May 16, 2012

Mengharap kasih_short_part 1


“Abang..” Azila terus menyambut kepulangan suaminya tengh hari itu dengan perasaan sedikit pelik.

“Sayang masak apa hari ni?” tanya Afrizal selepas meleraikan pelukan isterinya. Sudah menjadi rutin apabila dia pulang dari kerja, pasti pelukan hangat isterinya yang akan diterima.

“Kan abang suruh Zila masak tomyam hari ni..” balas Azila seraya menyambut huluran uniform kerja suaminya.

Afrizal yang dikahwini lima tahun lalu hanyalah seorang penyelia kilang. Namun pun begitu, dia bahagia dengan apa yang dimiliki kini. Cukup lengkap serba-serbi malah makan pakainya terjaga. Sedikit pun tidak kurang walaupun hidup dalam kesederhanaan. Dihiasi pula dengan dua orang zuriat yang comel membuatkan hidup mereka sekeluarga lebih bermakna. Dia sendiri sanggup berhenti kerja semata-mata ingin memastikan segala keperluan anak dan suami lengkap segalanya.

“Abang nak makan sekarang ke? Zila boleh sediakan..” lanjut Azila apabila melihat suaminya itu sudah menyandarkan tubuh ke sofa dengan mata terpejam. Dia perasan wajah suaminya itu sedikit pucat. Dan mungkin sahaja migraine yang dialami sejak mereka mula berkahwin lagi datang menyerang. Begitulah kebiasaannya.

“Nantilah sayang… abang nak tidur kejap… sayang tolong ambikkan ubat abang dulu..” ujar Afrizal dengan mata terpejam. Hanya Allah sahaja tahu bagaimana denyutan di kepala yang ditanggung selama ini. Malah sejak akhir-akhir ini migrainenya semakin kerap menyerang. Kadang-kadang hingga dia hilang selera makan.

Azila yang sudah duduk di sisi suaminya itu terus bingkas. Sudah faham dengan keadaan suaminya apabila diserang migraine begitu. Dia hanya menurut.

“Abang, ni ubatnya… Abang masuk tidur dekat dalam biliklah. Nanti Along dengan Adik jaga, dia kacau abang pulak.” Ujar Azila yang sudah kembali dengan beberapa beg plastik kecil dan segelas air.

Afrizal hanya diam. Setelah beberapa biji kapsul ditelan, dia terus sahaja melangkahkan kaki ke bilik. Tidak mahu lagi menunggu lama kerana denyutan di kepala semakin menjadi-jadi.

……………………..

“Abang… abang…” panggil Azila lembut seraya menggoncang perlahan tubuh suaminya.

“Hmm..” terdengar suara Afrizal menjawab perlahan. Seperti terkepung di dalam tekak sahaja.

“Abang… dekat pukul 3 ni.. abang belum solat lagi..” ujar Azila dalam nada yang sama. Sepanjang berkahwin, belum pernah mereka meninggikan suara antara satu sama lain. Masing-masing pandai mengawal diri.

Afrizal memejam celik mata melihat ke wajah isterinya yang sentiasa tersenyum manis. Memang tidak salah percaturannya dahulu memilih Azila sebagai isteri walaupun mereka berkenalan secara tidak sengaja selepas dia tersesat jalan. Ketika itu Azila masih bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah syarikat swasta. Bibir mengukir senyum tanpa sedar apabila teringat kembali bagaimana dia boleh melamar wanita itu dalam tempoh perkenalan yang baru sahaja menginjak dua bulan. Dengan debar di hati lamaran dibuat melalui ibubapa wanita itu yang kini sudah pun menjadi ibubapa mertuanya.


“Zila… boleh saya tanya sikit?” tanya Afrizal dengan debar di dada. Sudah beberapa malam tidurnya tidak lena kerana terbayangkan wajah itu sahaja tiap kali memejam mata.

“Apa awak ni.. macamlah baru kenal semalam. Awak tanya ajalah apa yang awak nak tanya.” Jawab Azila mesra tanpa mengesan riak serba tidak kena di wajah lelaki di hadapannya itu.

“Erm, awak macam tak kisah aja kawan dengan saya. Awak tak takut ke kalau saya ni orang jahat ke… saja nak tipu awak ke… suami orang ke…” ujar Afrizal menduga.

“Alah..kalau orang jahat pun..suami orang ke.. orang jugak kan.. kalau awak ada niat jahat dengan saya, takkan sampai dua bulan ni awak sanggup postpone niat jahat awak tu..” jawan Azila diringi tawa kecil.

Afrizal turut ketawa. Wanita di hadapannya itu memang tulus bersahabat dengannya.

“Erm, kalau saya ni suami orang?” duganya lagi.

“Kalau suami orang? Erm.. kenapa saya nak takut. Bukan saya buat apa-apa dengan awak kan? Kalau wife awak tiba-tiba serang saya, biar saya cakap dengan wife awak yang kita ni takda apa-apa. Jumpa pun dekat kedai mamak ni. Kalau wife awak tak percaya, biar saya suruh mamak roti canai tu jadi saksi. Sekarang jugak saya boleh cakap dengan dia kalau awak nak..” Jawab Azila senang sebelum sebelah tangan dinaikkan ke atas untuk melambai seorang lelaki India muslim yang sedang menebar roti canai.

“Eh awak ni.. saya main-main ajalah..” kata Afrizal cepat. Dia sendiri turut melambai tangan kepada lelaki yang sama apabila dilihat lelaki itu tersenyum kepada mereka berdua.

Azila ketawa lagi.

“Tahu takut… awak janganlah risau okay. Niat saya berkawan dengan awak ikhlas. Kalau pun awak ada niat jahat dengan saya, apa saya boleh buat. Takdir kita di tangan Dia kan. Dia yang tentukan semuanya. Kenapa kita nak takut. Dia selalu ada.” Balas Azila dengan senyuman manis.

Afrizal tersenyum kelat. Salah percaturannya menduga wanita di hadapannya itu. Tidak menyangka Azila bijak menangkis apa yang diperkatakan. Malah kata-kata wanita itu selalu membuatkannya merenung kembali. Mencerna setiap bait kata yang keluar dari bibir wanita itu.

“Erm…Awak memang tak kisah ke kawan dengan saya?” soal Afrizal lagi sebelum masuk ke topik yang ingin dibincangkan.

“Kalau saya kisah, takdalah saya kawan dengan awak Encik Afrizal Abdul Razak.” Jawab Azila yang murah dengan senyuman.

Afrizal tersenyum kecil mendengar sebaris nama penuhnya disebut oleh Azila.

“Erm..takda siapa ke yang marah awak selalu keluar dengan saya ni?” tanya Afrizal lagi inginkan kepastian sebelum dia meluahkan hasrat hatinya yang sebenar.

“Ada.”

“Ada?” soal Afrizal mula panik. Tidak senang duduk jadinya mendengar jawapan dari bibir Azila.

“Mak dengan ayah. Dia selalu tanya saya keluar dengan siapa. Takkan saya nak tipu pulak. Saya cakap ajalah saya keluar dengan awak.” Jawab Azila selamba.

Afrizal yang sedang menyedut air milo ais di hadapannya itu hampir tersedak. Mujur cepat dikawal. Jika tidak, sudah basah wajah gadis yang mula mendapat tempat di hatinya itu dengan air milo.

Dengan senyuman pahit, dia menyambut huluran tisu dari tangan Azila untuk mengelap tepi bibirnya yang terkena sisa air milo. Tidak syak lagi yang gadis itu memang sudah berjaya memikat hatinya.

“Habis tu, kenapa awak keluar lagi dengan saya?” tanya Afrizal yang mula tidak senang hati.

“Itu yang sebab saya keluar dengan awak hari ni..” jawab Azila yang sudah mematikan senyum.

“Er..kenapa?” Afrizal semakin tidak senang duduk. Lebih-lebih lagi dengan melihat senyuman manis yang terukir di bibir gadis di hadapannya itu turut mati.

“Awak datang rumah jumpa mak ayah saya boleh?” ujar Azila tenang.

Afrizal yang mendengar kata-kata gadis di hadapannya itu tersandar. Pelik benar apabila permintaan itu keluar dari mulut gadis yang ingin dipikat. Sewajarnya dia yang memulakannya dahulu.

“Er..awak, boleh ke tak? Kalau tak boleh, saya tak paksa. Erm.. lepas ni saya pun tak boleh nak selalu keluar dengan awak lagi.” Lanjut Azila dengan senyuman nipis.

Afrizal yang mendengar sudah telan liur. Cepat dia membalas.

“Boleh..Boleh… siapa kata tak boleh..” balas Afrizal setenang mungkin. Dia cuba mengawal perasaan yang mula berlagu indah di dalam hati. Pucuk dicita, ulam mendatang… Mahu tidur, disorongkan bantal pula… Memang dia tidak akan melepaskan peluang di depan mata.

Azila mengukir senyum mendengar jawapan darinya.

“Kalau macam tu, hujung minggu ni bolehkan? Saya dah cakap dengan mak ayah saya awak nak datang.” Kata Azila terus menyebabkan Afrizal sekali lagi hampir tersedak dengan air milonya.

“Er..Hujung minggu ni?” soal Afrizal kembali seperti tidak percaya seawal itu dia perlu bertemu dengan keluarga Azila.

Azila hanya menganggukkan kepala tanda mengiyakan kata-kata Afrizal.

‘Hujung minggu ni kan lusa…’ kata Afrizal dalam hatinya.

“Kenapa? Awak ada hal lain ke?” tanya Azila pula.

“Er…tak tak… Erm, nanti awak bagi alamat rumah ya..” putus Afrizal akhirnya. Takkan pula dia mahu menolak permintaan gadis yang mula dipuja itu hanya kerana dia tidak bersedia. Melepaslah nanti!


“Abang…Abang… kenapa senyum-senyum ni?” tanya Azila sambil menyentuh perlahan pipi suaminya yang masih terbaring. Sejak tadi suaminya begitu. Hanya tersenyum manis sambil memandang ke wajahnya.

Afrizal yang kembali semula ke alam realiti menegakkan badan. Wajah isterinya itu dielus lembut.

“Terima kasih sebab sudi jadi isteri abang.” Ucapnya lembut sambil menghadiahkan kucupan di pipi Azila.

Azila yang mula memerah wajah hanya tersenyum manis. Walaupun agak pelik dengan kata-kata suaminya itu, dia tetap juga membalas.

“Terima kasih sebab abang sudi jadi suami Ila.” Jawabnya lembut dan turut melakukan perkara yang sama kepada suaminya.

“Terima kasih sebab sudi lahirkan anak-anak abang…” ucap Afrizal lagi seraya menghadiahkan ciuman sayang ke sebelah lagi pipi isterinya.

“Terima kasih sebab abang sudi bagi anak-anak abang membesar dalam rahim Ila..” balas Azila yang mula bergenang airmata kerana perasaan tidak enak dengan apa yang diperkatakan oleh suaminya. Kemudian dia turut membalas ciuman sayang ke sebelah lagi pipi suaminya dan ditambah pula sekilas ke bibir. Dia mahu suaminya itu tahu yang dia terlalu menyayangi dan menyintai sepenuh hatinya. Redha menerima baik buruk suaminya itu selama ini walaupun mereka tidak dilimpahi kemewahan.

Kemudian Afrizal terus meraih tubuh kecil isterinya itu ke dalam pelukan. Erat sekali.

“Abang… nanti terlewat abang solat..” ujar Azila yang cuba menahan airmatanya dari menitis. Dia tidak mahu suaminya itu melihat dia berairmata kerana tahu yang Afrizal tidak suka melihatnya menangis.

“Iyalah sayang.. sampai terlupa pulak kalau dapat main peluk-peluk ni.” Balas Afrizal mengusik seraya meleraikan pelukan. Hilang denyutan di kepalanya tadi.

Azila menepuk perlahan lengan suaminya yang memang suka bergurau.

“Abang solat dulu, Ila sediakan makan abang ya..” ujar Azila yang sudah bangun.

Afrizal hanya tersenyum dan menganggukkan kepala. Tidak tergambar betapa bertuahnya diri kerana mempunyai seorang isteri yang begitu bersabar melayan segala kerenahnya. Malah tidak pernah pula mendengar sebarang rungutan kerana terpaksa melakukan semua kerja-kerja rumah dan menguruskan anak-anak sendiri. Dia terlalu bersyukur dengan amanah yang diberikan.

**********

“Abang, Ila ada hal nak cakap dengan abang…” Ujar Azila ketika mereka duduk santai di tepi padang permainan di hadapan rumah mereka petang Isnin itu. Anak-anaknya dibiarkan bermain sendiri dengan tidak melepas pandang.

“Apa dia..” soal Afrizal yang membuang pandang ke tengah padang.

“Erm..tadi masa abang tidur Kak Long ada datang…” jawab Azila memulakan kata. Kakak iparnya datang ketika suaminya itu tidur tengah hari tadi.

“Kenapa? Dia nak pinjam duit lagi ke?” tebak Afrizal terus yang cukup faham apabila setiap kali kedatangan kakak sulungnya ke rumah pasti hanya kerana ingin meminjam duit.

“Er..ha’ah..” jawab Azila serba salah.

“Berapa kali ni dia nak pinjam?”

“500.”

“500?” Afrizal sedikit terkejut mendengar jumlah yang diminta oleh kakaknya. Dia mengeluh perlahan. Memang ada ada duit sebanyak itu. Namun apabila memikirkan hutang lalu yang masih belum dibayar, dia berat hati untuk memberi pinjam walaupun itu adalah kakak kandungnya sendiri.

“Abang…kalau ada, abang bagi ajalah pinjam. Kesian dia Ila tengok. Katanya nak buat belanja dapur.” Kata Azila yang tidak sampai hati melihat wajah murung kakak iparnya tadi.

“Abang bukan tak nak bagi sayang.. Hutang lama pun dia tak bayar lagi. Bukan dia takda suami. Suami dia tu lagi gaji besar dari abang. Gaji abang ni banyak manalah sangat. Cukup untuk sayang dengan anak-anak aja.. Kalau abang takda nanti, duit tu la yang untuk sayang guna dengan anak-anak..” balas Afrizal yang sememangnya suka menyimpan sejak di bangku sekolah lagi. Dia memang mempunyai simpanan untuk masa depan buat keluarganya. Dengan duit itu jugalah nanti jika ada perkara-perkara kecemasan berlaku.

“Agaknya Abang Said tak cukup duit bulan ni bang…” kata Azila lagi cuba memujuk. Pada masa yang sama, ada sebaris ayat yang dia kurang senangi meniti bibir suaminya.

Afrizal menoleh ke sisi memandang ke wajah isterinya. Azila yang dikenali memang seorang mudah berlembut hati dan cepat mengasihani orang lain. Kalau boleh semua orang mahu ditolongnya walaupun tidak mempunyai sebarang pertalian darah.

“Tengoklah macam mana nanti.” Putus Afrizal akhirnya.

Azila hanya mampu mengukir senyum. Dia tahu suaminya itu bukanlah seorang yang kedekut. Dalam marah-marahnya, tetap juga akan dibantu ahli keluarga yang memohon bantuan. Dia sendiri pada mulanya agak pelik kenapa adik-beradik suaminya itu kerap meminjam wang dari mereka. Sedangkan masing-masing sudah mempunyai keluarga dan tanggungjawab sendiri. Tetapi kalau bab duit, pasti suaminya yang dicari walaupun suaminya itu bukanlah bergaji besar. Anak bongsu pula. Dia sedar yang hubungan antara adik-beradik suaminya amat erat menyebabkan suaminya sendiri tidak mahu berkira lebih jika tentang duit. Katanya, duit boleh dicari. Kasih sayang keluarga tiada yang dapat mengganti. Itulah kata-kata yang selalu diingatkan oleh suaminya menyebabkan mereka akan sentiasa menghargai satu sama lain dalam menjalani kehidupan seharian walaupun tidak hidup dalam keadaan yang mewah. Tetapi semuanya lengkap.

*********

“Ummi… Bila ayah balik ummi..?” soal anak sulung mereka Aniq Danial yang berusia 4 tahun.

“Kejap lagi ayah baliklah sayang..” balas Azila sambil mengucup lembut kepala anak sulungnya yang duduk di sisinya. Dia sedia menanti suaminya pulang yang mahu membawa mereka anak-beranak makan di luar sempena ulangtahun kelahiran Aniq.

“Lamanya ummi.” Rungut si kecil itu lagi.

“Kejap lagi ayah baliklah tu. Jalan jem agaknya.” Jawab Azila yang sabar melayan kerenah anak-anaknya. Anak bongsunya yang duduk di sebelah kirinya sedang leka dengan botol susu sambil menonton tv. Tidak banyak ragamnya.

“Kita nak pergi mana ummi?” soal Aniq lagi yang memang banyak bercakap.

“Kita nak makan dekat luar. Kan tadi ayah cakap nak bawak kita keluar makan..” jawab Azila lembut. Memang mereka sudah bersiap dan hanya menanti suaminya pulang. Sebelum suaminya pergi kerja pagi tadi yang berpesan akan membawa dia dan anak-anak makan di luar.

Dia memandang ke arah jam yang terlekat di dinding hadapannya. Hampir sembilan malam. Namun kelibat suaminya masih tidak kelihatan. Suaminya itu berjanji akan pulang jam tujuh tadi. Tapi hingga kini masih belum pulang.

Sebentar kemudian, Aniq tidak lagi bertanya. Kepalanya direbahkan ke riba Azila untuk turut sama menonton tv.

Azila yang mula tidak sedap hati, terus mencapai telefon bimbit di meja kopi di hadapannya untuk menghubungi suaminya. Risau hatinya. Beberapa ketika menanti,  panggilan tetap juga tidak bersambut. Dia terus mematikan talian. Mungkin sahaja suaminya sedang memandu dan tidak boleh menjawab panggilannya. Dia berdoa agar suaminya sentiasa dalam keadaan yang baik-baik sahaja.

Sudah satu jam berlalu, namun kelibat suaminya masih tidak juga kelihatan. Anak-anaknya yang menonton tv tadi keduanya sudah tidur. Azila membetulkan letak kepala kedua anaknya sebelum bangun. Dia mencapai semula telefon bimbit dan cuba menghubungi suaminya. Namun tetap juga hampa. Langsung tidak bersambung. Hati mula diamuk resah kerana belum pernah suaminya pulang lewat begitu.

Dia menyelak langsir cermin lungsur untuk melihat kalau-kalau kelibat kereta suaminya akan tiba. Tetapi tetap juga tiada. Azila sudah berkira-kira jika setengah jam lagi suaminya belum pulang, dia mahu menghubungi rakan-rakan suaminya yang dikenali.

Baru sahaja Azila ingin masuk ke bilik menukar baju, dia terdengar deru enjin masuk ke perkarangan rumah. Dia yakin itu suaminya, buru-buru dia membuka pintu utama.

“Sayang… nak pergi mana ni cantik-cantik?” tegur Afrizal sebaik ternampak kelibat isterinya berdiri di muka pintu. Dia terus mendapatkan Azila selepas mengunci kereta.

“Abang pergi mana? Lama Ila dengan anak-anak tunggu abang..” kata Azila seraya memeluk erat suaminya.

“Eh, abang pergi kerjalah.. Cuma tadi ada excident dekat kilang. Tu yang abang terlambat hari ni..” jawab Afrizal seraya meleraikan pelukan isterinya.

“Ni sayang cantik-cantik malam ni nak pergi mana pulak?” soal Afrizal lagi apabila soalannya tadi masih belum dijawab oleh isterinya.

Azila sudah mengerutkan dahi.

“Abang tak ingat hari ni hari apa?” Azila menyoalnya kembali.

“Hari ni hari Rabu kan? Ada apa-apa ke hari ni?” Afrizal yang sudah melabuhkan duduk di sisi anak-anaknya yang sedang tidur di ruang tamu mengerutkan dahi sama. Cuba mengingat tentang tarikh-tarikh istimewa dalam keluarganya.

Azila yang turut sama melabuhkan duduk sudah mengeluh perlahan sambil melurut tudung kepalanya. Sah! Suaminya itu tidak mengingati tentang janjinya awal pagi tadi.

“Abang betul tak ingat abang dah janji apa pada saya dengan anak-anak?” Tanya Azila lembut. Dia masih mampu bersabar. Dia tahu suaminya itu terlalu penat bekerja.

“Abang ada janji apa-apa ke dengan sayang hari ni?” Afrizal sudah menggenggam lembut jemari isterinya. Dia masih gagal mengingati apa-apa pun yang dimaksudkan oleh isterinya itu.

“Abang kan janji nak bawak Ila dengan anak-anak makan dekat luar hari ni…” jawab Azila dengan keluhan halus. Dia masih pelik dengan keadaan suaminya. Belum pernah suaminya itu terlupa dengan tarikh-tarikh penting dalam keluarganya. Malah tarikh lahir kedua bapanya sendiri suaminya itu ingat.

“Bila abang janji?” soal Afrizal tanpa rasa bersalah. Dia benar-benar tidak ingat akan janjinya yang diperkatakan oleh isterinya.

“Kan abang janji sebelum abang pergi kerja pagi tadi.. Abang tak ingat ke?” tutur Azila lembut.

“Ada ke abang janji? Kenapa abang tak ingat langsung..” balas Afrizal sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Hm..takpalah.. tapi esok, abang kenalah jawab dengan Along. Tadi dia sibuk tunggu abang..” ujar Azila sambil memandang ke arah anak sulungnya yang sudah lena.

Afrizal masih mengerutkan dahi. Tidak dapat memahami apa sebenarnya janji yang telah dibuat awal pagi tadi.

Azila yang memahami kerutan di wajah suaminya itu terus menjawab.

“Hari ni kan hari jadi Along… Abang tak ingat ke?”

“Astaghfirullahal’azim.. Ya Allah.. kenapa sayang tak ingatkan abang..?” balas Afrizal dengan perasaan serba salah yang mula bertapak di hati.

Azila tersenyum kelat.

“Takpalah bang… kan abang selalu bawak Ila dengan anak-anak keluar makan… tak semestinya tunggu ada hari tertentu baru kita keluar makan kan..” jawab Azila untuk mententeramkan hati sendiri yang mula risau dengan keadaan pelik suaminya itu. Belum pernah suaminya begitu.

“Sayang.. sorrylah.. Abang betul tak ingat…” ucap Afrizal yang perasan riak tidak ceria isterinya itu.

“Takpa… Dah la tu bang.. Abang pergilah masuk mandi.. Dari pagi tadi kan… Mesti abang penat.” Balas Azila yang tidak mahu mengambil hati pun akan suaminya yang terlupa. Dia tidak mahu hal sekecil itu menjadi pergaduhan pula di antara mereka. Tambahan lagi, baru pertama kali suaminya itu terlupa.

“Sayang… abang betul tak ingat… sorry..” kata Afrizal lagi yang tidak senang hati kerana menghampakan harapan isteri dan anak-anaknya.

Azila cuba memaniskan wajah.

“Kan Ila kata takpa.. abang jangan risau okay..” ujar Azila seraya menyentuh lembut pipi suaminya. Tidak mahu ada perasaan bersalah di hati suaminya itu.

“Sayang.. hujung minggu ni ya.. Hujung minggu ni kita bawak anak-anak keluar makan.. boleh tak sayang..” Afrizal cuba membuat janji yang baru demi tidak mahu menghampakan perasaan isteri dan anak-anak.

“Ila ikut aja… jangan abang lupa lagi, sudahlah..” Azila cuba mengusik ingin mengubah suasana.

“Kalau abang lupa, sayang ingatkanlah.. boleh kan?” ujar Afrizal lembut. Senang hatinya mendapat isteri yang tidak pernah membuatkannya berasa terbeban dengan apa yang dilakukan. Semua yang dilakukan oleh isterinya mententeramkan hati dan kepala setelah seharian penat bekerja.

Azila hanya tersenyum dan menganggukkan kepala. Lebih mudah begitu untuk menangani sebarang masalah yang mereka alami. Perlu ada sifat maaf bermaafan di antara mereka. Jika suaminya berkeras, takkan pula dia juga mahu berkeras. Lebih baik dia mengalah dari terus mengangkat kekerasan juga yang mana akhirnya boleh mencetuskan pergolakan dalam rumahtangganya. Hal sekecil tadi tidak mungkin dia mahu perbesarkan. Tidak rugi kalaupun dia lebih banyak mengalah selama ini demi keharmonian dan kebahagiaan yang dikecapi hingga kini. Cuma keadaan suaminya sejak akhir-akhir ini sahaja yang agak membimbangkan. Semakin kerap pening kepala hingga kadang-kadang menyebabkan hilang selera makan.

7 comments:

nzlyna'im said...

story baru..best jgk..tdk abis dah ke wee

zm said...

harap suami dia bukan sakit alzheimer... huhuhuhu awat rasa mcm crita sedih ni

MaY_LiN said...

lupa ingatan ke..?

mizz acu said...

Adeyy.. Sedihh.. Mesti laki dia sakit nii.. Siann!

Ps: I miss my zarif so bad :(

arsha wangi said...

thanks for comment guys. :)

nazlynaim> belum :)

Kk Zen said...

promo pun mcm dah boleh agak cerita sedih jak?
oh my hehe..suami dia ada pnyakit ke?

Anonymous said...

macam sedih je, suami dia macam
sakit je...
alaaa, kesiannya