Jun 14, 2017

Mungkin untuk sekali lagi_part 5

Part 5
- Abang jadi ke bawak Suraya jumpa mak esok?

Arif tersenyum sebaik membaca pesanan yang diterima daripada bekas isterinya. Laju jemari bermain di atas skrin untuk membalas.

+ Jadi. Kenapa Wiya tanya?

- Takde apa. Saja. Abang tak rasa cepat sangat ke?

Bertambah lebar senyum Arif.

+ No. Lagi cepat lagi bagus. Lagi cepat mak abang berhenti membebel.

- Abang tak nak kenal-kenal dulu ke dengan Su tu? At least kawan dulu ke? Manalah tahu nanti ada yang tak berkenan, Wiya tak nak abang salahkan Wiya.

Arif hampir tergelak pula. Pantas jarinya terus menyusun ayat untuk membalas.

+ Kan abang dah kenal Su tu? Wiya sendiri cakap yang dia calon terbaik untuk abang. So, abang rasa ni la calon terbaik. Abang dah tak nak tunggu lama-lama. Kalau mak setuju, Su setuju, lepas raya nanti abang nak masuk meminang.

Diam. Tidak lagi bergetar telefonnya menerima balasan daripada Zawiya. Bibir terus melakar senyum puas.

“Amboi! Senang hati nampak. Apa hal yang senyum lebar tu?” tegur Mak Tom yang sejak tadi menyiram anak-anak pokok cilinya. Dia perasan anak sulungnya itu tersenyum-senyum sendiri sejak tadi sambil memegang telefon. “Jangan cakap dengan mak kau dah jumpa pengganti baru pulak? Ni tiba-tiba balik pun dah buat mak musykil dengan kau ni.” Sambungnya penuh curiga.

“Esok orang nak bawak calon menantu mak yang baru dan terakhir. Kali ni, orang dapat rasa mak takkan tolak punya.” Jawab Arif penuh makna.

Mak Tom bawak gayung dan baldi di tangannya ke pangkin yang diduduki anaknya itu.

“Kau biar betul? Wiya tahu?”

“Ni calon dari dia mak. Mestilah dia tahu.” Balas Arif selamba.

“What?” Membesar mata Mak Tom dengan rasa tak percaya. “No no no. Mak terpacaya.” Kepalanya sudah menggeleng beberapa kali.

Arif hampir tergelak melihat reaksi maknya yang mula mencekak pinggang.

“Terpulang. Kalau mak tak percaya, mak boleh tanya Wiya sendiri. Yang penting, esok bakal menantu mak tu datang.” Arif sengih lebar.

“Hesy! Budak Wiya ni, lain yang aku suruh buat, lain yang dibuatnya.” Gerutu Mak Tom menahan geram. “Budak mana yang dia kenalkan dengan kau tu? Memang nak kena betul budak Wiya ni.” Membuak rasa ingin tahu adakah calon yang dimaksudkan itu standing dengan bekas menantunya.

“Kawan baik dia mak.”

“Kawan baik? Kau kenallah?”

Arif angguk. Tenang.

“Macam mana budaknya? Bujang? Janda?”

“Bujang. Cantik. Gebu-gebas.” Arif menyengih nakal. Sengaja nak panaskan hati maknya.
Mak Tom lempar jeling. Bibir diketam geram.

“Apa si Wiya tu tak cukup gebu-gebas ke sampai kau nak kena cari orang lain?” hamburnya sakit hati.

Arif sengih lagi. Nak tergelak pun ada.

“Wiya memang dah lama gebu-gebas mak. Tapi ni lain sikit. Fresh!” giatnya bersama kenyitan nakal.

Mak Tom picing mata.

“Nanti kau! Mak telefon si Wiya sekarang jugak!” Laju dikeluarkan iphone7 dari saku baju kurung kedah yang dipakai.

Arif terbelalak tengok gajet yang dipegang maknya.

“Makkaii… Kalah aku. Aku pun pakai iphone 5 aje. Dia lagi advance dari aku.” Omelnya sendiri. Dia yakin itu hadiah daripada ayahnya hasil dari penjualan tanah beberapa bulan sudah.

Seketika, dia mula dengar maknya bercakap dengan seseorang. Dan pastinya Zawiya.

“Nak sangat menantu kan…” gumam Arif dengan sengih penuh makna.

“Haa Rif, mak kau cakap dengan siapa tu?” Haji Aziz yang muncul dari belakang rumah dengan sebilah parang.

“Ex-menantu kesayangan dialah pak.” Jawab Arif dengan sengih seraya memberi ruang kepada Haji Aziz duduk.

“Dah kenapa pulak dia telefon si Wiya tu?”

“Pasal yang orang cakap dengan bapak semalam tu.”

“Pasal budak nama Suraya tu ka?”

“Sebab tu lah pak. Tu yang orang malas nak cakap dengan mak awal-awal.” Ada keluh meniti bibir Arif. Dia tahu perangai Hajah Kalthom apabila melibatkan calon isterinya. Pasti maknya itu akan berubah jadi penyiasat tak bertauliah. Macam-macam soalan akan ditanya hingga berpuas hati.

“Kau betul-betul ke nakkan budak Suraya tu?” Aju Haji Aziz ingin tahu. Selama ini, dia bukanlah cerewet seperti isterinya hingga ikut campur urusan pilihan hidup anak-anak.

Arif lepas hela panjang. Dipandang wajah Haji Aziz.

“Bapak rasa, betul ke apa yang orang buat selama ni?” Soalan berbalas soalan.

Haji Aziz tarik senyum nipis.

“Pilihan dekat tangan kau, Rif. Kau bukannya budak kecil. Bapak pun tak pernah nak halang apa yang kau buat selama ni. Cuma masa kau dengan Wiya dulu, bapak dengan mak memang kecewa. Sama-sama ego, sama-sama tak nak mengalah. Tapi tu dulu. Bapak faham darah tengah panas. Tapi pada bapak, tak terlambat kalau kau nak betulkan semula.” Jawabnya penuh makna.

“Maksud bapak? Bapak pun nak orang baik semula dengan Wiya?” Ada kerutan di wajah Arif.
Haji Aziz senyum lagi.

“Buatlah pilihan yang terbaik Rif. Umur kau bukannya makin muda. Makin tua.” Dia terus bingkas sebaik menepuk beberapa kali bahu si anak. Meninggalkan Arif yang sedikit terpinga-pinga di situ.






No comments: