terima kasih kepada yang sudi membeli BAJP. ~juga banyak kekurangan yang ada :(
Really appreciate it! :')
**********
Jangan tak mungkin_final part
“Er..” Tergagap Azam ingin
menuturkan kata di hadapan kedua-dua ibu bapa Ada dan abahnya yang turut sama
ada di situ.
Mata terhala ke wajah abahnya
sekilas. Dia perasan senyuman yang tergaris di bibir tua itu.
‘Haih abah ni.. Tolonglah sikit..
Boleh pulak senyum macam tu..’ Rungut Azam dalam hati. Kini dia terpaksa
menelan kata-katanya dahulu. Oleh sebab dia sudah berkenan dengan Ada, dia
terpaksa mengotakan kata-kata yang pernah diucapkan kepada abahnya.
“Kamu ni macam tak biasa pulak Azam… Cakap ajelah apa yang kamu
nak cakap.” Encik Shukri bersuara dengan senyuman di bibirnya. Dia sudah sedia
maklum apa yang sedang berlaku kepada anak jirannya itu. Sengaja dia mahu
melihat keberanian Azam untuk berterus-terang dengannya.
“Er.. Macam ni Uncle.. Sebenarnya
Azam.. Erm..” Terasa ombak gugup sedang melanda hatinya menyebabkan dia
tergagap-gagap begitu.
“Ma, Ada dah sedar.” Muncul
Shahimi tiba-tiba membuatkan semua mata terhala ke arahnya.
“Dah sedar pun budak bertuah
tu..” Sahut Puan Shima sebelum bingkas bangun.
Dia agak terkejut saat Azam
membawa pulang anak bongsunya yang pengsan itu dalam persalinan pengantin. Dia
sendiri tidak faham apa sebenarnya yang telah berlaku.
Encik Zakuan dan Encik Shukri
pula memandang antara satu sama lain sebelum tawa terhambur dari bibir
kedua-duanya.
Azam hanya mampu membuang pandang
ke arah lain apabila dia cukup faham akan makna tawa yang terhambur itu. Kebas
wajahnya.
“Lain kali cakaplah awal-awal
bro. Takdalah sampai pengsan-pengsan budak tu kau kerjakan..” Ujar Shahimi
sambil menepuk bahunya.
Bibir tersengih kelat.
“Habis tu, sekarang macam mana
ni? Kamu betul ke nakkan anak uncle tu?” Ujar Encik Shukri dalam sisa tawanya.
Dia tidak mahu bertangguh lagi apabila melihat wajah Azam yang memerah. Dia
tahu apa yang tersirat di hati anak muda itu.
Azam tersenyum pahit memandang ke
wajah Encik Shukri. Termalu sendiri dengan apa yang berlaku. Bapa si perempuan
pula yang melamarnya untuk jadi menantu.
“Alah… Diam tu tanda setujulah
yah..” Celah Shahimi pula yang turut tersengih melihat wajah Azam yang
malu-malu.
“Tak payah tanya pun memang dia
dah setuju Shukri..” Sampuk Encik Zakuan sambil melirik ke wajah anak sulungnya
itu.
Azam menggaru kepalanya yang
tidak gatal untuk membuang kekalutan yang ada.
“Kalau macam tu senanglah.. Kita
jalankan aje sekali majlisnya dengan Shah.” Sahut Encik Shukri yang sememangnya
sudah mengenali hati budi Azam sejak kecil lagi. Dia yakin lelaki itu dapat
membimbing anak gadisnya yang seorang itu.
“Tak cepat sangat ke Shukri? Kita
tak tahu lagi keputusan empunya diri. Budak tu tak sempat bagi jawapan lagi
tadi dah pengsankan? Dibuatnya budak tak setuju.. Macam mana?” Ujar Encik
Zakuan yang masih mahu mendengar sendiri persetujuan dari pihak Ada. Dia tidak
mahu anaknya itu hanya bertepuk sebelah tangan.
“Jangan risaulah Uncle. Ada mesti
setuju punya. Kalau tak, takdanya dia sampai pengsan bila Azam bagi cincin
tadi.” Sahut Shahimi dengan sengihan mengusik.
Azam tersenyum malu. Dia sendiri
tidak menyangka hingga begitu sekali impaknya bila dia mahu melamar tadi. Dalam
masa yang sama, dia yakin yang gadis itu turut menyimpan rasa yang sama
dengannya. Mata bundar itu tidak mampu menipu.
“Hah.. Elok kamu dah sedar. Mari
duduk sini sekali. Ayah nak bincang fasal hal kamu dengan Azam ni..” Ujar Encik
Shukri saat Ada dan isterinya muncul di ruang itu. Anak gadisnya masih lagi
mengenakan baju pengantin tadi. Hanya wajahnya sahaja masih sedikit pucat.
Ada tidak punya pilihan. Terpaksa
menurut. Tidak terpandang akan wajah Azam ketika itu. Dia malu apabila teringat
kembali apa yang berlaku di butik tadi. Seperti tidak percaya yang dia kini
berada di rumah. Tidak dapat dibayangkan bagaimana dia dicampung oleh Azam
seperti mana diberitahu oleh abangnya tadi.
“Sekarang ni macam mana?” Ujar Encik
Shukri sebaik Ada melabuhkan duduk di sisi isterinya.
“Aku ikut aje mana-mana yang baik
Shukri..” Sahut Encik Zakuan yang sempat mengerling ke arah Azam. Dia perasan
anak sulungnya itu sibuk mengintai wajah Ada yang hanya menunduk.
