Nov 26, 2011

TDK_bab 1

“Jumpa lagi esok!” ucap Nur Imanina ceria sambil melambaikan tangan kepada anak-anak kecil yang berlari-lari mendapatkan ibubapa masing-masing yang sudah sedia menunggu diluar pagar.

“Terima kasih cikgu.” Ucap beberapa orang ibubapa yang melambai mesra kepadanya. Dia melemparkan senyuman manis kepada ibubapa yang ramah menegurnya.

“Iman, ni anak kesayangan Iman yang sorang ni tak mahu keluar.” Panggil Kak Ema yang berdiri di muka pintu taska. Dia menutup pintu pagar selepas semua anak muridnya pulang dengan ibubapa masing-masing. Dia kembali semula ke dalam kelas.

“Eh, Zarif tak nak balik ke? Semua kawan-kawan Zarif dah balik.” Pujuk Nur Imanina lembut kepada si kecil yang memang manja dengannya. Muka anak kecil itu masam mencuka.

“Zarif marah Pak Hashim tak ambik Zarif hari ni ya?” tanya Nur Imanina lembut. Dia tahu melayan anak kecil bukanlah dengan kekerasan. Selepas tamat SPM dia sudah bekerja di situ sehinggalah kini dia berumur 25 tahun. Pelbagai ragam anak kecil yang telah dia jumpai. Bermula dengan pembantu dan akhirnya pemilik taska itu memberi peluang kepadanya untuk menjadi salah seorang pengasuh merangkap tenaga pengajar kepada anak-anak kecil di situ.

Taska Ilham Kasih itu dimiliki oleh Datin Farah. Nenek kepada si kecil Zarif Aimin. Tidak setiap hari Datin Farah akan datang ke situ. Hanya sekali dalam seminggu untuk memastikan segala urusan pusat asuhan itu berjalan lancar. Segala urusan di situ akan diuruskan oleh Kak Ema, dirinya sendiri serta dua orang lagi pembantu Hanim dan Zura.

Si kecil itu masih mendiamkan diri malah mukanya semakin dimasamkan. “Jom Mama Iman hantar nak?” pujuk Nur Imanina lagi tanpa jemu. Panggilan itu sudah sebati dibibir si kecil. Hanya Zarif Aimin yang memanggilnya begitu sejak hari pertama dia didaftarkan.

Teringat lagi pada hari pertama Zarif Aimin dihantar ke situ, dia menangis tidak henti malah memencilkan diri serta tidak mahu bermain dengan anak-anak kecil yang lain. Datin Farah juga gagal memujuk cucunya itu selepas anaknya, Farihin meninggalkan Zarif Aimin di situ. Dialah yang terpaksa memujuk si kecil itu selepas diumpan dengan pelbagai cara. Dalam tangis itu dia memanggil Nur Imanina mama kekal sehingga hari ini.

Farihin Iman merupakan anak bongsu Datin Farah iaitu seorang wanita yang sentiasa sibuk kerana menguruskan pusat kecantikannya. Setiap pagi dia yang akan menghantar Zarif Aimin ke situ sebelum ke tempat kerja.

Anak kecil itu hanya menggelengkan kepala. Dia memalingkan wajahnya dari memandang wajah Nur Imanina. Entah kenapa hari itu Zarif Aimin membuat perangai. Sejak dari pagi tadi si kecil itu banyak mendiamkan diri. Hanya bercakap bila perlu. Jika tidak, mulut si kecil itulah yang paling ramah antara rakan-rakan yang lain. Gelak tawanya sentiasa menghiburkan hati.

“Zarif kenapa ni? Jomlah mama Iman hantar.” Nur Imanina cuba menarik tangan si kecil agar bangun tapi si kecil itu tetap membatukan diri. Kebiasaannya Zarif Aimin akan dijemput oleh pemandu Datin Farah, Pak Hashim yang telah lebih sepuluh tahun berkhidmat dengan keluarga itu.

“Akak, hari ni dia ada bergaduh dengan siapa-siapa ke?” tanya Nur Imanina kepada Kak Ema yang sudah beranak dua itu. Wanita itulah memperkenalkannya kepada Datin Farah.

“Rasanya takda. Hari ni dia banyak diam. Jadi budak baik dia hari ni. Akak pun tak tahu kenapa. Erm, pagi tadi masa mama dia hantar takda cakap apa-apa dengan Iman ke?” tanya Kak Ema kembali.

“Takda pulak. Cuma dia kata hari ni Pak Hashim tak dapat ambik sebab jemput abangnya balik umrah. Dia pesan kalau daddy dia tak ambik, saya yang hantar.” Balas Nur Imanina yang sudah duduk melutut di sisi Zarif Aimin.

“Jomlah Mama Iman hantar naik kereta cute mama tu.” Pujuk Nur Imanina cuba menarik hati si kecil.

“Tak nak! Mama Iman tak sayang Zarif.” Bentak si kecil.

“Siapa kata Mama Iman tak sayang Zarif? Cuba Zarif tanya Teacher Ema. Mama Iman sayang Zarif banyak-banyak tau.” Pujuk Nur Imanina dengan sabar.

“Mama Iman tipu.” Balas mulut si kecil yang petah berkata-kata itu.

“Mana ada Mama Iman tipu.” Balas Nur Imanina lembut.

Why are you not kiss me today? Mama love baby baru.” jawab si kecil dengan wajah yang memuncung.
Tergelak Nur Imanina dan Kak Ema mendengar omelan Zarif Aimin. Baru dia teringat ketika si kecil itu tiba, dia tidak sempat menghadiahkan ciuman di kedua belah pipi seperti biasa memandangkan ada seorang lagi anak kecil yang baru masuk ke situ. Sepanjang hari dia sibuk melayan anak kecil baru itu agar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru sehingga terlupa kepada Zarif Aimin.

“Sorry sayang. Mama Iman lupa hari ni. Mari sini Mama Iman kiss. Tapi Zarif kena janji dengan Mama Iman something.” Ujar Nur Imanina dalam sisa tawanya.

“Janji.” Zarif Aimin menghulurkan jari kelengkengnya kepada Nur Imanina sebagai ikat janji apabila anak jarinya itu bersatu dengan anak jari Nur Imanina.

“Jangan merajuk-merajuk macam ni lagi. Tak hensem kalau anak Mama Iman ni buat muka macam ni tau.” Nur Imanina menyangkutkan anak jarinya dengan jari si kecil.

“Orait ma!” balas Zarif Aimin yang mula tersenyum. Serentak itu Nur Imanina menghadiahkan ciuman ke dua belah pipi Zarif Aimin yang gebu.

“Okay dah. Jom Mama Iman hantar balik.” Ajak Nur Imanina seraya mencapai beg tangannya yang diletakkan di tempat khas.

Zarif Aimin yang berumur empat tahun itu memang banyak celotehnya. Ada saja yang dibualkan sepanjang perjalanan. Seperti berbual dengan orang sudah dewasa.

“Zarif, Pak Hashim ambik siapa kat KLIA hari ni.” Sengaja Nur Imanina bertanya akan perihal keluarga si kecil itu. Sudah beberapa kali dia menghantar Zarif Aimin ke rumah, tetapi belum pernah lagi dia bersua muka dengan anak sulung Datin Farah itu. Kata Datin Farah, anak sulungnya itu sentiasa sibuk selepas mengambil alih syarikat arwah ayahnya. Orang terpenting syarikat takkan pula duduk goyang kaki sahaja. Pasti ada sahaja kerja yang harus dilakukan.

“Ambik Papa Iman.” Balas si kecil itu jujur.

“Papa Iman?” Nur Imanina terkejut dengan nama panggilan yang disebut oleh Zarif Aimin. “Siapa Papa Iman?” tanya Nur Imanina kembali.

“Uncle.” Jawab Zarif Aimin dengan senyuman.

“Oh..” itu saja yang terluah di bibir Nur Imanina. ‘Papa Iman, Mama Iman? Hmm… Samalah pulak.’ Bisiknya sendiri.

“Apa ma?” tanya si kecil yang terdengar bisikan itu.

“Errr… takda apalah.” Nur Imanina termalu sendiri. Dia mengulum senyum. Si kecil itu terdengar omelannya.

“Mama, nanti Mama Iman makan dengan Zarif ya?” lembut kata-kata Zarif Aimin mempelawanya. Sungguh dia sudah jatuh sayang dengan Zarif Aimin Mohd Firaz yang comel dan bijak itu. Ibunya seorang usahawan yang berjaya manakala ayahnya pula seorang doktor. Tidak hairanlah memiliki anak secomel dan sebijak Zarif Aimin.

“Eh, malulah Mama Iman. Kan Nek Wan ada temankan Zarif. Kejap lagi Papa Iman pun sampai, boleh temankan Zarif.” Balas Nur Imanina yang tidak selesa apabila bersama-sama dengan keluarga itu. Keluarga Datin Farah memang baik kepadanya. Malah, sudah beberapa kali juga dia dijemput oleh Datin Farah untuk makan bersama. Dia terpaksa menolak kerana risau seandainya ada yang mengatakan dia ingin mengambil kesempatan terhadap keluarga berada itu.

“Ala...” Rengek si kecil itu.

“Tak bolehlah Zarif. Lepas ni Mama Iman kena balik sekolah. Kesian kat Teacher Ema.” Dalih Nur Imanina. Padahal selepas menghantar Zarif Aimin dia terus pulang ke rumah sewanya.

“Ala… Zarif tak naklah kawan dengan Mama Iman.” Si kecil itu sudah memasamkan wajahnya. Nur Imanina sudah berasa serba salah. Kereta Kelisanya diberhentikan betul-betul di hadapan pintu pagar besar itu. Zarif pula terus keluar untuk menekan loceng rumah tanpa sempat Nur Imanina berkata apa. Seketika kemudian pintu automatik itu terbuka. Dilihat Datin Farah sedia menunggu di hadapan pintu utama. Zarif Aimin terus berlari mendapatkan neneknya. Melihat rumah banglo besar dua tingkat itu merasakan dirinya terlalu kerdil untuk berdampingan dengan keluarga Datin Farah. Dia keluar dari kereta apabila ternampak Datin Farah melambai ke arahnya. Dalam keterpaksaan dia melangkah masuk ke kawasan rumah mendapatkan Datin Farah buat pertama kalinya.

“Nek Wan, jangan kawan dengan Mama Iman.” Adu si kecil yang sedang membuka kasutnya.

“Kenapa jangan kawan dengan Mama Iman?” tanya Datin Farah seraya memandang ke arah Nur Imanina yang ayu bertudung itu berjalan mendapatkannya.

“Mama Iman tak nak makan dengan Zarif.” Adu si kecil itu lagi seraya memegang tangan Datin Farah. Wajahnya masih masam mencuka seperti tadi.

“Datin,..” sapa Nur Imanina seraya menyalami dan mencium tangan wanita yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Dalam perkiraannya, umur Datin Farah sebaya dengan arwah ibunya. Terkenangkan ibu yang sudah lama pergi meninggalkannya, dia sedih sendiri. Alangkah bahagianya jika ibunya masih ada. Jika pulang ke rumah, ada yang menanti. Sungguh dia rindu pelukan hangat ibunya yang sering memberi semangat dan dorongan kepadanya. Tapi apakan daya. Takdir Ilahi telah memisahkan kasih sayang mereka.

“Jom masuk dulu Iman.” Pelawa Datin Farah mesra. Wanita itu tidak pernah lokek dengan senyuman.

“Err… takpalah Datin. Saya ada banyak kerja lagi.” Dalih Nur Imanina.

“Alah sekejap Iman. Teman Zarif ni makan. Takda siapa yang ada pun Iman. Kita bertiga aja.” Pujuk Datin Farah lagi serentak menarik masuk tangan Nur Imanina agar masuk ke dalam rumah. “Jom masuk!”
Zarif Aimin sudah bersorak riang apabila melihat Nur Imanina masuk mengekorinya. “Zarif nak kawan dengan Mama Imanlah!” ucap si kecil itu riang.

“Zarif nak makan ma.” Ajak si kecil itu seraya menarik tangan Nur Imanina agar mengikutinya ke ruang makan yang luas itu. Meja besar yang membunyai lapan kerusi itu begitu cantik pada penglihatannya. Sempat juga matanya menjeling sekilas ke segenap ruang rumah. Segalanya dihiasi perabot mewah. Susun aturnya yang kemas membuatkan sejuk mata yang memandang.

Dilihat pembantu rumah sedang menghidangkan pelbagai jenis makan di atas meja. Datin Farah juga sudah masuk ke dapur untuk membantu.

“Duduk dulu Iman.” Pelawa Mak Som isteri kepada Pak Hashim. Wanita yang sudah berusia itu telah beberapa kali dia jumpa ketika menghantar Zarif Aimin.

“Duduk Iman. Jangan malu-malu.” Ujar Datin Farah pula yang kembali dengan mangkuk nasi.

“Err.. .Biar saya tolong Datin.” Balas Nur Imanina seraya mengekori Datin Farah kembali ke dapur. Teringat pesan arwah ibunya supaya pandai membawa diri jika bertandang ke rumah orang. Dia yang berasa serba salah dengan layanan Datin Farah, tidak betah hanya duduk dan menunggu di ruang makan itu. Zarif Aimin pula sudah duduk di salah satu kerusi.

“La... Iman, kenapa masuk kat sini. Mak Som boleh buat semua ni.” Larang Mak Som apabila melihat Nur Imanina mengangkat mangkuk yang sudah berisi dengan kuah asam pedas.

“Biarlah Som. Macam tu lah kalau nak jadi calon menantu saya.” Seloroh Datin Farah yang mengundang tawa kecil Mak Som. Sesungguhnya dia memang sudah lama berkenan dengan gadis perahsia itu. Tidak banyak yang diketahui tentang gadis itu semenjak bekerja di taskanya. Apa yang dia tahu, gadis itu berasal dari kampung yang sudah kematian ibubapa. Kali pertama dia diperkenalkan oleh pembantunya Ema, hati tuanya terus terpaut dengan wajah yang putih bersih itu.

“Ada-ada aja Datin ni. Dulu masa kat kampung, saya dah biasa buat ni semua datin.” Balas Nur Imanina yang tahu Datin Farah sering mengusiknya.

“Beruntunglah siapa yang dapat kahwin dengan Iman ni Som. Pandai serba-serbi. Jaga budak pun pandai. Kira memang cukup pakejlah.” Puji Datin Farah ikhlas.

“Takdalah Datin. Saya ni orang kampung aja Datin. Siapalah nak saya ni.” Nur Imanina merendah diri. Agenda untuk berumahtangga tidak pernah langsung tercatat dalam kamus hidupnya sejak peristiwa hitam lalu. Pintu hatinya telah ditutup serapat-rapatnya untuk menerima cinta insan bernama lelaki. Kepercayaan tidak pernah wujud untuk insan itu. Seorang ayah yang terlalu disayangi. Harapan dan kepercayaan yang pernah disandarkan pada seorang lelaki yang sewajarnya menjadi pelindung diri, musnah sama sekali. Maka sebab itu tiada lagi rasa percaya untuk insan bernama lelaki dalam hidupnya. Hanya satu-satunya lelaki yang dipercayai sehingga kini iaitu arwah ayahnya.

“Kita ni dijadikan berpasang-pasangan Iman. Kalau ada yang nak Iman, Iman nak ke?” duga Datin Farah. Dalam kepalanya sudah terpampang satu wajah yang dirasakan amat sesuai dengan wanita itu.

“Ada ke yang nak saya ni Datin?” tanya Nur Imanina kembali yang sudah duduk di sebelah Zarif Aimin. Si kecil itu hanya diam tidak menyampuk.

“Ada. Kalau Iman setuju, saya boleh kenalkan.” Balas Datin Farah ceria. Dia berharap benar Nur Imanina menerima cadangannya.

“Eh… err.. saya gurau aja Datin. Saya tak sedia lagi Datin nak kahwin.” Dalih Nur Imanina apabila merasakan Datin Farah serius dengan kata-katanya.

“Apa pulak tak sedianya Cik Iman. Umur 25 tahun. Sedang eloklah tu. Umur dah banyak susah dapat anak Iman.” Celah Mak Som yang sedang menuang jus oren ke dalam gelas.

“Assalamualaikum…” ucap satu suara di muka pintu membuatkan semua yang ada di meja makan membuang pandang ke arah suara yang memberi salam.

“Papa Iman!” jerit Zarif Aimin sambil berlari mendapatkan satu-satu bapa saudara sebelah ibunya. Dipeluk dan dicium wajah lelaki mengenakan jubah putih dan berkaca mata hitam itu. Nur Imanina hanya memandang kemesraan keduanya.

“Iman dah sampai pun Datin.” Ujar Mak Som pula yang terus masuk ke ruang dapur untuk mengambil satu lagi pinggan kosong dan diletakkan setentang dengan tempat duduk Nur Imanina. Sekali lagi Nur Imanina terkejut dengan gelaran yang digunakan oleh Mak Som.

“Iman?” Bisiknya perlahan.

“Mama sihat?” tanya Iman Faliq yang mendapatkan ibunya di ruang makan. Dikucup mesra kedua pipi wanita yang masih nampak bergaya itu.

“Alhamdulillah. Mama sihat. Iman macam mana kat sana? Baik semuanya?” tanya Datin Farah pula seraya meleraikan pelukan erat lelaki itu.

“Alhamdulillah ma. Semua okay.” Balas Iman Faliq seraya memandang sekilas ke wajah gadis yang hanya diam membisu.

“Iman nak makan dulu atau rehat dulu?” Tanya Datin Farah lagi. Tetapi Iman Faliq sudah pun duduk di kerusi hadapan Nur Imanina yang menunduk. Sesekali dia melayan Zarif Aimin yang sudah kembali duduk di sisinya. Sedikit pun dia tidak berani memandang ke wajah lelaki yang duduk di hadapannya itu. Suara lelaki itu mengingatkannya kepada seseorang. Namun, otaknya gagal memproses dan merungkai persoalan yang berlegar-legar di benaknya.

“Makan dululah ma. Rindu sangat dah dengan masakan mama ni.” Jawab Iman Faliq yang sudah melipat lengan baju jubahnya. Cermin mata hitam yang dipakai tadi sudah diletak tepi. Sesekali matanya singgah ke wajah ayu di hadapannya itu.

“Papa Iman, sedap Nek Wan masak.” Celah si kecil yang sudah tersengih itu.

“Nek Wan kan belajar masak dengan Chef Wan. Tu yang sedap tu. Ni yang papa tak sabar nak makan ni.” Balas Iman Faliq sengaja mengusik mamanya. Setiap hari dia sanggup pulang makan tengah hari ke rumah kerana masakan mamanya.

“Pandailah kamu tu nak bodek mama.” Datin Farah mengerling sekilas ke wajah Nur Imanina yang diam dari tadi. Datin Farah sudah duduk di kepala meja. Di situlah tempat duduk kesukaan suaminya dulu.

“Eh, mama lupa nak kenalkan. Ni Nur Imanina. Dialah cikgu sekolah Zarif kat Taska mama tu.” Kata Datin Farah memperkenalkan wanita ayu itu kepada Iman Faliq.

“Bukan cikgulah Nek Wan. Mama Iman.” Sampuk si kecil yang sedang mengunyah seketul ayam tempura kegemarannya.

“Mama Iman?” kata Iman Faliq seraya tersenyum. ‘Dah kenalah tu Iman. Ambik kau. Seorang Papa Iman, seorang Mama Iman.’ Desis hatinya. Wajah wanita ayu itu seperti pernah dilihat sebelum ini tetapi dia tidak dapat mengingati dengan jelas.

“Dia Mama Iman Zariflah papa.” Celoteh si kecil itu lagi. Nur Imanina hanya tersenyum kecil mendengar kata-kata Zarif Aimin.

“Iman.” Panggil Datin Farah menyebabkan Nur Imanina dan Iman Faliq serentak memandangnya. Si kecil yang melihat sudah terkekeh-kekeh ketawa. Datin Farah dan Mak Som yang sedang menyendukkan nasi turut sama ketawa.

“Eh, lupa. Ada dua orang Iman kat sini.” Kata Datin Farah dalam sisa tawa. Pada waktu itu juga mata Iman Faliq dan Nur Imanina bertemu. Keduanya menguntum senyum tapi hanya sebentar apabila Nur Imanina cepat sahaja melarikan matanya semula ke arah Datin Farah.

“Saya nak kenalkan Iman dengan anak sulung saya ni. Iman Faliq.” Ujar Datin Farah akhirnya. Nur Imanina hanya tersenyum kecil. Jantungnya berdegup kencang ketika matanya bertemu pandang dengan Iman Faliq sebentar tadi.

“Makan dululah Datin. Dekat sejuk dah lauk ni.” Kata Mak Som kemudian.

“Yalah Som. Lupa pula.” Balas Datin Farah.

“Zarif dah baca doa makan ke? Tu Zarif dah makan dulu.” Tegur Iman Faliq apabila melihat anak kecil itu leka mengunyah seketul ayam tempura yang dipegangnya. Anak saudaranya itu terlalu gemarkan lauk ayam. Tidak kiralah ayam itu dimasak apa. Memang ligatlah dia makan.

“Dahlah papa.” Jawab si kecil itu pendek.

“Eh, mama tak dengar pun?” celah Nur Imanina yang duduk di sebelahnya. Sengaja dia berkata begitu untuk membuang rasa debar di hati. Dia perasan mata lelaki di hadapannya tajam menikam wajahnya membuatkan dia kurang selesa di situ.

“Zarif letak ayam tu dulu. Papa baca doa makan.” Ujar Iman Faliq tegas sambil menadah tangan. Zarif Aimin hanya akur mengikut kata bapa saudaranya itu. Nur Imanina melakukan perkara yang sama. Begitu juga dengan Datin Farah dan Mak Som yang masih berdiri di situ.

“Aminn…” jawab mereka hampir serentak.

“Makan Iman, jangan segan-segan.” Tutur Datin Farah kepada Nur Imanina.

“Apa pulak nak segan ma. Macamlah Iman baru sehari duduk sini.” Jawab Iman Faliq selamba.

“Eh, bila masa mama cakap dengan kamu. Mama cakap dengan Iman ni.” Tunjuk Datin Farah kepada Nur Imanina yang tersenyum manis kepadanya. “Ish! Asyik salah faham aja. Nama dah dekat sama. Macam ada jodoh pulak.”  Kata Datin Farah membuatkan keduanya tersedak dengan tiba-tiba. Sekali lagi Zarif Aimin terkekeh ketawa apabila melihat pasangan di hadapannya itu tersedak serentak.

“Amboi cucu Nek Wan ni. Bukan main suka lagi.” Tegur Datin Farah yang sembunyi senyum. Geli hati melihat pasangan di hadapannya itu.

“Apalah mama ni. Malu Mama Iman kita ni ma.” Balas Iman Faliq selepas meletakkan gelas jus oren bagi melegakan tekaknya. Perit tekaknya kerana pedas daripada kuah asam pedas kegemarannya itu.

“Sorry lah Mama Iman, mama saya ni memang macam ni. Ada saja yang dia nak usik saya.” Tutur Iman Faliq ramah tetapi Nur Imanina hanya diam.

Wajah di Nur Imanina merona merah. Apa yang dirasakan, punggungnya semakin panas duduk lama di situ. Seperti duduk di atas bara. Ada saja yang menjadi usikan Datin Farah. Dalam hati dia berdoa agar masa cepatlah berlalu. Dia tidak betah berlama di situ. Sepasang mata dihadapannya itu cukup meresahkan hatinya.

7 comments:

Anonymous said...

best....suka sangat dgn nama IMAN,cepat sambung ya cik arsha.

Ehem said...

inshaAllah. i'll try my best. :)

leeya said...

ska sngt..xsbar tnggu n3 bru....

Anonymous said...

ulang baca... chumellnyer zarif majukk.. :)
~mizz acu~

Atty Ismail said...

Manja nya Zarif....Malu ye Papa Iman?...

Unknown said...

1st time melawat blog penulis...

Ehem said...

Thanks laila :)