Jun 15, 2014

Dambaan Bahagia_bab 11

DB 11

“Umi, boleh tak jangan bagi tahu ibu apa yang jadi?” pinta Fathiyah saat mereka duduk di ruangan menunggu. Kakinya masih lagi bengkak walaupun sudah berbalut. Mujur selepas melakukan x-ray tadi, doktor mengesahkan tiada apa-apa kecederaan teruk. Cuma terseliuh. Namun begitu, terjerit juga dia apabila doktor cuba menekan sedikit kakinya yang bengkak.

                Hajah Aznah menghela nafas panjang. Bahu gadis itu diraih dan diusap lembut. “Ibu mana yang tak risau kalau tengok anak dia sakit Tiya?”

                “Sebab Tiya tak nak ibu risaulah, Tiya tak nak ibu tahu Tiya macam ni.” keluh Fathiyah perlahan.

Kini dia terpaksa menyusahkan keluarga Shah semata-mata kerana kakinya yang sakit. Shah yang duduk selang beberapa kerusi dari mereka dipandang kosong. Sungguh dia terasa hati walaupun dia sendiri turut melukakan hati lelaki itu.

“Umi risau tau tengok Tiya macam ni.. Nasib takda apa yang teruk. Kalau tak, apa umi nak jawab pada ibu Tiya nanti..”

“Bukan salah umi Tiya macam ni.. Tiya yang careless umi. Tak hati-hati masa naik tangga.” jawab Fathiyah menahan sebak. Kalaulah umi tahu apa yang terjadi, pasti wanita itu akan kecewa dengannya.

“Nur Fathiyah Abdul Rahman.” Terdengar namanya dipanggil menyebabkan Hajah Aznah terus bingkas. Namun, Shah yang mendahului. Tanpa riak, lelaki itu melangkah ke kaunter untuk menjelaskan segala bayaran rawatan yang diterima.

“Dah. Jom balik.” ujar Shah sebaik kembali semula bersama bungkusan ubat.

“Jom, kita balik.” Hajah Aznah menarik kerusi roda yang diduduki oleh Fathiyah sebelum Shah pula yang mengambil tugas tersebut.

Fathiyah tidak berbunyi. Terpaksa akur. Lelaki yang dilukai siang tadi yang membantunya kini.

“Umi, Tiya nak balik hostel.” kata Fathiyah saat mereka tiba di tempat parkir. Kata-kata yang lebih ditujukan kepada Shah sebenarnya kerana lelaki itu yang membawanya ke klinik 24 jam tersebut.

Shah yang sedang membuka pintu kereta di tempat penumpang, memandang tajam.

“Kau tak payah nak degil sangat boleh tak? Kau tak nampak sekarang pukul berapa? Tak pasal-pasal aku nak hantar balik hostel pulak!” ujarnya dingin.

“Shah..” Hajah Aznah sudah menggelengkan kepala.

Fathiyah menahan rasa. Terasa mahu menangis apabila dimarahi di hadapan Hajah Aznah begitu.

“Esok aje aku hantar kau balik!” kata Shah lagi sebelum terus sahaja mencampung tubuh kurus Fathiyah dan diletakkan ke dalam kereta. Kerusi roda milik klinik 24 jam itu, dipulangkan semula.

Hajah Aznah hanya mampu menggeleng lagi melihat kedinginan yang berlaku.

“Shah tak boleh cakap elok-elok ke dengan Tiya? Shah suka tengok Tiya macam tu?” tegurnya sebaik anak lelakinya itu kembali.

“Mengada-ada sangat dia tu umi!” balas Shah selamba sebelum mengambil tempat pemandu.

Hajah Aznah melepaskan nafas panjang sebelum dia turut sama masuk ke dalam kereta.

Sebaik tiba di rumah, Aween dan Haji Ridhuan sudah pun menanti di muka pintu. Dua lagi anaknya pula, masing-masing bekerja di luar kawasan.

“Akak, boleh ke?” Aween terus membuka pintu di sebelah Fathiyah. Manakala Hajah Aznah menanti dengan sebatang tongkat yang dibeli tadi bagi memudahkan gadis itu berjalan. Shah pula terus berlalu masuk tanpa sebarang kata.

Thanks Aween.” ucap Fathiyah terharu. Perlahan-lahan dia berjalan masuk ke dalam rumah sambil diperhatikan oleh Haji Ridhuan dan Hajah Aznah. Gadis itu pula setia mengiringinya hinggalah tiba ke sebuah bilik di tepi tangga. Dengan lebih jelas lagi, dia terpaksa bermalam di situ.

“Tiya makan ubat, lepas tu boleh tidur.” ujar Hajah Aznah yang terus ke ruang dapur untuk mengambil segelas air.

Fathiyah melabuhkan duduk di birai katil sementara menanti Hajah Aznah.

“Akak, okey ke?” Soal Aween yang turut sama melabuhkan duduk di sisi.

Fathiyah mengoyak senyum tawar. Tidak tahu apa yang harus dijawab.

“Akak, apa sebenarnya yang jadi ni?” Cukup perlahan Aween bertanya. Simpati dengan apa yang menimpa gadis itu.

“Takda apalah Aween..” jawab Fathiyah lambat.

“Akak janganlah tipu Aween. Tengok akak dengan abang macam tu, ingat Aween nak percaya ke, takda apa-apa jadi?”

Sekali lagi Fathiyah melemparkan senyum tawar.

“Tiya..” Hajah Aznah muncul dengan segelas air dan ubat. Kedua-duanya dihulurkan sebelum Tiya menelan dengan sedikit payah kerana sejak kecil dia agak sukar untuk makan ubat. Jika tidak kerana memikirkan keprihatinan Hajah Aznah membawanya ke klinik, terpaksa juga dia menelan.

“Terima kasih umi. Sorry sebab dah susahkan umi dan abah sekeluarga.” ucap Fathiyah lirih sebaik gelas kembali bertukar tangan. Terasa mahu luruh air matanya saat itu kerana menerima layanan yang cukup baik.

Aween yang masih duduk di sisi, menggenggam kemas jemarinya.

“Jangan cakap macam tu Tiya. Tiya dah macam anak ummi dan abah.” sahut Haji Ridhuan yang sejak tadi, menanti di muka pintu.

“Tiya dah macam darah daging kami sendiri. Sudah tu, jangan cakap macam tu lagi. Tiya tidur dulu. Rehat.” tambah Hajah Aznah pula sebelum berlalu bersama suaminya.

Fathiyah dilambung rasa sebak. Wajah Aween di sisi, dipandang.

“Akak janganlah sedih-sedih. Akak dah macam kakak Aween sendiri. Hari ni, hari akak. Esok lusa, mana tahu. Mungkin hari kami pulak.” Aween menenangkan. “Sudahlah tu. Aween teman akak tidur dekat sini ya? Senang sikit. Nanti, kalau akak nak apa-apa, akak cakap dengan Aween.” ujarnya sebelum bingkas. Membantu Fathiyah untuk merebahkan diri.

Sementara di tingkat atas, Shah sudah berkali-kali melepaskan keluhan berat. Sungguh dia terasa bersalah dengan layanan kasarnya terhadap Fathiyah sejak membawa gadis itu pulang tadi. Dia yang membawa pulang Fathiyah ke situ, dia pula yang marah apabila gadis itu ingin pula ke hostel.

Sorry Tiya..” ucapnya perlahan dengan perasaan bersalah yang bermukim. Helaan berat meniti bibirnya lagi.
……………

Dari satu siaran, ke satu siaran ditukar namun tiada satu pun yang mampu menarik perhatian. Dari duduk tegak, dia merebahkan tubuh di sofa itu demi mencari keselesaan. Mata yang segar menunjukkan tiada langsung tanda-tanda mahu terlelap. Puas dia mencari keselesaan di bilik tadi. Tetapi percubaannya tetap gagal.

                Keluhan berat terlepas lagi di bibir sebelum dia kembali menegakkan tubuh. Skrin 52 inci di hadapannya dipadamkan. Berkira-kira ingin naik ke bilik semula namun terhenti apabila ternampak pintu bilik di sebelah tangga terbuka. Dahinya berkerut. Dari situ, matanya dapat menangkap satu susuk tubuh yang begitu dikenali. Terhincut-hincut berjalan.

                “Nak ke mana pulak tu?” desisnya sendiri sambil mengerling jam pada decoder Astro. Hampir tiga pagi. Mata tidak lepas memerhati hingga bayang gadis itu hilang ke ruang dapur. Perlahan-lahan dia bingkas untuk mengawasi apa yang ingin dilakukan oleh Fathiyah selewat itu.

                “Tongkat kau mana?”

                Teguran yang tiba-tiba menyebabkan langkah Fathiyah terhenti sebelum terus berpaling. Hampir gugur jantungnya apabila disapa dalam sunyi begitu.

                “Kau nak apa? Biar aku buat. Kau duduk.” kata Shah sebaik menarik salah satu kerusi di meja makan.

                “Aku nak air kosong.” jawab Fathiyah tidak bernada sebaik melabuhkan duduk.

“Aween mana? Kan kau boleh suruh dia ambilkan kau air? Kalau kau jatuh tadi macam mana?” Shah mula membebel walaupun tangannya sedang menuang air suam ke dalam gelas.

“Tapi sekarang aku tak jatuh kan?” selamba Fathiyah menjawab menyebabkan Shah menghadiahkan jelingan tajam kepadanya.

“Menjawab aje kerja kau kan? Tak padan dengan sakit!” getus Shah geram seraya meletakkan gelas air suam di hadapan gadis itu sebelum dia berlalu ke peti sejuk. Terasa lapar pula perutnya memandangkan mata tidak lagi mengantuk.

Fathiyah mencebik sebelum terus sahaja meneguk air suam tersebut. Sebaik sahaja habis, dia terus bingkas. Tidak mampu berlamaan di situ memandangkan dia masih lagi terasa hati apa yang berlaku dan dalam masa yang sama dia belum bersedia untuk meminta maaf atas kesalahan yang dilakukan

“Kau nak ke mana?” Teguran Shah yang tiba-tiba menyebabkan Fathiyah yang baru melangkah setapak, terhenti.

“Takkanlah aku nak tidur dekat sini pulak!” balas Fathiyah sedikit geram. Wajah Shah yang berdiri di hadapannya dipandang geram.

“Kau duduk dulu. Aku ada hal nak cakap dengan kau.” arah Shah tegas.

“Aku mengantuklah! Cakap esok ajelah!” Fathiyah menyambung langkah walaupun terasa payah. Namun disebabkan kepayahan itulah dia terpaksa akur apabila tubuh Shah sudah pun  menghalang laluannya.

“Amiruddin Zulkarnain Shah!” Fathiyah ketap bibir kuat.

“Nur Fathiyah Abdul Rahman!” balas Shah seraya mendekatkan tubuh. Tidak mahu mengalah.

Renungan bersatu seketika sebelum Fathiyah membuang pandangan ke sisi. Mengalah!

Shah menarik senyum tepi. Meraikan kemenangan. Fathiyah yang dikenali, sedikit pun tidak berubah. Gadis itu tidak pernah akan berjaya melawan renungannya.

“Tolong cepat sikit! Aku mengantuk ni!” bentak Fathiyah tertahan, tidak puas hati. Dia kembali ke kerusi yang diduduki sebelum mengaduh sendiri apabila tidak perasan kaki yang sakit terlanggar kaki kerusi.

“Haa.. Tulah. Tu padahnya bila orang tak nak dengar kata!” kutuk Shah sebelum dia merendahkan tubuh untuk melihat kaki gadis itu walaupun tanpa dipinta.

Fathiyah menahan sakit. Walaupun bengkak kakinya kian menyusut, sakitnya tetap terasa.

“Nasib takda apa-apa kaki kau ni. Kalau tak, siapa yang susah? Aku jugak. Nasib Abang Am dengan Amir tak tahu. Kalau tak? Tak pasal-pasal bertelur dahi aku ni.” ulas Shah sebelum melabuhkan duduk di hadapan gadis itu.

Apasal pulak kau yang susah? Aku yang jatuh sendiri kan? Bukan kau tolak aku.” jawab Fathiya terkawal. Risau perbualan mereka mengejutkan isi rumah yang sedang lena.

“Memanglah… Tapi kau marah sebab aku.. Kalau bukan sebab aku hantar lambat, kau tak naik tangga semalam, kau takkan jatuh, aku takkan tinggalkan kau semalam..” balas Shah mengendur. Jus oren yang dikeluarkan dari peti sejuk tadi, diteguk perlahan.

Fathiyah melepaskan keluhan panjang. Perasaan bersalah kembali menyelubungi.

“Lepas ni, aku yang hantar dan jemput kau pergi balik kelas sampai kaki kau tu sembuh.” Shah membuat keputusan. Dia terasa bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.

“Tak payah! Aku boleh..”

Shah berdecit menyebabkan Fathiyah tidak jadi meneruskan kata. “Kau boleh tak, ikut aje apa yang aku cakap?” Dia mula bertegas.

“Kau kan ada kelas? Bila masa kau nak jemput hantar aku?”

“Tu kau tak payah risau. Bukan masalah kau. Nanti pandai-pandai akulah.” Senang Shah membalas.

“Senang aje kau cakap kan? Yang sakit aku. Ini masalah aku, bukan masalah kau?”

Shah pula melepaskan nafas berat. “Tiya..” serunya lembut dan lebih kepada merayu. Mahu gadis itu menurut sahaja apa yang dirancangkan.

Fathiyah mengangkat wajah.

Please..”

“Kenapa kau buat semua ni Shah?” Perlahan Fathiyah bertanya diiringi keluhan.

“Aku tak boleh tengok orang yang aku sayang, sakit macam ni..” keluh Shah hingga tidak kedengaran.

“Kenapa dua tahun lepas kau tak macam ni Shah? Kenapa baru hari ni, kau risau aku sakit ke tak..” Ada sebak mula bertandang apabila peristiwa dua tahun lalu datang menjengah.

Shah meraup wajahnya sekali bersama hembusan berat. Sukar mahu menerangkan keadaan dirinya yang sebenar. Malu menyelubungi apabila terpaksa menelan akan hakikat yang satu itu. Dia anak tak sah taraf selain tidak diketahui akan asal-usul keturunannya.

“Sampai hari ni, aku tak boleh terima alasan kau batalkan majlis pertunangan kita Shah. Apa salah aku?” sambung Fathiyah sedikit lirih.

“Tiya..”

“Mungkin betul apa yang kau kata dulu. Kita muda lagi. Kau pun tak habis study. Cuba kau bayangkan, kalau kita jadi bertunang dua tahun lepas. Agaknya hari ni kita dah..” Fathiyah mengukir senyum hambar. Tidak mampu meneruskan kata. Angan yang tidak kesampaian itu hanya mampu dikunci di lubuk hati yang paling dalam.

“Tapi semua tu tak jadi Tiya..” sambung Shah yang tunak merenung wajah keruh di hadapannya itu. “Dan aku akan pastikan, semua tu takkan jadi pada kita Tiya..” lanjutnya kemudian. Kata-kata yang menghiris lumat hatinya sendiri.

Fathiyah terkedu. Hujung matanya mulai sarat. Sungguh, bukan itu yang mahu didengari daripada bibir lelaki yang begitu disayangi. Bukan… Wajah dipalingkan ke sisi dengan hati yang cukup luluh. Mungkin sudah tiba masanya dia membuang sisa-sisa kasih dan cinta yang tidak pernah luput daripada hatinya mulai hari itu. Harus membuang terus angan yang pernah dipasang sebelum ini. Perlu disingkirkan semua rasa yang ada agar dia mampu memberi ruang kepada orang lain, yang benar-benar sudi menerima kasih dan cintanya yang tidak berbelah bahagi.

“Tiya..” Shah menarik tangan Fathiyah di atas meja namun gadis itu terus menepis.

“Aku rasa, aku dah silap buat keputusan Shah. Tak sepatutnya kita rapat macam dulu. Aku tak boleh Shah. Bila kau rapat dengan aku, baik dengan aku, kau bagi aku harapan Shah. Tapi sebenarnya..” Fathiyah menyeka butir jernih yang mulai jatuh.

“Aku rasa, kita patut hidup macam sebelum ni. Aku dengan hidup aku, kau dengan hidup kau. Cukup-cukuplah Shah, apa yang kau dah buat selama ni. Aku risau, nanti aku tak mampu nak bagi peluang pada orang lain, bila aku rasa kau sentiasa ada untuk aku. Cukuplah Shah… Tak sepatutnya kita macam ni. Kita patut cari kehidupan sendiri..”

“Kau kan dah janji, kita jadi kawan macam dulu? Kau boleh rapat dengan mana-mana lelaki pun. Aku tak kisah. Tapi please Tiya.. Aku nak kita jadi macam dulu selagi kau belum jadi milik siapa-siapa..” Shah mula tidak senang duduk dengan apa yang terluah di bibir gadis itu.

“Tak semudah tu Shah.. Hati aku tak kuat macam hati kau.. Aku tak boleh nak teruskan.. Sorry..” Fathiyah nekad. Dia seka lagi air jernih yang merembes sebelum dia perlahan-lahan bangun.

“Tiya..” Shah turut bingkas dan berniat untuk membantu. Namun gadis itu lebih awal menolak.

“Aku boleh jalan sendiri. Thanks.” Fathiyah perlahan-lahan berjalan dengan berpaut tepi kabinet untuk masuk semula ke dalam bilik.

“Tiya..” Shah sudah mendahului di hadapan bilik. Sepasang mata yang memerah itu meniti ruang matanya.

“Ada apa-apa lagi yang kau nak cakap ke?” Setenang mungkin Fathiyah mengawal suaranya. Cuba menganggap tiada apa-apa yang berlaku di antara mereka.

“Tiya please… jangan buat aku macam ni..” Shah mula menahan sebak. Selepas ini, dia benar-benar akan kehilangan gadis itu buat selama-lamanya.

Fathiyah mengangkat wajah. Wajah keruh di hadapannya itu ditatap bersama air jernih yang kembali menitis.

“Kalau kau sayang aku, kau tak buat aku rasa macam ni Shah..” Dia terus menunduk. Air matanya diseka. Sepasang mata yang mula memerah di hadapannya itu sarat dengan rasa yang tidak pernah sejak dahulu lagi. Cuma, dia tidak faham apa yang menghalang hingga menyebabkan lelaki itu tega memusnahkan angan yang mereka sama-sama pasang dulu.

“Tiya.. Aku sebenarnya..”

“Kenapa ni?” Ada suara lain yang mencelah menyebabkan Shah tidak jadi meneruskan kata. Muncul Haji Ridhuan dari atas tangga.

Fathiyah saat itu pula segera menyeka air mata yang bersisa. Tidak mahu Haji Ridhuan berprasangka yang bukan-bukan.

“Shah buat apa dekat sini lewat-lewat macam ni? Tiya?” Ada kecurigaan  dalam nada suara Haji Ridhuan sambil memandang ke wajah pasangan di hadapannya itu bersilih ganti.

“Er.. Tiya minum air tadi.” Fathiyah memandang sekilas wajah Shah di sisi. Mohon lelaki itu bekerjasama. Namun hampa apabila Shah terus menerus mendiamkan diri.

“Er.., Tiya masuk dulu.. Assalamualaikum.” Fathiya terus sahaja menolak pintu bilik. Itu sahaja yang mampu dilakukan daripada terus menerus menjadi jamahan mata tajam Haji Ridhuan. Dia terpaksa membiarkan Shah sendirian di situ demi kebaikan mereka bersama. Itu yang terbaik dari dia terpaksa berbohong semata-mata menyembunyikan apa yang berlaku di antara mereka.


13 comments:

Anonymous said...

Bosan la.. Asek gaduh je

Ehem said...

Pulakkk..

Anonymous said...

serius sedih.

Unknown said...

Assalamualaikum,
saya adalah salah seorang pembaca novel di blog ini. Berminat tak untuk menerbitkan sendiri novel dalam bentuk ebook, untuk dijual terus kepada pembaca?
Jika berminat sila hubungi penulis@appnovella.com untuk penjelasan lanjut

kak na said...

sabar ye....tu komen jujur kot dari hati
sambung lg.....

Unknown said...

Hahaha....sha semangat ler....cepat2 sambung bagi Gula2 biar manis....:)

Ehem said...

kakna >

thanks kakna. nak buat macam mana kalau orang tak suka kakna. saya redo je la..


Dewi>

erk? nampak tak bersemangat eh dewi? memang pun. Ni pun bertatih-tatih pujuk semangat ni. huuu

MzaMuhd said...

sis, sedih sgt cter ni. hahaha... kena bg kitaorg senyum cepat2 ni.

Anonymous said...

Abaikan kata negatif tue....bosan xyah baca. Biar kami yg berminat nie nak baca. Apew lg arsha dah ada yg offer nak terbitkan.grab cepattttt. Lgpuwn karya arsha x pernah mengecewakan.gud luck.....hani

Anonymous said...

Abaikan saja. Kalau dan tak suka jgn baca.

Arsha teruskan menulis.

Kmas

Anonymous said...

Teruskan menulis Arsha. Anggap aje sebagai cabaran.

Kmas

Ehem said...

Hani>

Thanks atas sokongan. InsyaAllah. Moga Allah reda kita semua. :')

Kakmas!

Thanks kak mas. InsyaAllah. :')

Kak Sue said...

Arsha kenapa sedih sangat...
betul apa yg tiya cakap kalau shah terus selalu bersama Tiya takut hati x boleh melepaskan...