May 4, 2012

Anugerah istimewa_short_final part


“Woi! Sudah-sudah la tu nak berdiri depan cermin. Dah elok semua yang dekat muka kau tu. Hidung kau tu pun ada lagi. Cepatlah turun. Mummy dengan paksu kau dah bising dekat bawah tu..” kata Ihsan yang terjegul di muka pintu bilik hotel Aflah. Semua yang mengikuti rombongan pernikahan sahabatnya itu sudah tiba semalam. Lebih mudah jika mereka bertolak dari hotel itu untuk ke rumah pengantin perempuan. Tidaklah perlu tergesa-gesa bertolak dari Kuala Lumpur memandangkan majlis nikah berlangsung sebelum Zohor.

“Amacam wei? Hensem tak?” soal Aflah dengan sengihan yang melebar. Berdebar-debar hatinya saat itu untuk melalui majlis pernikahan yang bakal berlangsung. Tadi sempat dia menghubungi tunangnya. Namun, gadis itu dirasakan amat tenang. Langsung tiada nada gentar dengan majlis yang bakal berlangsung dalam masa 2 jam lagi.

“Alah. Kalau aku cakap tak hensem pun, kau sibuk jugak kata kau hensem.” Balas Ihsan malas. Dia sebenarnya sedikit kegum dengan penampilan Aflah saat itu. Walaupun cukup ringkas dengan baju melayu putih bersamping songket hitam, begitu terserlah penampilannya. Memang lelaki itu sudah dilahirkan dengan indah paras rupa. Tapi wajah itu cukup berseri-seri. Kata orang, sering pengantin. Jelas terpancar di wajah itu menggambarkan rasa bahagia di hati.

“Memanglah…” jawab Aflah sengaja mengusik.

“Wei, kau rasa nanti kau berapa take?” soal Ihsan sengaja berseloroh mengenai majlis pernikahan yang akan berlangsung.

Hello bro. Kalau kau one take, takkanlah aku nak two take pulak.” Jawab Aflah sedikit tercabar dengan kata-kata sahabatnya.

“Jangan confident sangat sahabat.” Balas Ihsan seraya menepuk bahu sahabatnya itu. Mereka sudah beriringan untuk masuk ke perut lif.

“Alah. Kau dengki la tu kan.. saja aja tak nak aku one take.” Jawab Aflah menjeling wajah sahabatnya yang sudah ketawa.

“Memanglah…” jawab Ihsan selamba sengaja ingin mengusik. “Bukan apa.. aku takut kau pengsan aja depan tok kadi tu nanti. Tak pasal-pasal two take pulak..” sambung Ihsan yang sudah mengekek ketawa. Teringat kembali apa yang berlaku sewaktu majlis pertunangan lalu.

“Ahh.. diamlah kau. Buat aku nervous aja..” bentak Aflah yang geram dengan sahabatnya itu. Ihsan suka benar mengusiknya tentang peristiwa majlis pertunangan lalu.

Relaxlah bro. Kata power. Takkan aku baru usik sikit dah nervous..” giat Ihsan lagi seraya masing-masing melangkah keluar dari perut lif.

“Sudahlah kau.” Balas Aflah geram. Mereka sudah mendapatkan kaum keluarga yang menunggu di lobi hotel.

“Bro, kau drive kereta aku.” Ujar Aflah apabila masing-masing sudah bersedia ingin bertolak ke rumah pengantin perempuan.

“Amboi! Habis anak bini aku nak letak mana oi..” jawab Ihsan pula.

“Takpun macam ni. Kereta kau bagi cousin aku drive. Kau dengan wife and si kembar naik sekali kereta aku. Nanti balik cousin aku boleh naik dengan family dia.” Cadang Aflah pula. Dia tidak akan bermalam di rumah Sara Madiha selepas majlis nanti. Habis majlis itu nanti dia akan terus pulang ke Kuala Lumpur. Dia mahu memberi peluang kepada bakal isterinya menghabiskan masa bersama keluarga sebelum berpindah tinggal bersamanya selepas majlis di sebelah keluarganya minggu hadapan.

“Erm.. Alright la kalau macam tu.” Jawab Ihsan bersetuju.

“Kalau macam tu, jomlah. Semua dah siapkan? Hantaran pun semua dah letak dalam kereta. Eloklah kita gerak sekarang. Takdalah pengantin perempuan pulak yang tunggu kamu tu nanti.” Celah Zahim pula yang sama-sama ada di ruang menunggu itu.

“Yalah paksu.” Jawab Aflah pendek. Pada masa yang sama dia menoleh ke wajah mummynya yang hanya mendiamkan diri sejak semalam. Tidak banyak perkataan yang keluar dari bibir itu.

“Mummy.. Kenapa senyap aja ni?” soal Aflah seraya menyangkutkan lengannya ke bahu Puan Azlina.

“Erm.. takda apa… Cuma mummy tak sangka yang anak mummy ni dah nak kahwin…” balas Puan Zalina yang sudah bergenang airmata sejak melihat kelibat anaknya yang sudah berpakaian baju melayu serba putih itu.

Aflah tersenyum nipis mendengar kata-kata mummynya.

“Kan mummy yang tak sabar-sabar nak dapat cucu… Kalau Aqil tak kahwin, macam mana nak dapat cucu..” Aflah cuba menceriakan suasana. Tidak mahu mummynya kelihatan murung begitu.

Puan Azlina mengukir senyum kecil. Terpujuk dengan kata-kata anak tunggalnya itu.

“Taknaklah sedih-sedih macam ni mummy. Mummy doakan majlis nikah Aqil nanti berjalan dengan baik ya?” lanjut Aflah seraya memeluk erat tubuh mummynya. Terasa sebak pula hatinya melihat mummynya begitu. Kalaulah arwah papanya masih ada untuk berkongsi hari bahagianya, pasti mummynya tidak semurung begitu.

“Sudahlah tu… kita dah lambat ni..” Celah Zahim yang sudah pun membuka pintu kereta buat kakaknya.

“Okay paksu.. Mummy, kita jumpa dekat sana nanti. Mummy jangan sedih-sedih macam ni lagi.” Ujar Aflah lalu mengucup lembut kedua pipi mummynya sebelum bergerak ke keretanya. Perjalanan mereka mengambil masa hingga satu jam.

……………………..

“Muhammad Aqil Aflah bin Muhammad Afzan?” kata lelaki bersongkok di hadapan Aqil.

“Saya.” Jawab Aqil tenang.

“Aku nikah akan dikau Sara Madiha binti Sulaiman berwali wakilkan aku dengan mas kahwinnya lima belas ribu ringgit tunai.” Lafaz lelaki di hadapan Aqil tenang.

“Aku terima nikah Sara Madiha binti Sulaiman dengan mas kahwinnya lima belas ribu ringgit tunai.” Lafaz Aqil jelas dan lancar.

Saat itu juga Aqil memandang tepat ke dalam mata lelaki di hadapannya sebelum terdengar suara-suara di sekeliling menyatakan perkataan sah. Saat itu jugalah dia mula mengukir senyum apabila lelaki di hadapannya itu mengucap Alhamdulillah. Dan dia terus meraup perlahan wajahnya sekali serta menarik nafas lega. Tepukan perlahan di bahu kanan daripada bapa saudaranya yang turut sama mengukir senyum. Sempat juga matanya mengerling ke sebelah kiri di mana sahabatnya duduk. Lelaki itu turut mengukir senyum buatnya.

Dan kemudiannya dia menadah tangan untuk bacaan doa. Tenang hatinya saat itu walaupun dapat merasakan sesuatu yang lain. Namun tidak dapat dipastikan. Apa yang pasti, rasa tenang dan sejuk hatinya saat itu tidak pernah dirasakan selama ini. Usai bacaan doa, dia terus memeluk erat tubuh bapa saudaranya dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga. Begitu juga kepada sahabatnya yang selama ini memberi sokongan. Kemudian beralih pula kepada mummynya yang sudah berairmata. Tersentuh hatinya saat itu melihat wajah mummynya yang keruh. Dipeluk erat tubuh itu sebelum dileraikan untuk menunaikan solat syukur di atas kurniaanNya.

Selesai sahaja bersolat, upacara pembatalan wuduk dilakukan. Dia mengambil tempat di hadapan seorang gadis yang duduk bersimpuh dan hanya menunduk dari tadi. Selepas sah menjadi suami, dia sempat mengerling sekilas ke wajah isterinya itu. Amat tenang sekali.

“Aqil..” Puan Azlina menghulurkan set barang kemas kemas kepada anak tunggalnya itu.

Madiha yang melihat huluran itu telan liur. Seperti tidak percaya apa yang dilihat. Dua kali dia terkejut hari itu. Pertama kalinya apabila melihat tiga puluh dulang hantaran yang dibawa oleh pihak suaminya itu. Yang kedua apabila mendengar jumlah mas kahwin yang dilafaz oleh suaminya. Tidak menyangka sebanyak itu pemberian Aqil kepadanya. Tidak seperti yang dirancangkan sebelum ini. Dan kini satu set barang kemas yang tidak pernah dibayangkan seumur hidupnya. Dua minggu lalu dia hanya dibawa untuk membeli cincin yang akan digunakan untuk upacara membatalkan wuduk. Tidak pula lelaki itu menyatakan ada set barang kemas yang tersedia.

Tangan yang sudah terasa sejuk sejak tadi, dihulur perlahan kepada suaminya untuk menyarungkan cincin sekaligus gelang tangan. Selesai itu, kini dipakaikan pula kalung di leher. Memerah wajahnya saat itu apabila mendengar bisikan lembut rapat di telinganya.

I love you so much sayang…” itu yang diucap si suami membuatkan semakin kebas wajahnya. Tidak berani untuk menegakkan wajah langsung. Bergetar hatinya saat itu. Belum pernah dia mendengar ucapan tulus itu dari mana-mana lelaki pun. Hanya dari bibir lelaki itu. Aqil Aflah suaminya.

“Sara… Aqil hulur tangan tu..” tegur ibunya di sisi membuatkan Sara Madiha sedikit tersentak. Kalut saat itu. Dengan tangan sedikit terketar dia menyambut huluran tangan suaminya. Dan dikucup lembut tanda hormat dan selayaknya sebagai seorang suami.

Aflah tersenyum lebar saat gadis yang sudah halal baginya itu mengucup lembut tangannya. Dan dia pula tanpa menunggu lama cepat sahaja menghadiahkan kucupan hangat di dahi isterinya itu. Dengan perasaan indah yang membelit hati, tangan cepat sahaja merangkul tubuh itu ke dalam pelukan.

“Mummy, Aqil dah dapat peluk Diha…!” kata Aflah membuatkan kaum keluarga di kedua-dua belah pihak hampir sahaja bersorak. Tetapi masih dalam kawalan memandangkan mereka di dalam masjid.

Puan Azlina pula terus sahaja menepuk bahu anak tunggalnya itu kerana beraksi berani terhadap gadis yang baru dinikahi. Sempat matanya singgah ke wajah manantunya yang merah padam setelah Aflah meleraikan pelukan.

“Bro, agak-agaklah..” tegur satu suara di belakangnya juga. Dia tahu itu suara mengusik dari sahabatnya sendiri. Ihsan.

“Sudahlah tu. Nanti makin lama dekat sini, macam-macam pulak yang kamu buat pada bini kamu tu.. Bawak bersabar sikit Aqil.” celah Zahim pula. Turut sama mengusik.

Bahagia dia melihat pasangan di hadapannya itu. Sama cantik, sama padan. Wajah gadis di sisi anak saudaranya itu dilihat hanya menunduk sejak tadi. Mungkin malu dengan keadaannya yang masih menjadi tumpuan lensa kamera dan baru sahaja dipeluk oleh Aflah di hadapan semua mata ahli keluarga.

Aflah pula tidak menjawab sebaliknya hanya mampu menayang barisan giginya yang tersusun cantik. Kembang mekar di hatinya melihat wajah mulus di hatinya kini sudah menjadi hak miliknya yang sah. Apa sahaja perbuatannya terhadap tubuh itu tidak lagi dikira dosa. Malah, mendapat pahala pada setiap sentuhan yang dilakukan. Jika dahulu dia mengucap cinta pada orang salah. Tapi kini dia lebih yakin menutur kata cinta itu kepada yang selayaknya.

*************



“Ehem…” Sara Madiha memberanikan diri menegur. Dalam rasa gentar di hati dia melangkah juga masuk ke dalam bilik. Baru malam itu mereka akan bermalam bersama selepas majlis pernikahan seminggu lalu. Suaminya itu sendiri yang memintanya begitu biar majlis kedua-duanya selesai kemudian mereka akan terus tinggal bersama. Dan siang tadi majlis di rumah keluarga Aflah. Menitis airmatanya saat ibu dan adik-adiknya ingin pulang ke kampung semula petang tadi.

Kebenaran untuk bekerja demi membantu keluarga selepas berkahwin telah pun ditarik semula oleh suaminya beberapa hari lepas. Katanya tidak mahu mereka tinggal berasingan. Suaminya itu ingin dia menyambung semula pengajian yang tertangguh. Mahu atau tidak, dia wajib menurut segala arahan suaminya itu tanpa ada bantahan. Memang itu juga harapannya selama ini dapat menghabiskan pengajiannya yang tertangguh. Cuma dia sedikit berasa tidak selesa apabila suaminya yang akan menanggung semua perbelanjaan termasuk wang perbelanjaan keluarganya.

Satu persatu kebaikan lelaki itu terserlah di matanya. Dia memang tidak mampu menolak dan membalas segala kebaikan lelaki itu. Hanya satu yang dapat dilakukan. Dia perlu menjadi isteri yang terbaik buat Aqil Aflah. Dia akan cuba yang terdaya untuk membahagiakan suaminya itu walaupun mereka baru sahaja berkenalan. Dan alasan baru berkenalan itu bukanlah sebab utama untuk dia tidak menjadi isteri yang terbaik buat Aqil Aflah.

Seminggu mereka berhubungan, dia mula dapat memahami satu persatu perangai suaminya. Sikap manja begitu jelas pada diri suaminya itu. Ketika lelaki itu ingin pulang ke Kuala Lumpur selepas majlis pernikahan mereka minggu lalu, pelbagai yang diminta hingga wajahnya merah padam menahan malu melayan segala permintaan Aqil Aflah. Minta dia memeluk erat tubuh itu, dia turutkan. Minta dikucup setiap inci wajah itu juga dilakukan dengan rela hati walaupun wajahnya saat itu sudah dirasakan tebal berinci-inci. Dia tidak mampu membantah segala permintaan lelaki itu setelah dia diberi peluang untuk tinggal lagi bersama keluarga selama seminggu walaupun mereka sudah sah menjadi suami isteri. Dia amat menghargai atas kesudian Aqil Aflah memahami dirinya yang terlalu berat hati ingin meninggalkan ibu dan adik-adik. Sebak hatinya apabila teringat wajah sugul ibu ketika ingin bertolak balik tadi. Tanpa sedar juga ada air jernih yang mula bertakung di hujung mata.

“Sayang…” panggil Aflah berkali-kali seraya menghampiri Sara Madiha yang hanya menunduk bersandar di pintu bilik. Dia tahu fikiran isterinya itu jauh melayang entah ke mana. Baru malam itu mereka akan bermalam bersama. Hari selepas pernikahannya minggu lalu, dia sendiri yang sengaja meninggalkan isterinya itu tinggal bersama keluarga sebelum mereka tinggal bersama. Sepanjang itu juga dia sering memberi ingatan kepada isterinya itu agar bersedia untuk tinggal bersamanya.

Aqil Aflah menyentuh perlahan bahu isterinya.

“Err… Maaf..” kata Sara Madiha dengan suara sedikit bergetar. Terkejut menerima sentuhan suaminya. Matanya menatap wajah Aflah yang begitu hampir di hadapan wajahnya itu. Tidak sampai sepuluh saat dia sudah melarikan matanya semula. Debar di hati terasa semakin menggoncang dada. Nafas hangat Aqil Aflah yang menyapa wajahnya saat itu menambah kekalutan di hati. Untuk bergerak menjauh, dia tidak mampu. Dia betul-betul sudah tersandar rapat di daun pintu. Entah bagaimana dia boleh tidak sedar suaminya yang tadi duduk berteleku di sejadah, kini sudah berdiri di hadapannya.

“Kenapa ni?” soal Aqil Aflah lembut yang tidak senang melihat mata isterinya yang sudah berkaca-kaca. Hujung dagu Sara Madiha disentuh agar wanita itu memandang ke wajahnya. Ibu jarinya pula sudah menyeka lembut airmata yang ingin menuruni pipi. Risau seandainya isterinya itu takut akan malam yang akan dilalui bersama buat pertama kalinya. Dia sendiri terasa sedikit gentar apabila berduaan begitu. Kali pertama juga bagi dirinya akan bermalam bersama seorang wanita yang kini sudah halal menjadi miliknya. Dan dia berhak melakukan apa sahaja semahunya. Tetapi, tanggungjawabnya yang satu itu bukanlah menjadi keutamaan. Dia tidak mahu hanya akan ada usaha dari pihaknya sahaja. Dia mahu kerjasama itu dari pihak isterinya juga agar segalanya dapat berlangsung dibawah restu dan perlindungan yang Maha Esa. Dia tidak akan sesekali memaksa.

Sara Madiha menggelengkan kepala perlahan. Mata terus sahaja menatap wajah suaminya yang bersih dan manis tersenyum. Tangan kasar yang melekap di wajahnya saat itu terasa sejuk. Mungkin kerana suhu penghawa dingin di dalam bilik itu yang agak sejuk atau juga lelaki itu sama-sama dapat merasakan apa yang tersirat di hatinya. Mungkin tanggungjawabnya sebagai isteri telah pun tiba. Dan dia mahu mengikhlaskan apa juga yang akan dilakukan oleh Aqil Aflah ke atas dirinya. Selayaknya layanan yang terbaik harus diberikan kepada insan bernama suami daripada seorang isteri.

“Sayang janganlah takut.. Abang tak makan orang..” bisik Aqil Aflah cuba berseloroh. Tidak mahu isterinya itu terusan dalam keadaan begitu.

Sara Madiha menggeleng kepala perlahan seraya cuba memaniskan wajah. Pandangan redup di hadapannya itu memang membuatkan detak jantungnya tidak lagi mengikut tempo. Dia memberanikan diri menyentuh tangan suaminya yang melekap di wajah. Ditarik lembut tangan itu sebelum dikucup sekilas. Lalu tanpa dipaksa pula dia terus memeluk tubuh tinggi lampai itu seeratnya. Biarlah dia yang memulakan langkah agar suaminya itu yakin yang dia redha menerima segala ketentuan dariNya.

Aqil Aflah yang sedikit terkejut dengan tindakan isterinya itu hanya kaku berdiri. Tidak tahu apa yang harus dilakukan.

“Assalamualaikum…” terdengar bisikan halus dari bibir isterinya yang melekap di dada.

Dengan debar di dada itu jugalah dia baru membalas pelukan. Bertambah erat. Dia pula yang terasa sedikit kalut apabila dalam keadaan begitu. Otaknya gagal memikirkan apa-apa saat itu selain hanya tertumpu pada tubuh si isteri yang sudah tenggelam dalam pelukannya. Ubun-ubun si isteri dikucup sekilas sebelum berpindah ke bahu. Dapat dirasakan detak di dadanya seakan-akan bersatu dengan isterinya. Dia tidak dapat menolak keinginannya yang satu itu apabila berduaan begitu. Walaupun Sara Madiha tidak menyatakan sebarang perkataan persetujuan, namun dia tahu yang isterinya itu sudah bersedia untuk melakukannya. Tangan yang masih erat melingkar di pinggangnya itu sudah cukup menunjukkan yang mereka saling memerlukan. Tiada lagi kata yang mampu terungkap andai itulah fitrah yang sudah ditetapkan dalam sesebuah perhubungan suami isteri.

‘Restuilah kami ya Allah..’ ucapnya dalam hati sebelum masing-masing redha dengan keinginan sendiri.

*************

“Sayang… lambat lagi ke?” tanya Aqil Aflah lemah. Hampir tiga jam dia menanti isterinya itu menyiapkan tugasan. Semenjak isterinya itu menyambung pengajian, hanya sekali mereka baru dapat bertemu dalam seminggu. Itupun jika dia tidak bekerja di luar kawasan. Disebabkan kampus si isteri di utara tanah air, mereka tidak dapat untuk tinggal bersama. Terpaksa berpisah dalam masa dua tahun itu.

“Sikit lagi… kejap aja..” jawab Sara Madiha yang masih tekun mengadap komputer riba di meja kerja suaminya. Aqil Aflah saat itu dari tadi setia duduk di sisinya.

“Alah… dari tadi sikit-skit. Tapi tak siap pun…” rungut Aqil Aflah yang semakin tidak senang duduk menanti. Sudah tiga minggu tidak bertemu dengan isterinya itu memang menyeksakan hati. Dia terlalu rindu untuk bermesra dengan isterinya itu.

“Yalah… macam mana nak siap. Abang dari tadi pegang sana, pegang sini.. cium sana, cium sini.. Cuba abang duduk diam-diam. Cepatlah Diha siapkan assignment Diha ni..” balas Sara Madiha sambil mengerling sekilas ke wajah cemberut suaminya. Memang sejak awal lagi suaminya itu tidak reti duduk diam. Ada sahaja bahagian tubuhnya yang ingin disentuh hingga dia tidak senang duduk. Pipinya itu sahaja sudah berkali-kali menjadi sasaran bibir suaminya dari tadi. Dia tahu akan keinginan suaminya itu sejak dia tiba malam semalam. Peluang dapat pulang bercuti seminggu itu memang dia ingin manfaatkan sebaiknya. Namun, oleh kerana tuntutan tugasan yang masih berbaki, dia terpaksa menolak tepi hasrat hatinya juga. Dia mahu sepanjang bersama suaminya nanti tidak perlu dia memikirkan hal tugasan. Maka segala tugasan harus disiapkan terlebih awal.

“Alah.. dari siang tadi sayang dah buat. Tak siap lagi ke? Ni tengok sekarang dah pukul berapa. Penat abang tunggu tau..” rungut Aqil Aflah lagi sengaja ingin bermanja. Melihat wajah isterinya itu sahaja sudah mampu menjentik naluri lelakinya. Apatah lagi setelah tiga minggu tidak berjumpa. Dia tidak menyangka yang isterinya itu akan sesibuk begitu jika melanjutkan pelajaran. Begitu banyak tugasan yang harus disiapkan saban minggu.

“Abang kalau mengantuk, pergilah tidur dulu… Kejap lagi dah siap, Diha tidur okay..” pujuk Sara Madiha lembut. Dia memang sengaja ingin mengusik. Bukan dia tidak faham apa yang dinanti oleh suaminya itu. Tugasannya pun sudah lebih satu jam siap. Dia sengaja ingin menguji kesabaran suaminya itu.

“Hm.. sampai hati sayang seksa abang sampai macam ni kan.. Dah la tiga minggu tak jumpa. Bila dah jumpa sayang buat tak tahu aja dengan abang..” jawab Aqil Aflah berbaur rajuk. “Sayang bercintalah dengan assignment sayang tu.. abang nak tidur dululah..” lanjut Aqil Aflah seraya bangun dan berjalan ke katil. Malas mahu memaksa isterinya yang masih sibuk dengan tugasan. Mujur isterinya bercuti seminggu. Dia masih mampu lagi bersabar untuk melepas rindu.

Sara Madiha ketawa kecil apabila melihat suaminya yang sudah bebaring di katil. Comforter ditarik hingga menutupi seluruh tubuh. Suaminya itu memang manja. Sengaja minta dipujuk dan dimanja jika mereka bersama. Dia terus menutup komputer riba dan mendapatkan suaminya di katil. Tidak sampai hati pula melihat suaminya itu tidur dalam keadaan berjauh hati begitu.

“Ala.. Diha usik sikit pun tak boleh..” kata Sara Madiha sambil menarik comforter yang menutupi wajah suaminya.

“Kan assignment Diha tak siap lagi. Pergilah siapkan.. Abang tak kisah..” jawab Aqil Aflah masih dalam nada yang sama. Sengaja ingin membuat isterinya berasa serba salah. Mata sedikit pun tidak memandang ke wajah isterinya.

“Dah lama siap dah..” jawab Sara Madiha seraya merebahkan tubuhnya di sisi Aqil Aflah. Senyuman manis terhias di bibirnya melihat rajuk si suami masih belum terpujuk.

Aqil Aflah yang mendengar kata-kata isterinya serentak menukar posisi tubuh. Terus mendakap tubuh Sara Madiha yang sudah berbaring di sisinya.

“Sayang tipu abang dari tadi ya? Habis tu buat apa lama-lama depan laptop tu?” soal Aqil Aflah yang sudah tersenyum penuh makna kepada isterinya.

“Abang jangan nak senyum macam tu boleh tak? Takut Diha tengok..” balas Sara Madiha dengan suara yang hampir berbisik. Tidak mahu mempersoalkan lagi hal tadi. Fokusnya kini hanya pada Aqil Aflah. Dia sendiri menanggung rindu terhadap suaminya itu. Tapi, masih lagi mampu dikawal agar tidak terlihat begitu ketara.

“Ni hukuman sebab sayang tipu abang hari ni…” ujar Aqil Aflah separa berbisik seraya mendaratkan bibirnya ke tempat sasaran. Sungguh keinginan hatinya tidak mampu lagi ditanggung.

***********

“Sayang.. kenapa menangis ni?” tanya Aqil Aflah apabila melihat wajah keruh Sara Madiha yang duduk di birai katil. Sudah seminggu isterinya menamatkan pengajian. Dia yang sedang membuka butang baju kemejanya berasa tidak senang hati sebaik tiba dari pejabat tadi. Mummynya juga ada menyatakan yang isterinya itu kurang sihat hari ini.

Aqil Aflah terus mendapatkan Sara Madiha yang hanya duduk menunduk dari tadi. Hanya esakan halus yang didengari dari bibir wanita itu.

“Sayang… cuba cakap dengan abang. Kenapa sayang menangis ni?” soal Aqil Aflah lembut seraya menarik hujung dagu isterinya itu agar mereka bertatapan. “Kenapa sayang abang menangis sampai macam ni sekali?” lanjutnya lagi lalu menyapu lembut airmata yang sudah memabasahi wajah si isteri.

“Abang…” Sara Madiha lantas memeluk tubuh suaminya erat.

“Kenapa ni sayang…” soal Aqil Aflah yang semakin tidak senang melihat isterinya begitu.

“Abang.. Diha tak boleh kerja..” tutur Sara Madiha dalam esak tangis.

Aqil Aflah yang mendengar jawapan dari bibir itu terus mengerutkan dahi. Setahunya dia tidak melarang untuk isterinya itu bekerja setelah tamat belajar. Malas dia sendiri ada menawarkan kerja di syarikatnya namun ditolak pula oleh Sara Madiha dengan alasan dia mahu berdikari sendiri.

“Kan abang izinkan sayang kerja…” ujar Aqil Aflah seraya mengusap lembut rambut isterinya untuk memujuk.

“Er..Diha..Diha..” tergagap pula Sara Madiha untuk menuturkannya.

Aqil Aflah meleraikan pelukan.

“Tell me why sayang..” kata Aqil Aflah lambut. Sekali lagi wajah yang berairmata itu disapu lembut.

“Diha…” Sara Madiha gigit bibir. Malu pula untuk menuturkan satu berita yang membuatkannya bersedih hati tidak dapat melaksanakan janji untuk membantu keluarganya. Aqil Aflah sudah menjadi keutamaannya kini. Dia tidak mampu membantah.

Aqil Aflah mengukir senyum. Sabar menanti butiran selanjutnya.

“Ni semua sebab abang…!” hambur Sara Madiha tiba-tiba beserta airmata.

Mati senyum di bibir Aqil Aflah.

“Sebab abang? Apa yang abang dah buat?” tanya Aqil Aflah sengan kerutan di dahi.

“Ni… perut Diha ni.. dah gemuk..” jawab Sara Madiha dengan linangan airmata.

Aqil Aflah tersenyum kembali. Dia akui yang tubuh isterinya itu semakin berisi sejak akhir-akhir ini.

“Biarlah sayang gemuk. Abang suka kalau sayang berisi sikit. Sedap peluk..” jawab Aqil Aflah seraya memeluk erat tubuh isterinya itu.

“Tapi kalau perut Diha dah jadi macam ni? Sedap ke nak peluk?” soal Sara Madiha seraya meleraikan pelukan seraya menunjukkan keadaan perutnya yang besar.

“Wait! Wait! What are you talking a about sayang?” tanya Aqil Aflah seraya memegang kedua bahu isterinya. Dia cuba mencari kebenaran yang bermain di benaknya di wajah isterinya itu. Masakan badan gemuk akan lebih jelas kelihatan di bahagian perut sahaja melainkan isterinya itu…?

“Sayang tak bergurau kan??”

Sara Madiha hanya diam menunduk. Malu pula saat itu untuk menerangkan duduk perkara yang sebenar. Rasa sedihnya tadi dirasakan tidak berasas.

Aqil Aflah yang mula rasa teruja terus sahaja melekapkan tapak tangannya ke perut yang sudah membukit kecil itu. Fahamlah kini kenapa tubuh isterinya itu semakin berisi sejak akhir-akhir ini. Rupa-rupanya ada benih yang sedang membesar di dalam rahim. Kehadiran yang amat dinantikan sepanjang dua tahun selepas bergelar suami.

“Syukur Alhamdulillah.. lama abang tunggu saat macam ni..” ujar Aqil Aflah seraya mengucup lembut perut isterinya sebelum memeluk erat tubuh yang diam membisu itu.

“Ab..abang…” seru Sara Madiha perlahan. Aqil Aflah pula sudah meleraikan pelukan. Fahamlah kini kenapa isterinya itu berairmata. Mereka pernah mengikat janji andai isterinya itu hamil, dia tidak akan membenarkan isterinya itu bekerja.

“Sayang menangis sebab tak dapat pergi kerja dengan baby kita ya?” ujar Aqil Aflah dengan senyuman bahagianya.

Sara Madiha hanya menganggukkan kepala perlahan. Bukan dia tidak gembira dengan kehadiran zuriat itu. Tetapi dia terpaksa menangguhkan hasratnya untuk membantu keluarganya di kampung dengan hasil titik peluhnya sendiri walaupun setiap bulan Aqil Aflah akan mengirimkan wang perbelanjaan.

Aqil Aflah terus memeluk erat tubuh isterinya itu erat. Sara Madiha merupakan anugerah paling istimewa yang diterima daripada yang Maha Pencipta dalam dia memaknakan kehidupan. Dia tahu isterinya itu sedikit kecewa kerana tidak dapat membantu ibu dan adik-adik dengan hasil titik peluhnya sendiri. Dia tahu isterinya itu tidak mahu membebankannya untuk menampung perbelanjaan keluarganya selama ini. Dia sendiri tidak pernah rasa terbeban dengan apa yang dilakukan. Sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan hidup isteri dan keluarga mertuanya lebih terjamin. Dia rela hati melakukan semua itu dengan kemampuan yang dia miliki.

“Lepas aja sayang bersalin, abang izinkan sayang bekerja. Hal mak dengan adik-adik dekat kampung, sayang jangan risau okay. Abang akan tanggung semuanya. Sayang tak payah susah-susah lagi. Cuma… Abang nak mintak maaf sebab sayang kena susah-susah lepas ni jaga baby kita baik-baik..” ucap Aqil Aflah tulus.

Sara Madiha pula sudah mengalirkan airmata semula. Sebak dengan ucapan tulus suaminya. Memang selama ini suaminya itu tidak pernah mengeluh akan segala perbelanjaan yang dikeluarkan buat ibu dan adiknya di kampung. Malah, keadaan keluarganya semua bertambah baik. Tidak lagi sesukar sebelum dia bernikah dengan lelaki itu.

“Terima kasih abang… terima kasih atas semuanya yang abang buat untuk Diha.. Diha tidak terdaya nak balas abang..” ucapnya pula dalam esak tangis.

“Ni… sayang dah bagi abang ni…” balas Aqil Aflah seraya meleraikan pelukan dan menyentuh perut isterinya.

“Ni lebih dari cukup yang sayang dah balas pada abang..” lanjutnya lagi seraya mengucup lembut dahi Sara Madiha sebelum tubuh itu dibawa lagi dalam pelukannya.

“Semoga Allah berkati hidup hingga akhir hayat kita sayang…” ucapnya lagi yang turut berkongsi rasa yang sama saat itu.

Semoga bahagia sentiasa menyelimuti kehidupan mereka hingga ke akhirnya dibawah keizinanNya. 


**************
~macam ada yang tak kena, tapi buat tak nampak eh.. hee :P

12 comments:

kak na said...

arsha, ok je,apa yg tak kena lak? nice ending dear

mizz acu said...

Chumell betoii 2 orang ni.. Aflah is sooooo sweettt ;)
Alhamdulillah.. Very2 nice ending!


P/s : pasni nak zarif + papamama iman tauu ;)

RinsyaRyc said...

Hadeke patot sara takut gemok . hewwheww.. ngade :P

Aqil romantika sngt2.. >_<

sue said...

BESTTTT

Anonymous said...

hepy ending,,
sweet..
Tp nk tdk gak

zm said...

saya malu la pulak lpas baca ni... x sangka cik arsha kita yg chomel ni, boleh buat crita comel sweet2 manja mcm ni... aiii like... thanxs awak

arsha wangi said...

ahaha. saya lagi malu tau. rasa menyesal pulak dah menulis gini gayanya.. malu sangat2. ~_~"

MaY_LiN said...

arsha..
suka ya..
hikhikhik..

arsha wangi said...

maylin>

eheh. suka apanya maylin. haru biru kot. ahah. patutlah rasa macam ada yang tak kena. ahaha

Kk Zen said...

aqil ni mmg overdos sweet hehe..
suka sangat dgn pasangan ni..
dia bukan sja boleh terima sara seadanya..tapi dia juga
x lupakan tggungjawap untuk keluarga sara..
yg palin comel dia ni terlebih manja hehe..s
cute..
mcm nak jadi sara pula hehe..

Miz Novexx said...

perfect!!! memang best dan touching ;)

Ruunna Qizbal said...

best sangat2.. sweet gila hehe