Jun 14, 2017

Mungkin untuk sekali lagi_part 7

Part 7

Sudah dua minggu berpuasa, baru hari itu Arif berkesempatan untuk berbuka puasa bersama Zawiya. Itu pun setelah beberapa kali dia buat temu janji kerana Zawiya yang terlalu sibuk menghadiri jemputan berbuka puasa bersama majikannya.

“Susah betul nak jumpa Wiya sekarang kan? Sibuk mengalahkan pak menteri.” Selamba Arif menyindir.

“Eh abang ni, cakap orang pulak. Bukan abang pun sibuk ke? Maklumlah dah ada orang teman untuk berbuka puasa kan?” tingkah Zawiya turut balas sindiran. Sejak berkenalan dengan Suraya, dia perasan bekas suaminya itu cukup jarang mencarinya. Suraya pula sering memberitahu kerap keluar dengan Arif sejak akhir-akhir itu.

Arif sengih.

“Tapi sekali sekala abang teringin jugak nak berbuka puasa dengan Wiya. Macam selalu-selalu tu.” Balasnya penuh makna.

Zawiya cebik.

“Sudahlah bang. Siapalah Wiya ni. Orang dah ada pengganti kan? Baiklah Wiya ikut Datuk Haziq pergi berbuka puasa. Lagi best.” Balasnya demi menyedapkan hati.

“Yelah tu. Wiya tak payahlah tipu abang. Hari tu Su cakap, Wiya berbuka sorang-sorang apa cerita?” Arif senyum tepi.

Zawiya ketap bibir. Mukanya membahang. Dalam hati dah memarahi Suraya yang langsung tak boleh menyimpan rahsianya.

“Sekali aje. Bukan selalu.” Masih mahu bela diri.

Arif pula cebik. Macamlah dia nak percaya.

“Yang abang tiba-tiba nak berbuka dengan Wiya ni kenapa? Su mana? Selalu tu, Su sampai kelam-kabut keluar ofis  takut lambat jumpa abang.” Sekali lagi Zawiya menyindir.

Arif lepas hela perlahan.

“Mak ayah dia datang semalam.” Keluh terlepas lagi menyebabkan wanita di depannya lepas cebik.

“Oh sebab Su takdelah baru nak ajak Wiya berbuka ni?” Zawiya berjauh hati.

“No. Abang rindu…” Arif menyengih. Nakal.

Zawiya cebik lagi walaupun ada bunga kecil di dalam hatinya.

“Sebelum Wiya terlupa, weekend ni Wiya nak belikan baju raya untuk mak ayah Wiya. Nak beli sekali untuk bapak dengan mak. Boleh beli sekali untuk abang macam selalu. Abang teman Wiya boleh?” ujarnya kemudian. Sudah jadi kemestian dia menyediakan persalinan baru buat kedua-dua ibubapanya juga bekas mentuanya setiap kali menjelang aidilfitri. Dan semestinya termasuklah persalinan buat Arif sejak dari mereka bersama lagi.

“Erm… Tahun ni, abang rasa Wiya tak payahlah susah-susah belikan baju untuk abang.”

“Kenapa pulak?” Laju Zawiya menyoal.

“Hari tu, Su kata dia dah tempahkan baju melayu untuk abang.” Arif senyum meleret.
Zawiya tahan hati.

“Untunglah kan… Lupa pulak Wiya, abang dah ada pengganti yang boleh ambil alih kerja Wiya sebelum ni. Lepas ni, senanglah Wiya. Tak payahlah nak susah-susah sediakan semuanya untuk abang kan?” balasnya dengan senyum terpaksa.

“Ala… Dia yang beriya-iya nak bagi, abang terima aje. Tapi kalau Wiya nak belikan untuk abang, abang tetap terima jugak. Manalah tahukan, ini kali terakhir Wiya sediakan baju untuk abang. Tahun depan, dah jadi kerja-kerja Su pulak. Betul tak?”

