Oct 10, 2016

Dambaan Bahagia_PROLOG_edited version

PROLOG

“Kenapa kau buat aku macam ni? Apa salah aku?” Fathiyah menolak sekuat hati dada Shah yang berdiri kaku tak berperasaan di hadapannya. Air mata yang dah melebat sejak tadi langsung tak dihiraukan.
Shah tetap kaku walaupun hatinya terasa disiat-siat saat melihat air mata yang menuruni pipi gadis yang amat disayangi bertahun-tahun lamanya.
“Kenapa Shah? Apa salah aku Shah? Kalau kau dah ada orang lain, kenapa kau beria-ia sangat suruh aku buat semua persiapan untuk kita bertunang? Buat apa semua tu kalau ni yang aku dapat? Apa tujuan kau sebenarnya Shah? Kau memang sengaja nak sakitkan hati aku… memang sengaja nak tengok aku macam orang bodoh macam ni kan?” Turun naik nada Fathiyah menghamburkan rasa amarah. Sakit benar hatinya saat itu bila rasa cinta dan kasihnya selama ini langsung tak bernilai.
“Aku mintak maaf Tiya… Aku rasa kita dah buat keputusan yang salah. Kita muda lagi Fathiyah. Lagipun, aku belum habis study lagi. Aku rasa, belum tiba masanya lagi kita ikat hubungan kita ni…” Tutur Shah cukup tenang walaupun hatinya sendiri hancur lebur dengan keputusan yang dibuat.
Fathiyah ketap bibir kuat. Seraut wajah tenang di depannya itu direnung seperti mahu ditelan hidup-hidup. Rasa nak terbakar telinganya mendengar alasan yang baru saja meniti bibir si kekasih hati.
“Apa kau cakap? Kita? Kita yang buat keputusan salah?” ulangnya diiringi senyuman sinis. Air mata yang masih galak menuruni pipi diseka kasar. “Aku ke, yang buat keputusan untuk kita bertunang Sabtu ni? Aku ke Shah?” soalnya dengan cukup sinis.  
Sorry Tiya… Bukan aku sengaja buat kau macam ni. Kau tahukan, aku sayang kau..”
“Sayang kayu hoki kau! Macam ni kau cakap sayang? Aku kena rasa sakit macam ni, kau baru kata nak sayang aku? Mana otak kau Shah? Kau dah tertelan bola hoki kau ke, sampai kau sanggup buat aku macam ni sekali?” hambur Fathiyah sakit hati. Berombak dadanya menahan jiwa yang terluka kerana diperlakukan sedemikian rupa.
Shah terus lepas keluh. Terpaksa menelan akan segala tuduhan yang dilemparkan biarpun terlalu payah. Sedar yang ucapan kasih dan sayangnya takkan mampu memujuk hati yang dah terluka.
“Tiya, aku bukan nak kita putuskan terus hubungan kita ni. Aku cuma mintak kita tangguhkan aje dulu. Tu aje Tiya..” Dia tetap cuba memujuk.
Fathiyah lorek senyum sinis lagi.
“Kau ingat, lepas apa yang kau buat ni, aku boleh maafkan macam tu aje? Kau ingat, aku senang-senang nak terima semua ni? Kau ingat aku apa Shah? Kau bagi harapan, kau yang bersungguh suruh aku buat semuanya… Tiba-tiba hari ni kau datang, kau cakap nak tangguhkan semuanya macam tu aje? Kau ingat aku apa? Macam bola hoki kau yang boleh kau pukul ke sana sini? Macam tu?” Keras suaranya menghamburkan rasa kecewa. “Aku bukan bola Shah.. Tak ada perasaan, tak ada hati.. Kau pukul kuat mana pun, dia tak rasa sakit. Aku ni manusia Shah…” Semakin laju air matanya merembes.
“Tiya… Ada sebab aku buat semua ni… Aku tak nak kau rasa terikat lepas kita bertunang nanti. Kau pun ada cita-cita kau kan? Aku pun ada cita-cita aku. Perjalanan kita jauh lagi, Tiya… Ada jodoh tak ke mana.” Shah tahan hati. Sedar akan kata-katanya itu cuma menambah api yang sedang marak menyala.
Fathiya seka lagi air mata yang merembes. Nafas ditarik dalam-dalam. Cuba mengumpul sisa kekuatan yang ada demi memujuk hati yang pedih rabak terluka.
“Tak perlu cakap pasal cita-cita Shah. Aku rasa, cukup takat ni aje hubungan kita. Tu yang terbaik kalau betul kau nak sangat kejar cita-cita kau tu.”  balasnya lambat dengan cukup sukar. “Aku dah tak nak ada apa-apa hubungan lagi dengan kau. Cukup sampai sini!” sambungnya tekad sebelum terus berpaling.
“Tiya!” Shah sempat menyambar lengan Fathiya dari terus berlalu.
“Lepaslah!” Fathiya rentap kembali lengannya. Mencerlung matanya membalas renungan sayu lelaki di depannya ini.

“Lepas ni kau boleh kejar cita-cita kau tu! Anggap aje kita tak pernah kenal sebelum ni! Ni yang kau nak sangat kan?” Bentaknya sebelum terus berlalu tanpa berpaling ke belakang lagi. Keputusan yang dah dibuat takkan mungkin diubah lagi!


No comments: