Jun 1, 2017

Mungkin untuk sekali lagi_short part 4

Part 4

+ Dia cantik. Pipi gebu. Memenuhi kriteria dan taste abang. Pandai masak. Rajin. Baik. Paling penting sekali, waktu kerja dia normal. Ada banyak masa dekat rumah. Mak abang mesti suka.

Berulang kali Arif baca pesanan yang diterima daripada Zawiya. Entah kenapa hatinya rasa tak senang. Dikilas jam di pergelangan tangan. Dia tiba 5 minit lebih awal daripada waktu yang dijanjikan dengan Zawiya. Sabar dia menanti hinggalah pintu kafe ditolak 2 orang wanita. Zawiya yang anggun dalam persalinan pejabatnya. Manakala seorang lagi anggun dalam persalinan kurung moden.  Mata tak lepas pandang hingga kedua-duanya melabuhkan duduk di hadapannya.

“Suraya?” Seperti tak percaya dengan wanita yang mahu diperkenalkan Zawiya kepadanya. Dia kenal Suraya. Salah seorang staf di pejabat Zawiya merangkap kawan baik bekas isterinya itu.

“Yes. Suraya. Dialah yang Wiya cakap dengan abang tu.” Jawab Zawiya sambil mengerling ke arah sahabatnya yang jelas malu dengan pertemuan itu meskipun mereka pernah kenal.

Arif lepas hela perlahan.

“Abang nak order. Jom Wiya teman abang.” Ujarnya seraya bingkas untuk ke kaunter. Dalam erti kata lain, dia sengaja mahu bercakap dengan Zawiya secara personal.

Suraya hala pandang pelik.

“Wiya…”

Zawiya tarik senyum kelat. Melihat riak kurang senang Suraya, dia rasa serba salah. Tambahan pula dengan riak Arif yang sukar ditafsirkan. Ditepuk beberapa kali tangan sahabatnya itu sebelum ikut bingkas.

“Aku order macam biasa ya?” ucapnya sebelum terus berlalu mendapatkan Arif yang sedia menanti di kaunter untuk membuat pesanan.

“Apa sebenarnya yang Wiya cuba buat?” tanya Arif terus sebaik pesanan dibuat.

Zawiya berkerut.

“Apa yang Wiya buat? Kan hari tu Wiya dah janji nak kenalkan abang dengan someone. Someone tu Suraya. Abang kan kenal dia?”

Arif lepas hela berat. Dipandang sekilas ke arah meja yang diduduki tadi. Suraya yang cukup ayu dan mampu memikat mana-mana hati lelaki yang memandang. Tapi bukan dia. Dia hormatkan gadis itu sebagai sahabat baik Zawiya.

“Tapi kenapa Suraya?” luahnya tak puas hati.

“Sebab dalam banyak-banyak kawan Wiya, Wiya paling kenal dan percayakan Suraya. Wiya kenal hati budi dia. Wiya yakin dia mampu bahagiakan abang. Dan yang paling penting mak mesti suka dia.” Jelas Zawiya cukup yakin.

Arif menggeleng bersama keluh yang terlepas.

“Abang tak fahamlah. Macam mana Suraya boleh ikut cadangan gila Wiya ni. Dia bukan tak kenal abang. Dia tahu kita pernah jadi suami isteri dulu.” Luahnya kurang senang.

“Tu lima tahun dulu, bang.” Cukup perlahan meniti bibir Wiya. “Selama Wiya kenal Suraya, dia belum pernah rapat dengan mana-mana lelaki pun bang. Tak salah rasanya kalau Wiya bagi peluang pada dia. Lagi pun, Wiya rasa dia aje yang boleh jaga abang. Jauh lebih baik dari Wiya pernah jaga abang dulu…”

Arif lepas rengus bersama gelengan. Langsung tak bersetuju dengan hujah bekas isterinya itu. Masa depan sukar diramal. Semuanya adalah pertaruhan. Luaran seseorang tak menjaminkan apa-apa. Terus dibawa minuman yang dipesan ke meja semula.

Suasana kekok mengisi ruang antara mereka. Suraya sesekali angkat mata memandang ke arah Arif. Tetapi lelaki itu menghalakan renung tajam ke arah Zawiya di sisi. Langsung tak lepas sejak tadi. Namun sahabatnya itu cuma beriak selamba dan leka menikmati croissant. Dia tahu pasangan itu masih menyimpan rasa yang sama. Tetapi sengaja cuba menafikannya. Baik Arif mahupun Zawiya. Dia kenal Zawiya. Dan disebabkan itu dia menerima tawaran Zawiya untuk kenal dengan Arif lebih dekat.

Dehaman dilepaskan beberapa kali.

“Erm… Su nak tanya Abang Arif satu benda boleh?” Dia memberanikan diri bertanya.
Arif tukar hala pandang. Zawiya di sebelah turut menoleh.

“Nak tanya apa-apa, tanya ajelah Su.” Sahutnya sambil beri isyarat pada Arif agar lebih tenang. Jelas benar riak tegang di wajah bekas suaminya itu.

“Su nak tanya apa?” Arif baru bersuara. Setenang mugkin.

“Abang Arif serius ke macam yang Wiya cakap?”

Arif hala pandang ke arah Zawiya. Tajam.

“Serius.” Sepatah.

“Abang tak kisah Su ni kawan Wiya?”

Arif lepas senyum tepi. Dihirup perlahan air kopinya.

“Abang yakin calon yang dia bagi adalah yang terbaik. Betul tak Wiya?” Terangkat sebelah keningnya. Menanti reaksi si bekas isteri.

“Insya-Allah.” Zawiya koyak senyum selebar mungkin meskipun hati sedikit terusik.

Arif senyum lagi.

“Hujung minggu ni, Su ikut abang balik kampung jumpa mak abang boleh? Sebelum kita puasa ni.”

Suraya dah bulat mata. Zawiya pula hampir tercekik dengan apa yang dituturkan Arif. Cepatnya! Dia ingat Arif main-main sebelum ini.

“Macam mana?” tanya Arif lagi.

Suraya pandang Zawiya sekilas. Dia perasan wajah Zawiya sedikit berubah.

“Insya-Allah kalau takde apa aral, Su ikut abang.” Senyum semanis mungkin dilemparkan.


1 comment:

MaY_LiN said...

ek..nape gitu
smp ati c arif ni
xperasan ke wiya tu ade hati lg