Oct 15, 2016

Dambaan Bahagia_bab 3_edited version

DB 3
“Ibu!!!”
“Dah kenapa agaknya budak ni? Suka sangat terjerit-jerit.” getus Zainab saat terdengar jeritan anak bongsunya yang tiba-tiba. Getah paip yang digunakan untuk menyiram pokok-pokok bunganya segera diletakkan ke tempatnya kembali. Laju dia melangkah masuk ke dalam rumah.
“Tiya ni kenapa jerit-jerit? Tak malu ke jiran-jiran dengar?” Marahnya sambil bercekak pinggang melihat Fathiyah yang meniarap hingga setengah badan terlindung di bawah katil. “Tiya cari apa ni?” soalnya sambil melihat keadaan bilik yang sudah bersepah. Baru semalam dia mengemaskan bilik itu kerana tahu anak bongsunya akan pulang cuti hujung minggu.
“Bu.. Gojes hilang..” jawab gadis itu dari bawah katil.
“Macam mana pulak boleh hilang?” Soal Zainab sambil mengutip bantal yang terdampar di atas lantai.
“Manalah Tiya tahu bu.. Tadi Tiya nak ganti habuk kayu dia tu. Tiya letak dia kejap dekat dalam kotak kasut tu.” jelas Fathiyah yang masih tercari-cari di bawah katil.
“Tiya tu yang cuai. Dah tahu Si Gojes tu pantang dapat keluar, yang Tiya tak kurung dia betul-betul kenapa?” Kini Zainab turut sama mencari hamster kesayangan anak bongsunya itu pula. “Ada ke tidak tu?” soalnya apabila anaknya itu masih lagi tidak keluar.
“Ala.. Bu… Takde bawah katil..” balas Fathiyah sambil membuang sawang-sawang yang melekat di rambutnya sebaik keluar.
“Baik Tiya pergi cari dekat luar tu. Nanti kalau jumpa Si Mary dengan Si Alex tu.. Jangan haraplah Tiya dapat Si Gojes tu balik. Tiya tak ingat dulu telinga Si Gojes tu sampai nak terkoyak dikerjakan ‘budak’ berdua tu?” Zainab sibuk mengemaskan baju-baju yang masih belum berbasuh, yang berlonggok di belakang pintu. Itulah ‘kerja’ Fathiyah jika setiap kali pulang ke rumah sejak bersekolah asrama lagi. Pasti banyak baju kotor yang akan dibawa pulang.
“Alah…” Panjang Fathiyah mengeluh sebelum terus bingkas. Laju dia mengatur langkah untuk mencari kelibat dua ekor kucing kesayangan abang sulungnya.
“Alex! Mary!” Terjerit dia memanggil kedua-duanya dengan mata meliar ke sekeliling jika ternampak akan kelibat tikus berbulu gebu kesayangannya.
“Cuba Tiya cari dekat belakang. Tadi ibu bagi Si Mary dengan Si Alex tu makan.” Laung ibunya dari dalam bilik.
Fathiyah laju hala langkah ke dapur.
“Alex! Mary!” Tak henti dia memanggil kedua-duanya. “Alah.. Time aku panggil tak nak pulak datang. Time aku tak panggil, sibuk korang nak datang dekat dengan aku kan?” Bebelnya sendiri apabila kelibat kedua-duanya masih tak kelihatan.
Saat tiba di muka pintu stor, kakinya terhenti.
“Alah.. Ni yang aku malas ni..” Dia bebel lagi. Tak ada hati mahu menjejakkan kaki ke pintu tersebut kerana terlalu banyak sejarah yang dah dikuburkan di situ. “Ibu!” Jeritnya dari depan pintu bilik stor yang renggang. Telinganya mula dapat menangkap bunyi menderam dari dalam bilik tersebut.
“Dah jumpa ke?” Muncul Zainab di situ bersama sebuah bakul yang dipenuhi baju kotor.
“Bu.. Ibu masuklah.. Tu, Tiya dengar macam ada bunyi Alex tu. Entah-entah Si Alex dengan Si Mary ada dekat dalam tu.” ujarnya tanpa mahu menolak sedikit pun pintu bilik stor. Sebaliknya dia berundur beberapa tapak ke belakang untuk memberi laluan kepada ibunya.
“Habis tu, pergilah masuk tengok. Entah-entah dia orang tengah main dengan Si Gojes tu.” balas Zainab yang sudah meletakkan bakul baju yang dibawa ke tepi mesin basuh berhampiran.
“Ibu, ibu lupa ke bilik puaka ni dah kena sumpah dengan Tiya. Jangan haraplah Tiya nak masuk.” jawab Fathiyah selamba. Memang dah tekad hatinya tak mahu lagi masuk ke situ kerana terlalu banyak kenangan yang menyakitkan tersimpan di dalamnya dua tahun lalu.
“Eleh… Bilik puaka apa bendanya? Habis tu, kalau ibu pun tak nak masuk macam mana? Kamu sanggup nak biar Si Gojes kamu tu kena baham dengan Si Mary, dengan Si Alex dalam tu?” Sengaja Zainab menduga.
“Alah.. Bu.. Janganlah main ugut-ugut macam tu...” Fathiyah mula merengek.
“Ei! Macam-macamlah Tiya ni!” Gerutu Zainab sebelum menolak daun pintu.
Fathiyah terus palingkan muka. Sikit pun dia tak nak pandang segala isi bilik stor. Jika terpandang akan segala khazanah yang ada, pasti akan mengundang rasa sedih di hati dan membuatkannya terkenang kembali sejarah paling pahit dalam hidupnya.
“Tiya, tengok Gojes kamu ni.” Zainab memanggil bila ternampak hamster kepunyaan anaknya itu menyorok di dalam salah satu kotak kasut yang terjatuh dari rak yang ada.
Ambik ajelah bu..” Balas Fathiyah masih tak mahu berpaling.
“Alah… Tiya, Gojes Tiya lari la.. Tiya masuklah sini.. Dia tak nak dengan ibu.” Kata Zainab yang cuba mendapatkan hamster gebu itu. Namun baru sahaja dia cuba menangkap, Gojes terus berlari masuk ke bawah almari pula. Dengan timbunan barang yang begitu banyak, agak sukar untuk dia mengeluarkan Gojes.
“Gojes ni kan… Macam dah takde tempat lain nak masuk!” Rungut Fathiyah dengan keluhan panjang.
“Tiya masuk, ibu tolong jagakan Mary dengan Si Alex ni. Nanti kalau ‘budak’ berdua ni dapat tangkap Si Gojes tu, lagi susah.” Ujar Zainab lagi yang terus mengangkat dua ekor kucing berbulu tebal warna putih dan oren itu sebelum dibawa keluar.
“Aku mencemar duli ke bilik puaka ni sebab kau aje Gojes. Kalau kau masuk lagi lepas ni, aku biar kau kena baham dengan Alex!” Bebelnya dengan muka yang masam mencuka. Dalam tak mahu, terpaksa juga dia masuk ke stor yang terkena sumpahannya itu. “Gojes!” Keras dia memanggil. Kotak kasut yang masih terdampar di atas lantai disepak kasar laju menghentam dinding. Mendadak sakit hatinya sebaik terlihat kotak kasut berjenama terkenal itu.
“Kasut tak bersalah tu yang kamu sepak kenapa?” Tegur Zainab yang berdiri muka pintu.
“Siapa suruh dia dekat situ.” jawab Fathiyah selamba. “Gojes ni kenapa? Takde tempat lain nak masuk ke?” Bebelnya lagi saat kelibat hamster kesayangannya mula kelihatan. Terbongkok-bongkok dia mengintai di bawah almari lama itu untuk mencapai Gojes yang mendiamkan diri di hujung sudut. Tanpa menunggu lama tangan terus mencapai Gojes dan dibawa keluar.
Zainab menggeleng. Kasut tumit tinggi yang terpelanting ke tepi dinding dikutip. “Sayang beli kasut mahal-mahal tak pakai.” ujarnya sambil meletakkan kembali kasut tersebut ke tempatnya semula.
Fathiyah mencebik.
“Siapa yang nak pakai kasut dari orang gila tu! Baik bakar je lagi bagus! Menyusahkan orang aje!” Bentaknya geram sebelum terus berlalu ke biliknya. Perasaan marah, benci dan sedih bergumpal-gumpal dalam hati hingga mengundang air jernih di tubir matanya. Sebaik dia memasukkan semula Gojes ke dalam sangkar, tidak semena-mena air matanya merembes. Dan akhirnya dia tersedu-sedan menangis sendirian.
******
“Shah..” Aqilah menyentuh lembut bahu adik lelakinya yang jauh termenung duduk di tepi kolam ikan abahnya.
“Kak Long…” Shah memaniskan senyum. Hilang bertaburan wajah sendu Fathiyah di ruang matanya tadi bersama wajah-wajah orang yang disayangi.
“Menung apa tu?” Aqilah berbasa-basi yang sudah mengambil tempat di sisi.
Shah tetap melemparkan senyum. Namun senyumannya kian bertukar payau. Tak berperisa.
“Tak nak ke share dengan Kak Long?” Aqilah cuba memancing. Dia seperti dapat meneka apa yang tersirat di hati adiknya saat itu.
“Takde apa nak share kak..” Shah hela nafas panjang. Pandangannya jauh dilontarkan ke dada langit yang sedikit gelap.
“Ia ke takde apa? Macam ada apa-apa aje?”
Shah tersengih pula. Wajah kakak sulungnya itu dipandang sayang. “Akak ni macam tahu-tahu ajelah. Patutlah akak jadi pakar psikologi.” balasnya lambat.
Well.. Now tell me..” Aqilah membetulkan letak duduknya. Terus sahaja dia bersila menghadap Shah. Sedia untuk mendengar luahan hati adik kesayangannya itu.
Shah senyum lagi. Wajah kakaknya itu dipandang lagi sebelum sengihan di bibirnya mati. Nafas ditarik dalam-dalam.
“Shah jumpa Tiya dekat kampus.” keluhnya perlahan.
Aqilah koyak senyum.
“Sebab tu aje?” Balasnya yang tak terkejut pun mendengar apa yang diberitahu kerana dia sedia maklum akan hal itu daripada Suhana. Sahabat baiknya sendiri.
“Ada hal lain lagi..” jawab Shah malas.
“Apa dia?”
“Shah nak cari mak.” tutur Shah sambil memandang ke wajah ayu kakaknya.
Aqila terkedu. Senyumnya mati. Wajahnya mula berkerut sebelum keluhan berat terlepas.
“Shah lupa ke apa yang ummi cakap?” soalnya mendatar sebelum memusingkan tubuh menghadap kolam ikan di hadapan.
“Shah ingat kak.. Tapi Shah..”
“Takde tapi-tapi lagi Shah. Shah lupa, apa yang ummi pesan dengan Shah hari tu? Takde siapa tahu, takde siapa kenal pun mak Shah.” Aqilah memintas dan bersuara tegas.
“Tapi kak…”
No! Stop it Shah. Akak tak suka Shah cakap benda ni lagi. Kalau ummi dengar macam mana? Kecik hati ummi. Lupakan aje niat Shah tu..” Sekali lagi Aqilah memintas dalam nada yang sama.
“Akak.. Shah tak boleh terus hidup macam ni kak..”
“Apa yang tak boleh? Cuba Shah cakap dengan akak. Selama ni, Shah lupa, Shah duduk dengan siapa, siapa yang besarkan, siapa yang sekolahkan Shah sampai berjaya sampai hari ni? Apa yang tak bolehnya?” Tebak Aqilah yang cukup tidak suka hal itu ditimbulkan walaupun sudah berkali-kali diingatkan.
“Akak tak faham apa yang Shah rasa..” Mengendur suara Shah meluahkannya.
“Cukuplah Shah! Akak tak nak dengar lagi! Buat apa Shah cari orang yang dah buang Shah. Bukan buang, tapi yang cuba bunuh Shah. Buat apa?” Aqilah mula beremosi. Hilang terus keperibadian seorang pakar psikologi bila melibatkan hal sensitif itu.
“Akak..”
“Cukup Shah! Akak tak nak dengar lagi!” Pintas Aqilah dengan wajah yang cukup tegang. “Shah dengar sini baik-baik apa akak nak cakap.” Dia menarik bahu Shah agar sama-sama menghadapnya. Dua tapak tangannya dilekapkan ke wajah lelaki itu.
“Kita orang semua sayang Shah sangat-sangat. Ummi sayang Shah.. Abah sayang Shah.. Rina.. Awin.. Semua sayang Shah.. Kita orang tak pernah pun anggap Shah macam orang luar. Kita dah sah jadi adik-beradik pun, Shah. Ummi sayang Shah, lebih dari kita orang semua. Akak dengan adik-adik yang lain, tak pernah pun ambik hati. Itu pun tak cukup lagi ke? Tolonglah Shah.. Kesiankan ummi, kesiankan abah yang dah susah-susah jaga Shah selama ni..” pujuknya lirih dengan genangan air mata.
“Kak Long..” Shah terus sahaja mendakap tubuh kecil Aqilah. Sebak yang bertandang tidak mampu lagi ditahan. Merembes lagi air mata lelakinya apabila mengenang akan status diri yang tidak mampu ditafsirkan.

Dalam pada itu, ada hati lain yang turut menangis apabila melihat kedua-dua insan yang disayangi saling berdakapan. Dia bangga kerana memiliki kedua-duanya.

No comments: