Jan 7, 2012

Tertulisnya begitu_final part - short story :D

“Aku terima nikah Raiqah Nur binti Ahmad Fuad dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit, tunai…”

Dengan sekali lafaz, Raiqah telah pun menjadi isteri yang sah kepada Qaid Ilman. Entah macam mana mereka berdua begitu berani untuk bersatu dalam masa yang begitu singkat. Ayahlah yang paling  tersenyum lebar apabila dia bersetuju untuk bernikah. Ayah sejak bertemu dengan Qaid Ilman, ada saja yang dipujinya. Nampak gaya, status anak ayah bakal dirampas oleh Qaid Ilman.

Tangan dan kaki terasa sejuk saat lafaz ijab dan qabul sudah pun selesai. Menitis juga air mata yang ditahan sejak tadi. Dia langsung tidak berani melihat wajah Qaid Ilman. Dia benar-benar redha kini. Lelaki itu terlalu sempurna parasnya. Dalam tempoh 3 minggu menguruskan segala persiapan kahwin dilakukan sepenuhnya oleh Qaid Ilman. Mereka hanya bersua muka hanya tiga kali sepanjang tempoh yang singkat itu. Baju rona putih krim menjadi pilihan. Itu juga pilihan Qaid Ilman.

Debar menanti pengantin lelaki datang untuk majlis pembatalan air sembahyang. Dari hujung mata dia perasan seorang lelaki yang lengkap berbaju melayu berona sama sedang menunaikan solat dipenjuru ruang tamu. Dia tahu itulah Ilman yang sudah sah menjadi suaminya. Rasa debar semakin tak tertahan apabila dia yang terleka memandang lelaki itu menunaikan solat sunat dan mata mereka bertemu sesaat dua ketika lelaki itu usai memberi salam. Raiqah tunduk semula. Kaum keluarga yang duduk rapat dengannya tadi sudah memberi ruang di hadapannya buat sang suami berjumpa si isteri.

“Sayang… pengantin lelaki nak sarungkan cincin.” Bisik ibu yang duduk di sisi. Raiqah masih tidak berani mengangkat wajahnya. Hanya tangan yang diangkat. Dan terasa tangan lelaki yang sudah bergelar suami itu memegang lembut tangannya.

“Tak sakit ke leher tu dari tadi tunduk je.” Kata empunya suara yang amat dikenali. Raiqah kertap bibir. Sempat lagi nak mengusiklah orang tua ni. Marahnya dalam hati. Eh, dah tak boleh panggil macam tu lagi lepas ni…

“Angah, salam tangan suami tu.” Tidak pasti siapa yang bersuara. Dia menyambut huluran tangan si suami. Dikucup penuh ikhlas. Tiada pula sesi kucupan di dahi seperti kebiasaan pasangan pengantin lain. Dari awal lagi Qaid Ilman sudah meletakkan syarat-syarat sebelum majlis mereka berlangsung.

Tiga hari lalu ketika Qaid Ilman datang ke rumah untuk menghantar baju pernikahannya, sempat lagi mereka berbual. Walaupun pada awalnya dia tidak mahu berjumpa dengan Qaid Ilman, namun ayah dan ibunya pula yang menyuruhnya melayan Qaid Ilman yang datang sebagai tetamu. Ayah dan ibu juga seakan-akan memberi ruang kepada mereka berdua untuk berbual. Pangkin kayu di bawah pokok jambu di halaman rumah menjadi saksi perjanjian syarat-syarat majlis yang bakal berlangsung.

Tidak dapat dilupakan saat itu kerana itulah kali ketiga mereka bertemu sebelum majlis pernikahan berlangsung. Sewaktu menempah baju nikah pun mereka pergi berasingan. Pesan Qaid Ilman:

“Kau tahukan kita takda majlis persandingan. Aku tak nak kita bersanding atas pelamin. Sebab itu bukan cara kita. Islam pun tak menyuruh. Kalau ada pun persandingan di hadapan keluarga terdekat tanpa ada adat menepung tawar. Kau tahukan tu.Itu bukan adat kita walaupun ianya sekadar adat.” Raiqah hanya menganggukkan kepala tanda setuju. Dia pun tak pernah inginkan majlis besar di hari pernikahannya nanti. Cukuplah besederahana dalam segala segi.

“Lepas majlis akad nikah, aku tak nak ada sesi kucup mengucup macam kebiasaan majlis orang. Cukuplah dengan sesi pembatalan air sembahyang aku sarungkan cincin. Adengan kucup mengucup kita boleh buat kat dalam bilik tanpa ada penonton. Hanya Dia. Cuba kau bayangkan kita buat adegan tu kat depan orang ramai, rugilah... Kau nikah dengan aku kan. Maknanya, kau milik aku soranglah. Tak payah nak share dengan orang lain…” Kata-kata ini mengundang kekebasan di wajah Raiqah. Qaid Ilman memang suka mengambil peluang untuk mengusiknya.Tetapi dalam hati, dia tidak pun mengambil hati dengan usikan Qaid Ilman. Malah permintaan Ilman itu ada baiknya.Qaid Ilman begitu menjaga segalanya. Pada masa yang sama, dia begitu terbuka untuk bercerita apa jua tentang hubungan suami isteri.

“Lagi satu… Aku tak nak ada lagi panggilan ‘aku’ dan ‘kau’ ni lepas kita sah jadi suami isteri. Tak manis. Rasulullah pun ada mengajarkan pada umatnya untuk memanggil panggilan yang indah-indah buat pasangan. Untuk keharmonian bersama. Bukan macam couple sekarang. Belum nikah, dah kahwin. Panggilan, bukan main daring lagi.” Syarat yang ni mengundang debar tidak terkata di dalam dada. Mahu atau tidak, dia wajib patuhi. Dalam ada masa yang sama, sempat Qaid Ilman mengkritik pasangan yang bercinta pada zaman sekarang.

Selesai sahaja majlis upacara menyarungkan cincin, tetamu beransur ke luar rumah untuk menjamu selera. Raiqah pula masih kaku di tempatnya. Dia memandang sekeliling mencari kelibat lelaki yang baharu sahaja bergelar suami. Lelaki itu sudah turut sama di bawah khemah. Dari muka pintu Raiqah hanya memerhati. Tenang dia melihat wajah nakhoda bahteranya nanti. Terimbau kembali bagaimana dia boleh bersetuju untuk menerima Qaid Ilman sebagai suaminya.

***
=takda masa aku nak gurau Nur. Benda ni bukan boleh dibuat gurau. Soal masa depan kita.

‘Masa depan kita’?

=Nur, kenapa senyap? Kau tak percayakan aku ke?”

Lama Raiqah hanya membiarkan SMS Qaid Ilman tadi tidak berbalas. Kini SMS lain pula yang sampai. Mati kata-katanya. Dia dapat rasakan Qaid Ilman sememangnya serius dengan apa yang diperkatakan. Dia leka memerhati kipas siling yang berputar perlahan. Hujan malam itu membuatkan tubuhnya sedikit dingin. Maklumlah rumah kampung, jika waktu malam tidak lagi perlu menggunakan penghawa dingin. Ada penghawa dingin semulajadi yang lebih sihat.

Lima minit berlalu, Raiqah masih begitu. Telefon bimbit dicapai dan membaca semula SMS yang dihantar oleh Qaid Ilman. Baharu sahaja dia ingin menutup semula SMS tersebut, tidak semena-mena telefon itu berbunyi dan dilihat nama Qaid Ilman terpampang di skrin kecil itu. Dia tidak terus mengangkat sebaliknya hanya membiarkan telefon itu sunyi semula. Tidak sampai seminit, telefon itu berbunyi semula. Dibiar lagi sepi sendiri. Dan seperti yang dijangka, Qaid Ilman tidak berputus asa. Sekali lagi berbunyi dan kali ini beserta ketukan di pintu bilik turut kedengaran.

“Angah! Ayah kata kalau tak nak handphone tu, dia nak sedekahkan pada Pakcik Mat kat warung simpang empat tu.” Kata Raqif dari luar bilik.

Raiqah kertap bibir. Mahu atau tidak, dia kena jawab juga panggilan Qaid Ilman. Butang hijau deras ditekan.

“Ermm..” itu saja yang dijawab apabila dengar Qaid Ilman memanggil namanya. Rasa takut, gembira bergabung menjadi satu di dalam hatinya.

“Kau kenapa Nur?” lembut suara itu bertanya.

“Hmm.. takda apa-apa..” jawab Raiqah malas.

“So, macam mana kita sekarang ni?” suara garau itu terus bertanya ke topik asal menyebabkan Raiqah terus menegakkan badan. Bersandar di kepala katil. Keluhan halus terlepas di bibirnya.

“Jangan mengeluh Nur..” tutur lelaki itu lembut. Pastinya lelaki itu terdengar helaan nafasnya tadi.

“Erm,.. tak.. Err.. aku.. tak tahu nak cakap macam mana…” balas Raiqah berterus-terang. Rasa sesak 
hatinya saat itu. Risau akan keputusan yang bakal dibuat.

“Hmm.. aku perlukan jawapan ya atau tak je dari kau Nur…” Balas Qaid Ilman.

Raiqah terdiam. Dia meramas rambutnya perlahan. Jawapan yang dituntut oleh Qaid Ilman bermakna dia perlu menentukan masa depannya saat itu juga. Tiada suara di hujung sana. Hanya helaan nafas sesekali menampar gegendang telinga.

“Ilman…” serunya perlahan. Dia cuba menyusun ayat agar apa yang keluar dari mulutnya nanti tidak kedengaran pincang.

“Hmm…” gumam Qaid Ilman menanti butiran seterusnya.

Raiqah diam lagi. Sabar betul dia ni… desis hatinya.

“Angah!” terdengar suara Raqif memanggil di luar bilik.

“Ilman, kejap…” Raiqah meletakkan telefon bimbitnya ke atas tilam dan dia bingkas bangun ke pintu bilik. 
Geram dengan adik bongsunya yang suka benar mengusiknya tidak kira masa.

“Adik nak apa jerit-jerit ni?” marah Raiqah tetapi Raqif hanya tersengih.

“Ayah dengan ibu panggil Angah kat depan tu.” Jawab Raqif sebelum berpusing dan berjalan ke arah yang dimaksudkan. “Sekarang angah!” tambah Raqif.

Raiqah sudah memuncungkan wajahnya. Dia tahu ibu dan ayahnya menuntut jawapan dari dirinya. Raiqah kembali semula ke katil dan mencapai telefon bimbitnya.

“Ilman,…”

“Nur,.. izinkan aku bercakap dengan ibu ayah kau boleh?” potong suara itu belum sempat dia menghabiskan kata-katanya. Raiqah tergamam sekejap. Tidak percaya dengan permintaan lelaki itu.

“Err.. Ilman..”

“Kau jangan risau okay. Aku just nak mintak izin dari parent kau untuk restu hubungan kita…” kata suara itu lelaki membuatkan Raiqah telan liur. Otaknya masih gagal lagi mencerna permintaan Qaid Ilman. Lelaki itu sudah memulakan langkah pertamanya sekaligus jawapan buat dirinya telah pun dibuat.

Raiqah terdiam.

“Aku ikut keputusan parent kau. Kalau takda bantahan dari pihak mereka, aku harap kau dapat terima aku juga. Kalau mak ayah kau tak restu hubungan kita, InshaAllah. Kita akan kekal sebagai sahabat sampai bila-bila.” Lembut suara itu menuturkan membuatkan Raiqah sebak sendiri.

Raiqah masih diam. Namun, kakinya diatur juga ke ruang hadapan. Melihat kedua wajah orang tuanya yang sedikit pelik melihatnya. Tidak lupa juga dua lagi makhluk Allah yang suka benar menyakatnya jika di rumah itu. Abang Razi dan Raqif yang sudah tersengih-sengih memandangnya.

“Err.. ayah, kawan angah nak cakap dengan ayah.” Raiqah terus menyerahkan telefon bimbitnya kepada Haji Ahmad Fuad. Dia pula terus berlalu semula ke dalam bilik. Membiarkan Ilman berbual dengan ayahnya dan mungkin juga ke seluruh ahli keluarganya.

Hampir satu jam dia menunggu dan tiada seorang pun ahli keluarga memanggil namanya. Raiqah semakin resah menanti. Entah apa keputusan yang diterimanya nanti. Ya Allah, permudahkanlah segalanya Ya Allah. Doanya perlahan.

“Angah!” terjegul kepala Raqif di sebalik pintu membuatkan Raiqah terbangun dari baringnya.

***

“Jauh menung…” sapa suatu suara membuatkan Raiqah sedikti tersentak. Tidak sedar Qaid Ilman sudah pun berdiri rapat dibelakangnya. Entah bila lelaki itu sudah memerhatinya mengelamun begitu. Buat malu aja…Mujur juga ketika itu tiada siapa di dalam rumah kerana masing-masing sudah pun berada di luar rumah.
Raiqah memandang sekeliling untuk memastikan tiada siapa yang melihat mereka saat itu. Sejuk semula kaki tangannya apabila berhadapan dengan lelaki yang sudah pun bergelar suaminya itu. Debar seperti sudah sebati di dalam diri apabila berhadapan dengan Qaid Ilman. Lelaki yang menjadi sahabat dan pembimbingnya selama ini sudah pun menjadi seorang yang terpenting dalam hidupnya kini. Segala perintah lelaki itu wajib dipatuhi dan dituruti.

“Err… dah makan..? tanya Raiqah kerana hanya soalan itu yang terlintas di fikirannya. Mati petah mulutnya untuk bercakap dengan Qaid Ilman. Rasa tidak percaya masih lagi menyelubungi hati. Lelaki yang ber’aku’ ‘kau’ dengannya selama ini merupakan imamnya kini.

“Belum…” jawab Qaid Ilman dengan suara yang cukup lembut. Senyuman sentiasa bergayutan di bibirnya.

“Err… kenapa tak makan..?” soal Raiqah lagi dengan mata yang liar tidak tahu di mana harus di halakan. Untuk menentang mata lelaki itu, dia masih belum cukup berani.

“Si suami tunggu isterinya…” bisik Qaid Ilman lembut. Dia perasan kekalutan di wajah isterinya itu. “Jom kita makan sayang…” tutur Qaid Ilman lembut sambil memegang tangan isterinya yang dingin beku seperti baru direndam di dalam ais.

Raiqah pula semakin menjadi tidak tentu arah apabila lelaki itu selamba memaut tangannya. Kemas genggamannya membuatkan sukar untuk dilepas. Melangkah sahaja keluar rumah, ramai mata-mata tetamu yang hadir tertumpu kepada mereka. Mukanya naik kebas apabila menjadi tumpuan begitu. Sempat dia menoleh ke sisi. Suaminya itu lebih tenang dan bersahaja. Hilang sedikit kekalutan hatinya melihat ketenangan di wajah itu. Leka dia memandang, tiba-tiba mata Qaid Ilman turut memandang ke arahnya menyebabkan dia cepat melarikan wajah. Darah panas menyerbu lagi ke muka. Malu apabila perbuatannya disedari lelaki itu.

“Tak payahlah malu sayang…” bisik lelaki rapat ke telinga membuatkan dia bertambah malu bersama-sama dengan lelaki itu. Dia cuba menarik tangannya namun, semakin kemas genggaman Qaid Ilman. Raiqah terpaksa akur.

“Err.. awak pergilah makan dulu…” sungguh Raiqah kalu t ketika itu. Dia hanya menunduk.

“Rasulullah pernah bersabda, lelaki yang paling baik dari umatku adalah lelaki yang baik kepada isterinya. Dan wanita yang paling baik dari umatku adalah wanita yang baik pada suaminya…” bisikan lembut itu menusuk terus ke dasar hati membuatkan Raiqah menegakkan wajah. Memandang ke dalam anak mata suaminya. Sebak dirasakan tiba-tiba. Kenapalah dia boleh ingkar dengan permintaan mudah suaminya itu. Belum lagi suaminya meminta yang lain-lain…

“Angah, ayah suruh angah kenalkan Abang Ngah dengan saudara-mara kita.” Sapa Raqif yang menghampiri mereka sambil tersengih-sengih. Genggaman tangan suaminya terlepas. Malu dilihat Raqif mereka bertatapan begitu rapat.

Hish! Adik ni. Perlu ke sengih-sengih macam tu? Dia tahu adik bongsunya itu memang suka benar mengusiknya.

“Err…yalah…” jawab Raiqah dengan jelingan penuh maknanya.

“Err… jom..” ajak Raiqah cuba memaniskan wajah ketika memandang ke wajah Qaid Ilman yang sentiasa tersenyum. Lelaki itu hanya menganggukkan kepala. Huluran tangan Qaid Ilman membuatkan dia terpana sekejap. Dia memandang sekilas ke wajah lelaki yang sudah pun sah menjadi suaminya itu. Lelaki itu mengerdipkan mata beberapa kali. Dalam debaran yang masih lagi tidak surut, disambut juga huluran tangan itu. Kemas jemari lelaki tu menyulami jemarinya. Dia cuba mencari wajah Qaid Ilma. Sah! Dia sedang menahan gelak. Mana tidaknya. Dia dapat merasakan kehangatan genggaman tangan Qaid Ilman berbanding jemarinya yang sejuk beku kerana rasa debar yang tidak lagi surut. Raiqah Nur gigit bibir. Malu! Baharu pegang tangan dah malu. Belum pegang lain. Haish! Melalut kepalanya sekejap.
……….

“Ehem…”

Hampir terlepas mug yang berisi air suam. Raiqah pantas menoleh kea rah suara yang amat dikenali itu. Lelaki yang baharu sahaja sah menjadi teman hidup selagi ada hayatnya, jodoh miliknya serta atas keizinanNya.

“Err.. tak tidur lagi?” Raiqah Nur cuba membuang rasa debar di hati. Berlagak tenang. Selepas makan tadi dia lebih banyak mengelakkan diri daripada Qaid Ilman. Ahli keluarga yang lain sudah pun masuk tidur, tetapi dia sengaja menyibukkan diri mengemas itu ini di dapur. Dia perasan sudah lewat benar ketika itu. Mata yang sebenarnya sudah mula memberat sengaja disegarkan dengan melakukan kerja-kerja dapur itu. Bukan tidak dilarang oleh ibunya tadi, tapi dia yang tetap berdegil dengan alasan satu hari itu dia tidak membantu melakukan apa-apa pun kerja untuk majlisnya siang tadi. Sehingga habis semua pinggan yang digunakan siang tadi bersih berkilat dikerjakannya. Takut dengan Qaid Ilman punya pasal.

“Macam mana nak tidur sorang-sorang…” Sengaja Qaid Ilman ingin menguji wanita yang baharu sahaja menjadi haknya. Sungguh dia tidak menyesal dengan jodoh yang diberi tuhan kepadanya. Wanita yang dinikahi siang tadi indah serba serbi. Rambut yang diikat satu itu sahaja sudah cukup membuai hatinya. Aurat yang tidak pernah diperlihatkan, kini menjadi tatapannya. Qaid Ilman merapati Raiqah Nur yang berdiri di tepi kabinet dapur. Sengaja membiarkan bahu mereka bersentuhan.

“Err.. nak minum ke? Aku boleh buat kan…” Raiqah Nur memberanikan diri menatap wajah Qaid Ilman yang murah dengan senyuman itu.  Ahh! Murah betul dengan senyuman dia ni. Saja nak goda aku ke apa. Sempat hatinya membebel. Satu hari itu dia mendengar pujian melangit daripada saudara mara yang datang dengan kelebihan yang dimiliki oleh Qaid Ilman.

“Ehem… apa? Aku?” Qaid Ilman merapatkan wajahnya ke wajah Raiqah Nur. Keningnya diangkat sebelah. Kurang enak pula hatinya apabila Raiqah Nur menggunakan perkataan ganti diri itu. Diakui yang dia juga belum menggunakan kata ganti diri yang sewajarnya kerana selepas makan bersama tadi, keduanya membuat hal masing-masing. Terutamanya isterinya itu. Bukan dia tidak perasan isterinya itu lebih banyak mengelakkan diri daripada duduk berdua dengannya. Bila dia masuk ke dalam bilik, Raiqah Nur pula keluar.

“Err… awak nak minum apa. Saya boleh tolong buatkan.” Kata Raiqah Nur dalam serba salahnya.

“Hm… abang tak hauslah sayang…” penghabis lembut Qaid Ilman menuturkannya rapat ke telinga Raiqah Nur.

Merah padam wajah Raiqah Nur mendengar kata-kata suaminya. Wajah terus dilarikan dari menatap wajah yang murah dengan senyuman itu. Dia menjarakkan dirinya sedikit kerana semakin tidak selesa apabila terasa nafas panas suaminya itu menampar lembut batang lehernya. Pada masa yang sama risau Qaid Ilman dapat mendengar degup jantung yang entah apa rentaknya. Pincang ritmanya yang tenang selama ini. Jika dahulu ketika berhubung dengan lelaki itu melalui jaringan internet dan telefon dapat lagi dikawal segala rentaknya, kini tidak lagi. Semakin tidak terkawal malah diluar kawalannya. Parah!

Qaid Ilman sembunyi ketawa. Bila-bila masa sahaja tawanya boleh terhambur apabila melihat wajah isterinya itu. Kalau dalam telefon, SMS, bukan main berani lagi bunyinya. Sekarang bila dah ada depan mata, takut rupanya. Berani-berani takut ya sayang… Dia sendiri sebenarnya menahan debar yang tak tertanggung bila berada dekat dengan isterinya itu. Mujur juga segalanya tidak terlalu ketara. Dia masih lagi dapat mengawal.
Dia masih belum puas mengusik isterinya itu. Dia mendekati lagi Raiqah Nur yang bersandar di peti sejuk menunduk tidak berani menentang wajahnya. Kini dia mengambil tempat betul-betul di hadapan Raiqah Nur sehingga bertemu hujung jari kakinya dengan hujung jari kaki Raiqah Nur. Kedua tangannya pula sengaja disandarkan ke peti sejuk itu supaya Raiqah Nur tidak lagi bergerak ke mana.

“Jom masuk tidur… dah lewat ni.” Bisik Qaid Ilman perlahan. Sebelah tangannya menyentuh sedikit hujung dagu Raiqah Nur. Wanita yang telah mendapat tempat di hatinya kini memerah wajahnya. Dia pula entah dari mana mendapat keberanian untuk bereaksi begitu. Sungguh dadanya dipalu kuat ketika matanya bertaut dengan mata isterinya itu. Lama begitu sehingga terdengar satu suara terbatuk-batuk.

Raiqah melarikan wajah dan cuba bergerak menjauh. Hampir sahaja bibir Qaid Ilman mengenai wajahnya jika terus terleka tadi. Terasa panas lagi wajahnya. Kaki diatur ke ruang depan. Tidak sanggup berkeadaan begitu dengan Qaid Ilman. Dia benar-benar takut. Apa nak jadi dengan kau ni Raiqah. Dengan suami sendiri pun takut… haish! Kalau takut kenapa kahwin. Dia memarahi dirinya sendiri. Entah macam mana dia boleh terleka apabila panahan mata Qaid Ilman yang cukup lembut itu sudah membuai perasaannya. Kata ganti diri yang digunakan tadi sahaja sudah cukup menyebabkan jantungnya berdegup laju tidak tentu arah.

Dia duduk di hadapan tv. Alat kawalan jauh dicapai. Cuba mencari rancangan yang dapat mengalih perhatiannya akan perkara yang berlaku tadi.

“Kenapa lari? Takkan takut kot..” sapa suara yang sudah pun duduk rapat di sisinya.

“Er.. takdalah.” Balas Raiqah Nur cuba menafi. Salah oranglah kau nak tipu dia Raiqah. Kutuk suara hatinya.

“Kalau macam tu, jomlah kita masuk tidur. Awak mesti dah penat kan.” Kata Qaid Ilman sambil mencapai alat kawalan jauh dari tangan isterinya dan terus menekan butang merah. Gelap gelita skrin kaca di hadapan mereka itu. Tanpa menunggu sebarang balasan daripada Raiqah Nur, dia sudah menggenggam erat jemari yang sedia sejuk itu agar bangun mengikutinya.

“Err… apa aa..ab..abang nak buat ni.” Raiqah Nur sudah berkali-kali telan liur apabila tangannya yang digenggam kemas oleh Qaid Ilman sukar dilepas. Kaki terpaksa menuruti ke mana langkah Qaid Ilman.

“Nak tidurlah… nak buat apa lagi…” balas lelaki itu lembut sambil menutup pintu bilik dan terus ke katil. 
Lampu bilik itu sudah pun dimatikan. Hanya diterangi lampu tidur di hujung bilik.

Raiqah Nur hanya menurut. Dia memang sudah tiada pilihan lain lagi. Tanggunggjawab tetap tanggungjawab. Dia berbaring kaku di sisi Qaid Ilman. Tangannya masih di dalam genggaman tangan suaminya. Cuma tidak sekemas tadi. Kini berkali-kali pula jemarinya dikucup lembut oleh Qaid Ilman. Dia yang hanya memaku mata ke arah siling, tidak berani untuk menoleh sekalipun ke arah suaminya. Apa yang dia tahu, debar di hatinya tidak pernah tenteram. Kini terasa pula tubuh Qaid Ilman mendekatinya. Terasa ada tangan yang menjalar ke pinggang. Raiqah Nur kaku.

“Kenapa keras sangat ni…” tutur Qaid Ilman lembut rapat ke telinga. Dalam hatinya sudah tergolek-golek mentertawakan isterinya itu. Takut betul Raiqah Nur dengan dirinya sehingga wanita itu diam tidak berkutik. Dia tidak akan mengambil haknya tanpa keizinan isterinya itu walaupun dia boleh memaksa. Tetapi dia tidak mahu itu berlaku kerana perkahwinan bukanlah semata-mata kerana nafsu tetapi diiringi tanggungjawab, rasa kasih dan belas yang Allah kurniakan kepada setiap hambanya dalam melalui dan melayari alam rumahtangga.
Raiqah Nur tekan liur lagi sehingga dirasakan tekaknya semakin kering. Dalam diam, dia akan merelakan apa jua yang akan dilakukan oleh Qaid Ilman terhadap dirinya. Itu sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Tidak mungkin dia akan ingkar.

“Pandanglah sini…” tutur Qaid Ilman lagi sambil menarik wajah Raiqah Nur agar menghadap wajahnya. Hanya tinggal beberapa inci yang memisahkan wajah keduanya.

Sekali lagi Raiqah Nur memberanikan diri untuk menatap wajah Qaid Ilman. Sungguh wajah Qaid Ilman mampu membuatnya nanar. Nafasnya sendiri semakin tidak atur apabila tangan Qaid Ilman sudah merayap ke suluruh wajah. Diusap penuh kasih sehinggakan dia sendiri terleka. Dan apabila terasa wajah mereka kian mendekat, tiba-tiba tawa Qaid Ilman terhambur membuatkan Raiqah Nur tersedar dalam kelekaan. Dia gigit bibir. Ahh! Qaid Ilman sengaja memainkan perasaannya! Salahnya juga yang mudah benar terleka dengan tiap sentuhan lelaki itu.

“Sayang, lupa ya sayang off hari ni…” kata Qaid Ilman dalam sisa tawanya. Raiqah Nur terus menolak tubuh Qaid Ilman menjauh. Malu tidak terhingga. Entah macam mana dia boleh lupa keadaan dirinya sendiri. Argh! Malu! Mana nak disorok mukanya yang kebas ni! Entah macam mana juga suaminya itu tahu akan dirinya. Dia duduk dibirai katil membelakangi Qaid Ilman yang masih ketawa. Bukan main seronok lagi dia gelakkan aku… Raiqah Nur gigit bibir.

“Nak ke mana pulak tu… Ala, gurau sikit nak lari…” usik Qaid Ilman lagi. Dari siang tadi lagi dia perasan isterinya itu tidak bersolat dan dia dapat mengagak yang Raiqah Nur dalam keadaan yang tidak mengizinkan untuk dia berbuat jauh. Apa pun, hatinya puas melihat wajah Raiqah Nur yang dapat menerima dirinya. Malah sudah bersedia andai dia cuba berbuat jauh lagi tadi. Kembang kuncup hatinya melihat wajah isterinya ketika itu. Mujur dia masih sedar apa yang dilakukan. Jika tidak, mungkin dia sendiri tidak dapat mengawal perasaan memandangkan itu kali pertama dia berbuat demikian terhadap seorang wanita. Tambahan pula terhadap wanita yang halal baginya. Memang tidak salah.

Qaid Ilman menarik tangan Raiqah Nur agar berbaring semula. Kesian pula melihat Raiqah Nur yang diam membisu sejak tadi. Pasti wanita itu malu dengannya selepas apa yang berlaku.

“Sorry…” ucapnya ikhlas tidak mahu Raiqah Nur berjauh hati dengannya. Raiqah Nur hanya menurut namun mulutnya seakan terkunci rapat dari membalas tiap patah kata suaminya itu.

“Hey… kenapa senyap aja ni.” Lembut Qaid Ilman menuturkannya. Raiqah Nur cuba membalas pandangan redup Qaid Ilman di sisinya. Rasa geram yang mula bertapak di hati kerana dipermainkan oleh Qaid Ilman serta merta hilang bila suaminya itu bijak memujuk. Usapan lembut di wajahnya cukup mententeramkan jiwa sungguh pun debar di hati setia ada.

“Terima kasih sebab terima saya sebagai isteri abang…” meluncur laju ayat itu dari bibirnya membuatkan gerakan tangan Qaid Ilman turut sama terhenti. Nampak bibir lelaki itu mengukir senyum.

“Terima kasih sebab terima abang sebagai isteri sayang…” balas Qaid Ilman perlahan. Selepas dia membuat keputusan untuk memperisterikan Raiqah Nur, bermakna juga dia sudah bersedia untuk memikul apa jua tanggungjawab sebagai suami kepada wanita itu. Biarlah malam ini menjadi permulaan dalam hubungan mereka.

*****

“Sayang…”

“Abang ni kalau tak kejutkan orang tak sah eh?” balas Raiqah Nur yang tadinya leka memerhati matahari yang baharu sahaja memunculkan diri. Terasa segar apabila tubuhnya disapa bayu lembut pagi itu. Baharu hari ini dia dan Qaid Ilman bercuti selepas majlis pernikahan mereka enam bulan lalu. Kata suaminya, anggaplah ini percutian honeymoon mereka bersama buah hati yang tidak lama lagi akan melihat dunia.

“Assalamualaikum anak ayah…” ucap Qaid Ilman sebelum mengucup lembut perut Raiqah Nur yang baharu berusia lima bulan itu. Dia merangkul tubuh isterinya itu erat. Hanya bahagia yang dirasakan kini. Tidak tergambar betapa gembiranya hati apabila hari-hari yang dilalui terasa indah. Tambahan pula dianugerahkan satu harta yang tidak ternilai harganya.

“Abang… bila lagi ya kita nak bercuti macam ni…” kata Raiqah Nur yang selesa dipeluk Qaid Nur begitu. Sepanjang hidup bersama, pelbagai perkara baru yang dipelajari daripada suaminya itu. Bukan itu sahaja. Mereka belajar untuk menerima dan memahami antara satu sama lain.

“Tunggulah sayang kita ni keluar dulu ya sayang…” balas Qail Ilman seraya mengucup lembut rambut isterinya.

“Sayang…” seru Qaid Ilman lembut.

“Hmmm…”

“Bestkan…”

“Apa yang best…?” balas Raiqah Nur lembut tidak mengerti.

“Bercinta…” jawab Qaid Ilman pendek. Raiqah Nur pula sudah berpaling menghadap suaminya itu dengan kening terangkat. Masih tidak dapat menangkap apa cuba disampaikan oleh Qaid Ilman. Qaid Ilman tersenyum.

“Bercinta dengan sayanglah…” sambung Qaid Ilman lagi sebelum mengucup lembut dahi Raiqah Nur. Dia memeluk kembali belakang tubuh Raiqah Nur agar mereka mengadap kembali pemandangan yang cukup indah dengan biasan cahaya matahari yang mula menyinar.

“Kenapa?” Raiqah Nur masih belum berpuas hati.

“Yalah… cuba tengok kat luar tu. Ramai anak muda kita bercinta, tapi dorang tak boleh nak buat apa. Kalau buat pun, mesti hati dorang tak tenteram macam kita.” Kata Qaid Ilman. Senyuman tetap juga bergayutan di bibirnya.

“Dorang buat apa?” tanya Raiqah Nur lurus membuatkan Qaid Ilman ketawa kecil.

“Sayang ni… dapat bercuti terus jadi slow eh…” usik Qaid Ilman sambil mengemaskan pelukan.

Raiqah Nur menepuk perlahan tangan Qaid Ilman yang melingkari pinggangnya. Sempat lagi lelaki itu ingin mengusiknya seperti selalu.

“Cuba sayang bayangkan eh… Kalau yang couple tanpa ikatan sah tu, dorang mana boleh buat macam yang kita buat sekarang ni… Siap dapat hadiah lagi.” Kata Qaid Ilman sambil mengusap lembut perut Raiqah Nur yang membukit.

“Eee… abang ni…” terasa malu dengan kata-kata suaminya itu sendiri.

“Betullah abang kata… Cuba sayang bayangkan kalau dorang ‘buat’ apa-apa. Apa yang jadi? Dosa free-free dapat. Tapi kita dapat pahala tau. Nak buat apa pun takda siapa nak marah…” Kata Qaid Ilman dalam sisa tawanya. Ahh… memang hatinya sangat bahagia sekarang ni. Tak boleh nak simpan dah… Kalau boleh dia nak semua orang tahu yang dia sedang berbahagia sekarang ini.

“Dalam Islam tak pernah ada gariskan istilah couple sayang…” lanjut Qaid Ilman.

“Tapi ada orang tu kan… tunggu kekasih dia sampai empat tahun…” balas Raiqah Nur mengusik.

“Amboi… gurau kasar nampak…”

Raiqah Nur ketawa kecil.

“Tu kisah lama sayang. Allah saja nak uji abang. Abang pun time tu terlalu confident yang dia tu jodoh abang. Rupanya ada benda lain yang lebih baik Dia janjikan untuk abang. Kalau Dia tak uji, agaknya tak dapatlah abang peluk sayang macam sekarang ni.” Balas Qaid Ilman.

“Abang…” Sungguh dia sendiri bersyukur dengan apa yang telah dijanjikan buat dirinya.

“Hmm…”

“Abang nak tahu satu rahsia…” ujar Raiqah Nur dalam senyuman.

“Rahsia apa?”

“Sebenarnya sayang dah lama sukakan abang…” Raiqah Nur membuat akuan.

“Ya ke? Bila?” tanya Qaid Ilman yang mula mengerutkan dahinya. Padanya, dia mula menyukai wanita itu selepas petunjuk yang diberi. Dia belajar membuka pintu hatinya buat Raiqah Nur.

“Masa abang selalu ingatkan sayang pasal hal-hal agama ni.” Kata Raiqah Nur. “Tapi, time tu abang kan dah ada kekasih. Lagi pun, abang ingat tak masa kita mula kenal dulu, abang kata jangan ada perasaan suka dalam hati pada abang…” lanjut Raiqah Nur.

“Abang cakap macam tu ke?” Qaid Ilman terlupa akan satu perkara itu.

“Yalah… Time tu sayang memang tak letak apa-apa harapan dah. Terpaksa pendam ajalah apa yang sayang rasa sebab sayang risau kalau sayang terus terang dengan abang, abang tak nak kawan dengan sayang lagi…” kata Raiqah Nur sayu.

“Dah lah sayang… tu kisah lama kan.” Putus Qaid Ilman. Tidak mahu berbincang akan perkara itu lagi. 


“Abang...Terima kasih…” ucap Raiqah Nur lembut.

“Untuk apa?”

“Sebab abang jadi suami sayang…”


“Terima kasih juga untuk sayang sebab sudi jadi suri abang…” bisik Qaid Ilman lembut. Bahagia yang dimiliki tidak akan dipersia. Amanah yang diberi oleh Allah akan dijaga sebaiknya. Itu janji hatinya kepada Maha Pencipta. Terima kasih ya Allah atas nikmat yang Engkau telah berikan kepadaku…

8 comments:

zm said...

perghhh sweet bangat, thaxs cik writer

MaY_LiN said...

alahai..
swit sangat..

Ehem said...

most welcome guys! :)

Anonymous said...

aduyaiii .... bahagianya .... Raiqah n ilham ni ... sonok gak ye percintaan dorang-sweet n islamik!
congratz writer - u make me smile n feels relax - xde konflik- santai je kita bace!!!! ... suka cara ilham menerima jodohnya xda ngan ex-girl dia - xde dendam mcm citer lain!!!! like!

-mtb

Ehem said...

mtb>

thank for reading. :)

sebenarnya bila nak menulis bab2 konflik yang menyakitkan lagi hati. lagi payah nk fikir konflik, nk susun ayat, dat's y saya tulis short story ni. kpla pun tak pening. relax je.

thanks again yep :)

Anonymous said...

super story.suke2..
bnyk pngajran boley kutip.
tahniah buat penulis..
insaf...ada unsur islamic.
lanjut lg story nie k jugk..
-ArA-

mizz acu said...

Suwit gilos!! Jatuh chenta sekejap! Tp qaid ni nakal xhengatttt.. Haishh

Unknown said...

Mmg betul.. Bercinta selepas kawin lagi best.. Alhamdullilah pernikahan kami dah masuk 13 thn.. Syukur alhamdullilah