“Ai bang… Kenapa
tak esok aje bangun. Orang semua dah sibuk ke sana ke mari, abang sedap-sedap
aje tidur. Sampai dah masuk asar baru bangun.” Tegur Suzila saat Eshaq Hakimi melabuhkan
duduk di hadapannya. Melihat lelaki itu sedang menahan kuap, dia tahu abangnya
itu baru terjaga dari tidur.
Eshaq Hakimi beriak selamba. Sedikit pun dia tidak terusik akan
sindiran adiknya.
“Abang ni tak kerja ke?” Bebel Suzila lagi sambil menyelak nota-nota
kuliah untuk peperiksaan akhirnya nanti. Sedikit terganggu pembacaannya di
taman mini belakang rumah, bersebelahan dengan kolam renang yang sudah menjadi
tempat kegemaran lelaki itu apabila setiap kali pulang ke vila.
“Sibuk ajelah Suzy ni. Yang dia tu, dah takda kelas ke? Sibuk aje
dekat sini..” rungut Eshaq Hakimi seraya menyambar gelas jus anggur atas meja
kayu itu dan diteguk habis. Memang sengaja dia bercuti hari itu kerana
keletihan tubuhnya masih belum hilang.
“Ha.., tu la.., lama sangat tidur. Otak pun jadi lembap! Orang dah exam week pun tak tahu. Tinggal satu paper aje lagi.” ejek Suzila yang
memandang geram ke arah abangnya. Gelasnya sudah pun kosong.
“Manalah abang tahu…” jawab Eshaq Hakimi selamba sambil lehernya
dipanjangkan ke sekitar untuk mencari kelibat ‘adik sayang’nya yang seorang
itu.
“Tak payahlah abang cari adik kesayangan abang tu. Dia tengah
bersiap dekat dalam bilik. Dah nak keluar kejap lagi. Lepas ni, abang jangan
haraplah dapat buli dia lagi.” jelas Suzila walaupun tanpa dipinta. Cukup faham
akan tingkah laku abangnya.
“Nak keluar ke mana? Kata exam
week? Sempat pulak nak
keluar-keluar.” sindir Eshaq Hakimi selamba. “Wait! Tak dapat buli dia lagi? Kenapa pulak? Apa maksud Suzy ni?” Nadanya serta-merta berubah.
“Abang ni… Suzy rasa abang banyak makan semutlah! Dekat rumah abang
tu mesti banyak semut kan?” Sindir Suzila selamba. Dia yakin yang abangnya itu
terlupa akan keadaan ibu sahabatnya yang sakit.
“Dekat rumah aku, sekor
semut pun tak ada okey!” tingkah Eshaq Hakimi geram lalu menjentik hujung jari
Suzila di atas meja.
“Sakitlah!” gadis itu terjerit.
“Abang dah tanya betul-betulkan? Jawab ajelah. Kawan baik Suzy tu
nak keluar ke mana? Dia dah tak datang sini lagi ke?” Eshaq Hakimi menekan
sedikit nadanya.
“Dia nak keluar jumpa ummi dia la! Itu pun lupa. Abang ingat dia nak
keluar berfoya-foya ke apa? Nampak sangat abang ni dah tua!” Gerutu Suzila
sedikit geram apabila jarinya menjadi mangsa. “Lagi satu, memang lepas ni dia
dah tak datang sini. Dalam sementara tunggu last
paper ni, dia duduk dengan ummi dia. Habis aje exam nanti, dia terus balik kampung. Jaga ummi dekat sana.” sambungnya
kemudian.
Eshaq Hakimi berkerut. Tiba-tiba tidak senang hati apabila mendapat
tahu yang gadis itu akan jauh dari keluarganya selepas ini. Serentak itu, mata
menangkap susuk tubuh yang dimaksudkan keluar dari pintu dapur. Sejuk mata
memandang apabila segala aurat gadis itu elok terjaga dari terlihat. Kemudian pandangan
matanya jatuh pada beg galas pada bahu kanan gadis yang sedang berjalan menghampiri
mereka di situ.
“Siti, awalnya awak siap. Kan tadi Abang Qayyum kata nak ambik awak pukul enam. Sekarang baru
pukul lima setengah.” kata Suzila sambil mengilas jam di pergelangan tangan. Jika
bukan kerana Qayyum ingin menziarahi ummi sahabatnya itu, pasti dia sendiri
yang akan menghantar Siti Shafura ke pusat jagaan.
Eshaq Hakimi di situ hanya menjadi pendengar setia perbualan
kedua-duanya walaupun hati mula tercuit dengan sebaris nama lelaki yang disebut
oleh adiknya itu. ‘Qayyum? Siapa Qayyum? Boyfriend?’
desisnya dalam hati. Ringan sahaja mulut mahu bertanya namun tidak terluah.
Otak mula berusaha mencipta akal untuk mengetahui siapa gerangan yang
dimaksudkan memandangkan Siti Shafura masih ‘berhutang’. Dan selepas ini,
mungkin sahaja dia sukar untuk bertemu dengan gadis itu lagi.
“Siti, kalau awak duduk sini aje tak boleh ke? Kita boleh study sama-sama. Saya pun boleh hantar
awak pergi tengok ummi kalau awak nak. Tapi awak duduklah sini. Tak adalah awak
susah-susah naik bas nak pergi exam
nanti. Jauh sikit tahu tak?” Suzila cuba memujuk. Dia berat hati untuk membiarkan
sahabatnya itu bermalam di pusat jagaan sementara menanti peperiksaan yang
terakhir.
Siti Shafura menguntum senyum. Wajah abang angkatnya yang diam sejak
tadi, dipandang sekilas sebelum membalas. “Tak bolehlah Suzy. Saya tak nak
susahkan awak, mama dengan papa lagi. Mama dengan papa dah banyak tolong saya
selama ni. Cukuplah Suzy. Tak terbalas saya nanti. Lagipun saya dah janji
dengan ummi. Selama ni, saya tak sempat nak jaga ummi saya sendiri.” jawabnya
merendah diri.
Dari ekor matanya, dia perasan Eshaq Hakimi sesekali akan memandangnya
membuatkan dia sentiasa mengawal pandangan walaupun seperti ada suatu suara
yang memaksa agar dia membalas renungan itu. Teringat akan hutang yang masih
belum terlunas.
Dia akan cuba mencari masa yang sesuai untuk berbincang dengan
lelaki itu agar hutangnya dapat segera diselesaikan. Dia tidak mahu menanggung
hutang terlalu lama kerana risau dia tidak sempat untuk melunaskan jika ajal
menjemput tiba-tiba. Dia sendiri tidak dapat pastikan itu. Cuma penuh berharap
agar dia dapat menyelesaikan segala urusan di muka bumi ini sebelum dia menutup
mata. Terutamanya apabila melibatkan hutang. Dia tahu, setiap manusia yang
berhutang walau satu sen pun, tidak terlepas dari seksa-Nya. Maka, membayar
hutang adalah wajib!
“Tak ada yang susah pun Siti. Kalau awak duduk sini, ada jugak saya kawan. Nak harapkan abang,
jangan haraplah. Dia mana suka balik sini.” balas Suzila yang sempat mengerling
sekilas ke wajah abangnya yang diam membisu dari tadi.
“Tak apalah Suzy. Ada masa, panjang umur, saya datanglah sini lagi.”
jawab Siti Shafura perlahan sambil memeluk erat bahu Suzila.
Apa yang dilakukan oleh Suzila dan keluarga itu sudah cukup bermakna
baginya. Dia tidak mahu lagi menumpang kesenangan yang ada. Selepas ini dia
perlu berusaha sendiri untuk menghadapi sebarang masalah yang datang.
“Siti, tu kawannya dah sampai!” Laung Mak Lijah dari muka pintu
dapur menyebabkan ketiga-tiganya berpaling.
“Awalnya Abang Qayyum ni datang. Tadi kata pukul enam.” rungut
Suzila sebelum bingkas. Tanpa menghiraukan Eshaq Hakimi di situ, kedua-duanya
terus berlalu masuk.
Eshaq Hakimi pula tidak lepas merenung langkah kedua-duanya yang
kian menjauh. Tidak senang duduk di situ menyebabkan dia turut mengangkat
punggung. Terdorong ingin melihat siapa lelaki bernama Qayyum. Dan saat kaki
menginjak lantai ruang makan, sudah kelihatan seorang lelaki segak mengenakan
kemeja ungu muda di ruang tamu utama. Berbual mesra dengan dua gadis tadi.
Keningnya hampir bertaut saat melihat seraut wajah tenang itu. Seperti pernah
bertemu dengan lelaki itu namun gagal mengingatinya.
“Abang, awalnya datang. Tadi sibuk kata pukul enam.” Rungut Suzila
kepada Qayyum. Baginya dengan kedatangan Qayyum bermakna, waktu untuk bersama
sahabatnya itu semakin singkat walaupun mereka akan bertemu pada hari
peperiksaan nanti.
“Tadi abang keluar awal sebab
nak cari rumah Suzy ni. Takut tersesat, lambat pulak sampai nanti.” jawab Qayyum sambil melipat lengan baju
kemejanya ke siku kerana mulai rimas. Dia baru sahaja habis dutinya hari itu.
“Abang, boleh tak kalau kita tunggu mama dengan papa Suzy balik
dulu? Dia orang keluar kejap tadi.” sambung Siti Shafura pula memandangkan
lelaki itu tiba lebih awal dari waktu yang dijanjikan.
“Boleh. Abang pun belum solat asar ni. Ingat abang nak tumpang solat
dulu. Boleh tak Suzy?”
“Boleh. Jom, Suzy tunjukkan bilik solat.” Suzila bingkas diikuti
Qayyum. Manakala Siti Shafura melangkah ke ruang dapur.
“Er.., abang.” langkahnya terhenti apabila laluannya dihalangi tubuh
Eshaq Hakimi di ruang makan.
“Siapa lelaki tu?” Terpacul soalan itu di bibir Eshaq Hakimi.
“Kawan.”
“Kawan ke boyfriend?”
Eshaq Hakimi senyum sinis.
“Er.., dia..”
“Aku ingat orang alim tak couple.”
sindir Eshaq Hakimi sebelum terus berlalu.
Siti Shafura tercengang sebelum helaan panjang dilepaskan diiringi
istighfar. Terpaksa menelan tuduhan tidak berasas itu.
Sementara Eshaq Hakimi yang melangkah ke atas rumah, bertembung pula
dengan Suzila.
“Abang, Suzy pinjam kain pelekat abang kejap eyh? Nak bagi Abang Qayyum.” ujar gadis itu sambil menunjukkan sehelai
kain pelekat di tangan.
“Tahu pinjam, tahu basuh!” jawabnya dingin sebelum terus melangkah
masuk ke bilik. Entah kenapa hati dicuit api cemburu dengan kehadiran lelaki
bernama Qayyum itu. Terutamanya apabila melihat layanan mesra yang diberikan
oleh Siti Shafura. Bukan sekali dua dia ternampak lekuk manis di kedua-dua
belah pipi gadis itu ketika berbual tadi. Argh!!
……………
“Papa, terima
kasih sebab selama ni dah banyak tolong Siti dengan ummi. Halalkan makan minum
Siti sepanjang Siti tumpang dekat rumah papa ni. Maafkan Siti, kalau Siti ada
buat salah dengan papa selama ni…” ucap Siti Shafura lirih sambil duduk
bersimpuh di hadapan Tan Sri Kamil. Lelaki yang sebaya dengan arwah walidnya
itu sudah dianggap seperti bapanya sendiri. Ingin didakap erat tubuh tua itu.
Namun apabila memikirkan batas yang ada, hasrat itu terpaksa dipendam. Dengan
berlapikkan kain tudung, tangan tua itu disalam tanda hormat.
“Papa halalkan semuanya. Terima kasih sebab sudi jadi anak papa.” balas
Tan Sri Kamil perlahan sambil menyentuh kepala Siti Shafura yang berlapik
tudung. Tersentuh hati tuanya dengan keluhuran gadis itu. Sebanyak mana
kesenangan yang cuba diberi, gadis itu tidak pernah mengambil kesempatan.
Siti Shafura menyeka air matanya yang mula luruh sebelum beralih
kepada Puan Sri Amna yang sudah teresak-esak menangis. “Mama…” Terus sahaja
tubuhnya didakap erat. “Mama.., Siti mintak
maaf, kalau selama Siti duduk sini, Siti ada buat salah dengan mama, berkasar
dengan mama. Halalkan apa juga makanan yang masuk dalam perut Siti sepanjang
Siti duduk sini ya mama..” ucapnya dengan suara yang tersekat-sekat kerana
tidak dapat menahan kesedihan lagi. Hari itu merupakan hari yang terakhir dia
tinggal di situ sebagai anak angkat keluarga Tan Sri Kamil kerana selepas sahaja
peperiksaan akhir tamat, dia akan terus pulang ke kampung untuk menjaga umminya
di sana.
“Mama halalkan semuanya sayang.. Mama halalkan.. Siti tak ada buat
salah apa pun dengan mama. Mama lagi bangga dapat anak macam Siti. Terima kasih
sebab selama ni, Siti dah banyak tolong ingatkan family mama. Ajar macam-macam pada family mama.” Tulus. Puan Sri Amna mengucup lembut dahi dan
kedua-dua belah pipi gadis itu. Air mata yang mengalir di pipi mulus itu disapu
lembut.
Dia amat bersyukur akan pinjaman yang telah Allah beri kepadanya dan
keluarga. Kehadiran Siti Shafura dalam keluarganya memang memberi makna yang
cukup besar dan tidak ternilai.
“Siti sayang mama.” ucap Siti Shafura lagi seraya membalas kucupan
di kedua-dua belah pipi Puan Sri Amna.
“Siti tetap jadi anak mama dengan papa sampai bila-bila sayang.
Rumah ni sentiasa terbuka untuk Siti.” wanita itu sudah mengalirkan air mata.
“Siti, kenapa awak menangis? Kan nanti kita boleh jumpa lagi..” rungut
Suzila yang memerah mata apabila Siti Shafura mengambil tempat di sisinya.
Sebenarnya dia sendiri terkesan dengan keputusan sahabatnya itu yang tidak akan
lagi tinggal bersama mereka hingga peperiksaan akhir tamat.
Siti Shafura cuba memaniskan senyum. Memang mereka akan bertemu lagi
ketika hari peperiksaan nanti. Tetapi, mereka tidak mungkin akan dapat
menghabiskan masa bersama seperti sebelum ini.
Suzila yang sudah tidak dapat menahan sebak terus memeluk erat
sahabatnya itu. “Siti, janji dengan saya, yang kita tetap jadi adik-beradik sampai
bila-bila...” tuturnya sayu dengan linangan air mata.
“Insya-Allah Suzy. Hingga akhir hayat saya. Awak sahabat terbaik
yang pernah saya ada dalam dunia ni…” balas Siti Shafura dalam nada yang sama.
Semakin erat pelukannya.
Suzila tidak lagi mampu menjawab. Pelukan Siti Shafura dibalas
seerat mungkin.
“Abang…” Siti Shafura terlihat kelibat Eshaq Hakimi melewati ruang
tamu sebaik Suzila meleraikan pelukan. Laju langkah lelaki itu ke pintu utama. “Suzy,
saya nak jumpa Abang Kimi kejap. Nanti saya datang balik.” ucapnya sebelum bingkas.
Cepat dia mengatur langkah ke luar rumah apabila Eshaq Hakimi langsung tidak
menghiraukan panggilannya tadi.
Tiga pasang mata yang ada di situ hanya memerhati. Sementara Qayyum
yang sejak awal tadi lagi sedia menunggu di kereta untuk memberi ruang kepada
Siti Shafura bersama keluarga angkatnya.
“Abang Kimi…” seru Siti Shafura lagi apabila lelaki itu terus sahaja
meloloskan diri ke dalam kereta. Panggilannya langsung tidak diendahkan. Dia
tidak mampu berbuat apa apabila Eshaq Hakimi terus sahaja memandu kereta keluar
dari garaj tanpa berpaling lagi. Bibirnya melepaskan nafas berat. Ada hal
penting yang ingin dibincangkan. Namun, tidak berkesempatan. Jelas mereka masih
lagi terikat kerana ada perkara yang masih belum diselesaikan.
*******
“Siti, boleh abang
tanya sikit?” Suara Qayyum memecah kesunyian sebaik mereka bertolak.
Siti Shafura menguntum senyum kecil. “Abang ni, sejak bila pandai mintak izin kalau nak tanya Siti?
Macamlah baru semalam kenal Siti. Tanya ajelah apa yang abang nak tanya.” balasnya
lembut. Walaupun kurang selesa apabila berdua-duaan begitu, dia terasa selamat jika
bersama Qayyum. Antara yang telah banyak membantu dalam menguruskan hal umminya
sebelum ini.
“Erm.., Siti ada apa-apa ke dengan abang Suzy tu?” Soalan yang sudah
lama ingin ditanyakan sejak pertemuan mereka di restoren minggu lalu saat
keluar bersama sahabat-sahabat gadis itu. Walaupun tidak bertegur sapa, dia
perasan akan kelainan renungan Eshaq Hakimi.
Siti Shafura melebarkan senyum. Debar halus yang datang menyapa ruang
dada, dikawal sebaiknya. Entah kenapa dengan mendengar sebaris nama itu sahaja,
seperti terbau-bau aroma yang cukup menyenangkan. “Kenapa abang tanya macam
tu?” Dia menjawab dengan soalan juga.
“Ialah… Sebab, abang tengok cara dia pandang Siti lain macam aje.” Dia
tidak bodoh menilai maksud pandangan Eshaq Hakimi saat dia baru tiba tadi.
Dingin.
“Lain macam? Lain macam, macam mana?”
“Erm… Dia macam suka Siti aje..” Qayyum melabuhkan senyum penuh
makna. Dia percaya Siti Shafura tidak perasan akan kelainan tersebut
memandangkan gadis itu sering menjaga pandangannya selama ini.
“Ia ke suka? Bukan dia tak suka Siti ke?” Siti Shafura sedikit pun
tidak terkejut. Selama mengenali Eshaq Hakimi, lelaki itu tidak pernah
menunjukkan sebarang kemesraan.
“Betul… Abang rasa dia suka Siti la… Tadi tengok abang, macam nak
telan. Macamlah abang ni nak ambik
Siti dari dia.” Qayyum tersengih.
“Tak adalah bang… Dia memang macam tu. Dari kali pertama Siti jumpa
dia, muka dia memang macam tu abang. Susah nak senyum dengan orang yang dia tak
kenal.” nafi Siti Shafura tidak mahu bersangka buruk.
“Ia ke? Tapi kenapa abang tak rasa macam tu?”
Siti Shafura memandang sekilas ke wajah Qayyum sebelum pandangannya
di buang ke luar tingkap. “Bersangka baik ajelah bang…” tuturnya lembut. Dalam
hatinya tersenyum lebar apabila teringat ayat yang sama dituturkan kepada Eshaq
Hakimi malam tadi.
Qayyum tersengih kelat. Termalu sendiri. Terlupa akan salah satu
pesanan yang biasa diingatkan kepada Siti Shafura dan rakan-rakan gadis itu sebelum
ini. “Erm.., macam mana kalau apa yang abang kata tadi betul?” Sengaja dia
menduga.
“Abang..” Siti Shafura memandang ke wajah Qayyum meminta agar lelaki
itu menghentikan sahaja tekaan-tekaan yang dirasakan langsung tidak berkaitan.
“Abang bukan nak burukkan abang kesayangan Siti tu..”
“Habis tu?”
“Abang nak cakap, macam mana kalau abang kesayangan Siti tu
betul-betul sukakan Siti? Siti nak tak terima dia?” Kata Qayyum berserta
senyuman. Namun tidak buat gadis itu. Mati garisan halus yang biasa terpamer.
Dia percaya bahawa perempuan yang baik, untuk lelaki yang baik... Begitulah
sebaliknya seperti yang tercatat dalam surah An-Nur ayat 26. Namun, dalam masa yang sama dia juga yakin
jodoh yang ditentukan oleh Allah adalah yang terbaik walaupun lelaki itu tidak
sebaik paras, tidak sebaik akhlak ataupun tidak sebanyak mana hartanya. Dia
yakin semua yang telah ditentukan kerana Dia adalah sebaik-baik perancang. Dia
tidak akan memberi apa yang kita mahu atau inginkan. Sebaliknya dia akan
memberi apa yang kita perlukan.
“Siti..” seru Qayyum perlahan apabila Siti Shafura hanya mendiamkan
diri.
“Kalau jodoh Siti dengan dia, apa yang Siti boleh buat bang… Siti
akan belajar terima dia dengan reda yang paling maksimum kalau memang Allah dah
tentukan dia jadi suami Siti nanti.” jawab Siti Shafura seikhlas mungkin. Ada
debar halus menyapa lagi ruang dada diiringi aroma yang sering digunakan oleh
Eshaq Hakimi hingga mengundang satu perasaan yang tidak pernah dirasakan
sebelum ini.
“Siti tak kisah dia macam tu?” Duga Qayum lagi.
Siti Shafura tidak menjawab. Sebaliknya hanya senyuman manis yang
dilemparkan. Dia tahu yang Qayyum tidak mengenali siapa sebenarnya Eshaq Hakimi
seperti mana yang dia kenal. Soal jodoh dia memang tidak mampu tolak kerana dia
hanya mampu merancang. Andai apa yang dirancangkan tidak menjadi, apa lagi yang
boleh dilakukan selain reda. Mana-mana wanita akan memasang angan ingin
mempunyai seorang suami yang soleh dan sentiasa taat kepada perintah-Nya.
Seorang lelaki yang mampu menjadi imam, ketua keluarga dan ayah kepada isteri
serta anak-anak. Seorang yang bertanggungjawab dan mampu membimbing ahli
keluarganya jika terjatuh dan dia jugalah yang akan membawa semua ahli
keluarganya ke dalam syurga kelak. Begitu jugalah yang pernah diharapkan
sebelum ini.
“Kita hidup dalam dunia ni untuk saling lengkap melengkapi kan bang?
Cuba bayangkan kalau kita semua terlalu memilih dalam mencari pasangan. Yang
baik, mesti nak cari yang baik. Takkan yang kurang baik nak cari yang kurang
baik jugak. Tak mungkin kan? Erm.., kalau
semua yang baik cari yang baik, apa yang jadi pada yang kurang baik? Kalau
macam tu, tak adalah konsep saling lengkap melengkapi lagi. Yang kurang baik
terus terpesong jauh dari landasan yang sebenar. Orang yang baik-baiklah yang
kena bimbing orang-orang yang kurang baik. Betul tak?” Bicaranya kemudian.
Qayyum senyum. Bangga dengan Siti Shafura sekejap. Gadis itu semakin
bijak bicaranya. “Contohnya?” Ujinya lagi.
“Erm.., macam orang yang pakai tudung dengan yang tak pakai tudung.
Tapi sebelum tu, Siti nak cakap yang Siti bukanlah yang terbaik. Ni contoh
aje.” jawab Siti Shafura sambil menoleh sekilas ke wajah Qayyum dan lelaki itu
menganggukkan kepala sedikit tanda mengerti.
“Siti bukan nak tuduh siapa-siapa. Tapi, kalau dekat kampus tu, Siti
tengok bukan semua student yang pakai
tudung akan berkawan dengan yang tak pakai tudung. Macam Siti kawan dengan
Suzila, Nadia, Amylia. Sampai ada yang tanya kenapa Siti nak kawan dengan dia
orang ni sedangkan Siti pakai tudung.” jelasnya.
“Sekarang, Siti dah tahukan kenapa abang pilih Amylia, kenapa abang
tak pilih Siti.” sambung Qayyum dengan senyuman. Hal itu sudah banyak kali ditanyakan
oleh Amylia kepadanya.
Siti Shafura senyum segaris. Dia tahu akan hakikat yang satu itu.
Amylia memerlukan lelaki seperti Qayyum, yang boleh membimbing ke jalan
kebaikan, memandangkan Amylia yang dikenali hari ini bukan seperti Amylia yang
dahulu. Begitu juga dengan Suzila dan Nadia. Mereka bertiga sudah banyak
berubah. Dan dia sendiri yakin dengan keupayaan Qayyum.
“Cuma.., Siti rasa, apa yang abang cakap pasal Abang Kimi tu, memang tak mungkinlah… Perempuan macam Siti
mana layak untuk lelaki macam dia bang. Tengok ajelah family dia dengan family
Siti.., jauh beza. Takut Siti.” luahnya merendah diri.
“Jodoh tak kenal darjat Siti..” Qayyum sekadar mengingatkan.
Siti Shafura tidak menjawab. Hanya senyuman nipis sahaja terukir di
bibirnya. Akur akan hakikat tersebut walaupun sebaiknya, ukurlah baju di badan
sendiri agar tiada kesulitan di kemudian hari. Tetapi apa yang pasti, dia amat
menyayangi keluarga Tan Sri Kamil seperti keluarganya sendiri. Terutamanya Puan
Sri Amna. Tersentuh hatinya tadi apabila Puan Sri Amna memberitahu telah
mendaftarkan namanya untuk menunaikan umrah pada bulan hadapan bersama. Terlalu
besar pemberian yang dihadiahkan menyebabkan dia terpaksa menolak. Tidak sampai
hati menerima pemberian yang cukup bermakna itu walaupun dia memang teringin
untuk menjejakkan kaki ke sana. Keinginan yang ditanam jika umminya sembuh
nanti. Namun buat masa ini, segalanya tidak mengizinkan. Tidak sampai hati
meninggalkan umminya begitu sahaja walaupun ada orang yang akan menjaga.
Air jernih bertakung lagi di tubir mata apabila teringat akan
layanan yang diberi oleh keluarga Suzila kepadanya selama ini. Terlalu berharga
hingga dia tidak mampu untuk membalasnya. Hanya seorang hamba Allah bernama
Eshaq Hakimi sahaja yang masih dingin. Dalam diam dia menanam tekad mahu mencari
masa yang sesuai untuk mertemu dengan lelaki itu sendiri sebelum pulang ke
kampung nanti.
8 comments:
Best arsha nak lagi thanks for lovely entry
Yippieee, suka kita, & trimakasih kerana sudi add Kak Siti alamak sama nama macan heroin awak nie. As usual nak lagi.
Peminat dari jauh
Siti Klinkner aka Anonymous (sebab tak tahu nak buat)
cian pureen
nape abg kimi ni
jeles bebeno
terlebih emo lak si shaq nih....tak sabar nak nungguuuu full story...
Kimi dah pandai cemburu nampak... 1 perkembangan yg baik... hihihi
Bila nak upload yg baru
bila nak sambung lagi
Hari hari buka tengok bila nak sambung cik adik ooooiii
Post a Comment