DB 3
“Ibu!!!”
“Dah kenapa
agaknya budak ni.. Suka sangat terjerit-jerit.” getus Zainab saat terdengar
jeritan anak bongsunya yang tiba-tiba itu. Getah paip yang digunakan untuk
menyiram pokok-pokok bunganya segera diletakkan ke tempatnya kembali. Laju dia
melangkah masuk ke dalam rumah.
“Tiya ni
kenapa jerit-jerit? Tak malu ke jiran-jiran dengar?” Marahnya sambil bercekak
pinggang melihat Fathiyah sedang meniarap hingga setengah badan di bawah katil.
“Tiya cari apa ni?” soalnya sambil melihat keadaan bilik yang sudah bersepah.
Baru semalam dia mengemaskan bilik itu
kerana tahu anak bongsunya akan pulang cuti hujung minggu.
“Bu.. Gojes
hilang..” jawab gadis itu dari bawah katil.
“Macam mana pulak boleh hilang?” Soal Zainab lanjut
sambil mengutip bantal yang terdampar di atas lantai.
“Manalah Tiya
tahu bu.. Tadi Tiya nak ganti habuk kayu dia tu. Tiya letak dia kejap dekat
dalam kotak kasut tu.” jelas Fathiyah yang masih tercari-cari di bawah katil.
“Tiya tu yang
cuai. Dah tahu Si Gojes tu pantang dapat keluar, yang kamu tak kurung dia
betul-betul kenapa..” Kini Zainab turut sama mencari hamster kesayangan anak
bongsunya itu pula. “Ada ke tidak tu?” soalnya apabila anaknya itu masih lagi
tidak keluar.
“Ala.. Bu…
Takdalah bu bawah katil..” balas Fathiyah sambil membuang sawang-sawang yang
melekat di rambutnya sebaik keluar.
“Baik Tiya
pergi cari dekat luar tu. Nanti kalau jumpa Si Mary dengan Si Alex tu nanti..
Jangan haraplah kamu dapat Si Gojes tu balik. Tiya tak ingat dulu telinga Si
Gojes tu dekat terkoyak dikerjakan ‘budak’ berdua tu..” Zainab sibuk
mengemaskan baju-baju yang masih belum berbasuh, yang berlonggok di belakang
pintu. Itulah ‘kerja’ Fathiyah jika setiap kali pulang ke rumah sejak
bersekolah asrama lagi. Pasti banyak baju kotor yang akan dibawa pulang.
“Alah…”
Panjang Fathiyah mengeluh sebelum terus bingkas. Laju dia mengatur langkah
untuk mencari kelibat dua ekor kucing kesayangan abang sulungnya.
“Alex! Mary!”
Terjerit dia memanggil kedua-duanya dengan mata meliar ke sekeliling jika
ternampak akan kelibat tikus berbulu gebu kesayangannya.
“Cuba Tiya
cari dekat belakang. Tadi ibu bagi Si Mary dengan Si Alex tu makan.” Laung
ibunya dari dalam bilik.
Fathiyah tanpa
menunggu lama terus ke arah yang dimaksudkan. “Alex.. Mary..” Tidak henti dia
memanggil kedua-duanya. “Alah.. Time
aku panggil tak nak pulak datang. Time aku tak panggil, sibuk korang nak datang dekat dengan aku
kan..” Bebelnya sendiri apabila kelibat kedua-duanya masih tidak kelihatan.
Saat tiba di
muka pintu stor, kakinya terhenti. “Alah.. Ni yang aku malas ni..” Dia bebel
lagi. Tiada hati mahu menjejakkan kaki ke situ kerana terlalu banyak sejarah
yang telah disumbatkan ke dalam bilik tersebut. “Ibu!” Jeritnya dari depan
pintu bilik stor yang tidak bertutup rapat. Telinganya mula dapat menangkap
bunyi dari dalam bilik tersebut.
“Dah jumpa
ke?” Muncul Zainab di situ bersama sebuah bakul yang dipenuhi baju kotor dari dalam
bilik anak bongsunya tadi.
“Bu.. Ibu
masuklah.. Tu, Tiya dengar macam ada bunyi tu. Entah-entah Si Alex dengan Si Mary
ada dekat dalam tu.” ujarnya tanpa mahu menolak sedikit pun pintu bilik stor.
Sebaliknya dia berundur beberapa tapak ke belakang untuk memberi laluan kepada
ibunya.
“Habis tu,
pergilah masuk tengok. Entah-entah dia orang tengah main dengan Si Gojes kamu
tu.” balas Zainab yang sudah meletakkan bakul baju yang dibawa ke tepi mesin
basuh berhampiran.
