Jun 1, 2017

Mungkin untuk sekali lagi_short part 2

PART 2

5 tahun lalu…

“Cuba abang cakap dengan Wiya, apa yang tak cukup dekat rumah ni? Makan pakai abang, semua Wiya jaga. Apa lagi yang abang tak puas hati?” Walaupun rasa marah begitu membuak, dia masih mampu lagi tahan demi tak mengeruhkan keadaan. Semua hanya kerana dia balik agak lewat malam itu.

“Tak cukup dengan makan pakai aje, Wiya. Abang nak lebih dari tu! Abang nakkan perhatian Wiya sepenuhnya!” tegas Arif.

“Perhatian? Perhatian apa yang tak cukup lagi abang? Wiya rasa, Wiya tak pernah sekali pun abaikan abang.”

Senyum sinis terbentuk di bibir Arif.

“Tu Wiya yang cakap. Tapi yang rasa… Abang ni Wiya. Kahwin tapi macam orang tak kahwin! Balik lewat malam macam dah takde suami. Wiya ingat abang ni apa?”

“Abang…” Dari perasaan marah dalam hati, kini sebak pula yang menjelma. Hangat pelupuk matanya. Cukup kecewa dengan apa yang terluah di bibir suaminya itu.

“Wiya tahu tak, dah 3 tahun kita kahwin. Makin lama, abang rasa kita makin jauh. Setiap kali abang perlukan Wiya, Wiya takde. Wiya sibuk dengan bos Wiya! Bos bos bos! Macam dah takde orang lain dekat company Wiya tu kan? Abang dah muaklah dengan alasan Wiya! Baru seminggu kita berpuasa, Wiya cakap dengan abang berapa kali kita dapat berbuka bersama?”

“Abang…” Zawiya cuba paut lengan Arif. Namun lelaki itu laju menepis membuatkan air mata yang ditahan hampir gugur. Sepanjang bersama, belum pernah lagi Arif sekasar itu. “Abang tahu kerja Wiya macam mana kan? Wiya takde pilihan abang…” Dia cuba memujuk.

“Bukan takde pilihan. Tapi Wiya yang tak nak buat pilihan! Berapa kali abang suruh Wiya berhenti aje kerja dengan Datuk tu. Tapi Wiya yang degil! Wiya ingat, abang tak mampu nak jaga makan pakai Wiya ke kalau Wiya berhenti? Abang mampu lagi Wiya!” luah Arif yang meletakkan seluruh kesalahan ke bahu isterinya itu.

“Abang… Wiya mintak maaf kalau selama ni, abang rasa terabai. Tapi Wiya dah buat yang terbaik untuk rumah tangga kita, bang. Tolong bagi Wiya untuk baiki semuanya semula kalau tu dapat puaskan hati abang… Wiya janji, Wiya akan bagi sepenuh perhatian Wiya pada abang.” Zawiya kekal berlembut jika itu dapat menjernihkan keadaan. Sedar yang dia tidak cukup prihatin dengan apa yang dirasai Arif selama mereka bersama.

“Peluang cuma satu aje Wiya. Sama ada Wiya berhenti terus dari kerja dengan Datuk tu, atau kita buat haluan masing-masing.” Arif bertegas. Kata putus diberi. Dan dia mengharap Zawiya buat keputusan yang terbaik demi menyelamatkan rumah tangga mereka.

“Abang…” Gugur juga air mata Zawiya kala itu. Pilihan yang terlalu sukar dibuat memandangkan dia terlalu sayangkan kerjayanya sekarang ini. Bukan mudah untuk jadi orang kepercayaan orang ternama. Dia dah bekerja sebagai setiausaha merangkap pembantu peribadi keluarga Datuk Zaman hampir 10 tahun. Terlalu sukar untuk dia meninggalkan kerja tersebut memandangkan dia dah terlalu banyak terhutang budi dengan keluarga Datuk Zaman.

“Pilih Wiya. Kalau Wiya nak rumah tangga kita ni berpanjangan, tolong pilih. Abang dah tak nak kita hidup macam ni lagi Wiya. Dah cukup 3 tahun abang bagi masa untuk Wiya. Sayangnya… Wiya langsung tak peduli apa yang abang cakap sebelum ni. Wiya lebih pentingkan kerja dari abang… Sampaikan untuk ada anak pun, Wiya takde masa. Jujur abang cakap. Dalam keadaan Wiya yang terlalu sibuk uruskan keluarga Datuk tu… Kita memang takkan ada harapan untuk ada anak…” Suara Arif lebih mengendur berbanding tadi.

“Rezeki anak bukan kerja kita bang… Bukan kita tak usaha…” Lemah Zawiya balas. Pilu hatinya bila perihal zuriat pula ditimbulkan. Padahal ada isu yang lebih besar yang menjadi punca kedinginan rumah tangga mereka sejak akhir-akhir itu. Cuma dia yang tak sanggup untuk timbulkan demi menjaga hati lelaki itu selain ia akan membawa fitnah jika hal tersebut tak benar. Dia tahu ada seorang wanita yang cuba mendekati Arif kebelakangan itu. Tapi sengaja tak disuarakan kepada Arif untuk mengelakkan kedinginan rumah tangga mereka berterusan.

“Memang kita usaha. Tapi Wiya tak pernah bersungguh! Balik-balik abang yang beriya-iya nak kita ada anak cepat. Tapi Wiya? Abang tak nak ungkit hal dalam kelambu kita, Wiya. Tapi Wiya boleh faham sendiri keadaan kita macam mana.”

Zawiya kemam bibir kuat. Laju air hangat yang menuruni pipi. Terasa dia dah benar-benar gagal jadi seorang isteri yang cukup baik buat lelaki yang terlalu dicintai itu.

“Wiya mintak maaf abang, kalau selama ni Wiya gagal jadi isteri yang terbaik untuk abang. Wiya tahu, Wiya dah banyak buat dosa pada abang dalam Wiya tak sedar.” Ucapnya dalam esak tangis. 
“Wiya rasa...” Wajah yang lencun diseka perlahan. Nafas ditarik dalam-dalam dan dihembus perlahan demi meredakan segala rasa yang bermukim dalam hatinya kini.  “Wiya serahkan semua keputusan dekat tangan abang kalau itu dapat puaskan hati abang…”

Arif hala renung tajam ke arah isterinya yang menunduk.

“Apa maksud Wiya?” Dadanya mula berdebar.

Zawiya angkat muka. Dipandang sayang wajah lelaki yang menjadi tempat dia berlindung dan bergantung selama ini. Lelaki yang pernah menyayanginya sepenuh hati tanpa sebarang alasan.

“Wiya tak boleh berhenti kerja, abang…” jawabnya tekad meskipun keputusan itu bakal melukakan hatinya sendiri.

“Wiya…” Arif hilang kata. Tak menyangka itu yang terbit di bibir isterinya.

“Wiya tahu ada orang lain yang sedia tunggu abang lepas kita…” Zawiya gigit bibirnya kuat. Tak sampai hati mahu meluahkan perkataan seterusnya. “Wiya reda abang. Wiya tahu abang layak dapatkan yang lebih baik dari Wiya… Wiya mintak maaf abang…” Tangisnya kembali berlagu.

Arif geleng beberapa kali. Rengus kasar dilepaskan. Diraup wajahnya beberapa kali demi meredakan dada yang mula berombak.

“Wiya yakin dengan apa yang Wiya pilih?” soalnya dengan wajah yang cukup tegang. Suaranya bergetar menahan rasa marah.

Zawiya kemam bibirnya kuat sebelum menunduk kembali. Menekur hujung kaki yang terasa cukup dingin.

Arif tarik nafas panjang. Tak lepas memandang wajah wanita yang dah lencun itu dengan perasaan yang bercampur-baur.


“Nurul Zawiya binti Ahmad. Aku lepaskan kau dengan talak satu.” Habis menutur kata Arif terus berlalu ke pintu utama rumah bersama pelupuk yang hangat. 

No comments: