Apr 27, 2012

Anugerah istimewa_part 3


“Pakcik! Buat apa dekat sini?” tegur Sara saat Zahim melangkah masuk ke kedai.

“Ai… tahulah Sara dah bertunang sekarang… Takkan pakcik nak datang pun dah tak boleh…” jawab Zahim dengan senyuman. Gembira hatinya setelah apa yang dirancang dalam setahun ini membuahkan hasil.

“Eh… bukan macam tu Pakcik.. Hari ni kan hari Jumaat. Biasanya Pakcik datang hari Sabtu atau Ahad kan…” balas Sara sambil menarik sebuah kerusi dan diletakkan di tepi kaunter buat bapa saudara kepada tunangannya.

“Kebetulan Pakcik ada hal dekat-dekat sini. Tu yang datang jumpa bakal menantu pakcik ni..” jelas Zahim jujur.

Sara hanya tersenyum.

“Erm.. macam mana sekarang dah jadi tunangan orang.. lagi dua minggu nak jadi isteri orang pulak…” ujar Zahim sambil membelek sebuah majalah yang diletak oleh Sara.

“Macam mana Sara nak jawab soalan Pakcik tu ya? Erm..” balas Sara diiringi keluhan halus. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaannya saat itu. Apa yang pasti dia masih lagi belum mengenali dengan rapat bakal suaminya itu. Hanya melalui telefon sahaja sejak menjadi tunangan. Masa hari pertunangan pula, dia hanya sempat berbual sebentar. Itupun setelah tunangannya itu tersedar dari pengsan. Apabila teringat kembali pada hari petunangannya itu, pasti bibir mengukir senyum. Tidak menyangka yang tunangannya itu terkejut apabila bertemu dengannya.

“Ai.. sampai tak tahu nak jawab?” usik Zahim dengan ketawa kecil.

“Ala Pakcik.. Sara tak kenal betul-betul Abang Aqil tu lagi.. Telefon memanglah selalu. Susah sikit pakcik..” jawab Sara jujur. Teringat panggilan baru yang telah ditukar sejak beberapa malam lalu. Permintaan dari tunangannya itu sendiri dan dia hanya akur. Cuma, perkataan itu masih belum cukup serasi di bibirnya. Jika di telefon, pasti akan dituturkan perlahan hingga membahang wajahnya walaupun bukan di hadapan lelaki itu. Jika mereka bertemu nanti, tidak tahulah bagaimana pula.

“Erm… dua minggu aja lagi… nanti Sara kenallah dia..” balas Zahim dengan senyuman. Anak saudaranya cukup bertuah memiliki gadis seperti Sara. Gadis itu begitu jujur dan tulus untuk menerima apa juga ketentuan yang diberi kepadanya.

“Erm..Pakcik, boleh Sara tanya sikit?” tanya Sara sambil menyusun atur majalah-majalah yang baru tiba di rak.

“Sara tanyalah apa yang Sara nak tanya. Kalau Sara nak tanya pasal Aqil pun boleh..” balas Zahim yang senang dengan gadis itu sejak awal mereka kenal lagi.

“Erm.. Abang Aqil tu macam mana eh pakcik? Sebab dari dia cakap masa call Sara, dia macam…” Sara mati kata-kata. Memikir balik kesesuaian untuk dia berterus-terang dengan bapa saudara tunangannya itu.

“Manja?” tebak Zahim yang dapat meneka apa yang cuba disampaikan oleh Sara tentang anak saudaranya yang seorang itu.

Sara tersenyum kelat. Tidak menyangka Zahim dapat meneka apa yang cuba disampaikan.

“Kalau Sara nak tahu… Aqil tu anak tunggal kakak pakcik. Dia memang anak manja mummynya walaupun umur dah dekat 35 tahun. Lepas arwah papanya meninggal, dengan mummy dialah tempat dia bermanja. Dia dulu lagi rapat dengan papa dia. Erm.. dia sanggup lakukan apa saja untuk mummy dia Sara. Termasuklah dengan perkahwinan ni.” Jelas Zahim panjang. “Erm.. Ingat tak yang pakcik jumpa Sara seminggu sebelum Sara dengan Aqil bertunang tu?” tanya Zahim kemudian.

“Ingat..” jawab Sara pendek.

“Dia ada masa tu dengan pakcik sebenarnya. Dah seminggu dia tengok Sara pergi balik kerja. Tapi dia tak tahu yang Sara ni calon yang mummy dia cari tu. Sampailah yang pakcik jumpa Sara tu, dia yang suruh pakcik tanya Sara ni kalau-kalau Sara ni tak berpunya lagi. Sebab dia nak kenal dengan Sara. Bila pakcik bagitahu aja yang Sara dah bertunang, terus dia macam kecewa. Lepas tu, terus setuju dengan cadangan mummy dia. Dia kata, dia akan belajar terima siapa pun yang jadi isteri dia.” Terang Zahim akan hal sebenar.

“Erm.. tu yang dia pengsan masa dekat rumah Sara tu..?” balas Sara dengan ketawa kecil.

“Ha’ah. Dia terkejut tengok Sara rupanya budak comel yang dia nak kenal tu..” Jawab Zahim yang sama-sama ketawa.

“Tapi pakcik.. kan mak Sara dah bagi gambar Sara pada mummy?” soal Sara dalam sisa tawanya.

“Ada. Pakcik pun dah tengok gambar tu. Tapi entahlah anak buah pakcik tu. Memang gambar tu ada lain sikit sebab gambar lama kan. Tapi bila pakcik tengok gambar tu, memang muka Sara. Anak buah pakcik tu aja yang tak tengok betul-betul.” Jawab Zahim apabila teringat akan perangai anak saudaranya yang kurang bersabar apabila melakukan sesuatu. Hingga soal gambar itu pun anak saudaranya itu tidak perasan.

“Erm.. Sara macam mana pulak? Boleh ke terima Aqil pakcik tu?” soal Zahim pula sekadar ingin mengetahui isi hati gadis itu. Kalau boleh, dia tidak mahu gadis itu berasa terpaksa dengan perkahwinan yang bakal berlangsung dalam masa dua minggu itu.

“Erm.. pakcik rasa?” Sara memulangkan semula soalan.

“Eh.. ada pulak tanya pakcik. Sara yang nak kahwin, bukannya pakcik…” balas Zahim yang sedikit lucu dengan pertanyaan Sara.

“Sara rasa, banyak yang Sara kena tahu pasal Abang Aqil lagi pakcik.” Akui Sara yang tersenyum kelat. Dia bukan meragui dari apa yang disampaikan oleh Pakcik Zahim tentang tunangannya itu. Tetapi selebihnya dia berasa takut untuk melalui alam perkahwinan yang sememangnya tidak pernah difikirkan sebelum ini. Macam-macam perkara yang perlu diketahui termasuklah rahsia di dalam kelambu. Tidak henti dia mencari bahan bacaan yang berkaitan dengan rumahtangga selain mendapat nasihat dari ibunya sendiri.

“Kalau Sara risau pasal Aqil tu, pakcik yakin yang Aqil takkan main-mainkan Sara. Aqil yang pakcik kenal dari kecik lagi, dia seorang yang cukup setia Sara. Kalau sebelum ni dia ada kekasih, sekalipun dia tak pernah curang. Cuma, perempuan-perempuan yang selalu dekat dengan dia tu, semuanya ada agenda tersendiri. Sebab tu Aqil sampai sekarang tak kahwin-kahwin. Sampai mama dia dah bising sebab dah tak sabar nak ada cucu, tu yang mama dia carikan calon.” Cerita Zahim lagi tentang anak saudaranya itu.

Sara hanya diam mendengar. Sedikit pun tidak mencelah.

“Pakcik rasa, Aqil bertuah sangat dapat Sara.” Puji Zahim ikhlas.

“Ada pulak pakcik cakap macam tu. Sara ni yang bertuah dapat Aqil, pakcik... Sebab Aqil sudi nak terima Sara, kekurangan Sara, family Sara.. Tak tahu macam mana Sara nak balas semua tu pakcik..” jawab Sarah sedikit lirih. Dia bersyukur kerana masih ada lagi orang yang berharta macam keluarga Pakcik Zahim sanggup menerima orang susah sepertinya untuk dijadikan menantu. Keluarga itu langsung tidak memandang darjat. Hanya dia sahaja yang berasa kurang selesa dengan keluarga berada itu. Risau dia ditebak dengan fitnah-fitnah yang menyatakan dia berkahwin dengan Aqil semata-mata kerana harta. Dia amat takut jika itu yang berlaku. Padanya, cukuplah dengan apa yang telah dikurniakan Allah kepadanya selama ini. Malah dia sendiri tidak pernag meminta untuk berkahwin dengan orang berada. Belum pernah dia mimpikan untuk hidup mewah begitu atas kekayaan orang lain.

Zahim mengukir senyum mendengar ketulusan gadis di hadapannya itu.

“Cukup Sara jadi isteri yang baik pada Aqil. Itu pun dah terlebih cukup pada kami semua Sara.” Balas Zahim dengan senyuman nipis.

“Erm..Tadi Aqil cakap dengan pakcik, Sara nak datang KL esok ya? Betul ke?” tanya Zahim sengaja ingin menukar topik perbualan mereka.

“Ha’ah pakcik. Kenapa?” Sara pula bertanya.

“Alang-alang pakcik dah datang ni, apa kata Sara ikut aja pakcik balik KL sekali.” Ujar Zahim seraya meletakkan kembali majalah yang dipegang tadi.

“Er.. tak bolehlah pakcik. Sara dah janji dengan mak nak tolong dia buat kuih petang ni. Ada orang tempah. Kesian nanti mak buat sorang-sorang.” Jawab Sara lembut. “Erm, esok ajalah Sara datang. Lagipun Abang Aqil dah janji nak ambik Sara dekat Pudu esok.” Lanjutnya lagi.

“Erm.. kalau macam tu tak apalah. Pakcik terus nak balik KL ni. Kalau Sara nak ikut pakcik, pakcik boleh tunggu sampai Sara habis kerja.” Pesan Zahim sebelum bingkas berdiri.

“Eh, takpalah pakcik. Terima kasih banyak-banyak.” Jawab Sara dengan senyuman manis.

“Esok hati-hati..” sempat Zahim berpesan seraya Sara menemaninya hingga keluar daripada kedai buku itu.

“InshaAllah pakcik. Esok Sara sampai sana, kita boleh jumpa lagi. Pakcik pun hati-hati drive kereta nanti..” Sara pula berpesan.

“Ya.. InshaAllah.. Assalamulaikum.” Ucap Zahim sebelum meninggalkan Sara dan dia berjalan ke kereta yang terpakir di hadapan kedai. Sempat dia melambai sebelum meloloskan diri ke dalam kereta.

************

“Kau kalau masuk bilik aku kalau tak gelak, tak boleh ke?” ujar Aflah saat wajah sahabatnya itu muncul di hadapan pintu biliknya dengan sengihan lebar di bibir.

“Aku tak boleh la bro.. Pandang muka kau aja, mesti aku teringat masa dekat rumah Madiha hari tu.” Jawab Ihsan seraya duduk di kerusi hadapan meja kerja Aflah.

“Kau cakap ajalah kau memang suka nak gelakkan aku kan…” tebak Aflah geram. Pen hitam yang dipegangnya tadi terus diletakkan di atas meja.

“Benda kelakar…memanglah wajib gelak.” Jawab Ihsan dengan tanpa rasa bersalahnya diiringi tawa besar.

Serentak itu juga Aflah melemparkan buku notanya kepada Ihsan yang sedang mengekek ketawa.

“Okay..okay.. sorry.. relax la bro.. takkan semenjak dah jadi tunang orang dah pandai nak emo-emo…” kata Ihsan dalam sisa tawanya seraya menyambut buku nota itu dari terus mengenai wajahnya.

“Otak kau! Kau tu..agak-agaklah pun.. time orang ramai kau gelakkan aku hari tu kan..” balas Aflah dengan wajah yang mula terasa pijar. Teringat peristiwa dia pengsan di majlis pertunangannya setelah melihat wajah Madiha.

“Dah tu… yang siapa suruh kau pengsan tengah orang-orang ramai tu… Mula-mula bukan main berlagak lagi kau kan tak nak masuklah.. apa la… Konon nak tengok masa nikah aja.. Ni baru bertunang kau dah pengsan. Nasib baik kau tak pengsan time nikah. Lagi malu bro pengsan depan tok kadi. Kalau depan tok kadi, mahunya kisah kau tu jadi testimoni untuk tok kadi tu bagi ceramah pada orang lain.” Jawab Ihsan yang tergelak semula. “Bakal pengantin lelaki pengsan sebelum akad nikah sebab terkejut tengok bakal pengantin perempuan.” Lanjutnya lagi dalam tawa.

“Hampeh betul! Sudahlah kau.. Malas aku layan. Pergilah kau balik bilik kau. Kerja aku berlambak ni belum settle.” Bentak Aflah geram apabila sahabatnya itu terus mentertawakannya.

Memang patut pun dia kena gelak. Entah kenapa dia boleh pengsan sebaik sahaja melihat wajah comel itu. Selebihnya dia tidak menyangka akan bertunang dengan gadis yang dinanti selama seminggu lalu. Sanggup berulang-alik selama seminggu semata-mata ingin melihat sendiri wajah Madiha. Padahal, orang dinanti sudah ada di hadapan mata. Wajah itu jugalah yang menjamu matanya selama seminggu jadi pengintip terlebih professional. Dan pada majlis pertunangannya itulah dia baru mengetahui nama sebenar Madiha. Sara Madiha. Sara yang selalu diceritakan oleh bapa saudaranya sejak akhir-akhir itu sebenarnya orang yang sama.

Dia berterima kasih tidak terhingga kepada bapa saudaranya yang sanggup mengenali dan merapati Madiha sejak setahun lalu untuk memastikan gadis itu benar-benar sesuai dengannya. Malah kini dia cukup yakin yang Madiha bukanlah seperti gadis-gadis yang pernah dikenali dahulu. Gadis itu begitu tulus dan redha menerima keadaan dirinya walaupun pada awalnya enggan. Dia sanggup menerima pinangan orang yang tidak dikenali kerana mahu melihat ibunya gembira. Bukan itu sahaja, gadis itu turut meminta izin darinya agar dibenarkan bekerja bagi menampung perbelanjaan ibu dan adik-adik yang masih bersekolah, selepas berkahwin nanti.

“Hello bro! Aku rasa kau ni dah parah sangat sekarang…” kata Ihsan seraya melalukan tapak tangannya di hadapan wajah sahabatnya itu. Dari tadi dia bercakap, sahabatnya itu sudah tersenyum-senyum sendirian.

“Diamlah kau… suka hati aku la nak parah ke tak… Macamlah kau tak pernah buat masa bercinta dengan bini kau dulu. Bagilah chance pada aku pulak…” balas Aflah cuba berlagak selamba. Dia tahu Ihsan dapat meneka apa yang bermain di mindanya saat itu.

Mendengar kata-kata Aflah, Ihsan sambung gelak.

“Okay.. bab tu memang aku boleh bagi chance. Tapi bab ni aku tak boleh bagi chance.” Kata Ihsan sambil menghulurkan fail biru yang dibawa bersama tadi kepada Aflah. Fail biru itu menjadi tujuan utama dia masuk ke bilik sahabatnya itu.

Aflah mengerutkan dahi.

“Ni kan fail yang kau mintak aku sign tadi kan. Apa masalahnya? Semua aku dah sign tadi.” Jawab Aflah seraya membuka semula fail itu dan menyelak helaian demi helaian.

“Memanglah semua kau dah sign. Cuba kau tengok balik tempat-tempat yang kau sign tu?” arah Ihsan yang mula sembunyi tawa. Bila-bila masa sahaja tawanya boleh terhambur dengan perangai yang tidak pernah dibuat oleh sahabatnya itu sebelum bertunang minggu lalu.

“Aku sign macam biasa aja… mana ada yang luar biasa.” Balas Aflah sambil meneliti setiap helaian yang sudah ditandatangani.

“Cuba kau tengok last page. Apa yang kau dah buat.” Kata Ihsan lagi.

“MasyaAllah!” Aflah sudah menepuk dahinya sendiri apabila melihat helaian yang dimaksudkan oleh Ihsan. Saat itu jugalah tawa Ihsan terhambur.

“Macam mana aku boleh tak perasan ni..” keluh Aflah sambil mengeluarkan helaian tersebut daripada fail biru itu.

“Kau tu yang berangan over sangat. Aku dulu pun berangan jugak. Tapi takdalah sampai macam yang kau buat. Ni kalau Uncle Zahim nampak, sumpah kau kena gelak setahun tak habis.” Sahut Ihsan dalam tawanya.

“Nasib baik kau perasan bro.. kalau tak habis aku… dah la benda ni urgent.” Kata Aflah yang menarik nafas lega. Tapi pada masa yang sama, semakin menebal kulit wajahnya apabila ditertawakan oleh Ihsan.

“Kau ni pun, agak-agaklah bro kalau nak berangan tu. Boleh pulak kau tulis nama Madiha dekat situ. Apahal? Siap ada lambang heart lagi. Gila angau kau ni...” kutuk Ihsan tidak henti. “Aku tahulah kau nak jumpa Madiha hari ni. Tapi tak payahlah sampai nak terbawak-bawak macam tu sekali.” Lanjut Ihsan dengan tawa yang mula reda. Sakit perutnya saat itu kerana terlalu banyak ketawa.

Aflah pula hanya mampu tersengih mendengar kata-kata sahabatnya. Tangan mula menggaru kepala yang tidak gatal. Dia tahu memang itu salahnya. Dalam tidak mahu, dia terpaksalah mendengar kutukan sahabatnya itu.

“Kau ambiklah paper tu simpan buat kenangan. Boleh tunjuk dekat anak cicit kau esok-esok. Nanti aku mintak Madiha print lain..” kata Ihsan yang menyambung tawa. Sengaja ingin mengusik sahabatnya itu.

“Lebih la ni bro… yang nak sebut-sebut nama tunang aku tu kenapa. Kalau dia tersedak nanti.. siapa susah. Aku jugak…” jawab Aflah yang sengaja melayan usikan sahabatnya itu.

“Ee… sudah-sudahlah buat muka teruja kau tu bro. Takut aku tengok. Aku tahulah lagi dua minggu aja kau nak dapat peluk dia. Tak payahlah nak buat muka gatal kau tu sekarang. Berdiri bulu tengkuk aku ni.” Giat Ihsan lagi.

“Ah.. suka hati akulah.” Jawab Aflah selamba dengan senyum mengejek. “Dah tu beb.. Kau pergi print lain. Lepas tu bagi aku balik.” Arah Aflah dengan nada yang sedikit tegas. Apabila melibatkan hal kerja memang dia serius. Cuma hal tadi, memang kecuaiannya sendiri.

“Yalah.. tapi kau jangan pulak buat macam tadi. Memang aku bagi Uncle terus.” Kata Ihsan sebelum bingkas bangun.

“Ahh..Sudahlah kau… nak kutuk aku aja…” balas Aflah yang sedaya upaya menyembunyi rasa malunya pada Ihsan. Dia masih terdengar lagi suara Ihsan mentertawakannya di luar bilik. Kemudian dia mengukir senyum sendiri apabila teringat apa yang dilakukan.

***************

“Diha… Senyap aja dari tadi? Penat ya duduk dalam bas lama..?” Aflah memulakan kata selepas 15 minit perjalanan. Dia sendiri resah menanti gadis itu membuka mulut. Jika gadis itu malu dengannya, dia faham. Baru dua kali mereka bertemu sejak bertunang. Jika di telefon pun gadis itu jarang mahu bercerita itu ini dengannya. Dia yang selalunya begitu teruja menceritakan apa yang berlaku setiap hari. Termasuklah hal kerja yang tiada kena mengena sekalipun.

“Err..tak..” Madiha menggariskan senyuman kecil bagi membuang rasa gugup di hati sebaik masuk ke dalam kereta tunangannya itu tadi. Otaknya terkial-kila mencari ayat yang sesuai untuk memulakan perbualan mereka. Dan akhirnya, dia mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Malu dan takut bergabung menjadi satu dalam hatinya membuatkan dia tidak boleh berfikir dengan baik.

“Habis tu? Diha tak suka ya kita jumpa?” tanya Aflah lagi inginkan kepastian. Dia tidak mahu bakal isterinya itu diam membisu begitu. Resah hatinya yang sudah mula pandai menutur rindu selepas majlis pertunangan mereka yang lalu. Maklumlah. Baru dua kali mereka bersua muka selepas mengikat tali pertunangan. Sebelum majlis berlangsung, seminggu dia menatap wajah mulus itu tanpa mengetahui siapa sebenarnya empunya badan. Tapi, setelah mengetahui segala-galanya, dia yang tidak senang duduk menanti untuk diijabkabulkan. Dia tidak mahu gadis itu berada jauh dengannya setelah mengetahui segala-galanya daripada bapa saudaranya sendiri.

“Er.. bukan.. Diha.. Err..tak pernah keluar macam ni dengan mana-mana lelaki sebelum ni..” jawab Madiha dengan perasaan gugup.

“Erm…lepas ni, Diha kenalah biasa-biasakan.. Tak lama lagi kan kita nak nikah..” balas Aflah lembut. Menyanyi riang hatinya mendengar pengakuan jujur dari bibir gadis itu.

Waktu itu Madiha hanya menunduk dan sesekali membuang pandang ke luar tingkap. Tidak berani menoleh ke wajah Aflah. Dia tahu hakikat yang satu itu bakal berlaku tidak lama lagi. Sememangnya selepas ini dia ada tanggungjawab yang lebih penting.

“Err..Ab..Abang..” tergagap-gagap Madiha ingin menuturkan satu perkataan itu yang telah diwajibkan oleh lelaki di sisinya itu beberapa hari lepas. Jika di dalam telefon, dia boleh lagi menyembunyikan wajah yang membahang. Tapi kini, tidak tahu mana harus disorok.

Aflah mengukir senyum lebar. Semakin kuat lagi hatinya menyanyi mendengar panggilan yang digunakan oleh tunangannya itu. Biarpun dia yang memaksa gadis itu memanggilnya seperti itu, namun sebenarnya dia mahu wujudkan kemesraan bagi permulaan hubungan mereka yang masih terlalu mentah itu. Lagi satu, dia tidak mahu gadis itu berasa jauh dengannya jika hanya panggilan awak saya yang digunakan hingga mereka mendirikan rumahtangga.

“Er…Abang… terima kasih sebab susah-susah ambik Diha..” ucap Madiha perlahan. Dari ekornya dia perasan Aflah sedang tersenyum memandangnya. Mungkin kerana panggilan yang gunakan meniti bibirnya saat itu.

“Apa pulak susah. Kan Diha tunang abang… Siapa lagi yang nak ambik Diha kalau bukan abang. Kalau Diha nak naik teksi pun abang tak izinkan. Dekat KL ni bukan semua orang kita boleh baik Diha. Susah nak jumpa orang baik melainkan abang ni. Lelaki melayu terakhir..” balas Aflah berseloroh. Dia mahu suasana ceria di antara mereka. Sama ceria dengan hatinya saat itu setelah melihat wajah mulus yang amat dirindui dalam dua minggu itu.

Madiha tersenyum nipis. Satu perangai Aflah yang cukup disenangi. Dia pandai begurau. Dalam bergurau, kuat juga mengusik. Itu yang selalu menyebabkan dia terdiam sendiri apabila usikan lelaki itu selalu mengenai batang hidungnya.

“Er…Abang.. nanti kita jumpa Pakcik Zahim?” tanya Madiha berbasa-basi. Dia mula rasa selesa untuk berbual. Biarlah kali ini dia yang banyak bercakap agar lebih banyak dia ketahui tentang lelaki di sisinya itu. Dia mahu tahu segala-galanya tentang lelaki itu walaupun Pakcik Zahim sudah menceritakan semuanya.

“Ala… tak payahlah jumpa paksu. Nanti Diha tak layan abang. Asyik layan paksu aja.” Jawab Aflah berbaur cemburu. Dia memang cemburukan bapa saudaranya itu. Selepas dia tersedar dari pengsan di majlis pertunangannya yang lalu, memang dilihat gadis itu lebih mesra dengan bapa saudaranya. Malah, senyuman tidak lekang di bibir gadis itu.

Madiha ketawa kecil. Lucu mendengar jawapan yang meniti bibir Aflah. Dia tahu lelaki itu cemburu dengan kemesraan yang terjalis di antara dia dan Pakcik Zahim. Malah, ketika dia memberitahu yang Pakcik Zahim datang bertemunya semalam, Aflah tidak henti bertanya tentang apa yang dibualkan bersama Pakcik Zahim. Malah sempat pula memberi amaran agar tidak terlalu rapat dengan Pakcik Zahim.

“Pakcik Zahim tu kan paksu abang… Bukan Diha ada apa-apa pun dengan dia. Dia dah banyak tolong Diha sebelum ni.” Balas Madiha lembut. Tidak mahu lelaki itu terasalah faham dengannya.

“Abang tahu… kalau bukan sebab dia, kita tak jumpa kan..” jawab Aflah mengalah. Dia yakin apa yang diperkatakan oleh Madiha ketika itu. Hanya hati dia sahaja yang mula mengada-ngada. Tidak mahu gadis itu berada dekat dengan lelaki lain selain dirinya.

“Bukan sebab dia kita jumpa bang… Sebab Allah… Dari kita lahir lagi dah tertulis siapa jodoh kita. Kalau Dia dah tetapkan yang abang jodoh Diha… Sejauh manapun Diha tolak abang, akhirnya abang tetap jodoh Diha. Cuma Allah gunakan paksu untuk sebagai perantaraanNya untuk temukan kita…” Tutur Madiha lembut dan tulus. Dia memandang sekilas ke wajah Aflah yang sedang memandu sebelum di membuang pandang ke luar tingkap semula.

Aflah yang mendengar hanya mampu mengukir senyum. Dalam hati, tidak henti dia mengucap syukur yang tidak terhingga pada yang Maha Esa kerana dipertemukan dengan seorang gadis yang begitu tulus dan sempurna di mata serta hatinya. Satu persatu kelebihan Madiha terserlah di matanya walaupun gadis itu bukanlah seperti gadis-gadis yang pernah dikenali sebelum ini. Sara Madiha hanya seorang gadis biasa namun cukup istimewa padanya. Dia bukanlah yang seksi…bukan yang pandai bergaya… bukan yang pandai berfesyen… Kecantikan asli yang dimiliki sudah cukup membuatkannya jatuh hati. Tidak perlu yang lain untuk menyerlahkan lagi kecantikan yang dimiliki.

“Erm.. Diha..” serunya lembut selepas memberhentikan kereta di lampu isyarat merah.

Madiha menoleh ke wajah Aflah yang memandangnya. Dia mengukir senyum manis.

“Nasib baik Diha belum jadi isteri abang. Kalau tak, dah lama abang peluk.” Ujar Aflah tiba-tiba. Itu yang terlintas di fikirannya saat itu. Sengaja ingin mengusik.

Madiha pula cepat-cepat melarikan wajahnya yang mula terasa pijar.

“Sorry..sorry..Abang gurau aja…” lanjut Aflah yang tersenyum lebar melihat wajah Madiha yang merah padam menahan malu.

“Sebenarnya abang nak cakap terima kasih pada Diha…” sambung Aflah tenang selepas dia memandu semula apabila lampu isyarat bertukar hijau.

“Kenapa?” tanya Madiha perlahan dengan wajah masih memandang ke luar tingkap.

“Sebab Diha sudi terima pinangan mummy.” Jawab Aflah ikhlas.

“Erm…maknanya abang mesti terima Diha sebab mummy kan…” balas Madiha sekadar ingin menduga. Dia sudah pun tahu hal yang sebenar sebab Aflah menerimanya.

“Er..bukan.. bukan macam tu. Okay,, pada mulanya ya.. tapi lepas dah jumpa Diha, dengan senang hati abang terima Diha. Kalau bukan Diha pun orang yang mama abang pilih, abang akan tetap juga terima dia jadi isteri abang. Abang akan belajar terima. Sebab abang tahu. Jodoh yang ditentukan oleh mak ayah ni lebih banyak berkatnya kan… Lepas tu, semua terpulang pada diri kita sendiri untuk teruskan kehidupan… Sama macam Diha jugakkan. Abang tahu Diha pun akan buat benda yang sama kerana orang yang kita sayang kan…” jawab Aflah panjang lebar.Dia mahu mereka sama-sama redha menerima jodoh yang sudah ditentukan walaupun mereka tidak melalui tempoh perkenalan yang lama seperti pasangan-pasangan lain. Mungkin dengan cara ini mereka akan lebih dapat memaknakan rumahtangga yang bakal dibina nanti di samping keberkatan Allah terhadap hubungan halal yang terjalin.

Madiha hanya mampu tersenyum. Ada juga benar apa yang diungkapkan. Memang pada awalnya dia menerima pertunangan itu semata-mata kerana ibunya. Tapi akhirnya, dia mula belajar redha semaksimum mungkin untuk menerima kehadiran Aflah dalam hidupnya. Malah lelaki itulah nanti yang bakal memimpinnya ke syurga.

7 comments:

kak na said...

umur 35 masih manja......hahaha lawak la Aflah

mizz acu said...

hehehe.. kalaka la aflah ni.. harus la kna gelak kaw2!
kihkihkih.. harap2 sume ok la ek duaorg nih..
sian aflah tu.. angau tahap petabytes tuu.. kihkihkih

itu_aku +_^zue said...

cite ni pun best...tp nk TDk gak.,,diha dh pggil aflah abg,bila nur nk pggl faliq abg plak..mest sweet kn..

MaY_LiN said...

uish..
sebut nama papa iman je..
nak gak papa iman n mama iman..

cayang arsha..
nama zura tu tukar pada sara..

zm said...

cumel.... manjanye dia

arsha wangi said...

may_lin>

ehehe tak perasan pulak. sekali iman faliq pun ada, ahaha. ~gila tak stabil ni :P

thanks sbb tgur. dah btulkan dah. :D
but no papa iman n mama iman today :D

Anonymous said...

Arsha sweet tulah konon papa iman dah bagi DD terus kluar juga dalam ni ehehe esok nak tdk laling...windulah ngan mama iman...luv u manyak2....gud nite...dewi