“Ibu, ibu lupa
ke bilik puaka ni dah kena sumpah dengan Tiya. Jangan haraplah Tiya nak masuk.”
jawab Fathiyah selamba. Memang sudah tekad hatinya tidak mahu lagi masuk ke
bilik itu kerana terlalu banyak kenangan yang menyakitkan tersimpan di dalamnya
dua tahun lalu.
“Eleh.. Bilik puaka
apa bendanya. Habis tu, kalau ibu tak nak masuk jugak macam mana? Kamu sanggup nak biar Si Gojes kamu tu kena baham
dengan Si Mary, dengan Si Alex dalam tu?” Sengaja Zainab menduga.
“Alah.. Bu..
Janganlah main ugut-ugut macam tu bu..” Fathiyah mula merengek. Risau andai
ibunya serius dengan apa yang diucapkan.
“Ee..
Macam-macamlah kamu ni.” Gerutu Zainab sebelum menolak daun pintu.
Fathiyah terus
memalingkan wajah. Dia tidak mahu memandang segala isi bilik stor itu. Jika
terpandang akan segala barang yang terdapat di situ, pasti ia akan mengundang
rasa sedih di hati dan membuatkannya terkenang kembali sejarah paling pahit
dalam hidupnya.
“Tiya, tengok
Gojes kamu ni..” Zainab memanggil apabila melihat hamster kepunyaan anaknya itu
menyorok di dalam salah satu kotak kasut yang terjatuh dari rak yang ada.
“Ambik ajelah bu..” Balas Fathiyah masih
tidak mahu berpaling.
“Alah… Tiya,
Gojes Tiya lari la.. Tiya masuklah sini.. Dia tak nak dengan ibu.” Kata Zainab
yang cuba mendapatkan hamster gebu itu. Namun baru sahaja dia cuba menangkap,
Gojes terus berlari masuk ke bawah almari pula. Dengan timbunan barang yang
begitu banyak, agak sukar untuk dia mengeluarkan Gojes.
“Alah… Gojes
ni kan… Macam dah takda tempat lain nak masuk!” Rungut Fathiyah dengan keluhan panjang.
“Tiya masuk,
ibu tolong jagakan Mary dengan Si Alex ni. Nanti kalau ‘budak’ berdua ni dapat
tangkap Si Gojes tu, lagi susah.” Ujar Zainab lagi yang terus mengangkat dua
ekor kucing berbulu tebal warna putih dan oren itu sebelum dibawa keluar.
“Haih! Gojes
ni kan..” Dengan wajah yang masam mencuka terpaksa juga dia melangkah masuk ke
dalam stor tersebut. “Gojes!” Keras dia memanggil dengan wajah yang kelat.
Kotak kasut yang masih terdampar di atas lantai disepak kasar. Mendadak sakit
hatinya melihat kotak kasut berjenama terkenal itu.
“Kasut tak
bersalah tu yang kamu sepak kenapa?” Tegur Zainab yang berdiri muka pintu.
“Siapa suruh
dia dekat situ.” jawab Fathiyah selamba. “Gojes ni kenapa? Takda tempat lain
nak masuk ke?” Bebelnya lagi saat kelibat hamster kesayangannya mula kelihatan.
Terbongkok-bongkok dia mengintai di bawah almari lama itu untuk mencapai Gojes
yang mendiamkan diri di hujung sudut. Tanpa menunggu lama dia terus mencapai
Gojes dan dibawa keluar.
Zainab
menggeleng. Kasut tumit tinggi yang terpelanting ke tepi dinding dikutip.
“Sayang beli kasut mahal-mahal tak pakai.” ujarnya sambil meletakkan kembali
kasut tersebut ke tempatnya semula.
Fathiyah
mencebik. “Siapa yang nak pakai kasut dari budak senget tu! Baik bakar je lagi
bagus! Menyusahkan orang aje!” Bentaknya geram sebelum terus berlalu ke
biliknya. Perasaan marah, benci dan sedih bergumpal-gumpal dalam hati hingga
mengundang air jernih di tubir matanya. Sebaik dia memasukkan semula Gojes ke
dalam sangkar, tidak semena-mena air matanya merembes. Dan akhirnya dia
tersedu-sedan menangis sendirian.
******
Dua tahun lalu…
“Kenapa kau buat aku macam ni!
Apa salah aku!” Fathiyah menolak sekuat hati dada Shah yang berdiri kaku tidak
berperasaan di hadapannya. Air mata yang menuruni pipinya saat itu tidak lagi
diendahkan.
Shah tetap
kaku walaupun hatinya terasa disiat-siat saat melihat air mata yang menuruni
pipi gadis di hadapannya itu.
“Kenapa Shah..
Apa salah aku Shah.. Kalau kau dah ada orang lain, kenapa kau beria-ia sangat
suruh aku buat semua persiapan untuk kita bertunang. Buat apa tu semua kalau ni
yang aku dapat! Apa tujuan kau sebenarnya Shah.. Kau memang saja nak sakitkan
hati aku atau kau memang sengaja nak tengok aku macam orang bodoh macam ni!”
Turun naik nada Fathiyah menghamburkan rasa amarah. Sakit benar hatinya saat
itu apabila terasa cinta dan kasihnya selama ini seperti tidak bernilai.
“Aku mintak maaf Tiya.. Aku rasa kita dah
buat keputusan yang salah.. Kita muda lagi Fathiyah.. Lagipun, aku belum habis study lagi.. Aku rasa, belum tiba
masanya lagi kita ikat hubungan kita ni..” Tutur Shah cukup tenang walaupun
hatinya sendiri hancur dengan keputusan yang dibuat.
Fathiyah yang
sudah melabuhkan duduk di kerusi batu itu mengangkat wajahnya. Wajah Shah
direnung tajam. Panas telinganya tiba-tiba apabila mendengar alasan yang meniti
bibir si kekasih hati.
“Apa kau
cakap? Kita? Kita yang buat keputusan salah?” ulangnya diiringi senyuman sinis.
Air mata yang masih galak menuruni pipinya saat itu diseka kasar. “Aku ke, yang
buat keputusan untuk kita bertunang Sabtu ni? Aku ke Shah?” soalnya dengan
suara yang cukup lirih.
Sebulan lalu
Shah yang beria-ia mahu mengikat tali pertunangan dan dia sendiri bersetuju
memandangkan mereka sudah berteman sejak kecil lagi. Tambahan pula keluarga
mereka bersahabat baik dan merestui akan hubungan yang terjalin. Tetapi hari
ini..
“Sorry Tiya.. Bukan aku sengaja buat kau
macam ni.. Kau tahukan aku sayang kau sampai mati..”
“Sayang kayu
hoki kau! Macam ni kau cakap sayang?! Aku kena rasa sakit macam ni, kau baru
kata nak sayang aku?! Mana otak kau Shah! Kau dah tertelan bola hoki kau ke
sampai kau boleh buat aku macam ni!!” Fathiyah terus sahaja menghamburkan rasa
sakit hatinya belum sempat Shah menghabiskan kata. Berombak dadanya menahan
jiwa yang terluka kerana diperlakukan sebegitu. Kasih dan sayangnya terasa
dipermainkan.
Shah
melepaskan keluhan lagi. Terpaksa menelan kesat akan segala tuduhan yang
dilemparkan. Tahu yang ucapan kasih dan sayangnya tidak akan mampu memujuk hati
yang sedang terluka itu. “Tiya, aku bukan nak kita putuskan terus hubungan kita
ni.. Aku cuma mintak kita tangguhkan
aje dulu. Tu aje Tiya..” Dia tetap cuba memujuk.
Fathiyah
mengoyak senyum sinis lagi. “Kau ingat.. Lepas apa yang kau buat ni, aku boleh
maafkan macam tu aje? Kau ingat, aku senang-senang nak terima semua ni! Kau
ingat aku apa Shah? Kau bagi harapan, kau yang bersungguh suruh aku buat
semuanya.. Tiba-tiba hari ni kau datang, kau cakap nak tangguhkan pertunangan
kita ni? Kau ingat aku apa? Macam bola hoki kau yang boleh kau pukul jauh, lepas
tu kau kutip balik? Macam tu!” Keras suaranya menghamburkan rasa kecewa. “Aku bukan
kayu Shah.. Takda perasaan, takda hati..” Semakin laju air matanya merembes.
“Tiya.. Ada
sebab aku buat semua ni Tiya.. Aku tak nak kau rasa terikat lepas kita
bertunang nanti.. Kau pun ada cita-cita kau kan.. Aku pun ada cita-cita aku..
Perjalanan kita jauh lagi Tiya.. Ada jodoh tak ke mana..” Shah tahan hati.
Sedar akan kata-katanya itu seumpama minyak panas yang hanya akan menambah api
yang sedang marak menyala.
“Tak payah
tunggu cita-cita Shah! Cukup takat ni aje hubungan kita! Aku dah tak nak ada
apa-apa hubungan lagi dengan kau! Cukup sampai sini!” Putus Fathiyah sebelum
dia bingkas.
“Tiya!” Shah sempat
menyambar lengan Fathiyah dari terus berlalu.
“Lepaslah! Kau
pergilah kejar cita-cita kau tu! Anggap aje kita tak pernah kenal sebelum ni!
Ni yang kau nak sangat kan?!” Bentak Fathiyah sebelum terus berlalu masuk ke
dalam rumah. Meninggalkan Shah sendirian di situ.
******
“Shah..” Aqilah menyentuh lembut bahu
adik lelakinya yang jauh termenung duduk di tepi kolam ikan abahnya.
“Kak Long..” Shah
memaniskan senyum. Hilang bertaburan wajah sendu Fathiyah di ruang matanya tadi
bersama wajah-wajah orang yang disayangi.
“Menung apa
tu?” Aqilah berbasa-basi yang sudah mengambil tempat di sisi.
Shah tetap
melemparkan senyum. Namun senyuman kian bertukar payau. Tidak berperisa.
“Tak nak ke share dengan Kak Long?” Aqilah cuba
memancing. Dia seperti dapat meneka apa yang tersirat di hati adiknya saat itu.
“Takda apa nak share
kak..” Shah menghela nafas panjang. Pandangannya jauh dilontarkan ke dada
langit yang sedikit gelap.
“Ia ke takda
apa? Macam ada apa-apa aje?”
Shah tersengih
pula. Wajah kakak sulungnya itu dipandang sayang. “Akak ni macam tahu-tahu
ajelah. Patutlah akak jadi pakar psikologi.” balasnya lambat.
“Well.. Now tell me..” Aqilah membetulkan
letak duduknya. Terus sahaja dia bersila menghadap Shah. Sedia untuk mendengar
luahan hati adik kesayangannya itu.
Shah senyum
lagi. Wajah kakaknya itu dipandang lagi sebelum sengihan di bibirnya mati.
Nafas ditarik dalam-dalam. “Shah jumpa Tiya dekat kampus.” keluhnya perlahan.
Aqilah mengoyak
senyum. “Sebab tu aje?” Balasnya yang tidak terkejut pun mendengar apa yang
diberitahu kerana dia sedia maklum akan hal itu daripada Suhana. Sahabat
baiknya sendiri.
“Ada hal lain
lagi..” jawab Shah malas.
“Apa dia?”
“Shah nak cari
mak.” tutur Shah sambil memandang ke wajah ayu kakaknya.
Aqila terkedu.
Senyumnya mati. Wajahnya mula berkerut sebelum keluhan berat terlepas. “Shah
lupa ke apa yang umi cakap?” soalnya mendatar sebelum memusingkan tubuh
menghadap kolam ikan di hadapannya.
“Shah ingat kak..
Tapi Shah..”
“Takda
tapi-tapi lagi Shah. Shah lupa, apa yang umi pesan dengan Shah hari tu? Takda
siapa tahu, takda siapa kenal pun mak Shah.” Aqilah memintas dan bersuara
tegas.
“Tapi kak..”
“No! Stop it Shah. Akak tak suka Shah
cakap benda ni lagi. Kalau umi dengar macam mana? Kecik hati ummi. Lupakan aje niat Shah tu..” Sekali lagi Aqilah
memintas dalam nada yang sama.
“Akak.. Shah
tak boleh terus hidup macam ni kak..”
“Apa yang tak
boleh? Cuba Shah cakap dengan akak. Selama ni, Shah lupa, Shah duduk dengan
siapa, siapa yang besarkan, siapa yang sekolahkan Shah sampai berjaya sampai
hari ni? Apa yang tak bolehnya?” Tebak Aqilah yang cukup tidak suka hal itu
ditimbulkan walaupun sudah berkali-kali diingatkan.
“Akak tak
faham apa yang Shah rasa..” Mengendur suara Shah meluahkannya.
“Cukuplah Shah!
Akak tak nak dengar lagi! Buat apa Shah cari orang yang dah buang Shah. Bukan
buang, tapi yang cuba bunuh Shah. Buat apa?!” Aqilah mula beremosi.
“Akak..”
“Cukup Shah!
Akak tak nak dengar lagi!” Pintas Aqilah dengan wajah yang cukup tegang. “Shah
dengar sini baik-baik apa akak nak cakap.” Dia menarik bahu Shah agar sama-sama
menghadapnya. Dua tapak tangannya dilekapkan ke wajah lelaki itu.
“Kita orang
semua sayang Shah sangat-sangat. Umi sayang Shah.. Abah sayang Shah.. Rina..
Awin.. Semua sayang Shah.. Kita orang tak pernah pun anggap Shah macam orang
luar. Umi sayang Shah, lebih dari kita orang semua. Akak dengan adik-adik yang
lain, tak pernah pun ambik hati. Itu
pun tak cukup lagi ke? Tolonglah Shah.. Kesiankan umi, kesiankan abah yang dah
susah-susah jaga Shah selama ni..” pujuknya lirih dengan genangan air mata.
“Kak Long..” Shah
terus sahaja mendakap tubuh kecil Aqilah. Sebak yang bertandang tidak mampu
lagi ditahan. Merembes lagi air mata lelakinya apabila mengenang akan status
diri yang tidak mampu ditafsirkan.
Dalam pada
itu, ada hati lain yang turut menangis apabila melihat kedua-dua insan yang
disayangi saling berdakapan. Dia bangga kerana memiliki kedua-duanya.
No comments:
Post a Comment