Jun 14, 2017

Mungkin untuk sekali lagi_part 6

Part 6

“Memang dari dulu tak pernah rapat dengan mana-mana lelaki?”

Soalan-soalan yang meniti di bibir Mak Tom sejak tadi memang tajam dari mata pedang. Langsung tak bertapis. Sama seperti yang diceritakan Zawiya. Dia kena bijak menjawab soalan-soalan tak terjangka daripada Mak Tom kalau nak jadi calon menantu pilihan.

“Memang tak pernah Mak Tom.” Jujur Suraya jawab dengan wajah yang membahang. Terpandang wajah Arif dan Haji Aziz yang turut sama ada di situ.

“Memang tak nak kenal, atau Su ni memilih? Maklumlah… Mak Tom pun faham zaman sekarang ni. Bukan semuanya lelaki boleh kita percaya senang-senang kan? Mak Tom pun bukannya percaya sangat dekat si Arif ni haa. Apa yang dia buat dekat belakang Mak Tom pun, Mak Tom tak tahu. 
Kalau tak, takdenya kahwin baru tiga tahun boleh bercerai kan? Padahal bertahun-tahun kenal budak Wiya tu.” Mak Tom jeling Arif penuh makna.

Suraya senyum pahit. Arif kekal tenang.

“Maaflah Su, kalau tak senang dengan apa yang Mak Tom tanya. Mak Tom bukan apa… Mak Tom tak nak Su jadi macam calon-calon yang pernah Arif bawak jumpa Mak Tom sebelum ni.” Sambung 
Mak Tom bila perasan akan renungan tajam suaminya.

“Mak ni… Tak payahlah nak ungkin tu semua. Yang dah lepas tu, lepaslah. Su pun dah tahulah mak.” Gumam Arif dengan sengih kelat.

“Mak tak nak benda yang sama jadi di kemudian hari. Kalau betul-betul serius, buat cara serius. Mak tak suka Arif main-main dengan hal perasaan orang ni. Ni anak dara orang. Bukan macam anak dara Si Manap tu.” Balas Mak Tom tegas.

“Ada ke mak samakan Su ni dengan anak dara Si Manap. Kalau dengar Si Manap, tak ke dia kecil hati?” tingkah Arif.

Haji Aziz terus mengucap panjang.

“Yang sampai nak libatkan lembu aku tu dah kenapa pulak?” celahnya bersama gelengan.
Suraya tahan senyum.

“Su, kalau kamu dengar dua beranak ni bertekak, sampai esok takkan habis. Merepek yang banyak dari yang betulnya.” Tambah Haji Aziz yang cukup masak benar dengan perangai isteri dan anak sulungnya itu.

Suraya lepas tawa kecil. Terhibur dia tengok telatah Mak Tom dan Arif. Patutlah Zawiya sayang sangat dengan ahli keluarga Arif.

“Abang ni… Saya bagi contoh ajelah!” Mak Tom lempar jeling ke arah suaminya itu.
Haji Aziz lepas rengus.

“Macam dah takde contoh lain yang awak nak bagi. Nama Si Manap jugak yang awak sebut kenapa? Haihh… Tak kuasalah aku nak layan.” Haji Aziz terus bingkas. “Ha Su, kamu makan ikan tilapia? Kalau makan, boleh pakcik bagi tahu budak-budak yang tengah tangkap dekat kolam tu tinggalkan sikit sebelum jual.”

“Tak payah susah-susahlah pakcik..” tolak Suraya serba salah.

“Takde yang susahnya. Benda ada. Nanti kamu balik, kirimkan sekali pada Wiya. Dia suka makan ikan tilapia tu. Dia pun dah lama tak balik.” Tambah Haji Aziz sebelum terus berlalu.

Suraya tak sempat membalas bayang Haji Aziz sudah pun hilang di sebalik pintu.

“Abang Rif, Su ni datang dah buat susah-susah ayah dengan mak abang aje.” Ujarnya benar-benar rasa bersalah.

“Hesy! Apa cakap macam tu? Takde yang susahnya Su. Kalau susah, Mak Tom awal-awal cakap susah.” Sahut Mak Tom.

“Su, siapa pun tetamu yang datang ke rumah family abang ni, mak ayah abang tak pernah nak beza-bezakan. Semua dia orang layan macam keluarga sendiri. Betul tak mak?” Arif sengih.

“Pandailah kau tu. Yang sekarang ni macam mana?” balas Mak Tom dengan kening sebelah terangkat. Berbalik ke topik asal yang sedang dibincangkan.

Suraya telan liur. Dia tak sangka Mak Tom benar-benar serius dengan tujuan kehadirannya hari itu.

“Mak, orang baru nak kenal rapat dengan Su ni. Bagilah masa.” Jawab Arif yang perasan akan riak Suraya yang sedikit berubah.

Mak Tom lepas hela panjang.

“Suka hati kaulah Rif. Mak kau ni dah penat asyik nak jadi tukang fikir masa depan kau aje. Cuma satu aje mak harap, jangan nak mainkan perasaan anak orang ni. Mak tak suka. Ingat tu?” Amaran diberi.

“Don’t worry mom. Ada jodoh tak ke mana. Kan Su?”

Sekali lagi Suraya senyum kelat. Tak terjawab.
Mak Tom lempar jeling lagi. Dia masih memasang harap agar Zawiya kembali menjadi menantunya.
……………..
“Su, abang mintak maaf ya kalau Su tak selesa dengan keluarga abang. Terutamanya mak abang tu. Wiya mesti dah cerita macam mana perangai mak abang tu kan?”

Suraya tarik senyum nipis.

“Abang jangan risaulah. Su okey. Sebab tu Su setuju datang rumah keluarga abang ni. Su nak kenal sendiri macam mana keluarga abang. Tak sangka, meriah betul.” Gelak kecilnya terlepas bila teringat semula perbualannya bersama ibu bapa lelaki itu awal tadi.

Seketika masing-masing kematian kata. Membiarkan beberapa ketika masa berlalu tanpa suara.

“Su.”

“Hmm…”

Suraya yang bersandar di badan kereta menoleh ke sebelah. Arif turut sama bersandar di sebelahnya.

“Su betul-betul tak kesah ke nak berkawan dengan abang?”

Suraya lepas senyum lagi.

“Kalau kesah, awal-awal lagi Su tolak.”

“Boleh abang tahu atas sebab apa Su setuju nak kenal dengan abang? Su tahukan abang cari calon isteri. Bukan teman biasa-biasa.” Setelah seminggu soalan itu cuma berlegar dalam kepalanya saja.

Suraya terus senyum. Penuh makna. 

No comments: