---------
Jangan tak mungkin_part 2
“Ma, lunch tadi Shah jumpa Azam. Dia kirim salam dengan mama. Dia kata
lauk yang mama masak semuanya sedap.” ujar Shahimi sebaik melabuhkan duduk di
sisi Puan Shima.
“Waalaikumussalam.” balas Puan
Shima sepatah beserta senyuman manis menghiasi bibirnya mendengar kata pujian
yang disampaikan oleh anak sulungnya itu. Mata masih tetap menatap skrin 42 inci yang
terpasang. Slot samarinda memang menjadi pilihannya hingga tidak dibenarkan
sesiapa pun yang mengganggu jika dia sedang menonton.
“Bila masanya mama hantar lauk
dekat rumah dia? Shah tak tahu pun.” tanya Shahimi lagi seraya menarik tali
leher yang sudah dirungkaikan ikatannya dari koler baju kemeja yang dipakai.
Dia agak lewat tiba di rumah kerana mempunyai urusan di luar selepas bertemu
dengan Azam tengah hari tadi.
“Hari-hari.” jawab Puan Shima
selamba sebelum menoleh sekilas ke arah anak sulungnya yang jelas keletihan.
“Hari-hari?” Shahimi pelik.
Puan Shima hanya menganggukkan
kepala kerana dia sedang khusyuk menonton.
Shahimi mengukir senyum melihat mamanya
yang terlalu asyik dengan cerita kegemarannya. Melihat mamanya keseorangan di
waktu begitu, dia tahu ayahnya pula mesti banyak menghabiskan masa dengan
membaca di dalam bilik.
“Abang.. dah lama ke sampai?”
sapa Ada yang baharu keluar dari ruang dapur terus melabuhkan duduk di sofa
kosong.
“Baru aja.” Jawab Shahimi pendek
sambil memicit belakang tengkuknya yang terasa tegang.
“Dik, lauk apa ada. Abang belum
makan la..” ujar Shahimi sambil memandang ke wajah adiknya mohon simpati.
Ada pula menjuihkan bibir. Cukup
faham apabila Shahimi membuat mimik muka begitu.
“Ada dah panaskan semua lauk.
Tinggal makan aja dekat atas meja tu.” Jawab Ada sambil mulut dimuncungkan ke
ruang makan. Tahu yang abangnya akan tiba lewat malam itu.
“Sayang lebihlah macam ni.” Jawab
Shahimi dengan senyuman lebar sebelum bingkas bangun. Ada juga turut sama
bangun.
“Bau sedap aja ni. Kau tengah
masak apa dekat dapur tu.” Tanya Shahimi sebaik melabuhkan duduk di meja makan.
“Kek.” Jawab Ada sepatah sambil
menghulurkan bekas air cuci tangan kepada abangnya. Dia senang melakukan
semuanya walaupun tanpa dipinta.
“Kek apa?”
“Coklat.”
“Confirm sedap.” Balas Shahimi memuji.
“Iyalah tu..” balas Ada malas. Mencebik!
Dia faham sangat dengan taktik
abangnya apabila memuji masakannya. Semuanya sekadar ingin mengambil hati
kerana dia sudah menyediakan segala-galanya untuk makan malam itu. Jika tidak,
lelaki itulah pengkritik tegar untuk semua jenis makanan yang dimasak.
Shahimi tersengih sebelum membaca
doa makan. Lauk yang tersedia di hadapan mata memang benar-benar membuka
seleranya.
Ada pula terus masuk ke ruang
dapur apabila dirasakan tempoh masak kek coklat yang dibakar tadi sudah pun
cukup.
“Bang, Ada nak tanya sikit
boleh?” Ada mengajukan soalan sebaik dia kembali semula ke ruang makan selepas
mengeluarkan kek yang sudah siap dibakar dari dalam ketuhar.
“Nak tanya apa? Nak kerja? Kalau
nak kerja, esok ikut abang masuk office.” Jawab Shahimi terus dengan sengihan
lebar di bibir.
“Apa abang ni. Orang belum lagi
tanya, dia dah jawab sendiri.” Gerutu Ada geram. Abangnya memang selalu begitu.
Kurang sabar!
“Iyalah iyalah. Apa dia?” Shahimi
akhirnya mengalah sebelum menyuap masuk nasi ke dalam mulut dan dikunyah
perlahan.
“Ada nak tanya pasal anak Uncle
Zakuan.” Ujar Ada sambil menuangkan air kosong ke dalam gelas di hadapan
Shahimi.
“Hah. Ni kenapa tanya pasal anak
teruna orang pulak ni? Ada hati nak merisik anak teruna Uncle Zakuan ke?” usik
Shahimi sambil tersengih dengan kening sebelah dijungkitkan.
Ada menjuihkan bibir. Tahu yang
abangnya itu akan cuba mencari bahan untuk mengenakannya.
“Abang jangan nak fikir yang
bukan-bukan eh. Ada takdalah terdesak sangat sampai nakkan anak Uncle Zakuan
tu. Dah la suka mengamuk, marah-marah maid sampai maid lari. Ada tak heranlah
kalau tak dapat langsung pun!” Balas Ada dengan geram. Tajam matanya menjeling
Shahimi yang duduk bertetangan dengannya sedang ketawa.
“Alah.. nak gurau sikit pun tak
boleh. Erm.. apa yang Ada nak tahu?” soal Shahimi kembali dalam sisa tawa. Semenjak
adiknya tu kembali duduk bersama, riuh rumah dengan suara mereka bertekak
walaupun hanya kerana hal remeh. Sudah menjadi kewajipan pula apabila setiap
pulang dari kerja, dia akan menyakat adiknya itu.
“Tadi Uncle Zakuan datang jumpa Ada.
Anak dia suruh Ada masak hari-hari untuk dia orang. Tapi dia bayarlah nanti.”
Jawab Ada dengan wajah yang berkerut.
Petang tadi Encik Zakuan datang
bertemu dengannya untuk memulangkan mangkuk tingkat seperti selalu. Tetapi
petang tadi kedatangannya ada hajat yang lain. Anaknya mahu membayar
perkhidmatannya kerana sanggup memasakkan makanan setiap hari. Malah selepas
ini, segala barang masakan akan diuruskan oleh Encik Zakuan dan anaknya. Dia hanya
perlu memasak sahaja.
“Hari-hari? Maknanya yang masak
selama ni, Ada ke..mama?” soal Shahimi yang tidak faham apa sebenarnya yang
sedang berlaku tanpa pengetahuannya.
Dia hampir terlupa yang
sahabatnya tadi ada bertanya tentang pembantu rumah hingga dia sendiri pelik.
Entah dari mana sahabatnya itu dapat tahu yang keluarganya ada pembantu rumah.
Selama mereka tinggal di situ, belum pernah mereka menggaji pembantu rumah. Segala
kerja rumah dilakukan sendiri oleh mamanya.
“Haruslah Ada. Sekarang ni kan
mama jadi ‘Mem’ besar dalam rumah ni. Semua kerja Ada yang buat.” Jawab Ada yang
sengaja menekan sedikit perkataan ‘Mem besar’ bagi menarik perhatian mamanya
yang sedang khusyuk menonton tv. Langsung takda respon!
“Boleh percaya ke?” Shahimi
ragu-ragu dengan pengakuan satu-satu adik yang dia miliki.
“Hello abang. Ingat Ada tak tahu
masak ke? Abang ingat semua lauk yang abang makan sepanjang Ada balik sini,
ingat mama yang masak ke?” balas Ada geram yang tahu abangnya itu akan cari
peluang untuk memperkecilkan kemampuannya.
“Iya ke?” Shahimi masih lagi
tidak mempercayai. Memang setiap makanan yang dimakan sepanjang adiknya pulang,
kena dengan setiap seleranya. Malah terasa badannya semakin berisi kerana tidak
sah jika dia tidak menambah nasi buat kali kedua setiap kali makan.
“Alah… cakap ajalah yang Ada
masak semua sedap kan.. Kalau tak, takdanya perut abang tu dah naik sekarang.
Hilang dah six pack abang tu.” Ejek
Ada diiringi tawa kecil.
“Eleh.. tipulah.” Jawab Shahimi
masih dengan pendiriannya.
“Tak percaya sudah. Abang
tanyalah mama. Kalau tak, takdanya kawan baik abang tu sanggup nak upah Ada
masak untuk dia hari-hari.” balas Ada seraya bangun sekaligus meraikan
kemenangannya.
Shahimi hanya menjuihkan bibir.
Tanda malas mahu melayan kerana yakin dengan apa yang diucapkan oleh adiknya
itu.
“Abang… ada satu hal Ada lupa nak
cakap. Abang nanti jangan gatal mulut pulak cakap dengan kawan baik abang tu
semua makanan yang dia makan selama ni Ada yang masak. Cakap aja Bibik yang
masak.” Ujar Ada yang sempat berpesan sebelum melabuhkan duduk di sisi mamanya
yang langsung tidak terkesan dengan perbalahan di antara dia dan Shahimi tadi.
“Bibik? Bibik mana pulak dah..?”
balas Shahimi yang mula pening kepala melayan adiknya.
“Abang jawab ajalah Bibik kalau
dia tanya. Jangan cakap Ada yang masak.” Jawab Ada lagi yang tidak mahu hal itu
tiba di pengetahuan Azam. Uncle Zakuan sendiri merahsiakan perkara itu dengan
anaknya. Atas tujuan apa, dia sendiri tidak pasti. Dia sekadar memenuhi
permintaan lelaki yang sudah dianggap seperti ayahnya sendiri itu.
“Ish! Iyalah. Macam-macam
betullah kau ni dik.” Balas Shahimi yang malas bersoal panjang lagi. Dia terus kembali
dengan makanannya.
***********
“Zam… lauk abah dah panaskan. Jom
makan.” ujar Encik Zakuan sebaik menghidangkan makanan dari mangkuk tingkat
yang sedia dipanaskan.
“Zam takda seleralah bah.” Jawab
Azam lambat yang tebaring di hadapan tv selepas mandi dan bersolat maghrib.
Hari itu dia pulang sedikit awal ke rumah kerana berasakan keadaan tubuh yang
kurang selesa.
“Hai… sejak bila pulak pandai tak
berselera ni. Selalu kamu yang bersemangat kalau bab makan.” balas Encik Zakuan
seraya mendapatkan anaknya di ruang tamu.
Sudah lebih dari sebulan dia
menggunakan khidmat ‘pembantu rumah’ Puan Shima untuk memasakkan makanan buat
mereka dua beranak.
“Tak tahulah bah.. Hari ni rasa
lain macam sikit. Pahit aja tekak Zam ni.” Jawab Azam sambil menegakkan tubuh. Terasa
kepalanya yang mula memberat tanda-tanda ingin demam. Hidungnya pula sudah
tersumbat kerana selsema yang turut menyerang.
“Kamu demam ke?” soal Encik
Zakuan sambil meletakkan belakang tapak tangannya ke dahi anak sulungnya itu.
Dia perasan wajah yang tidak bermaya ketika pulang dari kerja tadi.
“Entahlah bah..” jawab Azam yang
sudah bersandar di sofa dengan mata terpejam.
“Abah buat bubur nak?” Encik
Zakuan menawarkan diri untuk memasak bubur jika anaknya itu tidak beselera
untuk makan nasi.
“Takpalah bah. Abah pergilah
makan. Esok suruh ‘Bibik’ ajalah yang masak.” Putus Azam kerana tidak mahu
menyusahkan abahnya untuk memasak bubur malam itu.
“Habis tu kamu tak lapar ke? Dari
siang tadi kamu kata kamu tak makan kan..” Encik Zakuan memang mengambil berat
akan keadaan kesihatan anak-anak walaupun anak sulungnya itu sudah besar panjang.
“Takpalah bah. Zam boleh tahan.
Zam nak minum air aja ni.” Jawab Azam seraya menegakkan tubuh. Bersedia untuk
bangun.
“Kamu pergilah terus naik atas.
Biar abah buatkan air milo. Nanti abah hantar dengan panadol sekali. Esok kalau
tak surut, abah hantarkan pergi klinik.” Kata Encik Zakuan seraya bangun untuk
ke dapur. Dia tidak akan senang hati andai melihat anak-anaknya sakit.
“Jangan susah-susahlah bah. Abah
pergilah makan dulu dengan Nana. Dah lepas makan nanti abah suruh aja Nana
hantar dalam bilik Zam.” Ujar Azam yang berasa sedikit terharu dengan
keperihatinan abahnya. Sejak dahulu lagi memang abahnya begitu jika ada sesiapa
yang sakit dalam keluarganya. Dia teringat lagi ketika dia terlantar sakit di
hospital selepas terlibat dalam kemalangan yang hingga menyebabkan kematian
ibunda tercinta. Abahnya itulah yang berulang-alik untuk menjaganya di
hospital.
“Iyalah. Kamu pergi naik sana.
Nanti abah suruh Nana hantar.” Balas Encik Zakuan dari dalam ruang dapur.
**********
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam uncle!” sahut
Ada mesra seperti selalu. Ketika itu dia sedang menyiram pokok-pokok bunganya
di tepi pagar rumah. Terus dimatikan pili air sebelum dia membuka pintu pagar.
“Awalnya uncle. Ada apa-apa ke?”
soal Ada yang sedikit pelik dengan kedatangan Encik Zakuan ke rumahnya awal
pagi itu. Kebiasaannya, Encik Zakuan hanya datang tiga kali dalam seminggu
untuk menghantar bahan-bahan masak ke rumahnya. Pada sebelah petang baharu dia
hantarkan mangkuk tingkat memandangkan lelaki itu jarang sekali ada di rumah
pada sebelah siang.
“Ha.. uncle datang ni nak mintak
tolong Ada sikit.” Jawab Encik Zakuan sambil melangkah masuk ke kawasan rumah
selepas Ada membuka pintu pagar.
“Ada apa uncle?” tanya Ada seraya
mempersilakan Encik Zakuan duduk di kerusi batu hadapan rumah.
“Ada boleh tak tolong masakkan
bubur nasi sebelum tengah hari ni, dengan sebelah petang nanti?” ujar Encik
Zakuan dan matanya tidak lepas memandang wajah comel di hadapannya itu. Mudah
benar gadis genit di hadapannya itu tersenyum.
“Boleh uncle. Senang aja tu.”
Balas Ada tidak keberatan. Setia di bibirnya dengan senyuman ikhlas.
“Uncle dah nak keluar ni, nanti
Ada letak aja atas meja macam biasa ya?” kata Encik Zakuan sebelum bangun.
Sepanjang gadis itu menjadi
tukang masak rasminya, dia sudah menyerahkan kunci pendua rumah agar senang
gadis itu untuk menghantarkan mangkuk tingkat ke rumah jika dia tiada. Sudah diletak
kepercayaan sepenuhnya kepada gadis itu hingga sanggup menyerahkan kunci rumah.
“Abang Kuan.” Sapa satu suara
membuatkan kedua-duanya menoleh.
“Shima.” Balas Encik Zakuan
dengan melemparkan senyuman kepada sahabat baik arwah isterinya yang baharu
keluar dari pintu utama.
“Dah nak balik ke? Tak masuk
dulu?” Ramah Puan Shima mempelawa.
“Ada, kenapa tak ajak Uncle
Zakuan masuk?”
Ada hanya tersengih. Lupa.
“Eh,, takpalah Shima. Sekejap aja
ni. Shukri pun dah pergi kerja ya..” kata Encik Zakuan yang perasan tiada satu
kereta pun yang ada dalam kawasan rumah itu.
“Ha’ah. Baru aja pergi.” Balas
Puan Shima.
“Sekejap aja datang ni Shima. Nak
suruh Ada buatkan bubur. Lepas ni ada hal sikit dekat Darul Kasih.” Kata Encik
Zakuan lagi seraya berjalan ke arah pintu pagar. Dia ada urusan lain pagi itu
di rumah kebajikan yang sudah menjadi rumah kedua baginya. Di situ dia banyak
menghabiskan masa semenjak bersara dan ketiadaan isterinya.
“Oh..”
“Uncle pergi dulu Ada. Assalamualaikum.”
Encik Zakuan berpamitan sebelum melintas jalan untuk kembali ke rumahnya.
“Waalaikumussalam..” jawab dua
beranak itu hampir serentak.
“Hati-hati uncle.” sempat Ada menambah
sambil memerhati Encik Zakuan yang sudah menyeberangi jalan.
Encik Zakuan sempat melemparkan
senyuman kepada dua beranak itu dan melambaikan tangan sebelum terus berlalu.
“Tu Uncle Zakuan kamu pakai
kereta Azam, agaknya si Azam outstation
la tu.” omel Puan Shima yang perasan jirannya itu masuk ke dalam kereta Honda
Civic warna biru metalik milik Azam.
“Mama ni macam tahu-tahu aja anak
Uncle Zakuan tu pergi mana.” Sahut Ada sambil membuang pandang ke arah yang
sama.
Sedikit kagum melihat kereta yang
dimaksudkan oleh mamanya tadi. Yakin lelaki yang dimaksudkan oleh mamanya mempunyai
kerja yang bagus walaupun sebelum ini dia tidak perasan langsung akan kewujudan
kereta itu. Setiap pagi apabila dia ingin menyiram pokok bunga, kereta itu sudah
tiada di tempatnya. Uncle Zakuan sendiri ada memberitahunya yang Azam akan
lebih awal keluar pada waktu pagi dan akan pulang pula apabila hari sudah
gelap.
Wajah lelaki yang dimaksudkan itu
juga dia pernah lihat. Tetapi hanya melalui gambar yang diambil ketika menamatkan
pengajian. Mungkin gambar hampir sepuluh tahun lalu. Itupun selepas dia
curi-curi tengok setiap kali menghantar mangkuk tingkat.
“Selalunya macam tu la. Kalau
tak, susah nak nampak kereta tu ada dekat rumah.” Jawab Puan Shima sebelum
kembali semula ke dalam rumah. Dia mahu mengemas meja makan yang masih belum
sempat berkemas apabila terdengar suara orang berbual tadi.
Ada tidak membalas. Dia
menyambung semula kerja menyiram tadi. Kurang berminat untuk mengetahui lanjut
tentang anak teruna orang itu. Risau dikatakan ‘tersyok’ pula. Percuma dia
menjadi bahan abangnya nanti.
……………………..
“Ni mesti Uncle Zakuan nak cepat
tadi. Tak pernah-pernah ada baju kotor dekat ruang tamu ni. Dengan tv terpasang
pulak… pintu pun tak kunci.” Omel Ada saat melangkah masuk sambil membawa bubur
seperti yang dipesan oleh Encik Zakuan awal pagi tadi.
Dia terus melangkah ke ruang
dapur untuk meletakkan bekas bubur yang dibawa. Kemudian dia kembali semula ke
ruang tamu untuk mengutip sehelai kain pelekat dan baju-t yang terletak di sofa
serta terus menekan alat kawalan jauh. Serta merta skrin 42 inci yang sama
besar dengan tv di rumahnya itu bergelap.
Dia terus sahaja mengatur langkah
ke ruang dapur semula untuk meletakkan pakaian kotor tadi ke dalam bakul yang
disediakan berhampiran mesin pencuci. Dia pernah melihat Uncle Zakuan meletakkan
pakaian kotor di situ sebelum ini.
Baharu sahaja dia memusingkan
tubuh untuk kembali semula ke ruang hadapan, langkahnya mati. Bola matanya tidak
bergerak apabila bayang seorang lelaki yang hanya mengenakan seluar pendek
paras lutut turut berdiri terpaku tidak jauh darinya. Masing-masing merenung
antara satu sama lain. Dia terkaku. Kakinya terasa berat untuk melangkah. Mulut
pula terkunci rapat. Darah menyerbu ke kepala membuatkan peluh mula merenik ke dahinya.
“Kau siapa? Macam mana kau boleh
masuk rumah aku ni? Kau nak mencuri ya? Mana baju dengan kain aku tadi kau
bawak? Kau curi ke apa?” serang Azam tanpa usul periksa. Tajam matanya menikam
ke wajah gadis genit bertocang dua di hadapannya itu. Persis tukang kebun di
sekolahnya dahulu apabila gadis di hadapannya itu mengenakan topi besar di
kepala. Pakaian pula dengan kemeja comot yang tersarung di luar baju-t lengan
panjang yang dipakai.
Dia yang baharu turun dari bilik
kerana pergi mengambil telefon bimbit, terkejut apabila dilihat pintu utama
rumah terbuka. Pakaian yang ditinggalkan di atas sofa juga tiada membuatkan dia
terus ke dapur kerana beranggapan abahnya sudah balik dari Darul Kasih. Tetapi sebaliknya
yang berlaku. Dia sedikit terkejut dengan kehadiran makhluk Allah yang berdiri
di hadapannya saat itu tetapi sedaya upaya dikawal. Walaupun dengan pakaian
yang selekeh, dia perasan ada sesuatu pada gadis yang mula menunduk itu. Mata
yang bulat dengan rambut bertocang dua. Comel kut! Tapi pecah masuk rumah orang
pulak. Muka takda pulak rupa pecah rumah.
“Er… tak..tak.. enggak..” kalut
Ada menutur kata. Ligat akalnya memikirkan ayat yang sesuai. Dia mengenali makhluk
ciptaan Allah yang sedang membahasakannya saat itu. Dia pernah melihat gambar
lelaki itu sedang menggenggam segulung ijazah di salah satu sudut rumah sebelum
ini. Yakin yang dia tidak tersalah orang. Cuma lelaki yang berdiri di
hadapannya saat itu sedikit berbeza. Wajah itu jauh lebih matang dari gambar
yang pernah dilihatnya. Hampir terlupa yang kini lelaki itu sebaya dengan
abangnya. Malah berkawan baik pula.
“Apa enggak enggak? Macam mana
kau masuk rumah aku ni? Apa yang kau nak buat sebenarnya ni ha?” tebak suara
itu garang membuatkan Ada tidak berani menentang wajah yang memerah itu mula
mendekat. Tambahan pula dengan keadaan tidak berbaju itu. Malu dia melihat
aurat yang ditayang percuma buatnya. Mengundur dia beberapa tapak ke belakang.
‘Nak jual body ke apa dia ni. Aku tahulah kulit kau putih! Siap dengan six pack lagi! Hidung aja dah macam clown.’ sempat hatinya mengutuk.
Kini dia tahu kenapa Uncle Zakuan
suruh dia memasak bubur. Rupanya ada orang sakit di rumah itu. Maknanya telahan
mamanya pagi tadi langsung tidak tepat. Azam ada di rumah kerana sakit. Bukan bekerja
di luar kawasan.
“Er… tuan.. saya Bibik.” jawab Ada
lambat dengan wajah yang menunduk. Baharu teringat apa yang pernah dipesan oleh
Uncle Zakuan sebelum ini. Dialah ‘Bibik’ yang memasakkan semua jenis masakan
yang dimakan oleh keluarga Uncle Zakuan hampir dua bulan itu.
“Bibik? O.. Bibik Aunty Shima.
Tapi apasal tak macam Bibik? Macam tukang kebun aja aku tengok kau ni?” kata
suara itu selamba dengan mata yang tidak lepas memandang dari atas ke bawah.
Dia ingin menatap sekali lagi wajah yang kian menunduk dan terlindung dek
kerana topi kebun yang besar itu.
‘Suka hati aja dia kata aku ni
tukang kebun! Dia ni memang betullah tak sayang mulut.’ Marah Ada hanya terluah
di hati kerana tidak berani mahu membalas. Dia tahu siapa Azam seperti yang
diceritakan oleh bekas pembantu rumah lelaki itu dahulu. Panas baran dan kuat
memarahi orang tidak tentu pasal! Dia tidak mahu menerima habuan percuma dari
lelaki itu.
‘Harap muka aja boleh tahan.
Mulut kau.. ‘baiklah’ sangat!’ umpatnya dalam hati tanpa pengetahuan Azam. Geram!
Tapi memang salah dia pun sebab pakai pakaian yang biasa digunakan untuk
membelek bunga-bunganya. Bubur itu sudah dimasak awal. Cuma hampir terlupa
untuk dihantar kerana sibuk dengan bunga-bunganya sahaja. Tanpa menukar pakaian
dia terus menghantar bubur yang sudah siap diisikan oleh mamanya ke dalam
bekas.
“Oi.. kau takda telinga ke? Ke..
sebab topi kau tu besar sangat?” tanya Azam lagi sambil mendekati lagi gadis
yang semakin menunduk itu.
“Er… saya permisi dulu tuan. Buburnya
ada atas meja.” Jawab Ada tergagap-gagap kerana cuba mengingati kembali
perkataan-perkataan yang biasa didengari dari sinetron kegemaran mamanya.
Sampai tergeliat lidahnya untuk menyebut apabila dirasakan terlalu pelik ayat
yang cuba disusun.
“Apalah kau ni Bik. Apasal kau
macam takut sangat ni? Sampai menggigil tangan tu aku tengok. Aku bukannya
makan orang.” Kata Azam yang sudah sembunyi senyum melihat gadis di hadapannya
itu meramas sesama sendiri kedua-dua tangan. Jawapan yang keluar dari bibir itu
juga dirasakan sedikit kalut hingga pelik di pendengarannya.
Ada kertap bibir geram. Ikutkan hatinya,
mahu sahaja dibahasakan kembali lelaki di hadapannya itu.
“Er.. saya pulang dulu tuan..”
ujar Ada masih dalam kekalutan seraya berjalan menjauhi Azam. Wajahnya memang
sengaja dikekalkan begitu hingga melepas Azam yang masih berdiri
memerhatikannya.
“Bik, kejap. Petang nanti kau
buat banyak sikit bubur ya? Ni sikit sangat. Aku dari semalam belum makan Bik.
Takda selera nak makan nasi. Pahit aja tekak aku ni.” Kata Azam yang sudah
mencapai bekas bubur yang dibawa oleh gadis tadi. Langsung tidak dihiraukan Ada
yang deras mengatur langkah menjauhinya. Sudah menjadi kebiasaan kepada sesiapa
yang menjadi pembantu rumahnya, pasti takut untuk menghampiri dirinya.
Ada berhenti melangkah apabila
mendengar kata-kata Azam. Namun masih tidak berpaling.
“Iya. Nanti saya buatkan. Saya
ba.. pulang dulu. Assalamualaikum.” Katanya laju seraya melangkah cepat ke
pintu. Tidak betah berdua-duaan dengan lelaki bukan mahramnya di dalam rumah
itu. Kalut dia menyarung selipar dengan kaki yang bersarung stoking itu
membuatkan dia terus mengangkat selipar dan terus pulang ke rumah hanya
berlapik stoking.
“Bibik! Bik kejap Bik!” laung
Azam tiba-tiba saat kelibat ‘Bibik’ sudah hilang keluar dari pintu rumah.
Terkejar-kejar pula dia untuk mendapatkannya.
“Bibik!” panggil Azam lagi kuat
apabila dilihat gadis tadi sudah berada di pagar rumahnya.
Ada yang mendengar panggilan itu
kertap bibir lagi. Langkahnya mati. Segera dia berpaling semula memandang ke
arah muka pintu. Azam yang berdiri di muka pintu sedang ketawa.
‘Huh! Gelakkan akulah tu!’
gerutunya geram. Sedar keadaan dirinya kini yang tidak berkasut.
“Bik, sinilah kejap. Aku ada hal
nak cakap sikit dengan kau. Takkan kau nak aku jerit-jerit dari sini pulak. Dah
la tekak aku ni sakit.” Kata Azam sambil menggamit gadis tadi agar kembali
semula dalam sisa tawanya. Lucu melihat gadis itu menjinjing selipar dari
memakainya.
‘Apa pelik punya Bibik. Takut
sampai selipar pakai dekat tangan ke? Hahah..’ sempat hatinya mengutuk. Hati
sudah tergolek-golek gelakkan.
Ada kertap rapat bibirnya kerana
terpaksa menurut arahan Azam. Takkan pula dia mahu bantah.
‘Hish! Apa lagi yang mamat seksi
ni nak!’ bentaknya dalam hati. Namun kaki tetap juga melangkah kembali menghampiri
Azam.
“Tuan mau apa?” tanya ringkas
sebaik tiba. Kali ini tidak lagi kalut seperti tadi kerana rasa geramnya sudah
mengatasi perasaan takut. Wajahnya tetap ditundukkan. Mimik muka geram
yang terpapar pun berjaya disembunyikan di sebalik topi kebun besar yang digelar
oleh Azam tadi.
“Kau tolong buatkan aku air limau
suam Bik. Aku tak tahu nak buat. Biasa abah aku yang buatkan. Kalau dulu mama
ada, mama buat. Sekarang kau ada, kaulah yang buatkan untuk aku Bik. Bolehkan?
Hidung aku ni dah tak bau apa dah. Sampai bau busuk kau pun aku tak boleh nak
hidu ni.” Omel Azam seraya melangkah semula masuk ke dalam rumah, terus ke
ruang dapur kembali untuk makan bubur. Perutnya memang minta diisi sejak
terjaga awal pagi tadi.
Ada angkat muka sebaik sedar yang
Azam kembali berlalu ke dalam rumah. Matanya membulat. Terasa mahu dicili mulut
Azam yang celupar. Senang hati mengata dia busuk.
‘Mulut dia ni.. lagi busuk dari
baja tahi ayam dekat rumah aku la.. huh!’ gerutunya geram. Kaki terpaksa juga
melangkah masuk dengan stoking yang sudah memijak jalan berturap tadi.
“Hah.. kau jangan lupa nak bukak
stoking busuk kau tu sekali. Nanti kotor pulak lantai rumah aku ni, tak
pasal-pasal kucing aku dapat virus dari stoking kau. Dah la Hero aku tu
cerewet.” Kata Azam yang perasan gadis tadi sudah melangkah masuk ke dalam
rumahnya semula dengan stoking hijau yang dipakai.
‘Huh! Kucinglah sangat! Muka macho
tapi nak menipu! Huh! Aku tak pernah nampak pun kucing dekat rumah kau sebelum
ni.’ Kutuknya dalam hati. Dengan rasa geram yang menggunung di hati, terpaksa
juga dia membuka stoking yang dipakai terlebih dahulu.
“Kau jangan nak mengumpat dalam
hati Bik. Kau ingat aku tak tahu kau mengumpat. Mesti kau kata aku menipu kan
sebab kau tak nampak si Hero aku ada dekat rumah ni.” Tebak Azam yang sudah
melabuhkan duduk di kerusi makan. Bubur juga sudah selamat masuk ke dalam mulut
tiga empat sudu.
“Er..tak..enggak tuan.” Ada cuba
menafikan. Padahal, sudah berbakul-bakul dia mengumpat lelaki itu di dalam
hati. Memang dia tidak pernah nampak pun kucing yang dimaksudkan sepanjang dia
keluar masuk menghantar mangkuk tingkat. Kaki kemudiannya terus diatur ke peti
sejuk untuk mencari limau kasturi untuk dibuat air yang diminta. Lincah sahaja
tangannya mencari kerana pernah membuka peti sejuk itu untuk menyusun barang masak
yang berbaki jika Uncle Zakuan membeli lebih.
“Si Hero aku tu tengah tidur
sekarang dekat bilik. Bila aku pergi kerja dia duduk dalam sangkar. Kalau abah
aku ada, baru dia keluar. Kejap lagi dia turun tengok stoking hijau kau tu,
mahu pengsan dia aku rasa.” Bebel Azam lagi tanpa henti. Entah kenapa dia mahu
menceritakan semuanya kepada gadis baru pertama kali ditemui itu. Jika tidak,
mulutnya itu kerjanya mahu mengamuk dan memarahi sahaja.
‘Erk? Tidur dalam bilik. Cantik sangat
ke Hero tu sampai tidur dalam bilik? Uwek!” Ada menjelirkan lidah mengejek
tanpa disedari Azam. Tangan pula sedang memerah dua biji limau ke dalam air
panas suam pada mug. Dia mahu segera menyudahkan kerjanya itu agar dapat pulang
cepat ke rumah. Risau jika ada jiran terlihat mereka berduaan di situ dan
pencegah maksiat datang menyerbu. Tidak pasal-pasal dia dituduh Azam cuba
mencabul kehormatan lelaki itu. Bukan boleh dia percaya mulut puaka yang tidak
ada insuran itu. Tak pasal-pasal meroyan mamanya nanti. Tidak sampai satu jam dia di situ, berguni-guni mulut
itu mengutuknya sesuka hati.
‘Dahlah pakai seluar pendek aja.
Nak goda aku ke apa entah!’ bebel hatinya sendiri.
“Sudah tuan. Air limaunya. Saya
permisi dulu. Bye.” Katanya cepat seraya meletakkan mug tadi di hadapan Azam. Kaki
terus melangkah ke pintu utama.
“Bik! Kau ni memang saja nak
kenakan aku ke apa? Mana gulanya. Masam aja air ni.” Kata Azam sebaik dia
menyisip air limau suam yang diminta tadi.
Langkah Ada terhenti lagi. Darah
sudah naik ke kepala kerana melayan Azam yang cerewet.
‘Memang patutlah maid kau sampai
54 orang!’ sempat hatinya mengutuk.
“Tuan, kalau mau baik flu nya,
air limaunya biar gitu aja. Cepat sembuh nanti.” Balasnya cuba mengawal suara.
Tetapi dia tidak berpaling memandang Azam yang masih duduk di meja makan.
“Iya ke? Kau biar betul nak minum
masam-masam macam ni.” Balas Azam dengan kening lebatnya hampir bercantum.
“Betul Tuan. Saya permisi dulu.
Bye!” jawab Ada pantas dan terus melangkah. Tidak mahu lagi ada kerja lain yang
akan disuruh oleh Azam. Panas telinganya nanti mendengar bebelan lelaki itu.
Persis abangnya juga.
“Apa punya peliklah dia ni. Tatabahasa
dahlah tunggang langgang. Tahu pula nak bye
bye dengan aku.” Omel Azam sendirian apabila kelibat gadis tadi sudah
hilang. Mahu atau tidak, terpaksa jugalah dia mempercayai kata-kata gadis tadi.
Fokusnya kembali kepada bubur
yang masih berbaki di dalam mangkuk. Tanpa sedar bibir menarik senyum
tiba-tiba dan akhirnya tawa besarnya terhambur apabila teringat kembali gadis
tadi. Memang mengusik hati lelakinya. Terasa yang dia sudah lama benar tidak
ketawa begitu. Demam yang dialami juga seperti sudah tidak terasa.
10 comments:
lawak la azam ni,si ada pun sama gak
hahaha .... mamat yang garang macam singa lapar dah pandai mengedik macam kucing siam yang mengesil kaki orang pulak... ..
bestlah...smbung lg ye....
Nak demam jgk la cmni tp ubat dya shaq n ct ngan azam n ada...hehe
boleh ye arsha? ;)
hihihi
best..lawak2...gud job arsha...im a fan of urs!
amboi abang zam ni..
kemain nak ngorat bibik ya..
pandai abang ada ni..
asik kenakan ada je
koler ke kolar?
erm.. kolar ke koler sebenarnya..
adehhh... Best rrr.. Nak lg ekk..
Dan2 kebah demam ;)
Post a Comment