari hati ke hati. Dia tahu anaknya itu cuba melarikan diri daripada apa yang sedang berlaku kini. Dia sendiri tak mahu memaksa dan memberi sebarang tekanan. Keputusan diserahkan bulat-bulat ke tangan anaknya itu. Bahagia Zawiya, bahagialah dia. Cuma dia tak mahu perkara yang sama berulang kembali.

“Mak, ayah mana?” tanya Zawiya sebaik susuk tubuh maknya tiba.

“Tu. Tidur lepas berendam dalam laut tu. Mengalahkan budak-budak.” Jawab Zaliah selamba.

Zawiya lepas gelak. Antara mak dengan ayahnya, dia boleh jadi geng ayah. Ayah akan layan semua kemahuannya termasuklah menaiki banana boat, jet ski dan juga snorkelling. Kata ayah, lepas duduk di kampung dengan mak, dia dah tak berpeluang cuba semua aktiviti air macam tu.

“Minggu depan mak tak naklah ikut Wiya pergi PD. Mak rasa macam dah lama sangat tinggal rumah tu. Ayam itik terbiar.” Luah Zaliah akan kerunsingan hati.

“Alaa… Bukan selalu Wiya dapat cuti panjang macam ni mak… Ayah tu okey aje Wiya tengok.”

Zaliah lempar jeling ke arah suaminya di kerusi malas sana.

“Ayah… Apa yang dia tak suka? Semua dia suka. Lagi-lagi bercuti satu sen tak payah keluar macam ni kan?”

Zawiya lepas gelak lagi. Masa dia bagi tahu ayah yang dia mahu bercuti panjang dan bawak mak ayah bersama, ayah yang paling teruja. Tak lekang ayah sengih. Katanya dah lama tak pergi bercuti macam tu.

“Wiya…”

Zawiya menoleh.

“Wiya dah buat keputusan?” Zaliah terus menukar topik.

Senyum di bibir Zawiya terus mengendur.

“Mak tahu Wiya tak nak lukakan hati siapa-siapa. Tapi Wiya takde pilihan kan? Salah seorang kena terima hakikat.” Sambung Zaliah menasihati.

“Wiya dah buat keputusan pun mak. Dan Wiya harap sangat, semua orang dapat terima keputusan Wiya ni.” Jawab Zawiya perlahan.

Zaliah paut rapat bahu anaknya itu.

“Mak dengan ayah sokong apa pun keputusan Wiya. Dua-dua mak suka walaupun yang seorang tu pernah lukakan hati anak mak ni. Yang sorang tu pulak dah lama sangat tunggu. Mak yakin dua-dua boleh bahagiakan anak mak ni. Cuma sekarang ni, terpulang pada hati Wiya. Mana yang hati Wiya pilih, itulah yang terbaik untuk Wiya nanti. Terbaik untuk mak dengan ayah. Insya-Allah…”

Zawiya tarik senyum. Pautan maknya dibalas. Didaratkan bibirnya ke pipi Zaliah sekilas. Kata-kata maknya itu membuatkan dia lebih yakin dengan keputusan yang dah dibuat. Biarlah apa pun orang kata. Itu yang terbaik. Kebahagiaannya bukan terletak pada kata-kata orang. Semua pada dirinya sendiri. Dan paling penting, atas izin-Nya. Sekali lagi akan dipertaruhkan hati dan perasaannya buat insan bergelar lelaki.  


No comments: