Jun 21, 2013

AWRA_bab 4 ~edited repost


“Dik, kau kenapa muka macam tu?” Suara Firdaus memecah kesunyian selepas beberapa minit mereka dalam perjalanan. Dari tadi dia perasan adiknya yang bermulut becok itu mendiamkan diri sejak masuk ke dalam kereta. Entah apa yang tidak kena.

Awra tidak menjawab. Matanya ralit memandang ke luar tingkap yang gelap gelita. Dia tiada hati mahu membalas oleh sebab rasa marah masih kekal berbuku d dalam hati.

“Awra, okey ke tak ni?” Tanya Athirah pula yang menoleh ke belakang mencari wajah adik iparnya itu.

“Fir takda apalah kak…” Jawab Awra lambat.

“Iyalah takda apa-apa.. Bijak sangat muka kau menipu dik..” Sahut Firdaus. Dia lebih memahami perangai adiknya itu.

“Orang cakap takda apa, takda apalah..” Balas Awra malas.

“Kau ni mesti pasal si Faiq tadi kan?” Serkap Firdaus yang sesekali mengerling cermin pandang belakang.

“Kau tak payahlah sebut nama dia bang… Buat sakit hati aku ajelah. Dialah lelaki paling gila yang aku pernah jumpa lepas kau bang… Dahlah muka bajet handsome. Padahal tak handsome mana pun. Berlagak! Suka hati nak kutuk-kutuk aku punya handphone. Aku tahulah dia kaya. Tapi tak payahlah nak kutuk-kutuk aku kan. Kau tengok bang apa yang jadi dengan handphone aku ni?” Luah Awra sambil menunjukkan telefon bimbitnya yang sudah tidak serupa telefon. Habis terburai semuanya. Hanya baterinya sahaja yang tiada. Semua gara-gara Faiq Faisal.

Firdaus sudah menahan tawa melihat komponen telefon bimbit yang bercerai itu.

“Lepas tu boleh pulak dia ikut kepala dia aje nak buang bateri aku. Macamlah aku beli telefon ni dengan duit dia! Entah apa yang dia sakit sangat dengan handphone aku ni pun aku tak tahulah!” Hambur Awra lagi dengan rengusan kasar. Sakit benar hatinya dengan lelaki yang baru dikenali itu.

“Alah.. Memang patutlah pun dia kutuk handphone kau tu. Sekarang aku rasa dekat kedai dah takda jual lagi handphone kau tu. Nak repair pun dah tak boleh agaknya. Nak jual pun aku rasa dah tak laku dik. Memang boleh buang dah. Aku rasa, orang pun dah tak pakai dah handphone macam tu. Kau punya dah ketinggalan zaman sangat dik oi…” Balas Firdaus diiringi tawa. Sengaja mengusik.

Dia tahu adiknya itu seorang yang cermat. Terlalu sayang dan menjaga semua barang kepunyaannya. Termasuklah gajet yang baru sahaja rosak itu. Hampir enam tahun digunakan.

“Kau pun sama ajelah dengan dia bang. Tak payahlah nak kutuk-kutuk aku. Kau ingat aku suka-suka nak jadi ketinggalan zaman ke? Aku pun tahulah semua orang dah pakai handphone canggih-manggih sekarang. Ada wassap-wassup bagai. Aku aje yang takda semua bende alah tu sebab aku pakai handphone buruk aku ni kan.” Bidas Awra geram.

“Tapi memang betul pun kan..” Sahut Firdaus dengan tawa yang terhambur.

“Kau tu lain bang.. Aku ni lain.. Kau tu ada kerja, ada gaji.. Aku? Aku ada apa? Kalau aku bergaji macam kau, tak payah cakaplah. Memang aku dah lama tukar.. Tak payahlah kena kutuk dengan kau selalu.. Siap kena kutuk dengan mamat perasan hansome poyo gila tu..” Tambah Awra yang mula bergenang air mata. Nada suaranya juga sudah berubah. Hatinya mula terusik dengan dengan sindiran Firdaus walaupun tahu ia hanyalah gurauan.

“Abang… Sudah la tu…” Celah Athirah yang perasan perubahan dalam nada suara adik iparnya yang seorang itu.

Dia simpati dengan Awra yang masih tidak bekerja walaupun punya kelulusan. Dia tahu hati gadis itu cukup sensitif jika menyentuh soal kerja dan perkara-perkara yang berkaitan. Bukan dia tidak pernah membantu adiknya itu untuk mendapatkan tempat. Namun gadis itu yang memilih untuk berdikari. Katanya jika dia mendapat kerja hanya semata-mata pertalian darah yang dimiliki, kebersihan pendapatan tidaklah sebaik mana. Sebab bukan atas keupayaan dan kelayakan yang dimiliki. Tetapi hanya bergantung kepada kelebihan orang yang membantu.

“Betullah apa abang cakap… Dah memang telefon tu patut ditukar.” Jawab Firdaus yang masih tidak perasan akan perubahan pada wajah adiknya. “Dik, kau cepat-cepatlah cari kerja.. boleh tukar handphone canggih sikit..” Lanjutnya seraya menyambung tawa.

Awra tidak lagi membalas. Mulutnya dikatup rapat.

Athirah yang duduk di sisi pula mula tidak senang. Suaminya itu memang suka mengusik Awra tidak kira masa.

“Abang.. Sudah la tu…” Tegur Athirah perlahan sambil menyentuh lengan suaminya.

Firdaus terus berhenti ketawa seraya mengerling cermin pandang belakang.

“Ala dik.. Takkan touching kut… Kau macamlah tak biasa dengan aku kan…” Pujuk Firdaus yang baru perasan wajah adiknya yang keruh benar. “Nanti kau pakailah handphone lama aku dulu. Sementara cari handphone baru.” Lanjutnya lagi. Lupa pula yang adiknya itu agak sensitif jika bercakap soal kerja.

“Tak payahlah. Biar aku tak payah pakai handphone. Bukan ada orang yang nak call aku pun..” Jawab Awra yang sudah berjauh hati.

Hek eleh.. Merajuk pulak..” Giat Firdaus lagi.

Awra kembali mendiamkan diri. Tidak menjawab kata-kata Firdaus. Hanya jarinya sahaja sudah naik ke wajah untuk menyeka air jernih yang bertakung di hujung mata.

Firdaus turut diam. Sedar usikannya tadi membuatkan Awra muram begitu.

“Erm.. Kalau Awra tak nak pakai handphone Abang Daus, Awra pun boleh pakai handphone akak. Akak pun tak pakai yang lagi satu tu.” Celah Athirah pula setelah dua beradik itu senyap. Dia mahu menceriakan suasana semula.

“Takpalah kak. Handphone Fir ni boleh pakai lagi. Nanti Fir cari bateri lain.” Jawab Awra perlahan. Sungguh dia berjauh hati dengan apa yang berlaku. “Kak, boleh pinjam handphone kejap.. Fir nak call abah.” Lanjutnya yang terasa ingin pulang ke kampung.

“Takkan merajuk sampai nak balik kampung kut dik.. Aku main-main ajelah..” Ujar Firdaus yang mula tidak senang hati. Pada masa yang sama dia perasan jelingan tajam isterinya di sisi.

“Er.. Awra dah nak balik ke? Tunggulah seminggu lagi.. Nanti kita orang hantar balik..” Sahut Athirah pula sambil menghulurkan telefon bimbitnya kepada Awra.

“Takpalah kak. Fir nak balik esok. Nak suruh abah ambik dekat komuter aje.” Tolak Awra. Tawar hatinya mahu tinggal bersama abang dan kak iparnya itu lagi.

“Ala… Kau kenapa sentap sangat malam ni? Relax la. Handphone tu nanti aku belikanlah yang baru. Kau dah boleh buang yang tu.. Kalau kau nak yang macam tu pun aku boleh cari.” Firdaus cuba memujuk lagi apabila perasan akan isyarat maya yang diberi oleh isterinya.

“Tak payahlah. Aku ni mana ada duit nak bayar.. Nanti aku boleh pakai handphone lama abah.” Jawab Awra yang masih di dalam moodnya tadi.

Sebentar kemudian Awra sudah bercakap dengan Mejar Shukor dan pasangan di hadapannya itu terus mendiamkan diri. Dia memang lebih rapat dengan abahnya berbanding adik-beradik yang lain.

“Kau boleh ke balik sendiri esok?” Tanya Firdaus selepas adiknya habis berbual dengan abahnya.

“Boleh.” Jawab Awra sepatah seraya menyerahkan semula gajet tadi kepada Athirah. Wajah terus dipalingkan ke luar tingkap. Tiada hati lagi mahu bercakap membuatkan masing-masing terus mendiamkan diri.

*************

“Faiq, kau tadi apa hal dengan budak comel tu?” Soal Amir saat melangkah masuk ke dalam kereta Inspira merah milik Faiq.

“Budak comel mana pulak kau ni?” Soal Faiq kembali sambil menghidupkan enjin kereta. Rasanya tiada lagi budak comel yang ditemui melainkan si gadis garang yang menjatuhkan iphonenya minggu lepas.

“Yang duduk belakang kita tadi la.. Yang mulut dia bukan main lancang lagi kutuk pasukan kita tu..” Sampuk Naim pula yang duduk di belakang.

“Oh..” Balas Faiq pendek sebelum mengundurkan kereta untuk keluar dari tempat parkir. Dia perasan wajah gadis yang diusik tadi masam mencuka ketika melangkah ke tempat letak kereta.

“Ni bateri handphone baru kau ke?” Soal Amir seraya mencapai bateri telefon bimbit yang baru diletakkan di atas dashboard.

“Taklah. Tu bateri awek comel yang kau kata tu la..” Jawab Faiq diiringi senyuman penuh makna di bibir apabila teringat peristiwa yang baharu sahaja berlaku tadi.

“Kau jangan cakap dengan kita orang yang dia mengamuk tadi sebab kau ambik bateri dia ni..” Tebak Naim yang mula mengesyaki sesuatu telah berlaku pada sahabatnya itu. Dia tahu Faiq sukar untuk mendekati mana-mana gadis pun selepas pengalaman lalu.

Faiq menghamburkan tawa.

“Kau biar betul bro?” Tanya Amir pula seperti tidak percaya dengan tindakan berani sahabatnya itu.

“Dah dia yang buat hal dulu.. Aku balas la balik.” Jawab Faiq selamba dalam sisa tawanya.

“Takkanlah sebab dia kutuk pasukan kita tadi kau sampai nak ambik bateri budak tu. Bukannya kau boleh pakai pun bateri ni.” Balas Amir tidak faham.

“Tu satu hal jugak. Siapa suruh mulut dia takda sivik. Ikut suka mulut dia aje nak bercakap. Geram betul aku. Lain kali cakap biar cantik sikit. Kalau tak, takdalah aku nak susah payah terkejutkan dia depat toilet tadi.” Jawab Faiq yang sudah mematikan senyumnya. “Tapi tu bukanlah sebab utama aku ambik bateri murah dia tu. Sebab utamanya dia memang ada hutang dengan aku.” Jelasnya lanjut dengan mata masih terbayang-bayang wajah tegang gadis comel tadi. Awra… Sebaris nama itu akan diingati sampai bila-bila.

“Hutang? Kau memang dah kenal dengan dia ke?” Naim mula berminat mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku.

Dilihat dari perwatakan gadis itu tadi, dia yakin Faiq sudah bertemu dengan ruasnya. Tidak pernah ada mana-mana gadis yang berani bertekak dengan sahabatnya itu sebelum ini. Selebihnya hanya gadis yang ingin mengambil kesempatan di atas kesenangan dan kedudukan Faiq kini.

“Kau ingat tak yang aku cerita pasal iphone aku jatuh minggu lepas?” Ujar Faiq yang tetap fokus dalam pemanduan. Amir yang duduk di sisinya itu pula hanya diam dan mendengar.

“Kenapa? Dia yang langgar?” Tebak Naim terus.

“Dialah..” Jawab Faiq pendek.

“Habis tu? Apasal kau tak mintak aje ganti rugi? Ni yang kau ambik bateri dia buat apa?” Celah Amir yang tidak faham dengan tindakan sahabatnya yang seorang itu.

“Aku ambik sebab handphone dia terhempas masa aku sergah depan toilet tadi..” Jawab Faiq yang sudah tersengih sendiri. Lucu apabila teringat kembali apa yang pernah berlaku di restorennya minggu lalu. Mudah benar gadis itu terkejut walaupun hanya sekadar bisikan. Belum lagi dia sergah betul-betul. “Kelakar gila aku tengok muka dia tadi. Aku rasa kalau kau tengok model bateri tu pun korang tahu kan model apa. Habis terburai handphone dia tadi.” Sambung Faiq yang kembali menyambung ketawa.

“Macam budak-budaklah kau ni.. Kesian dia weh. Tadi aku tengok muka dia bukan main ketat lagi. Pandang kau pun macam dia nak telan hidup-hidup.” Ujar Naim yang turut ketawa mendengar cerita sahabatnya itu.

“Entah kau ni.. Budak perempuan la pun.. Ada pulak kau sergah. Kan kau boleh aje mintak dengan dia baik-baik ganti rugi. Tak payah main sergah-sergah..” Sokong Amir pula yang turut tidak ketinggalan ketawa. Namun di hati, tetap ada rasa simpati dengan gadis comel yang diperlakukan oleh sahabatnya itu. “Atau.. Melainkan kau ada agenda lain ke bro..” Lanjut Amir dengan senyuman penuh makna sambil melirik ke wajah sahabatnya di sisi.

Naim sudah menepuk bahu kiri Faiq yang masih tersenyum-senyum sendiri. Tindakan sahabatnya itu memang sukar dijangka.“Bro, make sure jangan terlepas kali ni..” Ujarnya penuh makna tersirat.

Faiq hanya tersenyum. Masih terlalu awal untuk dia menjangkakan sesuatu yang baik menantinya. Apa pun, gadis bernama Awra itu memang benar berjaya mencuit hatinya walaupun gadis itu sekeras batu. Hanya cubaan sahaja yang mampu dilakukan tambahan pula keupayaan gadis itu merasa setiap masakan memang menarik perhatiannya dari apa yang diperkatakan oleh Firdaus dan Athirah. Rasa simpati tiba-tiba muncul di celah hati apabila teringat roti canai yang dipesan gadis tadi belum sempat dijamah. Semua kerana kehadirannya.

*******

Seawal jam 7.30 pagi lagi Awra sudah keluar dari rumah semata-mata ingin cepat sampai ke kampung. Dia tidak mahu lagi berlamaan di rumah abangnya walaupun kakak iparnya puas memujuk. Dan kini dia sedia menanti ketibaan komuter. Berulang kali dia menoleh ke arah jam. Sudah lewat lima belas minit dari waktu yang sepatutnya. Kiri kanannya sudah dipenuhi dengan penumpang lain yang mungkin sama-sama sibuk ingin ke tempat kerja memandangkan waktu baharu 8.30 pagi.

Baharu sahaja dia menoleh ke arah jam sekali lagi, dari jauh kelibat komuter yang dinanti mula kelihatan. Dan dengan cepat dia bingkas berdiri kerana tidak mahu ketinggalan memandangkan perhentian itu agak sesak pada waktu begitu.

Sempat dia mengucap syukur apabila pintu salah satu gerabak kamuter berhenti betul-betul di hadapannya dan juga merupakan salah satu gerabak yang disediakan khas buat penumpang wanita. Kaki terus sahaja melangkah masuk memandangkan tiada penumpang yang keluar dari gerabak berlabel merah jambu itu. Disebabkan agak ramai penumpang wanita, dia cepat mencari tempat duduk kosong memandangkan perjalanannya perlu melalui lebih dari tujuh perhentian.

Sebaik sahaja dia melabuhkan duduk di tempat duduk sebelah tingkap, ada seorang lagi yang turut duduk di sisinya. Membulat matanya apabila pandangannya singgah ke wajah yang dikenali duduk di sisi tanpa rasa bersalah. Dahinya berkerut berserta rengusan kasar. ‘Sah buta dia ni. Tak nampak ke ni coach wanita.’ Pagi-pagi lagi hatinya sudah mengumpat.

Tidak pula dia perasan kewujudan lelaki itu ketika melangkah masuk tadi. Dia tidak lagi menoleh ke sisi sebaliknya hanya membuang pandang ke luar tingkap. Hatinya yang tenang tadi kini mula berombak. Tidak mungkin dia dapat melupakan apa yang telah berlaku malam tadi. Dan kini lelaki itu seperti tidak mengenalinya. ‘Apasal muka dia ni macam orang tak bersalah!’ Bentaknya dalam hati. Ringan sahaja mulutnya saat itu untuk memarahi. Tapi keadaan komuter yang agak sesak dengan penumpang, membataskan segalanya. Lelaki itu tetap beriak selamba dan sedikit pun tidak menghiraukan kewujudannya.

Kini dia pula yang sibuk mengerling ke wajah lelaki yang segak dalam persalinan pejabat itu. Memang kebanyakan penumpang ketika itu antaranya pekerja-pekerja pejabat jika dilihat dari penampilan masing-masing. Kemudian dia menoleh ke arah penumpang-penumpang lain yang turut sama ada di dalam gerabak. Rupanya ada lagi tiga hingga empat orang lelaki yang menaiki gerabak yang sama. Termasuklah yang duduk tanpa rasa bersalah di sisinya itu.

Are you okay?” Tegur lelaki yang duduk di sisinya itu tiba-tiba tanpa menoleh. Lelaki itu sejak tadi sibuk dengan gajet nipis di tangan.

‘Boleh pulak dia tanya aku okey ke tak..’ Desisnya geram dalam hati.

“Awak memang takda rasa bersalah langsung fasal semalam kan. Dah lah naik coach wanita. Lepas tu tanya orang okey ke tak..” Jawab Awra sinis sambil berpeluk tubuh. Marah di hati kembali lagi.

Sorry?” Giliran lelaki itu pula mengerutkan dahi tanda tidak faham.

“Dah buat salah, boleh pulak awak buat-buat tak tahu kan? Mesti kepala awak ni dah terhantuk dekat kedai makan semalam. Tak pun dah sewel sebab Liverpool kalah. Tu yang sampai tak boleh ingat apa yang dah jadi. Dah buat salah tak nak mengaku pulak.” Awra berterusan menyindir. Rasa marah dengan hal semalam memang tidak hilang sebaik sahaja melihat wajah tenang itu.

“Semalam? Kedai makan? Sorry cik. Saya memang tak faham langsung apa yang awak cakap. Bila masa saya pergi kedai makan? Liverpool kalah? Liverpool kalah dah betullah tu.. Padan muka dorang kalah sebab saya die hard Manchaster United. Tapi, saya rasa awak salah orang kut..” Balas lelaki itu berserta senyuman nipis. Wajah gadis comel yang merah padam di sisinya itu agak menarik di matanya.

“Salah orang? Awak ingat saya buta ke? Cuba awak bukak mata awak tu luas-luas pandang muka saya ni. Takkan awak langsung tak ingat muka perempuan yang awak kutuk malam tadi? Mentang-mentanglah orang kaya. Tapi tak payahlah nak kutuk handphone orang.” Marah Awra dengan suara yang tertahan. Dan saat itulah mereka sudah tiba di perhentian yang pertama.

“Cik, saya rasa awak dah salah faham. Erm, sorry saya tak dapat nak berbual panjang dengan awak. Awak ambik kad saya ni, kalau awak nak sambung marah ke, awak call aje saya.” Ujar lelaki itu sambil menghulurkan sekeping kad.

