Aug 31, 2012

Jangan tak mungkin_short_part 1



“Bik! Bibik!!!!” jerit Azam sekuat hati hingga bergema suaranya satu rumah. Beg kerjanya dilempar kasar ke tengah sofa.

“Kau ni tak dengar ke aku panggil! Kau dah pekak ke!!” jeritnya lagi apabila pembantu rumah yang dipanggil tidak memunculkan diri. Pantang dirinya jika panggilannya tidak bersambut.

“Bibik!!!!” jeritnya lagi sekuat hati.

“Mana kau pergi ni! Makan gaji buta ke apa!!! Takda telinga ke kau ni?! Kau tak dengar ke aku panggil!!” marahnya lagi tidak henti. Tubuhnya sudah dihenyakkan ke sofa.

“Astaghfirullahal’azim… Kenapa dengan kamu ni Zam? Kamu tak nampak ke dah maghrib ni? Jiran-jiran dengar. Yang terjerit-jerit ni kenapa?” tegur Encik Zakuan yang sedang menuruni tangga apabila terdengar jeritan anak sulungnya itu ketika dia di penghujung solat.

“Bibik mana bah? Zam panggil dari tadi tak keluar-keluar. Sampai nak tercabut anak tekak Zam ni. Dia tak nampak ke Zam baru balik kerja penat-penat ni?” kata Azam sambil melurut kasar rambut yang sedia kusut itu. Tali leher dicampak ke atas meja kopi di hadapannya.

“Dia dah lari.” jawab Encik Zakuan tenang sebelum melabuhkan duduk di hadapan anak sulungnya itu.

“Lari? Tak guna punya bibik! Kita bayar dia mahal-mahal, dia boleh lari??” hambur Azam geram. Terkumat-kamit mulutnya memaki hamun. Pembantu rumah itu baru sahaja bekerja dengan mereka dua minggu. Belum pun sampai sebulan.

“Kamu jangan nak salahkan dia. Kamu tu yang salah. Hari-hari nak maki hamun dia. Sudu garfu salah letak pun kamu nak jerit pekik dia.” balas Encik Zakuan selamba. Faham benar dengan perangai panas baran anak sulungnya itu semenjak kematian isterinya tiga tahun lalu. Hubungan kedua beranak itu terlalu rapat menyebabkan kehilangan isterinya memberi tamparan yang cukup hebat dalam hidup Azamuddin. Segalanya-galanya berubah tentang anak sulungnya itu.

“Dah buat kerja salah, memang patutlah dia kena marah.” jawab Azam tanpa rasa bersalah. Dia merengus kasar sebelum bingkas bangun untuk ke dapur. Kering tekaknya menjerit tadi. Panas hatinya masih lagi tidak surut dek kerana pembantu rumah yang menghilangkan diri.

Ditelan kesat setiap patah perkataan abahnya tadi. Memang diakui. Pembantu rumah yang hilang itu merupakan yang ke 54 dalam tempoh tiga tahun itu. Air kosong yang dikeluarkan dari peti sejuk diteguk rakus menggambarkan hatinya yang berbuku panas saat itu. Gelas dihentak kasar ke atas meja. Sudahlah kerjanya bertimbun di pejabat. Balik rumah pula pembantu rumah mereka buat hal. Semuanya menambahkan kekusutan di kepala.

Kalaulah mama ada lagi… keluh hatinya yang paling dalam. Dia terlalu rindukan mamanya yang sudah kembali ke maha pencipta selepas kemalangan yang menimpa mereka tiga tahun lalu. Dia cukup kesal dengan apa yang telah berlaku. Kerana kecuaian dirinya sendiri, dia kehilangan ibu yang tersayang. Masih jelas lagi di ruang mata wajah mamanya yang berlumuran darah tidak bergerak lagi sebelum dia sendiri tidak sedarkan diri. Azam meraup wajahnya beberapa kali sebelum keluhan berat meniti bibirnya.

“Zam, pergilah solat dulu. Maghrib dekat habis ni…” sapa Encik Zakuan seraya menepuk perlahan bahu anak sulungnya itu. Kusut benar dirasakan wajah anaknya itu sejak akhir-akhir ini.

“Abah panaskan lauk dulu, lepas tu kita boleh makan sama.” lanjutnya lagi apabila Azam hanya mendiamkan diri.

“Nana mana bah?” soal Azam selepas meletakkan gelas ke dalam singki.

“Ada dekat bilik. Nanti lepas kamu siap, ajak dia turun makan sekali.” kata Encik Zakuan seraya mengeluarkan lauk-pauk dari mangkuk tingkat di atas kabinet.

Azam memandang pelik pada mangkuk tingkat yang berwarna-warni sedang dipegang oleh Encik Zakuan.

“Mana abah dapat mangkuk tingkat ni? Sebelum ni tak pernah nampak pun.” soal Azam yang melihat lauk-lauk yang terdapat di dalam mangkuk tingkat tersebut.

“Jiran kita yang bagi. Petang tadi, dialah yang nampak bibik tu keluar rumah dengan beg besar.” jawab Encik Zakuan selepas memasukkan lauk ayam masak merah ke dalam alat pemanas.

Azam mengerutkan dahi. Setahunya, kawasan perumahan mereka itu tidak ramai orang melayu. Kiri kanan rumahnya sendiri bukan berbangsa Melayu. Hampir semua jiran yang berbangsa Melayu di situ dia kenal.

“Jangan risau. Lauk ni semua halal…” kata Encik Zakuan yang faham maksud pandangan pelik anaknya yang cukup cerewet tentang makanan. Ada saja yang tidak berkenan dengan mata itu.

Azam tidak membalas. Sebaliknya terus berlalu meninggalkan abahnya sendirian di situ. Mujur abahnya dahulu rajin membantu arwah mamanya di dapur. Segala kerja dapur, tidak lagi kekok pada lelaki yang berumur hampir mencecah 60 tahun itu. Semenjak bersara dan ketiadaan mama, abahnya itu lebih banyak menghabiskan masa dengan kerja-kerja kebajikan. Jika sebelum ini, abahnya dengan rela hati menguruskan kerja rumah. Tetapi, dia yang melarang. Dia tidak mahu abahnya itu bersusah-payah kerana mereka terlebih mampu untuk menggaji seorang pembantu rumah bagi menguruskan semua kerja-kerja rumah.

************

“Ada, bila nak kerja dengan abang? Tak jemu ke duduk rumah lama-lama?” tanya Puan Shima pada suatu petang apabila memerhati anak bongsunya lincah melakukan kerja-kerja berkebun.

Semenjak anaknya itu tamat belajar, halaman rumahnya itu penuh dengan pelbagai jenis pokok bunga. Sejak kecil Syuhada diasuh oleh ibunya di kampung. Hanya selepas ibunya meninggal dunia beberapa tahun lalu, baru anaknya itu tinggal bersamanya. Bukan sahaja cekap melakukan kerja-kerja di tanah, malah cukup lincah jika di dapur.

“Nantilah ma.. Tak lari pun office abang tu kan… Bagilah chance Ada duduk manja-manja dengan mama sampai puas dulu.” balas Ada yang sudah tersengih. Tangannya ketika itu sibuk memangkas tunas-tunas baru pada pokok-pokok bunga kertas yang disusun cantik di tepi tembok batu.

“Memanglah tak lari. Ayah pun dah sibuk tanya. Kalau tak nak masuk office abang, ayah ajak masuk office dia aja.” kata Puan Shima lagi yang pelik dengan kedegilan anak bongsunya untuk bekerja. Ada sahaja alasan yang akan diberikan untuk mengelakkan diri.

Dia meneguk perlahan jus rossell yang dibuat sendiri oleh anaknya itu selepas mereka pulang ke kampung untuk menjengah rumah peninggalan arwah ibunya minggu lepas. Berbuah lebat pokok rosselle yang ditanam oleh arwah ibunya itu sehingga dia sendiri berasa geram. Ingin sahaja dibawa pulang pokok itu untuk ditanam di rumahnya sendiri. Namun, anaknya itu yang melarang. Tiada ruang lagi di rumahnya itu untuk menaman pokok rosselle yang akan hidup merendang jika betul penjagaannya. Habis semua sudut halaman rumahnya itu dihiasi dengan pelbagai jenis pokok bunga.

See? Sama aja kan dua-dua pun. Nantilah dulu mama… Ada belum ada mood la nak kerja. Tengah syok sekarang ni nak buat kerja-kerja rumah.” balas Ada selamba. Kini tangannya sibuk pula membuang tunas-tunas baru yang tidak diperlukan pada pokok bunga agar kelihatan sentiasa rendah.

“Kamu jawablah dengan ayah nanti. Mama tak nak masuk campur..” putus Puan Shima yang tidak suka memaksa anak-anak untuk membuat keputusan.

“Janganlah risau ma…” balas Ada selamba. Dia masih tekun melakukan kerja-kerja mencantas tunas-tunas dan bahagian-bahagian yang tidak diperlukan pula.

“Erm.., mama nampak Ada keluarkan mangkuk tingkat tadi. Ada buat apa dengan mangkuk tingkat tu?” tanya Puan Shima yang duduk santai di meja batu menemani anak bongsunya itu di situ sejak tadi. Dia minat untuk melakukan kerja-kerja itu semua, tetapi anaknya itu yang melarang. Katanya tangannya tiada seni untuk memanjai pokok-pokok hiasan.

“Ada bagi lauk pada Uncle depan tu.” jawab Ada dengan mulut dimuncungkan ke sebuah rumah seberang jalan setentang dengan rumahnya.

“Uncle Zakuan? Kenapa Ada bagi dia lauk pulak. Kan Bibik ada.” balas Puan Shima yang pelik dengan perangai anaknya yang terlebih peramah itu. Habis jiran tetangganya disapa mesra. Tidak cukup dengan itu, ada saja makanan yang akan dihantar. Bukan dia tidak pernah melakukan perkara yang sama sebelum ini. Tetapi memandangkan masing-masing sibuk dengan urusan sendiri, jarang sekali mereka dapat beramah mesra.

“Tengah hari tadi Bibik lari ma. Bibik singgah sini tadi masa mama keluar dengan Aunty Dila.” beritahu Ada.

“Buat apa dia singgah sini?”

“Dia bagitahu nak kabur la ma…” jawab Ada sambil tersengih. Lucu pula apabila dia cuba meniru cara gaya Bibik bercakap.

“Habis tu kamu tak halang dia?”

“Nak halang apa ma. Dia yang nak lari. Biar ajalah. Lagipun dia selalu mengadu ‘tuan muda’ dia selalu mengamuk tak tentu pasal. Maki-maki dia. Sebab tak tahanlah tu dia lari…” jawab Ada seraya mengambil tempat di hadapan Puan Shima.

“Hm… Mama dah agak dah. Tak sempat sebulan, dah berhenti. Takda orang lain dah yang suka marah-marah dalam rumah tu. Ada sorang aja macam tu. Uncle Zakuan tu lembut aja orangnya. Masa arwah Aunty Jessi ada, takdanya jadi macam tu.” balas Puan Shima pula yang telah lama mengenali keluarga Encik Zakuan semenjak mereka berpindah ke situ. Malah, keluarga itulah menjadi jiran pertama yang dikenali. Dia sendiri berkawan baik dengan arwah isteri Encik Zakuan dahulu.

“Kenapa Ma? Tuan Muda dalam rumah tu gila ke macam yang Bibik kata?” soal Ada yang mula berminat untuk mengetahui apa yang berlaku dengan jirannya itu. Dia baru sahaja sebulan duduk di situ dan tidak ramai lagi jiran tetangga yang dikenali. Hanya ayah dan abangnya sahaja yang selalu bercerita tentang keluarga Encik Zakuan.

“Hish! Ada pulak orang gila. Takda yang gila. Sebelum ni tak pernah pun jadi macam ni. Lepas Aunty Jessi takda aja, terus jadi macam tu. Masuk Bibik, tak silap mama lebih dari lima puluh kut maid Uncle Zakuan tu..” jelas Puan Shima.

“Banyaknya…” membulat mata Ada mendengar bilangan pembantu rumah yang pernah bekerja dengan keluarga Encik Zakuan. Sarung tangan yang digunakan tadi sudah ditanggalkan. Gelas di hadapannya dicapai dan diteguk perlahan.

“Azam tu jadi panas baran lepas Aunty Jessi takda.” sambung Puan Shima apabila teringat wajah Azam yang lebih banyak mewarisi wajah Jessi. Jessi yang berbangsa Cina, telah lama memeluk islam sebelum bertemu dengan Zakuan. Tidak hairanlah jika Azam dilahirkan seperti anak orang berbangsa Cina. Ditambah pula dengan kulit yang cerah.

Azam yang dikenali adalah seorang anak yang cukup menghormati orang tua dan sentiasa ceria. Cuma selepas pemergian Jessi, segala-galanya berubah. Tidak lagi seperti dahulu. Lebih banyak menghabiskan masa dengan kerja. Susah untuk bertemu dengan anak muda itu walaupun masih berkawan baik dengan anak sulungnya.

“Garang sangat ke anak Uncle Zakuan tu sampai banyak macam tu orang gaji yang tak tahan dengan dia.” soal Ada lagi yang mula berminat untuk mengenali lelaki yang disebut oleh mamanya.

“Entahlah Ada. Azam yang mama kenal, bukan panas baran orangnya. Cerewet pun tak. Cuma agak teliti orangnya.” jawab Puan Shima cuba mengingati perangai anak jirannya itu.

“Teliti dengan cerewet samalah tu ma… tak jauh beza. Ejaan aja yang berbeza.” balas Ada menyangkal kata-kata mamanya.

“Hah..iyalah… samalah dengan kamu tu pun.” balas Puan Shima yang cukup faham dengan perangai anak bongsunya itu. Suatu perkara yang dibuat mesti dilakukan dengan bersungguh dan akan dipastikan cukup sempurna.

“Eh, sama dengan Ada pulak. Anak Uncle Zakuan tu lelaki. Ada ni kan girl.” seloroh Ada sengaja mengusik mamanya.

“Ada aja jawapan kamu kan…” balas Puan Shima sambil menggelengkan kepala melihat Ada yang sudah tersengih-sengih.

*************

“Abah, lauk mangkuk tingkat lagi? Baik sangat jiran kita masak. Dekat seminggu kita makan lauk free ni..” Tegur Azam yang baru melangkah masuk ke dalam rumah terus mendapatkan abahnya di dapur. Dilihat abahnya itu sedang memanaskan lauk dari dalam mangkuk tingkat yang sama sepanjang minggu itu.

“Rezeki jangan ditolak. Musuh jangan dicari.” Balas Encik Zakuan sambil tersenyum. Bukan dia yang meminta, tetapi anak jirannya itu yang begitu rajin memasakkan untuknya sekeluarga.

“Iyalah bah… entah-entah abah bayar dia suruh masakkan lauk untuk kita kut…” teka Azam sebelum mengeluarkan botol jus oren dari dalam peti sejuk. Seperti hari-hari yang lalu juga, dia hanya akan tiba di rumah apabila maghrib tinggal di hujung waktu. Banyak masanya dihabiskan di tengah jalan kerana terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas.

“Takdalah. Tapi abah ingat, abah nak upahlah dia. Biar dia masakkkan untuk kita hari-hari macam ni. Kamu pun takdalah bising kan…kalau tak, ada aja yang kamu bising kalau bibik masak.” balas Zakuan sinis. Sengaja ingin mengusik anak sulungnya itu.

“Alah abah. Nak sindir Zam la tu kan…” jawab Azam yang sudah sedia menanti di meja makan. Lengan baju kemejanya sudah siap dilipat hingga ke lengan. Memang sepanjang minggu itu dia terasa senang hati bila pulang ke rumah. Makanan yang dimakan, kena dengan seleranya. Hanya kini dia perlu melakukan kerja tambahan lain iaitu segala pakaiannya terpaksa di hantar ke dobi. Abahnya ada melarang dan menawarkan diri untuk mencuci. Namun dia tidak sampai hati untuk menyusahkan orang tua itu. Adiknya pula sudah pulang ke kampus.

“Bukan sindir, mengata aja.” balas Encik Zakuan mengusik.

Azam hanya menjuihkan bibir. Perhatiannya kini lebih kepada lauk-lauk yang terhidang. Setiap hari lauk yang berbeza membuatkan dia berkobar-kobar untuk pulang ke rumah hanya kerana mahu menjamah makanan yang dimasak oleh jiran mereka itu.

“Abah, kita bayar ajalah dia suruh masak macam ni hari-hari untuk kita. Tak pun, kita bayar upah dia masak aja. Barang-barang kita sediakan.” cadang Azam sebaik menyenduk masuk lauk asam pedas ke dalam pinggan.

“Amboi kamu Zam.. Dah syok sangat ke makan lauk mangkuk tingkat jiran kita ni.” balas Encik Zakuan diiringi senyum mengusik.

“Habis tu, kalau dah susah sangat nak cari maid sekarang ni kan.. Kalau ada pun tapi menyusahkan buat apa. Baik buat macam ni aja. Senang sikit hati Zam ni kalau balik bah. Takda nak jerit-jerit selalu.” Jawab Azam dengan sengihan yang melebar di bibir.

Memang masakan yang dimasak itu semua menepati seleranya walaupun hanya sekadar masakan ringkas. Itu sudah cukup membuatkannya berpuas hati.

Encik Zakuan hanya tersenyum. Namun senyuman itu penuh bermakna.

“Abah, Zam lupa nak tanya. Jiran kita yang mana satu baik hati sangat bagi semua lauk-lauk ni?” soal Azam selepas menyuap masuk suapan pertama masuk ke dalam mulut. Sudah seminggu dia menjamah makanan percuma, baharu hari itu tergerak hatinya untuk bertanya.

“Hai… Dah seminggu baru kamu nak tanya. Apa tak tanya bulan depan aja.” Sindir Encik Zakuan sambil menggelengkan kepala.

Azam hanya tersengih tanpa riak bersalah.

“Siapa bah?” soalnya lagi ingin tahu gerangan jiran yang baik hati itu.

“Aunty Shima kamu.” jawab Encik Zakuan pendek sebelum menyuap masuk nasi ke dalam mulut.

Azam mencapai gelas yang berisi jus oren di sisi kirinya dan diteguk perlahan. Keningnya mencantum. Setahunya jiran yang paling rapat dengan keluarganya itu tidak mempunyai pembantu rumah. Semua kerja rumah dilakukan sendiri oleh Puan Shima.

“Sejak bila Aunty Shima hired maid? Bukan ke selama ni semua kerja rumah dia yang buat ke bah?” tanya Azam yang berminat ingin tahu. Walaupun rumah mereka berhadapan, tetapi dia sudah lama tidak bertemu dengan wanita yang bersahabat baik dengan arwah mamanya dahulu.

“Tu la kamu tak tahu. Sibuk sangat dengan kerja. Sampai tak tahu langsung apa yang jadi dengan jiran-jiran kita.” Balas Encik Zakuan dengan bibir menggariskan senyuman nipis.

Azam masih mengerutkan dahi.

“Shah takda cerita apa-apa pun dengan Zam.” Kata Azam mengenai Shahimi yang merupakan anak sulung kepada Aunty Shima. Dia selalu bertemu dengan sahabatnya itu kerana pejabat mereka berdekatan.

“Kamu dengan dia sama aja. Mana nak ambik tahu hal orang sekeliling.” balas Encik Zakuan yang masih tetap dengan pendapatnya.

“Tak kisahlah bah. Janji lauk yang dia bagi ni semua best-best.” jawab Azam malas mahu berfikir panjang mengenai pembantu rumah yang dimaksudkan oleh abahnya itu.

Encik Zakuan tetap juga tersenyum. Malah kali ini senyumannya bertambah lebar.

“Susah-susah sangat, kamu cepatlah kahwin Zam. Ada jugak perempuan dalam rumah ni. Boleh tolong-tolong kemas rumah, masak untuk kamu.” ujar Encik Zakuan selepas masing-masing leka dengan makanan yang dimakan.

Serentak dengan itu juga Azam tersedak. Terasa perit tekaknya dengan rasa pedas dari lauk asam pedas yang dimakan. Terbatuk-batuk dia menahan keperitan di dalam tekak.

“Apalah Abah ni. Merepek aja.” Jawab Azam lambat diiringi batuk-batuk kecil. Gelas di sisinya diteguk laju untuk melegakan keperitan.

“Apa yang merepeknya. Betullah apa yang abah cakap. Kamu pun bukannya  muda lagi. Shah pun dah nak kahwin hujung tahun ni. Kamu? Calon pun abah tak nampak lagi. Nak kata kamu tak hensem, abah rasa dah cukup hensem dah anak abah ni. Duit, kereta, rumah? InshaAllah ada. Kalau tak cukup, abang boleh tambah. Kamu ni memilih sangat ke Zam?” omel Encik Zakuan mengenai anak sulungnya yang agak cerewet itu.

“Susahlah sekarang ni bah. Mana nak cari perempuan yang suka buat kerja-kerja rumah ni macam mama dengan Aunty Shima. Semuanya sibuk nak bekerja aja sampai kerja rumah pun tak tahu nak buat. Abah tengok ajalah anak abah sorang tu. Orang lain belajar jugak. Tapi takda sampai nak basuh baju pun abah juga yang buat.” jawab Azam sebelum menyambung makan semula.

Seumur hidupnya dia belum pernah bercinta walaupun keinginan itu ada. Sudah ditanamkan tekadnya untuk mencari pasangan hidup seperti arwah mamanya. Malah arwah mamanya sendiri pernah berpesan agar mencari pasangan hidup yang mampu menjaga makan pakainya kelak. Tetapi apabila dilihat keadaan yang berlaku hari ini, sukar untuk dia mencari seperti apa yang diinginkan.

“Kamu jangan memilih sangat Zam.. Kamu bukannya muda lagi. Kalau nak tunggu macam yang kamu nak, takkannya datang bergolek melutut depan kamu.” balas Encik Zakuan dengan maksud yang tersirat.

Bukan dia tidak tahu perangai anak terunanya itu. Semuanya ingin yang sempurna. Disebabkan itu jugalah mana-mana perempuan pun sukar mendekati. Ditambah pula dengan kedudukan Azam di pejabat hari ini. Dia selalu dihormati dan ketegasan yang dimiliki membuatkan ramai perempuan takut untuk mendampingi.

“Ala bah.. bukan Zam tak nak kahwin. Zam belum jumpa lagi la bah.. Kalau dah jumpa, memang Zam terus suruh abah masuk meminang aja. Tak payah nak bertunang. Terus aja nikah.” Balas Azam tidak serius. Sempat mempermainkan apa yang diperkatakan oleh Encik Zakuan.

“Kalau kamu susah sangat, biar abah ajalah yang tolong carikan. Jiran-jiran kita ni bukannya takda anak dara.” Giat Encik Zakuan lagi membuatkan Azam sekali lagi tersedak. Hampir sahaja nasi di dalam mulutnya terhambur keluar.

Encik Zakuan ketawa kecil sambil menuangkan jus oren ke dalam gelas anak terunanya yang sudah kosong tadi.

“Apalah abah ni. Abah janganlah nak buat lawak malam-malam ni bah. Takkanlah abah nak Azam kahwin dengan Mala anak Uncle Jaya. Takpun si Lenny anak Aunty Carol.” Azam menyebut satu-satu nama anak jiran kiri dan kanan rumahnya.

“Kamu nak ke? Kalau nak, abah boleh tanyakan.” Seloroh Encik Zakuan lagi.

“Merepek betul abah ni. Kalau Zam nak, takkan dia orang nakkan Zam.” Balas Azam dengan wajah tidak berperasaan. Tahu yang abahnya itu akan mengenakannya.

“Habis tu, yang kamu pergi sebut dua nama anak dara orang tu buat apa? Banyak lagi jiran kita yang lain.” Jawab Encik Zakuan tidak mahu mengalah. Senyuman yang terukir di bibirnya penuh makna yang tersirat. Seraut wajah comel seperti sedang menari-nari di hadapan matanya. Hatinya terus terpaut memandang seraut wajah itu.

“Malaslah cakap dengan abah ni. Suka hati abahlah. Yang penting Zam tak mungkin kahwin dengan anak-anak jiran kita. Tak syok betul nak balik raya nanti. Tak bergaduh.” Balas Azam dengan sengihan. Lucu pula apabila membayangkan jika dia berkahwin dengan anak jirannya. Tidak perlu bersusah-payah untuk pulang berhari raya.

“Yang kamu tak naklah yang kamu dapat nanti Zam.. jangan cakap.” Jawab Encik Zakuan yang masih setia dengan senyumannya.

“Tak mungkinlah bah.. Zam yakin dengan confidentnya.” Balas Azam penuh semangat sebelum menyuap masuk suapan yang terakhir ke dalam mulut. Dua keningnya terangkat memandang abahnya yang tidak menjawab lagi.

‘Abah kalah!’ soraknya dalam hati.

“Apa-apa ajalah Zam. Nanti kalau kamu dah tersangkut dengan mana-mana anak jiran kita, jangan kamu merayu-rayu sampai menangis suruh abah pergi pinang pulak..” tidak henti Encik Zakuan mahu mengusik anak sulungnya itu.

Azam hanya menjuihkan bibir. Malas lagi mahu membalas. Tahu yang akhirnya dia akan kalah. Cepat-cepat dia bangun untuk ke singki. Terus membasuh pinggan dan gelas yang digunakan.

Encik Zakuan masih juga dengan senyuman mengusiknya. Meraikan kemenangan.

“Kita tengoklah nanti macam mana bah. Kalau betullah Azam kahwin dengan mana-mana anak jiran kita, abah tak payah susah-susah pergi pinang. Biar Azam sendiri jumpa family dia mintak izin nak kahwin.” ujar Azam sebelum berlalu keluar dari ruang dapur itu. Kata-katanya sekadar untuk menyedapkan hati kerana yakin yang dia tidak mungkin akan berkahwin dengan anak salah seorang daripada jiran mereka.

“Okey. Abah pegang dengan janji kamu tu Zam.” Terdengar suara abahnya membalas.

Aug 30, 2012

~EHEM

assalamualaikum. ~kepada yang singgah dengan senang hati atau tidak senang atau terpaksa atau dipaksa dan seangkatan dengannya.

~ucapan terima kasih kepada penegur-penegur tegar dan meninggalkan komen dengan rela hati. terima kasih bebanyak. jasamu ku bawa hingga ke liang lahad.

MAKLUMAN:

1) sesiapa yang membaca BAJP dari mula hingga bab yang sedia ada, jangan rasa sakit hati mahupun menyampah dan rasa macam nak hentam kaw2 punya pada saya sebab penulisan, susunan, ejaan, mashaAllah buruk bebenor. BAJP merupakan cubaan pertama. Maka segala kesalahan yang ada dalam bab2 yang ada tu, memang saya tak betulkan. Itulah bentuk rupa kali pertama orang menulis. ~biarkan...

2) sesiapa yang membaca TDK dari bab mula sampai bab yang sedia ada. Terima kasih kepada penegur2 yang perihatin kerana kesalahan ejaan, grammar dsb. Saya akan betulkan semula. Tetapi, bukan yang ada dalam blog ni. Saya akan betulkan yang ori. Sebab bab2 awalan, saya tidak punya 'volunteer Editor'. Maka segala kesilapan pada ejaan yang sengaja mahupun tak sengaja tu, memang saya tak perasan. Memang terang jelas lagi nyata memang salah saya sebab tak double check b4 post. Apatah lagi saya memang fail segala tok nenek tatabahasa grammar ni. Pakai boowww je semua. almaklumlah. belajar tak tinggi.

      2 1/2) sekarang saya dah ada editor. thank you so much MAYLIN. mana yang sempat saya edit semula, saya akan edit. tidak kurang juga kepada KAKNA. she's our mama here. kan MAYLIN? akan marah, or tegur anak2 kalau buat silap. bukan pakai hukum je. ~angkat dua2 kening sambil mata kelip2. :P

3) TEGURAN ANDA AMAT SAYA HARGAI. WALAUPUN ADA YANG SEMPAT BUAT SAYA SENTAP SEKEJAP. TAKPA. SAYA FAHAM. MASING2 ADA EMOSI SENDIRI YE TAK? KITA BUKAN MALAIKAT YANG TAKDA PERASAAN YE TAK? 

4) sebarang pertanyaan mahupun makian, cacian, komenan, hentaman. silalah..  saya menulis sementara Dia bagi izin. Time Dia tak nak bagi, saya tak menulis dah. :)

5) again ~ ni email saya. agak2 tak puas hati ke, rasa2 nak bagi surat layang ke.. apa ke.. meh la email saya.
    arshanew@yahoo.com 

SEKIAN...

Aug 16, 2012

Salam Aidilfitri

Assalamualaikum kalian kengkawan sekalian :)

~sila click pada gambar untuk tumbesaran yang maksima.


Selamat menyambut hari raya kepada sahabat-sahabat sekalian. Nak tag nama sorang2 yang tinggalkan komen di sini, saya kurang kemampuan (alasan!).

Saya mintak maaf segala salah silap sepanjang sesi kita berkomunikasi di sini.

Maaf if ada salah kata, salah jawab, salah eja dan seangkatan dengannya yang boleh membuatkan kalian memarahi, mengutuk, mengfed-up dan terus lari meninggalkan blog.

Saya manusia biasa aja yang kadang2 sentap, emo terlebih. ~uhuk!

Akhir kata, saya mintak maaf, mintak maaf, mintak maaf dan mintak maaf. Mintak halal semuanya kawan-kawan :'(

p/s- BMJM sat lagi saya update :D sebagai penutup sebelum raya. InshaAllah jika ada izinNya, kita bertemu lagi selepas raya nanti. :D