Jun 17, 2013

AWRA_bab 3 ~edited ~ repost


“Abang, nak ke mana dah malam-malam ni?” Tegur Athirah apabila melihat Firdaus sudah menukar kain sarungnya tadi dengan seluar track bottom hitam.

Awra yang sedang berbaring di hadapan tv turut sama memandang ke arah Firdaus.

“Perasan bujanglah tu kak…” Celah Awra selamba. Faham benar dengan perangai abangnya yang gemar keluar malam sejak bujang lagi.

“Sibuklah kau dik…” Jawab Firdaus sambil melemparkan kusyen kecil kepada Awra. Tepat mengenai wajah adiknya itu. “Abang nak pergi tengok bola dekat kedai mamaklah.” Lanjut Firdaus sambil tangan kanannya menyisir rambut agar sedikit kemas.

Hek eleh… Habis tu, yang beli channel sukan buat apa? Membazir aje… Nak jugak pergi kedai mamak. Tv kedai mamak jugak yang laku…” Sahut Awra lalu mengambil tempat di sebelah kakak iparnya.

“Kau mana tahu. Kalau tengok ramai-ramai barulah ada feel… Semangat nak tengok pun ada. Kalau tengok sorang-sorang dekat rumah ni, langsung takda feel. Nanti bukan aku tengok bola. Bola yang tengok aku.” Jawab Firdaus sambil mencapai alat kawalan jauh tv dari tangan Awra. Dia mahu melihat jadual perlawanan yang akan berlangsung.  

“Eleh… Entah apa yang best sangat. Akak pernah ikut abangkan? Apa yang best kak?” Soal Awra kepada Athirah.

“Sekali aje akak pernah ikut. Lepas tu, memang taklah. Bosan aje akak rasa.” Akui Athirah. Sudah fitrahnya seorang wanita yang tidak gemarkan sukan bola sepak. Jika ada pun, hanya segelintir sahaja yang betul-betul minat akan sukan itu.

“Sebab sayang tak minat bola. Cuba sayang minat bola. Mesti selalu nak ikut abang.” Balas Firdaus dengan sengihan mengusik.

Athirah menjuihkan bibir.

“Fir nak ikut boleh tak bang?” Ujar Awra tiba-tiba dengan mata yang terkelip-kelip memandang Firdaus.

“Ahh… Jangan nak mengadalah. Kau teman Kak Ati dekat rumah.” Firdaus terus menolak.

“Ala… Sekali aje bang… Kau jugak yang kata ada feel tengok ramai-ramai kan? Nak try jugak macam mana feel yang kau cakap tu… Please…” Awra sudah mengeluarkan ayat kesiannya untuk memujuk Firdaus.

Bawak ajelah bang…” Sokong Athirah pula.

“Ala… Dia bukan minat bola pun…” Firdaus beralasan lagi masih tidak mahu Awra mengikutnya.

“Ee… kedekut betul abang ni kan…” Rungut Awra yang sudah masam mencuka wajahnya. Sengaja buat-buat merajuk.

“Bukan kedekut. Kau tu kan perempuan. Dah malam-malam macam ni… Nanti orang kata apa pulak. Lagipun dekat kedai tu mesti ramai lelaki… Tak selesa kau nanti dik.. Kalau abah tahu kau ikut aku, lagi sia-sia aje. Elok-elok ayah bagi kau datang rumah aku, terus abah keluarkan surat larangan.” Ujar Firdaus lagi sebab dia tidak bersetuju Awra menyertainya. Tambahan pula abahnya sudah mengamanahkan supaya menjaga Awra sebaiknya.

“Ala… Kan Fir duduk dengan kau bang. Bukan dengan lelaki lain… Kalau abah tahu pun, takda mulut lain yang bagi tahu melainkan mulut terlebih insurance kau tu.” Kata Awra masih berdegil. Tidak mahu mengalah dengan abangnya.

“Kalau macam tu, Ati ikut sekalilah bang. Ada jugak partner bosan nanti...” Sampuk Athirah dengan senyuman yang tidak sampai hati melihat wajah penuh mengharap adik iparnya itu. Dia tahu Awra bukanlah jenis gadis yang suka keluar pada waktu malam. Hanya ada sebab tertentu sahaja baru gadis itu akan keluar. Itu pun dengan orang yang hanya dikenali oleh ahli keluarga.

Cayalah kak… Jom kita pergi.” Cepat benar suara Awra berubah ceria. Dia tahu kakak iparnya itu sengaja membantunya. Secepat itu juga Awra masuk ke dalam bilik untuk menukar pakaian.

“Hm… Nampaknya, dah takda genglah abang lepas ni…” Usik Firdaus dengan suara yang sengaja dilirihkan.

“Alah… Bukan selalu…” Balas Athirah manja. Sempat dicuit hujung hidung suaminya sebelum masuk ke bilik untuk menukar pakaian.
……………….
“Bang, kau sokong team mana ni? Game sekarang Liverpool dengan Manchester United. Fir tengok baju Arsenal yang abang pakai malam ni kenapa pulak?” Tanya Awra apabila melihat suasana di restoren itu dipenuhi dengan kaum Adam. Gamat dengan soarakan mereka. Pelbagai rupa dan cara dalam menyokong pasukan kegemaran masing-masing. Mujur mereka tiba awal tadi. Jika tidak, pasti mereka tidak mendapat tempat duduk. Dengan sekelip mata restoren 24 jam itu dipenuhi dengan peminat bola sepak. Dan dia perasan juga ada beberapa orang kaum Hawa yang turut sama menonton.

“Aku kan memang penyokong setia Arsenal. Saja aje nak tengok game malam ni.” Jawab Firdaus dengan mata melekat ke skrin besar di hadapan mereka.  Air teh tarik menjadi pilihan Firdaus dan Athirah malam itu. Tetapi tidak pada Awra. Gadis itu memilih untuk minum air teh bunga. Sejak dulu lagi Awra memang peminat setia teh bunga itu. Ke mana sahajalah dia pergi, pasti air itu yang menjadi pilihan.

“Apalah abang ni. Baik tak payah datang…” Ejek Awra melihat mata abangnya sedikit pun tidak bergerak dari skrin besar itu.

“Diamlah kau dik.” Balas Firdaus sedikit pun tidak terkesan dengan kata-kata adiknya sebentar tadi. Fokusnya lebih kepada perlawanan yang sedang berlangsung.

Athirah pula hanya tersenyum melihat dua beradik itu.

“Awra, kalau nak makan apa-apa, order ajelah. Malam ni akak belanja.” Ujarnya kemudian apabila dia perasan mata adik iparnya itu liar memandang ke sekeliling. Sepasang mata itu sedikit pun tidak fokus pada skrin besar di hadapan.

“La… Kenapa tak cakap dari tadi. Penat Fir tunggu akak offer. Hihi…” Jawab Awra sambil tersengih.

“Kan kita dekat kedai makan sis. Dah nama pun kedai makan kan… Makan ajelah Awra.” Balas Athira seraya menggelengkan kepala. Tahu benar perangai Awra yang suka sangat bergurau.

“Kak Ati, Fir gurau ajelah… Bukan nak makan sangat pun. Tapi disebabkan akak dah offer kan… Apalah salahnya.” Jawab Awra dengan kening yang terangkat. Sebaik tiba di restoren 24 jam itu, dia teringin makan mi rojak di situ. Tetapi, abangnya yang melarang kerana mereka baru sahaja lepas makan sebelum keluar tadi.

“Ada-ada ajelah Awra ni… Awra order ajelah nak makan apa pun… Akak bayar. Jangan risau…” Balas Athirah senang. Sedikit pun tidak keberatan untuk membayar harga makanan yang dipesan oleh Awra.

“Terbaiklah kak…” Ucap Awra ceria. Tangannya sudah dinaikkan sedikit untuk menggamit pelayan restoren.

“Eh, kau nak tambah air lagi ke?” Soal Firdaus yang perasan apabila Awra mengangkat tangan.

“Taklah. Nak order makan.” Jawab Awra selamba.

Seorang pelayan restoren menghampiri meja mereka dengan membawa menu.

“Bang, saya nak mi rojak satu, roti canai satu.” Kata Awra kepada pelayan lelaki berbaju putih itu.

“Lagi?” Lelaki itu menyoal kembali.

“Abang nak order apa-apa ke?” Soal Awra kepada Firdaus.

“Tak naklah. Kau ajelah yang makan.” Jawab Firdaus dengan mata tertumpu semula ke skrin besar.

“Okeylah. Tu aje.” Ujar Awra sambil menghadiahkan senyuman sebelum pelayan itu berlalu.

“Awra memang betul lapar atau sengaja nak rasa makanan dekat sini?” Tanya Athirah yang sedikit terkejut dengan makanan yang dipesan oleh Awra.

“Nak makanlah kak…” Balas Awra sambil tersengih. Entah kenapa tekaknya ingin merasai makanan di restoren 24 jam itu. Kebanyakan pelanggan yang datang ketika itu tidak pun memesan makanan. Sebaliknya memesan bergelas-gelas air teh tarik. Berlonggok-longgok gelas di atas satu meja.

“Jangan membazir sudah. Akak tak boleh jawab kalau Awra jadi kekasih Encik Syai malam ni sebab tak habis makan.” Usik Athirah.

“Insha Allah tak… Fir tengah bersemangat nak makan ni.” Jawab Awra seraya tersenyum lebar. Dia berdoa agar makanan di restoren itu menepati piawaian tekaknya.

“Kalau tak habis… Siap kau dik…” Celah Firdaus pula sebelum menghirup perlahan air teh yang sudah pun suam.

“Bilanya nak gol ni? Lambat sangat.” Omelnya sendiri apabila melihat penyokong-penyokong pasukan yang bermain begitu khusyuk menonton. Tidak sabar untuk melihat aksi mereka apabila pasukan yang diminati menjaringkan gol.

Daripada pemerhatiannya, kebanyakan pelanggan yang datang menonton perlawanan ketika itu adalah penyokong kuat Liverpool. Sebuah meja berhampiran dengan meja yang mereka duduki juga merupakan penyokong Liverpool. Dia perasan tiga orang lelaki di meja itu lebih awal tiba dari mereka. Cuma wajah mereka tidak dapat dilihat kerana duduk menghadap skrin. Sesekali dia terdengar ketiga-tiga lelaki itu memberi komen terhadap perlawanan yang sedang berlangsung. Di mana, dilihat permainan lebih dikuasai oleh pasukan lawan.

Seketika kemudian, seorang pelayan mengahampiri mereka untuk menghantar makanan yang dipesan tadi. Bersinar-sinar matanya melihat mi rojak dan roti canai yang tersedia. Seperti biasa dia dengan gaya pengkritik makanannya meneliti makanan yang terhidang. Tangan mencapai sudu dan garfu yang siap dilap dengan sehelai tisu. Satu tabiat Awra sebelum makan. Dia akan memastikan sudu dan garfu yang akan digunakan bersih dari sebarang kekotoran. Matanya cukup tajam jika melihat ada sebarang kekotoran pada sudu dan garfu yang digunakan.

“Kak Ati, tak nak rasa ke?” Soal Awra selepas suapan pertama mi rojak masuk ke dalam mulut.

“Kalau Kak Ati nak, Kak Ati mintak. Akak kenyang lagi ni.” Jawab Athirah menolak.

“Bang, kau nak tak?” Soal Awra kepada abangnya pula.

“Kau makan ajelah.” Jawab Firdaus dengan mata masih tertumpu kepada skrin besar.

Awra hanya menggelengkan kepala. Pelik benar dengan peminat-peminat fanatik sukan bola sepak. Sanggup duduk berjam-jam semata-mata kerana bola sepak. Dia yang baru sepuluh minit perlawanan bermula sudah buat muka bosan. Inikan pula ingin duduk lebih dari satu jam. Memang tidurlah jawabnya.

“Gol!!!!!!”

Awra yang sedang leka mengunyah mi rojak, terus tersedak. Terkejut dengan sorakan kuat abangnya beserta beberapa lagi penyokong Manchester United apabila pasukan itu berjaya menjaringkan gol.

“Apa benda abang ni! Tadi kata penyokong setia Arsenal. Apahal pulak dia yang paling excited!” Marah Awra yang terbatuk-batuk. Terasa perit tekaknya dek kerana kuah kacang yang pedas. Athirah pula sudah ketawa kecil melihatnya.

“Awra minum dulu…” Athirah menghulurkan air mineral seraya mengusap perlahan belakang tubuhnya.

Awra meneguk perlahan air mineral untuk melegakan tekak. Dan belum pun sempat air mineral di dalam mulutnya habis ditelan, sekali lagi dia tersedak apabila kali ini sorakan gol bergema kuat. Rata-rata penonton di situ penyokong Liverpool membuatkan sorakan lebih kuat berbanding tadi hingga telinganya terasa bingit. Dia perasan akan sebuah meja di hadapan mereka. Tiga orang lelaki itu lebih kuat sorakannya.

“Abang, kau ni sokong mana? ManU gol kau sorak, Liverpool gol pun kau sorak.” Ujar Awra dengan hidung yang mula berair kerana termasuk air. Mujur tiada manusia yang duduk di hadapannya. Jika tidak, habis lencun kena sembur. Cuma yang menjadi mangsanya kini pinggan mi rojaknya.

“Aku sokong dua-dua…” Jawab Firdaus selamba sambil tersengih. “Yang kau pulak dik, apa fasal sampai tersedak-sedak ni? Mesti kau gelojoh makan kan?” Tebak Firdaus apabila melihat adiknya yang masih berair mata selepas tersedak tadi. Perasan hujung hidung adiknya itu mula memerah.

“Tolong sikit eh… Kalau dah semua tiba-tiba menjerit macam orang gila apa hal? Sebab bola sebiji, sorak macam orang sewel. Macamlah sorak tu dapat duit. Dah la sokong kelab luar. Kelab sendiri tak nak pulak sokong. Kutuk lagi ada.” Komen Awra tidak mengalah.

Mujur suasana restoren itu sedikit bising selepas gol tadi. Cuma dia perasan tiga orang lelaki yang duduk di hadapan meja mereka sesekali menoleh kepadanya. Mungkin terdengar apa yang diucapkan tadi.

‘Ah! Lantaklah! Siapa suruh korang jerit kuat-kuat sampai aku terperanjat.’ Sempat hatinya membebel sendirian. Dia membuat muka selamba. Sedikit pun tidak memandang ke wajah ke tiga-tiga lelaki di hadapannya itu. Perit tekaknya masih terasa kerana tersedak tadi.

“Tu la feel namanya.” Balas Firdaus dengan mata terhala pada skrin besar itu semula. Perlawanan masih lagi berlangsung. Sedikit pun tidak peduli dengan adiknya yang membebel.

Awra menjuihkan bibir. Pelik dengan orang-orang fanatik ni!

“Awra, tukarlah mi rojak ni. Dah masuk air yang Awra tersedak tadi.” Ujar Athirah apabila melihat pinggan mi rojak tadi bercampur air.

“Takpalah kak. Dah takda selera nak makan.” Balas Awra yang sesekali batuk. Air the bunganya tadi disedut perlahan.

“Ada pulak macam tu. Kan Awra baru makan sikit. Akak order lain ya?” Athirah sudah mengangkat tangan untuk menggamit pelayan restoren.  Serentak dengan itu, seorang lelaki dari meja hadapan mereka menghampiri.

“Bang! Tak perasan abang duduk sini. Selalu lepak dekat sini jugak ke?” Ramah lelaki itu menegur sambil duduk di kerusi kosong hadapan Awra. Tangan dihulur untuk bersalaman dengan Firdaus. Senyuman dilempar pula kepada Athirah.

Awra sedikit pun tidak memandang ke wajah lelaki yang duduk di hadapannya. Dia leka pula memotong roti canai agar menjadi cebisan-cebisan kecil. Suara lelaki itu seperti dikenali. Tetapi dia buat tidak endah. Pasti rakan-rakan abangnya yang duduk di kawasan berhampiran. Dia meneka sendirian.

“La… Kau ke.. Ingat siapalah yang dapat duduk seat depan tu tadi.” Balas Firdaus sambil tersengih apabila lelaki yang menghampiri meja mereka duduki itu Faiq Faisal.

“Faisal. Ingat pasukan sorak mana tadi.” Seloroh Athirah pula.

Sebaris nama yang meniti bibir kakak iparnya membuatkan tangannya terhenti. Wajah ditegakkan untuk melihat ke arah suara yang menegur tadi agar tidak tersalah orang. Bibir diketap bibir saat mata mereka bertemu. Namun, cepat dilarikan. Darah menyerbu ke muka tiba-tiba apabila melihat lelaki itu tersenyum kepadanya.

“Panggil Faiq aje kak.” Ujar Faiq dengan senyuman. Lebih selesa dengan panggilan itu. “Hai. Awak ni yang jatuh tergolek dekat kedai saya hari tu kan?” Lanjut Faiq dengan sengaja menekan sedikit suaranya.

Awra diam membatu. Cuba mengawal perasaan saat itu. Rasa geram dan malu bergabung menjadi satu. Dia perasan dua lagi rakan lelaki itu turut menoleh kepadanya. Begitu juga dengan penghuni meja-meja berhampiran. Suara Faiq Faisal masih mampu didengari kerana keadaan yang sudah sedikit tenang selepas lima minit gol penyamaan.

Sempat matanya singgah ke wajah abang dan kakak iparnya yang melepaskan tawa kecil. ‘Cis! Sepakat gelakkan aku!’ Kutuknya dalam hati.

“Kak, saya nak pergi toilet kejap.” Ujarnya pantas seraya bangun. Sakit hatinya melihat senyuman mengejek di bibir Faiq.

“Cik Adik, nanti keluar toilet tu pandang-pandang sikit. Takut terjatuh lagi.” Terdengar suara itu berpesan selepas beberapa langkah dia menjauhi meja.

Awra sekali lagi ketap bibir geram. Terdengar tawa halus dari meja-meja lain. Berkilo-kilo malam ni dia malukan aku!

Tiba di tandas, lama dia berdiri di hadapan cermin besar itu. Jelas kedua-dua pipinya merah menahan rasa malu kerana mulut celupar Faiq. Terasa cukup berbahang dan sama berbahang apa yang dirasakan dalam hatinya. Ingin sahaja dia menjerit sekuat hati melepaskan rasa geram dan marah yang berbuku. Gila punya lelaki! Sempat hatinya mengutuk. Cepat dia membasahkan wajahnya dengan harapan merah di kedua-dua belah pipinya segera hilang. Ada kari, ada rempah Babas. Ada hari, siaplah kau, aku balas! Katanya dalam hati sebelum menapak keluar.

Dari jauh, dilihat lelaki tadi tidak lagi menempel di mejanya. Entah ke mana hilangnya. Pandangan mata dibuang ke sekitar restoren namun tidak kelihatan. Dalam tidak sedar dia mengukir senyum. Lapang hatinya apabila bayang lelaki itu hilang dari pandangan.

“Hai!” Tegur satu suara rapat di telinga menyebabkan telefon bimbit yang dipegang terlepas. Habis terburai isi perut telefon bimbit kesayangannya ke lantai.

“Lain kali jalan tu jangan berangan.” Sindir suara itu pula membuatkan Awra menjeling tajam. Dia ni lagi! Dengan rasa geram dia mengutip semula isi perut gajet yang terburai tadi.

“Ada lagi rupanya orang pakai handphone macam ni.. Ketinggalan zaman betul…” Komen Faiq yang turut sama mengutip komponen yang tercabut.

Pada perkiraannya, model telefon tersebut tiada pun di pasaran lagi. Bibir sembunyi senyum. Tetapi dalam hati sudah berdekah-dekah tawanya apabila melihat wajah yang masam mencuka itu dengan mulut yang terkumat-kamit. Entah apa yang dibebelkan gadis itu.

“Bagi sini bateri saya tu!” Bentak Awra apabila Faiq Faisal mendahului capai bateri telefonnya yang tercampak di kaki lelaki itu tadi. Dia sudah berdiri di hadapan lelaki itu dengan perasaan marah yang meluap-luap.

“Erm.. Saya rasa dah tiba masanya awak tukar handphone buruk awak tu. Dah teruk sangat saya tengok. Keypad pun sampai dah tercabut. Ni kalau jadi tukun pun, ikan tak sudi.” Tambah lelaki itu tanpa mempedulikan wajah Awra yang merah padam merenungnya tajam. Dia masih membelek bateri telefon Awra yang berada di tangannya.

“Hey! Suka hati sayalah nak pakai handphone buruk ke apa. Awak paduli apa saya pakai handphone apa pun! Bagi sini bateri saya tu!” Balas Awra garang. Suka hati dia aje nak kutuk handphone aku! Aku tahulah kau kaya! Tak payahlah nak kutuk orang! Mujur kedudukan tandas itu sedikit jauh dari tempat akan. Jika tidak, pasti mereka menjadi perhatian.

“Memanglah… Saya peduli apa awak pakai handphone apa pun kan. Kalau betulkan iphone saya yang rosak hari tu, harganya lagi mahal dari harga handphone awak ni tau. Erm.. Tapi rasanya handphone awak ni mesti dah rosak kan? Tengok ni, skrin pun dah retak. Mesti dah tak boleh guna lagi. Bateri ni pun mesti dah takda function lagi kan. Biar saya tolong buangkan ajelah.” Balas lelaki itu selamba seraya menghampiri tong sampah berhampiran dan membuang bateri telefon yang dipegang tadi.

Hampir terlopong mulutnya apabila melihat tindakan selamba Faiq. Tidak sempat dia menghalang, lelaki itu terus sahaja berlalu ke meja semula. Membulat matanya melihat tindakan Faiq yang tiada rasa bersalah. Bibir diketap serapatnya. Perasaan geram dan marah seperti tidak tertanggung lagi. Diakui telefon bimbitnya itu sudah pun uzur benar. Tetapi masih lagi boleh digunakan sebelum terhempas kerana terkejut dengan lelaki itu tadi. Gila punya lelaki! Jeritnya dalam hati.

Dengan perasaan marah dia kembali semua ke meja. Sebaik tiba, sekali lagi sorakan bergema di dalam restoren itu. Tetapi hanya penyokong Manchester United sahaja yang bersorak termasuk abangnya yang menjadi penyokong lalang malam itu. Paling jelas kekecewaan yang boleh dilihat adalah di meja hadapannya. Meja lelaki yang membuang bateri telefon bimbitnya tadi.

“Padan muka kalah!” Kutuknya geram dengan pandangan tajam memanah ke arah belakang tubuh lelaki yang duduk membelakanginya itu.

“Abang, jomlah balik. Confirm Liverpool kalah. Dah tak payah nak sokong-sokong lagi!” Ujar Awra sedikit kuat sengaja ingin Faiq mendengarnya. Hatinya yang panas dengan tindakan lelaki itu tadi masih belum reda.

“Awra kenapa ni?” Soal Athirah yang melihat wajah merah padam adik iparnya itu.

“Penatlah kak tengok team kalah main. Macam tak reti nak main bola..” Kutuk Awra selamba dengan mata tidak lepas memandang ke arah meja di hadapannya. Dia perasan dua orang lagi teman Faiq sudah tertoleh-toleh kepadanya. Hanya lelaki itu sahaja masih duduk membatu di situ.

Athirah yang masih tidak memahami terus mendiamkan diri. Tidak sesuai pula untuk bersoal jawab di situ memandangkan perlawanan masih lagi belum tamat. Suaminya sendiri masih tekun menonton. Sedikit pun tidak terusik dengan kata-kata Awra.

Awra sudah berpeluk tubuh dengan wajah yang kelat. Roti canai yang dipotong kecil tadi pun tidak lagi disentuh. Terus mati seleranya setelah melihat apa yang berlaku di hadapan tandas tadi. Panas membahang wajahnya menahan marah. Tindakan selamba lelaki itu benar-benar menyakitkan hati. Dia masih tidak faham kenapa lelaki itu boleh bertindak sedemikian rupa. Padahal, mereka tidak pernah pun kenal sebelum ini. Bertemu pun baharu tiga kali.

Dia tetap sabar menanti di situ walaupun perlawanan bola itu langsung tidak menarik minatnya. Matanya tetap sahaja singgah ke belakang tubuh Faiq yang tidak langsung menoleh. Sebaik sahaja mendengar pengadil permainan meniup wisel penamat, Awra terus bingkas untuk mengatur langkah ke tempat letak kereta. Tidak betah lagi berlamaan di situ untuk bersua muka dengan lelaki yang telah menyakitkan hatinya tadi. Menyampah teramat!

“Dik.. Lajunya.. Relax la..” Terdengar suara abangnya menegur membuatkan langkah Awra mati. Dia menoleh ke wajah abang dan kakaknya yang masih duduk. Serta-merta matanya membulat apabila melihat seraut wajah yang sedang tersenyum sinis kepadanya. Bibir diketap kuat sebelum menyambung semula langkah. Sewel punya lelaki! Selamba hatinya mengumpat.

6 comments:

MaY_LiN said...

soarakan~sorakan

isk faiq ni
nk ngorat2 awra lak
:)

lin ms said...

Menarik gile...xsabar nk tau ape jd dgn faiq n awra ni.

Kak Min. said...

Lma tnggu KYMA ni.. AWRA pn AWRA la.. mmg ska critani.. TERUSKN..

arsha wangi said...

terima kasih Kak Min :)

Kak Sue said...

Faiq kalau nak berkenalan dan no hp cakap ja... ni main terjah orang mana x jatuh hp Awra... kasihan Awra....

muda_13 said...

Kaki mengusik jugak Faiq ni, ish ish ish.awra jangan melatah je, relax ar. Nice story cik Arsha