Awra yang sedikit terpinga-pinga, terus sahaja menyambut kad kecil itu tanpa banyak soal.

“Assalamualaikum.” Tambah lelaki itu sebelum bingkas berdiri dan berlalu ke arah pintu keluar.

Awra masih kaku di tempatnya. Hanya bola matanya sahaja terhala ke wajah lelaki yang sedang melemparkan senyum dan melambaikan tangan dari luar komuter. Bibir diketap rapat. ‘Apalah kau ni Fir. Kau belum mintak lagi ganti telefon kau yang hancur semalam!’ Rungutnya dalam hati. Kad nama yang masih berada di tangan terus direnyuk kasar hingga menjadi bulat sebelum dicampak ke dalam beg sandang yang dibawa. Melepaskan geram pada benda yang tidak bersalah.

*****

“Kenapa kau call aku ni?” Faiq sudah berkerut dahi menerima panggilan telefon daripada adiknya awal pagi itu.

“Kau ada buat hal ke semalam? Ada minah comel mana entah membebel dengan aku dalam komuter tadi.” Ujar suara dia hujung talian membuatkan senyuman serta-merta terbit di bibirnya.

“Aku takdalah buat hal.. Dah dia yang buat hal dulu. Aku balaslah balik.” Jawabnya diiringi tawa. Faham siapa yang dimaksudkan oleh lelaki itu.

“Marah betul dia dengan aku. Tak pernah-pernah ada perempuan marah aku macam tu tadi.”

Sorrylah bro.. Nak buat macam mana.” Faiq menyambung tawa. Kesian dengan adiknya yang sering menjadi pesalah yang tidak bersalah.

“Siap kutuk team Liverpool yang kalah semalam.” Ujar suara itu lagi diiringi tawa besar.

“Alah.. Semalam tu nasib aje Man U menang.” Jawab Faiq dalam senyuman. Teringat kembali kata-kata Awra yang mengutuk pasukan kegemarannya semalam gara-gara apa yang berlaku.

“Sudahlah kau. Dah kalah buat cara kalah. Jangan lupa belanja aku makan nanti.”

No hal la.. Datang aje bila-bila masa kau suka.” Jawabnya terpaksa mengalah. “Erm.. Kau ada cakap apa-apa tak dengan budak comel tu?” Lanjutnya ingin tahu perihal gadis yang secara rasmi menjadi musuhnya kini.

“Takda apa-apa pun. Sekejap sangat aku duduk sebelah dia. Dia yang membebel banyak. Boleh tahan jugak mulut dia mengata orang. Nasib baik cute.” Balas adiknya diiringi tawa besar.

Faiq menarik senyum penuh makna tanpa adiknya sedari. “Okeylah weh. Aku nak masuk dapur ni. Kejap lagi ada VIP mana entah nak datang. Nanti jumpa, aku story fasal budak cute tu pada kau.” Ujarnya kemudian ingin menamatkan perbualan. Ada tugasan yang sedia menanti.

“Okaylah. Bye.” Ringkas suara itu membalas sebelum talian terputus. Dia terus menyimpan telefon bimbitnya ke dalam saku. Senyuman manis masih tetap bergayutan di bibir. Seraut wajah yang terlayar dalam kepala mencuit tangkai hati lelakinya. Awra..




5 comments:

kak na said...

tgk betul2 kalau nk sembur org,serupa tak mesti sama kan

Anonymous said...

faiq tu ada kembar dia ke???ntah2 si adik pun ada hati jgk kt awra...hahaha....

Anonymous said...

Haha...slh org...
Best...nk lgi...

muda_13 said...

Aik, diorang ni kembar ke, hehe, makin menarik

Kak Sue said...

Kasihan Awra .... sedih tau ..
Abang tu kalau nak kutuk adik pun ingatlah hati Awra yg tengah sedih tu.... padan muka Awra dah merajukkkk...
ni lagi seorang ... Faiq dia punya pasal adik dia juga jadi mangsa...
jangan sampai adik pun jatuh hati kat Awra sudah.... hehehe...