Jun 13, 2014

BMJM_bab 13_edited version

BMJM 13

+ Siti, awak dekat mana? Lagi setengah jam aje ni.

Siti Shafura membaca SMS yang dihantar oleh Suzila. Dia tahu yang sahabatnya itu risau akan dirinya kerana sudah terlewat untuk ke kampus. Lagi setengah jam sebelum peperiksaan bermula. Dan dia pula telah menolak pelawaan gadis itu untuk menjemputnya tadi kerana yakin mampu pergi sendiri.

+ Saya dekat bus stop lagi ni. Awak janganlah risau. Kalau saya lambat sampai, awak masuk dulu dengan Amy and Nad. Jangan tunggu saya. :)

Dengan bibir mengukir senyuman Siti Shafura menekan butang hantar. Lebih dari satu jam dia menanti, namun kelibat kenderaan awam langsung tidak kelihatan. Tidak seperti kebiasaan sepanjang dia tinggal di pusat jagaan itu hampir dua minggu. Perasaan risau mula bertandang namun dia tetap cuba menenangkan diri. Dia percaya, hari itu dia diuji dengan kelewatan. Namun sejak tadi, tidak henti dia berdoa agar Allah permudahkan urusannya hari itu.

Baru sahaja dia mahu menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam beg sandang, sebuah kereta mewah warna putih bercermin gelap berhenti betul-betul di hadapannya. Dia cuba mengingati di mana kereta itu pernah dilihatnya sebelum ini. Dan dalam dia sibuk berfikir, cermin kereta diturunkan. Melihat seraut wajah yang berkaca mata hitam menoleh ke arahnya, liur ditelan kesat. Seperti tidak percaya dengan apa yang dilihat. Terpempan di tempat duduknya sendiri. Hanya kalimat alhamdulillah dibisikkan.

“Adik sayang! Kau memang tak nak masuk exam ke? Kalau tak nak, aku nak balik office ni. Banyak lagi kerja yang aku kena buat!” Laung Eshaq Hakimi dari dalam kereta.

Suzila yang meminta tolong kepadanya untuk menghantar Siti Shafura ke kampus. Dan nasib sahabat adiknya itu agak baik apabila dia memang ada kerja luar tidak jauh dari pusat jagaan khas tersebut. Disebabkan ‘urusan’ mereka yang belum pernah selesai juga, dia terus sahaja bersetuju untuk menghulurkan bantuan.

Siti Shafura yang masih tidak percaya dengan apa yang dilihat, sedikit teragak-agak untuk menghampiri kereta tersebut. Tidak menyangka lelaki itu yang diutuskan oleh Allah untuk membantunya di saat genting begitu. Hampir dua minggu tidak bertemu dengan lelaki itu sejak kali terakhir dia bermalam di vila. Dan hari ini, mereka bertemu lagi dalam keadaan yang tidak dirancang.

Eshaq Hakimi yang tidak sabar menanti, terus melangkah keluar dan membuka pintu di tempat sebelah pemandu. “Kau tunggu apa lagi tu? Kau nak pergi ke tak ni?” Ujarnya sedikit geram. Dia memang bukan seorang yang penyabar.

Siti Shafura tidak punya pilihan apabila mata mengerling ke arah jam tangan di pergelangan tangan. Lagi dua puluh lima minit peperiksaan akan bermula. Dia sudah tidak punya masa yang banyak. Dengan kaki yang berat, dia melangkah masuk juga ke dalam kereta Eshaq Hakimi sebelum lelaki itu kembali ke tempat pemandu. “Er… Assalamualaikum.” ucapnya perlahan. Kekok pula apabila tiada langsung ucapan salam yang diberi sebaik mereka bertemu.

“Waalaikumussalam!” Jawab Eshaq Hakimi tegas dengan pandangan mata terus terhala ke tengah jalan. Disebabkan ketika itu hampir tamat waktu pejabat, jalan mulai sesak. Dia perlu menumpukan perhatian sepenuhnya pada pemanduan. Sedikit pun tidak mahu terleka.

“Terima kasih sebab tolong hantar Siti.” Siti Shafura memberanikan diri bersuara. Bersyukur kerana Allah menghantar lelaki itu untuk membantunya saat dia memerlukan. Terbukti sudah yang bantuan Allah itu sentiasa dekat dengan hamba-Nya.

“Kebetulan aje aku ada dekat sini. Tu la.., siapa suruh kau sombong sangat. Suzy nak ambik, kau jual mahal. Nasib baik aku ada dekat area sini. Kalau tak, aku rasa kau tak pergi exam agaknya. Tak pasal-pasal kena repeat semester depan.” balas Eshaq Hakimi sinis. Entah kenapa ada sahaja ayat menyakitkan hati terluah di bibirnya apabila bertemu dengan gadis itu walaupun setengah dari hatinya menegah.

Siti Shafura tersenyum nipis. Dia tahu apabila berhadapan dengan Eshaq Hakimi, kesabarannya memang teruji. Saat itulah dia dapat mengukur tahap kesabaran yang ada dalam dirinya selama ini. Diakui yang lidah manusia memang tajam dari mata pedang. Sekali lidah itu berbicara, pastinya akan membuatkan orang lain terasa. Tetapi bukan dirinya. Dia akan cuba pupuk tahap kesabarannya semaksimum mungkin kerana yakin akan ada ganjaran yang terbaik bagi orang-orang yang bersabar.

“Terima kasih abang..” ucapnya dalam nada yang cukup tenang. Satu lagi budi Eshaq Hakimi yang terpaksa dibawa hingga ke liang lahad.

Eshaq Hakimi mengerling sekilas tanpa gadis itu sedari. Rasa tersindir sendiri dengan ucapan terima kasih yang terlafaz. Tiada hati lagi mahu membalas.

Sepi.

“Er.., abang..” Siti Shafura tiba-tiba menoleh menyebabkan Eshaq Hakimi tersentak dalam melayan perasaannya sendiri. Wajah gadis itu dipandang sekilas di sebalik kaca hitam yang dipakai.

“Ada apa?” Tidak bernada kerana cuba menyembunyikan debar halus yang datang menyapa. Perasaan yang sukar sekali disingkir apabila bertemu dengan gadis itu.

“Erm.., abang, sebelum Siti balik kampung, Siti nak selesaikan hutang Siti tu. Boleh tak abang cakap berapa yang Siti kena bayar? Nanti Siti boleh usahakan.” Bicara Siti Shafura cukup tenang. Peluang yang ada, tidak akan dilepaskan memandangkan dia tidak pasti bila lagi dapat bertemu dengan lelaki itu selepas ini. Dalam masa dua minggu lagi, dia akan terus pulang ke kampung selepas berjanji untuk menghantar keluarga Tan Sri Kamil ke lapangan terbang untuk menunaikan umrah hujung bulan nanti.

Eshaq Hakimi tidak menjawab. Sebaliknya hanya menoleh sekilas ke wajah Siti Shafura yang sudah menunduk. “Aku tak pernah cakap pun berapa harga yang kau kena bayar sebelum ni kan?” Balasnya seraya menambah kelajuan kereta kerana tahu waktu peperiksaan gadis di sisinya itu semakin hampir. Tambahan pula jarak kampus dengan pusat jagaan agak jauh.

“Abang, janganlah laju-laju. Tak sempat nanti Siti bayar hutang abang tu.” tegur Siti Shafura lembut walaupun sebenarnya dia mula kecut perut. Cuma tidak mahu ketakutannya terpamer.

Eshaq Hakimi sedikit terusik. Serta-merta dia mengurangkan kelajuan. Malu dengan tindakan sendiri. “Kau habis exam nanti, kita bincang.” putusnya kemudian.

Dia sendiri sebenarnya masih belum memikirkan atau dengan lebih jelas lagi, langsung tidak pernah terfikir akan bentuk bayaran yang harus dibayar oleh gadis itu. Dia tahu, baju kemejanya tidak mungkin akan dapat diganti. Nilainya tetap tidak akan sama. Apa yang pasti, sengaja hal kemeja itu dijadikan sebab agar mereka terus terikat. Ketenangan yang diperolehi saat melihat seraut wajah jernih itu, tidak pernah diperolehi dari mana-mana wanita pun sebelum ini termasuklah bekas kekasihnya dahulu.

“Abang nak tunggu Siti sampai habis exam ke?” Siti Shafura menoleh bersama kerutan.

“Kenapa? Kau ada apa-apa plan ke lepas ni?”

“Er… Siti dah janji dengan Suzy, nak keluar makan lepas habis exam nanti.”

Eshaq Hakimi tidak menjawab. Sebaliknya cuba memikirkan sesuatu. Tangan kanan sudah mengurut perlahan dagunya yang ditumbuhi roma kasar. “Nanti aku hantar kau balik.” Itu sahaja yang sempat difikirkan.

“Tapi..,”

“Kenapa? Kau takut aku hantar kau ke tempat lain ke?” Tebak Eshaq Hakimi terus, belum sempat Siti Shafura meneruskan kata.

“Bukan macam tu..” Siti Shafura menghela nafas. Otaknya ligat mencari alasan untuk menolak memandangkan peperiksaannya akan tamat pada jam 7 malam sebelum mereka makan malam nanti. Risau yang dia akan terlewat tiba di pusat jagaan umminya pula.

“Mesti kau ingat aku ni jahat sangat kan…” Eshaq Hakimi menarik senyum tepi. Dia yakin gadis sebaik Siti Shafura masih belum benar-benar mengenali dirinya yang sebenar.

“Bukan macam tu bang..” lembut Siti Shafura melafazkannya. Tidak bersangka buruk. Sejahil-jahil manusia, akhirnya akan kembali juga kepada yang Maha Pencipta. Dia yakin apa yang berlaku ke atas diri Eshaq Hakimi hari ini bersebab. Keadaan keluarga yang sudah cukup dikurniakan Allah dengan rezeki yang melimpah-ruah, tiada sebab untuk lelaki itu terjebak dalam aktiviti yang jauh menyimpang dari landasan sebenar.

“Habis tu?”

Siti Shafura tidak menjawab. Mata dihalakan ke luar tingkap. Nafas dihela perlahan. Sukar untuk menjelaskan alasan kenapa dia menolak pelawaan tersebut. Bibir mula beristighfar untuk menenteramkan hati.

Akhirnya masing-masing hanya mendiamkan diri hingga ke destinasi yang ditujui. Kereta yang dipandu Eshaq Hakimi betul-betul berhenti di hadapan dewan peperiksaan yang mulai lengang. Hanya satu dua sahaja pelajar yang tinggal.

“Terima kasih abang.” ucap Siti Shafura ikhlas. Bantuan lelaki itu tidak akan dilupakan walaupun yakin yang dia sudah terlewat lima minit dari waktu yang dijadualkan. Kelibat rakan-rakan sekuliahnya juga sudah tiada.

Eshaq Hakimi tidak menjawab. Sebaliknya hanya melurutkan cermin mata hitam yang dipakai dan pandangan dihalakan sekilas ke wajah gadis di sisinya itu. Kemudian sebelah tangan melurut rambutnya sendiri kerana cuba mengusir jauh debar halus yang bertandang di hati setiap kali matanya singgah ke wajah jernih itu.

“Err.., Siti habis pukul tujuh. Abang nak tunggu ke?” Sambung Siti Shafura apabila teringat akan pesan lelaki itu tadi.

“Kau nak jawab exam dalam kereta ni ke?” Eshaq Hakimi memulangkan soalan lain pula.

Siti Shafura menghela nafas lagi. Bersabar. “Siti masuk dulu. Thanks again abang.” ucapnya perlahan sebelum terus menolak pintu kereta.

“Abang, kalau Siti lambat, tak payahlah tunggu. Nanti Siti call abang, kita jumpa kemudian. Boleh?” Sambung Siti Shafura lembut mohon kerjasama. Dia amat berharap yang Eshaq Hakimi memahami dengan keadaan dirinya. ‘Kuatkanlah hati hamba-Mu ini ya Allah..’ bisiknya perlahan seraya terus berlalu.

……………

Beb, nampak tak apa yang aku nampak sekarang?” Nadia bersuara saat mereka beriringan ke ruang menanti. Siti Shafura masih lagi belum keluar kerana waktu masih berbaki lima belas minit. Setiap lima belas minit terakhir, pelajar tidak akan lagi dibenarkan keluar dari dewan peperiksaan hinggalah masa tamat.
              
               Suzila dan Amylia menalakan mata ke arah yang dimaksudkan. Wajah masing-masing membentuk kerutan.

                “Habislah Suzy, kalau Abang Kimi menyibuk dekat sini..” ulas Amylia.

                Suzila ketap bibir. Terasa menyesal menyuruh lelaki itu menjemput Siti Shafura tadi. “Apahal dia ada dekat sini? Tadi kata kerja banyak. Memang rosak plan kalau dia ada ni..” getusnya sebelum mengatur langkah ke tempat letak kereta. Anak rambut yang terjuntai di dahi ditolak perlahan dengan jemari halusnya kerana menghalang penglihatan. Kelibat abangnya di situ menyebabkan dia terasa pelik.

Eshaq Hakimi menurunkan cermin di sebelahnya. Senyum tepi digariskan.

“Apa abang buat dekat sini?” Tanya Suzila dengan wajah serius.

“Takkan memancing pulak.” jawab Eshaq Hakimi sinis.

Suzila mencebik. “Abang jangan nak loyar buruk eyh?”

“Habis tu, suka hati abanglah nak tunggu Siti balik.”

Kerutan di wajah Suzila bertambah. “Buat apa? Suzy boleh hantar dia baliklah!” Dia mula tidak puas hati.

Korang bukan ke nak terus balik rumah lepas ni?” Eshaq Hakimi menjongketkan keningnya sebelah.

“Nak terus balik la ni…” Bohong Suzila terpaksa kerana tidak mahu abangnya mengganggu perancangan yang sudah dibuat bersama rakan-rakan yang lain.

“Kalau nak terus balik, buat apa lagi dekat sini? Tu, dua lagi budak cun tu pun tak balik lagi kenapa? Korang dah habis exam kan? Pergilah balik! Biar abang tunggu Siti.”

Suzila ketap bibir. “Apasal pulak abang yang nak hantar dia?”

“Tadi dia datang dengan siapa ya?” Cukup sinis menyebabkan wajah Suzila mula menegang.

“Siti kan Suzy boleh hantar. Suzy suruh abang hantar ke sini aje tadi. Bukan suruh hantar dia balik sekali.”

What ever! Dia datang dengan abang, so dia balik pun dengan abang. Lagi pun, bukan boleh percaya korang ni. Entah ke mana nak berjalan malam-malam macam ni. Ingat abang tak tahu? Mentang-mentang exam dah habis kan?” Tegas Eshaq Hakimi selamba.

Hish! Siti balik dengan kita oranglah! Abang pergilah balik!” Bentak Suzila geram.

“Suka hati abanglah nak balik ke tidak. Kan kita drive kereta masing-masing kan?” Eshaq Hakimi tidak mahu mengalah. Hampir sahaja tawanya terhambur apabila melihat wajah Suzila mula memerah.

Suzila ketap rapat bibirnya. “Lantaklah abang! Siti naik dengan Suzy. Full stop!” Putus Suzila akhirnya sebelum beredar. Turun naik nafasnya menahan marah. Semakin sakit hatinya apabila terdengar tawa dari bibir abangnya meletus.

Eshaq Hakimi meredakan tawa, apabila ternampak kelibat Siti Shafura keluar dari pintu dewan peperiksaan. Cepat sahaja dia keluar dan mengatur langkah menuruti langkah adiknya tadi.

“Siti, awak nak naik dengan siapa?” Tanya Suzila terus sambil matanya menjeling ke arah abangnya yang sudah berdiri di sisi.

Semua mata di situ terhala ke wajah Siti Shafura menanti jawapan. Satu persatu wajah setiap sahabatnya dipandang hingga akhir sekali berhenti di wajah Eshaq Hakimi. Tidak boleh tidak, dia sudah berjanji dengan lelaki itu. “Er… Tadi saya dah janji dengan Abang Kimi.” Tuturnya perlahan seraya melarikan wajah dari memandang ke arah Eshaq Hakimi yang beriak selamba.

“Awak tak payahlah naik dengan abang. Awak naik dengan saya ya? Abang ni bukan boleh percaya sangat!” Suzila yang kurang bersetuju dengan keputusan Siti Shafura. Jelingan dihadiahkan buat abangnya yang sedang tersenyum senang. Dia yakin ada sesuatu yang disembunyikan oleh sahabatnya itu. Jika tidak, dia yakin wajah Siti Shafura akan lebih ceria seperti selalu.

See? Adik sayang abang ni memang mendengar kata. Tak macam Suzy. Degil!” Celah Eshaq Hakimi seraya menarik rambut Suzila yang diikat satu itu dan serentak itu juga lengan menjadi mangsa jemari runcing gadis itu.

Nadia dan Amylia yang langsung tidak mencelah, melepaskan tawa kecil melihat dua beradik itu yang sejak akhir-akhir ini kerap bertengkar hanya kerana Siti Shafura.

Korang nak balik pukul berapa ni? Kata nak balik tadi kan? Nanti bising pulak mama kalau lambat sampai. Jom balik!” Arah Eshaq Hakimi seraya melangkah ke tempat letak kereta.

“Erm… Kita macam mana ni Suzy?” Tanya Siti Shafura untuk mendapatkan kepastian akan rancangan mereka yang sudah dirancangkan.

Empat gadis itu langsung tidak bergerak. Hanya memerhati langkah Eshaq Hakimi yang kian menjauh.

“Entahlah! Saya pun tak tahu. Abang tu menyibuk betullah! Nanti dia mesti tak bagi kita balik lambat.” rungut Suzila sambil menyorot pandang ke tubuh abangnya yang bersandar di pintu kereta.

Siti Shafura menoleh ke arah yang sama. Terasa pandangan tajam Eshaq Hakimi melekat ke wajahnya membuatkan dia cepat mengalihkan matanya semula.

“Susah sangat, kita ajak ajelah dia.” Amylia memberi cadangan.

“Hah? Tak syok la kalau abang ada. Nanti banyak hal la dia tu. Mesti banyak complain.” keluh Suzila yang cukup faham dengan perangai abangnya. Terlalu cerewet tentang makanan.

Siti Shafura hanya mendiamkan diri. Hanya menurut sahaja rancangan tiga sahabat di hadapannya itu. Dalam masa yang sama, dia tidak mahu rancangan yang mereka sudah rancangkan sebelum ini terbatal. Dia mahu mengabdikan makan malam mereka itu nanti sebagai satu kenangan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Selepas ini pastinya sukar untuk mereka bertemu kerana masing-masing akan mempunyai komitmen sendiri.

“Habis tu, nak buat macam mana lagi? Cuba kau tengok sana tu? Bukan main tenung lagi mata dia ke sini. Kalau dia nak balik, mesti dari tadi dia dah balik kan? Ini tak.. Siap tunggu sampai habis exam lagi ni.” sahut Nadia pula.

Suzila melepaskan nafas berat. “Erm… Siti, awak ada suruh abang tunggu kita ke?” Soalnya cuba mencari punca yang abangnya menanti di situ.

“Taklah…” Jawab Siti Shafura jujur. “Cuma..” ayatnya mati di situ apabila perasan tiga pasang mata terhala ke wajahnya.

“Cuma apa?” Suzila tidak sabar.

“Dia kata, nak hantar saya balik.” Siti Shafura serba salah. Dia memang tidak dapat membantah kata-kata Eshaq Hakimi kerana sebenarnya masih ada perkara yang ingin dibincangkan.

“Saya dah agak dah… Abang ni kan.. Hish!” Rungut Suzila geram dengan mulut yang memuncung.

“Erm… Kita ajak ajelah dia Suzy. Abang Kimi mesti belum makan lagi. Kan dia ada kerja luar tadi.” tutur Siti Shafura cuba meredakan perasaan marah sahabatnya itu. Selebihnya dia tidak mahu pergaduhan di antara dua beradik itu berterusan.

“Ajak ajelah Suzy. Senang cerita. Lagipun, dah dekat masuk maghrib ni.” sokong Amylia pula selepas mengerling jam di pergelangan tangan. Hari semakin gelap bila sinar jingga kian menghilang. Kawasan dewan peperiksaan itu juga semakin lengang.

“Erm, kita solat dulu dekat masjid ya?” Cadang Siti Shafura.

“Bagus jugak tu. Jomlah!” Sahut Suzila dengan senyuman penuh makna. Terus hilang riak kelat di wajahnya tadi. “Siti, awak naik dengan saya.” sambungnya seraya menarik lengan Siti Shafura agar menuruti langkahnya.

Nadia dan Amylia juga turut berlalu ke kereta masing-masing yang diletakkan sebelah-menyebelah.

“Eh, nak ke mana pulak tu?” tegur Eshaq Hakimi apabila melihat adiknya menarik tangan Siti Shafura untuk masuk ke dalam kereta.

“Nak pergi solat.” jawab Suzila selamba. “Lepas solat nanti Siti naiklah dengan abang.” sambungnya lagi sebelum meloloskan diri ke dalam kereta.

Eshaq Hakimi ketap bibir. “Solat dekat mana?” soalnya mendatar.

“Masjid besar-besar tu, takkan tak nampak.” sindir Suzila selamba. Bibir mengukir senyum sinis buat abangnya. Memang dari tempat kereta itu jelas kelihatan kubah masjid warna biru. Masih di dalam kawasan kampus mereka.

Siti Shafura saat itu tidak berani mencelah. Hanya mendiamkan diri.

Eshaq Hakimi merenung tajam ke wajah Suzila. Dia tahu adiknya itu mahu mengenakannya. Dan kali ini dia terpaksa mengalah.

“Kalau abang tak nak ikut, abang boleh terus balik. Siti nanti Suzy yang hantar.” sambung Suzila lagi menyakitkan hati.

“Jumpa dekat masjid!” Putus Eshaq Hakimi akhirnya sebelum kembali ke kereta semula. Dia merengus kasar sebaik masuk ke dalam kereta. Sempat matanya menangkap wajah adiknya yang tersenyum lebar saat kereta Swift itu melewatinya. Dia terpaksa mengakui kelemahan sendiri apabila berkaitan dengan solat.
………………

“Kau mesti gelakkan aku kan?” Kata Eshaq Hakimi memecah kesunyian saat mereka dalam perjalanan ke pusat jagaan menyebabkan gadis di sisinya itu menoleh.

Siti Shafura melepaskan keluhan halus diiringi istighfar seraya membuang pandang keluar tingkap yang gelap gelita. Memilih untuk tidak menjawab demi mengelakkan perbalahan.

“Tahu tadi, baik aku tak payah ikut!” Luah Eshaq Hakimi geram.

Siti Shafura diam lagi. Dia tahu kenapa Eshaq Hakimi dingin begitu. Semuanya kerana Suzila yang sengaja memilih makanan yang tidak disukai menyebabkan lelaki itu langsung tidak menyentuh makanan yang dipesan. “Kalau abang lapar, Siti boleh temankan abang makan.”  ucapnya lembut seperti selalu. Mujur dia sudah memaklumkan kepada Wan Nabila yang dia akan pulang lewat malam itu. Jika tidak, pasti dia tidak akan dibenarkan masuk ke pusat penjagaan itu nanti.

“Tahu pun aku lapar! Dari siang tadi aku tak makan sebab nak ambik kau. Lepas tu, tunggu lagi.” Eshaq Hakimi menghamburkan rasa tidak puas hatinya yang terbuku.

Sorry abang.. Siti tak tahu nak jadi macam ni..” balas Siti Shafura serba salah. Dia sedar Eshaq Hakimi sedang marah apabila perasan wajah itu tegang sejak di restoran lagi.

Eshaq Hakimi menoleh sekilas. Terasa semakin sakit pula hatinya mendengar ungkapan maaf. Terasa begitu murah kata maaf pada gadis itu. “Kau ni senang sangat nak mintak maafkan?” Ujarnya sinis. Dia cuba memahami gadis itu. Namun semakin hari, semakin dia keliru. Gadis itu terlalu naïf. Mudah sahaja mengalah. Lebih-lebih lagi apabila bersamanya.

Siti Shafura menguntum senyum. Manis namun penuh bermakna. Meminta maaf lebih baik daripada hidup tanpa kemaafan orang. Itu pesan umminya dahulu. Tiada salah andai dia menghulur kemaafan walaupun kesalahan itu bukan dari pihaknya. “Abang nak makan dekat mana? Siti teman.” tuturnya lembut tanpa mengendahkan kata-kata lelaki itu tadi. Dia ikhlas untuk melakukannya semata-mata tidak mahu lelaki itu berterusan bermasam muka. Masih ada perkara lain yang ingin dibincangkan dan dia tidak mahu emosi yang menguasai perbincangan mereka nanti hingga menyebabkan hasrat untuk melunaskan semua hutangnya itu tertangguh lagi.

Eshaq Hakimi tidak menjawab. Tetapi hatinya cukup terusik mendengar kata-kata yang kedengaran begitu ikhlas menyapa gegendang telinganya. Bukan sahaja wajah, tapi kini suara itu benar-benar mampu menyejukkan hatinya. Ada suatu perasaan indah yang sudah lama layu dalam hati, kini terasa ingin menyubur kembali. Namun, sekeras-keras akalnya cuba menafikan hanya kerana tidak mahu kecewa buat kali kedua. Cukup sekali rasa indah yang pernah subur dulu, dimusnahkan oleh wanita yang tidak bertanggungjawab. Dia serik! Cukup sekali dia tersilap langkah.
……………….

“Cepat sikit!”

Eshaq Hakimi sudah mendahului beberapa tapak di hadapan sebaik mereka keluar dari kereta. Restoran sahabatnya menjadi pilihan.

Siti Shafura masih tidak berganjak dari tepi kereta apabila melihat restoran tersebut dipenuhi pelanggan yang kebanyakannya lelaki. Terasa tidak senang dengan keadaan itu. Tambahan pula ada perlawanan bola sepak yang sedang berlangsung dan skrin besar dipasang betul-betul hampir dengan pintu masuk restoran.

Eshaq Hakimi yang sedar akan ketiadaan gadis itu berpaling semula ke belakang. Dia menggeleng sebelum langkah kaki dihalakan ke arah gadis itu. “Apa lagi ni? Tadi kau kata nak temankan aku makan?” ujarnya bersama kerutan.

“Ramainya lelaki dekat sini. Erm.., kalau makan dekat kedai lain tak boleh ke?” Siti Shafura mohon pengertian dari lelaki itu. Dia benar-benar tidak selesa.

“Kan dah lewat. Mana sempat cari tempat lain. Jom ajelah. Kau bukan duduk dengan dia orang. Aku kan ada. Jom cepat!” balas Eshaq Hakimi seraya menarik lengan yang berlapik itu selamba. Malas lagi mahu memanjangkan soal kerana perutnya benar-benar lapar kala itu.

Siti Shafura tidak punya pilihan. Tubuhnya sudah terdorong masuk ke dalam restoren menuruti langkah Eshaq Hakimi ke meja yang paling hujung. Sedikit terasing dari pelanggan lain. Terasa tebal wajahnya saat melewati meja sekumpulan lelaki kerana semua mata tertumpu kepada mereka. Lengannya segera ditarik dari pegangan Eshaq Hakimi. Walaupun masih berlapik, namun sentuhan lelaki itu melahirkan satu perasaan yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

“Kau nak makan apa?” Tanya Eshaq Hakimi sebaik mereka melabuhkan duduk.

Siti Shafura menggelengkan kepala.

“Minum?”

“Air suam.”

“Air suam aje?” Tanya Eshaq Hakimi pelik. Dia perasan ketika makan tadi pun gadis itu hanya memesan air suam.

Siti Shafura tersenyum nipis dengan anggukkan kepala.

Eshaq Hakimi terus bangun semula mendapatkan sahabatnya di kaunter hadapan. Sahabatnya itu sahaja yang tahu seleranya apabila datang berkunjung ke situ.

“Kau boleh tak duduk sebelah aku?” Pintanya sebaik kembali ke meja.

Siti Shafura menegakkan wajah bersama kerutan. “Er.. Kenapa?”

“Aku tak biasa kalau ada orang duduk depan aku, kalau makan berdua.” jawab Eshaq Hakimi selamba. Satu perkara yang suka dilakukan ketika bersama bekas kekasihnya dahulu apabila makan bersama. Bukannya kerana ada sebab yang tertentu.

“Tapi kenapa?” Soal Siti Shafura lagi. Tidak yakin dengan alasan yang diberi.

“Kau janganlah banyak tanya. Aku tak suruh pun buat benda susah kan?” Eshaq Hakimi yang terasa kesabarannya sedikit tercalar apabila disoal dengan soalan yang sama.

Sekali lagi Siti Shafura terpaksa akur. Cuba dibuang jauh prasangka buruk yang datang menyapa. Dia terus mengambil tempat di sisi lelaki itu tanpa bersoal banyak lagi.

“Senang aje kan? Tak ada pun aku suruh kau daki bukit duduk sebelah aku ni.” sambung Eshaq Hakimi sinis.

Siti Shafura tidak menjawab. Malas menimbulkan persoalan lain walaupun dia mula berasa tidak selesa. Namun dalam masa yang sama dia mengucap syukur kerana matanya tidak perlu menghadap ke wajah itu sentiasa kerana hatinya sendiri sudah pandai mengalun irama indah apabila setiap kali mata mereka bertemu.

“Abang…” Tiba-tiba dia bersuara apabila teringat akan hutang yang masih belum dilangsaikan. Dia tidak mahu lagi menangguhkannya.

 “Hm..” Itu sahaja yang kedengaran apabila mata Eshaq Hakimi sudah terhala ke skrin besar yang sedang menayangkan perlawanan bola sepak.

Mata Siti Shafura turut terhala ke arah yang sama. Bersilih ganti dengan wajah Eshaq Hakimi. Dia terasa serba salah pula untuk menimbulkan hal itu.

“Kau nak cakap apa?” Tanya Eshaq Hakimi yang langsung tidak mengalihkan mata.

“Erm..” Baru sahaja dia ingin menuturkan kata, seorang gadis tiba dengan membawa dulang berisi dua gelas air dan satu muk. Dua gelas air suam dan satu muk berisi air holicks panas. Dia tahu kegemaran Eshaq Hakimi yang satu itu.

“Kau nak cakap pasal apa?” ulang Eshaq Hakimi seraya mengerling sekilas. Wajah mulus itu sudah pandai bermain dalam mimpinya sejak akhir-akhir ini. Tetapi seperti susah pula untuk digapai.

Siti Shafura menarik nafas panjang sebelum dilepaskan perlahan-lahan. “Siti nak selesaikan hutang, sebelum Siti balik kampung.” ucapnya cukup tenang.

So?

“Macam mana Siti nak bayar balik baju abang tu?”

Eshaq Hakimi melepaskan nafas berat. “Kau ada dekat sini lagi sampai mama dengan papa pergi umrah kan?” Dia mengutarakan soalan lain pula.

Siti Shafura mengangguk.

“Nanti sebelum kau balik kampung, aku bagi tahu.” Eshaq Hakimi mencipta alasan lagi. Sengaja!

“Tapi bang..”

“Takda tapi-tapi.” Celah Eshaq Hakimi apabila perasan akan kelibat dua gadis membawa makanan yang dipesan tadi.

Siti Shafura tidak mampu lagi berkata apa. ‘Kuatkanlah hati hamba-Mu ini ya Allah..’ Bisiknya dalam hati untuk meredakan perasaan marah yang mula mengusik. Dia perlu bersabar lagi. “Abang…”

“Kau rajin kan? Tolong aku ya..” Eshaq Hakimi langsung tidak memberi peluang. Dia terus meletakkan beberapa ekor udang ke dalam pinggan kosong yang sengaja dipesan tadi untuk meletakkan kulit udang. Dia tahu Siti Shafura tidak akan menolak permintaannya. Sengaja dia memilih menu udang pada malam itu kerana mahu Siti Shafura melayannya makan sementara menanti nasinya sejuk.

Siti Shafura terdiam. Terkelip-kelip matanya memandang ke wajah Eshaq Hakimi yang tiada perasaan bersalah. Sekali lagi akur. Tiada pilihan. Nafas ditarik panjang sebelum dia bangun untuk ke tempat cuci tangan.

Thank you so much adikku sayang.” ucap Eshaq Hakimi dengan senyuman lebar apabila Siti Shafura kembali semula ke sisi dan mengikut seperti apa yang diarahkan. Senang hatinya saat itu apabila kemenangan sentiasa berada di pihaknya. Ada lagi waktu untuk bertemu dengan gadis itu selepas ini.

“Sama-sama.” balas Siti Shafura seikhlas mungkin. Tidak sampai hati pula untuk melawan. Dia akan cuba bersabar lagi kerana waktu yang dijanjikan oleh lelaki itu tadi sudah tidak lama. Hanya dua minggu sahaja sebelum ibu bapa angkatnya berangkat menunaikan umrah termasuk Suzila. Hanya lelaki di sisinya itu sahaja yang tidak menyertai dengan alasan sibuk apabila Puan Sri Amna mengajak.



3 comments:

Siti Klinkner said...

As usual nak lagi, so sewit siti n cik abang tu dah mula suka

Anonymous said...

best....sambung lagi..

Bella Daud said...

sweeetnyer ....bila lak nak sambung nih...