Dec 21, 2011

Tertulisnya begitu_part 3 - short story :D

Telefon bimbitnya berbunyi kembali. Nama lelaki itu tertera di skrin kecil. Dia rasa ragu untuk menyambungkan panggilan. Tidak menyangka jawapan yang didengar daripada ‘Kakashi’. Terasa ingin menangis tiba-tiba. Panggilan itu hanya dibiar sepi. Selang beberapa minit, ianya berbunyi lagi tapi kali ini tanda SMS pula masuk.

=Sorry beb…

Dengan air mata yang mula menuruni pipi, Raiqah membaca SMS yang diterima. Jari menaip di papan kekunci.

-Sorry. Aku dah mengantuk. Salam.

Balasnya sengaja beralasan begitu.

=aku tahu ko saja nak elak dari aku.

Raiqah membaca sepi. Betul telahan lelaki itu. Jarinya lambat-lambat menaip.

-taklah. Lain kali la kita mesej. Dah lewat ni.

=ko boleh tak dengar dulu apa aku nak kata. Jangan nak mengelak boleh tak!!

Raiqah mengesat sisa air mata yang menuruni. Keluhan halus terlepas selepas membaca SMS Ilman. Apa lagi dia ni…

-apa lagi ko nak cakap…

=Kalau ko sudi, bagi aku peluang. Ada masa lagi kalau kita sama2 buat solat istikharah. InshaAllah kalau Allah izinkan, aku nak jadi Imam ko beb. Biar keputusan yang kita buat ni tak salah. Please..Biar takda sesalan di kemudian hari..

Mata Raiqah membulat membaca SMS ‘Kakashi’. Biar betul orang tua ni. Tengok aku pun tak, macam mana dia boleh buat keputusan seberat ini.

Tidak pula baginya. Rupa paras jatuh ke tangga yang kedua. Dia jatuh hati dengan kewibawaan ‘Kakashi’ dalam ilmu agamanya. Bukan dia tidak tahu ‘taste’ lelaki itu yang terlalu menekankan aspek keagamaan dalam memilih calon isteri. ‘Kakashi’ juga pernah mengakui yang pandangan mata lelaki terhadap seseorang wanita yang pertama adalah kecantikan yang dimiliki. Bermakna, ‘Kakashi’ tidak terkecuali melihat kecantikan dan seterusnya mementingan ilmu agama. Nak cantik luar dan dalam katanya. Terasa dirinya masih tidak dapat memenuhi pilihan hati lelaki itu walaupun kasihnya semakin hari semakin mendalam.

-Ko jangan bergurau bab2 macam ni beb… :’(

=aku serius ni. Aku rasa aku dah macam suka kat ko… bolehkan ko bagi aku peluang? Lagipun, apasalahnya kalau kita cuba.

-masalahnya bab nikah kahwin kita tak boleh nak cuba-cuba Ilman.

=Ya.. aku tahu. Dia kan ada dengan kita Nur. Memang hidup kita ni macam perjudian. Kalau kita tak cuba, kita tak tahu Nur.Percayalah Nur, Dia ada untuk bantu susah senang kita..

Terasa sejuk pula hatinya membaca SMS daripada ‘Kakashi’ kali ini. Panggilan nama yang digunakan seakan terbisik di telinganya. Debar semakin terasa.

-Aku percaya tu semua. Tapi… Ko janganlah buat aku perasan. Ko selalu dah buat aku perasan. Bab2 macam ni, ko janganlah main-main. Lagipun, aku tahu siapa aku. Aku rasa macam tak sesuai je dengan ko. Ko tahu kan aku macam mana. Tak macam ‘X’ ko tu beb. Jauh beza aku dengan dia.

Raiqah tidak mahu mudah termakan dengan kata-kata sahabatnya itu. Dia harus fikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan yang tepat. Cuma kini dirasakan seperti keluar dari mulut singa, masuk pula ke mulut harimau. Sama tajam sahaja gigi taringnya. Jika keduanya terbenam ke dalam kulit, tetap sakit yang terasa. Risiko menerima lelaki yang masih lagi tidak dikenali sebenar-benar sifatnya tetap sama tinggi.

=sebab tu aku rasa, tak salah kan kalau aku jadi Imam ko. Macam Zahrah dia dah tahu hal agama ni. And I think you should find someone that can bimbing ko kan… aku tak cukup layak ke beb untuk ko?

Raiqah mengeluh perlahan. Air mata yang sudah kering dirasakan ingin turun semula apabila membaca SMS yang diterima. Ilman seakan beriya-iya ingin mengahwininya.

-Bukan macam tu.. Bagi aku, ko lebih dari layak beb. Aku je rasa macam tak layak untuk ko.

Raiqah merendah diri. Air matanya semakin laju menuruni. Tidak menyangka ‘Kakashi’ menyimpan rasa yang sama semenjak mereka semakin akrab selepas masing-masing tidak terikat dengan sesiapa.

=Takda yang sempurna dalam dunia ni Nur…

-Ilman, ni soal masa depan. Ko janganlah main2 kan aku sampai macam ni sekali..

Rayu Raiqah yang masih tidak yakin dengan ‘Kakashi’ yang tiba-tiba menyatakan suka pada dirinya.

=aku pun serius. Aku serius nak jadi pembimbing ko Nur…

-Ilman, aku tak tahu nak cakap macam mana sebab benda ni macam cepat sangat..

=ko sebenarnya dah ada pilihan lain ke beb?

Raiqah menyeka perlahan air mata. Malu untuk berterus terang. Raiqah tidak tahu untuk menjawab apa. Telefon terus berbunyi.

=kalau ko ada pilihan lain, ko cakaplah dengan aku. Aku takkan ganggu ko lagi lepas ni.

Turun lagi air mata Raiqah membaca SMS ‘Kakashi’. Ingin sahaja dia jerit memberitahu akan rahsia hatinya selama ini. Lambat-lambat jemarinya menaip di papan kekunci.

-Ilman, aku mengantuk sangat. Lain kali kita bincang hal ni. Sorry. Salam.

Putus Raiqah akhirnya langsung menekan butang merah telefon bimbitnya. Gelap gelita skrin kecil itu.
…………

=Salam. Beb. Senyap je. Tak sihat ke?

Raiqah menerima SMS daripada ‘Kakashi’ selepas tiga hari memadamkan telefonnya dari di hubungi sesiapa. Dia memerlukan ketenangan untuk mempertimbangkan keputusannya. Selama itu juga dia ada melakukan solat istikharah seperti yang dikatakan oleh Ilman. Raiqah lambat-lambat menekan papan kekunci. Masih berkira-kira untuk membalas.

-waalaikumussalam. Aku sihat je.

Dingin bunyinya…

=kenapa off phone?

-saja…

Jawapan menyakitkan hati…

=ko nak tau tak jawapan solat aku? Kalau taknak, takpalah..

Eleh.. ayat… Cakap ajalah kalau nak cakap. Rungut Raiqah sendiri. Dalam pada masa yang sama Raiqah berasa tidak enak tiba-tiba. Dia kertap bibir. Risau pula akan jawapan yang bakal diberi oleh ‘Kakashi’ sebentar nanti. Dia memberanikan diri juga untuk bertanya. Dia mengalah. Memang dia perlu tahu jawapan ‘Kakashi’.

-apa dia?

=mungkin kita ditakdirkan bersama…

Raiqah telan liur, mata membulat. Seakan tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh ‘Kakashi’. Dia membaca SMS itu berulang-kali.

-Ko jangan nak berguraulah bab2 macam ni. Aku tak suka..

=takda masa aku nak gurau Nur. Benda ni bukan boleh dibuat gurau. Soal masa depan kita.

‘Masa depan kita?’ Raiqah telan liur lagi membaca ayat yang terakhir itu.
………….

Raiqah seakan tidak percaya yang dia boleh bersetuju dengan Ilman. Memang tidak dapat dinafikan perasaannya terhadap Ilman selama ini. Entah sejak bila dia tidak dapat pastikan. Namun, semakin hari perasaan itu semakin mengasak hatinya. Berkali-kali cuba dia menolak. Namun, perasaan itu tetap juga hadir.

Debaran semakin hari semakin menyesakkan hati. Hari ini pula Ilman dan keluarganya kan datang ke rumah untuk merisik sekaligus upacara meminang dijalankan sekali. Bak kata Ilman, sejak dia menyatakan kesudian untuk berkahwin, mereka sudah dianggap bertunang. Katanya, dia seperti berkhitbah. Si lelaki menyatakan hasrat untuk berkahwin dan si perempuan pula telah menyatakan persetujuan. Maka, secara tidak rasminya mereka telah pun bertunang. Cuma, adat peminangan seperti yang dilakukan hari ini adalah sekadar adat. 

Islam tidak menyusahkan malah memudahkan. Cuma, masyarakat kita yang memberatkan adat itu menyebabkan merasakan Islam itu menyukarkan. Satu lagi ilmu yang dipelajari dari Ilman. Suatu perkara yang dia tidak pernah tahu selama ini. Almaklumlah. Dia manalah pernah bercinta tapi pernah bertunang. Apa punya peliklah…

Majlis hari ini hanya disertai oleh keluarga terdekat sahaja. Raiqah pun tidak mengenakan sepersalinan seperti majlis pertunangan yang biasa dilakukan dalam masyarakat kita. Hanya mengenakan baju kurung yang biasa dipakai. Kata ayah, selepas majlis nanti ada baca doa selamat sedikit. Hal itu pun sudah dimaklumkan kepada Ilman dan lelaki itu hanya mengikut.

Ilman ada menceritakan serba sedikit tentang keluarganya. Dia merupakan anak tunggal lelaki dalam keluarga. Anak ketiga dari empat beradik. Ayahnya seorang pesara askar. Mejar Idris. Ibunya pula bekas pensyarah di 
salah sebuah universiti tempatan. Antara semua adik-beradik, dia yang masih belum berkahwin.

Semenjak dia bersetuju menerima lamaran Ilman, hari-hari lelaki itu menghubunginya. Tidak kira waktu. Ada sahaja yang ingin dia ceritakan sehingga dia sendiri tidak tahu untuk bercakap apa. Lebih menjadi pendengar setia. Bukan dia tidak menegur cara Ilman itu. Tetapi, lelaki itu tetap dengan caranya. Katanya, biar kita berterus-terang dari kita simpan dalam hati. Oleh dengan yang demikian, pelbagai kisah hidup yang dikongsikan oleh Ilman kepadanya. Hanya dia yang masih belum cukup terbuka untuk bercerita ke semua kisah silamnya. Malu!

Dalam banyak-banyak perkara yang dibualkan, tiada satu pun yang menyentuh soal hati mereka. Dia ada bertanya akan hal itu. Namun, kata Ilman, biarlah soal hati lebih banyak dibincangkan selepas mereka bernikah nanti. Dia risau seandainya menyentuh soal hati ketika itu, pelbagai pula perasaan lain yang timbul membuatkan mereka akan terleka. Dia tidak mahu terjadi begitu. Katanya, biarlah soal hati itu disampan dahulu. Lagi pula, masing-masing telah pun bersetuju untuk bersatu. Itu sahaja sudah cukup untuk membuktikan adanya penyatuan antara kedua hati. Tidak lagi perlu diperbesarkan selagi tiada ikatan yang sah di antara mereka. Itu lebih baik. Raiqah pula hanya akur. Dalam hati, dia terlalu bersyukur kerana dapat mengenali Ilman.

“Angah, ayah tanya Abang Ngah sampai pukul berapa?” tanya Raqif si bongsu. Ketika itu Raiqah sedang mengemaskan ruang tamu memandangkan majlis yang berlangsung nanti hanya akan menggunakan ruang itu. Segala kerusi dan meja telah pun dialihkan. Kini, hanya terbentang tikar buluh sebagai alas.

“Erk! Abang Ngah?” Raiqah membuat muka pelik. Janggal benar dipendengarannya gelaran yang diberi oleh Raqif.

“Yalah…” Raqif menjegilkan mata. Buat-buat tak faham pulak kakak aku ni…

“Ilman?” Raiqah sengaja mengusik.

“Eh,.. bukanlah.. Abang Qaid..” Raqif menekan perkataan akhirnya. Raiqah tersengih.

“Eleh.. nak gurau pun tak boleh adik ni…” Raiqah sudah memeluk bahu adiknya. “Dia kata lepas Zohor nanti.” Sambung Raiqah.

“Malang betul Abang Ngah dapat angah ni… slow learner..” usik Raqif terus menghilangkan diri dari mendapat habuan daripada kakaknya. Raiqah tidak dapat berbuat apa apabila Raqif sudah pun ke luar rumah.

“Raqif!!” jerit Raiqah sehingga semua isi rumah boleh dengar.

“Ish! Anak dara apa ni jerit-jerit macam tu. Dah nak jadi bini orang. Elok-eloklah sikit.” Tegur Hajah Ramlah yang berdiri di muka pintu dapur. “Tak segan dengar dek jiran kamu menjerit macam tu.” Sambung Hajah Ramlah lagi. Raiqah hanya tersengih melihat ibunya bercekak pinggang dengan memegang sudip.

Teringat lagi macam mana dia memberitahu akan berita persetujuannya untuk berkahwin dengan Ilman. Sehingga hari ini dia menjadi bahan usikan ahli keluarganya. Terutamanya Abang Razi. Ada sahaja modal hendak mengenakannya. Dapat sokongan padu pula dari adiknya. Pada mulanya ayah seperti tidak dapat menerima. Namun, setelah bercakap sendiri dengan Ilman, ayah dan ibu merestui. Malah, mereka yang menjemput keluarga Ilman datang ke rumah sekaligus menjalankan majlis itu.
……

Hati semakin debar menanti. Alamat rumah telah pun diberi dua hari lalu. Ilman baharu sahaja menghubunginya untuk menyatakan dia baharu keluar rumah. Sebenarnya lelaki itu telah pun sampai awal pagi tadi. Tetapi berhenti berehat di rumah paklongnya tidak jauh dari situ. Hanya 15 minit untuk sampai.

Berdegup kencang jantungnya. Dia sudah bersiap ala kadar. Tidaklah terlalu melampau. Hanya bedak asas yang dirapikan ke wajah yang sememangnya semulajadi licin tanpa sebutir jerawat. Secalit pelembap bibir untuk bibir yang asli berwarna merah itu.

Dia membantu serba-sedikit saudara-mara yang sibuk menyediakan makanan sejak awal pagi tadi. Walaupun dilarang, namun dia tetap berdegil.

Tidak sampai pun 10 minit selepas Ilman menghubunginya tadi, ruang hadapan sudah riuh rendah seperti menyambut tetamu yang datang. Raiqah memanjangkan leher di muka pintu dapur.

“Angah!” terdengar suara Abang Razi memanggil. Raiqah tercari-cari Abang Razi di celah tetamu-tetamu yang sudah masuk ke ruang hadapan. Ternampak kelibat ibu menggamitnya. Dia dengan debar hanya menuruti. Perasan semua mata tetamu yang hadir terpaku ke arahnya. Ya Allah… Ilman dah sampai ke? Dia bersoal sendiri di dalam hati. Tiada satu pun wajah tetamu yang dikenalinya.

Semua tetamu sudah pun mengambil tempat. Bersila dalam bentuk bulatan. Raiqah pula mengambil tempat di sebelah Hajah Ramlah. Menghampiri tetamu wanita yang hadir. Sebelah kanannya pula duduk seorang wanita yang hampir sebaya dengan ibunya. Dia menghulur salam, namun tubuhnya terus dipeluk erat oleh tetamu yang tidak dikenalinya itu. Tergamam sebentar. Mata-mata lain sekali lagi memaku ke arahnya. Termasuk mata seorang lelaki yang dari tadi memandangnya tidak lepas.

“Cantiknya Nur…” bisik wanita tua itu rapat di telinga. Raiqah tersenyum kecil. Tidak mahu terlalu bangga dengan pujian yang diberi. Padanya, dia sama dengan wanita lain.

“Err..mak cik..” panggil Raiqah perlahan seraya meleraikan pelukan. Kucupan hangat di dahi pula diterima dari wanita yang mengukir senyum itu.

“Pandai Qaid pilih.” Kata wanita itu lagi.

Raiqah tersenyum kelat. Tahulah sudah siapakah gerangan wanita yang memeluk ciumnya itu. Pastinya ibu Ilman.

“Raiqah, angkat air dengan kuih tadi.” Ujar Hajah Ramlah perlahan di sisinya yang dari tadi menjadi pemerhati. Raiqah yang sedikit kalut terus bangun. Lain macam debarnya berada di situ apabila menjadi tumpuan. Dalam kepalanya masih teragak-agak dengan wajah Ilman. Namun, hatinya dirasakan sudah dapat mengagak. Cuma belum dapat memastikan. Dia ke?
…………

“Angah, Abang Ngah nak jumpa akak kejap kat depan.” Ujar Raqif yang mencarinya di dapur. Ketika itu dia sibuk membantu saudara mara lain mengemas di dapur.

Tetamu sudah pun pulang selepas majlis doa selamat tadi. Dia yang dari tadi terperuk di dapur, sekalipun tidak keluar. Segan dengan tetamu. Hanya sesekali menunjukkan wajah ketika menghantar makanan buat tetamu. Tidak berani untuk memandang lebih walaupun di dalam hati begitu hebat berperang ingin mengenali lelaki yang sedia menjadi imamnya nanti. Tetapi ketika tetamu pulang tadi, sempat juga dia bersalaman. Sekali lagi tubuhnya dipeluk dan dicium oleh ibu Ilman.

Raiqah menurunkan lengan baju yang berlipat ke siku. Sejuk kaki tangannya tiba-tiba untuk berhadapan dengan lelaki itu buat pertama kalinya. Teringat pesan bakal ibu mertuanya tadi agar bertemu dengan Qaid Ilman. Lelaki itu sahaja yang tinggal selepas tetamu lain pulang. Kata Abang Razi, ayah yang menyuruh lelaki itu tunggu sebentar selepas majlis tamat. Entah apa yang ayah nak interview. Gumamnya sendiri.

Langkah diatur ke ruang hadapan. Abang Razi dan Raqif sedang membantu ayah menyusun atur semula barang di ruang tamu. Ketika melewati ruang itu, sempat juga Abang Razi dengan Raqif mengusiknya.

“Ai… nervousnya orang tu nak jumpa bakal suami…” usik Abang Razi. Merah padam wajahnya sekejap. 

He’eleh abang ni.. tak payahlah nak usik sekarang… balasnya dalam hati sahaja. Rasa kakinya tidak berpijak ke tanah apabila wajah lelaki yang sedang menanti di pangkin kayu di hadapan rumah menyapu ruang mata.
‘SubhanaAllah. Dia..’ itu yang terluah dalam hatinya. Ringkas dengan kemeja putih berjalur biru halus. Memang dia tak salah orang...

“Angah! Tunggu apa lagi tu..” tegur Raqif membuatkan Raiqah terkejut. Dia menunduk malu apabila perasan lelaki itu mengukir senyum. Belum-belum dah kena gelak. Hish! Adik ni. Kacau betul!

Raiqah cuba beriak selamba walaupun dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya ketika itu. Tidak menyangka wajah lelaki itu lebih indah dari yang dibayangkan. Berkali-kali dia beristighfar menenangkan hati. Janganlah senyum banyak kali Encik Qaid Ilman oi.. mau tersungkur aku ni nanti…

Raiqah sempat memandang keliling. Risau ada mata-mata yang memandang ke arah mereka. Malu weh.. Hampir sahaja di bawah pokok jambu itu, dilihat Qaid Ilman berdiri. Mata bertemu sekejap sebelum dia memandang ke arah lain. Boleh gugur jantung kalau macam ni lama-lama…

Raiqah duduk di hujung pangkin. Begitu juga dengan Qaid Ilman. Seorang hujung sana, seorang hujung sini. Kira-kira boleh dua orang lagi duduk di antara mereka itu. Raiqah memandang ke arah jemarinya yang 
meramas sesama sendiri. Takkan pula nak pandang muka lelaki tu kan…

“Ehem,..” terdengar Qaid Ilman berdehem membuatkan Raiqah mengangkat muka. Sekali lagi mata mereka bertemu sebelum kedua-duanya membuang pandang ke arah lain. Kalut sungguh!

“Err.. kau takda apa-apa nak cakap dengan aku?” Qaid Ilman memulakan kata. Dia sendiri resah bila senyap begitu.

“Err..” Raiqah tergagap jadinya. Terasa ingin mengetuk kepalanya sendiri. Terasa wajahnya mula kebas.

Qaid Ilman mengukir senyum. Suka melihat wajah Raiqah Nur yang merah padam. Berkali-kali dia mengucap syukur ketika terpandangkan wajah itu saat dia melangkah masuk ke dalam rumah. Tidak syak lagi. Memang dialah yang bakal menjadi suri hidupnya nanti. Manis bertudung.  Sejuk mata yang memandang. Patutlah ibunya tidak henti-henti memuji sejak dari tadi.

“Err.. bila nak balik?” Raiqah menutup mulutnya dengan tapak tangan. Itu pula yang terkeluar dari mulutnya.
Terhambur tawa dari mulut Qaid Ilman mendengar kata-kata Raiqah Nur. Nampak sangat gadis itu serba tidak kena bertemu dengannya. Malulah tu…

“Halau nampak..” balas Qaid Ilman dalam sisa tawanya.

“Eh, bukan..” potong Raiqah cepat.

“Kalau dalam chatting, bukan main lagi banyak kau bebel dengan aku kan… Sekarang, sampai tersasul..” usik lelaki itu lagi.

“Ilman.. aku…”

“Yalah aku tahu… Kau mesti tak selesa dengan aku kan..” Qaid Ilman cuba berlagak tenang walaupun di dalam hatinya sama kalut. Kali pertama kot jumpa. Lain rasanya… Dah nak kahwin pulak tu…

“Err.. bukan macam tu.. err,. Aku..aku..”

Sekali lagi ketawa meletus dari mulut Qaid Ilman. Raiqah kertap bibir. Malu lagi. Ish! Dia ni. Asyik gelakkan aku aja.

“Macam manalah nak kahwin kalau kelam kabut semacam aja kau ni..” giat Qaid Ilman lagi. Tidak puas melihat wajah yang merah padam itu. Raiqah diam tidak membalas.

“Aku tahu.. mesti kau tak sangka aku hensome macam ni kan…” Qaid Ilman cuba bergurau. Raiqah pula sudah mencebikkan bibir. Perasan sungguh mamat ni!

“Perasan..” bisik Raiqah perlahan hampir tidak dengar.

“Sorry.. kau cakap apa?”

“Aku cakap kau tu perasan…” Raiqah terus terang. Biar lelaki itu tahu. Namun, mengundang lagi tawa halus di bibir lelaki itu. Gelak lagi dia ni. Hish!

“Dah la. Aku masuk dululah..” ujar Raiqah geram. Nak gelak sangat kan… gelak sorang-sorang. Dia sudah berdiri untuk meninggalkan Qaid Ilman.

“Eh, nantilah. Aku gurau sikit pun dah nak sentap. Esok-esok agaknya aku gurau berat sikit, terus merajuk masuk bilik…” usik Qaid tidak henti membuatkan Raiqah terus berjalan masuk ke rumah. Rasanya kalau lama lagi dia di situ, mahu lebam wajahnya ni. Sebab banyak sangat darah berkumpul dekat muka. Tak habis-habis lelaki itu ingin mengusiknya. Dalam geram, terselit juga rasa bahagia di hati. Memang dialah Qaid Ilman yang dikenali selama ini. Penuh dengan gurauan. Ada saja yang boleh menjadi bahan usikan.

5 comments:

Anonymous said...

Best n terbaek....
Cpt smbg....
Wat laa pjg cikit.......

Wawa said...

suwit gitu!!!
suka ngan watak Ilman
nama pun sedap

MaY_LiN said...

amboi...
dia dhati ya..

fatim fatimah said...

bestnya cerita ni,,suka sgt,,suka wtk ilman

Unknown said...

Tersenyum seorang diri apabila membaca cerita ini.......