Oct 30, 2016

Dia yang DIcari_part 3


Part 3

Nafas berat terlepas. Ditolak sehelai kertas yang tercacat beberapa nombor telefon ke depan sebelum merenyukkannya sekuat hati dan dilempar ke dalam tong sampah. Mata mengerling ke arah jam yang terlekat di atas pintu. Waktu makan tengah hari yang dah pun tamat terasa disia-siakan hanya kerana nak menghubungi beberapa nombor kenalan lamanya yang masih berbaki. Tapi sudahnya, satu pun tak membuahkan hasil. Kebanyakan darinya dah pun berumah tangga. Mana mungkin dia akan jadi perosak rumah tangga orang hanya kerana kepentingan peribadi. Dia belum gila nak buat kerja tak semenggah macam tu.

Teringatkan sahabatnya yang keluar makan tengah hari dengan tunang tersayang, laju telefon dicapai. Belum pun nama Ain sempat dicari, gajet yang dipegang mengeluarkan bunyi. Satu nombor asing terpamer. Lambat-lambat dia menyambungkan talian.

“Assalamualaikum Cik Mardeena.”

Telefon hampir terlepas sebaik suara garau tu menyapa gegendang telinga. Liur rasa tak tertelan.

“Er… Abang Nazz. Macam mana boleh dapat nombor Deena ni?” Tergagap-gagap dia membalas.

“Deena, abang tak boleh lama ni. Abang saja try. Tak sangka Deena angkat. Jangan lupa save nombor abang. Lepas ni dah tak ada alasan tak boleh call abang kan? Nanti abang call Deena lagi. Abang ada patients ni. Assalamualaikum.”

Talian terputus tanpa sempat Deena membalas sepatah pun.

“Dee!” Terjengul Ain di muka pintu.

“Ain...” rengeknya macam budak tak cukup umur sebaik terpandang muka si sahabat.

“Kenapa pulak ni?”

“Abang Nazz call aku! Macam mana ni Ain?”

“Macam mana apa lagi? Dah elok sangatlah tu Dee. Kita dah boleh berhenti buat kerja sia-sia cari calon menantu sulung Haji Zainal. Kau fokus aje pada Abang Nazz terover kacak tu. Habis cerita.” Ain labuhkan senyum lebar.

Deena berdecit kecil.

“Kau ni tak fahamlah Ain…” keluhnya diiringi nafas panjang.

“Apa yang aku tak faham? Kau malu pasal check-up hari tu kan?”

“Aku tak bolehlah Ain…” keluh Deena lagi.

“Dee, kau dengar sini ya.” Ain labuhkan duduk di depan meja si sahabat. “Aku bukan tak nak tolong selesaikan masalah kau tu Dee. Aku dah tolong apa yang aku mampu walaupun aku rasa kerja yang kita buat tu sia-sia belaka. Kali ni, kita cuba cara lainlah Dee. Aku dah tak nak buat kerja gila tu. Afham pun marah bila dapat tahu aku telefon entah mana-mana lelaki tu. Kalau kali ni pun tak boleh, aku janji aku tolong kau cari jalan lain. Okey? Tak salah kan kalau kita cuba dulu. Aku rasa, dialah satu-satunya harapan yang ada sekarang ni.” panjang lebar dia menasihati.

Sekali lagi Deena hela nafas panjang. Sungguh dia tak mahu hadam apa yang baru sahaja meniti bibir Ain. Nazzri Imran. Takkan mungkin lelaki tu akan bersetuju dengan cadangan gilanya sungguhpun tahu apa masalah yang dihadapi.

*****

“Dah kenapa muka monyok ni? Kaklong tak sihat ke?” tegur Mak Dah sebaik Deena turun dari kereta.

“Taklah Mak Dah. Kaklong okey. Cuma penat sikit.” Deena paksa bibir lorek senyum. “Mak Dah…” Dia dapatkan Mak Dah yang leka menyiram pokok bunga.

Mak Dah lempar senyum.

“Mesti nak cakap pasal Nazz kan?” tebaknya.

“Mak Dah bagi nombor telefon Kaklong pada Abang Nazz ke?” Tanpa berselindung Deena berterus-terang.

“Taklah. Kan Mak Dah dah janji dengan Kaklong tak bagi ke dia. Nazz kata dia dapat nombor Kalong dari kawan dia.”

Deena hela nafas panjang. Hampir terlupa yang Jaja satu tempat kerja dengan Nazzri. Cara lain, Nazzri boleh dapatkan maklumat peribadinya daripada rekod perubatan yang ada.

“Mak Dah, Kaklong malulah dengan Abang Nazz.” luahnya perlahan.

“Nak malu apanya? Bukan dia buat apa-apa pada Kaklong kan? Nazz pun langsung tak cerita apa-apa pasal hari tu. Dia doktor, Kaklong pesakit. Apa-apa jadi antara dia dengan pesakit, semua jadi rahsia kan? Adik manja Mak Dah tu, sangat komited dalam kerjanya, Kaklong.”

Sekali lagi Deena lepas keluh panjang. Dipandang lagi muka Mak Dah. Cuba hadam apa yang terucap.

“Mak Dah…” Belum pun sempat menghabiskan ayatnya, telefon yang dipegang berbunyi. Sebaris nama yang sedang disebut-sebut muncul di skrin nipis.

“Tengok ni Mak Dah!” Ditayangkan sebaris nama tu depan mata Mak Dah. Mak Dah senyum.

“Agaknya sebab dah lama sangat tak berborak dengan Kaklong. Sebab tu dia cari Kaklong” balas Mak Dah lembut. Dalam tak mahu, Deena sambungkan juga talian.

“Hmm… Abang Nazz. Nak apa ni?” Sedaya upaya Deena mengikhlaskan hati.

“Esok Deena ikut balik kampung abang boleh? Sabtu Ahad Deena tak kerja kan? Abang pun cuti. Pagi-pagi esok abang jemput Deena dekat rumah.”

“Balik kampung?” Deena telan liur. Dipandang Mak Dah yang manis tersenyum.

“Er… Tak tahu lagilah bang. Nanti Deena tanya abah dengan mummy dulu.” jawabnya cuba mencari alasan untuk mengelak.

“Abah dengan mummy Deena mesti bagi. Sebab abang balik dengan Kak Dah sekali. Kak Dah pun dah lama tak balik kampung.”

“Er… Nanti Deena tanya abah macam mana. Tapi Deena tak janji tau. Apa-apa hal nanti, Deena call abang balik. Assalamualaikum.” Cepat-cepat talian diputuskan seraya nafas lega dilepaskan. Getar di dalam dada usah lagi dikata. Sejak dari pertemuan yang tak dirancang beberapa minggu lalu, getaran yang ada tidak lagi sekata hinggakan ruang dada terasa sendat.

“Mak Dah tak cakap pun dengan Kaklong, Mak Dah nak balik kampung esok?” sambungnya pada Mak Dah.

“Nak bagi tahulah ni. Tapi sebab Nazz dah bagi tahu dulu, samalah juga kan?” Mak Dah terus senyum-senyum.

“Maknanya, mesti Mak Dah tahu yang Abang Nazz nak ajak Kaklong ikut sekali esok kan?” tebak Deena.

“Mestilah tahu. Takkan Mak Dah nak biarkan dia usung anak dara orang sesuka hati. Bawak balik kampung pulak tu. Pagi tadi Mak Dah ada bagi tahu mummy dengan abah Kaklong. Dia orang kata, terpulang pada Kaklong. Sebab esok pun, abah dengan mummy kan ada majlis kahwin dekat Kluang. Dia orang tidur sana semalam katanya. Kaklong mesti tak nak pergi kan? Zirah aje yang ikut nanti. Dari Kaklong tinggal sorang, elok jugak ikut Mak Dah balik kampung. Insya-Allah selamat dari duduk sorang-sorang dekat rumah ni.” Mak Dah senyum lagi. Mula dia melancarkan kata pujuk kerana tahu Deena memang mudah dipujuk.

“Mak Dah tu mulalah nak takutkan Kaklong.” Muka masamnya dah terpamer. “Tengoklah macam mana nanti Mak Dah. Kaklong tak janji.” tambahnya sebelum terus masuk ke dalam rumah. Malas nak fikir!

“Iyelah tu tak janji.” omel Mak Dah dalam senyum. Tapi cuma seketika bila teringat semula kata-kata adik bongsunya beberapa hari lalu.

“Kak Dah, Deena dah ada orang punya?”

Keningnya berkerut. “Kenapa tanya macam tu? Nazz berkenan dengan Deena ke?”

Nazzri lirik senyum.

“Tak adalah. Manalah tahu kalau dah ada orang punya.”

“Kalau tak ada kenapa?”

“Kut-kutlah dia berkenan dengan Nazz ni.” Nazzri lebarkan senyum. Tapi bertambah garisan di muka Mak Dah.

“Bukan hari tu Nazz kata kunci hati tu dah hilang sampai malas Nazz nak cari?”

“Tiba-tiba rasa nak cari pulak sekarang ni.” Nazzri menyengih.

“Iyelah tu. Bukan sebab Nazz dah tahu apa masalah dia sekarang ni?”

Sengih di bibir Nazzri mengendur.

“Dia serius ke tengah cari calon sekarang ni Kak Dah?” soalan juga terpacul di bibirnya.

“Katanya macam tu la… Tapi Kak Dah tak tahulah sekarang ni betul-betul dia dah jumpa ke tak.”

“Kak Dah, agak-agak kalau Nazz offer diri, dia terima tak?”

Soalan yang tak mampu dijawab hingga ke hari ini. Dan dia tak tahu sejauh mana kesungguhan hati Nazzri atau sebenarnya ada agenda lain yang disembunyikan daripadanya.

******

Deena pandang tak berkelip rumah usang yang mula dipanjat pokok liar. Keliling rumah penuh dengan semak samun setinggi pinggang.

“Er… Mak Dah, kita nak tidur dekat sini ke?” Takut-takut dia tanya. Risau mengecilkan hati wanita yang dah dianggap seperti darah dagingnya sendiri.

“Kalau tidur sini kenapa? Tak sudi sebab rumah ni dah buruk?” Nazzri menyampuk.

Deena diam. Dipandang sekilas Nazzri di sebelah. Malas dia nak jawab. Memang sepanjang jalan tadi pun, dia banyak mendiamkan diri. Bercakap hanya bila perlu memandangkan dia tak punya pilihan selain terpaksa ikut sama percutian tak dirancang itu.

“Kaklong dengarlah cakap Nazz tu. Kalau Mak Dah suruh dia tidur sini sorang-sorang pun dia takkan nak punya.” Mak Dah mencelah.

Deena hala pandang pada Nazzri lagi. Jeling dihadiahkan. Nazzri tayang sengih.

“Abang saja test. Nak tengok Deena sanggup atau tak hidup susah senang dengan abang bila dah kahwin nanti.” balas Nazzri selamba. Sekali lagi Deena berpaling. Tajam renungannya. Keningnya berkerut.

“Siapa yang nak kahwin dengan abang?”

“Deena la. Siapa lagi?” Nazzri lirik senyum penuh makna.

“Bila Deena cakap nak kahwin dengan abang?”

Nazzri balas pandang. Senyum di bibir mati. Riak serius terpamer. Dalam-dalam dia renung mata Deena. Muka didekatkan menyebabkan Deena tersandar ke kereta. Membulat matanya merenung wajah Nazzri yang hanya berjarak beberapa inci. Bergendang hebat dalam dadanya kini.

“Jangan ingat abang tak tahu yang sekarang ni Deena sangat terdesak cari calon suami.” ujarnya separa berbisik.

Deena terus tolak kuat tubuh Nazzri untuk melepaskan diri. Naik sesak nafas dengan apa yang baru sahaja meniti bibir lelaki itu. Laju kaki dihalakan ke arah Mak Dah yang dah leka memetik buah limau kasturi yang begitu lebat di tepi rumah.

Nazzri lepas gelak.

“Mak Dah! Tengok Abang Nazz tu…” Muka Deena dah masam kelat.

Mak Dah pandang muka Nazzri dengan Deena bersilih ganti.

“Kalau tak mengusik, memang tak boleh ya Nazz?” Mak dah cekak pinggang. “Cuba elok sikit perangai tu. Ini tak, macam budak-budak. Memang patutlah sampai sekarang tak ada siapa nak!” tambahnya sedikit geram.

“Bukan tak ada orang nak kak. Nazz belum jumpa yang sesuai lagi. Tapi sekarang, Nazz rasa Nazz dah jumpa.” jawab Nazzri dengan senyum.

Deena hadiahkan jeling.

“Perasan! Siapa entah nak dia tu. Dahlah tua!” selamba Deena jawab.

Sekali lagi Nazzri lepas gelak.

“Siapa yang perasan sekarang ni? Rasanya abang tak ada sebut pun nama Deena.” Nazzri angkat kening sebelah.

Deena gigit bibir. Muka rasa pijar.

Mak Dah dah menggeleng. Tak tahu nak kata apa lagi memandangkan kedua-duanya bukan belia remaja lagi. Tapi perangai dah mengalahkan budak-budak tak cukup umur.

………..

“Nazz.”

Nazzri angkat muka. Senyum berlabuh. Punggung diangkat untuk memberi ruang buat kakaknya duduk di atas pangkin kayu yang sama.

“Deena mana kak? Tidur lagi?” soalnya berbasa-basi.

Sejak sampai di homestay yang disewanya itu, Deena langsung tak keluar bilik.

“Dia tengah mandi.” jawab Mak Dah sambil tak lepas pandang wajah si adik.

Nazzri dah kerut kening.

“Kenapa akak pandang Nazz macam tu?”

“Nazz ni sungguh-sungguh nakkan Deena ke, atau saja nak usik-usik dia?” Mak Dah beriak serius.

Nazzri hala pandang ke rumah. Nak pastikan Deena takkan dengar apa yang bakal keluar dari bibirnya.

“Kak Dah, Nazz sebenarnya nak tolong dia.”

“Maksud Nazz?”

“Kak Dah tahukan apa yang dah jadi pada dia sebelum ni?”

Mak Dah angguk sekali.

“Peluang untuk dia ada anak tak macam perempuan lain, Kak Dah. Sebab tu dia memang patut kahwin cepat sebelum benda yang sama berulang.” jelas Nazzri.

Mak Dah hela nafas panjang.

“Tapi dia tetap ada peluang nak ada anak kan? Nikah kahwin ni bukan senang Nazz.” ujarnya perlahan.

“Betul. Peluang memang ada. Tapi kita tak boleh jangka apa jadi pada masa akan datang. Kalau untuk perempuan yang dah ada anak, yang ada masalah sama macam dia, biasanya doktor akan syorkan buang semua untuk elak benda yang sama berulang kak. Tapi dia bujang. Sebab tu doktor akan syorkan dia kahwin cepat walaupun kita tahu ajal, rezeki, maut, semua dekat tangan Dia. Kita tetap kena cuba, Kak Dah.” tegas Nazzri.

Mak Dah pandang lagi muka si adik bersama helaan panjang.

“Kak Dah tak tahu nak cakap macam mana, Nazz. Kak Dah dah anggap Kaklong tu macam anak Kak Dah sendiri. Kak Dah kesiankan dia. Sekarang ni pun, dia sibuk cari calon. Sanggup telefon balik semua kawan-kawan lelaki yang pernah dia kenal dulu. Mummy dengan abah dia langsung tak tahu dia sakit sebelum ni. Sampai menyorok nak makan ubat. Pasal nak kahwin ni pun, abah dengan mummy dia tak tahu. Padahal sebelum ni, dah berapa kali dia tolak ada orang nak masuk meminang.” luah Mak Dah sedikit sebak.

Nazzri pula lepas nafas panjang.

“Nazz…” Mak Dah pegang tangan Nazzri yang terlekap di riba.

Nazzri hala pandang.

“Nazz bersungguh ke nakkan dia?”

Sekali lagi Nazzri hela nafas.

“Kak Dah… Nazz sebenarnya…” Terhenti. Keluh terlepas. Tak mampu nak diluahkan apa yang bersarang di jiwa. Berkahwin tak tersenarai dalam agenda hidupnya kini selepas dia terpaksa meninggalkan kekasih hati di bumi asing sana hanya kerana perbezaan agama. Hatinya dah lama tertutup untuk mana-mana perempuan.

“Nazz…” Mak Dah genggam kuat tangan Nazzri.

“Nazz cuma nak tolong dia Kak Dah. Tak lebih dari tu.” jelas Nazzri jujur. Itu saja yang terencana dalam kepalanya sebaik tahu akan keadaan Deena yang sebenar.

Mak Dah terdiam. Dilepaskan tangan Nazzri.

“Kak Dah bolehkan tolong Nazz? Tolong Nazz pujuk Deena terima Nazz. Dari dia kahwin dengan orang yang dia tak kenal, lagi baik dia kahwin dengan Nazz kan?” tambah Nazzri.

Mak Dah toleh. Senyum tawarnya terlukis.

“Nazz sedar tak apa yang Nazz cuba buat? Nazz cuma akan sakitkan hati dia. Berkahwin ni bukan untuk sehari dua. Kalau Allah takdirkan Nazz dengan dia ada anak, Nazz nak buat apa lepas tu? Nazz nak tinggalkan dia?” ujarnya tak senang hati.

“Nazz…” Lidahnya kelu.

“Kak Dah nak Nazz fikir baik-baik sebelum buat keputusan. Ni bukan hal main-main, Nazz. Nazz tu lelaki, nak jadi suami. Anak, isteri… Tu amanah yang Nazz kena pikul nanti. Nazz kena ingat, kahwin bukan untuk bercerai-berai.” Mak Dah bertegas demi kebaikan masing-masing.

Nazzri terdiam. Dia tak tahu apa yang dia cuba buat. Apa yang dia tahu, simpatinya dah tumpah buat Deena.

“Kalau tak ada sekelumit pun perasaan kasih dekat hati Nazz untuk dia, Nazz jangan nak mimpi kahwin dengan dia walaupun cuma sebab kesian. Kak Dah takkan benarkan.” tekan Mak Dah memberi peringatan sebelum terus bingkas.

No comments: