Oct 3, 2018

Yang Sebenarnya Aku Tetap Sayang_9


Bab 9
“Hari ni Abang nak makan apa? Abang cakap aje nak makan apa, ummi masakkan.”

Azhan kerling cermin pandang belakang. Cukup ceria wajah umminya yang baru kebah dari demam melayan kerenah Aqif dan Sofia. Sudah seminggu umminya tak turun ke dapur sejak demam. Mujur adiknya pandai memasak. Segala-galanya diuruskan Idris.

“Han nak makan apa hari ni? Rasa macam dah lama sangat ummi tak masak. Kesian Id kena masak sebelum dia pergi kelas seminggu ni.” Hajah Suhara tuju soalan ke arah si anak yang cuma mendiamkan diri sejak bertolak dari rumah tadi.

“Erm… Apa-apa ajelah.” jawab Azhan tak bernada. Seperti selalu, dia dah tak pernah lagi nak mengharapkan apa-apa pun dari umminya sejak kehadiran Aqif dan Sofia. Segala keinginannya selama ini, terpaksa ditolak tepi.

“Ummi, Along suka makan udang. Ummi masak udanglah.” Aqif yang menyahut.

“Erm… Kalau macam tu, macam-macamlah ummi kena masak hari ni kan? Abang nak ketam. Fia nak ayam goreng. Acu nak sotong. Along nak udang. Banyak tu. Kalau tak habis nanti, siapa nak habiskan?”

“Erm… Ummi, ummi ajaklah Tuk Lim. Mesti best kalau Tuk Lim datang.”

“Kakak Cantik! Fia nak jumpa Kakak Cantik.” Sofia yang leka menyelak-nyelak buku cerita yang dibeli Azhan tempoh hari, tiba-tiba mencelah.

Azhan toleh sebelah sekilas. Sofia yang duduk di sebelahnya sejak tadi turut hala pandang. Hajah Suhara turut hala mata ke arah Azhan.

“Kakak Cantik ada balik sini ke?” Soalan dituju khas buat Azhan.

“Semalam, Kakak Cantik datang school Abang dengan Tuk Lim, ummi.” sahut Aqif.

“Yeke? Kalau macam tu, nanti ummi telefon Tuk Lim suruh dia datang dengan Kakak Cantik sekali.” balas Hajah Suhara senang meskipun banyak soalan yang mahu ditanyakan kepada si anak.  

Azhan dah buat muka tak berperasaan. Buat-buat tak tahu tentang ‘Kakak Cantik’ yang dimaksudkan.

“Han, telefon ummi tertinggal dekat rumah. Han telefonlah Uncle Halim. Ajak sekali Auntie Laila dengan Aneera. Agaknya Aneera ada balik cuti ni.” ujar Hajah Suhara sebaik kereta yang dipandu Azhan masuk ke petak parkir pasar.

“Yelah.” Ringkas. Malas dia nak bantah meskipun hati menolak untuk bertembung muka dengan gadis bernama Aneera. Dan dia cukup yakin Aneera tak mungkin mahu bertemu dengannya lepas apa yang jadi semalam. Teringat apa yang jadi semalam, bibir tarik senyum nipis tak semena-mena. Terbayang-bayang muka Aneera yang merah padam menahan marah.

…………..
“Kau apa hal dekat sini? Tak reti nak tolong dekat dapur tu? Ke kau memang tak pandai masak?” Selamba Azhan menempelak sebaik susuk tubuh gadis itu muncul di tepi kereta arwah ayahnya. Tangan kembali mengelap badan kereta yang baru saja dicuci itu.

Aneera ketap rahang kuat. Rasa menyesal dia bersetuju datang ke situ tadi. Dah dijangka dia akan bertengkar dengan Azhan memandangkan hal semalam masih belum selesai. Rasa marahnya tak sempat dihamburkan.

“Bawak-bawaklah belajar masak. Kau tu perempuan. Esok lusa dah kahwin, laki cari lain pulak sebab tak pandai masak.” Sekali lagi Azhan simbah minyak pada api yang sedia marak. Nafas Aneera yang mula turun naik langsung tak dihiraukan.

“Nak marahlah tu. Cakap sikit, nak marah. Lepas tu sentap. Tu ajelah kerja orang perempuan.” giat Azhan berterusan bila Aneera langsung tak membalas.

“Awak cakap apa? Sentap kerja orang perempuan?” balas Aneera dengan mata membulat. Terasa ringan sungguh tangannya mahu membaling sandal yang tersarung di kaki. Biar tersumbat masuk ke mulut celopar lelaki itu.

“Yelah! Perempuan kan memang kaki sentap. Baru tahu ke? Contohnya macam kau sekarang ni.” tingkah Azhan tak nak kalah.

Sekali lagi Aneera ketap bibir. Kau kata aku kaki sentap? Gerutunya dalam hati. Hujung mata terasa panas.

“Abahhh!” Jeritnya sekuat hati.

Terkaku Azhan di tepi kereta. Terperanjat. Tak sangka Aneera akan menjerit.

“Kenapa sampai menjerit ni?” Muncul Abdul Halim di muka pintu bersama Aqif dan Sofia sebelum disusuli dengan Laila dan Hajah Suhara. Masing-masing hala pandang ke arah Aneera dan Azhan bersilih ganti.

“Kenapa ni Han?” lembut Hajah Suhara bersuara. “Aneera?”

“Auntie, Neera tumpang toilet kejap.” Laju Aneera hala langkah ke dalam. Disembunyikan air mata yang hampir gugur daripada pandangan semua yang ada di situ.

“Han…” Hajah Suhara hala pandang tajam pada si anak.

“Han tak buat apa-apa pun ummi.” jawab Azhan selamba seraya tangan sambung kembali mengelap kereta.

“Neera ada kacau Han ke?” Laila pula menyampuk.

Azhan senyum kelat.

“Takdelah, Auntie.”

“Sudahlah tu. Tak payah campur urusan budak-budak. Baik awak tengok apa yang jadi dekat dapur tu.” ujar Abdul Halim meredakan keadaan. Hajah Suhara sempat hala pandang penuh makna pada anaknya sebelum beriringan dengan Laila masuk ke dalam rumah kembali.

Sofia dan Aqif dah lebih awal masuk sebaik Aneera berlalu tadi.

“Han tak suka Neera datang sini ke?” Abdul Halim kembali bersuara sebaik mereka tinggal berdua.

Azhan angkat muka. Tangannya terhenti. Rasa bersalah mula menjentik tangkai hati. Langkah dibawa mendekati Abdul Halim.

Sorry Uncle. Han takde niat pun nak sakitkan hati anak Uncle.” ucapnya serba salah.

Abdul Halim lorek senyum nipis.

“Anak Uncle tu memang perangai macam budak-budak sikit, Han. Uncle mintak maaf bagi pihak dia kalau dia ada sakitkan hati Han dari semalam.” tenang Abdul Halim ucapkan. Dia perasan sepasang mata bulat anak bongsunya memerah tadi. Dan semestinya Aneera menangis.

“Er… Anak Uncle takde buat salah pun dengan Han. Han yang usik dia dari semalam. Han tak sangka dia nak jerit tadi. Sorry Uncle.” akui Azhan mengalah demi menjaga hati Abdul Halim yang selama ini sudah banyak membantu keluarganya.

“Takpelah Han. Uncle pun bukan nak masuk campur masalah kamu dengan dia. Masing-masing dah besar. Boleh fikir sendiri kan?” balas Abdul Halim penuh makna.

“Err… Betullah tu Uncle.” Azhan senyum pahit. Rasa tersindir. Dia pun dah macam budak tak matang.

…………..
Lepas makan tengah hari, Azhan pilih duduk di ruang rehat sementara menanti masuk waktu Zuhur. Kata ummi, dia nak solat berjemaah. Dah lama sangat mereka tak bersolat jemaah lepas ketiadaan arwah ayah.

Mata kerling ke ruang tamu bila telinga menangkap suara gelak tawa Aqif dan Sofia bersama Aneera. Melihat keceriaan di wajah ketiga-tiganya, ada cemburu berputik. Setahunya, Aqif dan Sofia takkan mudah mesra dengan orang yang tak dikenali. Tetapi tidak dengan Aneera. Gadis itu begitu bijak menarik perhatian kedua-duanya.

Terpandang wajah ceria Aneera, nafas pendek terlepas di bibirnya. Teringat ketika di meja makan tadi. Cukup jauh berbeza. Dia lebih banyak menunduk dan menjawab hanya bila ditanya. Dari situ, serba sikit dia tahu tentang Aneera yang bekerja di negeri orang. Patutlah dia tak pernah kenal dengan gadis itu sebelum ini.

Ilai tawa yang bergema dari ruang tamu sekali lagi menarik perhatiannya. Mengekek Sofia gelak bila Aneera cuba menggeletek. Tak semena-mena bibirnya menarik senyum bila melihat Sofia yang tak berhenti ketawa. Jarang-jarang dia dapat dengar Sofia gelak sedemikian rupa.

“Han…”

Muka berkalih. Senyum terus mati. Letak tubuh di sofa diperbetul apabila umminya mengambil tempat di sebelah. Dikerling lagi ke arah ruang tamu. Uncle Abdul Halim bersama Auntie Laila baru muncul di situ.

“Apa yang dah jadi sebenarnya tadi? Sampai Aneera menangis Han buat.” tanya Hajah Suhara lembut.

 “Ummi ada nampak ke Han buat apa-apa tadi? Ummi nampak Han tengah lap kereta ayah kan?” jawab Azhan sedikit tidak puas hati dengan kata-kata berbaur tuduhan itu.

“Ye. Ummi nampak. Tapi apa yang Han dah buat?”

“Buat apa pulak?” tingkah Azhan malas.

Hajah Suhara hela nafas.

“Han tahu tak dia tetamu kita hari ni?”

“Han bukan budak kecil macam dia yang tak tahu hormatkan tetamu.”

“Kalau tahu, apa yang Han dah buat tadi? Han ingat ummi tak tahu yang Han marah dia lagi pasal hari tu? Han tak hormat langsung dengan Uncle Halim, Auntie Laila tu kan?”

“Apa ummi cakap ni? Bila masa Han tak hormat Uncle Halim dengan Auntie Laila? Ada ummi nampak Han biadab dengan dia orang?”

“Han!” Sedikit keras suara Hajah Suhara menyebabkan semua yang ada di ruang tamu memandang ke situ.

Azhan lepas rengus.

“Han ni memang anak derhaka kan, ummi? Biadab... Itu yang ummi nak dengar sebenarnya kan? Puas hati ummi sekarang?” luahnya tertahan sebelum terus bingkas. Laju langkah dibawa ke tangga tanpa menoleh ke arah ruang tamu lagi. Bukan tak tahu hormat. Tapi dia malu dimarahi umminya di depan tetamu yang ada. Terutamanya Aneera.

………….
“Along.”

Azhan angkat muka. Dipandang sekilas susuk tubuh yang berdiri di muka pintu biliknya.

“Kau nak apa?” Tanya tak bernada.

“Ummi panggil makan.”

“Nak makan aku tahulah nak ambil sendiri.” Dalam nada yang sama.

“Ummi ajak makan sama-sama.”

Sekali Azhan alih muka dari menatap komputer ribanya. Keluh pendek terlepas.

“Aku rasa kau faham apa yang aku cakap tadi kan?” balasnya mula dicuit rasa geram bila kerjanya terganggu.

“Along boleh tak jangan perangai macam budak-budak? Ummi tegur benda yang betul.” tingkah Idris yang cukup faham dengan kedinginan abangnya itu setiap kali berselisih faham dengan umminya.

“Sebab aku bukan budak-budaklah aku boleh cari sendiri kalau aku lapar. Cakap dengan ummi tak payah susah hati pasal aku.” tingkah Azhan tegas.

Idris lepas keluh panjang bersama gelengan. Kecewa dengan apa yang dah jadi. Sejak akhir-akhir itu makin kerap abang dan umminya berselisih faham. Cuma kali ini hanya disebabkan Aneera. Bukan disebabkan Sofia dan Aqif seperti selalu.

“Id tak tahulah sampai bila Along dengan ummi nak jadi macam ni.”

Tangan Azhan yang bermain di papan kekunci terhenti. Muka diangkat lagi.

“Kalau kau takde benda penting nak cakap, aku rasa elok kau keluar. Aku ada kerja ni, Id.” Sekali lagi dia bersuara tegas. Mata kembali tumpu ke arah skrin 12 inci di depannya.

Idris geleng lagi.

“Kalau arwah ayah ada lagi, Id rasa dia mesti kecewa dengan Along.” luahnya kesal.

“Orang yang dah takde, tak payah disebut lagi. Kau rasa, aku jadi macam ni pun sebab siapa?” jawab Azhan tak berperasaan.

Istighfar terlepas di bibir Idris.

“Lepas ni, Id takkan cakap apa-apa lagi dengan Along. Suka hati Alonglah nak buat apa pun. Cuma satu aje Id nak ingatkan. Kalau jadi apa-apa pada ummi, Id salahkan Along!” luah Idris sebelum terus berlalu.

Azhan ketap bibir kuat. Dua tangan menggenggam kuat menahan rasa yang terkepung dalam dada. Marah, sedih dan kecewa satu persatu menghentam dada menyebabkan hujung matanya terasa cukup hangat.

No comments: