Jun 26, 2013

AWRA_bab 5


Salam hanya dijawab di dalam hati apabila dia terdengar suara memberi salam dari luar rumah. Sedikit pun dia tidak bergerak dari tempat duduknya di hadapan tv.

“Kak.” Tegur Awra sebaik wajah Athirah muncul di muka pintu. Dia menghadiahkan senyuman manis sebelum bingkas untuk bersalaman.

“Semua orang mana?” Soal Athirah sambil memanjangkan leher mencari wajah ibu bapa mentua serta dua lagi adik-beradik suaminya.

“Si kembar tu ada tuisyen katanya dekat sekolah. Lepas hantar budak-budak tu, abah dengan mak nak pergi layat.” Jawab Awra sebelum kembali duduk di sofa. Matanya pula terhala ke skrin tv yang terpasang.

“Layat?” Soal Athirah kembali dengan kerutan di dahi. Kurang faham dengan perkataan yang disebut oleh adik iparnya itu.

“Ziarah orang meninggal.” Celah Firdaus yang baru melangkah masuk.

“Oh..” Sahut Athirah dengan senyuman di bibir. Keluarga suaminya itu memang berketurunan jawa. Namun, tiada seorang pun adik-beradik suaminya yang fasih berbahasa jawa.

Awra yang mendengar suara abangnya, terus mendiamkan diri. Dia masih lagi terasa hati dengan Firdaus kerana hal dua minggu lalu.

Athirah pula terus turun ke dapur membawa barang-barang dapur yang sempat dibeli di pekan tadi.

“Dik, kau mesti dah takda kerja lain kan? Bukan ke cerita Barbie ni kau dah tengok banyak kali. Siap kau beli DVD lagi. Berapa banyak kali lagi kau nak khatam?” Tanya Firdaus seraya melabuhkan duduk di sisi Awra. Barbie in the Twelve Dancing Princess menjadi pilihan adiknya itu.

Awra sudah mencebikkan bibir. Memang itu sahajalah modal abangnya mahu mengganggu jika melihat dia menonton cerita kegemarannya. Memang sejak dulu lagi dia amat minat akan cerita animasi alam fantasi itu.

“Tengoklah cerita lain.. Bosanlah..” Kata Firdaus lagi sambil mencapai alat kawalan jauh di atas meja kopi.

Awra merengus kasar sambil menjeling tajam ke wajah abangnya yang sedikit pun tidak terasa bersalah dengan menukar siaran lain tanpa menghiraukannya di situ. “Suka hati kau aje bang nak tukar-tukar..” Katanya dengan wajah yang tegang.

“Alah.. Kau boleh tengok DVD. Tak payah tengok tv pun takpa.” Balas Firdaus selamba walaupun perasan ketegangan di wajah adiknya itu. Namun, sengaja dia buat tidak endah.

Awra yang sedang menahan geram terus bingkas. Malas lagi mahu melayan kerana tahu yang dia akan sentiasa berada di pihak yang kalah.

“Alah.. Sikit-sikit nak sentap. Sejak bila pulak kau dah jadi kaki sentap ni?” Giat Firdaus lagi.

“Fir sentap pun, ada susahkan kau ke bang..” Balas Awra sinis sebelum meneruskan langkah untuk turun ke dapur melihat kakak iparnya tadi.

Firdaus terus melepaskan tawa besar. Faham yang Awra masih merajuk dengannya kerana hal minggu lalu.

“Macam manalah akak boleh tahan duduk dengan abang tu.. Ee… Geram betul Fir dengan dia. Mulut macam apa entah! Gila takda insurans!” Rungut Awra yang sudah duduk di meja makan sambil memerhatikan kakaknya menyusun barang makanan di dalam peti sejuk.

Athirah menarik senyum. Oleh kerana mulut Firdaus jugalah hatinya tertambat. Lelaki yang dikenali ketika di kampus dahulu memang seorang yang bermulut lepas dan berterus-terang. Sikap yang berterus-terang itulah yang berjaya menambat hatinya selain sikap bertanggungjawab kepada keluarga membuatkannya dia bertambah senang hati.

“Mulut dia memang macam tu Awra. Awra lagi kenal dia dari akak kan?” Balasnya lambat. “Mulut takda insurans, tapi hati dia baik dah cukup bagi akak Awra.” Lanjutnya lagi sebelum menutup pintu peti sejuk. Sempat memuji suaminya sendiri.

Awra menjuihkan bibir. ‘Ni kalau abang dengar ni, alamat kembanglah bunga di taman Rasyidah utama dia tu. Haish!’ Umpatnya dalam hati. “Kak, jangan cakap dengan Fir yang hari ni akak nak masak tempoyak ikan patin..” Ujarnya apabila perasan akan salah satu isi kandungan beg plastik yang masih terletak di atas meja. Ikan patin yang siap berpotong. Dan dialah orang yang paling lemah jika ternampak ikan air tawar itu. Dia paling tidak suka jika ikan itu menjadi menu utama. Alamat dia makan telur goreng dengan kicap ajelah tengah hari itu nanti.

“Habis tu nak masak apa lagi Awra. Tu aje pun yang akak tahu favorite food family Awra ni.” Jawab Athirah seraya mengambil bungkusan itu dan dibawa ke singki.

“Ala… Habis tu, Awra kena makan telur mata kerbau dengan kicap ajelah hari ni?” Keluh Awra dengan mulut yang mula memuncung.

“Apa pulak. Tu akak tengok ada ayam masak merah.” Balas Athirah sebelum melipat lengan baju blausnya untuk mula mencuci ikan patin yang dibeli tadi.

“Tu favorite si kembar tu kak.. Awra ni manalah suka sangat makan ayam ni..” Jawab Awra sambil mengeluarkan sayur-sayuran dari dalam plastik yang masih ada. “Akak sayur-sayur ni nak masak apa?” Soalnya sebaik ternampak baby corn, broccoli, lobak merah, cendawan dan beberapa lagi jenis sayur.

“Tu nak buat sayur goreng campur aje.” Jawab Athirah yang masih berdiri di tepi singki.

“Yang ni biar Fir masak.” Awra ringan tulang untuk membantu. Dia terus mengambil pisau dan pelandas untuk memotong sayur-sayur yang akan dimasak.

“Erm… Awra, semalam ada tuisyen dekat sebelah ofis akak tu nak cari kerani. Awra nak try tak? Tapi gaji takdalah banyak. Kalau setakat nak cari pengalaman, bolehlah kut.. Sementara Awra dapat kerja lain.” Ujar Athirah yang tiba-tiba teringat akan iklan yang dibaca semalam.

 “Erm.. Boleh jugak. Macam mana nak apply?” Soal Awra berminat.

“Nanti akak bagi emailnya, Awra hantar aje resume dekat situ.” Jelas Athirah sambil menoleh sekilas ke wajah adik iparnya yang sedang tekun melorek lobak merah. Adik iparnya itu memang agak teliti dalam hal potong memotong barang masakan. Walaupun suatu masakan itu ringkas, namun dia mahu ianya kelihatan menarik untuk dimakan.

“Erm.. Akak, bosnya lelaki ke perempuan? Cerewet ke tak?” Awra berminat ingin tahu lebih lanjut. Dia risau juga jika terpaksa bekerja di bawah seliaan ketua yang kepala angin. Silap percaturan, dia sanggup melawan majikan pula.

“Tak silap akak, dekat sign board ada tulis nama Faisal. Itulah kut bosnya.” Jawab Athirah kurang pasti. Dan dia cukup faham dengan Awra. Adik iparnya itu akan memastikan semuanya dalam keadaan baik sebelum membuat sebarang keputusan. “Awra try ajelah. Manalah tahu rezeki Awra dekat situ. Nanti boleh duduk dengan kita orang. Adalah teman akak dekat rumah nanti.” Sambung Athirah sambil tangannya memerah beberapa biji limau nipis untuk dilumurkan pada ikan. Lendir pada ikan tersebut perlu dibuang terlebih dahulu sebelum dimasak.

“Erm.. Nanti Fir tanya abah dulu macam mana. Tapi rasanya Fir nak trylah kak.. Hmm.. Macamlah dah takda nama lain dalam dunia ni. Nama mamat sewel tu jugak yang aku dengar..” Jawab Awra sebelum mula memotong lobak merah. Namun dua ayat penghabisan hanya terluah dalam hati. Pada masa yang sama dia perasan abangnya  sudah berdiri di atas tangga. Pemisah antara bahagian atas rumah dengan yang bawah. 
“Nak menyibuklah tu!” Gerutunya perlahan sambil tangan lincah memotong sayur-sayuran lain yang akan dimasak sebentar nanti.

Athirah hanya menggelengkan kepala. Senyuman manis sempat dilemparkan buat suaminya.

“Nampaknya ada orang makan telur goreng dengan kicap berkipas-kipaslah hari ni..” Ujar Firdaus berdiri di sisi isterinya yang masih di tepi singki. Ikan patin yang dibeli tadi sudah terendam di dalam sebuah bekas plastik.

Awra menjuihkan bibir. Tahu kata-kata Firdaus itu memang ditujukan khas buatnya.

Athirah menggelengkan kepala lagi. Faham akan perangai suaminya yang gemar mengusik. “Awra buat tak dengar ajelah kata Abang Daus tu. Ni tadi akak ada beli ikan cencaru. Boleh bakar nanti, cecah dengan air asam.” Lanjutnya berpihak kepada adik iparnya yang sudah memasam wajah.

“Terima kasihlah kak. Buat susah-susah aje. Fir okey aje makan telur dengan kicap berkipas-kipas nanti.” Jawab Awra sambil menekan perkataan yang kedua akhir itu. Sengaja memulangkan kata-kata abangnya sebentar tadi. Sempat dia menghadiahkan jelingan tajam ke arah Firdaus yang sudah melabuhkan di hadapannya.

“Alah.. Kau takkan merajuk lagi dengan aku fasal hal hari tu.. Sampai nak gurau sikit pun dah tak boleh sekarang ni..” Ujar Firdaus dengan sengihan mengusik di bibirnya.

Awra diam. Tiada hati mahu membalas. Tangannya sahaja lincah melakukan kerja. Bawang putih sedang dikupas.

“Sudahlah abang.. Ada aje nak usik Awra. Erm.. Mana kad jemputan yang abang nak bagi tu?” Celah Athirah yang tidak mahu suaminya berterusan bergurau.

“Ni ha..” Firdaus terus menarik sekeping kad dari saku seluarnya dan diletakkan di hadapan Awra. Itu salah satu taktik untuk dia memujuk kembali sekeping hati yang sedang merajuk itu.

“Awra, tahun ni abang kesayangan Awra tu tercalon dalam anugerah pekerja cemerlang. Abang Daus siap dapat extra kad jemputan lagi. Dalam kad tu nanti Awra tulis semua nama.” Jelas Athirah mengenai kad yang diletakkan oleh suaminya itu.

“Ee… Rabun ke apa orang yang buat penilaian tu? Macam mana pulak Firdaus Abdul Shukor boleh tercalon ni. Dah la mulut jahat.” Balas Awra selamba menyindir abangnya.

“Cakap cantik sikit eh.. Tengok oranglah. Ada tokoh pekerja cemerlang a.k.a pekerja paling kacak tahun ni.” Tingkah Firdaus sambil membetulkan baju-t kolar yang sedang dipakai.

Awra menjuihkan bibir lagi tanda malas mahu melayan. “Akak, sayur semua dah siap. Kejap lagi Fir masak. Fir nak cari Sugar kejap. Tadi Fir lupa nak bagi dia makan.” Ujarnya kemudian apabila teringat akan kucing kesayangannya yang dijaga sejak kecil lagi. Dia terus bingkas ke pintu dapur. Cukup faham di mana Sugar akan bersembunyi pada waktu-waktu begitu.
…………..

“Angah, kenapa muka kau macam tu?” Tegur Alya yang duduk setentang dengan Awra sebaik pelayan restoren menghantar minuman yang dipesan.

Awra ketap bibir. Matanya dijegilkan ke arah adik bongsunya itu. ‘Hish! Kalau aku tahulah nak makan dekat sini, jangan harap aku nak ikut!’ Bentaknya dalam hati. Bahang kemarahan yang telah reda minggu lalu kini kembali menular di hatinya.

“Bang, kalau iya pun kau nak belanja, apasal dekat sini? Dah takda kedai lain ke dalam Selangor tercinta ni?” Bisiknya dengan suara tertahan ke telinga Firdaus yang duduk di sisi.

“Dah yang dekat sini aje ada ikan patin masak tempoyak. Sini ajelah.” Jawab Firdaus selamba dalam sengihan.

“Kau memang saja aje nak buat aku marahkan bang. Dekat rumah tadi dah makan ikan patin, takkan dekat sini nak makan tu jugak. Macamlah dah takda menu lain.” Bentaknya geram. Masam mencuka wajahnya.

“Yang kau tu emo sangat kenapa? Dah abah yang nak try makan dekat sini. Lagipun hari jadi abah hari ni kan? So, ikut selera abahlah.” Jawab Firdaus dalam nada yang sama. Bukan dia tidak tahu kenapa adiknya itu bersikap sedemikian. Semua gara-gara dia memilih restoren Aura Selera milik Faiq Faisal.

Awra menjeling geram. Namun sengihan kelat segera dilemparkan apabila bola mata terhala ke wajah abahnya yang sedang memandang.

“Kenapa tu Awra?” Soal Shukor sambil memandang ke wajah anak keduanya itu.

“Dia marah abah pilih restoren ni.” Sahut Firdaus dalam sengihan.

Awra pula terus menampar bahu abangnya itu.

“Kenapa? Tak sedap ke makanan dekat sini?” Soal Shukor ingin tahu.

“Er.. Bukan tak sedap bah.. Cuma..” Terhenti ayatnya apabila ternampak kelibat seorang lelaki baru melangkah masuk.

“Cuma apanya?” Celah Faridah pula yang duduk di sisi Shukor. Wajah anak keduanya itu dipandang.

Awra diam. Leka dia memandang ke arah susuk tubuh lelaki yang sedang berdiri di kaunter. Saat tiba tadi, tidak pula dia perasan kelibat lelaki itu.

“Hoi!” Sergah Firdaus membuatkan matanya kembali terhala ke sisi. Dia baharu perasan semua pasang mata ahli keluarga terhala kepadanya.

“Assalamualaikum..” Faiq menghampiri berserta senyuman membuatkan semua mata terhala pula ke arah lelaki itu. Hanya Awra terus memalingkan wajah ke arah lain.

“Erm.. Spageti Bolognese lambat sikit ya.” Ujar lelaki itu sambil membantu pekerjanya meletakkan makanan yang telah dipesan lebih awal tadi.

“Dik, kau dengar tak?” Ujar Firdaus sambil menyentuh lengan adiknya di atas meja. Awra terus berpaling.

“Kenapa lambat?” Laju dia menyoal. Matanya tajam memandang ke wajah Faiq yang lebih tenang. Dia geram dengan ketenangan itu.

“Saya baru beli barang-barang untuk masak spageti tu sebab dah lama orang tak order.” Jawab Faiq dengan senyuman nipis.

“Takda orang order? Kenapa? Memang tak sedap ke?” Provok Awra sengaja.

Faiq senyum lagi. Dia cuba tahan hati. Tahu kenapa Awra berani menyoalnya begitu. “Customer jarang order western food. Dia orang lebih suka menu biasa yang ada. Orang Malaysia, selera pun mestilah selera Malaysia kan..” Jawabnya setenang mungkin.

“Betul!” Sahut Alya dan Afza hampir serentak. Tersengih-sengih dua gadis itu.

Awra ketap bibir. Sempat dia menjeling ke arah kembar di hadapannya.

“Tu la kau, nak sangat makan western. Orang lain semua makan nasi.” Ujar Firdaus mengusik.

“Kalau macam tu, cancel ajelah.” Balasnya dengan wajah yang kelat. Dia dapat merasakan semuanya berpihak kepada Faiq.

“Eh.. Cuma satu bahan aje yang takda. Yang lain dah ada. Saya yang akan masak. Takpa kan kalau tunggu dalam sepuluh minit.” Sampuk Faiq cepat. Tidak mahu menghampakan pelanggan istimewanya itu.

“Kamu ni ke tukang masak dekat sini?” Celah Shukor tiba-tiba. Lelaki muda di hadapannya itu begitu menarik pada pandangan mata tuanya.

“Er.. Ha’ah pakcik..” Serba salah Faiq menjawab.

“Kalau abah nak tahu, dialah owner restoren ni.” Celah Athirah pula sambil mengerling ke arah suaminya.

“Ha’ah bah. Dia ni la yang Daus cerita dengan abah tu.” Sahut Firdaus sambil mengerling pula ke arah Awra.

“Oh..” Shukor mengukir senyum nipis.

“Er.. Kalau takda apa-apa saya masuk dulu. Erm.. Awra takpa kan kalau tunggu sekejap?” Ujar Faiq sambil memandang ke wajah Awra yang sudah membungkam.

“Dik, Faiq tanya tu.” Tegur Firdaus apabila perasan adiknya itu seperti tidak mengambil peduli apa yang mereka bualkan sebentar tadi.

“Apa-apa ajelah.” Jawabnya malas. Sungguh dia memang tiada hati untuk berlamaan di situ lagi. Dia perasan abahnya menalakan pandangan cukup pelik kepadanya sebentar tadi. Dan dia yakin Firdaus sudah menceritakan apa yang berlaku beberapa minggu lalu.

“Pakcik, makcik, silalah. Kalau ada apa-apa yang tak kena, boleh panggil saya.” Ucap Faiq seraya menghadiahkan senyuman. Tetapi sempat dia menghadiahkan pandangan tajam buat Awra.

“Okey bang!” Laju Alya dan Afza menjawab menyebabkan sekali lagi Awra menghadiahkan jelingan tajam.
Bluerk!!Jangan nak abang sangatlah!’ Kutuk Awra dalam hati. Geram!

“Mm.. Sedapnya bau..” Sengaja Firdaus mengusik Awra lagi. Walaupun ikan patin masak tempoyak sudah pun jadi lauk di rumah tengah hari tadi, lauk itu masih menjadi pilihan semua. Sengaja mahu merasai keistimewaan makanan tersebut seperti mana yang diperkatakan orang.

Awra menjuihkan bibir. Sedikit pun tidak terliur dengan lauk yang terhidang walaupun bau masakan tersebut mula menusuk rongga hidungnya.

“Jangan nak merungut makanan dia sampai lambat.” Celah emaknya yang sedang menyendukkan nasi ke dalam pinggan buat ahli keluarga yang lain.

“Tak sampai terus pun takpa mak..” Jawabnya selamba. Masih mahu menambak ego dalam hati.

“Cuba kamu rasa ni. Sedaplah.” Tambah abahnya yang sudah pun merasai kuah tempoyak yang masih mengeluarkan asap nipis itu.

“Yang dekat rumah pun Fir tak makan, takkan Fir nak makan yang ni bah.” Balasnya malas.

“Yang ni lain. Cuba kau rasa dik. Sikit aje. Kau rasa kuah. Memang terbaiklah.” Sambung Firdaus pula. Memuji-muji masakan istimewa restoren Faiq.

“Amboi abang. Maknanya siang tadi Ati masak tak sedaplah?” Sampuk Athirah sambil mengerling ke arah suaminya.

Firdaus hanya tersengih.

Awra pula sudah menggelengkan kepala. Pening kepala memikirkan kegemaran semua ahli keluarganya itu.

“Nak ke mana tu?” Tanya Faridah sebaik Awra bingkas.

Toilet kejap mak. Spageti pun lembap sangat sampai kan?” Selamba dia menyindir tanpa pengetahuan Faiq.

“Hish! Mulut kamu tu…” Tegur Faridah dengan gelengan kepala. Dia cukup faham dengan perangai anak keduanya itu. Terlalu berterus terang akan sesuatu yang tidak disukai. Terutamanya bab makan.

Awra tersengih kelat sebelum berlalu. Dan saat kaki melewati hadapan kaunter, dia sempat menoleh ke arah dapur yang terbuka. Mata terus melekat ke arah Faiq yang sedang memasak. “Eleh.. Macam bagus aje. Setakat instant. Aku pun boleh.” Sempat dia mengomel sebelum melajukan langkah ke tandas.
Dengan mulut yang masih terkumat-kamit tanpa sengaja dia dilanggar sesuatu menyebabkan tubuhnya terus terjelepuk.

“Ee.. Buta ke apa? Sampai aku yang besar ni pun tak nampak!” Tebaknya geram apabila punggungnya terasa sakit kerana terhentak ke lantai. Wajahnya laju ditegakkan ke atas. “Awak?” Bibir diketap rapat.

Sorry.. Saya tak perasan tadi.” Ujar ‘sesuatu’ yang baharu sahaja melanggarnya sebentar tadi. Seorang lelaki berkemeja putih tercegat di hadapannya. Lelaki itu menghulurkan tangan untuk membantu namun segera ditolak.

“Apa awak buat dekat sini? Bukan awak tengah masak ke?” Soalnya sedikit geram sebelum bingkas. Wajah tenang di hadapannya itu dipandang geram. ‘Senyum-senyum. Aku sekeh kepala tu tahu la. Macamlah aku kecik sangat sampai tak nampak.’ Bebelnya dalam hati.

“Awak ni..” Lelaki itu seperti teragak-agak ingin meneruskan kata. “Erm..”

Awra menjeling geram. ‘Apasal dia ni? Takkan baru jumpa dah hilang ingatan.’ Sempat lagi hatinya mengutuk.

“Oh.. Baru saya ingat. Awak yang membebel dalam komuter hari tu kan?” Ujar lelaki itu dalam senyuman membuatkan dia mengerutkan dahi. Keningnya hampir sahaja bercantum.

‘Dia kata aku membebel?’ Rapat dia mengetap bibir. Hati mula membahang untuk membalas.

“Sewel apa awak ni? Apasal awak teringat yang dalam komuter pulak? Bukan ke tadi awak yang membebel dengan family saya dekat sana tu!” Jawab Awra dingin dengan sengaja menekan perkataan membebel. Balas balik! Matanya mengerling ke arah ahli keluarga yang sedang makan. Langsung tidak sedar apa yang berlaku di situ.

Lelaki di hadapannya itu membuat muka pelik.

“Tak payah nak buat muka pelik sangatlah!” Bentaknya geram sebelum berlalu sambil memegang pinggang. Malas lagi mahu melayan. Laju dia melangkah masuk ke dalam tandas. Panggilan lelaki tadi langsung tidak dihiraukan.
……….

“Awra.”

“Hm..” Pendek sahaja jawapan yang terluah di bibirnya saat abahnya memanggil. Angin untuk berbual seperti selalu hilang dibawa angin malam yang menyapa masuk melalui tingkap cermin yang dibuka.

“Kenapa tak makan tadi? Kan kamu yang pesan spageti tu?” Kedengaran tegas suara Shukor sambil memandang cermin pandang belakang. Wajah muram anak keduanya meniti ruang mata.

“Kenyang.” Jawabnya ringkas. Selepas insiden di hadapan tandas tadi, dia langsung tidak menjamah makanan yang dihantar oleh Faiq. Hilang terus seleranya selepas apa yang berlaku. Namun kini, ada sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya.

“Tengah hari tadi tak makan, kenyang apanya.” Celah Faridah pula.

Awra diam. Tiada hati mahu membalas.

“Kan abang belanja tadi.. Membazir aje bayar mahal-mahal tapi tak makan.” Tambah Shukor lagi. Dia paling tidak suka jika berlaku pembaziran. Tidak kiralah dari segi apa pun.

Awra tetap mendiamkan diri.

“Tadi jatuh, sakit? Kalau sakit kita terus pergi klinik.” Lanjut Shukor yang sabar melayan kerenah anaknya yang seorang itu. Mujur si kembarnya menaiki kereta Firdaus. Jika tidak, mahu kecoh jadinya.

“Tak. Sikit aje.” Bohong Awra selamba. Padahal rasa sengal mula terasa di pinggangnya.

“Kalau tak, esok mak suruh Mak Andak datang. Urut mana yang sakit tu.” Ujar Faridah pula. Dia faham akan perangai Awra yang suka mendiamkan diri jika sakit. Gadis itu lebih sanggup menanggung sakit dari pergi ke hospital mahupun klinik.

“Hm..”

“Awra.” Kedengaran sedikit tegas suara abahnya memanggil selepas masing-masing mendiamkan diri.

“Ya..” Berat Awra membalas. Faham akan ton suara abahnya yang sedikit berubah itu.

“Abah tak suka Awra buat macam tadi. Masam muka depan rezeki. Lepas tu langsung tak cuit apa yang Awra dah order. Lain kali tak nak makan, jangan order.” Ujar abahnya tenang. Namun jelas ketegasan.

Keluhan panjang dilepaskan sebelum dia menjawab. “Nanti Fir bayar balik duit abang.” Ujarnya lemah. Terpaksa menerima teguran abahnya itu.

“Bukan fasal ganti duit abang. Awra tu. Abah tak suka apa Awra buat tadi. Awra bukan budak kecik lagi. Dah dekat 30 tahun. Takkan tak tahu adab sopan.” Nasihat Shukor lembut. Sungguh dia tidak berkenan dengan apa yang dilakukan oleh anaknya itu tadi.

“Alah.. Bukan Awra buat apa pun. Fir dah cakap tak nak makan tadi. Abang yang paksa Fir order. Lepas tu siapa suruh dia masak lambat sangat.” Jawab Awra berani.

“Tapi tadi kan budak Faiq tu tanya elok-elok dengan kamu, kamu jawab macam nak tak nak kenapa? Elok-elok dia tanya tadi, jawab elok-elok tak boleh?” Tambah Shukor lagi melepaskan rasa tidak puas hatinya. Bukan mahu memarahi. Tetapi sekadar peringatan seorang ayah buat si anak.

Awra mula terkesan. Ada sebak mula bertamu di hatinya. Jarang dia ditegur begitu oleh abahnya hanya kerana kedinginannya tadi.

“Sudahlah tu bang..” Faridah mencelah apabila perasan wajah anak keduanya semakin keruh berbanding tadi.

“Takdalah.. Abang malu dengan budak Faiq tu tadi. Dia tanya baik-baik, kita jawab baik-baiklah. Kalau tak suka, jangan tunjuk muka tak suka. Tak elok orang tengok. Sepatutnya dah tahu tu semua. Tak payah dah besar-besar ni abang ingatkan.” Balas Shukor yang sesekali mengerling cermin pandang belakang. Dia perasan sepasang mata anak keduanya itu mula berkaca-kaca.

Awra berterusan mendiamkan diri. Sekali lagi terpaksa mengakui kesalahan yang dilakukan. Hanya kerana mengikut bahang di hati, dia lupa tentang adab dan sopan yang diterapkan ke dalam diri.


........
~maaf segala kekurangan.. :(

6 comments:

kak na said...

awra mcm arsha je...

arsha wangi said...

ahaha.. akak ni.. :P

k.shida... said...

Semakin jatuh hati ngan citer nih...thumbs up cik penulis...

Kak Sue said...

Kak Sue rasa orang perempuan saja yg faham perasan AWRA macamana... lebih-lebih lagi Awra seorg yg happy tapi bila melibatkan perasan yg x puas hati pd kelurga lebih baik pendam sendiri dari makan hati dan bersikap kurang ajar....
Faiq tugas awak pulak untuk pulikan hati Awra yg telah disakiti...
kasihan AWRA.... BESTTTTT

muda_13 said...

Alahai, awra yang sakit hati, kenapa hati kita pulak yang sakit ni, menjiwai betul bace cite ni, hehe best

MaY_LiN said...

isk paiq nye pasai angah kn marah
cian angah