Jul 2, 2013

Biar aku jadi penunggu (BAJP)_SEPESEL

Assalamualaikum.




Kepada yang masih berminat untuk mendapatkan BIAR AKU JADI PENUNGGU versi cetak, boleh email saya di sini. arshanew@yahoo.com Harga semenanjung malaysia RM33 (termasuk pos) dan Sabah Sarawak RM36 (termasuk pos). Sekian. :)

Dan dipersembahkan BAJP versi khas (maaf segala kekurangan yang ada) buat yang mengikuti kisah AFEEF dan IFFAT dari awal hingga akhir. Terima kasih banyak-banyak dan terima kasih banyak-banyak banyak kepada yang sudah pun memilikinya dalam versi cetak. ~much love :')

******

“Mummy mummy.. Ni.. Abang tak nak.” Tergeleng-geleng kepala Aqil sambil menghulurkan sepotong buah oren yang masam kepada Iffat.

“Ish! Kan tadi mummy dah cakap masam. Degil.” Balas Iffat sambil mengelap mulut Aqil yang sedikit comot. 

“Kakcik mana?” Lanjutnya sambil memandang ke luar rumah mencari kelibat anak keduanya.

“Kakcik fishing dengan Zarif.” Jawab Aqil selamba.

What?” Iffat sudah bercekak pinggang. “Papa mana?”

“Papa keluar dengan Uncle Iman.” Jawab si kecil itu jujur.

Iffat ketap bibir rapat. Laju langkahnya ke luar rumah. Disebabkan semua orang sibuk di dapur untuk menyediakan persiapan majlis doa selamat serta aqiqah buat anak bongsunya, hampir terlupa akan kewujudan anak-anak kecil di rumah itu.

“Astaghfirullahhal aazim..” Mengucap panjang dia melihat anak keduanya sudah basah bersama Zarif apabila mereka sama-sama merendamkan kaki di dalam kolam ikan hiasan di tepi rumahnya. Kemudian terdapat beberapa batang lidi penyapu bertaburan pula di tepi kolam itu.

“Aunty!” Zarif sudah menayangkan barisan giginya. Begitu juga dengan Hafira.

Pada masa yang sama Afeef dan Faliq tiba.

“Apa Zarif dengan Kakcik buat ni? Tengok baju dah basah.” Kata Iffat dengan tangan di pinggang.

Tersengih-sengih dua anak kecil itu memandangnya.

“Amboi Cik Abang berdua. Berjalan ke mana sampai tinggalkan anak-anak ni? Cuba tengok apa yang dia orang dah buat? Dia orang main fishing-fishing dalam kolam ikan kesayangan abang ni tau.” Bebel Iffat sedikit geram sambil memandang ke wajah dua lelaki yang baharu menapak masuk ke perkarangan rumah.

“Ya Allah.. Habislah ikan-ikan aku.” Laju Afeef melangkah ke situ.

Iman Faliq yang turut sama ada sudah menghamburkan tawa. Lucu melihat keadaan dua anak kecil itu hanya tersengih-sengih apabila dimarahi Iffat.

“Abang ke mana? Kan tadi Iffat suruh tengokkan budak-budak ni.” Tanya Iffat sambil menarik anak keduanya. Iman Faliq pula menarik Zarif.

“Habis matilah ikan-ikan papa.” Keluh Afeef sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Air kolam yang baru ditukar semalam, kini sudah pun keruh semula.

“Alah.. Tukar ajelah. Bukan susah pun.” Sahut Iman Faliq dalam sengihan.

“Tu la.. Iffat tadi dah pesan tengokkan budak-budak ni. Abang keluar buat apa.” Tambah Iffat sambil mengutip lidi-lidi yang bertaburan.

“Abang tadi dah suruh Hadif tengokkan dia orang. Tadi Hadif ada sekali dekat sini.” Balas Afeef seraya melipat kaki seluarnya. Bersedia untuk membersihkan kolam ikan itu.

“Dia kalau dah duduk depan tv. Faham-faham ajelah.” Jawab Iffat sambil menghulurkan semua lidi yang telah dikutip kepada suaminya.

“Kenapa ni?” Muncul pula Nur Imanina di muka pintu apabila terdengar suara yang sedikit bising di luar. Saat itu dia baharu sahaja menidurkan si kecil Izhar memandangkan dia tidak dibenarkan untuk membantu di dapur dalam keadaan yang sedang sarat.

“Tu ha.. Cuba sayang tengok apa jadi dengan anak kesayangan sayang tu.” Balas Iman Faliq sambil menunjuk ke arah Zarif yang sibuk berborak itu ini bersama Hafira.

Nur Imanina menggelengkan kepala. “Iman tak nak masuk campur. Bye!” Jawabnya selamba sebelum kembali semula ke dalam rumah. Tidak betah berdiri lama.

Afeef melepaskan tawa. “Padan muka kau. Baik kau bawak Zarif pergi mandi.” Ujarnya dalam sisa tawa.

Small matter.” Jawab Iman Faliq selamba. Sedikit pun tidak rasa susah untuk memandikan Zarif sedangkan sebelum ini memang dia yang menguruskan si kecil itu.

“Abang jangan nak gelak sangat eh. Tu, abang pergi mandikan Kakcik tu. Iffat tahu, dia wangi aje.” Sampuk Iffat pula. “Kakcik ikut papa mandi. Lepas ni, mummy tengok baju kotor lagi, tak boleh kiss-kiss baby.” Lanjutnya sedikit tegas kepada si kecil itu pula sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Masih banyak lagi kerja yang harus dilakukan untuk majlis malam nanti.

“Garang betul Iffat sekarang eh? Tak macam Iffat dulu.” Ujar Iman Faliq sebaik kelibat Iffat hilang ke dalam rumah.

Afeef ketawa lagi. “Memanglah. Tu semua effect dari ‘kejutan’ yang aku dah buat lepas balik dari ‘Ulu Klang’ dulu.” Balas Afeef dengan sengihan.

“Padan muka kau. Lain kali dengar cakap mak ayah tu.. Dah tentu-tentu pilihan mak ayah ni yang terbaik Feef. Tak payah susah-susah nak cari lain kalau tak dapat restu. Tak ke mana bro walaupun cinta kau ibarat lautan api sanggup ku renangi..” Iman Faliq mengusik diiringi tawa sebelum memimpin Zarif masuk ke dalam rumah.

Hek eleh. Cakap aku. Kau tu lagi tak boleh blah..” Balas Afeef tidak mahu mengalah. Dia sudah mendukung anak keduanya untuk dibawa masuk.

Iman Faliq melepaskan tawa besar sebelum hilang ke dalam bilik bawah, rumah dua tingkat sahabatnya itu.
…………

“Kenapa mama tak tidur rumah kita?” Soal Aqil sebaik bayang kereta Fazree hilang dari pandangan.

“Macam mana mama nak tidur dekat rumah kita. Ayah esok kena hantar Nenek Ani pergi airport.” Jawab Iffat lembut. Cuba menerangkan sebab Damia dan Fazree tidak dapat bermalam di rumahnya selepas kenduri tadi. Ibu saudara Fazree akan mengerjakan umrah.

Si kecil itu diam. Namun wajahnya berkerut-kerut memandang Iffat.

“Sudahlah tu. Jom kita masuk. Tukar baju. Lepas tu boleh tidur. Dah lewat ni.” Afeef bersuara sebelum mereka beriringan masuk ke dalam rumah.

Si kecilnya itu hanya akur.

“Ehem ehem.” Afeef berdaham beberapa kali saat kelibat anak sulungnya sudah pun selamat masuk ke dalam rumah.

Iffat menoleh. Dahinya berkerut. “Sakit tekak ke?” Soalnya lurus dengan senyuman. Sudah cukup faham jika Afeef berdaham begitu.

Afeef mengoyak senyum penuh makna. “Tadi abang nampak Iffat borak dengan Damia. Bukan main rancak lagi. Ada cerita best ke?” Soal Afeef sambil tersengih.

Iffat senyum nipis. “Cerita orang perempuan.” Jawabnya selamba dengan senyuman masih bergayutan di bibir.

Walaupun Damia dan Afeef pernah mencatat sejarah buruk dalam hatinya, dia masih mampu menerima bekas isteri suaminya itu memandangkan masing-masing sudah pun memiliki kehidupan sendiri. Dia tidak mahu sejarah lalu menjadi penyebab mereka bermusuhan dan bermasam muka. Tambahan pula Aqil di bawah penjagaannya dan si kecil itu punya hak terhadap Damia. Tidak mungkin dia mahu memisahkan pertalian darah yang sedia wujud.

“Selalu jumpa pun, sampai macam tu sekali abang tengok Iffat borak dengan dia. Takkan sebab hal perempuan aje. Mesti ada hal lain ni..” Serkap Afeef yang kurang puas hati dengan jawapan yang diberi.

“Biarlah. Tak boleh ke? Abang takkan jealous kut? Bukan Iffat borak dengan Fazree..” Jawab Iffat dengan sengihan mengusik. Dalam diam dia sempat menyindir suaminya itu. Bukan dia tidak tahu dengan perangai Afeef. Sikap cemburu lelaki itu masih menebal dalam hati walaupun mereka kini sudah dikurniakan dua orang cahaya mata.

“Amboi.. Nak perlilah tu.” Balas Afeef seraya isterinya selamat masuk ke dalam rumah dan dia terus mengunci pintu utama.

“Bukan perli. Tapi realiti apa. Abang bukan boleh nampak Iffat rapat sikit dengan mana-mana lelaki kan?” Iffat menambah sebelum terus berlalu ke ruang dapur. Masih ada kerja yang harus dilakukan walaupun semuanya sudah siap dikemaskan oleh ahli keluarga yang datang tadi. Tinggal ahli keluarganya sahaja yang bermalam di situ. Manakala keluarga di sebelah suaminya semua sudah pulang ke rumah masing-masing termasuklah Luthfi dan kakak iparnya.

“Tu bukan jealous namanya okey? Itu maknanya cinta banget tahu tak?” Balas Afeef yang menuruti langkah isterinya itu ke dapur.

Iffat menjuihkan bibir. “Iyalah tu..” Balasnya acuh tak acuh. Tangannya mula mencapai kain bersih untuk mengelap cawan dan gelas yang telah dicuci.

“Betul la.. Kalau tak betul, abang dah buat tak tahu aje dengan Iffat. Abang dah terus cari lain..” Seloroh Afeef yang bersandar di tepi kabinet memerhati isterinya.

Iffat menoleh ke wajah Afeef serentak gerakan tangannya terhenti. Perlahan-lahan bibirnya menarik senyum. Namun tidak semanis tadi. “Masa abang nak sambung belajar dulu, Iffat ni langsung tak pernah tercatat dalam kamus hidup abang kan?” Ujarnya dengan senyuman tawar. Apabila teringat kembali sejarah lalu, masih terasa nyilu parut di hati.

Afeef mematikan senyum. Nafas panjang terlepas di bibirnya. Kelu lidahnya mahu membalas. Sesungguhnya hakikat satu itu memang tidak mampu disangkal. Kisah lalu memberi banyak pengajaran kepadanya. Faham akan makna pengorbanan yang sebenar.

“Abang pergilah naik. Iffat nak kemas sikit dapur ni dulu.” Ujar Iffat dalam senyuman paksa selepas beberapa ketika masing-masing mendiamkan diri.

“Iffat..” Afeef menyambar lengan Iffat yang ingin berlalu sebaik menyudahkan kerjanya tadi.

“Abang nak apa-apa ke?” Iffat bertanya lurus walaupun perasan wajah suaminya yang sedikit keruh.

Afeef menggeleng perlahan. Dua tangan Iffat diraih lembut. “Boleh tak kalau lepas ni, kita jangan cakap lagi fasal hal tu. Kan kita dah janji.” Ujarnya penuh mengharap. Mengimbau kembali sejarah lalu bermakna luka lama pasti akan berdarah kembali. Sudah cukup dia melukakan hati wanita itu sebelum ini hingga parut yang ada tidak mampu dipadamkan. Dan selamanya akan terus begitu.

Sorry..” Tutur Iffat sama perlahan. Bukan niat hatinya mahu mengungkit kembali sejarah lalu. Afeef yang berdiri di hadapannya kini, sudah jauh berubah. Kasih dan sayang lelaki itu memang tidak mampu disangkal lagi.

“Abang yang patut mintak maaf dengan Iffat. Banyak dosa abang dengan Iffat selama ni. Abang tahu, Iffat takkan lupa apa yang pernah jadi. Bukan Iffat aje, abang tahu mana-mana perempuan pun takkan lupa kalau benda yang sama jadi pada dia orang. Dan kalau orang lain dekat tempat Iffat, abang yakin dia orang takkan terima abang macam mana Iffat terima baik buruk abang sampai hari ni. Abang menyesal sangat.. Menyesal sebab dah buat Iffat macam tu dulu.. I’m really sorry sayang..” Ikhlas Afeef menuturkannya dengan genangan air mata. Penyesalan tidak pernah jauh dari hati sejak kasih mereka bersatu. Perasaan itu sentiasa ada untuk mengingatkan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Iffat sejak mereka bernikah.

“Semua orang buat salah abang. Hal tu pun dah lama.. Iffat pun dah lama maafkan abang. Kalau Iffat tak maafkan abang, kita tak bahagia macam sekarang ni.. Takda Aqil, takda Fira, takda Izhar dalam hidup Iffat..” Balas Iffat yang mula sebak.

“Kenapalah abang bodoh sangat dulu. Yang takda depan mata abang sibuk kejar. Yang memang setia depan mata abang tak nampak pun.” Luah Afeef perlahan.

“Tak baik cakap macam tu. Semuanya memang dah tertulis untuk kita. Kalau abang tak cari Damia dulu, mesti Aqil takda dengan kita sekarang ni abang..” Iffat menyeka lembut air jernih yang meniti tubir mata Afeef namun lelaki itu terus sahaja meraih tubuhnya dalam pelukan.

“Terima kasih sebab sudi terima abang sayang..” Bisik Afeef lembut di tepi telinganya buat sekian kali membuatkan sebak yang terasa, mengundang air jernih di tubir matanya.

“Iffat pun nak terima kasih dengan abang. Terima kasih sebab terima baik buruk Iffat selama ni.. Abang sudi bagi anak-anak yang comel untuk Iffat.. Terima kasih abang..” Ikhlas dia mengucapkannya seraya membalas pelukan erat suaminya itu.

“Ehem ehem.” Serentak itu pelukan terlerai. Laju masing-masing menyeka air jernih di hujung mata.

“Sorry sorry.. Tak sengaja ganggu. Hadif nak isi air panas. Nak buat susu Iz.” Tersengih-sengih Hadif di situ sambil meletakkan termos yang dibawa ke atas kabinet. Serba salah kerana mengganggu pasangan di hadapannya itu.

“Er.. Sini, biar akak yang isi.” Ujar Iffat serba tidak kena. Menutup rasa malu yang mula menular kerana ditangkap berpelukan dengan suaminya di situ. Mata sempat mengerling ke arah suaminya yang masih mampu beriak tenang.

“Kak, bilik dekat atas tu besar tau..” Ujar Hadif dalam sengihan. Sempat lagi mengusik kakaknya sebaik menyerahkan termos. Sengihan mengusik sempat juga dilemparkan kepada abang iparnya yang tersenyum sejak tadi sebelum dia terus berlalu meninggalkan ruang itu.

Iffat ketap bibir. Wajahnya terasa hangat diusik adiknya begitu. “Abang boleh lagi senyum kan?” Ujarnya sebaik kelibat Hadif hilang dari pandangan.

“Habis tu, Iffat nak abang buat apa lagi? Senyum ajelah.” Jawab Afeef selamba berserta senyuman.

“Ish! Nasib baik tak jadi apa-apa..” Balas Iffat sambil mengisi air panas ke dalam termos yang dibawa oleh Hadif tadi.

Afeef semakin melebarkan senyum. Langkah diatur merapati Iffat. “Kalau nak jadi apa-apa, bukan dekat sini dear.. Bak kata Hadif. Bilik dekat atas tu besar sayang..” Sengaja dia mahu mengusik.

Iffat terus membulatkan mata. Belum pun sempat dia membuka mulut untuk membalas, Afeef segera berlalu. Bibir diketap rapat apabila telinga dapat menangkap tawa yang terhambur dari bibir lelaki itu. Wajahnya semakin membahang.

*****

“Senyum-senyum.” Tegur Iffat sambil mengerling ke wajah Afeef di sisinya. Lelaki itu sesekali mengukir senyum dengan bola mata ralit ke tengah padang.

“Hai.. Nak senyum pun dah tak boleh ke?” Balas Afeef yang masih setia dengan senyumannya.

“Bukanlah tak boleh. Abang tu senyum macam orang angau aje Iffat tengok.” Jawab Iffat mengusik sambil menepuk si kecil Izhar yang lena dalam stroller di hadapannya. Manakala dua lagi anaknya ligat bermain di tengah padang bersama kanak-kanak lain.

“Memanglah tengah angau ni. Angau dengan awek sana tu..” Jawab Afeef selamba. Matanya tidak lepas memandang dari tengah padang.

Iffat menjuihkan bibir sebelum turut memandang ke arah yang sama. “Awek manalah yang berjaya mengusik hati suami saya ni..” Balasnya pura-pura berjauh hati. Cuba mencari kelibat yang dimaksudkan.

“Tu.. Yang pakai baju pink tu la..” Jawab Afeef selamba.

“Baju pink?” Mata Iffat masih tercari-cari. “Awek yang duduk tepi padang tu ke?” Soalnya inginkan kepastian. Wajah anak remaja sedang berbual dengan seorang lelaki.

“Ish! Sejak bila Iffat rabun warna ni? Budak tu kan pakai baju warna merah. Bukan pink.” Balas Afeef dengan sengihan.

“Habis tu yang mana? Mana ada lagi yang pakai baju pink dekat sini. Awek-awek pun tak ramai. Makcik-makcik ramailah.” Iffat masih juga mencari wanita yang dimaksudkan.

“Tu la.. Yang tengah dating dekat buaian tu.” Jawab Afeef diiringi tawa kecil.

Iffat membulatkan mata. Bibir diketap rapat sebelum tangannya singgah ke peha Afeef. “Nasib awek tu comel.” Omelnya sedikit geram. Seperti yang dijangka. Afeef memang sengaja mahu mengusiknya.

“Mestilah comel. Tengoklah siapa papa dia..” Balas Afeef sedikit bangga. Wajah anak keduanya memang saling tidak tumpah wajahnya ketika kecil. Seluruh ahli keluarganya berkata begitu.

“Erk? Siapa pulak mummy dia?” Iffat tidak mahu mengalah.

“Iyalah iyalah. Tahu siapa mummy dia. Kalau takda mummy dia, dia pun takda kan..” Afeef mengalah.
Iffat tersenyum lebar meraikan kemenangan di pihaknya.

“Tapi kalau bukan sebab papa dia yang hensome ni, mesti dia tak secomel tu.” Tambah Afeef diiringi tawa besar. Masih mahu mengusik isterinya itu.

Iffat ketap rapat bibirnya sebelum sekali lagi menampar peha Afeef. Wajahnya mula kelat. Pura-pura merajuk.

“Ala.. Takkan merajuk kut.. Orang main-main ajelah..” Afeef cuba memujuk. “Apalah mummy ni kan Iz. Usik sikit pun tak boleh.” Tambahnya kepada si kecil Izhar yang sudah pun terjaga. Dikeluarkan si kecil yang tersengih-sengih itu dari stroller.

“Mana ada merajuk. Kecik hati aje.” Jawab Iffat selamba. Bibir sembunyi senyum. Bukan selalu dia begitu.

“Mummy! aiskrim!” Jerit Fira tiba-tiba membuatkan Afeef dan Iffat serentak membuang pandang ke tengah padang. Si kecil itu menunjuk ke arah penjual aiskrim yang sudah pun dikerumuni kanak-kanak dan orang awam yang ada di situ.

“Ala pakcik aiskrim ni..” Rungut Iffat sambil memandang ke arah si kecilnya yang semakin merapati penjual aiskrim di tepi padang.

“Alah.. Bukan selalu.” Balas Afeef senang.

“Abang tahukan macam mana Kakcik dengan aiskrim. Tidak dapat dipisahkan tau.” Jawab Iffat sedikit geram. Anak keduanya itu begitu gemarkan aiskrim.

“Siapa yang dulu pregnant suka makan aiskrim hari-hari.” Balas Afeef sebelum menghamburkan tawa. Teringat kembali saat Hafira masih dalam kandungan. Hampir setiap hari isterinya makan aiskrim hingga dia yang risau.

Iffat ketap bibir geram. Dia juga yang dipersalahkan. “Abang pergilah belikan. Lepas tu kita terus balik. Lama-lama dekat sini nanti, habis aiskrim pakcik tu nanti.” Ujarnya seraya mengambil si kecil Izhar.

Afeef ketawa kecil sebelum bingkas. “Iffat nak tak?” Soalnya selepas beberapa tapak melangkah.

Iffat menggelengkan kepala sebagai jawapan. Memandangkan Izhar masih menyusu badan, dia tidak mahu si kecil itu menerima kesannya pula. Dari jauh dia dapat melihat anak-anaknya sudah pun mendapat aiskrim masing-masing.

“Mummy.. Fira ada ni!” Sorak Hafira ceria yang semakin menghampiri sambil menayangkan sebatang aiskrim kon sudah berada dalam genggamannya.

“Dah dapat aiskrim, jom kita balik.” Balas Iffat sebelum meletakkan kembali si kecil Izhar ke dalam stroller.

“Nantilah mummy. Fira nak makan dekat sini.” Jawab si kecil itu petah seraya mengambil tempat di sisinya.
Iffat menggelengkan kepala. Sejak bersekolah, si kecil itu semakin petah menjawab setiap kata-katanya.

“Habiskan aiskrim tu dulu. Lepas tu baru kita balik.” Ujar Afeef pula yang kembali bersama anak sulungnya.

Iffat menggelengkan kepalagi la. Setiap kali dia terpaksa mengalah dengan permintaan anak-anak apabila Afeef ada bersama mereka. Lelaki itu pasti akan berpihak kepada anak-anak.

“Mummy nak?” Aqil sudah menghulurkan aiskrim yang sedang dipegang kepada Iffat.

“Abang makanlah. Mummy tak nak. Abang duduk sini.” Jawab Iffat seraya bangun. Memberi ruang kepada anak sulungnya itu duduk.

“Tak terliur ke?” Sengaja Afeef mahu mengusik sambil memerhatikan anak-anaknya makan.

“Sikit pun tak.” Jawab Iffat berserta senyuman. Puas rasanya dia makan aiskrim ketika mengandung dulu.

“Tak banyak beza kan?” Tutur Afeef kemudian.

Iffat menoleh. “Apa yang tak banyak beza?” Dia mengajukan soalan juga.

“Tu..” Afeef mengukir senyum sambil memandang kedua-dua anaknya yang sedang makan aiskrim.

Iffat memandang ke arah yang sama. Sebentar kemudian bibirnya turut menarik senyum. Kedua-dua wajah anak kecil di hadapannya itu dipandang bersilih ganti. Walaupun dilahirkan berlainan ibu, namun kedua-duanya masih seperti adik-beradik kandung. Kedua-duanya mempunyai iras wajah Afeef. “Kuat betul gen abangkan?” Katanya dalam sengihan.

“Orang kata, tu tandanya awak sayang saya lebih. Tu yang anak-anak ikut muka handsome ni.” Jawab Afeef dengan kening terangkat. Masih mahu bergurau.

“Oh.. Maknanya awak sayang saya sikitlah?” Sengaja Iffat menduga.

“Tak jugak.”

“Erk?”

“Cuba tengok muka Iz.” Arah Afeef sambil memandang pula ke wajah anak bongsunya yang leka bermain sendiri di dalam stroller. Tersengih-sengih si kecil itu memandangnya.

Iffat sudah melebarkan senyum. Wajah si kecil itu lebih banyak mewarisi iras wajahnya.

“Sekarang ni fairlah.” Lanjut Afeef yang masih setia dengan senyuman.

“Nasib Iz ada. Kan Iz?” Balas Iffat dengan senyuman bahagia.

“Sukalah tu.” Giat Afeef lagi.

“Mestilah!” Selamba Iffat menjawab.

“Papa dah habis. Fira nak macam abang punya.” Kata si kecil Fira tiba-tiba.

Iffat dan Afeef serentak menoleh ke arah si kecil itu.

“Mana boleh. Ni abang punyalah.” Jawab Aqil sambil menjauhkan aiskrim yang masih berbaki dari Hafira.

“Papa!” Terjerit Hafira yang hampir menangis.

“Abang cepat habiskan. Kakcik dah. Kakcik punya dah habis kan..” Iffat mula bersuara sambil mendapatkan si kecil itu untuk mengelap tepi mulut yang sedikit comot.

Hafira mula memuncung. “Abang kedekut!” Rungutnya kemudian sambil menjeling ke arah Aqil yang sudah pun menghabiskan aiskrim yang masih berbaki tadi.

“Bluekk..” Aqil sempat menjelirkan lidah kepada adiknya saat Iffat mengelap mulutnya pula.

“Sudah sudah. Jom kita balik.” Afeef bersuara tegas. Tidak mahu kedua-duanya berterusan bergaduh hanya kerana aiskrim.

“Tinggalkan Kakcik!” Aqil terus berlari ke arah kereta papanya.

“Fira nak jalan dengan mummy. Tak nak laju-laju.” Jawab Hafira selamba menyebabkan tawa kecil terlepas dari bibir Afeef dan Iffat.

“Macam-macamlah anak Afeef Adwan ni.” Ujar Iffat sambil mengusap kepala anak perempuannya itu.
Hafira hanya tersengih.

Like father like daughter la sayang..” Sahut Afeef dalam sengihan sambil menolak stroller anak bongsunya.

Whatever.” Iffat malas melayan. Terus sahaja dia melajukan langkah sambil memimpin Hafira.

Afeef melepaskan tawa senang. Telatah anak-anak dan isterinya memang selalu menghiburkan hati. Dan dia amat berharap ia akan terus kekal begitu hingga dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Anak-anak dan isterinya itulah harta yang paling bernilai pernah dimiliki dalam hidupnya dan tidak akan pernah disia-siakan.




******
terima kasih kerana sudi baca :') 

8 comments:

kiki said...

amin... abeh da,senyum sampai telinga
tq arsha

Kak Sue said...

Terbaikkk, menarikkk, tertarikkk, penarikkk blog Arsha ni....
Senyum sampai teling lah ni.... lebih-lebih lagi bila ada Mama Iman yang sedang mengandung dgn si Zarif yang becokkkk serta papa Iman yg penyayang .... so sweettt.... bettttt...

MarhamahR said...

ahhhhhhhhhhhhhhhh sukanya! best! tahniah akak! heeeeeeeee :D

norihan mohd yusof said...

best dek...pape pn tahniah dr akk dek...akk dh khatam kn ur novel mmg best...

arsha wangi said...

akak, terima kasih :')

Fatonah Rahim said...

Suka :)

Btw salam perkenalan ya.. ^_^

arsha wangi said...

terima kasih.

salam perkenalan kembali dan terima kasih kerana sudi ke mari :)

MaY_LiN said...

woahhh..zarif nak kawan-kawen ngan zarif ye..
boleh jodohkan depa..
iskisk..papa ni nasib anak xberkubang dalam kolam tu..
siap date lagi
kihkihkih


hensome~hensem/handsome
kepalagi la~kepala gile?? ke kepala lagi??