Part 4
+ Dia cantik. Pipi gebu. Memenuhi kriteria dan taste abang. Pandai
masak. Rajin. Baik. Paling penting sekali, waktu kerja dia normal. Ada banyak
masa dekat rumah. Mak abang mesti suka.
Berulang kali Arif baca pesanan
yang diterima daripada Zawiya. Entah kenapa hatinya rasa tak senang. Dikilas
jam di pergelangan tangan. Dia tiba 5 minit lebih awal daripada waktu yang
dijanjikan dengan Zawiya. Sabar dia menanti hinggalah pintu kafe ditolak 2
orang wanita. Zawiya yang anggun dalam persalinan pejabatnya. Manakala seorang
lagi anggun dalam persalinan kurung moden. Mata tak lepas pandang hingga kedua-duanya
melabuhkan duduk di hadapannya.
“Suraya?” Seperti tak percaya
dengan wanita yang mahu diperkenalkan Zawiya kepadanya. Dia kenal Suraya. Salah
seorang staf di pejabat Zawiya merangkap kawan baik bekas isterinya itu.
“Yes. Suraya. Dialah yang Wiya
cakap dengan abang tu.” Jawab Zawiya sambil mengerling ke arah sahabatnya yang
jelas malu dengan pertemuan itu meskipun mereka pernah kenal.
Arif lepas hela perlahan.
“Abang nak order. Jom Wiya teman
abang.” Ujarnya seraya bingkas untuk ke kaunter. Dalam erti kata lain, dia
sengaja mahu bercakap dengan Zawiya secara personal.
Suraya hala pandang pelik.
“Wiya…”
Zawiya tarik senyum kelat.
Melihat riak kurang senang Suraya, dia rasa serba salah. Tambahan pula dengan
riak Arif yang sukar ditafsirkan. Ditepuk beberapa kali tangan sahabatnya itu
sebelum ikut bingkas.
“Aku order macam biasa ya?”
ucapnya sebelum terus berlalu mendapatkan Arif yang sedia menanti di kaunter
untuk membuat pesanan.
“Apa sebenarnya yang Wiya cuba
buat?” tanya Arif terus sebaik pesanan dibuat.
Zawiya berkerut.
“Apa yang Wiya buat? Kan hari tu
Wiya dah janji nak kenalkan abang dengan someone. Someone tu Suraya. Abang kan
kenal dia?”
Arif lepas hela berat. Dipandang
sekilas ke arah meja yang diduduki tadi. Suraya yang cukup ayu dan mampu
memikat mana-mana hati lelaki yang memandang. Tapi bukan dia. Dia hormatkan
gadis itu sebagai sahabat baik Zawiya.
“Tapi kenapa Suraya?” luahnya tak
puas hati.
“Sebab dalam banyak-banyak kawan
Wiya, Wiya paling kenal dan percayakan Suraya. Wiya kenal hati budi dia. Wiya
yakin dia mampu bahagiakan abang. Dan yang paling penting mak mesti suka dia.”
Jelas Zawiya cukup yakin.
Arif menggeleng bersama keluh yang
terlepas.
“Abang tak fahamlah. Macam mana
Suraya boleh ikut cadangan gila Wiya ni. Dia bukan tak kenal abang. Dia tahu
kita pernah jadi suami isteri dulu.” Luahnya kurang senang.
“Tu lima tahun dulu, bang.” Cukup
perlahan meniti bibir Wiya. “Selama Wiya kenal Suraya, dia belum pernah rapat
dengan mana-mana lelaki pun bang. Tak salah rasanya kalau Wiya bagi peluang
pada dia. Lagi pun, Wiya rasa dia aje yang boleh jaga abang. Jauh lebih baik
dari Wiya pernah jaga abang dulu…”
Arif lepas rengus bersama gelengan.
Langsung tak bersetuju dengan hujah bekas isterinya itu. Masa depan sukar
diramal. Semuanya adalah pertaruhan. Luaran seseorang tak menjaminkan apa-apa. Terus
dibawa minuman yang dipesan ke meja semula.
Suasana kekok mengisi ruang
antara mereka. Suraya sesekali angkat mata memandang ke arah Arif. Tetapi
lelaki itu menghalakan renung tajam ke arah Zawiya di sisi. Langsung tak lepas
sejak tadi. Namun sahabatnya itu cuma beriak selamba dan leka menikmati
croissant. Dia tahu pasangan itu masih menyimpan rasa yang sama. Tetapi sengaja
cuba menafikannya. Baik Arif mahupun Zawiya. Dia kenal Zawiya. Dan disebabkan
itu dia menerima tawaran Zawiya untuk kenal dengan Arif lebih dekat.
Dehaman dilepaskan beberapa kali.
“Erm… Su nak tanya Abang Arif satu
benda boleh?” Dia memberanikan diri bertanya.
Arif tukar hala pandang. Zawiya
di sebelah turut menoleh.
“Nak tanya apa-apa, tanya ajelah
Su.” Sahutnya sambil beri isyarat pada Arif agar lebih tenang. Jelas benar riak
tegang di wajah bekas suaminya itu.
“Su nak tanya apa?” Arif baru
bersuara. Setenang mugkin.
“Abang Arif serius ke macam yang
Wiya cakap?”
Arif hala pandang ke arah Zawiya.
Tajam.
“Serius.” Sepatah.
“Abang tak kisah Su ni kawan
Wiya?”
Arif lepas senyum tepi. Dihirup
perlahan air kopinya.
“Abang yakin calon yang dia bagi
adalah yang terbaik. Betul tak Wiya?” Terangkat sebelah keningnya. Menanti
reaksi si bekas isteri.
“Insya-Allah.” Zawiya koyak senyum selebar
mungkin meskipun hati sedikit terusik.
Arif senyum lagi.
“Hujung minggu ni, Su ikut abang
balik kampung jumpa mak abang boleh? Sebelum kita puasa ni.”
Suraya dah bulat mata. Zawiya
pula hampir tercekik dengan apa yang dituturkan Arif. Cepatnya! Dia ingat Arif
main-main sebelum ini.
“Macam mana?” tanya Arif lagi.
Suraya pandang Zawiya sekilas.
Dia perasan wajah Zawiya sedikit berubah.
“Insya-Allah kalau takde apa
aral, Su ikut abang.” Senyum semanis mungkin dilemparkan.
1 comment:
ek..nape gitu
smp ati c arif ni
xperasan ke wiya tu ade hati lg
Post a Comment