“Betullah tu..” Senyum kian kelat. Dikerling jam di pergelangan tangan hampir waktu berbuka. Namun perut sudah terasa kenyang dek kata-kata lelaki di depannya itu. Entah kenapa sejak akhir-akhir itu rasa cemburunya kian tak terkawal. Mudah saja tercuit.

“Wiya nak makan apa? Biar abang ambilkan.” Ujar Arif sebelum bingkas.

“Takpe. Wiya boleh ambil sendiri.” Zawiya terus bingkas tanpa memandang ke wajah Arif. Dia mula merasakan ada tembok besar yang memisahkan mereka. Wajah bahagia mantan suaminya itu sudah cukup memberikan petanda yang kehadirannya tak diperlukan lagi.

Sementara itu, ada senyum yang bergayutan di bibir Arif apabila melihat perubahan wajah Zawiya. Dia senang hati bila ada garis cemburu kian jelas terpamer. Tidak seperti selalu. Begitu ramai perempuan cuba mendampinginya, sukar benar garis cemburu itu kelihatan. Tapi bukan untuk kali ini. Kehadiran Suraya memberi impak cukup besar pada wanita itu.

Sebaik kembali ke meja, azan maghrib berkumandang dari masjid berhampiran. Dalam masa yang sama mata Arif tak lepas pandang dengan segala jenis makanan yang terhidang di hadapannya.

“Wiya okey ke tak ni?” soalnya kurang senang di kala doa berbuka puasa habis dibaca. Dia tahu kalau dah begitu banyak makanan yang dipilih Zawiya, mestilah ada yang tak kena. Cuma sengaja dia buat-buat tak tahu.

“Okey.” Jawab Zawiya selamba sebelum menyuap potongan buah tembikai ke dalam mulutnya.

“Kut ye pun tengah marah, takkan sampai banyak macam ni Wiya? Tak baik membazir tau.” Tegur Arif mula rasa bersalah kerana dari tadi tak habis-habis dia nak menduga hati wanita itu.

“Siapa kata Wiya tengah marah? Wiya tak sempat sahur pagi tadi. Lapar sangat ni. Lagipun, abang kan dah bayar mahal-mahal? Rugilah kalau kita tak rasa semua.” Bijak dia mencari alasan demi menutup kebenarannya.

Arif dah menggeleng. Malas dia nak bersoal jawab lagi. Apa yang dia tahu, sebentar lagi dia yang akan menjadi mangsa untuk menghabiskan semuanya nanti.
…………

“Abang kenapa gosok perut dari tadi?” tanya Zawiya buat-buat tak tahu sebaik keluar daripada kereta. Beg telekung yang dibawa disangkutkan ke bahu.

“Eh, kura-kura naik perahu pulak dia.” Arif lempar jeling sekali. Semua gara-gara dia terpaksa menghabiskan semua makanan yang diambil wanita itu tadi. Perutnya terasa sendat dan sebu. Tak selesa.

Zawiya tahan senyum.

“Tu la… siapa suruh abang makan banyak-banyak?” selamba dia balas.
Arif jeling lagi. Ikut hati, memang dia dah tarik hidung Zawiya. Geram. Mujur dia ingat lagi akan batas yang jadi penghalang.

“Lain kali abang tak nak berbuka dengan Wiya. Su kalau tengah marah, takde pun nak makan banyak-banyak macam Wiya. Tadi tak pasal-pasal abang yang nak kena habiskan semua.” Balasnya sengaja mahu menduga hati wanita itu lagi.

Zawiya ketap bibir. Hatinya terusik.

“Lain kali tak payahlah ajak! Wiya pun tak teringinlah nak berbuka dengan abang!” tingkahnya seraya terus melajukan langkah. Terus masuk ke ruang solat muslimat di masjid yang biasa mereka kunjungi jika berbuka puasa bersama.


Arif terus tarik senyum lebar. Senang hati. 

No comments: