Jun 7, 2013

Jangan tak mungkin_final part

Maaf atas segala kekurangan.. :)
terima kasih kepada yang sudi membeli BAJP. ~juga banyak kekurangan yang ada :(
Really appreciate it! :')

**********
Jangan tak mungkin_final part

“Er..” Tergagap Azam ingin menuturkan kata di hadapan kedua-dua ibu bapa Ada dan abahnya yang turut sama ada di situ.

Mata terhala ke wajah abahnya sekilas. Dia perasan senyuman yang tergaris di bibir tua itu.

‘Haih abah ni.. Tolonglah sikit.. Boleh pulak senyum macam tu..’ Rungut Azam dalam hati. Kini dia terpaksa menelan kata-katanya dahulu. Oleh sebab dia sudah berkenan dengan Ada, dia terpaksa mengotakan kata-kata yang pernah diucapkan kepada abahnya.

“Kamu ni macam tak biasa pulak Azam… Cakap ajelah apa yang kamu nak cakap.” Encik Shukri bersuara dengan senyuman di bibirnya. Dia sudah sedia maklum apa yang sedang berlaku kepada anak jirannya itu. Sengaja dia mahu melihat keberanian Azam untuk berterus-terang dengannya.

“Er.. Macam ni Uncle.. Sebenarnya Azam.. Erm..” Terasa ombak gugup sedang melanda hatinya menyebabkan dia tergagap-gagap begitu.

“Ma, Ada dah sedar.” Muncul Shahimi tiba-tiba membuatkan semua mata terhala ke arahnya.

“Dah sedar pun budak bertuah tu..” Sahut Puan Shima sebelum bingkas bangun.

Dia agak terkejut saat Azam membawa pulang anak bongsunya yang pengsan itu dalam persalinan pengantin. Dia sendiri tidak faham apa sebenarnya yang telah berlaku.

Encik Zakuan dan Encik Shukri pula memandang antara satu sama lain sebelum tawa terhambur dari bibir kedua-duanya.

Azam hanya mampu membuang pandang ke arah lain apabila dia cukup faham akan makna tawa yang terhambur itu. Kebas wajahnya.

“Lain kali cakaplah awal-awal bro. Takdalah sampai pengsan-pengsan budak tu kau kerjakan..” Ujar Shahimi sambil menepuk bahunya.

Bibir tersengih kelat.

“Habis tu, sekarang macam mana ni? Kamu betul ke nakkan anak uncle tu?” Ujar Encik Shukri dalam sisa tawanya. Dia tidak mahu bertangguh lagi apabila melihat wajah Azam yang memerah. Dia tahu apa yang tersirat di hati anak muda itu.

Azam tersenyum pahit memandang ke wajah Encik Shukri. Termalu sendiri dengan apa yang berlaku. Bapa si perempuan pula yang melamarnya untuk jadi menantu.

“Alah… Diam tu tanda setujulah yah..” Celah Shahimi pula yang turut tersengih melihat wajah Azam yang malu-malu.

“Tak payah tanya pun memang dia dah setuju Shukri..” Sampuk Encik Zakuan sambil melirik ke wajah anak sulungnya itu.

Azam menggaru kepalanya yang tidak gatal untuk membuang kekalutan yang ada.

“Kalau macam tu senanglah.. Kita jalankan aje sekali majlisnya dengan Shah.” Sahut Encik Shukri yang sememangnya sudah mengenali hati budi Azam sejak kecil lagi. Dia yakin lelaki itu dapat membimbing anak gadisnya yang seorang itu.

“Tak cepat sangat ke Shukri? Kita tak tahu lagi keputusan empunya diri. Budak tu tak sempat bagi jawapan lagi tadi dah pengsankan? Dibuatnya budak tak setuju.. Macam mana?” Ujar Encik Zakuan yang masih mahu mendengar sendiri persetujuan dari pihak Ada. Dia tidak mahu anaknya itu hanya bertepuk sebelah tangan.

“Jangan risaulah Uncle. Ada mesti setuju punya. Kalau tak, takdanya dia sampai pengsan bila Azam bagi cincin tadi.” Sahut Shahimi dengan sengihan mengusik.

Azam tersenyum malu. Dia sendiri tidak menyangka hingga begitu sekali impaknya bila dia mahu melamar tadi. Dalam masa yang sama, dia yakin yang gadis itu turut menyimpan rasa yang sama dengannya. Mata bundar itu tidak mampu menipu.

“Hah.. Elok kamu dah sedar. Mari duduk sini sekali. Ayah nak bincang fasal hal kamu dengan Azam ni..” Ujar Encik Shukri saat Ada dan isterinya muncul di ruang itu. Anak gadisnya masih lagi mengenakan baju pengantin tadi. Hanya wajahnya sahaja masih sedikit pucat.

Ada tidak punya pilihan. Terpaksa menurut. Tidak terpandang akan wajah Azam ketika itu. Dia malu apabila teringat kembali apa yang berlaku di butik tadi. Seperti tidak percaya yang dia kini berada di rumah. Tidak dapat dibayangkan bagaimana dia dicampung oleh Azam seperti mana diberitahu oleh abangnya tadi.

“Sekarang ni macam mana?” Ujar Encik Shukri sebaik Ada melabuhkan duduk di sisi isterinya.

“Aku ikut aje mana-mana yang baik Shukri..” Sahut Encik Zakuan yang sempat mengerling ke arah Azam. Dia perasan anak sulungnya itu sibuk mengintai wajah Ada yang hanya menunduk.

“Kamu Ada.. Macam mana sekarang ni? Kamu setuju kalau ayah satukan sekali kamu dengan Azam masa majlis Shah nanti?” Encik Shukri ingin mendengar persetujuan daripada anak bongsunya itu.

Shahimi waktu itu sudah menepuk-nepuk bahu Azam yang kelihatan gentar. Pasti risau dengan keputusan daripada adiknya.

Ada meramas-ramas sendiri jemarinya yang bertaut. Terasa mahu pitam sekali lagi berhadapan dengan keadaan serba salah begitu. Semuanya secara mengejut. Dia masih belum mampu menghadam segala-galanya.

“Ada.. Ayah tanya tu.” Puan Shima bersuara sambil memaut bahu gadis itu.

“Er.. Ada..”

“Setuju ajelah dik..” Sampuk Shahimi.

Ada mengangkat wajahnya. Dia memandang satu persatu wajah yang ada di ruang itu sebelum berhenti di wajah Azam. Dia perasan wajah itu penuh mengharap. Cuma dia masih keliru dengan perasaannya sendiri.

“Er.. Ada..”

“Ada Ada dari tadi.. Penat tunggu jawapan kamu ni haa..” Sergah Encik Shukri.

“Ada tak sedia ayah.. Ada tak nak.” Lancar dia menuturkannya sebelum terus bingkas. Laju kakinya melangkah untuk masuk semula ke dalam bilik. Entah kenapa ada air hangat mula bertakung di tubir matanya saat itu pandangan mata singgah pada baju yang masih tersarung di tubuh.

Sementara Azam dan yang lain-lain, terpempan sendiri. Encik Shukri dan Encik Zakuan masing-masing menghela nafas panjang.

“Sabarlah bro..” Ucap Shahimi cuba menenangkan Azam yang jelas terkejut dengan jawapan adiknya tadi. Ditepuk perlahan bahu sahabatnya itu.

Azam menyandarkan tubuhnya dengan keluhan berat terlepas. Musnah sama sekali impian dan harapannya.

********
“Tak payahlah nak jenguk-jenguk sangat dekat luar tu. Azam memang tak datang.” Sapa Shahimi tiba-tiba membuatkan Ada menjadi kalut sendiri.

“Er.. Siapa yang cari dia.. Mana ada..” Jawab Ada serba tidak kena sebelum dia beredar dari situ. Acara persandingan abangnya baharu sahaja selesai.

Time ada, sibuk tolak. Dah takda, tercari-cari pulak.” Selamba Shahimi menyindir membuatkan langkah adiknya itu terhenti.

Selepas peristiwa di butik dan penolakan Ada, Azam lebih banyak menjauhkan diri darinya dan keluarga. Malah lelaki itu kini semakin sibuk dengan kerja dan sering bekerja di luar kawasan. Dan seminggu lalu ketika hari pernikahannya, Azam terus ke Labuan.

“Apa abang merepek ni? Siapa kata Ada cari Azam?” Balas Ada selepas memusingkan tubuhnya. Dia masih cuba menafikan apa yang dirasakan saat itu.

Shahimi tersenyum sinis.

“Ada jangan nak tipu abanglah. Ada ingat abang tak perasan setiap hari Ada intai-intai rumah Azam tu?” Sindir Shahimi lagi. Dia mahu adiknya itu tahu Azam benar-benar serius dengan keputusan yang telah dibuat sebelum ini. Cuma Ada sahaja seperti tidak yakin dengan apa yang cuba dilakukan oleh sahabatnya.

Ada merengus halus. Senyuman sinis sama tersungging di bibirnya dengan debar di dada yang tiba-tiba hadir.

“Takda sebab Ada cari dia.” Balasnya selamba.

“Ada jangan buat kelakarlah. Abang belum buta lagi. Kenapa susah sangat nak mengaku yang Ada tu sebenarnya suka Azam? Teruk sangat ke Azam tu sampai Ada sanggup tolak dia? Ada tahu tak Azam tu kawan baik abang dari kecik lagi. Semua fasal dia ada dalam poket abang ni tau. Kalau Azam pilih Ada jadi isteri dia, abang rasa Ada orang bertuah sekali tahu? Hati dia belum pernah terisi dengan mana-mana perempuan selain arwah Aunty Jessi. Ada tahu tak?” Jelas Shahimi panjang lebar dengan harapan terbuka sedikit pintu hati adiknya untuk menerima Azam. Dia tahu sahabatnya itu kini sedang membawa diri merawat hati yang terluka. Walaupun lelaki itu tidak mengadu apa-apa dengannya, namun riak kekecewaan yang terlukis sudah membuktikan segala-galanya.

“Boleh percaya ke?” Selamba Ada memperkecilkan Azam walaupun hatinya saat itu sudah berdebar kencang. Dia mula berperang dengan perasaan sendiri. Ada perasaan menyesal? Sumpah! Perasaan itu memang sudah bertapak di situ sejak dia menolak lamaran lelaki itu.

“Ada tak percaya abang takpa. Ada boleh tanya sendiri pada Nana. Takkan adik dia pun nak menipu. Kalau tak percaya jugak, Ada boleh tanya Uncle Zakuan sendiri. Tak mungkin Uncle Zakuan nak tipu Ada. Mama dengan ayah pun tahu Azam macam mana.” Jawab Shahimi yang sedikit terusik dengan pertanyaan berbaur sindiran dari adiknya itu. Jelas yang Ada masih ragu-ragu dengan apa yang disampaikan tadi.

Ada tetap juga melemparkan senyuman sinis. Dia cuba menyembunyikan perasaannya yang sebenar.

“Jangan memilih sangat Ada. Kadang-kadang kita tak sedar orang yang depan mata tu sebenarnya orang yang paling bermakna bagi kita. Bila takda, sibuk mencari. Bila dah ada depan mata, kadang-kadang kita buat tak tahu aje..” Sambung Shahimi penuh makna.

Ada masih tetap diam. Pandangan matanya dilemparkan ke arah tetamu yang masih belum pulang di bawah khemah. Uncle Zakuan dan adik Azam juga masih ada di situ. Sungguh hatinya sudah pandai membisikkan kata rindu sejak Azam menjauhkan diri darinya.

“Abang tak nak Ada menyesal di kemudian hari. Susah nak cari lelaki yang susah sayang perempuan ni Ada. Azam kalau sekali dia dah sayang, sampai bila-bila dia sayang..” Shahimi masih cuba memancing perasaan adiknya itu.

“Tu, Nana panggil tu. Pergilah..” Lanjutnya kemudian apabila perasan adik Azam sedang menggamit mereka.
Ada turut memandang ke arah yang sama.

“Fikir apa yang abang cakap tadi Ada..” Tambah Shahimi sebelum Ada mula melangkah.

Ada masih diam tidak membalas. Memang apa yang terucap di bibir abangnya tadi kini sudah terpahat dalam hati dan kepalanya.

*********
“Tambah lagi Zam.. Kurus sangat Aunty tengok kamu sekarang ni? Tak makan ke?” Puan Shima menyendukkan nasi tambah ke dalam pinggan Azam yang sudah pun kosong.

“Eh.. Dah Aunty. Cukup ni..” Azam cuba menolak walaupun pinggannya kembali penuh.

“Tak payah malu-malu Zam. Macam tak biasa kamu ni.” Encik Shukri bersuara di kepala meja.

Azam tersengih kelat. Mahu atau tidak, dia terpaksa menghabiskan nasi di dalam pinggannya walaupun sudah terasa kenyang.

“Mana tak kurusnya. Kalau dah hari-hari makan mi segera Shukri.” Sahut Encik Zakuan di sisi Azam.

“Eh.. Ada tak hantar lauk ke Shima?” Encik Shukri bertanya kepada isterinya. Setahunya, anak bongsunya itu tidak lupa untuk menghantar lauk pada setiap hari.

“Apa pulak tak hantarnya.. Sedap-sedap Ada hantar. Dia yang takda selera makan.” Jawab Encik Zakuan tanpa sempat Puan Shima membuka mulut.

Azam tersengih kelat.

“Apa kau ni Zam.. Tak sayang muscle ke? Kau tak perasan ke badan kau sekarang ni dah kurus sangat?” Sampuk Shahimi pula.

Puas dia memujuk sahabatnya itu siang tadi untuk makan malam bersama. Itu pun kebetulan Ada tiada di rumah. Jika tidak, memang susahlah sahabatnya itu menjejakkan kaki ke rumahnya. Sudah hampir tiga bulan selepas majlis perkahwinannya, itulah kali pertama Azam datang ke rumahnya. Lelaki itu sebelum ini lebih sibuk dengan hal kerja.

“Kurus ke..Gemuk ke.. Bukan ada orang nak pun..” Luah Azam perlahan. Namun hanya dalam hati. Bibir dipaksa mengoyak senyum manis. Rasa kecewa di hati hanya Allah yang tahu.

“Zam, kita lelaki ni pun kena jaga badan jugak.. Bukan perempuan aje yang kena jaga badan. Kan Zakuan?” Ujar Encik Shukri dalam senyuman. Dia faham apa yang sedang melanda hati anak muda itu.

“Takpa uncle. Janji Azam tak sakit, okeylah ni..” Jawab Azam senang. Nasi yang masuk ke dalam mulutnya itu terasa makin payah untuk ditelan. Pandangan mata mencerun ke arah pinggannya apabila mata berlaga seketika dengan mata abahnya.

“Erm.. Pukul berapa Ada nak balik Shima? Dekat pukul 9 ni.” Ujar Encik Shukri sebaik membuat suapan yang terakhir.

“Dia ke mana sebenarnya Shukri. Tadi aku nampak ramai kawan-kawannya datang tadi.” Soal Encik Zakuan sebelum mencapai bekas cuci tangan yang dihulurkan oleh isteri Shahimi.

“Ada reunion katanya tadi.” Jawab Encik Shukri sebelum bingkas dan diikuti dengan Encik Zakuan.

Azam yang mendengar sepatah nama gadis yang masih setia bertakhta di hatinya itu, cuba mengawal riak. Tidak mahu menunjukkan sebarang reaksi.

“Zam… Kau jangan risau. Aku akan make sure kau takkan jumpa Ada. Dia mesti balik lambat punya.” Shahimi bersuara perlahan walaupun isteri dan ibunya sudah pun masuk ke dapur. Tinggal dia dan Azam sahaja di situ.

Azam tersenyum tepi. Memang bibirnya menolak untuk bertemu dengan gadis itu, namun apa yang tersirat di hati jauh bezanya. Begitu membuak desakan hati dan memandang wajah comel itu lagi.

“Assalamualaikum..” Terdengar ada suara lembut memberi salam di muka pintu membuatkan Azam yang sedang meneguk air terus tersedak. Terbatuk-batuk apabila air masuk ke dalam rongga pernafasan.

“Kau okey ke Zam?” Shahimi cuba mengurut perlahan belakang badan Azam yang masih terbatuk-batuk.

“Assalamualaikum uncle!” Ramah Ada menegur Encik Zakuan di ruang tamu bersama ayahnya.

“Baru balik kamu..” Balas Encik Zakuan  berbasa-basi.

“Haah.. Erm.. Ada masuk dulu uncle.” Ada meminta diri. Tubuhnya terasa melekit dan dia ingin segera membersihkan diri. Dan saat kaki melewati ruang makan, langkahnya terhenti. Belakang tubuh seorang lelaki yang sedang terbatuk-batuk cukup dikenali. Serta-merta jantungnya berdegup laju.

“Ada, dah makan? Kalau belum, akak ambikkan nasi. Tu duduk sekali dengan Azam.” Ujar Aqila yang melangkah semula ke ruang makan itu untuk mengambil gelas dan pinggan yang telah digunakan.

“Er.. Takpalah kak.. Ada dah kenyang.. Ada masuk dulu.” Tergagap Ada menjawab sebelum laju mengatur langkah. Namun langkahnya sekali lagi terhenti apabila namanya dipanggil. Dia tidak berani menoleh kerana yakin matanya akan bertemu dengan mata Azam yang masih duduk di sisi abangnya.

“Lepas mandi tu nanti, turun. Mama dah masakkan bubur jagung yang Ada nak tadi.” Muncul Puan Shima pula di ruang itu sambil membawa dulang berisi seteko air kopi untuk dihantar ke ruang tamu.

Tarikan Azam begitu kuat membuatkan dia menoleh juga walaupun akalnya menegah. Bibir diketap rapat apabila matanya benar-benar berlaga dengan mata Azam. Lain benar wajah itu kini. Cengkung, kurus seperti orang tidak sihat. ‘Apasal dia ni.. Macam orang tak makan aje.. Penat-penat aku masak. Tak sedap ke?’ Omelnya sendirian.

“Ada.. Kamu dengar tak apa yang mama cakap ni..” Sergah Puan Shima membuatkan dia sedikit tersentak. Bola matanya terus dialihkan ke wajah mamanya.

“Er.. Iyalah ma.. Nanti Ada turun.” Jawabnya sedikit tergagap sebelum terus berlalu.  Tangan melekap ke dada sebelah kiri. Sudah lama degupan itu tidak menyapa ruang dadanya.

Sementara Azam saat itu masih tidak lepas memandang ke arah Ada yang semakin menghilang.

“Ehem..” Shahimi berdaham beberapa kali dengan senyuman mengusik terhias di bibirnya.

Azam laju mengalihkan bola matanya. Kembali mencerun. Baju-t putih yang dipakai sudah pun comot dengan air sirap yang tertumpah tadi.

“Er.. Shah, aku nak baliklah..” Azam mula kalut. Tidak tentu arah jadinya. Wajah yang sudah hampir tiga bulan tidak menjamu ruang matanya benar-benar mengusik hati. Wajah comel itu kini sudah bertudung. 

“Kau ni Zam.. Kejaplah.. Kau pun makan tak habis lagi tu kan..” Shahimi cuba memujuk.

“Shah.. Aku..”

“Habiskan dulu nasi kau tu Zam. Tak baik membazir..” Pintas Shahimi tidak memberi peluang Azam mencipta alasan.

Azam melepaskan keluhan berat. Entah kenapa dia tidak mahu terus berlamaan lagi di situ. Apa yang pasti, sebentar nanti dia terpaksa berhadapan dengan wajah comel itu lagi. Dia tidak mampu untuk menyembunyikan rasa kasih yang kian berbuku. Risau air matanya akan tumpah kerana kasih yang ada langsung tidak berbalas.

******
“Ma, kenapa sembur asap ni? Banyak nyamuk ke?” Tanya Ada sebaik turun dari kereta. Hampir seluruh kawasan perumahan itu dipenuhi asap.

“Kamu ni duduk mana Ada? Takkan tak tahu Azam kena denggi lagi.” Jawab Puan Shima yang sedang menyiram pokok bunga petang Ahad itu.

“Hah!” Agak terkejut dia mendengar sebaris nama yang disebut oleh mamanya.

“Jangan nak buat-buat terkejut. Kamu tu setiap hari hantar lauk dekat rumah dia, tak jumpa Azam ke?” Balas Puan Shima sedikit geram. Jika dia tidak terserempak dengan Zakuan tadi, dia pun tidak tahu akan hal tersebut.

“Mana ada ma.. Uncle tak cakap apa-apa pun. Dekat ofis pun abang diam aje..” Ada membela diri. Dalam masa yang sama, dadanya mula dipalu alunan kurang senang. Sewaktu bertemu dengan Azam di rumahnya beberapa minggu lalu, tiada sepatah kata pun yang keluar dari bibir lelaki itu. Untuk memandang ke wajahnya pun dirasakan Azam seperti tidak sudi lagi.

“Sudah tu.. Pergi masuk mandi, solat. Lepas tu kita pergi hospital. Ayah dah terus ke sana lepas jumpa kawan dia tadi.” Arah Puan Shima seraya menutup air. Memang sengaja dia menunggu anak bongsunya itu pulang tadi.

“Ma, macam mana dengan dia? Azam takda apa-apakan?” Soalnya mengendur. Perasaan bersalah muncul di celah hati. Selepas apa yang berlaku di antara mereka beberapa bulan lalu, mereka langsung tidak bertemu. Azam sendiri seperti sengaja menjauhkan diri daripadanya.

“Tak tahulah. Kata Uncle Zakuan tadi dah dekat seminggu rupanya Azam dekat hospital.” Jawab Puan Shima saat mereka beriringan masuk.

“Ma.. Ada.. Er..” Tersekat-sekat dia mahu meluahkan kata. Hanya tuhan sahaja tahu apa yang dirasakan saat itu. Rasa bersalahnya bukan sedikit.

“Sudah tu.. Pergi cepat. Nanti aje kita sambung.” Pintas Puan Shima seraya menolak tubuh anaknya agar segera berlalu.

Ada melepaskan keluhan berat. Sama berat dengan langkah kakinya saat itu.
………..

“Kenapa sampai macam ni Zakuan? Kenapa kau tak bagi tahu aku..” Ujar Encik Shukri diiringi keluhan panjang. Ada rasa terkilan dalam hatinya melihat keadaan Azam yang tidak sedarkan diri.

“Dia yang tak bagi aku cakap dengan kau sekeluarga. Dia tak nak susahkan kau dengan yang lain-lain.” Jawab Encik Zakuan perlahan.

Ada yang turut sama ada di ruangan menunggu  itu lebih banyak mendiamkan diri. Tidak sekalipun bersuara setiap kali mama dan ayahnya bertanya itu ini tentang Azam. Dia masih lagi belum masuk ke bilik rawatan khas itu. Terasa tidak mampu. Risau air matanya yang semakin sarat itu akan tertumpah juga. Dari luar dinding cermin itu sahaja dia sudah mampu melihat Azam yang terbaring lesu.

“Ada..”

Ada mengangkat wajahnya. Mama dan ayahnya saat itu baharu melangkah masuk ke dalam bilik selepas mengenakan pakaian khas.

“Ada tak nak masuk?” Tanya Encik Zakuan yang berubah duduk di sisinya.

“Uncle.. Ada belum mintak maaf dengan Azam fasal hal hari tu..” Tuturnya dalam getar suara. Perasaan bersalahnya semakin mencengkam.

Encik Zakuan tersenyum tawar. Anak sulungnya itu ada meluahkan rasa kecewa selepas apa yang berlaku. Dan disebabkan itu juga Azam berubah sikap. Makanan yang dimasak oleh Ada setiap hari tidak lagi disentuh. Apatah lagi mahu menjamahnya.

“Uncle.. Ada mintak maaf uncle. Sebab Ada, Azam sakit macam ni..” Ucapnya lirih. Air matanya mula mengalir lesu ke pipi. Dia tidak tahu bagaimana mahu menebus semua kesalahan yang dilakukan. Sungguh di hatinya sudah terpahat nama lelaki itu. Tetapi tidak mampu diluahkan. Dan kini, mungkin dia sudah terlewat. Keadaan Azam yang agak kritikal membuatkan dia tidak lagi mampu menenteramkan hati.

“Azam sakit takda kena mengena dengan Ada.. Dah memang antibodi dia tak berapa kuat. Senang dapat sakit.. Kebetulan sebelum ni dia dah pernah kena demam denggi kan.. Lagi senang dia dapat demam tu kalau dia tak jaga diri baik-baik.” Jawab Encik Zakuan cuba menenangkan. Selebihnya dia mahu menenangkan dirinya sendiri. Keadaan Azam yang agak teruk boleh menyebabkan pelbagai kemungkinan. Dan dia kini bersedia menerima sebarang kemungkinan itu jika Azam masih juga tidak sedarkan diri.

“Kalau Ada terima dia hari tu.. Mesti semua ni tak jadi Uncle. Azam mesti jaga diri dia baik-baik.. Azam mesti tak sakit macam tu..” Luah Ada dalam esakan halus yang mula kedengaran. Bukan dia tidak perasan bagaimana wajah Azam saat bertemu dengannya beberapa minggu lalu. Jelas benar kedinginan. Azam yang dikenali, jauh berbeza dengan Azam yang dikenali hari ini.

“Tak baik cakap macam tu Ada.. Semua tu kerja Dia.. Siapa kita nak lawan.. Agaknya memang Azam bukan jodoh Ada..” Pujuk Encik Zakuan lembut.

“Tak uncle..Tak.. Ada sayang dia Uncle. Cuma Ada aje yang malu nak mengaku. Masa tu semuanya cepat sangat.. Ada tak boleh terima. Tapi.. Bila Azam tak nak jumpa Ada langsung lepas apa yang jadi.. Azam tak sudi makan apa yang Ada masak..  Ada…” Tidak mampu lagi ditahan kesedihan dan penyesalan yang membelenggu hatinya selama ini.

“Sudah tu Ada.. Uncle faham. Uncle tahu Ada sebenarnya memang suka dengan anak Uncle tu.. Cuma anak Uncle tu aje yang cepat sangat give up. Tak bersabar.. Dia tak cukup kuat Ada.. Sama macam sekarang.. Sebab tu sampai tak sedar lagi..” Semakin kedengaran lirih suara Encik Zakuan meluahkannya.

“Uncle..” Sayu dia menuturkannya dengan air mata yang semakin laju menuruni pipi. Keadaan Azam yang sedang terlantar, benar-benar menyesakkan ruang dada. Dalam hati tidak henti dia berdoa agar Azam kembali sedar dan dia bersedia untuk menunaikan hasrat hati lelaki itu sebelum ini.

“Zakuan, Azam, Zakuan!” Encik Shukri muncul dengan wajah yang cemas.

Encik Zakuan terus bingkas. Pandangan mata ditalakan ke arah dinding cermin di hadapan mereka. Dada Azam sedang berombak kencang.

Ada menekup mulutnya yang sedikit terbuka. Panorama itu benar-benar menyentak tangkai jantungnya. Air mata mencurah-curah keluar tanpa dapat lagi ditahan. Ya Allah..

*******

“Ehem..”

Ada pantas menoleh. Senyuman sehabis manis dilemparkan.

“Macam mana?” Kening diangkat dua kali. Mengusik.

“Fine! Abang handsome sangat sampai tak boleh blah dah dalam ni..” Jawab Ada sambil menyentuh dada kirinya.

Azam melepaskan tawa senang.

“Akhirnya… Terpaksa mengaku kan?” Azam angkat keningnya lagi.

Ada menjuihkan bibir. Nasib dia dapat lelaki yang memang kaki mengusik dan pembuli! Namun memang tidak dapat dinafikan lagi akan keindahan rupa paras yang dimiliki oleh lelaki yang segak berdiri di hadapannya itu.

“Tu la.. Dulu jual mahal sangat.. Sekarang tengok siapa yang gila bayang.. Sampai dalam tu dah tak boleh blah..” Tambah Azam masih mahu mengusik sambil menunding jari telunjuknya ke dada kiri Ada.

“Eleh.. Hari tu, siapa yang sampai sakit-sakit tak nak bangun?” Ada membalas dalam sindiran.

Hampir sebulan Azam di hospital gara-gara deman denggi yang dialami. Dan doanya diperkenankan Allah apabila Azam kembali sihat seperti sedia kala. Dan janji hatinya mahu menunaikan hasrat hati lelaki itu sudah pun tertunai.

Excuse me Puan Ada Syuhada. Allah tu tahu apa yang tersirat dalam hati tu tau. Sebab tu Dia panjangkan lagi nyawa abang supaya hasrat hati tu dan hati ni tertunai.” Azam membalas sambil bersilih ganti  jari telunjuknya singgah ke dada kiri Ada dan dada kirinya setiap kali perkataan hati disebut.

“Eleh.. Sudahlah abang.. Cakap ajelah yang abang sebenarnya saja buat-buat sakitkan.. Bila dengar suara Ada, terus bukak mata.” Jawab Ada tidak mahu kalah.

“Ha’ah.. Abang lupa la.. Ada orang tu menangis beriya-iya sambil panggil nama abang hari tu kan?” Balas Azam dengan senyuman nakal.

Ada ketap bibir geram sebelum menepuk kuat perut Azam. Rasa tersindir. Memang pada hari dia melawat Azam Idi hospital, air matanya tidak lagi mampu ditahan. Dan apabila melihat keadaan Azam yang sedang bertarung nyawa, menambah kesedihan hatinya.

“Ish! Ingat tak sakit ke?” Menyeringai Azam menahan perut yang sedikit senak.

“Padan muka. Kata dah tough balik. Takkan pukul sikit dan sakit.” Balas Ada selamba sebelum berlalu ke cermin besar di ruangan butik itu. Dia mahu melihat baju pengantin yang tersarung di tubuhnya.

“Memanglah tough. Kalau tak tough, ingat orang tu nak kahwin dengan kita ke? Jangan harap. Pandang pun tak sudi..” Balas Azam tidak mahu mengalah.

“Excuse me Encik Azamuddin Ashraf.” Ada sudah berdiri menghadap Azam sambil mencekak pinggang. “Masa awak sakit, muka siapa yang hari-hari terconggok sebelah awak? Kalau tak sudi nak pandang, jangan harap saya datang..” Lanjutnya geram.

Azam melepaskan tawa bebas.

Ada ketap bibir. Sedar kata-katanya memakan diri.

“Okey-okey.. Sorry..” Azam menarik Ada dalam pelukan erat apabila perasan wajah gadis itu berubah kelat.

“Abang pun sayang Ada.. Kalau tak, kita tak mungkin macam ni kan..” Ujar Azam perlahan sambil menolak hujung dagu Ada agar memandang ke wajahnya.

“Dah takda perempuan lain lagi yang dapat ganti nama Ada dalam ni tau.. Ada Syuhada sorang aje..” Luah Azam penuh perasaan.

Ada menarik senyum. Dalam hati mula memainkan lagu indah.

“Boleh percaya ke?” Dia menyoal lembut.

“Ada tak percaya? Mari sini abang buktikan.” Azam terus menarik tubuh Ada lebih rapat.

“Abang nak buat apa ni?” Ada mula kalut. Cuba meleraikan rangkulan kemas Azam namun langsung tidak berjaya.

“Kejaplah.. Tadi kata tak percaya..” Balas Azam dengan senyuman nakal tersungging di bibirnya.

“Percaya-percaya. Ada percaya. Tak payah nak buktikan.” Jawab Ada cepat. Sedaya upaya dia menolak wajah Azam yang kian mendekat. Cukup risau akan ada adegan yang tidak sesuai dipertontonkan di situ nanti memandangkan mereka di tempat terbuka.

“Ala… Please..” Azam masih meneruskan hajatnya walaupun sebenarnya lebih kepada mengusik. Dia suka melihat wajah comel Ada memerah.

“Abang jangan nak main-main boleh tak.. Nanti mama naik sini macam mana?” Ada mula tidak tentu arah.

Azam menoleh ke sekeliling sekilas sebelum laju mendaratkan bibirnya sekilas ke ulas bibir Ada yang bercalit gincu nipis.

Ada yang sejak tadi cuba menolak tubuh lelaki itu agar menjauhi kini terus terdiam. Terkulat-kulat dia memandang ke wajah Azam yang tersengih-sengih tanpa rasa bersalah.

Sejak mereka bernikah, belum pernah Azam bereaksi seberani itu memandangkan mereka sudah berjanji akan tinggal bersama setelah majlis resepsi berlangsung dua hari lagi.

Melihat Ada yang mendiamkan diri, Azam kembali mendekatkan wajahnya.

“Hoi! Agak-agaklah bro!” Sergah satu suara membuatkan Azam segera menjarakkan diri. Pelukannya terlepas. Tangan menggaru kepala yang tidak gatal untuk membuang segan.

Ada yang turut tersentak memalingkan wajah. Tidak mampu menatap wajah abang dan mamanya yang tiba di ruang itu. Tadi dia sendiri seperti merelakan sahaja apa yang akan dilakukan oleh Azam. ‘Apa kau dah buat ni Ada..’ Tergeleng-geleng kepalanya sendiri. Sumpah malu!

“Ha.. Yang tu kenapa pulak tergeleng-geleng tu. Orang suruh duduk sama, sibuk nak ikut adatlah apalah.. Sudahnya, yang bukan-bukan aje dibuatnya dekat sini.” Tambah Puan Shima pula.

Ada tersengih kelat. Terpaksa menerima sindiran mamanya hingga tidak terpandang wajah Azam di sisi.

“Orang suruh test baju, kau test apa bro?” Ujar Shahimi diiringi tawa besar.

Ada ketap rapat bibirnya. Kehangatan di wajah tidak mampu ditanggung lagi. Laju dia mengatur langkah ke dalam bilik persalinan. Tidak sanggup menjadi bahan usikan abangnya di situ.

Azam masih mampu beriak tenang walaupun sengihan di bibirnya terasa payau.

********
“Zam.. Ada mana?” Tanya Encik Zakuan sebaik melabuhkan duduk di sisi anak sulungnya itu.

“Balik rumah mama kejap.” Jawab Azam ringkas. Matanya tetap terhala ke arah skrin tv yang terpasang.

“Buat apa malam-malam ni dekat sana? Dia tidur sana ke?” Tanya abahnya lagi.

“Taklah.. Tiba-tiba dia kata teringin nak makan nasi goreng.” Jawabnya senang.

Encik Zakuan mengerutkan wajah.

“Kenapa kamu tak masakkan? Sampai kena pergi sana malam-malam macam ni.” Balas Encik Zakuan tidak senang.

“Tu ha.. Azam dah masakkan. Tapi dia kata tak sedap. Dia nak mama jugak yang masakkan.” Jawab Azam sambil menunjuk ke arah meja makan.

Encik Zakuan menggelengkan kepala sebelum tawa kecil terlepas di bibir tuanya.

Azam memandang pelik.

“Kenapa abah gelak?”

“Nasib baiklah rumah mentua kamu dekat depan tu aje.. Cuba kamu bayangkan rumah mak mentua kamu dekat Sabah ke.. Sarawak ke.. Macam mana?” Encik Zakuan sengaja mahu mengusik. Teringat kembali bagaimana Azam menolak untuk berkahwin dengan mana-mana dari kejiranan mereka. Sudahnya, dengan anak kawan baik sendiri dan setentang pula dengan rumahnya.

Azam tersengih-sengih. Terasa lucu pula apabila mengimbau kembali perbualan bersama abahnya setahun lalu.

“Tak mungkin.. Last-last, yang tak mungkin tu la yang jadi mungkin..” Selamba Encik Zakuan menyindir.

“Ala.. Time tu manalah Azam tahu Ada tu anak ayah.” Balas Azam dalam sengihan. Teringat kembali sewaktu kali pertama bertemu Ada sebagai ‘Bibik’ di rumahnya.

“Alah.. Kalau tahu pun abah rasa kamu memang dah syok dengan Si Ada tu masa dia jadi ‘Bibik’ lagi kan..” Giat Encik Zakuan lagi.

“Assalamualaikum..”

Masing-masing terus menoleh ke arah pintu sebelum salam dijawab hampir serentak.

“Hai… Dah kenyang baru ingat nak balik ke..” Usik Azam apabila melihat Ada yang tersengih-sengih duduk di sisinya.

“Mestilah..” Jawab Ada selamba.

Azam terus menarik hujung hidung Ada.

Encik Zakuan hanya menggelengkan kepala. Sejak pasangan itu berkahwin, perangai masing-masing sedikit pun tidak berubah. Masih seperti dulu. Sering usik mengusik.

“Hm.. Abah masuk dululah.. Kamu jangan lama-lama ajak Ada depan tv ni. Dah lewat sangat ni.” Ujarnya kemudian sebelum bingkas. Sengaja memberi ruang kepada pasangan bahagia itu.

“Iyalah bah..” Jawab Azam ringkas.

“Abang, jomlah naik. Ada penatlah.” Ujar Ada sebaik kelibat bapa mentuanya hilang.

“Ai.. Lepas makan nak terus tidur? Manalah sayang tak gemuk.” Jawab Azam mengusik.

Ada menghadiahkan cubitan halus ke pinggang Azam.

“Hari tu siapa yang suruh Ada jadi gemuk? Bukan abang ke?” Balasnya geram.

“Okey-okey… Iyalah.. Abang yang suruh Ada jadi gemuk. Tapi jadi sayang yang gemuk, comel dan lagi cute.” Kata Azam sambil mencubit pipi mungil Ada.

Sejak isterinya hamil, memang berat badan isterinya naik mendadak. Dan dia senang melihat Ada bertambah sihat kerana zuriat yang sedang dikandungkan.

“Tahu pun..” Balas Ada dalam sengihan lebar.

Azam senyum. Matanya tidak lepas memandang ke wajah manis isterinya itu.

“Kenapa pandang macam tu? Ada yang tak kena ke?” Ada mula teraba-raba wajahnya sendiri.

Azam menggeleng perlahan. Senyuman masih bergayutan di bibirnya.

“Habis tu?”

“Abang orang paling bertuah sekali sebab dapat kahwin dengan Ada.” Ucapnya seikhlas hati.

Ada kerut dahi.

“Kenapa abang cakap macam tu?”

“Sebab senang.. Depan rumah aje.. Nak balik raya tak payah gaduh-gaduh..” Jawabnya diiringi tawa.

“Eleh.. Ada orang tu dulu kata, tak syoklah kalau tak gaduh-gaduh masa nak balik raya.. Last-last dengan anak jiran ni jugaklah..” Sengaja Ada memulangkan semula kata-kata Azam seperti mana yang diceritakan oleh adik iparnya.

Azam serta-merta mematikan senyum.

“Siapa yang bocor rahsia dengan Ada ni?” Soalnya penuh rasa curiga. Setahunya hanya abah dan adiknya sahaja yang tahu dia pernah menuturkan ayat begitu.

“Ada la..” Jawab Ada sebelum bingkas.

“Ni mesti Nana punya kerja ni..” Serkap Azam sambil menyambar tangan isterinya itu.

“Tu la.. Lain kali jangan nak over sangat bila bercakap tu.. Kan dah kena kahwin dengan jiran sendiri..” Ejek Ada diiringi tawa.

“Eleh.. Dia tu.. Sampai nangis-nangis ape kes.. Tak ingat ke siapa lamar siapa..” Azam menyerang balas.
Gelak tawa terhenti. Bibir diketap rapat.

“Fine! Ada yang lamar abang! Puas hati?” Balas Ada geram seraya bingkas. Malu apabila teringat kembali peristiwa itu. Semuanya berlaku sebaik Azam sedar.

Azam mengekek gelak.

Ada mula mengorak langkah namun kembali terhenti apabila tubuhnya tiba-tiba dirangkul erat dari belakang.

“Ala.. Abang gurau ajelah.. Tu pun nak merajuk.. Janganlah merajuk-merajuk. Susah hati abang nanti. Dah la kalau merajuk Ada selalu balik rumah mama.. Penat abang kena pergi pujuk dekat rumah mama yang jauh tu..” Pujuk Azam lembut diiringi senyum lebar.

Ada terus menampar lengan Azam yang melingkar di pinggangnya.

“Terima kasih sebab sudi jadi isteri saya..” Bisik Azam perlahan kemudiannya.

Ada mengukir senyum manis.

“Terima kasih sebab awak sudi terima saya..” Balasnya sama perlahan. Sengaja mengikut rentak Azam.

“Terima kasih sebab bagi hadiah tak ternilai ni..” Ucap Azam dalam nada yang sama sambil mengusap lembut perut Ada yang membukit.

Ada terus memusingkan tubuh. Azam didakap erat sebagai tanda terima kasih yang tidak terhingga. Sungguh dia bahagia dalam kehidupannya kini. Tiada lagi memendam rasa sendiri. Azam terlalu bermakna dalam hidupnya. Andai nyawa Azam dijemput Ilahi saat dia belum mampu melunaskan hasrat hatinya sebelum ini, yakin yang dia tidak mungkin sebahagia sekarang.

“Sayang banyak sangat sampai tak terucap la tu kan..” Ujar Azam berseloroh apabila dia dapat merasakan dakapan yang begitu erat.

“Hm.. Allah aje yang tahu..” Balas Ada yang begitu tenang dalam keadaan begitu.

Azam melebarkan senyum sebelum turut membalas dakap erat itu. Sungguh rasa kasih yang ada dalam hatinya tidak berbelah bahagi buat Ada Syuhada. Ternyata jangan tak mungkinnya dahulu begitu bermakna. Sangat bermakna! <3

............
terima kasih atas sokongan selama ini. :')


10 comments:

Anonymous said...

akhirnya...Azam n Ada..mesti rndu dorang yg comel ni

>>k<<

Ruunna Qizbal said...

bestnyaaaaa... smbng lagi klau boleh

arsha wangi said...

cukuplah smpai situ runna.. akak blurr je skrg ni.. hohoo..

kak na said...

ending yg sgt manis

Anonymous said...

Best....

Sue Anieki said...

finally hbs jgk cite ni.. :)
ending yg sweet..
nnt rindu kat dorg bdua ni.. :)

Anonymous said...

So suwittttttt ;)

Acu

sentebale-hk said...

Ololo suwittttnya adaazam ni...:)

Anonymous said...

akhirnya Azam kawen jugak, hihi.. Bolehlah dia bawak jumpa Kimi kan haritu kimi duk perli dia bila nak kawen... haha, best best :)

Kak Sue said...

Ending yang sangat besttt... So Sweettt...
puas hati... bila Azam dan Ada dah nak ada baby.... rasa teruja sangat...
yang penting JANGAN TAK MUNGKIN... Segalanya MUNGKIN... hehehe