“Kamu Ada.. Macam mana sekarang
ni? Kamu setuju kalau ayah satukan sekali kamu dengan Azam masa majlis Shah
nanti?” Encik Shukri ingin mendengar persetujuan daripada anak bongsunya itu.
Shahimi waktu itu sudah menepuk-nepuk bahu
Azam yang kelihatan gentar. Pasti risau dengan keputusan daripada adiknya.
Ada meramas-ramas sendiri
jemarinya yang bertaut. Terasa mahu pitam sekali lagi berhadapan dengan keadaan
serba salah begitu. Semuanya secara mengejut. Dia masih belum mampu menghadam
segala-galanya.
“Ada.. Ayah tanya tu.” Puan Shima
bersuara sambil memaut bahu gadis itu.
“Er.. Ada..”
“Setuju ajelah dik..” Sampuk
Shahimi.
Ada mengangkat wajahnya. Dia
memandang satu persatu wajah yang ada di ruang itu sebelum berhenti di wajah
Azam. Dia perasan wajah itu penuh mengharap. Cuma dia masih keliru dengan
perasaannya sendiri.
“Er.. Ada..”
“Ada Ada dari tadi.. Penat tunggu
jawapan kamu ni haa..” Sergah Encik Shukri.
“Ada tak sedia ayah.. Ada tak
nak.” Lancar dia menuturkannya sebelum terus bingkas. Laju kakinya melangkah
untuk masuk semula ke dalam bilik. Entah kenapa ada air hangat mula bertakung
di tubir matanya saat itu pandangan mata singgah pada baju yang masih tersarung
di tubuh.
Sementara Azam dan yang
lain-lain, terpempan sendiri. Encik Shukri dan Encik Zakuan masing-masing menghela
nafas panjang.
“Sabarlah bro..” Ucap Shahimi
cuba menenangkan Azam yang jelas terkejut dengan jawapan adiknya tadi. Ditepuk
perlahan bahu sahabatnya itu.
Azam menyandarkan tubuhnya dengan
keluhan berat terlepas. Musnah sama sekali impian dan harapannya.
********
“Tak payahlah nak jenguk-jenguk
sangat dekat luar tu. Azam memang tak datang.” Sapa Shahimi tiba-tiba
membuatkan Ada menjadi kalut sendiri.
“Er.. Siapa yang cari dia.. Mana
ada..” Jawab Ada serba tidak kena sebelum dia beredar dari situ. Acara
persandingan abangnya baharu sahaja selesai.
“Time ada, sibuk tolak. Dah takda, tercari-cari pulak.” Selamba Shahimi menyindir membuatkan langkah adiknya itu
terhenti.
Selepas peristiwa di butik dan
penolakan Ada, Azam lebih banyak menjauhkan diri darinya dan keluarga. Malah
lelaki itu kini semakin sibuk dengan kerja dan sering bekerja di luar kawasan.
Dan seminggu lalu ketika hari pernikahannya, Azam terus ke Labuan.
“Apa abang merepek ni? Siapa kata
Ada cari Azam?” Balas Ada selepas memusingkan tubuhnya. Dia masih cuba
menafikan apa yang dirasakan saat itu.
Shahimi tersenyum sinis.
“Ada jangan nak tipu abanglah.
Ada ingat abang tak perasan setiap hari Ada intai-intai rumah Azam tu?” Sindir
Shahimi lagi. Dia mahu adiknya itu tahu Azam benar-benar serius dengan
keputusan yang telah dibuat sebelum ini. Cuma Ada sahaja seperti tidak yakin
dengan apa yang cuba dilakukan oleh sahabatnya.
Ada merengus halus. Senyuman
sinis sama tersungging di bibirnya dengan debar di dada yang tiba-tiba hadir.
“Takda sebab Ada cari dia.”
Balasnya selamba.
“Ada jangan buat kelakarlah.
Abang belum buta lagi. Kenapa susah sangat nak mengaku yang Ada tu sebenarnya
suka Azam? Teruk sangat ke Azam tu sampai Ada sanggup tolak dia? Ada tahu tak
Azam tu kawan baik abang dari kecik
lagi. Semua fasal dia ada dalam poket abang ni tau. Kalau Azam pilih Ada jadi isteri dia, abang rasa Ada orang
bertuah sekali tahu? Hati dia belum pernah terisi dengan mana-mana perempuan
selain arwah Aunty Jessi. Ada tahu tak?” Jelas Shahimi panjang lebar dengan
harapan terbuka sedikit pintu hati adiknya untuk menerima Azam. Dia tahu
sahabatnya itu kini sedang membawa diri merawat hati yang terluka. Walaupun
lelaki itu tidak mengadu apa-apa dengannya, namun riak kekecewaan yang terlukis
sudah membuktikan segala-galanya.
“Boleh percaya ke?” Selamba Ada
memperkecilkan Azam walaupun hatinya saat itu sudah berdebar kencang. Dia mula
berperang dengan perasaan sendiri. Ada perasaan menyesal? Sumpah! Perasaan itu
memang sudah bertapak di situ sejak dia menolak lamaran lelaki itu.
“Ada tak percaya abang takpa. Ada
boleh tanya sendiri pada Nana. Takkan adik dia pun nak menipu. Kalau tak
percaya jugak, Ada boleh tanya Uncle
Zakuan sendiri. Tak mungkin Uncle Zakuan nak tipu Ada. Mama dengan ayah pun
tahu Azam macam mana.” Jawab Shahimi yang sedikit terusik dengan pertanyaan
berbaur sindiran dari adiknya itu. Jelas yang Ada masih ragu-ragu dengan apa
yang disampaikan tadi.
Ada tetap juga melemparkan
senyuman sinis. Dia cuba menyembunyikan perasaannya yang sebenar.
“Jangan memilih sangat Ada.
Kadang-kadang kita tak sedar orang yang depan mata tu sebenarnya orang yang
paling bermakna bagi kita. Bila takda, sibuk mencari. Bila dah ada depan mata,
kadang-kadang kita buat tak tahu aje..” Sambung Shahimi penuh makna.
Ada masih tetap diam. Pandangan
matanya dilemparkan ke arah tetamu yang masih belum pulang di bawah khemah.
Uncle Zakuan dan adik Azam juga masih ada di situ. Sungguh hatinya sudah pandai
membisikkan kata rindu sejak Azam menjauhkan diri darinya.
“Abang tak nak Ada menyesal di
kemudian hari. Susah nak cari lelaki yang susah sayang perempuan ni Ada. Azam
kalau sekali dia dah sayang, sampai bila-bila dia sayang..” Shahimi masih cuba
memancing perasaan adiknya itu.
“Tu, Nana panggil tu. Pergilah..”
Lanjutnya kemudian apabila perasan adik Azam sedang menggamit mereka.
Ada turut memandang ke arah yang
sama.
“Fikir apa yang abang cakap tadi
Ada..” Tambah Shahimi sebelum Ada mula melangkah.
Ada masih diam tidak membalas.
Memang apa yang terucap di bibir abangnya tadi kini sudah terpahat dalam hati
dan kepalanya.
*********
“Tambah lagi Zam.. Kurus sangat
Aunty tengok kamu sekarang ni? Tak makan ke?” Puan Shima menyendukkan nasi
tambah ke dalam pinggan Azam yang sudah pun kosong.
“Eh.. Dah Aunty. Cukup ni..” Azam
cuba menolak walaupun pinggannya kembali penuh.
“Tak payah malu-malu Zam. Macam
tak biasa kamu ni.” Encik Shukri bersuara di kepala meja.
Azam tersengih kelat. Mahu atau
tidak, dia terpaksa menghabiskan nasi di dalam pinggannya walaupun sudah terasa
kenyang.
“Mana tak kurusnya. Kalau dah
hari-hari makan mi segera Shukri.” Sahut Encik Zakuan di sisi Azam.
“Eh.. Ada tak hantar lauk ke
Shima?” Encik Shukri bertanya kepada isterinya. Setahunya, anak bongsunya itu
tidak lupa untuk menghantar lauk pada setiap hari.
“Apa pulak tak hantarnya..
Sedap-sedap Ada hantar. Dia yang takda selera makan.” Jawab Encik Zakuan tanpa
sempat Puan Shima membuka mulut.
Azam tersengih kelat.
“Apa kau ni Zam.. Tak sayang muscle ke? Kau tak perasan ke badan kau
sekarang ni dah kurus sangat?” Sampuk Shahimi pula.
Puas dia memujuk sahabatnya itu
siang tadi untuk makan malam bersama. Itu pun kebetulan Ada tiada di rumah.
Jika tidak, memang susahlah sahabatnya itu menjejakkan kaki ke rumahnya. Sudah
hampir tiga bulan selepas majlis perkahwinannya, itulah kali pertama Azam
datang ke rumahnya. Lelaki itu sebelum ini lebih sibuk dengan hal kerja.
“Kurus ke..Gemuk ke.. Bukan ada
orang nak pun..” Luah Azam perlahan. Namun hanya dalam hati. Bibir dipaksa
mengoyak senyum manis. Rasa kecewa di hati hanya Allah yang tahu.
“Zam, kita lelaki ni pun kena
jaga badan jugak.. Bukan perempuan aje yang kena jaga badan. Kan Zakuan?” Ujar
Encik Shukri dalam senyuman. Dia faham apa yang sedang melanda hati anak muda
itu.
“Takpa uncle. Janji Azam tak
sakit, okeylah ni..” Jawab Azam senang. Nasi yang masuk ke dalam mulutnya itu
terasa makin payah untuk ditelan. Pandangan mata mencerun ke arah pinggannya
apabila mata berlaga seketika dengan mata abahnya.
“Erm.. Pukul berapa Ada nak balik
Shima? Dekat pukul 9 ni.” Ujar Encik Shukri sebaik membuat suapan yang
terakhir.
“Dia ke mana sebenarnya Shukri.
Tadi aku nampak ramai kawan-kawannya datang tadi.” Soal Encik Zakuan sebelum
mencapai bekas cuci tangan yang dihulurkan oleh isteri Shahimi.
“Ada reunion katanya tadi.” Jawab Encik Shukri sebelum bingkas dan
diikuti dengan Encik Zakuan.
Azam yang mendengar sepatah nama
gadis yang masih setia bertakhta di hatinya itu, cuba mengawal riak. Tidak mahu
menunjukkan sebarang reaksi.
“Zam… Kau jangan risau. Aku akan
make sure kau takkan jumpa Ada. Dia mesti balik lambat punya.” Shahimi bersuara
perlahan walaupun isteri dan ibunya sudah pun masuk ke dapur. Tinggal dia dan
Azam sahaja di situ.
Azam tersenyum tepi. Memang
bibirnya menolak untuk bertemu dengan gadis itu, namun apa yang tersirat di hati
jauh bezanya. Begitu membuak desakan hati dan memandang wajah comel itu lagi.
“Assalamualaikum..” Terdengar ada
suara lembut memberi salam di muka pintu membuatkan Azam yang sedang meneguk
air terus tersedak. Terbatuk-batuk apabila air masuk ke dalam rongga
pernafasan.
“Kau okey ke Zam?” Shahimi cuba
mengurut perlahan belakang badan Azam yang masih terbatuk-batuk.
“Assalamualaikum uncle!” Ramah
Ada menegur Encik Zakuan di ruang tamu bersama ayahnya.
“Baru balik kamu..” Balas Encik
Zakuan berbasa-basi.
“Haah.. Erm.. Ada masuk dulu
uncle.” Ada meminta diri. Tubuhnya terasa melekit dan dia ingin segera
membersihkan diri. Dan saat kaki melewati ruang makan, langkahnya terhenti.
Belakang tubuh seorang lelaki yang sedang terbatuk-batuk cukup dikenali.
Serta-merta jantungnya berdegup laju.
“Ada, dah makan? Kalau belum,
akak ambikkan nasi. Tu duduk sekali
dengan Azam.” Ujar Aqila yang melangkah semula ke ruang makan itu untuk
mengambil gelas dan pinggan yang telah digunakan.
“Er.. Takpalah kak.. Ada dah
kenyang.. Ada masuk dulu.” Tergagap Ada menjawab sebelum laju mengatur langkah.
Namun langkahnya sekali lagi terhenti apabila namanya dipanggil. Dia tidak
berani menoleh kerana yakin matanya akan bertemu dengan mata Azam yang masih
duduk di sisi abangnya.
“Lepas mandi tu nanti, turun. Mama
dah masakkan bubur jagung yang Ada nak tadi.” Muncul Puan Shima pula di ruang
itu sambil membawa dulang berisi seteko air kopi untuk dihantar ke ruang tamu.
Tarikan Azam begitu kuat
membuatkan dia menoleh juga walaupun akalnya menegah. Bibir diketap rapat
apabila matanya benar-benar berlaga dengan mata Azam. Lain benar wajah itu
kini. Cengkung, kurus seperti orang tidak sihat. ‘Apasal dia ni.. Macam orang
tak makan aje.. Penat-penat aku masak. Tak sedap ke?’ Omelnya sendirian.
“Ada.. Kamu dengar tak apa yang
mama cakap ni..” Sergah Puan Shima membuatkan dia sedikit tersentak. Bola
matanya terus dialihkan ke wajah mamanya.
“Er.. Iyalah ma.. Nanti Ada
turun.” Jawabnya sedikit tergagap sebelum terus berlalu. Tangan melekap ke dada sebelah kiri. Sudah
lama degupan itu tidak menyapa ruang dadanya.
Sementara Azam saat itu masih
tidak lepas memandang ke arah Ada yang semakin menghilang.
“Ehem..” Shahimi berdaham
beberapa kali dengan senyuman mengusik terhias di bibirnya.
Azam laju mengalihkan bola
matanya. Kembali mencerun. Baju-t putih yang dipakai sudah pun comot dengan air
sirap yang tertumpah tadi.
“Er.. Shah, aku nak baliklah..”
Azam mula kalut. Tidak tentu arah jadinya. Wajah yang sudah hampir tiga bulan
tidak menjamu ruang matanya benar-benar mengusik hati. Wajah comel itu kini
sudah bertudung.
“Kau ni Zam.. Kejaplah.. Kau pun
makan tak habis lagi tu kan..” Shahimi cuba memujuk.
“Shah.. Aku..”
“Habiskan dulu nasi kau tu Zam.
Tak baik membazir..” Pintas Shahimi tidak memberi peluang Azam mencipta alasan.
Azam melepaskan keluhan berat.
Entah kenapa dia tidak mahu terus berlamaan lagi di situ. Apa yang pasti,
sebentar nanti dia terpaksa berhadapan dengan wajah comel itu lagi. Dia tidak
mampu untuk menyembunyikan rasa kasih yang kian berbuku. Risau air matanya akan
tumpah kerana kasih yang ada langsung tidak berbalas.
******
“Ma, kenapa sembur asap ni?
Banyak nyamuk ke?” Tanya Ada sebaik turun dari kereta. Hampir seluruh kawasan
perumahan itu dipenuhi asap.
“Kamu ni duduk mana Ada? Takkan
tak tahu Azam kena denggi lagi.” Jawab Puan Shima yang sedang menyiram pokok
bunga petang Ahad itu.
“Hah!” Agak terkejut dia
mendengar sebaris nama yang disebut oleh mamanya.
“Jangan nak buat-buat terkejut.
Kamu tu setiap hari hantar lauk dekat rumah dia, tak jumpa Azam ke?” Balas Puan
Shima sedikit geram. Jika dia tidak terserempak dengan Zakuan tadi, dia pun
tidak tahu akan hal tersebut.
“Mana ada ma.. Uncle tak cakap
apa-apa pun. Dekat ofis pun abang diam aje..” Ada membela diri. Dalam masa yang
sama, dadanya mula dipalu alunan kurang senang. Sewaktu bertemu dengan Azam di
rumahnya beberapa minggu lalu, tiada sepatah kata pun yang keluar dari bibir
lelaki itu. Untuk memandang ke wajahnya pun dirasakan Azam seperti tidak sudi
lagi.
“Sudah tu.. Pergi masuk mandi,
solat. Lepas tu kita pergi hospital. Ayah dah terus ke sana lepas jumpa kawan
dia tadi.” Arah Puan Shima seraya menutup air. Memang sengaja dia menunggu anak
bongsunya itu pulang tadi.
“Ma, macam mana dengan dia? Azam
takda apa-apakan?” Soalnya mengendur. Perasaan bersalah muncul di celah hati.
Selepas apa yang berlaku di antara mereka beberapa bulan lalu, mereka langsung
tidak bertemu. Azam sendiri seperti sengaja menjauhkan diri daripadanya.
“Tak tahulah. Kata Uncle Zakuan
tadi dah dekat seminggu rupanya Azam dekat hospital.” Jawab Puan Shima saat
mereka beriringan masuk.
“Ma.. Ada.. Er..” Tersekat-sekat
dia mahu meluahkan kata. Hanya tuhan sahaja tahu apa yang dirasakan saat itu.
Rasa bersalahnya bukan sedikit.
“Sudah tu.. Pergi cepat. Nanti
aje kita sambung.” Pintas Puan Shima seraya menolak tubuh anaknya agar segera
berlalu.
Ada melepaskan keluhan berat.
Sama berat dengan langkah kakinya saat itu.
………..
“Kenapa sampai macam ni Zakuan?
Kenapa kau tak bagi tahu aku..” Ujar Encik Shukri diiringi keluhan panjang. Ada
rasa terkilan dalam hatinya melihat keadaan Azam yang tidak sedarkan diri.
“Dia yang tak bagi aku cakap
dengan kau sekeluarga. Dia tak nak susahkan kau dengan yang lain-lain.” Jawab
Encik Zakuan perlahan.
Ada yang turut sama ada di
ruangan menunggu itu lebih banyak
mendiamkan diri. Tidak sekalipun bersuara setiap kali mama dan ayahnya bertanya
itu ini tentang Azam. Dia masih lagi belum masuk ke bilik rawatan khas itu.
Terasa tidak mampu. Risau air matanya yang semakin sarat itu akan tertumpah
juga. Dari luar dinding cermin itu sahaja dia sudah mampu melihat Azam yang
terbaring lesu.
“Ada..”
Ada mengangkat wajahnya. Mama dan
ayahnya saat itu baharu melangkah masuk ke dalam bilik selepas mengenakan
pakaian khas.
“Ada tak nak masuk?” Tanya Encik
Zakuan yang berubah duduk di sisinya.
“Uncle.. Ada belum mintak maaf
dengan Azam fasal hal hari tu..” Tuturnya dalam getar suara. Perasaan
bersalahnya semakin mencengkam.
Encik Zakuan tersenyum tawar.
Anak sulungnya itu ada meluahkan rasa kecewa selepas apa yang berlaku. Dan
disebabkan itu juga Azam berubah sikap. Makanan yang dimasak oleh Ada setiap
hari tidak lagi disentuh. Apatah lagi mahu menjamahnya.
“Uncle.. Ada mintak maaf uncle.
Sebab Ada, Azam sakit macam ni..” Ucapnya lirih. Air matanya mula mengalir lesu
ke pipi. Dia tidak tahu bagaimana mahu menebus semua kesalahan yang dilakukan.
Sungguh di hatinya sudah terpahat nama lelaki itu. Tetapi tidak mampu
diluahkan. Dan kini, mungkin dia sudah terlewat. Keadaan Azam yang agak
kritikal membuatkan dia tidak lagi mampu menenteramkan hati.
“Azam sakit takda kena mengena
dengan Ada.. Dah memang antibodi dia tak berapa kuat. Senang dapat sakit..
Kebetulan sebelum ni dia dah pernah kena demam denggi kan.. Lagi senang dia
dapat demam tu kalau dia tak jaga diri baik-baik.” Jawab Encik Zakuan cuba
menenangkan. Selebihnya dia mahu menenangkan dirinya sendiri. Keadaan Azam yang
agak teruk boleh menyebabkan pelbagai kemungkinan. Dan dia kini bersedia
menerima sebarang kemungkinan itu jika Azam masih juga tidak sedarkan diri.
“Kalau Ada terima dia hari tu..
Mesti semua ni tak jadi Uncle. Azam mesti jaga diri dia baik-baik.. Azam mesti
tak sakit macam tu..” Luah Ada dalam esakan halus yang mula kedengaran. Bukan
dia tidak perasan bagaimana wajah Azam saat bertemu dengannya beberapa minggu
lalu. Jelas benar kedinginan. Azam yang dikenali, jauh berbeza dengan Azam yang
dikenali hari ini.
“Tak baik cakap macam tu Ada.. Semua
tu kerja Dia.. Siapa kita nak lawan.. Agaknya memang Azam bukan jodoh Ada..”
Pujuk Encik Zakuan lembut.
“Tak uncle..Tak.. Ada sayang dia
Uncle. Cuma Ada aje yang malu nak mengaku. Masa tu semuanya cepat sangat.. Ada
tak boleh terima. Tapi.. Bila Azam tak nak jumpa Ada langsung lepas apa yang
jadi.. Azam tak sudi makan apa yang Ada masak.. Ada…” Tidak mampu lagi ditahan kesedihan dan
penyesalan yang membelenggu hatinya selama ini.
“Sudah tu Ada.. Uncle faham.
Uncle tahu Ada sebenarnya memang suka dengan anak Uncle tu.. Cuma anak Uncle tu
aje yang cepat sangat give up. Tak
bersabar.. Dia tak cukup kuat Ada.. Sama macam sekarang.. Sebab tu sampai tak
sedar lagi..” Semakin kedengaran lirih suara Encik Zakuan meluahkannya.
“Uncle..” Sayu dia menuturkannya
dengan air mata yang semakin laju menuruni pipi. Keadaan Azam yang sedang
terlantar, benar-benar menyesakkan ruang dada. Dalam hati tidak henti dia
berdoa agar Azam kembali sedar dan dia bersedia untuk menunaikan hasrat hati
lelaki itu sebelum ini.
“Zakuan, Azam, Zakuan!” Encik
Shukri muncul dengan wajah yang cemas.
Encik Zakuan terus bingkas.
Pandangan mata ditalakan ke arah dinding cermin di hadapan mereka. Dada Azam
sedang berombak kencang.
Ada menekup mulutnya yang sedikit
terbuka. Panorama itu benar-benar menyentak tangkai jantungnya. Air mata
mencurah-curah keluar tanpa dapat lagi ditahan. Ya Allah..
*******
“Ehem..”
Ada pantas menoleh. Senyuman
sehabis manis dilemparkan.
“Macam mana?” Kening diangkat dua
kali. Mengusik.
“Fine! Abang handsome sangat
sampai tak boleh blah dah dalam ni..”
Jawab Ada sambil menyentuh dada kirinya.
Azam melepaskan tawa senang.
“Akhirnya… Terpaksa mengaku kan?”
Azam angkat keningnya lagi.
Ada menjuihkan bibir. Nasib dia
dapat lelaki yang memang kaki mengusik dan pembuli! Namun memang tidak dapat
dinafikan lagi akan keindahan rupa paras yang dimiliki oleh lelaki yang segak
berdiri di hadapannya itu.
“Tu la.. Dulu jual mahal sangat..
Sekarang tengok siapa yang gila bayang.. Sampai dalam tu dah tak boleh blah..” Tambah Azam masih mahu mengusik
sambil menunding jari telunjuknya ke dada kiri Ada.
“Eleh.. Hari tu, siapa yang
sampai sakit-sakit tak nak bangun?” Ada membalas dalam sindiran.
Hampir sebulan Azam di hospital
gara-gara deman denggi yang dialami. Dan doanya diperkenankan Allah apabila
Azam kembali sihat seperti sedia kala. Dan janji hatinya mahu menunaikan hasrat
hati lelaki itu sudah pun tertunai.
“Excuse me Puan Ada Syuhada. Allah tu tahu apa yang tersirat dalam
hati tu tau. Sebab tu Dia panjangkan lagi nyawa abang supaya hasrat hati tu dan
hati ni tertunai.” Azam membalas sambil bersilih ganti jari telunjuknya singgah ke dada kiri Ada dan
dada kirinya setiap kali perkataan hati disebut.
“Eleh.. Sudahlah abang.. Cakap
ajelah yang abang sebenarnya saja buat-buat sakitkan.. Bila dengar suara Ada,
terus bukak mata.” Jawab Ada tidak mahu kalah.
“Ha’ah.. Abang lupa la.. Ada orang
tu menangis beriya-iya sambil panggil nama abang hari tu kan?” Balas Azam
dengan senyuman nakal.
Ada ketap bibir geram sebelum
menepuk kuat perut Azam. Rasa tersindir. Memang pada hari dia melawat Azam Idi
hospital, air matanya tidak lagi mampu ditahan. Dan apabila melihat keadaan
Azam yang sedang bertarung nyawa, menambah kesedihan hatinya.
“Ish! Ingat tak sakit ke?”
Menyeringai Azam menahan perut yang sedikit senak.
“Padan muka. Kata dah tough balik. Takkan pukul sikit dan
sakit.” Balas Ada selamba sebelum berlalu ke cermin besar di ruangan butik itu.
Dia mahu melihat baju pengantin yang tersarung di tubuhnya.
“Memanglah tough. Kalau tak tough,
ingat orang tu nak kahwin dengan kita ke? Jangan harap. Pandang pun tak sudi..”
Balas Azam tidak mahu mengalah.
“Excuse me Encik Azamuddin Ashraf.”
Ada sudah berdiri menghadap Azam sambil mencekak pinggang. “Masa awak sakit,
muka siapa yang hari-hari terconggok sebelah awak? Kalau tak sudi nak pandang,
jangan harap saya datang..” Lanjutnya geram.
Azam melepaskan tawa bebas.
Ada ketap bibir. Sedar kata-katanya
memakan diri.
“Okey-okey.. Sorry..” Azam menarik Ada dalam pelukan erat apabila perasan wajah
gadis itu berubah kelat.
“Abang pun sayang Ada.. Kalau
tak, kita tak mungkin macam ni kan..” Ujar Azam perlahan sambil menolak hujung
dagu Ada agar memandang ke wajahnya.
“Dah takda perempuan lain lagi
yang dapat ganti nama Ada dalam ni tau.. Ada Syuhada sorang aje..” Luah Azam penuh perasaan.
Ada menarik senyum. Dalam hati
mula memainkan lagu indah.
“Boleh percaya ke?” Dia menyoal
lembut.
“Ada tak percaya? Mari sini abang
buktikan.” Azam terus menarik tubuh Ada lebih rapat.
“Abang nak buat apa ni?” Ada mula
kalut. Cuba meleraikan rangkulan kemas Azam namun langsung tidak berjaya.
“Kejaplah.. Tadi kata tak
percaya..” Balas Azam dengan senyuman nakal tersungging di bibirnya.
“Percaya-percaya. Ada percaya.
Tak payah nak buktikan.” Jawab Ada cepat. Sedaya upaya dia menolak wajah Azam
yang kian mendekat. Cukup risau akan ada adegan yang tidak sesuai
dipertontonkan di situ nanti memandangkan mereka di tempat terbuka.
“Ala… Please..” Azam masih
meneruskan hajatnya walaupun sebenarnya lebih kepada mengusik. Dia suka melihat
wajah comel Ada memerah.
“Abang jangan nak main-main boleh
tak.. Nanti mama naik sini macam mana?” Ada mula tidak tentu arah.
Azam menoleh ke sekeliling
sekilas sebelum laju mendaratkan bibirnya sekilas ke ulas bibir Ada yang
bercalit gincu nipis.
Ada yang sejak tadi cuba menolak
tubuh lelaki itu agar menjauhi kini terus terdiam. Terkulat-kulat dia memandang
ke wajah Azam yang tersengih-sengih tanpa rasa bersalah.
Sejak mereka bernikah, belum
pernah Azam bereaksi seberani itu memandangkan mereka sudah berjanji akan
tinggal bersama setelah majlis resepsi berlangsung dua hari lagi.
Melihat Ada yang mendiamkan diri,
Azam kembali mendekatkan wajahnya.
“Hoi! Agak-agaklah bro!” Sergah
satu suara membuatkan Azam segera menjarakkan diri. Pelukannya terlepas. Tangan
menggaru kepala yang tidak gatal untuk membuang segan.
Ada yang turut tersentak
memalingkan wajah. Tidak mampu menatap wajah abang dan mamanya yang tiba di
ruang itu. Tadi dia sendiri seperti merelakan sahaja apa yang akan dilakukan
oleh Azam. ‘Apa kau dah buat ni Ada..’ Tergeleng-geleng kepalanya sendiri.
Sumpah malu!
“Ha.. Yang tu kenapa pulak
tergeleng-geleng tu. Orang suruh duduk sama, sibuk nak ikut adatlah apalah..
Sudahnya, yang bukan-bukan aje dibuatnya dekat sini.” Tambah Puan Shima pula.
Ada tersengih kelat. Terpaksa
menerima sindiran mamanya hingga tidak terpandang wajah Azam di sisi.
“Orang suruh test baju, kau test apa
bro?” Ujar Shahimi diiringi tawa besar.
Ada ketap rapat bibirnya.
Kehangatan di wajah tidak mampu ditanggung lagi. Laju dia mengatur langkah ke
dalam bilik persalinan. Tidak sanggup menjadi bahan usikan abangnya di situ.
Azam masih mampu beriak tenang
walaupun sengihan di bibirnya terasa payau.
********
“Zam.. Ada mana?” Tanya Encik
Zakuan sebaik melabuhkan duduk di sisi anak sulungnya itu.
“Balik rumah mama kejap.” Jawab
Azam ringkas. Matanya tetap terhala ke arah skrin tv yang terpasang.
“Buat apa malam-malam ni dekat
sana? Dia tidur sana ke?” Tanya abahnya lagi.
“Taklah.. Tiba-tiba dia kata
teringin nak makan nasi goreng.” Jawabnya senang.
Encik Zakuan mengerutkan wajah.
“Kenapa kamu tak masakkan? Sampai
kena pergi sana malam-malam macam ni.” Balas Encik Zakuan tidak senang.
“Tu ha.. Azam dah masakkan. Tapi
dia kata tak sedap. Dia nak mama jugak
yang masakkan.” Jawab Azam sambil menunjuk ke arah meja makan.
Encik Zakuan menggelengkan kepala
sebelum tawa kecil terlepas di bibir tuanya.
Azam memandang pelik.
“Kenapa abah gelak?”
“Nasib baiklah rumah mentua kamu
dekat depan tu aje.. Cuba kamu bayangkan rumah mak mentua kamu dekat Sabah ke..
Sarawak ke.. Macam mana?” Encik Zakuan sengaja mahu mengusik. Teringat kembali
bagaimana Azam menolak untuk berkahwin dengan mana-mana dari kejiranan mereka.
Sudahnya, dengan anak kawan baik sendiri dan setentang pula dengan rumahnya.
Azam tersengih-sengih. Terasa
lucu pula apabila mengimbau kembali perbualan bersama abahnya setahun lalu.
“Tak mungkin.. Last-last, yang tak mungkin tu la yang
jadi mungkin..” Selamba Encik Zakuan menyindir.
“Ala.. Time tu manalah Azam tahu
Ada tu anak ayah.” Balas Azam dalam sengihan. Teringat kembali sewaktu kali
pertama bertemu Ada sebagai ‘Bibik’ di rumahnya.
“Alah.. Kalau tahu pun abah rasa
kamu memang dah syok dengan Si Ada tu masa dia jadi ‘Bibik’ lagi kan..” Giat
Encik Zakuan lagi.
“Assalamualaikum..”
Masing-masing terus menoleh ke
arah pintu sebelum salam dijawab hampir serentak.
“Hai… Dah kenyang baru ingat nak
balik ke..” Usik Azam apabila melihat Ada yang tersengih-sengih duduk di
sisinya.
“Mestilah..” Jawab Ada selamba.
Azam terus menarik hujung hidung Ada.
Encik Zakuan hanya menggelengkan
kepala. Sejak pasangan itu berkahwin, perangai masing-masing sedikit pun tidak
berubah. Masih seperti dulu. Sering usik mengusik.
“Hm.. Abah masuk dululah.. Kamu
jangan lama-lama ajak Ada depan tv ni. Dah lewat sangat ni.” Ujarnya kemudian
sebelum bingkas. Sengaja memberi ruang kepada pasangan bahagia itu.
“Iyalah bah..” Jawab Azam
ringkas.
“Abang, jomlah naik. Ada penatlah.”
Ujar Ada sebaik kelibat bapa mentuanya hilang.
“Ai.. Lepas makan nak terus
tidur? Manalah sayang tak gemuk.” Jawab Azam mengusik.
Ada menghadiahkan cubitan halus
ke pinggang Azam.
“Hari tu siapa yang suruh Ada
jadi gemuk? Bukan abang ke?” Balasnya geram.
“Okey-okey… Iyalah.. Abang yang
suruh Ada jadi gemuk. Tapi jadi sayang yang gemuk, comel dan lagi cute.” Kata Azam sambil mencubit pipi
mungil Ada.
Sejak isterinya hamil, memang
berat badan isterinya naik mendadak. Dan dia senang melihat Ada bertambah sihat
kerana zuriat yang sedang dikandungkan.
“Tahu pun..” Balas Ada dalam
sengihan lebar.
Azam senyum. Matanya tidak lepas
memandang ke wajah manis isterinya itu.
“Kenapa pandang macam tu? Ada
yang tak kena ke?” Ada mula teraba-raba wajahnya sendiri.
Azam menggeleng perlahan.
Senyuman masih bergayutan di bibirnya.
“Habis tu?”
“Abang orang paling bertuah
sekali sebab dapat kahwin dengan Ada.” Ucapnya seikhlas hati.
Ada kerut dahi.
“Kenapa abang cakap macam tu?”
“Sebab senang.. Depan rumah aje..
Nak balik raya tak payah gaduh-gaduh..” Jawabnya diiringi tawa.
“Eleh.. Ada orang tu dulu kata,
tak syoklah kalau tak gaduh-gaduh masa nak balik raya.. Last-last dengan anak
jiran ni jugaklah..” Sengaja Ada memulangkan semula kata-kata Azam seperti mana
yang diceritakan oleh adik iparnya.
Azam serta-merta mematikan
senyum.
“Siapa yang bocor rahsia dengan
Ada ni?” Soalnya penuh rasa curiga. Setahunya hanya abah dan adiknya sahaja
yang tahu dia pernah menuturkan ayat begitu.
“Ada la..” Jawab Ada sebelum
bingkas.
“Ni mesti Nana punya kerja ni..”
Serkap Azam sambil menyambar tangan isterinya itu.
“Tu la.. Lain kali jangan nak
over sangat bila bercakap tu.. Kan dah kena kahwin dengan jiran sendiri..” Ejek
Ada diiringi tawa.
“Eleh.. Dia tu.. Sampai
nangis-nangis ape kes.. Tak ingat ke siapa lamar siapa..” Azam menyerang balas.
Gelak tawa terhenti. Bibir diketap
rapat.
“Fine! Ada yang lamar abang! Puas
hati?” Balas Ada geram seraya bingkas. Malu apabila teringat kembali peristiwa
itu. Semuanya berlaku sebaik Azam sedar.
Azam mengekek gelak.
Ada mula mengorak langkah namun
kembali terhenti apabila tubuhnya tiba-tiba dirangkul erat dari belakang.
“Ala.. Abang gurau ajelah.. Tu
pun nak merajuk.. Janganlah merajuk-merajuk. Susah hati abang nanti. Dah la
kalau merajuk Ada selalu balik rumah mama.. Penat abang kena pergi pujuk dekat
rumah mama yang jauh tu..” Pujuk Azam lembut diiringi senyum lebar.
Ada terus menampar lengan Azam
yang melingkar di pinggangnya.
“Terima kasih sebab sudi jadi
isteri saya..” Bisik Azam perlahan kemudiannya.
Ada mengukir senyum manis.
“Terima kasih sebab awak sudi
terima saya..” Balasnya sama perlahan. Sengaja mengikut rentak Azam.
“Terima kasih sebab bagi hadiah
tak ternilai ni..” Ucap Azam dalam nada yang sama sambil mengusap lembut perut
Ada yang membukit.
Ada terus memusingkan tubuh. Azam
didakap erat sebagai tanda terima kasih yang tidak terhingga. Sungguh dia
bahagia dalam kehidupannya kini. Tiada lagi memendam rasa sendiri. Azam terlalu
bermakna dalam hidupnya. Andai nyawa Azam dijemput Ilahi saat dia belum mampu
melunaskan hasrat hatinya sebelum ini, yakin yang dia tidak mungkin sebahagia
sekarang.
“Sayang banyak sangat sampai tak
terucap la tu kan..” Ujar Azam berseloroh apabila dia dapat merasakan dakapan
yang begitu erat.
“Hm.. Allah aje
yang tahu..” Balas Ada yang begitu tenang dalam keadaan begitu.
Azam melebarkan
senyum sebelum turut membalas dakap erat itu. Sungguh rasa kasih yang ada dalam
hatinya tidak berbelah bahagi buat Ada Syuhada. Ternyata jangan tak mungkinnya
dahulu begitu bermakna. Sangat bermakna! <3
............
terima kasih atas sokongan selama ini. :')
10 comments:
akhirnya...Azam n Ada..mesti rndu dorang yg comel ni
>>k<<
bestnyaaaaa... smbng lagi klau boleh
cukuplah smpai situ runna.. akak blurr je skrg ni.. hohoo..
ending yg sgt manis
Best....
finally hbs jgk cite ni.. :)
ending yg sweet..
nnt rindu kat dorg bdua ni.. :)
So suwittttttt ;)
Acu
Ololo suwittttnya adaazam ni...:)
akhirnya Azam kawen jugak, hihi.. Bolehlah dia bawak jumpa Kimi kan haritu kimi duk perli dia bila nak kawen... haha, best best :)
Ending yang sangat besttt... So Sweettt...
puas hati... bila Azam dan Ada dah nak ada baby.... rasa teruja sangat...
yang penting JANGAN TAK MUNGKIN... Segalanya MUNGKIN... hehehe
Post a Comment